Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN desak suntikan dos pertama semua negeri dipertingkat segera

SHAH ALAM: 11 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mendesak suntikan dos pertama Covid-19 di semua negeri dipertingkat segera sebelum Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata pemberian vaksin di negeri-negeri berisiko tinggi amat penting kerana ada negeri yang masih mempunyai kadar dos pertama yang rendah.

“Sabah yang merupakan negeri berisiko tinggi dalam jangkitan dan mempunyai peratus jumlah dos pertama paling rendah dalam negara.

“Memandangkan penerima dua dos vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus Covid-19, tidak boleh diketepikan kemungkinan gelombang baharu di negeri-negeri fasa 2,” menurut kenyataan dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, hari ini.

PAKATAN turut mendesak kerajaan membantu pemilik premis yang dibenarkan menerima pelanggan dengan memastikan pekerja mereka juga telah menerima vaksin.

“Kerajaan harus membantu premis termasuk hotel, inap desa dan restoran yang akan menerima pelanggan lengkap dua dos vaksin, untuk memastikan semua pekerja telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin,” katanya.

Selain itu, Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa kerajaan perlu memberi suntikan fiskal tambahan sekurang-kurangnya RM45 bilion untuk pekerja, perniagaan dan kesihatan demi menyelamatkan nyawa serta mata pencarian.

“Langkah ini membantu pemulihan sektor-sektor yang telah sangat terkesan akibat PKP menyeluruh sejak 1 Jun 2021,” katanya.

Pada 8 Ogos, perdana menteri mengumumkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di seluruh negara dibenar merentas daerah dan negeri dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran yang berkuat kuasa pada 10 Ogos itu tertakluk kepada pasangan suami isteri jarak jauh untuk bertemu dan ibu bapa untuk berjumpa anak bawah 18 tahun.

Lengkap dua dos vaksin bermaksud seseorang itu melepasi tempoh 14 hari selepas menerima suntikan Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac manakala 28 hari bagi satu dos vaksin Johnson & Johnson dan Cansino.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar dakwa pemerintah cuai punca kes Covid-19 naik

SHAH ALAM, 22 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa peningkatan kes Covid-19 selain jumlah kematian yang tinggi berpunca kecuaian pemerintah.

Ketua pembangkang berkata masalah berlaku disebabkan keangkuhan pemimpin yang menganggap diri mereka serba tahu sehingga mengetepikan pandangan pihak lain.

“(Sekarang) jumlah suntikan vaksin membanggakan walaupun kita terlewat lima hingga enam bulan dari negara lain. Kita merangkak-rangkak untuk sampai tahap ini.

“Beberapa cadangan awal dah bagi. Kita minta semua rakyat divaksin satu dos dahulu selain minta benarkan klinik swasta buat vaksinasi tetapi sekarang baru nak buat selepas berbulan-bulan kita cadangkan,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebooknya semalam.

Anwar turut mendakwa tindakan bercanggah serta pertelingkahan dalam kalangan menteri menjadi punca beberapa hospital tidak mampu menampung jumlah pesakit.

“Pada 18 Julai, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang jadi berselerak macam pasar. Nak salahkan siapa? Petugas semua bertungkus lumus.

“Lihat beban van jenazah. Masalah dah rumit dan kritikal macam darurat. Punca adalah pengabaian, kelembapan vaksin setta undang-undang pilih kasih,” katanya.

Pada Mac, Anwar menyarankan kerajaan menggunakan dos kedua petugas hadapan untuk disuntik kepada orang awam sebagai langkah mencegah pandemik Covid-19.

Pakatan Harapan (PAKATAN) juga menggesa Kementerian Kesihatan serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Baksin Covid-19 membenarkan Kerajaan Negeri dan hospital swasta menjual vaksin bagi mempercepatkan proses pengendaliannya pada Mei lalu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN tolak had 80 ahli Parlimen, gesa buka perbahasan

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa supaya tiada had 80 orang ditetapkan sebaliknya semua ahli Parlimen perlu dibenarkan hadir dan berada di Dewan Rakyat pada bila-bila mesyuarat berjalan.

Itu satu daripada tiga perubahan didesak Majlis Presiden PAKATAN supaya dilaksana Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azizan Harun pada sesi Parlimen khas nanti.

Keduanya, membenarkan perbahasan penuh berasaskan usul menteri untuk semua isu yang telah dinyatakan dalam titah Yang di-Pertuan Agong.

Ia termasuk Pelan Pemulihan Negara, Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat, pelaksanaan program vaksinasi, langkah-langkah mencegah Covid-19 serta usaha memulihkan ekonomi serta menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Ketiga, Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu memutuskan sama ada beliau menjunjung penuh titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah, atau sekadar mengikut arahan Kabinet.

“Jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat merasakan beliau tidak mampu melaksana tiga perubahan ini, beliau dipelawa untuk meletakkan jawatan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan bersama itu dibuat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PAKATAN berkata keputusan kerajaan Perikatan Nasional berkenaan perjalanan sidang khas itu tidak mencapai maksud penuh titah pandangan yang dizahir Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja

“Maka jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat tetap melaksanakan keputusan-keputusan kerajaan itu, pada ketika beliau menyedari ia tidak mencapai maksud sebenar Duli-Duli Tuanku, maka Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah turut sama mengingkari titah tersebut,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN desak PM undur, kritik ‘tiada fakta jelas’ peguam negara

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pakatan Harapan (PAKATAN) mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletak jawatan perdana menteri secara terhormat.

Majlis Presiden PAKATAN berkata langkah itu perlu kerana beliau telah kehilangan majoriti selepas UMNO menarik dan menamatkan sokongan serta merta.

“Muhyiddin perlu meletak jawatan secara terhormat kerana telah hilang sokongan dan keabsahan (legitimacy) sebagai perdana menteri.

“Majlis Presiden turut berpendirian waktu ini bukan masa sesuai untuk mengadakan pilihan raya umum, pilihanraya negeri atau pilihanraya kecil memandangkan jumlah kes Covid-19 masih tinggi dan prasarana kesihatan awam semakin tertekan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat bersama oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PAKATAN turut menemplak Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun yang terus menyokong Muhyiddin tanpa mempertahankan keluhuran undang-undang.

“Muhyiddin dilantik berdasarkan sokongan ketua-ketua parti politik termasuk presiden UMNO dan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah pada 29 Februari 2020.

“Apabila ketua parti terbesar itu menarik sokongan seperti yang berlaku sekarang, maka perdana menteri hilang sokongan asas parti dan Ahli Parlimen,” katanya.

Terdahulu Idrus mendakwa Muhyiddin serta barisan jemaah menteri sedia ada masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan.

Jelasnya ketika ini kerajaan tidak mempunyai fakta jelas menunjukkan Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Semalam, sidang mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menarik balik sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat digesa ke Parlimen 19 Julai jika kerajaan tidak umum tarikh sidang

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa semua wakil rakyat termasuk kerajaan untuk ke Parlimen pada 19 Julai jika kerajaan tidak mengumumkan tarikh bersidang.

Majlis presidennya dalam kenyataan menyebut tindakan tersebut akan dibuat jika perdana menteri tidak mengumumkan tarikh persidangan Parlimen selewat-lewatnya pada Isnin ini.

“Oleh itu, sekiranya perdana menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai 2021, maka kami menggesa semua ahli parlimen sama ada pembangkang mahupun kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke parlimen pada 19 Julai 2021,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pada 16 Jun, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan sama ketika menerima menghadap speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada 29 Jun.

Sementara itu, PAKATAN berkata sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos perlu membahaskan krisis pandemik Covid-19 dan Ordinan-ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara.

Majlis presidennya berkata langkah itu untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak dan menyelesaikan masalah ekonomi serta kehidupan harian rakyat.

“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang membunuh diri dan mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN sifatkan pemulihan Muhyiddin ‘pelan mengaku kalah’

SHAH ALAM, 16 JUN: Pelan Pemulihan Negara yang melibatkan empat fasa ke arah membuka semula sektor ekonomi dan sosial hujung tahun ini ibarat “pelan mengaku kalah”, kata Pakatan Harapan (PAKATAN).

Majlis Presiden gabungan pembangkang itu menyifatkan rancangan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai strategi lengkap bagi memulihkan syarikat dan orang ramai yang terjejas.

“Ia bagaikan satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik Covid-19,” kata tiga presiden gabungan tersebut dalam kenyataan bersama sehari selepas pembentangan pada 15 Jun.

“Malah lebih mengejutkan ialah siri fasa ‘pelan’ tersebut kononnya berasaskan sains dan data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak terperinci untuk diteliti orang ramai, dan mudah termanipulasi seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini,” kata majlis tersebut.

Kenyataan ringkas itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“(Pelan) ini adalah satu pengumuman tergesa-gesa yang cuba mengalih pandangan rakyat daripada keadaan kepimpinan yang terumbang-ambing, hilang arah, dan gagal berkali-kali untuk mengawal pandemik ini dengan baik,” kata mereka lagi.

Berdepan kritikan ramai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh mulai 1 Jun, kerajaan mengumumkan pelan tersebut yang memperinci rancangan pembukaan ekonomi dan kegiatan sosial.

Setiap fasa akan beralih berdasarkan tiga petunjuk utama: jumlah purata harian kes Covid-19, jumlah katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi seluruh negara.

Fasa kedua misalnya akan dibuka jika 10 peratus penduduk menerima dua dos vaksin, purata kes harian bawah 4,000 dan penggunaan katil di UC di paras sederhana.

Dalam fasa ini, semua kegiatan sosial masih dilarang tetapi kegiatan ekonomi dibuka sedikit untuk syarikat yang dibenarkan, termasuk meningkat jumlah tenaga industri kepada 80 peratus.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN tolak Mageran, atasi isu rakyat dalam sidang parlimen

SHAH ALAM, 11 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) menolak cadangan mewujudkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi menyelesaikan isu negara terutama berkait Covid-19.

Majlis presidennya dalam kenyataan menyebut penolakan mengikut pendirian konsisten gabungan itu yang menggesa darurat ditamatkan selain Parlimen dibuka semula.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan
demokrasi yang berfungsi dengan baik dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari
penyelesaian ialah di Parlimen,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mencadangkan penubuhan Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.

Gesaan Parlimen dibuka semula beberapa kali diusulkan wakil rakyat termasuk Umno selepas darurat gagal menentukan formula terbaik bagi membendung wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Segerakan vaksin pensyarah politeknik, kolej komuniti

SHAH ALAM, 2 JUN: Kerajaan digesa mempercepat suntikan vaksin kepada pengajar politeknik dan kolej komuniti yang terdedah wabak berikutan keperluan pembelajaran secara bersemuka.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata kumpulan terbabit antara yang sering tertinggal dan tersisih sejak penularan Covid-19 dalam negara awal tahun lalu.

“Mereka juga adalah pejuang barisan hadapan dan menyumbang kesinambungan pendidikan anak-anak pasca sekolah menengah dan membangunkan potensi pelajar dalam kalangan keluarga B40.

“Mereka terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19 kerana walaupun aspek teori dijalankan secara dalam talian, sesi amali perlu dilakukan secara bersemuka bagi majoriti kursus yang ditawarkan,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan dianggotai sembilan ahli parlimen PAKATAN serta pembangkang.

Mereka antaranya Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Tampin Datuk Dr Hasan Baharom.

Kenyataan itu turut menyebut warga institusi berkenaan banyak menyumbang terhadap usaha mengekang penularan Covid-19 seperti menghasilkan sut perlindungan diri dan mengedarkan makanan.

Malah, katanya, ada politeknik dan kolej komuniti dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) seperti Politeknik Port Dickson.

“Ada juga dalam kalangan pensyarah menganggotai pasukan beruniform seperti Wataniah, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam yang banyak berkorban bergabung tenaga dengan barisan hadapan,” kata jawatankuasa itu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal kekang penularan wabak, PAKATAN gesa segera tamatkan darurat

SHAH ALAM, 27 MEI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa kerajaan menamatkan segera darurat berikutan langkah itu gagal menangani penularan wabak Covid-19.

Dalam kenyataan bersama hari ini, gabungan itu berkata keadaan yang semakin serius bukti kegagalan Perikatan Nasional (PN) meski diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar.

“Kes harian Covid-19 yang melonjak sejak darurat diisytiharkan dan Parlimen ditutup jelas menunjukkan kegagalan kerajaan PN untuk menangani wabak dengan sendirinya.

“Sekatan pergerakan kendiri politik ini sebenarnya untuk menyelamatkan PN yang kehilangan majoriti. Malangnya tanpa kebertanggungjawaban, ketelusan dan proses semak imbang telah memburukkan pandemik ini,” kata Majlis Presiden.

Kenyataan bersama itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PAKATAN turut menegaskan tempoh darurat yang sepatutnya berakhir pada 1 Ogos tidak dipanjangkan selain menggesa Parlimen bersidang bagi memulihkan demokrasi.

“Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, PAKATAN terpaksa mempersoalkan apakah kehadiran wakil kami dijadikan sebagai “pelitup muka” untuk mengiakan penggunaan kuasa darurat yang mengetepikan Parlimen,” katanya.

Pada Januari, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021.

Bagaimanapun, ia boleh ditamatkan lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa tunda beri dos kedua, tumpu lindungi ramai rakyat

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan perkutuan harus menunda pemberian dos kedua sebaliknya memberi keutamaan kepada usaha melindungi seramai mungkin rakyat negara ini dalam jangka masa singkat.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) membuat gesaan berkenaan berikutan Putrajaya didapati lambat dalam memberi vaksin walaupun menteri memberi jaminan bekalan mencukupi.

“Dengan mengakui kekurangan dos vaksin pada peringkat ini, rintangan ini boleh diatasi dengan menunda pemberian dos kedua,” menurut kenyataan semalam.

PAKATAN kesal berikutan Putrajaya berulang kali memberi jaminan Malaysia memiliki bekalan vaksin mencukupi, sebaliknya kelewatan pemberian vaksin menunjukkan sebaliknya.

“Kami amat menyedari lagi merasai kekecewaan serta keresahan majoriti rakyat kerana terpaksa menunggu untuk pengambilan vaksin langsung menghadapi risiko dijangkiti Covid-19 yang semakin tinggi.

“Kerajaan seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap menerima perubahan pesat dalam situasi pandemik terkini,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) dan Lim Guan Eng (DAP) pada 22 Mei.

PAKATAN menjelaskan kaedah menunda dos kedua turut diguna pakai United Kingdom pada November 2020 dan langkah sama juga dibuat Singapura dan India.

“Penyelidik dari Oxford University juga mendakwa pada Februari bahawa ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda 12 minggu, tindak balas antibodi dilapor lebih dua kali ganda berbanding normal,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut penyelidikan University of Birmingham mendapati pemberian Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.

“Oleh itu, kita mesti menerima hakikat ini dan menyedari bahawa ada keperluan yang sangat mendesak untuk kita melaksana strategi yang terbukti secara saintifik ini,” kata PAKATAN.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Wujud pelbagai varian, beri vaksin segera elak virus bermutasi

SHAH ALAM, 17 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa kerajaan persekutuan mempercepat proses suntikan vaksin susulan kewujudan pelbagai varian Covid-19 dalam negara.

Jawatankuasa vaksinasinya dalam kenyataan menyebut pemberian pelalian yang menurun secara drastik ketika musim perayaan Aidilfitri turut membimbangkan.

“Setelah perayaan hari raya selesai, negara harus terus berupaya untuk meningkatkan usaha vaksinasi.

“Dengan pengesanan pelbagai varian, haruslah kita proaktif dengan mempercepat vaksinasi untuk
memastikan kita tidak menyediakan persekitaran kondusif yang menyebabkan virus dapat bermutasi lebih jauh dan berganda,” kata jawatankuasa itu.

Kenyataan bersama dikeluarkan Pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Selain itu, Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kesihatan Selangor), Dr Norlela Ariffin (EXCO Kesihatan Pulau Pinang) dan S Veerapan (EXCO Kesihatan Negeri Sembilan).

Jawatankuasa tersebut turut menggesa kerajaan meningkatkan saringan Covid-19 berikutan situasi kian meruncing meski Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat di seluruh negara.

“Faktor ini adalah sebabnya pihak kerajaan harus mengutamakan dalam apa jua keadaan kedua-dua keutamaan ini (vaksinasi dan saringan) dalam peringkat ketiga PKP dan PKP Diperketatkan sehingga kita dapat mengatasi kadar penularan virus dan kesulitan ini.

“Sekiranya kita tidak dapat mengatasi masalah dengan tepat, kita mungkin hanya boleh bergantung pada strategi PKP yang bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah tetapi mempunyai beban yang besar terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banyak kes sporadik, tidak cukup saringan punca Covid-19 merebak

SHAH ALAM, 17 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa kerajaan persekutuan meningkatkan kadar saringan dan pengesahan kontak rapat bagi mencegah Covid-19 merebak.

Mengikut kenyataan, pelaksanaan saringan besar-besaran penting memandangkan sembilan daripada 10 kes antara 9 April hingga 8 Mei lalu bersifat sporadik yang bermaksud virus itu berada dalam masyarakat.

“Semakin lambat kita melakukan saringan dan mengeluarkan status positif, semakin tinggi kemungkinan mereka menghadapi simptom dan komplikasi yang lebih teruk sehingga meningkatkan risiko kematian.

“Faktor ini antara sebabnya kami menyeru kerajaan menjalankan saringan besar-besaran dalam daerah berisiko tinggi menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) untuk penyaringan cepat dan melaksanakan penelusuran kontak automatik, pengasingan cepat dan memberikan semua dukungan yang diperlukan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan berkenaan menyebut terdapat penurunan mendadak saringan seluruh negara pada hari raya pertama iaitu daripada 87,458 sehari sebelumnya kepada 83,974 orang kemudian 56,440 (raya kedua) dan 47,480 (raya ketiga).

“Kadar ini jelas menunjukkan bahawa kita tidak melakukan saringan yang mencukupi dan menyimpulkan bahawa jumlah harian mungkin tidak menggambarkan beban penyakit sebenar di negara kita,” ujar kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PAKATAN, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kesihatan Selangor), Dr Norlela Ariffin (EXCO Kesihatan Pulau Pinang) dan S Veerapan (EXCO Kesihatan Negeri Sembilan).