Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tidak adil pertikai guru ketika perintah kawalan

SHAH ALAM, 16 MEI: Pihak tertentu yang mempertikaikan peranan dan pengorbanan guru sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggap sebagai tidak adil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (Pakatan) berkata kritikan itu disifatkan tidak wajar kerana mereka masih bertugas dalam tempoh berkenaan dengan pembatasan sosial.

“Saya harap guru cukup bersemangat walaupun ketika Covid-19 (tugas mereka) terbatas, ini seperti saya sebutkan (pembelajaran) melalui digital dan secara dalam talian, iaitu guru boleh berkhidmat, malah sekarang ini terus berkhidmat,” katanya dalam sesi Facebook Live hari ini.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata apa menjadi masalah ketika ini adalah capaian internet kurang baik di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Sempena sambutan Hari Guru hari ini, Anwar berkata beliau mengiktiraf peranan golongan pendidik serta memuliakan profesion perguruan atas khidmat dan pengorbanan mereka kepada pembentukan bangsa dan negara.

“Kita doakan sebaiknya kepada guru dan tenaga pengajar, bila sebut guru ini termasuk semua sekali di sekolah, dari yang jaga makmal, kebersihan dan lain-lain, kita harus ucap setinggi-tinggi penghargaan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perintah kawalan mudahkan Selangor kesan warga asing berniaga

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Negeri memanfaatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) untuk mengesan warga asing yang menjalankan perniagaan di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu itu sudah dibincangkan tahun lalu namun penguatkuasaan masih belum dapat dibuat dengan baik berikutan jumlah penguat kuasa pihak berkuasa tempatan yang tidak mencukupi dan memerlukan kerjasama semua pihak.

“Penguat kuasa majlis terhad antara 200 hingga 300 orang dan maksimum 500. Kena ada kerjasama semua pihak. Imigresen jaga pintu, polis lakukan kawalan dan ambil tindakan. Untuk penguatkuasaan gerai tidak berlesen dan pasar ia memerlukan masa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Kasih Ramadan hari ini.

Mengulas lanjut, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri tidak pernah memberikan lesen berniaga kepada warga asing namun ada pihak lain mengeluarkan dan memperdagangkan lesen perniagaan bagi tujuan itu sebelum ini.

“Selangor hanya berikan lesen kepada warga asing jalankan perniagaan besar seperti Panasonic yang membuat pelaburan tinggi. Perniagaan runcit dan penjaja memang dihadkan untuk warga tempatan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Salam, pujian khas para ibu di barisan hadapan hadapi Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Apabila Malaysia mula bergelut dengan Covid-19 sejak awal tahun ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya dalam mengawal pandemik itu, ramai ibu yang bekerja menyaksikan perubahan drastik dalam rutin harian mereka.

Sempena dengan Hari Ibu, salam dan pujian ditujukan kepada para ibu terutama yang terlibat di barisan hadapan dalam memerangi ancaman Covid-19.

Pengorbanan mereka sungguh tidak terkira, memandangkan mereka sanggup bekerja tanpa mengira siang dan malam di hospital dan di titikpanas jangkitan, berjauhan daripada ahli keluarga yang tersayang dan meletakkan diri mereka sendiri dalam risiko dijangkiti virus itu.

Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Kanan) Nordayana Musa, 40, tugasan beliau tatkala negara dilanda pandemik Covid-19 pastinya jauh berbeza daripada sebelum ini apabila beliau diperlukan untuk bekerja 12 jam setiap hari tanpa mengira waktu selain mengorbankan cuti hujung minggu.

Beliau, yang bertugas di Unit Inspektorat dan Perundangan di Pejabat Kesihatan Titiwangsa di sini, bagaimanapun, berkata putus asa tidak pernah tertulis dalam kamus hidupnya memandangkan ia pengalaman berharga bersama rakan sejawatan dalam membantu negara menangani wabak ini.

“Semasa wabak Covid-19 ini, masa bersama keluarga agak terhad kerana bekerja tanpa mengira waktu. Alhamdulillah suami saya sedikit sebanyak membantu dalam meringankan tugasan rumah.

“Sebagai seorang ibu dan dalam masa yang sama seorang frontliner, dengan waktu yang terhad ini saya akan pastikan setiap hari akan berbual bersama keluarga dan memastikan anak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru kelas mereka sepanjang tempoh PKP,” kata ibu kepada dua anak itu kepada Bernama.

Ditanya mengenai perancangan sambutan Hari Ibu, Nordayana berkata sambutan yang sebelum ini diraikan dengan makan di luar bersama keluarga mungkin tidak dapat dibuat untuk tahun ini kerana masih belum ada perancangan.

Namun sekiranya diberi peluang, wanita kelahiran Parit Buntar, Perak, itu hanya mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan menyambut secara sederhana sebagai tanda memperingati tanggal itu.

Anggota polis Zawiyah Zakaria, 41, memberitahu Bernama beliau masih belum ada kesempatan untuk bersantai bersama anak, terutamanya ketika ditugaskan sebagai penyelia di kawasan Masjid India yang pernah diisytiharkan sebagai PKP Diperketatkan (PKPD).

Beliau, yang mempunyai lima orang anak berumur antara tiga hingga 17 tahun berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas masih belum ada hari pelepasan buatnya menyebabkan beliau hanya sempat bersama dengan anak dalam masa dua atau tiga jam sahaja sehari.

“Anak memanglah merungut sebab kita tidak selalu ada. Semua sekarang bergantung kepada kakak (anak sulung), sebab saya kadang-kadang balik lambat atau tidak balik langsung. Mujur anak bongsu saya sudah terbiasa dengan kakak-kakaknya,” katanya yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Telah berkhidmat hampir 23 tahun sebagai anggota Polis Diraja Malaysia, Zawiyah menyifatkan pengalaman bertugas dalam tempoh pandemik ini sangat mencabar dari segi mental dan emosi.

Oleh itu, beliau berharap kepada pengakhiran wabak Covid-19 ini dan PKP dapat ditamatkan dengan jayanya supaya setiap keluarga dapat menikmati masa bersama.

“Sebab itu, saya memang sanjung kepada ibu-ibu barisan hadapan yang bijak bahagi masa demi tanggungjawab terhadap negara. Kerja kami memang berisiko tinggi, dan terdedah kepada bahaya. Jadi kalau kami balik rumah, macam mana dengan anak nanti?” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, jururawat di bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Sungai Buloh, Anis Sabrina Shaharim, 29, berkata dengan keadaan semasa pandemik Covid-19 ini masa bersama keluarga sangat terhad kerana lebih banyak masa dihabiskan di tempat kerja.

Bagaimanapun, ibu kepada dua anak itu sentiasa bersyukur kerana masih pulang dengan disambut anak dan suami di rumah berbanding dengan mereka yang terpaksa tinggal berjauhan dari keluarga ketika tempoh sukar ini.

“Tapi kadang-kadang sedih kalau anak atau anggota keluarga kami kurang sihat sebab kami bukan boleh suka-suka ambil cuti untuk jaga mereka, jadi kena kuatkan hati fikir baik-baik dan urus sendiri. Kami kena berkorban demi menjaga pesakit yang memerlukan kami juga,” katanya.

Menceritakan tentang suasana di tempat kerjanya sekarang, beliau berkata keadaan telah banyak berubah sejak hospital itu ditukar menjadi tempat rawatan khusus untuk kawalan penyakit berjangkit.

Tambahnya, cabaran kerja juga semakin bertambah apabila mereka terpaksa akur menghadap pesakit yang belum pasti keputusan saringan, sekaligus memerlukan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap sepanjang masa.

“Untuk pulang ke rumah pun kena jaga kebersihan diri betul-betul sebelum jumpa keluarga. Kadang-kadang jadi tidak yakin dengan diri sendiri sebab virus dan kuman kita tidak nampak. Saya hanya berserah dan tawakkal kepada Allah sahaja dan supaya virus ini lenyap daripada muka bumi.”

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah hukuman ingkar PKP terserah budi bicara mahkamah

SHAH ALAM, 6 MEI: Majistret atau hakim berkuasa untuk menentukan jumlah hukuman dikenakan terhadap pesalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bersesuaian dengan amalan negara demokrasi dan kebebasan sistem kehakiman, kerajaan tidak campur tangan dalam menentukan jumlah hukuman dan terserah kepada budi bicara mahkamah.

“Dalam undang-undang (Akta 342) hanya menyebut tidak lebih RM1,000, kuasa tentukan jumlah hukuman adalah kuasa majistret atau hakim.

“Mungkin fakta kes berbeza yang menjadi sebab hakim atau majistret putuskan sedemikian rupa,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai nilai hukuman denda yang berbeza dikenakan kepada individu tertentu yang melanggar PKP hingga menjadi perdebatan masyarakat.

Mengulas isu pajak gadai mengenakan faedah tinggi, Ismail Sabri berkata pajak gadai tidak boleh mengenakan faedah melebihi dua peratus.

“Kalau ada kenakan lebih dua peratus boleh laporkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), perkara ini di bawah mereka,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

MB: Kekal duduk rumah walau PKP dilonggar

SHAH ALAM, 6 MEI: Rakyat digesa terus kekal duduk di rumah bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diputuskan walaupun kerajaan telah melonggarkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Dato’ Menteri Besar.

“Usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Bersama kita boleh mencegahnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Antara perkara dikongsi Dato’ Menteri Besar ialah apabila seseorang individu duduk di rumah sekali gus ia dapat menghalang potensi penyakit itu dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

Selain itu, beliau berkata ahli keluarga dan golongan berisiko (warga emas dan penyakit kronik) juga turut dilindungi apabila seseorang itu mengikut arahan untuk kekal berada di rumah.

“Usaha ini juga dapat mengekalkan zon hijau dan mengembalikan zon kuning kepada zon hijau. Namun, jika perlu keluar rumah semua pihak diseru untuk kekalkan jarak sosial dan amalkan kebersihan diri,” katanya.

Pada 3 Mei lalu, Selangor mengubah suai garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan kerajaan Persekutuan bagi memperketatkan kawalan susulan pembukaan semula sektor ekonomi.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS bantu tiga asnaf terkesan perintah kawalan

SHAH ALAM, 5 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyampaikan sumbangan bernilai RM14,250 kepada tiga komuniti asnaf di negeri ini, semalam yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu dalam kenyataan memaklumkan sumbangan diberikan adalah berupa barangan keperluan asas bagi memudahkan kelangsungan hidup mereka.

“Ini adalah sebahagian program tanggungjawab sosial korporat kami di bawah jenama Kasih PKNS dan nilai sumbangan adalah hasil peruntukan sebahagian wang zakat perbadanan,” katanya.

Antara penerima terbabit ialah daripada kalangan penduduk Kawasan Rukun Tetangga Taman Dagang, Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Keramat dan ahli kariah Masjid Darul Tahsis, Pulau Carey.

Ia disampaikan Ketua Pegawai Korporat PKNS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Wang Zakat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar di Dataran Barat, SACC Mall, Shah Alam di sini.

Categories
RENCANA WAWANCARA

PKP: Serah tugasan kepada wakil, pelajar pedalaman tetap semangat

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Google Classroom, Zoom mahupun Google Meet, merupakan antara wahana alternatif Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian yang semakin popular dalam dunia pendidikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Kaedah yang bergantung sepenuhnya kepada capaian internet ini menjadi pilihan tenaga pengajar termasuk guru dan pensyarah bagi memastikan golongan pelajar mampu meneruskan pelajaran dari kediaman masing-masing.

Ianya bertepatan dengan arahan kerajaan untuk semua duduk di rumah sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan ibu bapa serta pelajar yang mengeluh berikutan kekangan serta keterbatasan untuk menjayakannya PdP kerana capaian internet yang lemah serta tiada peranti elektronik khusus bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Namun begitu, bagi kebanyakan pelajar yang tinggal di bandar mahupun luar bandar, yang tidak begitu jauh dari kawasan pedalaman, guru masih boleh menghubungi mereka dengan telefon bimbit untuk diberi tugasan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Tidak kisahlah, sekiranya telefon itu hanya mempunyai fungsi asas sahaja, sekadar terima dan jawab panggilan, sekurang-kurangnya masih ada jaringan perhubungan.

Bagaimana pula halnya dengan pelajar yang tinggal jauh di pedalaman, apatah lagi dikelilingi hutan belantara tebal. Bukan sahaja mereka tidak mempunyai capaian internet, malah tidak juga mempunyai sebarang rangkaian talian komunikasi!

Berkemungkinan pelajar di kawasan berkenaan tidak dapat mengikuit sebarang program PdP berbanding rakan-rakan mereka yang tinggal di bandar atau luar bandar, yang masih mampu mendapat capaian internet.

Perkara ini bermain-main dalam pemikiran saya sepanjang PKP ini ketika ingatan singgah kepada sebuah kawasan pedalaman di Sarawak yang pernah saya kunjungi pada akhir 2018 untuk Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Hutan belantara

Terdapat sebuah rumah panjang, Anthony Bau, di kawasan pedalaman yang saya maksudkan itu yang didiami masyarakat suku kaum Iban. Ia terletak di daerah Julau, bahagian Sarikei.

Selain langsung tidak ada talian komunikasi, bukan mudah untuk sampai ke penempatan masyarakat Iban itu.

Rumah Panjang Anthony Bau itu sememangnya sangat ‘terpisah’ dengan dunia luar kerana hutan belantara yang tebal. Bagi membolehkan penduduk rumah panjang mendapatkan rangkaian komunikasi, mereka perlu ke pekan Julau yang memakan masa berjam-jam lamanya. Itu pun bergantung kepada pengangkutan, sama ada melalui sungai, jalan balak atau udara sahaja.

Sekiranya ke pekan Julau menerusi sungai dengan perahu panjang enjin sangkut , perjalanan mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam, dan mungkin lebih, bergantung kepada keadaan sungai untuk sampai ke Jeti Nanga Entabai yang terletak di Julau.

Dari jeti, untuk sampai ke Pekan Julau, perlu mengambil pengangkutan van dan jarak perjalanan kira-kira 45 minit.

Jika menggunakan jalan balak, perjalanan agak singkat iaitu kira-kira empat jam. Bolehlah menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal lasak namun berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman binatang buas, jalan licin disebabkan hujan serta berisiko kenderaan rosak.

Dengan segala kesukaran untuk mendapatkan ‘talian komunikasi’ ini serta terdedah kepada tragedi perahu karam mahupun terkandas di hutan belantara tebal serta kos perjalanan melebihi RM500 ke atas, apakah semuanya ini boleh mematahkan semangat anak pedalaman ini untuk belajar semasa PKP?

Semangat jitu

Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini, penulis menghubungi Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Julaihi Mahdi, 51, baru-baru ini.

Meskipun belajar jauh di pedalaman dikelilingi hutan belantara tebal, murid-murid sekolah di kawasan berkenaan maklum tentang Google Classroom serta Google Meet .

“Pada awal tahun, guru sudah memberi penerangan serta penjelasan kepada mereka. Namun, praktikalnya tidak dapat dilakukan pada masa itu termasuklah ketika ini disebabkan masalah talian komunikasi dan capaian internet. Jadi, apabila adanya PKP yang menuntut semua sekolah ditutup, keadaan ini memberi cabaran besar buat para guru.

“Bagaimana kami hendak memastikan murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran tambahan ketika ini semua guru berada di kediaman masing-masing dan tidak ada seorang pun di asrama sekolah,” kataJulaihi.

Beliau yang dihubungi melalui telefon dan e-mel berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju yang mempunyai 23 orang murid dari Rumah Panjang Lepong Bilat (Rumah Nyalih) dan Rumah Panjang Nanga Ju (Rumah Gerasi) adalah sekolah paling jauh berbanding tiga sekolah lain.

Dari jeti Nanga Entabai, terdapat tiga buah lagi sekolah sebelum sampai ke SK Nanga Ju iaitu SK Nanga Entabai, SK Lubok Asam dan SK Nanga Maong. SK Nanga Ju adalah sekolah paling jauh di laluan ini. Difahamkan kira-kira sejam perjalanan dari rumah panjang Anthony Bau.

Sekolah pedalaman ini ada dibekalkan dengan alat komunikasi iaitu internet yang menggunakan parabola bagi membolehkan perhubungan secara terus kepada satelit.

Namun begitu, Julaihi yang hampir tujuh tahun mengajar di sekolah tersebut berkata, kemudahan yang diberikan itu mengalami kerosakan pada awal tahun ini dan menyukarkan lagi melaksanakan PdP dalam talian.

“Pelaksanaan PKP menjejaskan perancangan para guru khususnya untuk pelajar yang menghadapi UPSR. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan membatalkan peperiksaan tersebut.

“Namun, itu bukanlah bermakna kami para guru seramai 10 orang dan 6 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) menjadikan kesukaran komunikasi sebagai alasan membiarkan sahaja murid begitu sahaja.

”Kami ada cara tersendiri untuk memastikan mereka tidak tercicir,” jelasnya yang kini berada di rumah keluarganya di Bintangor, Sarawak.

Cara kreatif

Menjelaskan lebih lanjut apa yang dinyatakan oleh Julaihi, Guru prasekolah SK Nanga Ju, Muhamad Fadheruhisham Daud, 29, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan memberitahu Bernama, terdapat beberapa cara, antaranya menyampaikan tugasan kepada wakil ibu bapa.

Menurut beliau, seorang wakil ibu bapa murid secara sukarela ke pekan Julau seminggu sekali untuk menghubungi guru menerusi telefon bagi mendapatkan tugasan murid selain membeli barangan keperluan.

Sebaik sahaja dapat dihubungi, guru yang sudah menyediakan bahan untuk latih tubi, lebaran kerja, aktiviti kuiz dalam bentuk salinan digital, mahupun gambar, akan memberikannya menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdapat juga latihan berpandukan buku teks kerana sudah mempunyai banyak maklumat dan lengkap, cuma perlu memberitahu muka surat sahaja.

“Sekembalinya wakil ibu bapa ini ke rumah panjang, ibu bapa murid lain akan bertemu dengannya, dan mengambil gambar tugasan tersebut menggunakan telefon bimbit masing-masing daripada telefon wakil berkenaan.

“Mesej tugasan tidak dapat dihantar kepada semua kerana mereka tidak ada talian,” katanya yang sudah hampir enam tahun mengajar di sekolah tersebut.

Selain itu, guru juga menggunakan khidmat Apai Lovy, 38, salah seorang kakitangan sekolah yang tinggal di Sarikei untuk menghantar tugasan yang sudah dicetak kepada wakil ibu bapa berkenaan di pekan Julau.

Bagaimanapun, sekiranya guru tidak dapat menghubungi mana-mana wakil ibu bapa selepas dua minggu, Apai Lovy akan ke rumah panjang berkenaan menggunakan jalan balak iaitu kira-kira lapan jam perjalanan (pergi balik) dari Sarikei untuk menghantar tugasan kepada mereka.

“Kebanyakan guru termasuk saya berada di Sarikei bersama keluarga dan ini memudahkan kami kumpul bahan dan berikan kepada Apai Lovy.

“Kami cuba pastikan mereka tidak tercicir pelajaran. Bagaimanapun, segala tugasan itu akan diperiksa guru selepas berakhirnya PKP nanti,” kata Muhamad Fadheruhisham ketika dihubungi menerusi telefon.

Puncak bukit

Murid-murid sekolah juga mempunyai cara tersendiri sekiranya mereka tidak faham akan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

Menurut Apai Lovy, individu penting yang menghantar tugasan tersebut ke rumah panjang, ibu bapa murid akan membawa anak mereka ke puncak bukit untuk cuba menghubungi guru sekolah.

“Bolehlah dapat talian tapi nyawa-nyawa ikan. Ada juga yang akan menghubungi cikgu mereka mengenai latihan ketika berpeluang mengikuti ibu atau ayah mereka ke pekan,” katanya.

Istimewanya, biarpun mereka tidak ada sebarang talian komunikasi namun kebanyakan rumah panjang di situ mempunyai televisyen yang dilengkapi dengan Astro Njoi.

Ini bukan sahaja membantu mereka mendapatkan informasi semasa mengenai COVID-19 bahkan juga program TV pendidikan menerusi saluran baharu RTM, TV Okey.

Bersiaran selama dua jam, pada pukul 9 hingga 10 pagi dan 1 tengah hari sehingga 2 petang setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, program itu sedikit sebanyak membantu murid di kawasan pedalaman.

“Mereka walaupun kurang kemudahan, saya perhatikan semangat belajar anak-anak ini kuat. Ibu bapa serta tuai rumah (ketua rumah panjang) pun sangat menitikberatkan pelajaran buat anak-anak ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP Sepang pantau barang keperluan asas, bekalan cukup

SHAH ALAM, 4 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sepang menjalankan pemantauan terhadap 25 barangan keperluan asas di sebuah premis di daerah itu semalam yang didapati masih mencukupi.

KPDNHEP dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap bekalan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman juga mencukupi tanpa berlaku pembelian panik.

“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap resit dan invois pembelian barangan bagi mendapatkan maklumat harga serta memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan yang kurang munasabah,” kata hantaran menerusi Facebook.

KPDNHEP turut mengingatkan peniaga untuk terus mengamalkan etika perniagaan yang baik dan mematuhi peraturan manakala pengguna dinasihatkan untuk sentiasa bijak dalam berbelanja.

Categories
ADN SELANGOR

4,725 kg ikan segar percuma diagih di Bukit Melawati

SHAH ALAM, 4 MEI: Sejumlah 4,725 kilogram (kg) ikan segar diagihkan secara percuma kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata jumlah itu melepasi sasaran awal sebelum ini iaitu sebanyak 3,800 kg bagi pengagihan ikan segar percuma.

“Alhamdulillah dengan keberkatan Ramadan ini, dapatlah saya berkongsi rezeki dengan penduduk Kuala Selangor di kawasan DUN Bukit Melawati (pemberian ikan seperti kembong atau cencaru).

“Sasaran kita sebanyak 3,800 kg namun atas permintaan yang tinggi dan sambutan menggalakkan, sehingga Sabtu lalu kita telah mengagihkan sehingga 4,725 kg ikan,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, pemberian itu diharap dapat memberikan kegembiraan kepada seluruh keluarga serta mengurangkan sedikit bebanan perbelanjaan dapur harian terutamanya dalam tempoh PKP yang sukar.

Semalam, agihan ikan segar percuma dilakukan di Kampung Pasir Tuntong, Tanjong Keramat, Taman Rajawali, Taman Kasawari, Kampung Sepakat, Kampung Asahan, Ladang Manmouth dan Taman Bukit Rotan.

Bantuan sama turut diberikan kepada warga Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor dan bomba Kuala Selangor serta Balai Polis Jeram.

Categories
AGENDA NASIONAL

Acara hiburan dilarang, kedai gunting rambut tidak dibenarkan

SHAH ALAM, 1 MEI: Kedai gunting rambut dan salon kecantikan kekal dilarang beroperasi di sebalik keputusan kerajaan membenarkan hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial dibuka mulai Isnin.

Kedua-dua perniagaan itu termasuk dalam senarai larangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi tatacara operasi piawai (SOP) pembukaan semula sektor ekonomi.

Berikutan antara senarai yang dilarang mengikut sektor:

Hiburan dan riadah

– Panggung wayang
– Pusat karoake
– Taman tema
– Muzium
– Busking

Perayaan, perarakan dan perhimpunan

– Perarakan keagamaan
– Aktiviti agama berjemaah di masjid/ rumah ibadat
– Sambutan hari ulang tahun pasukan keselamatan (perarakan)
– Sambutan hari raya kecuali dengan ahli keluarga terdekat (*perjalanan pulang hari raya akan diumumkan kelak)

Sukan

– Pertandingan melibatkan perhimpunan penonton (stadium)
– Aktiviti sukan dalaman (termasuk gimnasium)
– Kolam renang
– Sukan bersentuhan. Contoh ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang

Pendidikan

– Sukan semasa sesi persekolahan
– Aktiviti kokurikulum bersemuka
– Sebarang bentuk perhimpunan sekolah
– Sebarang bentuk majlis atau program lebih 10 orang

Aktiviti Sosial

– Kenduri-kendara
– Majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun atau sebagainya

Persidangan dan pameran

– Pameran kerjaya
– Pameran perkahwinan
– Promosi dan pakej pelancongan
– Karnival jualan
– Semua jenis persidangan melibatkan kumpulan ramai

Perniagaan (sama ada berpremis atau sebaliknya)

– Bilangan pelanggan terlalu ramai pada satu-satu masa (tertakluk kepada radius jarak minimum satu meter)
– Bazar Ramadan
– Bazar Hari Raya

Kedai pakaian dan aksesori fesyen

– Aktiviti acu pakaian

Dobi (khusus dobi layan diri)

– Aktiviti melipat pakaian

Perbankan dan Perkhidmatan Kewangan

– Urus niaga mendapatkan jualan (sales and marketing activities) di luar premis institusi kewangan atau kawasan awam tidak dibenarkan

Peladangan dan pertanian

– Hari bertemu pelanggan
– Hari jualan barang bekalan ladang (BBL)
– Pesta makan buah-buahan
– Kursus/ seminar
– Konvokesyen institut pertanian
– Lelongan jualan produk ternakan seperti ayam, telur, daging dan sebagainya

Perikanan

– Aktiviti perikanan rekreasi
– Pusat Taman Laut, pameran dan akuarium

Seni 

– Penggambaran filem
– Acara/ konsert/ program melibatkan orang awam di studio atau tempat awam
– Pameran melibatkan interaksi antara pekarya dan pelawat

Pelancongan dan perhotelan

– Penggunaan kemudahan hotel seperti surau, gimnasium, spa, sauna, lounge, kolam renang, bilik mesyuarat, dewan seminar, bilik latihan, restoran dan kafe (bagi tujuan bufet).

Categories
AGENDA NASIONAL

Restoran, gerai perlu amal SOP ketat elak jangkitan virus

SHAH ALAM, 1 MEI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan peniaga makanan supaya mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Beliau berkata amalan itu termasuk penjarakan sosial, kerap cuci tangan, memakai topeng muka dan melaporkan Jabatan Kesihatan jika ada maklumat jangkitan virus bagi melindungi kumpulan berisiko.

Berikutan SOP pemilik restoran dan gerai:

– Membersihkan restoran dan peralatan seperti pinggan, sudu, periuk dan lain-lain alat memasak serta menyusun meja dan kerusi.

– Pastikan meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya dua meter supaya ada ruang luas untuk pelanggan dan pekerja.

– Letak notis di setiap meja hanya untuk seorang hingga tiga, bergantung kepada saiz meja.

– Buat garisan di lantai depan kaunter bayaran sekurang-kurangnya satu meter.

– Sediakan cecair pencuci kuman di kaunter manakala sabun atau pencuci mencukupi di tempat basuh tangan.

– Beli penyembur pembersih meja mencukupi. Bersihkan meja sebelum pelanggan lain duduk.

– Sediakan penutup mulut dan hidung untuk pekerja

– Periksa suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke restoran

– Catat nama dan nombor telefon pelanggan serta tarikh dan masa mereka ke restoran supaya pengesanan kontak mudah dibuat jika ada kes positif Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sukan kelompok besar kekal dilarang, riadah dibenarkan

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan kekal tidak membenarkan kegiatan sukan membabitkan kelompok besar tetapi memberi kelonggaran kepada riadah tertentu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua acara sukan melibatkan sentuhan sama ada di dewan atau stadium termasuk bola sepak, ragbi dan renang kekal dilarang.

“Jadi, saudara saudari boleh bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton. Joging, kayuhan basikal, golf dan larian dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial dan elakkan sentuhan badan,” katanya dalam perutusan Hari Pekerja hari ini .

Selain itu, Muhyiddin berkata majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa masih tidak dibenarkan.

“Konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Senarai lengkap aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk melalui laman sesawang Majlis Keselamatan Negara yang disemak dari masa ke semasa bergantung perkembangan kes jangkitan Covid-19.