Categories
SELANGOR SUKANKINI

Gagal kekal rentak punca kekalahan T-Team

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 OKT: T-Team gagal mengekalkan rentak cemerlang dalam separuh masa pertama hingga mengakibatkan Selangor berjaya mengatasinya 2-1 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.

Ketua Jurulatih, Rahmad Darmawan berkata, pasukannya sudah berjaya memberikan persembahan baik seperti mana diinginkan bagi menyaingi The Red Giants tetapi sedikit kesilapan membawa padah hingga T-Team menempah kekalahan.

“Kita berani membuka permainan dengan hantaran cantik dan kemas untuk bermain dengan tenang tetapi menghadapi masalah pada separuh masa kedua dengan Selangor mula memberi tekanan melalui rangkaian pemainnya mengatur gerakan berterusan.

“Dengan pemain menghadapi tekanan serta tidak beraksi secara biasa memudahkan Selangor menguasai permainan hingga mencatat kemenangan,” katanya dalam sidang media di Stadium Shah Alam, di sini.

Dalam aksi separuh akhir pertama itu, T-Team tewas 1 – 2 kepada Selangor hasil jaringan Hazwan Bakri (m45) dan Ugo Ukah (m80) manakala gol saguhatinya dilakukan Patrick Cruz (m22) melalui sepakan penalti.

rahmad-darmawanBagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan yang bekerja keras mengekang kebangkitan lawan dan hanya tewas tipis.

Katanya, jika dilihat pada keputusan perlawanan itu ternyata T-Team masih berpeluang untuk meraih kemenangan seterusnya mengatasi Selangor dalam separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 15 Oktober ini.

“Dalam perlawanan malam ini (tadi) Selangor memperoleh banyak peluang serta seharusnya menang dengan lebih besar tetapi inilah bola sepak dan kita akan lebih bersedia untuk perlawanan kedua.

“Dengan keputusan ini juga bermakna kita masih berpeluang tambahan akan beraksi di laman sendiri pula.

“Bagaimanapun kita perlu merancang strategi tepat bagi menghalang kemaraan Selangor dan menutup setiap ruang untuk mereka,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor-KL sekadar seri

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 20 OGOS: Selangor dan Kuala Lumpur seri 1 – 1 dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di sini, malam ini.

The City Boys terlebih dahulu mengatasi skuad Merah Kuning menerusi jaringan Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-42.

Bagaimanapun, The Red Giants bertindak balas menyamakan kedudukan hasil sentuhan penyudah Ahmad Hazwan Bakri (m68).

Dalam separuh masa pertama, Selangor dan Kuala Lumpur berusaha mengatur gerakan berkesan bagi mencari gol awal, namun hampa dengan barisan pertahanan masing-masing berjaya mengekang serangan dilancarkan.

Pengendali Selangor, K Gunalan terpaksa membuat pertukaran awal dengan mengeluarkan Hafiz Kamal (m11) akibat ditimpa kecederaan dan digantikan S Veenod.

Biarpun sekadar melengkap jadual perlawanan dengan kedua pasukan merehatkan beberapa tunggak utama, namun Kuala Lumpur menggunakan peluang terhidang sebaiknya tiga minit sebelum separuh masa berakhir dan Fahrul Razi menewaskan Norazlan Razali untuk gol pendahuluan.

IMG_20160820_222015_858Selangor yang layak ke suku akhir menggandakan usaha pada separuh masa kedua dengan memasukkan Andik Vermanshah (m55) menggantikan Faizzudin Abidin.

Percaturan Gunalan berhasil apabila Andik berjaya mengucar kacirkan pertahanan lawan dan satu hantaran ke depan gol lawan dibuatnya disambut kemas Hazwan untuk gol penyamaan juara bertahan itu.

Perlawanan berterusan hingga ke akhir dengan keputusan tidak berubah.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Pahang menewaskan Kelantan 2 – 0 tetapi skuad The Red Warriors kekal di tangga kedua dan layak ke pusingan seterusnya.

KEPUTUSAN LAIN:

PDRM 2 – 1 PERAK
PKNS 1 – 1 JDT

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Piala Malaysia: Selangor atasi Kelantan, layak ke suku akhir

OLEH HAFIZAN TAIB

KOTA BHARU, 12 OGOS: Misi Selangor memungut tiga mata penuh tercapai selepas membelasah Kelantan 4 – 1 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.

Kemenangan itu melayakkan The Red Giants ke suku akhir Piala Malaysia seterusnya mendahului Kumpulan B biarpun berkongsi mata dengan skuad kendalian Velizar Popov.

Skuad kendalian K Gunalan memulakan pesta gol dengan jaringan pertama melalui Abdul Hadi Yahya pada minit ke 21.

Gol dihasil Hadi dengan sepakan penalti selepas Patrick Ronaldinho Wleh dijatuhkan penjaga gol lawan, Mohd Shahrizan.

Gol kedua menyusul dua minit kemudian daripada R Gopinathan yang menyudahkan hantaran Ronaldinho.

SEL-KELRonaldinho (m26) mengambil giliran sebagai penjaring dengan menolak masuk hantaran ketua pasukan, Andik Vermanshah, menewaskan Mohd Shahrizan.

Ketinggalan 0 – 3, Kelantan menggandakan asakan ke depan pintu gol Selangor dan kesilapan Ugo Ukah menjatuhkan ketua pasukan lawan, Indera Putra Mahayuddin membawa padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti.

Wan Zaharulnizam (m35) menjadikan kedudukan 1 – 3 apabila berjaya memperdaya Mohd Khairulazhan.

Penyandang juara Piala Malaysia musim lalu, Selangor kehilangan memulakan separuh masa kedua tanpa Mohd Bunyamin Umar (m46) apabila dilayangkan kad kuning kedua selepas menjatuhkan Danial Ashraf.

SEL-KEL 1Bermain dengan sepuluh pemain, The Red Giants diasak rangkaian penyerang Kelantan berterusan, namun bahagian pertahanan kekal bertahan kukuh.

Sebaliknya, R Gopinathan (m56) terus menghadirkan ceria dengan gol kedua peribadi untuk kedudukan Selangor mendahului Kelantan 4 – 1.

Biarpun telah layak ke suku akhir, skuad Pamoga Qu Putih The Red Warriors sedikit hampa apabila keputusan kekal dan memihak Selangor hingga wisel penamat.

KEPUTUSAN LAIN:

MELAKA UNITED 2 – 0 NS MATRIX
PAHANG 2 – 1 KUALA LUMPUR
TERENGGANU 0 – 3 FELDA UNITED

-nR-

Categories
SELANGOR

Menang tipis, Selangor perlu segera bentuk konsentrasi mantap

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 JUL: Kemenangan tipis dan Selangor perlu segera membentuk persefahaman mantap bagi menghadapi cabaran getir dalam usaha mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, berkata mengakui masih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan persembahan pasukan biarpun berpuashati dengan kejayaan menundukkan Kuala Lumpur 1 – 0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

ZAINAL ABIDIN“Kita nampak ada beberapa kelebihan diperoleh dan cara pemain menguasai permainan tetapi beberapa peluang keemasan terhidang masih lagi kita persia-siakan.

“Selepas berehat panjang, saya rasa pasukan mula menunjukkan peningkatan dan boleh ditingkatkan lagi,” katanya kepada media di sini, malam tadi.

Selangor mengalahkan Kuala Lumpur hasil jaringan pemain gantian, Adam Nor Azlin pada minit ke 88 menggantikan Andik Vermandshah.

Zainal nyata berpuashati dengan persembahan Adam yang sentiasa menunjukkan persembahan baik setiap kali diturunkan.

“Adam mendapat peluang dan menjaringkan gol, memang dia seorang pemain yang bekerja keras dan memberikan persembahan sepenuhnya di mana sahaja dia diletakkan.

“Mengenai persembahan Ugo Ukah, dia menunjukkan persembahan baik dan perlu lebih mengenali pemain lain dalam pasukan,” katanya.

CP2A0607-800x533Bagaimanapun, beliau nyata gembira dengan kejayaan memungut tiga mata di halaman sendiri dicapai Selangor dan tumpuan kini terarah perlawanan Liga Super dengan The Red Giants melayan kunjungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, Sabtu ini.

“Dengan jadual padat, pemain perlu menunjukkan lebih konsentrasi dan fokus untuk perlawanan liga supaya tidak kehilangan mata,” katanya.

Sementara itu, Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Ismail Zakaria, berpuashati dengan persembahan pemainnya yang berjaya mengekang kemaraan Selangor di sepanjang perlawanan itu selepas berehat panjang ekoran sambutan Ramadan dan Aidilfitri.

“Pemain Kuala Lumpur sudah berusaha melakukan segalanya namun pergelutan di depan gol digunakan sepenuhnya Selangor dengan memperoleh gol dan nasib menyebelahi mereka.

“Kesungguhan ditunjukkan pemain memberi harapan kepada Kuala lumpur untuk perlawanan seterusnya kerana yang penting bagi saya perlawanan Liga Perdana menentang Melaka United, Sabtu ini,” katanya.

Beliau berkata, skuad bimbingannya juga dalam usaha membentuk keserasian dengan kemasukan dua tenaga import baru dari Chile, Jonathan Zorrilla Viviana dan Diego Inostroza Mellao.

-nR-

Categories
SELANGOR

Piala Malaysia: Gol tunggal Adam ceriakan Selangor, musnah harapan KL

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 JUL: Gol tunggal jaringan pemain gantian, Adam Nor Azlin, melegakan Selangor dengan mencatat kemenangan tipis 1 – 0 ke atas Kuala lumpur dalam perlawanan perbukaan Piala Malaysia musim ini.

Ternyata percaturan Ketua jurulatih, Zainal Abdin Hassan, memasukkan pemain itu menggantikan Andik Vermanshah pada minit ke 86 membuahkan hasil bagi memungut tiga mata dengan jaringan dicari menyusul dua minit selepas itu.

CP2A0607-800x533Ia terhasil menerusi gerakan dilancar skuad Merah Kuning di hadapan pintu gol Kuala Lumpur dengan Adam melepaskan sepakan kencang melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Badrul Zaman Halim.

Gol terbabit memusnahkan impian skuan bimbingan Ismail Zakaria yang mengharapkan pengakhiran sekurang-kurangnya seri selepas berjaya bertahan selama 88 minit perlawanan.

Perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam di sini, malam ini selepas rehat panjang Liga Malaysia, bermula agak hambar dengan kedua-dua pasukan berjiran di Lembah Klang itu berusaha membentuk keserasian ditambah kemasukan pemain import baru Selangor, Ugochukwu Ukah serta Jonathan Viviana dan Diego Mellao (Kuala Lumpur).

Selepas gagal mencari jaringan pada separuh masa pertama, The Red Giants menukar corak permainan dengan membuat pertukaran memasukkan R Gopinathan (m65) dan Hafiz Kamal (m77) mengambilalih peranan Patrick Ronaldinho dan S Veenod.

CP2A0523-800x533Sebelum itu, Ukah (m61) menggamatkan seketika penyokong tuan rumah apabila tandukannya terkena pemain pertahanan lawan di garisan gol Kuala Lumpur.

Beberapa percubaan selepas itu menerusi Andik (m78) dan Mario Olivi (m79) juga tidak berhasil termasuk serangan balas City Boys menerusi Konte Modiro (m54) dan Rashid Aya (m70).

Penonton terutama penyokong tuan rumah yang agak hampa ekoran ketiadaan jaringan gol hanmpir di sepanjang perlawanan bagaimanapun terhibur dengan kemasukan Adam yang memisahkan kedua-dua pasukan menerusi satu percubaan tepat menerjah jaring gol lawan dua minit sebelum perlawanan berakhir.

KEPUTUSAN LAIN:

FELDA UNITED 3 – 1 NS MATRIX
JDT 2 – 2 PKNS FC
KELANTAN 1 – 0 PAHANG
MELAKA UNITED 2 – 1 TERENGGANU
T-TEAM 2 – 2 JDT II

-nR-

Categories
SELANGOR

Piala Malaysia: Selangor bertemu Kelantan sekali lagi

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Selangor bakal bertemu Kelantan sekali lagi untuk kali ke tiga dan keempat musim ini dalam misi mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi 2015.

Diundi dalam Kumpulan B, Selangor bakal dicabar satu lagi negeri pantai timur Pahang dan Kuala Lumpur.

Piala MalaysiaTumpuan pastinya terarah kepada Kumpulan C yang menyaksikan Juara Piala FA 2016, Johor Darul Takzim (JDT) yang diundi bersama Selangor PKNS FC.

Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diundi dalam Kumpulan C yang boleh disifatkan sebagai ‘Kumpulan Maut’.

JDT dan Selangor PKNS sebelum ini bertemu dalam final Piala FA 14 Mei lalu yang menyaksikan JDT menang 2-1.

Kumpulan A pula menyaksikan Johor Darul Takzim II (JDT II) diundi bersama Terengganu T-Team, Kedah dan Sarawak.

Kumpulan D dilihat seimbang apabila dua pasukan berjiran, Negeri Sembilan dan Melaka diundi bersama Felda United FC dan Terengganu.

Format baharu Piala Malaysia yang diperkenalkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bermula tahun ini, menyaksikan 11 pasukan terbaik Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Perdana, selepas berakhir 11 perlawanan liga masing-masing, layak beraksi ke Piala Malaysia.

Setiap pasukan akan bermain secara liga dua pusingan – tiga perlawanan selaku tuan rumah dan tiga perlawanan sebagai pasukan pelawat, dalam saingan Piala Malaysia, dijangka bermula akhir Julai ini.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke suku akhir Piala Malaysia yang menggunakan format timbal balik.

Keputusan Undian:

Kumpulan A: Terengganu FC II, Kedah, Sarawak, JDT II

Kumpulan B: Selangor, Kelantan, Pahang FC, Kuala Lumpur

Kumpulan C: JDT, PDRM, Perak, PKNS FC

Kumpulan D: Felda United, Terengganu FA, Melaka United, Negeri Sembilan

EZY

Categories
SELANGOR

Abdul Hadi: Tuah kembali bermain bersama Selangor

Oleh : AFIX REDZUAN

SELAYANG, 20 DIS: Tuah kembali beraksi bersama Selangor menyaksikan Abdul Hadi Yahaya menjadi antara tunjung kejayaan pasukan merealisasikan Misi 33 musim ini.

Pernah berkelana di Terengganu dan Perak, namun kejayaan menjulang Piala Malaysia bersama negeri kelahiran menjadi kenangan manis dalam karier bola sepak anak kelahiran Klang itu.

HADI YAHYA“Alhamdulillah, berjaya membawa pulang kembali Piala Malaysia ke Selangor dan murah rezeki kami musim ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Abdul Hadi selaku pemain tengah turut beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ketika Selangor berjaya menewaskan Kedah 2-0.

Jelasnya, kehadiran pemain import menyaksikan kesemua pemain terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama tambahan Selangor akan beraksi dalam Piala AFC musim hadapan.

Categories
SELANGOR

Andik: Masanya balas jasa penyokong

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 18 DIS: Bintang bola sepak Indonesia, Andik Vermansyah bersyukur menjadi pemain ketiga dari negara republik itu berjaya menjulang Piala Malaysia.

Katanya, kerja keras sepasukan menjadi kunci utama kejayaan Selangor musim ini bukan bergantung kepada kekuatan individu.

interview andikAndik berkata, tumpuan akan diberikan untuk musim hadapan termasuk aksi di pentas Piala AFC.

“Alhamdulillah, nyata bukan mudah untuk menjulang piala tanpa bekerja keras.

“Kita memerlukan lebih kosenterasi dan berhati-hati untuk beraksi di peringkat Asia,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Bambang Pamungkas dan Ellie Aboi adalah pemain dari Indonesia yang berjaya menjulang Piala Malaysia bersama Selangor.

Katanya, kehadiran penyokong sangat membanggakan dan kini masanya pemain membalas jasa serta sokongan yang diberikan sepanjang musim ini.

“Saya rasa selesa dan kami memerlukan penyokong selaku pemain ke-12. Mereka sudah menyokong dan kini giliran kami menghiburkan penyokong,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Wira Piala Malaysia disambut meriah

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 18 DIS: Suasana gamat menyelubungi perkarangan pentas utama Selangor Agrofest apabila lebih dari 400 penyokong menyambut ketibaan wira Piala Malaysia 2015, di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Penyokong mula bersesak sejak jam 3 petang untuk melihat sendiri pemain dan Piala Malaysia yang dimenangi Red Giants selepas menewaskan Kedah 2-0, pada 12 Disember lalu.

IMG_20151218_161239Pengurus pasukan, Amirudin Shari mengetuai perarakan bersama pemain yang tiba sambil disambut dengan tarian gendang rakyat.

Penyokong turut memanfaatkan peluang mendapatkan tandatangan poster kemenangan dan berselfie bersama pemain.

Piala Malaysia yang dimenangi Selangor turut dibawa bersama dan dipamerkan kepada umum.

Jurulatih Selangor, Mehmed Durakovic ketika ditemui gembira dengan sokongan dipamerkan ‘pemain ke-12’ yang menjadi nadi kekuatan pasukan musim ini.

Katanya, perasaan menakjubkan dapat dirasakan apabila merealisasikan Misi 33 sebagai jurulatih selepas berjaya merangkul piala sama sebagai pemain sebanyak tiga kali.

Mehmet“Menakjubkan apabila saya menang Piala Malaysia sebagai pemain dan kapten sebanyak tiga kali dan kali ini sebagai jurulatih.

“Saya bangga dapat merealisasikan Misi 33 dengan jayanya selepas 10 tahun menanti sebagai jurulatih,” katanya kepada Selangor Kini.

Mehmed adalah ketua pasukan Selangor ketika Red Giants memenangi Piala Malaysia pada 1995, 1996 dan 1997.

Untuk musim hadapan, beliau berkata segalanya terserah kepada pengurusan memandangkan Selangor bakal beraksi dalam Piala AFC.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Piala Malaysia dipamer di Lobi SUK

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 16 DIS: Penyokong pasukan Selangor berpeluang melihat dari dekat trofi bola sepak berprestij, Piala Malaysia yang dipamer di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tidak lama lagi.

Ia susulan kejayaan skuad Gergasi Merah menamatkan kemarau kemenangan Piala Malaysia sejak sedekad lalu apabila menumpaskan Kedah pada Sabtu.

Interview Datuk Khusrin SUK (9)Simbolik penyerahan dilakukan Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari kepada Datuk Mohammed Khusrin Munawi di SUK, semalam.

Trofi itu dipamer selama sebulan di SUK dan dijangka dibawa ke seluruh Selangor untuk dikongsi bersama penyokong.

Perlawanan penuh bersejarah itu menyaksikan Selangor berjaya merealisasikan “Misi 33” iaitu kejayaan ke-33 sebagai pasukan paling banyak merangkul kejuaraan Piala Malaysia.

Kali terakhir Selangor berjaya menjulang Piala Malaysia pada 2005.

Kejayaan Selangor membawa pulang Piala Malaysia disifatkan sebagai “hadiah” buat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-70.

Selangor adalah pasukan paling banyak merangkul kejuaraan itu iaitu sebanyak 33 kali, manakala Kedah hanya empat kali.

EZY

Categories
SELANGOR

Piala Malaysia: Jelajah kemenangan seluruh daerah

Oleh: ROSDI MOHAMAD

SHAH ALAM, 15 DIS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bakal mengadakan siri jelajah meraikan kemenangan ke seluruh daerah bermula 18 Disember (Jumaat) hingga 20 Disember (Ahad) ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata siri jelajah Piala Malaysia itu bermula di daerah Kuala Selangor, Klang, Sepang dan Selayang.

Piala MalaysiaKatanya, beliau mahu penyokong di setiap daerah berpeluang melihat sendiri piala kebanggaan yang sudah sepuluh tahun tidak dimiliki oleh pasukan The Red Giants itu.

“Perarakan pertama di Kuala Selangor bermula jam 3 hingga 6 petang. Perarakan piala bermula dari Masjid Jami’ Sultan Ibrahim seterusnya ke Stadium Tertutup Kuala Selangor.

“Daerah Klang pada 19 Disember bermula di Shell Bandar Botanik ke GM Klang bermula jam 5 hingga 7 petang.

“Manakala di kawasan Sepang pula pada 20 Disember, perarakan bermula jam 11 pagi hingga 1 petang dari Stesen Bas Bandar Baru Salak Tinggi ke Stadium Mini Majlis Perbandaran Sepang.

“Seterusnya, bagi daerah Selayang pada 20 Disember juga pula bermula di bermula di Dataran Ilmu dan berakhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bermula jam 4 hingga enam petang,” katanya kepada Selangor Kini.

Interview Datuk Khusrin SUK (9)Beliau berkata dalam siri jelajah itu, pihaknya turut menyediakan cabutan bertuah dan poster pasukan yang ditandatangani oleh semua pemain.

Red Giants berjaya menamatkan kemarau sepuluh tahun dalam “Misi 33” apabila menjuarai Piala Malaysia edisi ke-89 Sabtu lalu.

Selangor menerusi dua jaringan penyerangnya, Ahmad Hazwan Bakri berjaya menewaskan pasukan Kedah dengan 2-0.

Kemenangan itu juga sebagai hadiah istimewa kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-70 pada 11 Disember lepas.

Selangor menjuarai Piala Malaysia kali terakhir pada tahun 2005 menewaskan pasukan Perlis.

EZY

Misi 33 Tercapai


Misi 33 Tercapai: Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33 selepas menewaskan Kedah 2-0