Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mahathir gesa sokongan kolektif ASEAN terhadap hak Palestin

KUALA LUMPUR, 29 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa negara ASEAN supaya memperluaskan kesatuan barisan dalam menyokong hak rakyat Palestin.

Perdana Menteri interim berkata negara anggota ASEAN perlu terus bekerjasama bukan sahaja dalam pertumbuhan ekonomi, politik, etnik dan budaya tetapi juga dalam usaha menegakkan keadilan dan keamanan bagi mereka yang tertindas.

“Suara kolektif kami sepatutnya menyerlah lebih daripada sekadar pembangunan ekonomi tetapi juga harus memperluas kesatuan barisan dalam menyokong hak rakyat Palestin,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Persoalan Palestin ‘Sokongan Asia Tenggara Kepada Hak Palestin’ di sini semalam.

Dr Mahathir berkata semua platform yang disediakan, baik ASEAN dan bukan ASEAN, harus digunakan untuk terus menyuarakan kebimbangan dan menyatakan kemarahan terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan dan kejam oleh rejim Tel Aviv terhadap rakyat Palestin.

“Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab ini diperkuatkan lagi apabila negara berkuasa yang telah menonjolkan diri sebagai pembela keadilan dan kebebasan memilih untuk berdiam ketika kekejaman dilakukan.

“ Kita tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih di mana ketidakadilan melampau berlaku,” katanya.

Dr Mahathir sekali lagi mengutuk rancangan perdamaian, ‘Deal of of the Century’ yang diumumkan oleh Amerika Syarikat bagi menyelesaikan konflik Palestin-Israel.

“Pengumuman unilateral yang disokong dan dihasut oleh Israel tanpa sebarang percubaan untuk mengadakan dialog atau rundingan dengan wakil Palestin dari Tebing Barat atau Gaza adalah satu penghinaan terhadap usaha antarabangsa mencari penyelesaian kepada krisis Palestin-Israel yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata rancangan damai itu mengetepikan isu-isu penting untuk penyelesaian, antaranya, menghapuskan hak pelarian Palestin kembali ke tanah air selepas terpaksa meninggalkan rumah masing-masing ketika Perang Arab-Israel 1948.

Dr Mahathir menegaskan dasar luar Malaysia terhadap Palestin kekal sama sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Kami akan sentiasa menyokong perjuangan Palestin,” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia tetap berpendirian yang penubuhan negara Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin adalah diterima.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan lupakan sejarah penderitaan Palestin – Dr Wan Azizah

PETALING JAYA, 10 FEB: Ketidakadilan, keganasan dan penindasan tidak ada tempat dalam tamadun moden dan generasi masa kini serta masa hadapan perlu komited, dalam menjadikan dunia ini sebagai sebuah tempat yang lebih baik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, berkaitan Palestin, Malaysia sentiasa menganggap Palestin dan rakyatnya seperti rakyat sendiri, dan telah memberikan bantuan berterusan dalam pelbagai bentuk kepada Palestin sejak Malaysia merdeka.

“Ada masanya, kami rasa tidak berdaya apabila melihat kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Persidangan ini bertindak sebagai satu platfom untuk kita semua bersama-sama dan membincangkan serta merangka satu pelan yang praktikal dan strategik.

“Ia juga membantu kami menggerakkan bantuan, dan sokongan daripada orang ramai, institusi dan kerajaan di seluruh dunia, untuk membawa keamanan dan keadilan kepada Palestin,” kata Dr Wan Azizahpada Persidangan Liga Ahli Parlimen Antarabangsa Al-Quds (LP4Q) kali ketiga di sini semalam.

Dr Wan Azizah menyatakan antara mereka yang paling lantang dalam mengkritik Israel adalah dalam kalangan orang Yahudi sendiri.

“Ini termasuklah saintis Albert Einstein, ahli akademik Noam Chomsky dan penulis Alfred Lilienthal. Antara aktivis yang mengerakkan ‘Women Boat for Gaza, termasuklah Zohar Regev dan Yudit Ilany yang adalah rakyat Israel.

Wan Azizah turut menceritakan pengalaman bertemu Zohar Regev, rakyat Israel yang menyertai Boat for Gaza dan sebelum ditahan pihak berkuasa Israel.

“Kita boleh lihat isu Palestin bukanlah hanya isu seorang Palestin atau Arab, tetapi telah menjadi satu usaha yang dijuarai dan sokong oleh masyarakat yang mempunyai kesedaran,” tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam negara-negara menggerakkan usaha ini untuk membawa keadilan kepada Palestin, amat penting sekali generasi muda tidak lupakan penderitaan yang menimpa rakyat Palestin.

“Satu usaha boleh hilang momentumnya apabila generasi muda tidak faham kenapa dan bagaimana ia bermula.

“Mungkin telah tiba masanya kita memperingati apa yang berlaku kepada Palestin dengan menubuhkan sebuah muzium An Nakba.

Beliau berkata muzium itu akan memberikan kefahaman kepada orang ramai sisi buruk sikap manusia dan kepentingan untuk tidak membenarkan ketidakadilan, berulang pada masa hadapan.

“Selain mendidik masyarakat mengenai Palestin, ia juga akan mendidik kita mengenai tragedi seperti ketika Perang Bosnia, genosida Bosnia, genosida Rwanda, pembunuhan beramai-ramai Sook Ching dan Rabaa dan tragedi-tragedi lain yang telah berlaku tidak berapa lama dahulu.

Persidangan dua hari bermula semalam dianjurkan LP4Q di bawah naungan Parlimen Malaysia, dengan sokongan beberapa pertubuhan masyarakat sivil termasuklah Pergerakan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

Malaysia telah diberikan penghormatan menjadi tuan rumah persidangan kali ini buat pertama kali, selepas dua persidangan sebelum ini diadakan di Istanbul, Turki pada 2016 dan 2018.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usaha siasat jenayah perang di Palestin lama tertangguh

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sebarang usaha​​​ untuk menyiasat dakwaan jenayah perang di wilayah Palestin sudah lama tertangguh, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata Israel seharusnya berdepan pengadilan berikutan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Israel harus dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana membunuh orang, mencuri wilayah orang lain, membina penempatan di tanah orang lain. Semua ini adalah jenayah, ” katanya pada sidang akhbar pada hari terakhir Sidang Kemuncak KL 2019 di sini hari ini.

Perdana menteri ditanya mengenai laporan bahawa ICC bersedia untuk menyiasat jenayah perang yang didakwa berlaku di wilayah Palestin.

Dr Mahathir, Pengerusi Sidang Kemuncak KL, berkata Israel telah menahan kapal misi kemanusiaan yang disertai warga Malaysia di perairan antarabangsa.

“Tak boleh buat begitu dalam kawasan perairan antarabangsa. Jika berada dalam kawasan perairan mereka, ya, mereka boleh ambil tindakan, tapi kita di kawasan perairan antarabangsa.

“Mereka datang dengan bot-bot bersenjata, mereka tahan kapal kita, bawa ke pelabuhan mereka, dan sampai sekarang kita tidak tahu sama ada bantuan buat Gaza sampai atau tidak,” katanya dan menambah tindakan Israel itu turut mengakibatkan kematian.

“Tapi seluruh dunia bukan sahaja menutup sebelah mata, mereka menutup kedua-dua mata, tutup mulut mereka, dan telinga mereka juga,” kata Dr Mahathir yang memang terkenal dengan suara lantang mengecam keganasan Israel.

Penderitaan rakyat Palestin diketengahkan di Sidang Kemuncak KL yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Menjawab satu soalan berhubung sekatan, Dr Mahathir berkata Malaysia secara umumnya tidak percaya dengan tindakan sedemikian kerana ia ​​​​turut memberi kesan kepada negara lain, selain daripada negara yang disasarkan.

Mengambil contoh sekatan yang dikenakan terhadap Iran, Dr Mahathir berkata Malaysia juga menerima kesan daripada tindakan itu kerana Iran adalah rakan dagang yang besar kepada negara.

“Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh sebuah negara yang berkuasa. Saya ingin mengenakan sekatan terhadap (Presiden Amerika) Trump, tapi tak boleh, sebab saya insan kerdil (tidak berkuasa) tetapi dia boleh kenakan sekatan terhadap semua negara, dan kita yang menderita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Malaysia-Turki perlu kerjasama pastikan isu Palestin diketengah – Tun M

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia dan Turki seharusnya berkerjasama memastikan isu Palestin terus diketengahkan di sebalik usaha pihak tertentu untuk cuba melenyapkan perkara berkenaan.

Dr Mahathir berkata, hanya dengan cara itu, dunia akan menghargai perjuangan berdekad rakyat Palestin menentang ketidakadilan yang dihadapi mereka.

“Ada cubaan untuk melenyapkan sepenuhnya isu ini seolah-olah ianya tidak pernah berlaku. Bagaimanapun hakikatnya, terlalu banyak ketidakadilan dilakukan ke atas penduduk Palestin,” katanya dalam temuramah dengan agensi berita Anadolu sempena lawatan empat harinya ke Turki.

Sambil menegaskan kembali kenyataan yang dibuat beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2018, Dr Mahathir berkata punca sebenar keganasan dalam isu Israel-Palestin adalah pembentukan Israel secara haram.

Perdana Menteri berkata, tanah rakyat Palestin dirampas pada masa itu, tanpa memperdulikan penduduk yang tinggal di situ dan tanpa mendapat sebarang pandangan awam berhubung perkara berkenaan.

“Ketika itu, tanah dirampas dan diserahkan kepada Israel tanpa sebarang pertimbangan terhadap perasaan dan pemikiran penduduk yang tinggal di kawasan Palestin,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Israel sekurang-kurangnya perlu membenarkan penduduk Palestin yang menjadi pelarian ketika itu, kembali untuk mendapatkan semula harta benda mereka atau mempunyai dua kerakyatan serta menghentikan pembinaan penempatan di wilayah Palestin.

“Ini yang kita mahu… dan jika kita tahu di sebalik perkara ini, perkara yang mencetuskan keganasan?.

“Jika kita menangani perkara ini dan mengambil tindakan menghentikan ketidakadilan terhadap Palestin, saya fikir pasti tidak akan banyak berlaku keganasan atau mungkin tiada sebarang keganasan langsung di dunia,” katanya.

Dr Mahathir turut berkata, media juga tidak benar-benar mengetengah atau menceritakan bagaimana tanah Palestin dirampas untuk membina negara Israel atau bagaimana Israel berulang-ulang kali mencabuli undang-undang antarabangsa.

“Kelihatan ada perjanjian dengan media supaya tidak menceritakan masalah sebenar rakyat Palestin. Perkara ini amat jarang diketengahkan.

“Perkara utama yang kami fikir kami harus sentiasa tekankan adalah punca sebenar keganasan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai apa yang dikatakan sebagai ‘perjanjian paling hebat abad ini’ yang diumumkan Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata, idea berkenaan hanya untuk menyerlahkan ‘masalah mereka di satu pihak’ dan ‘mewajarkan apa saja yang mereka lakukan.’

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia kekal pendirian kutuk keganasan Israel terhadap Palestin

PUTRAJAYA, 22 MEI: Malaysia kekal dengan pendiriannya mengecam keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan menyifatkan sokongan kepada perjuangan Palestin sebagai tanggungjawab moral.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengulangi pendirian Malaysia akan sentiasa berdiri teguh di belakang rakyat negara itu.

“Kita tidak akan berdiam diri selagi kita melihat keganasan dan ketidakadilan rejim Israel,” katanya pada Majlis Utama Iftar kesembilan bersama dengan komuniti Palestin di Malaysia, anjuran Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), di sini malam ini.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat Malaysia sedar dengan penderitaan rakyat Palestin dan turut mengambil bahagian dalam usaha mengetengahkan perjuangan rakyat negara itu di landasan antarabangsa.

“Rakyat Malaysia turut bersama dengan mereka yang sependapat dari serata negara di seluruh dunia memprotes kekejaman Israel. Rakyat Malaysia menyertai flotila dan konvoi darat untuk memecahkan pengepungan di Gaza, di samping menyertai lain-lain protes, semuanya dalam usaha mengingatkan komuniti antarabangsa mengenai nasib rakyat Palestin.

“Kebanyakan usaha ini belum membuahkan hasil yang memadai, namun ia menjadi peringatan kepada rejim Israel dan negara besar yang menyokongnya, bahawa kita tidak akan menutup mata terhadap ketidakadilan yang ketara ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia juga tidak akan berdiam diri terhadap hipokrasi negara asing dalam urusan mereka dengan negara Palestin, dan sokongan mereka yang berterusan terhadap jenayah kemanusiaan diamalkan Israel.

“Saya sudah berulang kali katakan sebelum ini, satu-satunya peluang untuk mencapai keamanan di dunia ini adalah dengan menyelesaikan isu berkaitan Palestin.

“Bagi menyelesaikannya, komuniti antarabangsa perlu mencari penyelesaikan kepada masalah rakyat Palestin yang menjadi pelarian di tanah air sendiri, mengembalikan tanah yang dirampas Israel secara tidak sah, hentikan penaklukan dan pembunuhan oleh tentera Israel, dan benarkanlah rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata, selagi isu itu tidak diselesaikan, dan rakyat Palestin tidak diberikan keadilan, rantau Timur Tengah akan terus berada dalam konflik, yang melahirkan keganasan serta gerakan militan, yang akan merebak ke serata dunia.

PUTRAJAYA, 22 Mei — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Berbuka Puasa Tahunan Kali Kesembilan Bersama Masyarakat Palestin di Malaysia di Dewan Sri Endon Puspanitapuri hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Keganasan dan gerakan militan berpunca daripada keganasan negara yang dilakukan oleh Israel, kenyataan yang sengaja tidak diendahkan atau diketepikan oleh negara kuasa besar barat,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata hari ini juga negara yang bertanggungjawab mewujudkan Israel, masih membawa kerosakan dengan menghadiahkan Jerusalem kepada Israel dengan mengisytiharkan kota itu sebagai ibu negeri Israel.

“Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia setiap hari. Penempatan israel dibina setiap hari dan rakyat Palestin dinafikan akses kepada tanah mereka sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata, PCOM komited kepada perjuangan bagi membebaskan Palestin, dan hari ini ia memainkan peranan penting dalam membina persefahaman merentasi sempadan antara Palestin dan Malaysia, meningkatkan kesedaran mengenai isu Palestin, mengajak para pegawai dan parti politik Malaysia untuk mengembleng sokongan politik terhadap perjuangan menuntut hak rakyat Palestin.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia tawar biasiswa kepada pelajar Palestin

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kerajaan memutuskan untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar dari Palestin untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah di 12 universiti ternama, di Malaysia.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Puspanitapuri, di sini sejurus selepas majlis Iftar anjuran Pertubuhan Kebudayaah Palestin Malaysia (PCOM).

Dr Mahathir berkata, biasiswa bernilai RM11.48 juta itu akan ditawarkan menerusi PCOM.

Hadir sama isteri kepada perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; bekas pengerusi Hamas, Khalid Meshaal dan Pengerusi PCOM, Muslim Abu Umar.

Antara 12 universiti terbabit ialah Albukhary International University, Mahsa University, Kolej Universiti Islam Perlis, Multimedia University, UCSI University, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional, Sunway University, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia.

Ia adalah inisiatif Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia teruskan bantuan untuk rakyat Palestin

GEORGE TOWN, 12 MEI: Malaysia akan meneruskan bantuan dan sumbangan untuk umat Islam di Palestin yang terjejas dalam serangan rejim Zionis Israel di Gaza sejak awal bulan ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata, awal tahun ini Kerajaan Malaysia menghantar bantuan peralatan perubatan bernilai RM1.5 juta ke hospital-hospital di Gaza.

“Kita memang selalu bagi bantuan melalui pertubuhan bukan kerajaan dan melalui tabung kemanusiaan. Kita akan berhubung dengan Kedutaan Palestin di Malaysia dan sekiranya perlu sumbangan, insya-Allah kita akan salurkan kepada mereka.

“Bantuan peralatan perubatan adalah satu daripada sumbangan terbesar kita. Kita juga cuba untuk memberi bantuan dari segi peralatan kepada sekolah-sekolah di sana, ini yang sedang kita giatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia Pulau Pinang, di sini malam ini.

Marzuki berkata, kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu itu terutama ketika umat Islam di Palestin sedang menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Memang kita mengecam sama sekali serangan tersebut terutama di dalam bulan Ramadan tetapi Israel menggiatkan usaha mereka untuk menghancurkan Palestin.

Ini adalah satu daripada usaha yang mana kita rakyat Malaysia akan berdiri teguh di belakang Palestin mengecam sekejam-kejamnya perkara yang dilakukan Israel (ke atas Palestin),” katanya.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Seorang maut, 30 cedera di Semenanjung Gaza

 

GAZA, 11 MEI: Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan Palestin terbunuh dan 30 yang lain cedera pada Jumaat semasa bertempur dengan tentera Israel yang ditempatkan di sempadan antara Semenanjung Gaza dan Israel, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qedra, memberitahu pemberita mangsa Abdulla Abdel Aal, 24, dari bandar Rafah meninggal dunia akibat kecedraan parah di perut selepas ditembak tentera Israel.

Sementara itu, katanya semua mangsa yang cedera termasuk anggota paramedik hanya mengalami luka ringan.

Pada Jumaat petang ratusan penunjuk perasaan Palestin menuju ke kawasan antara timur Gaza dan Israel sebagai protes terhadap pelan damai yang akan diumumkan Amerika Syarikat.

Terdahulu, kementerian itu berkata tentera Israel membunuh kira-kira 304 rakyat Palestin dan mencederakan 17,301 yang lain, termasuk 3,544 kanak-kanak dan 1,168 wanita, dalam perhimpunan mingguan Gerakan Pulang Besar-besaran atau Great March of Return.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Tindakan Israel biadap – Mufti Wilayah Persekutuan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MEI: Tindakan tentera Israel menyerang penduduk Gaza dengan bedilan peluru ketika ambang Ramadan dianggap biadap, kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia merupakan tindakan terkutuk, biadap dan tidak boleh diterima oleh umat Islam.

“Kami berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT semoga diberikan kekuatan dan ketabahan kepada penduduk Gaza. Semoga kabus hitam ini berlalu pergi,” katanya menerusi catatan di instagramnya, hari ini.

Sementara itu, AFP melaporkan seramai 23 maut, iaitu masing-masing 19 rakyat Palestin dan empat penduduk Israel, dalam beberapa siri serangan roket yang dilancarkan tentera Israel dan pejuang di wilayah dikuasai Hamas.

“Secara keseluruhannya, 19 rakyat Palestin terkorban dalam serangan yang dilancarkan oleh tentera Israel ke wilayah berkenaan,” kata Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Katanya, seorang wanita yang sarat mengandung dan bayi berusia empat bulan adalah antara mangsa yang maut dalam serangan itu.

Namun, tentera Israel enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan.

Categories
GLOBAL

Gaza tenteram jika Israel henti serangan – Hamas

GAZA, 6 MEI: Ketenteraman di Semenanjung Gaza hanya boleh diwujudkan andai tindakan Israel menyerang penunjuk perasaan Palestin dapat dihentikan, lapor agensi berita Anadolu memetik pemimpin Hamas, semalam.

“Lebih banyak Israel menyerang bertambah kuat tindak balas penduduk Palestin,” kata Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan bertulis.

“Ketenangan dapat dipulihkan hanya selepas menghentikan pencerobohan Israel terhadap Semenanjung Gaza dan melaksanakan gencatan senjata,” tambahnya.

Ujarnya, rakyat Palestin yang dikepung di Semenanjung Gaza selama lebih 12 tahun hanya mahu menuntut hak mereka, sebagaimana termaktub dalam undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

Sejak Sabtu, 25 orang Palestin termasuk dua wanita hamil dan dua bayi terkorban, manakala lebih 100 yang lain cedera akibat serangan udara Israel.

Keganasan memuncak di semenanjung itu apabila empat Palestin termasuk seorang remaja terbunuh dan 51 orang cedera selepas tentera Israel menyerang kubu Hamas pada Jumaat.

— BERNAMA

 

 

Categories
GLOBAL

Palestin gesa sokongan antarabangsa bantu tahanan di Israel

RAMALLAH, 17 APRIL: Penduduk Palestin menyambut hari tahanan kebangsaan hari ini dengan menzahirkan sokongan kepada rakyat negara itu yang ditahan di penjara Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Mereka menggesa sokongan antarabangsa diberikan kepada tahanan yang berdepan layanan buruk dan situasi pemenjaraan yang tidak berperikemanusiaan.

Kementerian Luar Palestin menggesa Pihak-Pihak Berkontrak Tinggi kepada empat konvensyen Geneva supaya memikul tanggungjawab perundangan dan memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa dengan menyediakan perlindungan kepada rakyat Palestin, terutama kanak-kanak.

Kementerian itu juga menyeru alangkah sewajarnya diambil terhadap Israel, sebagai kuasa yang menduduki, untuk memaksanya bertanggungjawab ke atas jenayah dan pencabulannya yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

Menurut statistik terkini dikeluarkan Kelab Tahanan Palestin (PPC), terdapat 5,700 rakyat Palestin di penjara Israel, termasuk 250 kanak-kanak, 47 wanita dan 500 orang di bawah tahanan pentadbiran.

PPC menyatakan dalam laporan itu bahawa layanan buruk Israel terhadap tahanan rakyat Palestin adalah “serius dan pencabulan yang sistematik ke atas undang-undang antarabangsa,” sambil menambah Israel mengabaikan perbicaraan adil yang selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.

Ia menggesa komuniti antarabangsa agar “segera campur tangan bagi memenuhi kewajipan perundangan dan obligasi etikanya kepada Palestin serta memaksa Israel bertanggungjawab terhadap jenayah hariannya.”

Ia berkata jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang ditahan sejak 1967 mencecah sejuta orang sambil menambah bahawa “kecuaian perubatan sistematik” Israel terhadap banduan menyebabkan kematian 218 warga Palestin dalam tahanan sejak 1967.

Majlis Kebangsaan Palestin, yang dianggap sebagai parlimen Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), telah mengisytiharkan 17 April sebagai hari tahanan kebangsaan sejak 1974, hari yang menyatukan usaha bagi membantu perjuangan tahanan untuk mendapatkan kebebasan. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jemaah sebak doa lindungi Palestin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 APRIL: Suasana hiba menyelubungi Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, malam tadi ketika imam membacakan doa seusai solat hajat sempena program Munajat Untukmu Gaza.

Program bersama Majlis Bandaraya Shah Alam dengan kerjasama Pertubuhan Asatizah Care, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah Selangor dan Amal Relief Malaysia itu meruntun hati kira-kira 500 jemaah yang turut serta menunaikan munajat berkenaan.

Ia antara lain memohon Allah melindungi rakyat Palestin di Gaza susulan penindasan rejim Israel yang melancarkan serangan ke atas negara berkenaan dan menambah bilangan tentera mereka di kawasan sempadan sebagai tindak balas pelancaran oleh Hamas.

Pengarah Program, Azrul Hakim Suradi berkata, menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk bersama berganding bahu membantu saudara di Gaza yang menjadi mangsa serangan tragis regim Israel.

Katanya, lebih menyayat hati, serangan yang sudah beberapa kali berlaku di negara berkenaan bukan sahaja memusnahkan semua harta benda, bahkan menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Kita membantu masyarakat Islam di Palestin sekadar yang mampu dengan dana yang dikutip dan lebih penting iringan doa akan sentiasa bersama mereka memandangkan kita tidak mampu untuk pergi ke sana.

“Pembabitan pertubuhan badan bukan kerajaan termasuk orang ramai dalam program ini membantu kita meneruskan misi membantu masyarakat Islam di sana,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, aturcara majlis dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah disusuli solat hajat perdana dan munajat serta ucapan daripada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Majlis turut diselingkan dengan deklamasi sajak bertajuk ‘Untukmu Gaza’ daripada Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan persembahan dua buah lagu dendangan Salam Relief Buskers.

Antara pimpinan yang hadir ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus; EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri, Ir Izham Hashim serta Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi termasuk wakil pemimpin Hamas dari Gaza, Brother Monar Salim

Dalam majlis sama, Tabung Kemanusiaan Untukmu Gaza turut dilancarkan dengan jumlah kutipan setakat ini mencecah RM20,000.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun RHB Islamic Bank Berhad (26262500005058).