Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Petugas hadapan kembali ke ‘medan perang’

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Para petugas barisan hadapan (frontliners) khususnya petugas kesihatan sekali lagi berhadapan cabaran besar apabila negara kini dilanda gelombang ketiga pandemik Covid-19 dengan jumlah kes positif baharu kembali mencatat tiga angka sejak 23 September lepas.

Dalam tempoh lebih kurang tiga minggu sehingga kini, jumlah kes harian baharu tinggi dicatatkan saban hari dengan Sabah menjadi ‘medan peperangan’ paling kritikal.

Semalam (18 Oktober), jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 20,498 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu pada 7,049 kes.

Sabah pula terus mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 702 kes (80.6 peratus).

Tiada istilah serik

Dr Noor Hisham sebelum ini pada 12 Oktober menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam menentang pandemik Covid-19 di Sabah mencapai tahap kritikal dan beberapa strategi serta pendekatan akan diambil untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan di negeri itu.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilaksanakan di seluruh Sabah berkuat kuasa 13 hingga 26 Oktober, manakala di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (14 hingga 27 Oktober) serta di Wilayah Persekutuan Labuan (17 hingga 30 Oktober), bagi tujuan mengekang penularan pandemik.

Meskipun menyarung peralatan perlindung diri (PPE) yang berlapis-lapis dan melakukan ujian saringan di bawah khemah yang panas membahang mungkin bukan lagi menjadi isu utama, namun sebagai manusia biasa, perasan bimbang, takut, sedih dan kecewa pastinya tetap bersarang dalam diri setiap petugas kesihatan dan sukarelawan yang terlibat.

Ramai dalam kalangan mereka telah ditugaskan ke Sabah serta beberapa kawasan zon merah di Semenanjung.

Berkongsi pengalaman, Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau, Sabah, Dr Saraswathy Subramaniam berkata beliau tidak sabar untuk kembali bertugas setelah tamat menjalani tempoh kuarantin selepas didapati positif Covid-19 pada 29 September lepas.

Dr Saraswathy, 29, dijangkiti pandemik itu sewaktu ditugaskan di Hospital Semporna pada awal September lepas berikutan peningkatan jumlah kes di daerah berkenaan.

Penduduk kampung menjalani saringan Covid-19 yang diadakan di Surau Al-Ubudiah Kampung Padang Che Mas, Mukim Pulai, Baling, Kedah pada 18 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Tubuh badan menjadi sangat lemah, hampir pitam malah saya turut mengalami keradangan jantung akibat jangkitan Covid-19. Sungguh pun begitu, tiada istilah serik untuk diri ini.

“Saya tidak sedih ketika disahkan positif Covid-19 malah sudah bersedia untuk menerima sebarang risiko saat diarahkan bertugas di Hospital Semporna. Walaupun ketika itu saya turut mengalami gangguan deria bau, saya sangat bersyukur kerana ada keadaan pesakit lain yang lebih teruk daripada itu,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Kini dengan situasi semasa yang diibarat ‘kembali ke medan perang’ Dr Saraswathy berkata, petugas kesihatan terpaksa bertungkus lumus bekerja tanpa mengira siang dan malam malahan tidur juga tidak mencukupi memandangkan jumlah pesakit yang bertambah dan tidak setara dengan kemudahan yang ada.

Lebih membuatkan golongan itu semakin lelah ialah apabila ada pesakit yang ‘menghilangkan diri’ ketika menunggu keputusan ujian saringan sekali gus menambah risiko sehingga ada petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19.

“Sabah kini dalam keadaan tenat dan apa yang berlaku mengajar saya betapa berharganya kehidupan. Sebagai doktor, saya akui berdepan cabaran untuk merawat pesakit yang terlibat kerana saat mereka tiba di hospital, keadaan mereka sudah teruk – di peringkat empat dan lima, dengan pelbagai komplikasi.

“Apa yang boleh kami lakukan ialah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), mengurangkan sebanyak mungkin kontak, memberi rawatan segera apabila pesakit mempunyai simptom dan memastikan kebersihan di tahap maksimum,” katanya yang berasal dari Kuala Selangor dan akan kembali bertugas di Hospital Semporna pada minggu ini.

Bagai ‘dejavu’

Bagi Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Mohd Afiq Mohd Nor, kejadian yang berlaku ketika berada di beberapa zon merah di Semenanjung serta Sabah seolah-olah ‘dejavu’ buat dirinya serta petugas kesihatan yang lain.

Jelas beliau yang berpengalaman selama 10 tahun di Jabatan Kecemasan, persediaan yang sedang dilakukan di PPUM kini umpama mengulangi apa yang berlaku pada Mac lepas.

“Kita perlu susun semula petugas, pasang semula khemah saringan, ingatkan semula cara pemakaian PPE serta SOP. Fasa pemulihan selepas tiga bulan ‘berperang’ dengan Covid-19 dulu pun belum habis, kini kita perlu sambung semula demi kepentingan rakyat,” katanya.

Meskipun berpengalaman mengendalikan situasi itu namun perkara yang paling ingin dielakkan ialah tidak mahu ada rakan sepasukan yang ‘kecundang’ akibat dijangkiti Covid-19.

Petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Baling bersiap sedia untuk melakukan saringan ke atas penduduk setempat yang diadakan di Surau Al-Ubudiah Kampung Padang Che Mas, Mukim Pulai pada 18 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Katanya, melihat sendiri ada petugas yang disahkan positif dengan kesakitan yang dialami seperti sesak nafas dan mengharungi tempoh kuarantin membuatkan rasa bimbang berlipat ganda walaupun setiap langkah keselamatan telah diambil.

“Sebab itu kita selalu ingatkan setiap petugas supaya jangan lalai ketika mengendalikan pesakit atau peralatan. Sebab kita tak tahu bila-bila masa sahaja akan ada pesakit yang terdedah dan terlepas masuk ke bilik rawatan,” katanya.

Turut senada dalam perkara itu, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Samhan Awang tidak menafikan tahap tekanan yang dialami para petugas perubatan tidak boleh dipandang remeh.

“Stres (tekanan) fizikal kerana beban kerja yang bertambah dan jika ada rakan setugas yang di kuarantin, beban kerja semakin berat. Tekanan mental turut bertambah apabila ada pesakit yang menyembunyikan sejarah ada kontak rapat.

“Tiada pilihan kecuali terus bertahan di samping sering memberi kata-kata semangat kepada rakan setugas untuk terus kuat kerana rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi kepada ‘frontliners’ untuk meratakan lengkungan jangkitan pandemik,” katanya.

Bapa kepada dua orang cahaya mata itu turut menyifatkan itulah pengorbanan yang perlu dihadapi petugas barisan hadapan malah beliau sendiri pada bila-bila masa bersedia untuk dihantar ke kawasan zon merah termasuk di Sabah, memandangkan banyak tenaga dan pengalaman menguruskan situasi kritikal diperlukan di negeri itu ketika ini.

Kental hadapi zon merah

Bagi Pengerusi Kelab Belia Tinagayan (KeBaT) Fazlan Thomas, biarpun ramai yang menganggap tindakannya bersama 16 sukarelawan lain sebagai ‘kerja gila’ apabila sanggup bergadai nyawa berkhidmat di kawasan zon merah bilik gerakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, Semporna, namun baginya ia adalah secebis pertolongan yang boleh disalurkan di saat Sabah dilanda musibah.

Jelas lelaki berusia 32 tahun itu, idea untuk berkhidmat di bilik gerakan berkenaan timbul apabila terdapat rakan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri meminta bantuan sukarelawan memandangkan kakitangan Hospital Semporna semakin hari semakin berkurangan susulan beberapa petugas yang didapati positif Covid-19 dan terpaksa dikuarantin.

“KeBaT cuba membantu memandangkan kami juga tidak dapat bergerak untuk agihan makanan dan susu seperti sebelum ini berikutan PKPB.

Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Saya menghebahkan di media sosial sedang mencari sukarelawan dan tidak menyangka ramai yang berminat termasuklah dari daerah lain bahkan dari Sarawak dan juga Semenanjung,” katanya yang menjelaskan khidmat pasukan itu bermula 11 Oktober lepas selepas menjalani ujian saringan.

Walaupun berdepan pelbagai risiko termasuk dijangkiti Covid-19, kesemua sukarelawan yang bertugas setakat ini mampu menarik nafas lega memandangkan mereka sepenuhnya di bawah seliaan KKM di mana aspek penjagaan SOP amat dititikberatkan.

Jelas beliau yang turut bertindak sebagai urusetia bagi pengurusan sukarelawan di bilik gerakan berkenaan, antara tugas tetap sukarelawan yang berumur antara 17 dan 40 tahun itu adalah menyahkuman kawasan sekitar, memberi makanan kepada pesakit serta menguruskan keperluan logistik dan dokumentasi bilik gerakan.

“Kami sudah menguatkan hati dan semangat untuk menyertai misi ini walaupun ada antara kami yang terpaksa tinggal sementara di flat PPR Bubul Ria kerana risau akan keselamatan ahli keluarga apabila perlu berulang-alik ke rumah,” katanya sambil menambah turut ‘mengambil’ semangat para petugas kesihatan yang bertungkus lumus berjuang demi rakyat dan negara.

Semoga para petugas barisan hadapan terus kuat dan cekal dalam menghadapi ‘peperangan’ ini di samping rakyat juga sama-sama memainkan peranan #kitajagakita.

Memetik ciapan Dr Noor Hisham melalui akaun Twitter beliau pada 8 Oktober lepas: “Kepada semua petugas barisan hadapan, ingatlah bahawa kita adalah pelindung kesihatan rakyat dan keselamatan negara, kita adalah barisan pertahanan terakhir. Kita mesti terus bersemangat dan kuat. Kesihatan menyatukan kita semua melawan satu musuh, Covid-19, bersama-sama. Insya-Allah”.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM arah individu kontak rapat menteri agama jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 6 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengarahkan semua individu yang merupakan kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam majlis di institusi itu kelmarin segera menjalani ujian saringan Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah segera dan berjaga-jaga itu bertujuan bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini dan memastikan semua individu terlibat terpelihara daripada jangkitan Covid-19.

“Saya peka dan ambil maklum kebimbangan warga universiti. Namun, saya memberi jaminan kepada setiap warga dan pihak berkaitan bahawa kita juga sudah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keadaan adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Azraai berkata beliau dan semua staf yang terlibat dalam majlis itu juga menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula semalam.

Menurutnya, setiap warga universiti perlu kekal tenang dan tabah dengan keadaan mencabar itu dan berdoa semoga semua pihak terlibat terus terpelihara daripada penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata UiTM juga menguruskan pelaksanaan sanitasi di premis dan kawasan berlangsungnya majlis bersama menteri itu dan meminta semua individu terlibat supaya berhubung dengan bilik gerakan Covid-19 universiti bagi menjalani saringan.

Kelmarin, Zulkifli menghadiri majlis bersama pelajar UiTM di Kampus Shah Alam bagi menyampaikan bantuan misi Musa’adah Khas Siswa.

Zulkifli menerusi hantaran di akaun Twitternya semalam mengesahkan beliau positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau turut menyeru orang ramai yang pada hadir majlis dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan segera.

Kontak rapat bermaksud mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes disahkan positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Saringan 9,000 penduduk di Kuala Langat selesai Jumaat

KUALA LANGAT, 3 JUN: Ujian saringan Covid-19 ke atas 9,000 penduduk di dua taman perumahan di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran bermula malam Selasa dijangka selesai Jumaat ini, kata Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim.

Beliau berkata dua taman perumahan terlibat iaitu Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran sehingga 16 Jun ini.

Kedua-dua lokasi itu dikenakan PKP secara pentadbiran ekoran 20 pekerja asing sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di kawasan berkenaan didapati positif Covid-19 pada Khamis lepas.

“Daripada 9,000 penduduk di sini, 30 peratus merupakan warga asing manakala bakinya adalah warga tempatan. Setakat Jumaat lepas, seramai 114 kontak rapat dengan pesakit dikenal pasti dan diasingkan di stesen kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia serta Institut Latihan Perundangan dan Kehakiman di Bangi.

“Sejak Sabtu hingga semalam, sebanyak 2,250 sampel diambil iaitu 1,499 sampel warga tempatan dan 751 warga asing. Dengan keupayaan 2,000 sampel ujian swab boleh dilakukan sehari, kita jangka pada Jumaat ini, kesemua 9,000 penduduk selesai jalani ujian saringan Covid-19,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Penduduk setempat beratur menunggu giliran dan diberi sanitizer sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di Pangsapuri Taman Langat Murni, pada 3 Jun 2020. FOTO: BERNAMA

Menurut Mohd Jusni, PKP secara pentadbiran di kawasan berkenaan dibahagikan kepada tiga zon melibatkan 1,752 buah rumah.

“Zon A melibatkan 480 rumah, zon B sebanyak 778 rumah dan zon C 494 rumah. Setakat ini, ia merupakan kawasan yang dikenakan PKP pentadbiran yang terbesar melibatkan kawasan seluas 43.3 hektar dengan pemasangan kawat berduri sepanjang empat kilometer.

“Sebanyak 664 petugas barisan hadapan terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan memantau kawasan ini sepanjang pelaksanaan PKP pentadbiran,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun kedua-dua taman perumahan itu dikenakan PKP secara pentadbiran namun penduduk tempatan yang belum menjalani ujian saringan Covid-19 masih boleh keluar masuk atas tujuan dibenarkan sahaja.

Bagi penduduk tempatan yang selesai ujian saringan itu, katanya, mereka perlu kuarantinkan diri di rumah masing-masing selama 14 hari namun untuk warga asing, golongan itu tidak dibenarkan keluar daripada lokasi berkenaan sehingga tamat tempoh perintah itu.

Mengulas mengenai operasi premis perniagaan di lokasi itu sepanjang PKP secara pentadbiran dilaksanakan, Mohd Jusni berkata kedai makan dan kedai runcit masih dibenarkan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan iaitu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Beliau turut menyarankan badan bukan kerajaan yang berhasrat menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk di lokasi terbabit supaya mendaftarkan sumbangan dengan Jabatan Kebajikan Malaysia terlebih dahulu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan digalak pastikan pekerja jalani saringan Covid-19

PUTRAJAYA, 3 MEI: Kementerian Sumber Manusia menggalakkan semua majikan terutama yang beroperasi di zon merah dan kuning Covid-19 supaya memastikan pekerja mereka menjalani saringan.

Ini berikutan sektor ekonomi mula beroperasi secara terkawal tertakluk kepada syarat dan prosedur yang ketat di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata ujian Covid-19 untuk pekerja dilaksanakan di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) dan disediakan secara percuma oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“PSP Perkeso meningkatkan jaminan kepada pekerja bahawa mereka bekerja di persekitaran kerja yang selamat dan sihat, serta bebas Covid-19,” katanya.

Saravanan berkata dengan adanya kaedah pencegahan yang dipatuhi majikan dan pekerja, negara akan dapat mencegah gelombang baharu jangkitan Covid-19 yang mungkin timbul daripada kluster tempat kerja seperti yang dialami di negara lain.

Beliau berkata adalah amat penting bagi semua majikan dan pekerja mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat dalam pembukaan semua operasi perniagaan bagi memastikan tiada risiko penularan Covid-19.

“Kementerian Sumber Manusia akur tentang perlunya meneruskan semula operasi perniagaan. Pada masa sama, sektor perniagaan mesti mengutamakan keperluan pencegahan penyebaran Covid-19 terutama dalam kalangan pekerja.

“Keselamatan dan kesihatan pekerja adalah amat penting dalam memastikan semua pekerja kekal sihat sewaktu menjalankan pekerjaan masing- masing,” katanya.

Saravanan berkata langkah pencegahan seperti penjarakan sosial ketika berulang-alik ke tempat kerja dan berada di tempat kerja, pemeriksaan suhu badan, penggunaan penutup hidung dan mulut, mencuci tangan dengan kerap dan menghindari tempat yang sesak dengan orang ramai mesti dititikberatkan oleh majikan dan memastikan bahawa ia dipatuhi semua pekerja.

Beliau berkata semua pihak perlu bekerjasama memecahkan rangkaian jangkitan Covid-19 dan mencegah kluster baharu di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor swasta laksana 22,081 ujian Covid-19, hanya 84 positif

SHAH ALAM, 29 APRIL: Sebanyak 22,081 ujian saringan Covid-19 dijalankan sektor swasta setakat ini bagi mengesan jangkitan wabak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut, hanya 84 kes dikesan positif.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau ujian Covid-19 yang dijalankan sektor swasta yang sentiasa bersama-sama dengan KKM untuk memutuskan rantaian wabak ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 1 April lalu, Dato’ Menteri Besar berkata beberapa hospital swasta sedia menubuhkan pasukan sukarelawan untuk melakukan ujian saringan besar-besaran Covid-19 terhadap kumpulan sasar sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan positif itu hasil perbincangan anak syarikat Kerajaan Negeri Selgate Corporation yang mempunyai data khusus mengenai kawasan tumpuan wabak.

Selangor melaksanakan inisiatif Saringan Komuniti Covid-19 di enam kawasan bermula 11 hingga 23 April lalu. Sebanyak 5,433 sampel diuji dengan 10 daripadanya disahkan positif Covid-19 termasuk lapan kes tanpa gejala.