Categories
AGENDA JENAYAH

Lahad Datu selamat, tiada petunjuk 10 lelaki bersenjata susup masuk

LAHAD DATU,  4 FEB: Tiada sebarang petunjuk ditemukan berhubung dakwaan sekumpulan lelaki bersenjata warga asing menyusup masuk ke Lahad Datu melalui perairan Long Patau, Tambisan pada 28 Jan lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah.

Beliau berkata pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah menjalankan tindakan dari sudut risikan dan penyiasatan berkaitan perkara itu.

“Namun begitu, polis bersama pasukan keselamatan lain sentiasa memberikan perhatian mengenai keselamatan di pantai timur Sabah dan Sabah amnya daripada sebarang ancaman luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Idris dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang mengenai tahap keselamatan di negeri ini.

Menurut sumber, Bernama difahamkan seorang lelaki mendakwa melihat lebih 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng serta bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan pada minggu lepas.

Lelaki berkenaan juga mendakwa kesemua individu itu dipercayai warga Filipina berdasarkan perbualan menggunakan bahasa Suluk.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Hikmah Covid-19 kurangkan ancaman keganasan

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Pandemik Covid-19 secara tidak langsung mengurangkan ancaman kegiatan keganasan dalam negara, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman DCP Normah Ishak.

Beliau berkata keadaan tersebut dibuktikan selepas bermula awal 2020 menyaksikan jumlah penurunan dalam aktiviti keganasan menerusi penglibatan langkah pencegahan dan pemantauan berterusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM melihat kepada aktiviti berkenaan yang kekal stabil dan berada di paras yang mampu dikawal berikutan wabak Covid-19.

“Keadaan wabak yang melanda negara itu dalam masa sama memberikan kelebihan ‘blessing in disguise’ (ada hikmah di sebaliknya) kepada PDRM meneruskan aktiviti mengenal pasti sebarang unsur keganasan berkemungkinan timbul dalam negara,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata keadaan pandemik secara global secara tidak langsung menukar keadaan rakyat Malaysia daripada mode selesa kepada mode kelangsungan hidup.

“Masing-masing dengan masalah kendiri, ada dibuang kerja, ada yang hutang tertunggak, ada tidak mampu membayar sewa rumah, ada tidak mampu membeli makanan dan pelbagai bentuk kesengsaraan lagi.

“Hal yang sedemikian ini secara tidak langsung menyebabkan urusan kehidupan terganggu dan terbantut malah ia turut melemahkan semangat penyokong keganasan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Normah berkata golongan pengganas terbabit juga terkesan dengan keadaan tidak menentu yang berlaku dalam negara serta bentuk masa hadapan yang perlu mereka lalui.

Beliau berkata situasi itu bagaimanapun tidak boleh diambil ringan berikutan ancaman keganasan sentiasa berubah mengikut keadaan dan persekitaran bersesuaian dengan mereka.

Mengulas mengenai siapa yang merekrut mereka untuk menyertai kumpulan pengganas, Normah berkata ia adalah golongan ekstremisme itu sendiri.

“Siapa lagi kalau bukan golongan yang ekstrem? Jika dalam konteks terrorisme, ia berlaku secara terancang dan berstruktur. Lazimnya golongan yang menjadi sasaran para perekrut adalah mereka yang terdedah kepada eksploitasi seperti golongan remaja, belia dan ahli masyarakat yang terbiar,” katanya.

Normah berkata ada juga golongan profesional terbabit dalam gerakan itu kerana terlalu taksub kepada sesuatu pegangan yang sesat atau perjuangan sia-sia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga pengganas ancam bunuh bekas PM antara enam ditahan polis awal Januari

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam individu disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada 6 dan 7 Jan lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

Beliau berkata semasa operasi yang dijalankan Cawangan Khas Bukit Aman, polis turut merampas dua helai bendera kumpulan Daesh, sebilah parang dan pisau.

“Kesemua mereka yang ditahan merupakan anggota Anshorullah At Tauhid, sel Daesh yang ditubuhkan pada Oktober tahun 2019 bertujuan mempromosikan ideologi Salafi Jihadi dengan merekrut anggota-anggota baru dan melancarkan serangan di Malaysia.

“Siasatan PDRM mendapati tiga daripada individu yang ditahan telah mengeluarkan ancaman bunuh kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa menteri kabinetnya kerana mengamalkan kerajaan Thoghut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Abdul Hamid berkata mereka juga merancang untuk melancarkan serangan ke atas pusat perjudian di Genting Highlands, Pahang dan kilang arak di sekitar Lembah Klang.

“Merujuk kepada ancaman berkenaan, ia merupakan hasrat yang sering dikeluarkan oleh hampir kesemua suspek pengganas dan kumpulan pro-Daesh yang ditahan Cawangan Khas.

“PDRM sentiasa menilai ancaman bunuh seperti ini dan hasil siasatan PDRM menunjukkan tiada sebarang perancangan atau persediaan dibuat oleh mereka untuk melaksanakan ugutan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata keenam-enam individu yang mengeluarkan ancaman berkenaan disiasat di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu mempunyai milik, jagaan atau kawalan bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis tahan tiga lelaki disyaki anggota kumpulan pengganas

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Seorang lelaki tempatan dan dua rakyat asing disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas ditahan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam kenyataan hari ini berkata kesemua lelaki yang berusia antara 28 dan 42 tahun itu ditahan dalam operasi polis sejak Jumaat lepas sehingga hari ini.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan lelaki tempatan berusia 42 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 17 Mei ketika hendak berlepas ke Mesir dan seterusnya menyusup masuk ke Syria.

Menurutnya lelaki yang bekerja sebagai kontraktor itu juga telah berbaiah sebanyak dua kali dengan pemimpin kumpulan pengganas Daesh Abu Bakar Al-Baghdadi melalui laman sosial Facebook.

“Suspek berpegang kuat kepada ideologi salafi jihadi apabila menolak sistem demokrasi berparlimen, tidak mengiktiraf kerajaan Malaysia dan institusi agama yang dilabelkan sebagai kafir… mana-mana umat Islam yang terlibat dalam pilihan raya juga dilabel sebagai kafir dan boleh dibunuh,” katanya.

Abdul Hamid berkata tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki Indonesia yang ditahan di Keningau, Sabah, yang bekerja sebagai buruh kasar.

Beliau berkata lelaki berusia 20 tahun itu disyaki bertindak sebagai fasilitator kepada kumpulan pengganas di Indonesia yang transit di Sabah sebelum berlepas ke Selatan Filipina bagi melancarkan serangan bunuh diri.

“Suspek juga menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Maute di Selatan Filipina serta merancang untuk berjihad di Syria,” katanya.

Abdul Hamid berkata tangkapan ketiga melibatkan seorang lelaki Bangladesh berusia 28 tahun yang ditahan hari ini di Kuala Kedah, kerana disyaki menyokong kumpulan pengganas Islamic State Bangladesh.

Menurutnya lelaki yang bekerja sebagai pembantu mekanik enjin kapal itu turut memiliki bahan serta kepakaran untuk menghasilkan jerangkap rekaan elektrik (IED).

Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)

Sementara itu, menurutnya polis juga sedang berusaha mengesan seorang lagi anggota kumpulan Daesh Indonesia yang dikesan transit di Sabah sebelum berlepas ke Selatan Filipina.

Beliau berkata lelaki yang dikenali sebagai Marwan itu berusia lingkungan 30-an dan berasal dari Indonesia dengan beralamat terakhir di Kampung Keritan Laut, Keningau, Sabah.

Abdul Hamid berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Razizuan Mohd Razali di talian 017-3278435 atau balai polis berhampiran.

“Mana-mana individu yang didapati menyembunyikan maklumat atau bersubahat atau melindungi individu berkenaan boleh dituduh mengikut Seksyen 130M, 130K dan 130L Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara tujuh hingga 30 tahun,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Keganasan: Jangan kaitkan Islam

SHAH ALAM 16 JAN: Tidak wajar sekali insiden keganasan dikaitkan dengan Islam khususnya dalam pelaporan berita sekalipun mungkin ia ada kaitan dengan kumpulan tertentu yang mempergunakan nama ‘Islam’.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata Islam tidak menganjurkan sebarang bentuk keganasan apatah lagi untuk menaja perbuatan terkutuk seperti itu yang ditolak oleh nilai kemanusiaan sejagat.

CYqQwBEWMAAA1rKKatanya, dikhuatiri pelaporan sebegitu memberikan paradigama salah terhadap Islam khususnya dalam kalangan bukan Islam dan terperangkap dengan permusuhan terhadap Islam yang sengaja ditaja pihak tertentu.

“Diharap Kementerian Dalam Negeri dan Polis serta Angkatan Tentera Malaysia dan semua agensi keselamatan lain berganding bahu memastikan semua aspek menjamin keselamatan negara ini berada pada tahap terbaik,” kata Khairuddin dalam kenyataan media.

Katanya, kerjasama keselamatan dengan negara ASEAN mesti ditingkatkan khususnya pada aspek risikan bagi membolehkan sebarang maklumat berkenaan ancaman dan aktiviti keganasan diokongsi pantas dan bersepadu.

Beliau berkata PAS mengucapkan takziah kepada rakyat Indonesia khususnya kepada ahli keluarga semua mangsa yang maut dan tercedera dalam insiden pengeboman di Jakarta.

“Semoga Allah membalas terhadap pelaku keganasan ini dengan hukuman setimpal,” kata Khairuddin.

EZY

Categories
NASIONAL

Risikan perlu dipertingkat elak ancaman pengganas

SHAH ALAM 16 JAN: Agensi penguatkuasaan dan keselamatan bukan sahaja perlu memperketatkan kawalan di pintu-pintu masuk sempadan

Malaysia, malah meningkatkan usaha perisikan bagi mengesan rakyat tempatan yang terlibat dalam kegiatan kumpulan militan.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata adalah penting untuk menyekat dan membanteras terus elemen pengganas daripada menyusup masuk ke dalam negara ini.

Pengganas“Kalau mereka masuk dari pintu masuk sempadan atau lapangan terbang, ia lebih mudah dikesan tetapi saya fikir ini bukan macam pengganas Sulu yang masuk ke negara kita tetapi ia lebih kepada mengenal pasti mereka yang sudah berada di dalam negara.

“Kalau orang luar hendak lakukan (serangan), ia agak sukar kerana mereka tidak biasa dengan kawasan itu… pastinya kita juga tidak boleh ambil ringan di pintu-pintu masuk,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau mengulas kejadian serangan insiden letupan dan serangan pengganas di beberapa negara sejak akhir-akhir ini termasuk yang terkini di Jakarta, Indonesia semalam, yang menyebabkan tujuh maut dan lebih 20 orang cedera parah.

Mohamed Mustafa berkata orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengenali mana-mana individu mencurigakan, taksub serta terlibat dalam perjuangan militan.

“Mereka yang terlibat seharusnya ditahan di bawah akta tertentu bagi mencegah daripada melakukan sesuatu yang tidak terjangka,” katanya.

Antara akta menangani ancaman keganasan di Malaysia adalah Akta Pencegahan Keganasan 2015; Akta Kesalahan, Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Mohamed Mustafa berkata pihak berkuasa juga perlu meningkatkan kehadiran termasuk melakukan sekatan jalan raya atau pemeriksaan tertentu di lokasi-lokasi strategik terutamanya di lokasi pelancongan.

“Saya percaya pihak berkuasa seperti Polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia tahu apa mereka lakukan… langkah mereka itu nanti bukan sahaja dapat mencegah elemen pengganas tetapi juga meningkatkan keyakinan orang ramai,” katanya.

Merujuk serangan Jakarta, Mohamed Mustafa berasakan kemungkinan serangan itu dilakukan rakyat negara itu yang terpengaruh dan terlibat dalam aktiviti militan luar negara.

“Meskipun tiada bukti tetapi berdasarkan kejadian keganasan lalu yang membabitkan pengganas Al Qaeda dan Jemaah Islamiyah… firasat saya kuat menyatakan ia perlakuan penyokong militan yang berada di negara itu.

“Sukar untuk pihak berkuasa mengesan dan mengawal sekiranya mereka sememangnya sebahagian dari rakyat… justeru Malaysia juga perlu ambil iktibar dengan kejadian itu dan jadikan ia satu peringatan,” katanya.

Kejadian serangan kumpulan militan pada 14 Januari lalu adalah kali ke-10 berlaku di Indonesia sejak 2000.

EZY

Categories
NASIONAL

PKR kutuk golongan jadikan kalimat ‘Lailahaillallah’ propaganda terorisme

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk kebiadapan sesetengah golongan yang menggunakan Islam dan kalimah ‘Lailahaillallah’ sebagai slogan propaganda projek terorisme.

Hal itu berikutan semua bentuk keganasan perlu dikutuk tanpa mengira ia dilakukan oleh sesiapa juga.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata ia termasuk pembunuhan kejam terhadap wartawan, James Foley.

“Kita menyaksikan pembunuhan kejam terhadap wanita dan bayi di Gaza. Dunia baru saja ingin melupai fanatisme taliban.

gaza“Kini, dunia dikejutkan dengan projek gerakan ekstrimisme ISIS yang menggunakan terorisme sebagai jalan untuk mencapai matlamat termasuk membunuh secara kejam sesama Islam dan berlainan agama.

“Kita mengutuk sekerasnya pembunuhan secara biadap dan kejam terhadap wartawan, James Foley,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin juga menyeru pemimpin dunia Islam, ulama, intelektual, NGO mengutuk sebarang bentuk keganasan daripada semua golongan yang menggunakan nama Islam.

azmin ali dalm dunKatanya, umat Islam perlu menyuburkan kembali semangat kesederhanaan dan membenteras gerakan yang membunuh nilai kemanusiaan.

Mohamed Azmin turut mengutuk serangan ke atas pesawat penerbangan MAS, MH17 yang mengorbankan nyawa orang awam.

“Negara bersedih dengan kepulangan 20 jenazah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai akibat keganasan dan terorisme.

“Kita melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang yang mereka sayangi. Kita memohon doa mereka bersabar dan pasrah menghadapi dugaan ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Bekas Polis : Pencerobohan Lahad Datu Mengelirukan

SM_01

SHAH ALAM 1APRIL : Bekas Pengarah Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyifatkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah adalah mengelirukan.

Ini kerana menurutnya, polis melalui Cawangan Khas mempunyai sistem perisikan yang berkeupayaan jika mereka mengikuti standard arahan yang ditetapkan khususnya dalam menangani anasir yang mengancam keselamatan negara.

“Peristiwan pencerobohan pengganas di Sabah adalah kejadian yang amat mengelirukan kerana bagaimana mereka boleh menembusi tahap keselamatan pertahanan negara.

“Bagaimana mereka (pengganas bersenjata) itu boleh datang secara serentak dan membolosi pertahanan negara.

SM_04

“Seandainya pencerobohan secara serentak ini maka ia perlu ditangani oleh pihak Tentera,” kata Fauzi.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kejadian pencerobohan yang berlaku di Sabah adalah disebabkan kegagalan politik yang ditunjukkan oleh pimpinan Umno-BN dalam menangani situasi itu dalam mengambil tindakan pencegahan.

“Kita melihat betapa rapuhnya sistem pertahanan negara akibat kesilapan yang dilakukan oleh pimpinan politik.

“Pencerobohan yang berlaku menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena,” kata beliau.

Forum juga menampilkan tiga bekas pegawai tinggi tentera, Lt. Jen. (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid, Brig. Jen. (B) Datuk Abd Hadi Abd Khatab (TUDM) dan Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (TLDM) .

SM_02

Sebelum forum dijalankan, majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan tazkirah kemudian diikuti solat Isyak berjemaah dan solat hajat serta munajat khas khusus mendoakan keselamatan negara dalam menangani krisis pencerobohan di Sabah.

Forum ‘Lahad Datu: Rakyat Berhak Tahu’ dan Ceramah Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Melawati di sini.

Kira-kira hampir 8,000 orang hadir dalam majlis itu yang turut dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri DrWan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul.

SM_03