Categories
BERITA UTAMA RENCANA SELANGOR

Pasca Covid-19, pekerja perlu tangani perubahan hidup

Saat ini kita sedang berada dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Buat umat Islam, ini merupakan pengalaman yang sangat berbeza untuk menjalani ibadah puasa dengan wabak Covid-19 melatari setiap tingkah perbuatan kita.

Namun sudah semestinya kita bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan kesempatan untuk sekali lagi bertemu dengan Ramadan, bulan menjanjikan rahmah, magfirah dan juga perlepasan dari api neraka.

Bukan sahaja kita di Malaysia ini perlu mengubah cara kita mengimarahkan Ramadan tetapi juga saudara-saudara muslim kita di seluruh dunia turut sama menghadapi cabaran ini. Tidak ada solat tarawih berjemaah di masjid, tiada majlis berbuka puasa besar-besaran dan moreh juga tidak ada kunjung-mengunjung ke bazar Ramadan.

Pun begitu seperti dalam hal-hal yang sukar, ada hikmah yang dapat memberikan peluang kepada kita untuk terus melaksanakan kebaikan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Antara peluang yang mungkin jarang untuk kita dapatkan adalah masa yang banyak bersama keluarga apatah lagi di bulan Ramadan ini kita dapat menunaikan solat tarawih berjemaah, saling bertadarus dan memeriksa bacaan al-Quran masing-masing dan banyakkan berselawat dan berdoa kepada Allah SWT.

Saya percaya ini adalah peluang keemasan untuk kita mengukuhkan lagi hubungan sesama suami dan isteri, ibu bapa dan juga anak-anak.

Peluang alam rawat diri

Minggu lepas, saya ada menyentuh sedikit tentang ‘new normal’ atau kebiasaan baharu ini. Banyak ulasan dan komentar tentang istilah ini yang sebenarnya menunjukkan bahawa penularan Covid-19 pada peringkat global ini adalah satu peristiwa yang mempunyai kesan yang dapat mengubah banyak perkara termasuklah kesan terhadap alam sekitar.

Flora dan fauna turut mendapat manfaat daripadanya dalam pelbagai laporan akhbar, daripada penurunan jejak karbon sehinggalah kepada kejernihan sungai dan air laut. Kita tidak perlu tanya pakar untuk menyaksikan kebersihan Sungai Klang dengan mata dan kepala sendiri.

Di Selangor juga, KDEB Waste melaporkan penurunan sisa sampah pepejal turun sebanyak 14.8 peratus di semua 14 PBT sewaktu PKP.

Antara berita-berita yang muluk ini, suatu mimpi ngeri mungkin akan berlaku tak lama lagi. Dalam sebuah pengumuman baru-baru ini. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengaku bahawa jangkaan awal mereka berkenaan dengan kesan ekonomi wabak Covid-19 ke atas 170 negara adalah ‘terlalu optimistik’.

Begitu juga dengan unjuran Bank Dunia bahawa perkembangan ekonomi Malaysia berada pada paras -0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kenyataan sebegini tidaklah begitu mengejutkan kerana saat ini kita sedang menghadapi suatu keadaan yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini; suatu yang dipanggil ‘The Great Unknown’.

Justeru, terdapat pelbagai bentuk tindakan yang diambil oleh negara-negara akibat wabak ini sama ada ‘full lockdown’ seperti di Wuhan, Perintah Kawalan Pergerakan seperti di Malaysia atau selembut-lembut anjuran penjarakan sosial sahaja seperti di Sweden.

Yang pasti, banyak industri yang terjejas. Para petugas baris hadapan sedang bertungkus lumus tanpa penat lelah menguruskan pandemik ini. Dan gaya hidup kita semua turut berubah.

Pelbagai insentif ringan beban pekerja

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pemotongan gaji secara sukarela oleh beberapa pengurusan korporat Malaysia. Ada antara syarikat gergasi ini memotong sehingga 40 peratus daripada gaji, sementara banyak yang tidak lagi mengambil pekerja baru.

Sedikit demi sedikit manfaat kebajikan pekerja juga terpaksa dibatalkan bagi mengelakkan pekerja sedia ada daripada dibuang. Itulah antara dilema yang dihadapi oleh pengurusan syarikat saat wabak Covid-19 mengganas.

Kerajaan Negeri telah mengambil langkah yang cepat dan wajar bagi membantu mengurangkan beban pekerja dan mereka yang terbeban, seperti RM40 juta insentif buat penjaja berlesen dan RM12 juta pengecualian sewa premis kepada penjaja, juga RM100 juta untuk kecairan tunai Pengusaha Kecil Sederhana melalui Selangor Advance.

Perihal kebajikan pekerja yang sedia ada sudah cukup merisaukan, tetapi lupakah kita akan nasib anak-anak mahasiswa tahun akhir kita?

Mereka yang kini diberi julukan Generasi Tersesat atau ‘Lost Generation’ ini merupakan mereka yang memilih untuk menyambung pendidikan tinggi di menara gading dengan harapan yang tinggi bahawa segulung ijazah akan menjanjikan kerjaya yang lebih baik, hanya untuk kemudiannya dihadapkan dengan realiti baharu kesan daripada wabak Covid-19.

Seperti yang kita tahu, pengangguran adalah sesuatu yang bukan sahaja tidak produktif untuk negara malah berbahaya. Banyak yang boleh kita belajar dari keresahan politik yang berlaku sebelum ini, daripada Gerakan Occupy, Jaket Kuning di Perancis mahu pun yang lebih dekat seperti Revolusi Payung di Hong Kong dan di Thailand.

Anak muda bukan sahaja mahu berkerjaya dan diberi akses kepada ‘social mobility’ malah mereka turut mahu kehidupan yang lebih bererti — ramai antara mereka yang sedikit bernasib baik dan mempunyai kerjaya mengadu tidak menjumpai ‘makna’ dalam kerja mereka.

Di situlah peranan kerajaan menjadi maha penting dalam menyediakan ekosistem yang mampu mencipta kerjaya malah mencipta kekayaan (wealth creation) yang bukan sahaja mampu meletakkan bumbung di atas kepala dan mengisi tembolok tetapi turut sama mengisi makna: sebuah kehidupan yang bermartabat.

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-8 yang digariskan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) telah menyatakan keperluan untuk meningkatkan penciptaan kerjaya, produktiviti yang lebih tinggi dan inovasi teknologi serta penggalakan keusahawanan. Dalam bahasa yang mudah: decent job and economic growth (pekerjaan yang wajar dan perkembangan ekonomi).

Selangor komited dengan rangka kerja UNDP dan akan berusaha sesungguhnya bagi mencapai SDG ke-8. Sejumlah besar belanjawan diperuntukkan untuk usaha ini, termasuk mengupayakan TVET dan juga penubuhan Institut Pemberdayaan Pekerja bagi mendepani cabaran IR4.0.

IR4.0 yang sering disebutkan sebelum ini sudah pun bermula tanpa kita sedari. Rakyat boleh bekerja dari rumah, malah kebanyakan urusan kerajaan dapat diselesaikan dalam talian.

Selangor turut mencipta sejarah dengan memperkenalkan Selangor Tutor, platform dalam talian untuk pembelajaran serta beberapa inovasi lagi sewaktu PKP seperti Platform Selangor (PLATS) dan e-Bazar Raya Selangor Bersama Shopee.

Masanya telah tiba untuk terus memacu ke hadapan. Inisiatif digitalisasi yang kita sebut Smart Selangor semenjak 2016 lagi kini menjadi suatu realiti. Seperti yang sering saya sebutkan kepada para penjawat awam, sekiranya kita tidak berubah dan berada di takuk yang lama, kita akan ditinggalkan.

Begitulah pesanan saya kepada para pekerja sama ada yang baharu mahupun veteran: tingkatkan kemahiran, dan teruskan penerokaan dalam inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Bersama-sama kita bangunkan semula kehidupan dan negeri bersama-sama IR4.0 dalam menghadapi ‘new normal’ pasca Covid-19 ini.

Selamat Hari Pekerja.

Perutusan Hari Pekerja 2020 oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hari Pekerja dalam keadaan normal baharu

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Hari ini tenaga kerja Malaysia meraikan sambutan Hari Pekerja dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan suasana berbeza selepas menempuhi pelbagai cabaran berikutan pandemik Covid-19.

Tidak ada perhimpunan hari pekerja seperti kebiasaannya baik yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan mahupun negeri dan ini adalah sebahagian dari normal baharu yang perlu dilalui masyarakat Malaysia kini.

Hari Pekerja kali ini disifatkan ‘unik’ kerana berjaya menaikkan semangat pekerja untuk memberikan yang terbaik kepada kesejahteraan negara, terutama petugas barisan hadapan sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sementara pekerja yang bukan daripada sektor yang dibenarkan kerajaan untuk beroperasi kekal duduk di rumah untuk bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu.

Dalam pada itu tidak dilupakan juga ada pekerja yang pendapatan mereka terjejas ketika wabak pembunuh ini mengganas, antaranya sektor pelancongan dan juga sektor perniagaan kecil-kecilan seperti makanan yang walaupun masih boleh beroperasi tetapi terhad dengan kekangan PKP.

Dengan lengkung pandemik yang mula berjaya diratakan dan bilangan kes positif Covid-19 secara harian yang konsisten iaitu pada kadar dua angka dalam tempoh 14 hari berturut-turut sejak 17 April lepas menyaksikan Malaysia kini memberikan sedikit kelonggaran dalam peraturan ‘sekatan pergerakan’ yang kini dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat semalam, penularan Covid-19 di negara ini telah menjangkiti 6,002 orang dan meragut 102 nyawa. Namun berita baiknya, kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj kini meningkat sebanyak 4,171 kes atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hari ini juga masuk hari kelapan berpuasa dan sudah pastinya ramai umat Islam sangat merindukan untuk melakukan ibadah solat sunat tarawih secara berjamaah di surau dan masjid, selain sudah tujuh kali solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lepas akibat pandemik Covid-19.

Seminggu ini sudah tentunya muncul imam-imam baharu, baik yang muda mahupun yang sudah meningkat usia kerana mahu menunaikan solat sunat tarawih di rumah bersama keluarga tersayang — satu kesan positif dilihat daripada satu sudut arahan PKP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam program temu bual semalam memberitahu pihaknya sedang berbincang dan merangka garis panduan bagi membolehkan aktiviti ibadah termasuk solat berjemaah dilakukan kembali, namun bergantung kepada kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM).

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Wanita jadi mangsa keganasan rumah tangga diminta buat aduan

SHAH ALAM, 30 ARPIL: Golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinasihat tampil membuat aduan, kata EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata aduan boleh dibuat menerusi pelbagai medium antaranya Talian Kasih (15999), Talian Bantuan Pertubuhan Pertolongan Wanita (03-7956 3488), temui kaunselor atau laporkan di balai polis berhampiran.

“Keganasan ini berlaku berikutan isteri dan suami banyak masa berada di rumah susulan PKP dan ketidaktentuan kewangan sehingga menjadi punca seseorang bertindak di luar kawalan.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan wanita untuk terus tampil buat aduan. Elakkan pendam kerana hal ini akan lebih memudaratkan diri mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu, Dr Siti Mariah berkata jiran juga perlu sentiasa peka jika ada dalam kalangan penduduk di kawasan mereka mengalami penderaan dalam rumah tangga.

Baru-baru ini media melaporkan, sebanyak 353 kes keganasan rumah tangga diterima polis sepanjang 29 hari tempoh PKP bermula 18 Mac.

Isu keganasan rumah tangga disebabkan pelbagai punca termasuk pasangan cemburu, selisih faham berkaitan hal kecil, masalah kewangan dan suami penagih dadah.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: 600,000 bungkusan setiap hari, Pos Malaysia minta pelanggan sabar

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menerima secara purata 600,000 bungkusan setiap hari semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Para pelanggan yang dihargai, Pos Malaysia telah menerima secara purata lebih 600 ribu parcel setiap hari semasa tempoh PKP.

“Kakitangan kami tekun menjalankan tugas untuk memastikan semua parcel diserah kepada penerima. Namun, waktu operasi kami adalah tertakluk kepada garis panduan dan pematuhan PKP.

“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk menghantar barangan anda dan berharap agar anda dapat bersabar. Kerjasama anda amat kami hargai,” kata Pos Malaysia ketika menjawab pertanyaan pengguna berkenaan kelewatan dan status penghantaran barangan mereka di Twitter hari ini.

Pos Malaysia sebelum ini mengeluarkan kenyataan kepada pelanggannya supaya menjangkakan kelewatan dalam proses penghantaran bungkusan semasa tempoh lanjutan PKP.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA arah tiga premis tutup, 21 disita

SHAH ALAM, 27 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan tiga premis perniagaan di Sungai Buloh ditutup serta merta dalam operasi dijalankan hari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan operasi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sekitar Kampung Kubu Gajah dan Kampung Merbau Sempak, bagi mengenal pasti premis berkaitan yang melanggar peraturan.

“Di Kampung Kubu Gajah, dua premis diarah tutup. 21 lagi termasuk satu premis setinggan menjalankan aktiviti jual sayur bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) kampung itu dikenakan tindakan sita dengan kain direntang di setiap pintu.

“Satu lagi diarah tutup ialah premis menjual barang serbaneka di Jalan Besar Kuala Selangor Seksyen U19 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Pemilik dikenakan kompaun mengikut Akta 171 Seksyen 109,” katanya melalui Facebook.

MBSA menasihatkan warga Shah Alam supaya kekal berada di rumah dan memberi kerjasama memutuskan rantaian Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

Talian percuma bantu penduduk Subang Jaya hadapi tekanan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Penduduk menghadapi tekanan emosi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh meluahkan masalah menerusi talian khas disediakan, kata Ahli Dewan Negeri Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata pihaknya menjalankan program itu dengan kerjasama Kolej SEGI kerana mendapati terdapat individu berdepan masalah seperti kemurungan, kewangan dan tekanan akibat duduk di rumah terlalu lama.

“Mereka yang ingin berkongsi masalah boleh membuat pendaftaran menerusi link shorturl.at/ejkmy. Kemudian kaunselor akan menghubungi anda selepas pendaftaran dilakukan.

“Sesi interaksi adalah melalui telefon atau mesej kerana ada di antara mereka lebih selesa berkomunikasi melalui mesej sahaja,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Waktu operasi bermula dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS: Bayar zakat fitrah di masjid, surau jika tidak mahir teknologi

SHAH ALAM, 27 April: Pembayaran zakat fitrah melalui Penolong Amil Fitrah (PAF) di masjid dan surau dilaksanakan bagi membolehkan golongan kurang mahir teknologi menunaikan kewajipan itu sepanjang Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaras hasrat baginda untuk memudahkan pengeluar zakat terutama warga emas.

Katanya, bagaimanapun kaedahnya tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain mendapat pandangan Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan polis.

“Kita juga menggariskan panduan dan syarat kepada PAF yang dibenarkan mengutip zakat fitrah semasa PKP, antaranya berumur 60 tahun ke bawah, sihat serta tiada penyakit kronik dan gejala demam ketika bertugas.

“Mereka dan pengeluar zakat dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.

LZS berkata, pembayar zakat juga digalakkan menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar setelah urusan selesai bersama PAF yang beroperasi dari jam 9 hingga 11 pagi dan 2 hingga 4 petang.

Agensi itu sebelum ini mengumumkan bayaran zakat fitrah secara dalam talian sepanjang PKP menerusi laman EZakatPay atau perbankan internet di sembilan bank, selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.

Categories
ADN SELANGOR

Beli hasil tani penduduk, ADN sumbang keluarga kurang mampu

SHAH ALAM, 26 APRIL: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati mengambil inisiatif membeli hasil pertanian penduduk di Kuala Selangor bagi membantu golongan berkenaan yang mengalami kerugian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Juwairiya Zulkifli berkata semua hasil tani kemudian diagihkan kepada kumpulan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu yang juga mengalami situasi sama apabila tidak boleh keluar untuk bekerja.

“Pendekatan itu diambil kerana ada petani tidak dapat menjual hasil pertanian di pasar borong, pasar tani dan pasar malam yang menyebabkan berlaku lambakan sehingga harga jualan jadi amat rendah berbanding harga di pasaran.

“Saya membeli 100 kilogram (kg) ubi kayu, 30 kg sayur bendi dan juga 30 kg kacang panjang untuk disumbang kepada penduduk Kampung Tanjung Keramat. Situasi menang-menang wujud untuk petani dan penduduk kampung yang amat memerlukan bantuan,” katanya katanya kepada SelangorKini.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Luas sambung tutup ibu pejabat, dua pejabat cawangan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menyambung lagi penutupan ibu pejabat dan pejabat cawangan di Seksyen 15, Shah Alam mulai esok hingga 12 Mei ini susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui kenyataan, Luas memaklumkan penutupan sementara operasi itu bagaimanapun tidak menjejaskan gerak kerja agensi tersebut bagi memastikan bekalan air di Selangor berjalan lancar.

“Pasukan barisan hadapan sentiasa memantau 24 jam di lempangan utama Sungai Selangor supaya insiden pencemaran dan henti tugas Loji Permbersihan Air (LPA) tidak berlaku sepanjang PKP.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Luas melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2647904,” katanya.

Sepanjang PKP bermula 18 Mac lalu, ibu pejabat Luas dan dua pejabat cawangannya ditutup selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ia dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA, polis tahan tujuh warga asing ingkar PKP

SHAH ALAM, 27 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis semalam menahan tujuh warga asing dalam satu operasi bersepadu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan memaklumkan operasi di kawasan Bukit Naga dan Jalan Kebun turut mendapati mereka tidak mempunyai permit kerja dan lima kompaun dikeluarkan.

“MBSA juga menjalankan pemeriksaan ke atas sembilan premis dan tindakan kompaun terhadap dua premis manakala dua lagi diarah tutup serta merta di Jalan Kebun,” katanya menerusi Facebook.

MBSA menasihatkan warga Shah Alam untuk terus kekal di rumah dan patuh terhadap PKP yang ditetapkan kerajaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pergerakan pulang pelajar IPT ke kampung bermula esok – Noraini

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, Politeknik serta Kolej Komuniti dalam zon hijau bakal memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat mulai esok (Isnin).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad memaklumkan bahawa pergerakan ini tidak termasuk pelajar yang berada dalam zon merah dan kuning, atau pulang ke kampung halaman yang berada dalam zon sama.

“Pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau.

“Persiapan rapi sedang dilakukan bagi menghantar para pelajar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Polis Diraja Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di institusi pengajian tinggi yang telah dikenal pasti ke destinasi masing-masing.

Noraini turut menjelaskan aspek keselamatan dan kesihatan pelajar merupakan keutamaan pihaknya semasa pergerakan itu berlangsung, justeru setiap perkhidmatan pengangkutan akan diiringi seorang pegawai perhubungan yang mempunyai senarai lengkap pelajar.

“Selain itu, saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selesema dan sesak nafas) akan dijalankan oleh KKM dan Pusat Kesihatan Universiti sebelum pergerakan pelajar.

“Pelajar diingatkan untuk sentiasa menjaga jarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut di sepanjang perjalanan serta mengamalkan kebersihan dengan memakai pensanitasi tangan,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan garis panduan kepada ibu bapa dan pelajar boleh menghubungi hotline Bilik Gerakan KPT yang beroperasi 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6628/6623/6124.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

300,000 mohon permit pergerakan antara negeri – Polis

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima kira-kira 300,000 permohonan permit pergerakan antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 12 jam melalui aplikasi Gerak Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata daripada jumlah tersebut, 100,000 individu memohon untuk mendapatkan permit pergerakan bagi melakukan perjalanan kerana terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing susulan pengisytiharan PKP.

“Angka tersebut dijangka meningkat berkali ganda menjelang 29 April.

“Amat perlu bagi polis memastikan bahawa setiap permohonan yang diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja, supaya perancangan pergerakan antara negeri dapat berjalan dengan lancar dan tidak menyulitkan pengguna-pengguna lebuh raya atau jalan raya yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh yang ditetapkan, pihak polis akan memantau dan menilai trend permohonan yang diterima melalui aplikasi tersebut.

Hasil pemantauan dan penilaian, katanya, akan dimaklumkan kepada kerajaan agar tarikh pergerakan seperti mana yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan yang diterima.

Huzir juga menasihatkan orang ramai agar dapat memberi kerjasama dengan hanya memohon untuk mendapatkan permit pergerakan atas sebab sahih seperti yang ditetapkan.

Beliau berkata kerjasama semua pihak adalah penting bagi memastikan sistem apliksasi tersebut dapat dimanfaatkan oleh mereka yang perlu untuk melakukan pergerakan antara negeri.

“Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri tersebut akan diumumkan kelak,” katanya.

Hari ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata bahawa tarikh pergerakan kepada mereka yang berada di kampung untuk pulang ke destinasi masing-masing bukan bermula pada 1 Mei ini.

Ismail membuat pengumuman pada Rabu lepas bahawa orang ramai yang pulang ke kampung halaman sebelum tempoh PKP dan kini ingin kembali ke rumah masing-masing boleh membuat permohonan bagi tujuan itu.

– BERNAMA