Categories
SUKANKINI

Bagai pesta satukan rakyat dua negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SINGAPURA, 7 MEI: Pertandingan Piala Sultan Selangor yang berlangsung di sini, semalam, jelas menceriakan warganya yang menyifatkan ia sebagai cara muhibbah dengan penyertaan ramai.

Selepas tujuh tahun, ia kembali ke Stadium Nasional Singapura mempertemukan Pilihan Singapura dan Pilihan Selangor diwakili PKNS FC yang berkesudahan pasukan tuan rumah menang 3-2.

Bagaimanapun, keputusan terbabit bukan persoalan utama bagi penduduk tempatan kerana ia memberi makna lebih besar apabila dapat bersama saudara dan rakan taulan terutama dari Malaysia.

Rosinah Mohd Don berkata, beliau gembira apabila pertandingan itu diadakan di sini, dengan kehadiran ramai orang

“Selain kehadiran pelancong, ia memberi suasana berbeza di kota ini yang bagaikan pesta.

“Saya harap akan ada lagi selepas ini kerana dapat bertemu ramai orang terutama dari Malaysia yang amat ramah juga baik,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_20170506_231903Seorang rakyat Malaysia yang bertugas di sini, Salim Ismail berkata, peluang tidak dilepaskannya untuk bertemu rakan yang datang menyaksikan perlawanan itu.

“Saya gembira kerana bukan setakat dapat menyaksikan perlawanan ini tetapi juga bersama kawan dari Malaysia.

“Walaupun saya juga balik bila bercuti tetapi pastinya keadaan ini berbeza bila berkesempatan begini,” kata pemuda dari Kajang, Selangor itu.

Pertandingan Piala Sultan Selangor hasil cetusan idea DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mempertemukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura, yang satu ketika dahulu bersaing hebat dan musuh tradisi dalam Liga Malaysia.

Categories
SUKANKINI

Tidak cukup nafi kejayaan Singapura

OLEH HAFIZAN TAIB

SINGAPURA, 7 MEI: Walaupun Pilihan Selangor memberi cabaran hebat kepada Singapura untuk meraih Piala Sultan Selangor, namun ia masih belum mencukupi bagi mencipta kejayaan.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional, di sini, pasukan seberang Tambak Johor itu mengekalkan kejuaraan dengan mengalahkan Pilihan Selangor 3-2.

“Apabila kita gagal dengan penalti (menjaringkan gol) ia memberi kelebihan kepada lawan.

“Tentunya saya kecewa kerana kita juga gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang bagi menghasilkan gol,” kata jurulatih Pilihan Selangor, E Elavarasan dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Beliau berkata, sebagai sebuah pasukan kelab (PKNS FC), pasukannya berjaya memberi cabaran kepada pilihan Singapura yang ternyata lebih baik dengan jentera serangan memberikan tekanan kepada pasukannya.

Katanya, bagaimanapun Pilihan Selangor berjaya mencabar hebat terutama pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan tetapi hanya gol dicarikan tidak diperoleh.

IMG_20170506_232450“Jika keputusan menjadi 3-3 dan perlawanan perlu ditentukan dengan sepakan penalti, saya kira lebih adil tetapai tidak adil pula untuk pilihan Singapura kerana mereka bermain lebih baik,” katanya.

Ketua pasukan Pilihan Selangor, Safee Sali gagal menjaringkan gol pada minit ke-52 bagi merapatkan jurang selepas ketinggalan 2-0 tetapi menebus kesilapan dengan jaringan pertama hasil percubaan bahaya ke jaring lawan sepuluh minit kemudian diikuti jaringan Gonsalo Soto (m76).

 

Bagaimanapun, dua gol itu tidak cukup untuk menafikan penguasaan pilihan Singapura dengan tiga gol dijaringkan Khairul Nizam (m10), Shakir Hamzah (m43) dan Faris Ramli (m59).

Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, barisan pemainnya berjaya menyerap tekanan Pilihan Selangor dengan permainan berkesan dan tersusun.

“Kita berjaya dengan gerakan tersusun melalui gandingan mantap pemain disertai sokongan penonton sepanjang perlawanan.

“Akhirnya kita berjaya dan kejayaan ini tentunya menggembirakan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Pemain tekad pamer aksi terbaik, rampas Piala Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SINGAPURA, 6 MEI: Pemain PKNS FC bersedia mempamerkan aksi terbaik bagi mengatasi cabaran Pilihan Singapura dalam perlawanan merebut kejuaaraan Piala Sultan Selangor di Stadium Nasional, di sini, malam ini.

Ketua pasukan, Safee Sali, berkata peluang diperoleh The Red Ants dalam penyertaan ke perlawanan itu sebagai Pilihan Selangor, akan digunakan sebaik mungkin semua pemain bagi memenuhi misi menjuarai piala berprestij itu.

“Memang agak sukar bila kami beraksi di gelanggang lawan tetapi kami akan cuba yang terbaik dan apabila bermain dalam pertandingan seperti ini semua pemain bersedia selain merasai suasana gemilang pertandingan.

“Bagi pemain PKNS FC, ini satu penghargaan apabila diamanahkan bermain dalam Piala Sultan Selangor dan kami akan berusaha untuk merampas kembali piala ini.

“Kami akan cuba memenanginya untuk DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya kepada SelangorKini di sini.

Pemain kebangsaan itu berkata, walapun diakui sukar berdepan pasukan The Lions di Stadium Nasional namun beliau berharap rekod baiknya ketika menentang mereka akan berterusan dalam pertemuan itu serta membantu rakan sepasukan memburu jaringan gol.

Beliau berkata, ia juga pengalaman dan peluang sekali lagi bagi dirinya bersama PKNS FC untuk bermain dalam Piala Sultan Selangor kerana sebelum ini pernah mewakili The Red Giants.

“Ia (prestasi PKNS FC dalam Liga Super) tidak mempengaruhi kerana ia satu pertandingan berbeza tetapi kami inginkan kemenangan dalam pertandingan ini sendiri kerana jika menang ia satu sokongan moral untuk menghadapi Liga Super khususnya berdepaan Kedah selepas ini,” katanya.

Dalam sebelas perlawanan Liga Super setakat ini, PKNS FC mencatat dua kemenangan, empat seri dan lima kalah untuk menduduki tangga ke sembilan dengan 10 mata.

Ketua pasukan Pilihana Singapura, Haris Harun berkata, dengan sejarah penuh warna-warni kedua-dua pasukan dalam pertandingan itu dan ia pasti pertemuan menarik.

“Semua pemain bersemangat tinggi dan saya kira perlawanan 90 minit akan menyajikan saingan baik untuk kedua pasukan.

“Kita berharap untuk mencipta kejayaan tambahan Piala Sultan Selangor kembali ke Singapura selepas sekian lama di mana sebagai pasukana tuan rumah, kita mahu menghadiahkan kejuaraan kepada peminat tempatan,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Tekad bawa pulang Piala Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SINGAPURA, 6 MEI: PKNS FC bakal turun habis-habisan bagi mengatasi Pilihan Singapura untuk merealisasikan impian membawa pulang Piala Sultan Selangor ke bumi Selangor.

Biarpun menyedari tugas berat bakal dipikul namun jurulatih, E Elavarasan, menganggap pertemuan menentang skuad The Lions di Stadium Nasional, di sini, adalah peluang terbaik pasukan bimbingannnya bagi membalas kepercayaan semua pihak berkaitan khususnya DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“PKNS FC berbangga terpilih mewakili Selangor.

“Kita tahu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan dan kita akan berusaha untuk membawa balik Piala Sultan Selangor ke Selangor. Itu sasaran kita,” katanya kepada SelangorKini di sini.

Turun selaku Pilihan Selangor, Elavarasan menyandarkan harapan kepada pemain skuad Liga Supernya untuk mencatat kemenangan ke atas pasukan kendalian Fandi Ahmad itu yang diakui lebih mantap.

Bagaimanapun, katanya, The Red Ants tidak mudah mengaku kalah untuk mencapai misi ditetapkan.

“Kita akan menggunakan pemain sama (Liga Super) untuk menandingi Pilihan Singapura.

“Ia misi yang kita rasa bukan mustahil (untuk direalisasikan),” katanya.

Penolong jurulatih Pilihan Singapura, Nazri Nasir, dalam sidang media berkata, pasukannya hanya fokus untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti.

“Skuad ini adalah gabungan pemain muda dan senior selain kehadiran ketua pasukan, Haris Harun akan banyak membantu Pilihan Singapura dalam mencapai matlamat (menjuarainya).

“Kita harap ia akan menjadi persembahan menarik yang menghiburkan peminat dengan ramai hadir bagi memberi sokongan,” katanya.

Selain pertemuan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura, dua perlawanan lain pada esok ialah antara Veteran Selangor dan Veteran Singapura serta pasukan Sekolah Sukan Singapura Bawah 16 tahun menentang Gabungan Sekolah-Sekolah Selangor.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

PKNS FC mahu bawa pulang Piala Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: PKNS FC meletakkan sasaran untuk membawa pulang Piala Sultan Selangor dalam pertemuan menentang Pilihan Singapura, di Stadium Nasional, Singapura pada Sabtu ini.

Jurulatihnya, E Elavarasan berkata pemilihan PKNS FC untuk mewakili Selangor merupakan satu penghormatan yang besar dan pasukannya akan beraksi sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita membawa nama Selangor dan pastinya Pilihan Singapura merupakan satu skuad yang mantap dengan gabungan pemain tempatan serta import.

“Tidak banyak perubahan daripada pasukan kita namun PKNS FC akan memberikan persembahan terbaik untuk edisi ke-16,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, PKNS FC sedia menurunkan kesebelasan utama terbaik seperti sebelumnya disamping pengalaman beraksi menentang Lions XII dalam aksi liga sebelum ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Beliau turut berharap pemainnya bebas daripada kecederaan kerana PKNS FC dijadualkan bertemu Kedah pada 9 Mei dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Super.

“Kedua-dua perlawanan penting bagi kami tetapi kita fokus menentang Pilihan Singapura terlebih dahulu.

“Dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku. Kalau kita beraksi dengan baik, tidak mustahil keputusan positif kita mampu capai,” katanya.

Kejohanan Piala Sultan Selangor 2017 turut menyaksikan pertembungan antara veteran Selangor bertemu veteran Singapura selain pertandingan Piala Kejohanan Sekolah Selangor dan Singapura yang bakal disertai pelajar di bawah umur 16 tahun.

Penganjuran edisi ke-16 kali ini menyaksikan penajaan berjumlah RM1.06 juta daripada 14 syarikat dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tampil sebagai penaja utama menerusi tajaan berjumlah RM200,000.

=EZY=

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Piala Sultan Selangor 2017 perkenal kategori bawah 16 tahun

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 APR: Berbeza dengan penganjuran sebelum ini, Piala Sultan Selangor 2017 yang diadakan di Stadium Nasional Singapura bakal menampilkan kategori bawah 16 tahun.

Pengerusi/Pengurus Pasukan TSSC 2017, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, kategori itu membabitkan pemain pasukan sekolah bawah 16 tahun di Selangor dan Singapura.

“Terima kasih ditujukan kepada pemain PKNS FC yang mewakili Selangor dan pemain Singapura, pemain veteran Selangor dan Singapura, juga pemain di bawah 16 tahun pasukan Selangor dan Singapura, wakil penyokong bola sepak Selangor dan Singapura, Persatuan Bola Sepak Singapura serta individu terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam menjayakan Piala Sultan Selangor 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Piala Sultan Selangor 2017 di Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Sebelum itu, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis yang turut dihadiri pemain PKNS FC.

Baginda turut berkenan menerima sumbangan daripada penaja kejuaraan yang mengimbas nostalgia pertembungan dua musuh tradisi Piala Malaysia, Selangor dan Singapura.

Selangor pada edisi ke-16 kali ini diwakili PKNS FC sama seperti 2004 apabila Selangor ketika itu diwakili MPPJ FC.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

110 bas ditempah saksikan Piala Sultan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 APR: Ahli Jawatankuasa Sekretariat Piala Sultan Selangor 2017 menyediakan 110 bas untuk kemudahan peminat bola sepak di negeri ini menyaksikan perlawanan membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menentang pasukan Singapura pada 6 Mei nanti.

Pengerusi/Pengurus Pasukan TSSC 2017, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, perlawanan itu dijangka bertambah menarik apabila buat kali pertama selepas tujuh tahun perlawanan itu diadakan semula di Stadium Nasional, Singapura sejak diubahsuai.

“Sungguhpun bas disediakan secara percuma dan tiket dijual dengan harga RM10 tetapi yang lebih penting sambutan yang memberangsangkan dipamerkan oleh penyokong bola sepak Selangor berasaskan semangat sokongan yang jitu kepada pasukan kita.

“Ini selaras dengan hasrat murni Piala Sultan Selangor yang memberi ruang istimewa untuk semua lapisan masyarakat bersama terhibur dengan acara tahunan hasil cernaan idea oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku (DYMM),” kata Abd Karim pada Majlis Minum Petang Piala Sultan Selangor 2017 di Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Jelasnya, pihak penganjur turut mengadakan beberapa mesyuarat dengan jabatan seperti Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dan Pengarah Jabatan Imigresen Selangor.

Katanya, perjalanan dibuat secara berperingkat bersesuaian dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan.

Selain menempatkan seorang anggota polis dan pegawai JPJ dalam setiap bas, Jawatankuasa Sekretariat Piala Sultan Selangor juga merancang membuat permit berkelompok pada 8 April bagi memudahkan ahli-ahli Kelab Penyokong yang tidak memiliki pasport.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Aksi B-16 Selangor, Singapura hangatkan Piala Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 FEB: Piala Sultan Selangor yang bakal berlangsung 6 Mei ini bakal dimeriahkan lagi dengan acara baru, Piala Cabaran Sekolah-Sekolah Selangor – Singapura Bawah 16 Tahun (B-16).

Pengenalan acara tambahan itu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membabitkan perlawanan bola sepak skuad sekolah menengah B-16 Selangor menentang B-16 Singapura bagi menyuntik inspirasi muda menjadi sehebat idola mereka.

Ahli Jawatankuasa Media, Publisiti dan Buku Cenderamata Piala Sultan Selangor, Necia Abdullah berkata, piala cabaran diperkenalkan itu akan menjadi perlawanan pembuka tirai pada sebelah petang sebelum acara sebenar perlawanan pasukan Veteran dan Pilihan bermula.

PIALA SULTAN SELANGOR“Perlawanan skuad B-16 ini hanyalah untuk acara pembuka tirai pada sebelah petang kerana ingin mengekalkan keaslian Piala Sultan Selangor.

“Ketika ini skuad itu masih belum dibentuk, namun kita memilih juara dari sekolah terpilih bagi menguatkan pasukan,” katanya menerusi laporan akhbar.

Menurutnya, Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd karim Munisar sudah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan akan menyediakan sekurang-kurangnya lima atau enam buah bas bagi membawa penyokong ke Stadium Nasional Singapura.

Piala Sultan Selangor yang diperkenalkan pada 2001 oleh Sultan Selangor bertujuan mengembalikan nostalgia kehebatan pemain bola sepak negara khususnya The Red Giants dan Singapura yang kerap bertembung dalam aksi final Piala Malaya dan Piala Malaysia.

-nR-

Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Selangor: 4,000 penyokong ke Singapura lonjak semangat

SHAH ALAM 17 DIS: Seramai 4,000 penyokong daripada 15 kelab penyokong Selangor bakal berkunjung ke Stadium Nasional Singapura bagi saingan Piala Sultan Selangor edisi ke-16, yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mei, tahun depan.

Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata penyokong Selangor teruja untuk menonton perlawanan di negara itu, yang kali terakhir menjadi penganjur pada 2009, lapor BH Online.

“Kali terakhir Singapura menjadi penganjur ialah perlawanan di Stadium Jalan Besar. Akhirnya, penantian penyokong Selangor terjawab. Malah, pemain dan penyokong kedua-dua pasukan juga berpeluang merasai pengalaman bermain serta duduk di Stadium Nasional Singapura yang baharu.

“Tahun ini juga menyaksikan terdapat penambahbaikan terhadap penganjuran Piala Sultan Selangor iaitu dengan memperkenalkan perlawanan remaja bawah 15 tahun antara Selangor dan Singapura,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abd Karim berkata, tiga perlawanan akan diadakan iaitu membabitkan remaja, veteran dan pasukan pilihan Selangor serta Singapura yang akan berlangsung pada hari dan tempat yang sama.

Mengulas lanjut, katanya wakil kelab penyokong diminta menyerahkan senarai penuh ahli yang ingin menyertai rombongan ke Singapura selewat-lewatnya pada 15 Februari tahun depan.

“Manakala, kepada yang bukan ahli kelab penyokong, mereka boleh menghubungi pihak pengurusan Piala Sultan Selangor menerusi laman sosial Facebook The Sultan of Selangor’s Cup.

“Kami juga sudah berbincang untuk membantu semua penyokong menguruskan proses membuat pasport secara kumpulan dengan pihak Jabatan Imigresen, bagaimanapun ia bergantung kepada siapa dahulu (yang berminat untuk turut serta),” katanya.

Dalam aksi Piala Sultan Selangor edisi ke-15 yang berlangsung 7 Mei lalu, skuad Veteran Selangor menewaskan Veteran Singapura 2-0, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan skuad Pilihan Selangor apabila tewas dalam penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit aksi.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Piala Sultan Selangor: Pilihan Selangor gagal ikuti jejak cemerlang veteran

OLEH : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 MEI: Hajat mengecap kejayaan berganda tidak kesampaian apabila pasukan Pilihan Selangor gagal menuruti jejak langkah pasukan veterannya sekaligus menyaksikan Singapura menjulang Piala Sultan Selangor edisi 2016.

Pada perlawanan aksi pembuka tirai perlawanan antara veteran, Selangor menang bergaya selepas menundukkan Singapura 2-0 menerusi jaringan cantik Shahrin Majid pada minit ke-16 dan Dollah Salleh pada minit ke-24.

_RUM0570Aksi cemerlang skuad veteran Selangor itu gagal diteruskan Pilihan Selangor apabila gagal memanfaatkan kelebihan menentang Pilihan Singapura yang beraksi dengan 10 pemain selepas seorang pemainnya dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

Bagaimanapun Singapura hanya memastikan kejuaraannya pada penentuan sepakan penalti dengan jaringan 3-4 apabila kedudukan terikat seri satu sama sehingga tamat masa penuh permainan.

Skuad gergasi merah terlebih dahulu menggamatkan stadium dengan sorakkan 40,000 penyokong apabila R. Gopinathan membuka tirai jaringan pada minit ke-17.

Singapura yang enggan mengalah, turut beberapa kali melancarkan serangan merbahaya tetapi gagal disempurnakan pemain penyerang sehinggalah tamat separuh masa pertama.

Sebaik bersambung separuh masa kedua, Selangor melancarkan serangan kilat, namun hantaran lintang di sebelah kiri pintu gol terlalu ke ke dalam dan gagal disambar.

CP2A5006Pada minit ke-48 Singapura nyaris menjaringkan gol penyamaan tetapi disia-siakan dengan penyudah yang lemah.

Minit ke-51 Selangor sekali lagi melakukan serangan balas yang pantas namun sepakan pemain berjersi 15, Mohd Raimi Md Nor tersasar di sebelah kiri pintu gol Singapura.

Dua minit berselang, penyokong Selangor bertambah resah apabila pasukan mereka dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti tetapi gagal dimanfaatkan dengan sempurna.

Pada minit ke-77, Stanely Ng mengikat kedudukan menjadi 1-1 dan berjaya mengheret perlawanan hingga penentuan sepakan penalti.

EZY

Categories
SELANGOR

Piala Sultan Selangor: Polis minta tidak timbulkan kekecohan

SHAH ALAM, 7 MEI : Polis memberi amaran keras kepada penonton perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor 2016 di Stadium Shah Alam malam ini supaya tidak menimbulkan kekecohan atau membakar suar di dalam dan luar stadium.

Ketua Polis Shah Alam, ACP Shafien Mamat, berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan sebarang kesalahan atau kekecohan.

Beliau berkata 1,351 pegawai serta anggota polis ditugaskan sepanjang perlawanan berlangsung selain 80 pegawai serta anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

PIALA SULTAN SELANGOR“Polis menasihatkan semua penyokong supaya tidak membawa budaya hooligan atau menimbulkan huru hara sepanjang perlawanan berlangsung sebaliknya tunjukkanlah semangat kesukanan yang tinggi.

“Orang ramai diminta mematuhi arahan polis semasa meletak kenderaan serta ketika melalui jalan keluar masuk bagi memudahkan semua pihak dan kami yakin, kemudahan lot meletak kenderaan adalah mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata amaran berkenaan adalah demi menjaga imej negara berikutan perlawanan itu disiarkan secara langsung malah turut ditonton negara luar.

Shafien juga menggalakkan penyokong dan penonton supaya hadir ke stadium lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas pada saat akhir sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana, katanya, 70,000 penyokong dan penonton dijangka menghadiri perlawanan itu malam ini dan kehadiran yang lebih awal turut dapat mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk stadium.

Menurutnya, tiga pintu masuk ke stadium akan dibuka seawal jam 5 petang dan pintu A adalah bagi kemasukan penyokong Singapura manakala pintu C serta D bagi penyokong Malaysia.

Perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor 2016 merupakan perlawanan persahabatan antara pasukan Selangor menentang Singapura yang diadakan setiap tahun bagi mengimbas kembali tradisi kedua-dua pasukan dalam sukan berkenaan.

EZY

Categories
SELANGOR

Piala Sultan Selangor: Red Giants tekad bermain habis-habisan

SHAH ALAM 7 MEI: Pasukan Selangor berazam tidak akan membiarkan gawang gol dirobek pelawat dari Singapura dalam pertembungan Piala Sultan Selangor 2016, di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kapten The Red Giants, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, berkata persiapan setiap bahagian sedang dimantapkan memandangkan saingan berdepan Singapura itu dijangka sengit.

“Persediaan dalam keadaan baik memandangkan moral pasukan dalam keadaan membanggakan selepas beberapa siri kemenangan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

RED GIANTS“Dengan kelebihan berentap di Stadium Shah Alam, Singapura harus berwaspada. Bukan senang kami nak buka peluang untuk mereka bolos mudah di sini,” katanya dipetik Sinar Harian.

Shahrom yang juga pertahanan Gergasi Merah Kuning memberi jaminan beliau dan pasukannya bermain bersungguh-sungguh bagi mempertahankan piala tersebut.

“Pertahanan kita dalam keadaan baik sekarang, serangan pun dah mula jaringkan gol jadi kita hanya perlu fokus.

“Jika dua pemain import PKNS FC sah dipinjamkan untuk membantu Selangor, kami sangat berbesar hati memandangkan jadual kami padat,” katanya.

Selain itu, Shahrom turut menuntut seluruh penyokong setia Selangor membanjiri Stadium Shah Alam, yang dilihat mampu memberi semangat berganda buat semua pemain.

“Diharap bagi edisi kali ini lebih ramai penyokong ke stadium dan memastikan sokongan mereka dapat memberi semangat kepada pemain untuk mendapatkan kejuaraan kelapan buat Selangor,” katanya.

EZY