Categories
AGENDA NASIONAL

NGO berjaya kumpul dana RM17.8 juta untuk penduduk Palestin

KUALA LUMPUR, 20 MEI: MyAqsa Defenders (MAD) berjaya mengumpul dana berjumlah RM17.8 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia sehingga semalam yang akan disalurkan bagi tujuan kemanusiaan dan kebajikan rakyat Palestin.

MAD, yang merupakan gabungan anak muda daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan, dalam kenyataan hari ini memaklumkan dana itu akan disalur secara berperingkat dengan Fasa 1 adalah Klinik Malaysia-Al-Aqsa, Khidmat Guaman di Sheikh Jarrah, Kafalah Keluarga Miskin di Baitul Maqdis dan Gaza Emergency Relief.

“Kempen khusus pengumpulan dana daripada NGO ahli gabungan dijalankan sejak hari pertama serangan Israel.

“Hasil sumbangan menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia kepada perjuangan pembebasan isu Palestin dan kepercayaan kepada gabungan ini untuk menguruskan amanah dengan telus dan penuh integriti,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut gabungan tersebut amat komited dengan agenda tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam melaksanakan program serta projek kemanusiaan dan kebajikan di Palestin mahupun di tanah air.

“MAD mengadaptasi kerangka semak dan imbang dalam ekosistem pengurusan dan pentadbiran termasuklah mewujudkan pelan perancangan strategik sehingga tahun 2030 yang menjadi kayu ukur kelestarian impak sosial kepada masyarakat penerima manfaat di Palestin,” menurut kenyataan itu.

Antara NGO di bawah gabungan itu ialah Cinta Gaza Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysia for Syria, Al Azhar Care, Cinta Syria Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Cakna Palestin.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Wisma MBSA pancar cahaya bendera Palestin tanda solidariti

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak ketinggalan bersama-sama rakyat Malaysia dan dunia amnya bagi menzahirkan tanda solidariti mereka terhadap rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi oleh rejim Zionis.

Limpahan cahaya empat warna iaitu merah, putih, hijau dan hitam yang melambangkan bendera Palestin di Bangunan Wisma MBSA, Seksyen 14 dipasang dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam sejak Isnin (17 Mei).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad berkata pihaknya berharap dengan pemasangan lampu tersebut dapat meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia, khususnya warga Shah Alam berhubung isu yang berlaku kepada rakyat Palestin.

Shahrin berkata buat masa sekarang lampu tersebut akan terus dipasang untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kemusnahan yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap penduduk Palestin.

“Kita doakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin serta berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya ketika dihubungi Bernama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma MBSA pancar cahaya bendera Palestin

SHAH ALAM, 18 MEI: Bangunan Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini disinari cahaya berwarna bendera Palestin.

Cahaya berwarna hijau, merah, putih dan hitam dipasang sebagai solidariti terhadap rakyat negara itu yang menjadi mangsa serangan Israel.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga berkongsi gambar bangunan tersebut di Twitternya dengan tanda pagar #SavePalestine.

Menara Kuala Lumpur turut dilimpahi cahaya berwarna bendera Palestin mulai 16 hingga 22 Mei sebagai sokongan terhadap perjuangan rakyat negara itu.

Setakat ini, seramai 212 rakyat Palestin termasuk 61 kanak-kanak dan 36 wanita terkorban akibat serangan udara rejim zionis ke atas Semenanjung Gaza.

Pertempuran antara Palestin dan kumpulan ekstrem Yahudi susulan tindakan tentera Israel yang mengusir penduduk Palestin secara paksa di wilayah mereka sendiri di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Categories
EXCO SELANGOR

Solat hajat buat Palestin selepas Isyak mulai esok

SHAH ALAM, 18 MEI: EXCO hal ehwal agama mengajak umat Islam negeri ini mendoakan kesejahteraan Palestin yang sedang berdepan pertempuran maut bersama Israel.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata solat hajat, qunut nazilah dan bacaan yasin boleh dibuat di kediaman masing-masing mulai esok hingga 21 Mei selepas solat Isyak.

Beliau yang juga wakil rakyat Sungai Kandis turut menyeru masyarakat memohon perlindungan daripada jangkitan Covid-19 yang kian meningkat mutakhir ini.

“Dunia hari ini dilanda pelbagai ujian dan cabaran, ayuhlah kita bersama-sama bermunajat dan berdoa kepada Allah agar segala perkara yang berlaku pada hari ini dipulihkan segera,” tulisnya di Facebook.

Mohd Zawawi berkata solat hajat itu turut disiarkan secara langsung di Facebook rasminya.

Serangan di Palestin pada penghujung Ramadan mengorbankan ratusan penduduk termasuk kanak-kanak dan wanita manakala lebih 920 cedera.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Solat hajat, doa Malaysia iringi jihad rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Rata-rata umat Islam di Malaysia semalam bersolidariti memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara keselamatan serta kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang berjihad menentang kezaliman Israel.

Banyak solat hajat dan doa selamat dilaksanakan selepas Solat Maghrib secara serentak di beberapa negeri mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebagai tanda sokongan moral, prihatin dan kebersamaan Malaysia dengan saudara seagama di bumi Palestin.

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat hajat berjemaah bersama 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai dan petugas Istana Negara di Surau Utama Istana Negara, di sini.

Solat sunat hajat turut dilaksanakan di masjid-masjid utama termasuk Masjid Negara dan Masjid Wilayah di ibu negara serta di Masjid Putra, Putrajaya di sini, malam tadi.

Solat hajat dua rakaat yang diakhiri dengan bacaan Qunut Nazilah serta doa selamat itu, amat menyentuh hati ahli jemaah yang hadir, malah ada antara jemaah di beberapa masjid di sini dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika mengaminkan doa.

Di PERAK, tinjauan Bernama di Masjid Al-Ansar, Bandar Meru Raya, Ipoh, mendapati kira-kira 40 anggota jemaah menunaikan solat hajat dan doa selamat untuk memohon kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang berjuang menentang kekerasan dan penindasan Zionis itu.

Jemaah di situ dibenarkan masuk ke pekarangan masjid seawal pukul 7 malam dan pintu pagar ditutup sejurus azan dilaungkan bagi mengehadkan jumlah kapasiti di dalam masjid.

Di SARAWAK, sebahagian besar masjid dan surau di negeri itu termasuk Masjid Bandaraya Kuching melaksanakan solat hajat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, agar solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin dilakukan di seluruh negara.

Tinjauan di Masjid Bandaraya Kuching, mendapati bukan sahaja solat sunat hajat diadakan malah ahli jemaah yang hadir turut mendengar tazkirah ringkas berkenaan Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam.

Di JOHOR BAHRU, kira-kira 200 anggota jemaah menunaikan solat sunat hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta bacaan surah Yasin di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn, di sini, untuk mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam di Palestin.

Di PULAU PINANG pula, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengeluarkan pekeliling kepada 800 masjid dan surau di negeri itu melaksanakan ibadah sama.

Di PAHANG, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah antara 50 anggota jemaah yang menunaikan solat hajat dan doa selamat memohon Allah melindungi serta meringankan penderitaan rakyat Palestin di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Selain itu, Kerajaan negeri Pahang turut menyumbangkan RM250,000 kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan serangan rejim Zionis Israel sehingga mengorbankan dan mencederakan ratusan individu tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sejak minggu lepas, berlaku siri keganasan Israel terhadap Palestin selepas pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin,

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa pada 7 Mei diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza, dan sehingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, konflik itu bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kumpul dana RM1 juta bantu penduduk Palestin

SHAH ALAM, 17 MEI: Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta setakat ini bagi membantu penduduk Palestin yang terkesan ekoran kekejaman rejim Zionis.

Presidennya berkata kutipan dana dikirim terus kepada Viva Palestina Malaysia dan My Aqsa Defenders untuk memelihara kebajikan rakyat di wilayah berkenaan khususnya daripada aspek pendidikan, ekonomi dan keselamatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjunjung kasih kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V kerana bermurah hati memberi sedikit sumbangan bagi melengkapkan misi berkenaan.

“Saya minta rakan-rakan meneruskan usaha membantu langsung kepada Viva Palestina Malaysia dan My Aqsa Defenders supaya pengurusan dana lebih terkawal dan tiada kemungkinan ketirisan.

“Saya tekankan perkara ini bagi memastikan dana itu dikendali secara telus dan bertanggungjawab. Saya harap saudara dapat bantu salurkan mengikut keperluan serta keupayaan masing-masing kepada badan tersebut,” katanya menerusi siaran video dimuat naik di laman Facebooknya semalam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perkembangan di Gaza menyaksikan kebiadaban berterusan sehingga mengakibatkan jumlah kematian bertambah dengan anak-anak kecil menjadi mangsa.

Menurut Anwar, negara-negara Arab yang lemah dan bisu serta hipokrasi negara Barat menyebabkan Israel lebih bongkak, sombong serta berani melakukan penindasan terhadap rakyat di Gaza dan Baitulmaqdis.

“Kita mampu mengutuk, mengutip dana dan mendoa kepada Allah SWT tetapi kita harus mendesak pemerintahan masing-masing termasuk Malaysia untuk berbuat sesuatu yang lebih bermakna atas nama Islam serta kemanusiaan.

“Walaupun saya akui di Barat ada suara lebih lantang sekarang yang meminta supaya keadilan dan kemanusiaan dipelihara…tidak mempertahankan sikap biadab dan kezaliman yang terus menimpa rakyat Palestin,” katanya lagi.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh melayari laman sesawang https://www.vpm.org.my/ dan www.pedulipalestin.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong dukacita Israel serang Masjid Al-Aqsa, rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas pencerobohan serta serangan ganas tentera rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin pada hari-hari terakhir bulan Ramadan sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.

Sehubungan itu, lanjutan kepada perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin semalam, Seri Paduka menzahirkan sokongan supaya Malaysia menerajui serta bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim zionis Israel ke atas Palestin.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diadakan bagi membincangkan isu keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadualkan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.

Sejak itu, dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin terkorban dan beratus-ratus lagi cedera setakat ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan dan sikap hormat-menghormati di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

Berikutan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara itu.

“Ini juga adalah selari dengan pendirian dan prinsip kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka, selaras dengan undang-undang dan inisiatif di peringkat antarabangsa,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau serta rakyat di negara ini mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat maghrib esok, bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.

“Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing supaya rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Israel serang Palestin: Anwar gesa Putrajaya, OIC suarakan bantahan

SHAH ALAM, 12 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk keras tindakan rejim Israel menyerang penduduk Palestin di Masjid al-Aqsa pada Sabtu lalu.

Ketua pembangkang menggesa Putrajaya dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengggunakan apa sahaja kuasa dan ruang yang ada bagi menyatakan bantahan terhadap serangan itu.

“Saya menggesa warga yang cintakan keadilan dan kesaksamaan untuk kembali menyikapi konflik ini dengan adil dan bertanggungjawab.

“Isu ini tidak hanya isu orang Islam, malah krisis kemanusiaan yang menjangkau persoalan ras ataupun agama,” katanya dalam kenyataan.

Anwar yang juga presiden KEADILAN berkata tragedi di Semenanjung Gaza bukan hanya soal diskriminasi malah usaha penghakisan hak asasi penduduk Palestin dengan pembantaian etnik sebagai matlamat.

“Senario terbaru ini juga terus mempamerkan sikap majoriti negara Islam yang lesu dan bisu dalam menyatakan yang hak dan batil,” katanya.

Pada Sabtu lalu, polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah sehingga mencederakan sekurang-kurangnya 200 penduduk Palestin yang menunaikan solat terawih.

Tindakan itu mendorong Hamas yang menguasai Tebing Gaza dan pejuang Palestin melancarkan serangan roket sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel itu.

Sebagai balasan, Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada malam Selasa sehingga 20 orang awam terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak dan seorang komander kanan Hamas serta lebih 65 lagi cedera.

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Masyarakat dunia digesa tekan Israel henti keganasan di Baitulmaqdis

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali mendesak masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencerobohan terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Tegasnya, serangan ke atas jemaah di Masjid Al-Aqsa dan mengusir rakyat Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, di Baitulmaqdis Timur, jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Setiap hari, apa yang berlaku di Baitulmaqdis adalah Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.

“Kami menuntut masyarakat antarabangsa serius tangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Walid juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan kekejaman Israel.

“Mereka mesti meminta masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menggunakan hubungan dua hala mereka dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memberi tekanan kepada Israel.

“Hanya AS dan EU yang dapat menekan Israel untuk menghentikan serangan,” katanya.

Menurut laporan media, sejak beberapa hari lalu rakyat Palestin di Baitulmaqdis bersama penduduk di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah mengadakan tunjuk perasaan di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Baitulmaqdis Timur, yang membenarkan pengusiran tujuh keluarga Palestin dari kediaman mereka di kawasan kejiranan itu dan menyokong penempatan oleh pendatang Israel sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat malam polis Israel bertindak mengusir jemaah di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan Palestin cedera dalam serangan itu dan tindakan zionis itu dikecam masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB adakan mesyuarat bincang konflik di Baitulmaqdis

NEW YORK, 10 MEI: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin untuk membincangkan ketegangan yang meningkat di Timur Baitulmaqdis, lapor Agensi Anadolu (AA).

Mesyuarat tertutup itu dijadual bermula 9 pagi waktu tempatan (1300 GMT) untuk membincangkan krisis yang mula tercetus apabila penduduk Palestin diusir dari rumah mereka di kawasan Sheikh Jarrah oleh pendatang Israel.

Keadaan itu menyebabkan rakyat Palestin membantah di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Timur Baitulmaqdis, yang meluluskan permohonan mengusir tujuh keluarga Palestin sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat polis Israel mengusir jemaah yang berada di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan rakyat Palestin cedera dan insiden itu menerima kecaman seluruh dunia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Israel diberi amaran tidak ceroboh tanah Palestin

NEW YORK 25 JUN: Israel diberi amaran bahawa rancangan Zionis untuk memasuki tanah milik Palestin menjejaskan usaha damai.

Setiausaha Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata, penyambungan memasuki tanah Palestis itu bakal memusnahkan prospek damai pada masa hadapan dan mengancam kestabilan serantau, lapor AFP.

Dalam satu kenyataan bersama tujuh negara Eropah, Belgium, Britain, Estonia, Perancis, Jerman, Ireland dan Norway memberi amaran bahawa usaha penyambungan oleh Israel itu merosakkan prospek mengembalikan proses damai Asia Barat.

“Di bawah undang-undang antarabangsa, penyambungan ini akan menjejaskan hubungan rapat kami dengan Israel dan tidak akan diiktiraf,” kata tujuh negara berkenaan.

Seminggu sebelum Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyanhu dijangka memulakan proses penyambungan bagi memasuki tanah Palestin itu, sidang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memberikan peluang terakhir untuk komuniti antarabangsa menggesa beliau mengubah keputusan.

“Saya menggesa Israel melupakan rancangan itu,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam persidangan maya.

Penyelaras PBB untuk Asia Barat, Nikolai Mladenov, berkata rancangan berkenaan mengubah situasi hubungan Israel – Palestin.

“Ia berisiko merosakkan usaha proses damai selama lebih suku abad oleh komuniti antarabangsa, yang mahu mewujudkan masa depan dan keamanan untuk kehidupan rakyat Palestin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah rakyat doa sejahtera untuk Palestin

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kesejahteraan buat rakyat Palestin yang terus ditindas rejim Israel.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan rasa sangat prihatin dan sokongan kepada rakyat Palestin yang terus dijajah dan ditindas oleh rejim Israel itu.

Dalam kenyataan hari ini, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka juga menyokong usaha Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa yang jelas menentang pelan rejim Israel untuk mengilhakkan sebahagian wilayah Palestin.

“Seri Paduka Baginda menyokong pendirian berprinsip dan tidak berbelah Kerajaan Malaysia dalam mengecam dan menolak pelan rejim Israel untuk mengilhakkan (annex) sebahagian tanah-tanah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967 di Tebing Barat, termasuk Lembah Jordan, seperti yang diumumkan oleh rejim Israel sebelum ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Seri Paduka berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut menitahkan masjid dan surau di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT.

Katanya Seri Paduka menzahirkan harapan agar seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat-menghormati, di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

“Seri Paduka Baginda percaya perjuangan ini juga dapat dicapai untuk rakyat Palestin sekiranya mereka bebas daripada penjajahan rejim Israel dan mereka diberi sokongan serta hak menubuhkan sebuah negara yang merdeka di wilayah-wilayah Palestin yang ditakluki Israel sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis,” katanya.

– BERNAMA