Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat perhimpunan bekas ahli PKM di Kajang

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Polis masih menyiasat dakwaan terdapat satu perjumpaan dan perhimpunan dipercayai membabitkan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang diadakan di Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata tiada sebarang laporan dibuat mana-mana pihak, namun beliau mengambil maklum perkara berkenaan.

“Maklumat berhubung penganjuran perhimpunan itu berjaya diperolehi. Ia dilaporkan berlangsung secara tertutup dan polis masih dalam tindakan menyiasat segala aspek berkenaan penganjuran itu,” katanya ketika dihubungi.

Sebuah portal berita melaporkan, kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dan perhimpunan yang dipercayai membabitkan bekas ahli PKM itu di Kajang, pagi semalam.

Perjumpaan itu difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pegawai PKM Bukit Lanjan bergilir lap air mata

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APR: Tujuh tahun berkhidmat sebagai dua Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan memberi seribu keinsafan kepada Isnaini Mohd Kassim dan Ain Nuha Badrulamin.

Masakan tidak, sepanjang bertugas mereka menempuhi pelbagai pengalaman suka dan duka dalam usaha untuk membantu golongan memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya.

Antara peristiwa paling menyentuh hati, tatkala menerima kunjungan sebuah keluarga yang menjadikan kereta mereka sebagai tempat tinggal di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Sungai Buloh pada pertengahan Mac lalu.

Mengimbau kembali saat itu, beliau berkata, pada asalnya kedatangan keluarga itu bertujuan mendapatkan bantuan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong untuk membuat permohan MyKad.

“Faizal adalah warganegara Malaysia tetapi disebabkan kecuaian pihak tertentu taraf kewarganegaraan itu dinafikan untuk Faizal dan menyebabkan dia sukar mendapat pekerjaan yang lebih baik.

“Pada mulanya dia naik pejabat berdua, anak-anak ditinggalkan dalam kereta di bawah dan bila saya dapat ‘tangkap’ inilah keluarga yang viral itu, terus saya tanya mana anak-anak?

“Dia jawab ada di bawah kerana risau ganggu kerja kami. Sedihnya anak kecil, kami minta dia bawa anak-anak naik atas dan kami hidangkan makanan yang ada, selera tengok anak-anak itu makan,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, pada awalnya Faizal agak keberatan menceritakan kesusahan beliau dan keluarga kerana tidak mahu disalah tafsir sebagai seorang yang suka meminta-minta.

Bagi Faizal, dia lebih suka berusaha sendiri memperbaiki kehidupan beliau kepada lebih baik dengan menggunakan tulang empat keratnya.

Bagaimanpun katanya, selepas dipujuk akhirnya Faizal dan isteri menceritakan kisah sebenar kehidupannya.

“Sedih sangat tengok keadaan anak-anak pasangan ini, tak tertahan air mata saya dan Ain Nuha bergilir masuk bilik belakang untuk lap air mata kerana kami dah jadi ibu, jiwa sensitif bila tengok keadaan anak-anak tak terurus dan masalah kesempitan hidup.

“Namun kami rasa kagum kerana mereka tidak suka meminta-minta tetapi berusaha mengumpul duit upah kerja sebagai pencuci kereta hingga cukup untuk menyewa rumah untuk keluarganya.

“Kami cuba daftarkan mereka dengan inisiatif yang Kerajaan Negeri ada seperti Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS), Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Peduli Sihat dan untuk bantuan rumah kami panjangkan isu ini kepada ADN kami untuk bantuan deposit, YB dengan terbuka setuju beri bantuan,” katanya lagi.

Katanya, petugas PKM Bukit Lanjan, S. Sivalingam kemudiannya bekerjasama dengan pejabat Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara dengan segera dan dalam masa dua minggu saudara Naveen dapatkan rumah untuk mereka.

SelangorKini difahamkan pada masa ini keluarga terbabit telah pun berpindah masuk ke rumah itu.

Categories
SELANGOR

PBT & PKM daftar belia kahwin teramai bakal dapat insentif RM10,000

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 NOV: Skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) melibatkan manfaat secara langsung kepada golongan belia akan terus dirancakkan dengan pelbagai program.

Antara langkah bakal diambil termasuk menghadiahkan wang tunai RM10,000 sebagai insentif kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan Penggerak Belia Tempatan (PBT) yang berjaya mendaftarkan peserta program Insentif Perkahwinan Belia Selangor paling ramai.

perkahwinan belia1Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari berkata, langkah itu diambil berikutan penyertaan belia dalam program insentif perkahwinan itu masih berada ditahap rendah.

“Dilihat pendaftaran untuk insentif perkahwinan masih sangat rendah, kita ada 17,000 sahaja tahun lepas.

“Jadi untuk insentif itu, tahun hadapan PBT mendaftarkan paling banyak kita hadiahkan RM10,000 dan Pusat Khidmat Masyarakat juga RM10,000,” kata Amiruddin di Program Taklimat Pembentangan Laporan Akhir Dasar Belia Negeri Selangor di Bangunan Annexe, di sini, malam tadi.

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor sebelum ini memperkenalkan pelbagai program di bawah Skim MES sebagai usaha mengembalikan hasil negeri kepada rakyat.

Program-program itu melibatkan semua lapisan umur daripada peringkat bayi hinggalah ke peringkat usia emas.

Program itu turut menitik beratkan skim yang melibatkan belia secara langsung seperti hadiah masuk universiti, insentif perkahwinan belia dan pelbagai agenda lain.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Masalah Banjir Kilat Taman Indah Perdana Berakhir

SELAYANG, 2 JULAI: Penduduk Taman Indah Perdana kini mampu menarik nafas lega apabila masalah peparitan yang tidak sempurna diakhiri dengan siapnya kerja baikpulih parit yang lebih bersistematik.

Demikian menurut Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Mohamad Abd Rahman kepada TV Selangor.

“Sebelum ini, setiap kali hujan lebat air akan naik dengan cepat hingga memasuki rumah-rumah di sini sebab sistem peparitan yang tidak sempurna.

“Lebih memburukan keadaan, air yang mengalir itu bercampur dengan air dari loji Indah Water berhampiran.

“Sekarang syukur, longkang yang dibaikpulih ini dapat mengalirkan air turun ke parit utama,” kata beliau ketika melawat lokasi kerja membaikpulih longkang itu dijalankan.

Menurut Mohamad, penduduk Taman Indah Perdana terpaksa menghadapi masalah banjir kilat dan air busuk dari loji Indah Water ini semenjak hampir sepuluh tahun lalu.

“Sebenarnya ini bukanlah masalah besar sangat, cuma masalah peparitan tak sempurna sahaja dan boleh diatasi dengan cepat, tetapi masa BN mentadbir dahulu, masalah infrastruktur tak diambil berat.

“Disebabkan kecuaian Umno-BN dahulu memandang rendah masalah ini, maka penduduk di sini sengsara setiap kali hujan lebat, sedangkan pejabat MCA jaraknya cuma kurang 100 meter sahaja dari sini” ujar Mohamad.

Kerja baikpulih itu telah memakan belanja sebanyak RM19,000.

Mohamad turut memberitahu PKM Dun Taman Templer mengambil tindakan serta-merta apabila mendapat tahu masalah ini agar kesengsaraan penduduk perumahan terbabit dapat ditamatkan segera.

Ketika wartawan dibawa ke tapak kerja baikpulih tersebut dijalankan, didapati sehelai kain rentang yang tertera ucapan terima kasih dari penduduk terhadap usaha yang dijalanakan oleh PKM Taman Templer.

Menurut dua warga asing pekerja pembinaan projek itu, kain rentang tersebut telah dinaikkan oleh beberapa penduduk Taman Indah Perdana pada sebelah pagi hari yang sama.