Categories
SUKANKINI

Tamirlan Kazubaev lengkapkan kuota import PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 JAN: PKNS FC melengkapkan kuota pemain import apabila mengumumkan pemain kebangsaan Kyrgystan, Tamirlan Kazubaev menjadi rekrut terbaharu skuad kendalian Datuk K Rajagobal.

Kazubaev, berusia 24 tahun dengan ketinggian 1.88 meter beraksi di posisi pertahanan tengah serta bermain untuk negara beliau di kempen Piala Asia 2018 di Emiriah Arab Bersatu, baru-baru ini namun terkandas di Pusingan Kedua setelah tewas kepada tuan rumah dengan keputusan 3-2.

Walaupun mendapat beberapa tawaran dari kelab di Uzbekistan dan Indonesia, Kazubaev akhirnya memilih pasukan PKNS FC.

Beliau pernah beraksi dua kali menentang skuad kebangsaan Malaysia di perlawanan persahabatan di Melaka dan Sukan Asia Palembang 2018.

Kredit Foto: PKNS FC

Categories
SUKANKINI

Adam Abdullah sertai Kursus Pro Diploma A Indonesia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 JAN: Penolong Ketua Jurulatih PKNS FC, Adam Abdullah menyertai Kursus AFC Pro Diploma melalui Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bermula pada April tahun lalu sehingga Mei ini.

Beliau menyertai 18 jurulatih kelab di Indonesia, antaranya Rachmad Darmawan (Mitra Kukar), Djajang Nurdjaman (PSMS Medan) dan Widodo Cahyono Putro (Bali United) serta peserta dari negara lain.

PKNS FC dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi memaklumkan, penyertaan Adam di kursus itu adalah sebagai persiapan untuk masa depan PKNS FC dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mewajibkan setiap jurulatih mempunyai lesen Pro A.

Peserta kursus diploma itu perlu menghadiri lapan modul termasuk kecergasan, mental, analisi taktikal dan ujian.

Ketika ini, Adam dan peserta sedang menjalani ‘attachment’ di kelab Deportivo Alaves yang menduduki tangga kelima di La Liga, Sepanyol.

Kredit Foto: PKNS FC

Categories
SUKANKINI

The Red Ants sasar kelompok lima terbaik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 JAN: PKNS FC enggan menoleh ke belakang apabila bertekad untuk berada dalam kelompok lima terbaik dalam kancah Liga Super musim ini sekali gus mengulangi pencapaian hebat musim lalu.

Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, skuad digelar The Red Ants itu juga dicabar untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan pada musim ini.

Katanya, adunan pemain lama dan baharu yang dibawa masuk diyakini mampu mengekalkan momentum sedia ada seterusnya memberi cabaran sengit kepada pasukan gergasi Liga Malaysia lain.

“Pasukan ini melakukan perancangan lebih awal dengan membawa masuk hampir 60 peratus pemain muda yang rata-rata berumur lingkungan 26 tahun seperti Ariff Farhan Abu Bakar, Syafiq Shaharudin, Fandi Othman dan Tommy Mawat.

“Pemain berpengalaman yang menyertai pasukan pula bagi membimbing pemain muda adalah Shahrom Kalam dan R Surendran malahan turut membawa kembali pemain import musim 2015-2016 iaitu Gabriel Guerra selain Kpah Sean Sherman (Liberia) dan Chan Vatanaka (Cambodia).

“Saya lihat PKNS FC juga membuat persiapan pra musim dengan rapi sejak Disember tahun lalu dan mengadakan beberapa siri perlawanan. Mereka turut ke selatan tanah air untuk bertemu satu pasukan di Johor serta dua pasukan di Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Baharu PKNS FC 2019 di Uptown Shah Alam di sini, malam tadi.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek; Pengurus Pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid dan Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal.

Sementara itu, K Rajagobal tidak mahu anak buahnya menghadapi tekanan meskipun pihak pengurusan meletakkan sasaran tinggi sekurang-kurangnya merangkul satu trofi musim ini.

Katanya, kepercayaan dan keyakinan perlu diletakkan kepada pemain muda yang boleh memberi sepenuh komitmen untuk menerima tunjuk ajar daripada pemain lebih berpengalaman.

“Kita nampak tanda positif ditunjukkan antara pemain muda dan berpengalaman, tetapi kita mahu lihat perlawanan demi perlawanan apabila liga bermula kerana dari situ kita boleh buat kesimpulan ke mana perancangan dan haluan seterusnya buat pasukan.

“Paling penting, kita mahu kekalkan mentaliti pemain untuk menempuh setiap perlawanan itu secara positif. Kalau fikir positif tidak mustahil pasukan kita boleh jadi kompetitif untuk musim 2019,” katanya.

Detik terhebat PKNS FC sepanjang tahun lalu apabila berjaya menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga selain layak ke separuh akhir Piala FA, suku akhir Piala Malaysia dan Juara Piala Sultan Selangor.

Pasukan itu akan membuka tirai Liga Super bertemu Naib Juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 1 Februari ini.

Categories
SUKANKINI

Lotto suntik semangat PKNS FC

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 JAN: PKNS FC mendapat suntikan semangat dalam menempuh Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 apabila Lotto tampil menjadi penaja utama jersi skuad The Red Ants itu.

Jenama pakaian sukan itu menjadi pilihan pengurusan pasukan berkenaan selepas kali terakhir digunakan pada 2014.

PKNS FC turut mengekalkan tradisi dengan jersi oren sebagai jersi pertama pasukan manakala warna hijau dan ‘maroon’ digunakan buat pertama kali sebagai jersi kedua serta warna biru untuk jersi ketiga.

Jersi penjaga gol pula berwarna hitam, kuning dan merah.

Terdahulu, majlis pelancaran jersi baharu dan pengenalan pemain pasukan itu disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman di Uptown Shah Alam di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek; Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar dan Pengurus Pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid.

Dalam majlis sama, tiga pemain skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang menyambut ulang tahun kelahiran pada Januari lalu turut diraikan.

Selain itu, slogan baharu iaitu #FearNothing juga diperkenalkan sebagai motivasi tambahan supaya semua pemain diazimatkan tidak gentar dengan sebarang halangan ketika beraksi di padang.

Dengan mengambil inspirasi sang semut yang kecil tetapi berjiwa besar seperti pasukan PKNS FC, sikap tidak pernah putus asa, kerjasama berpasukan dan pantas menghidu peluang akan diterapkan dalam pasukan.

Categories
SUKANKINI

Saranan MFL suntik semangat Siti Zubaidah teraju PKNS FC

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JAN: Saranan dan khidmat nasihat diberikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menambah keyakinan Siti Zubaidah Abdul Jabar membimbing pasukan PKNS FC, sejak dilantik pada 2014.

Katanya, kaum hawa tidak perlu merasa takut untuk menunjukkan minat membimbing walaupun majoriti pemimpin bola sepak lahir dalam kalangan lelaki.

Beliau juga turut mengajak lebih ramai wanita untuk tampil menunjukkan keupayaan serta kualiti tersendiri.

“Saya masih ingat lagi ketika dilantik sebagai Presiden PKNS FC, saya agak terkejut kerana tidak tahu banyak berkenaan bola sepak negara.

“Pada tahun pertama, ada segelintir pihak boleh cuba ‘goreng’ saya tetapi kini dengan khidmat nasihat dan tunjuk ajar MFL, saya sudah yakin dan berani bahawa pemimpin wanita mampu berikan impak kepada bola sepak tempatan.

“Nasihat saya kepada wanita, jangan takut kerana MFL sentiasa bersama dan memberikan sokongan kepada mereka yang serius untuk membantu bola sepak tempatan,” katanya memetik laporan www.malaysianfootballleague.com.

Bersandarkan hampir lima tahun pengalaman, Siti Zubaidah mengakui tidak lagi menoleh ke belakang walaupun mendedahkan rasa terkejut kerana tidak memiliki pengalaman serta pengetahuan luas dalam sukan nombor satu negara itu.

Pada masa sama, beliau turut memuji pendekatan Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim yang mengadakan perjumpaan khas di Hotel Thisle, Johor Bharu minggu lalu bersama wakil pasukan negeri dan kelab bagi mendapat gambaran lebih jelas berkenaan isu berbangkit.

“Saya percaya pertemuan ini bukan saja dapat mengeratkan hubungan MFL dan ahli gabungan, namun sebagai rakan kongsi kami boleh bertanyakan sesuatu secara terus serta jawapan diberikan secara langsung oleh Pengerusi MFL sendiri.

“Seperti saya katakan, kaum hawa tidak perlu lagi rasa takut untuk menjadi pemimpin bola sepak kerana pendekatan dibuat oleh Tunku Ismail memberi nafas baru kepada ahli gabungan untuk berani menyuarakan pandangan,” katanya.

Categories
SUKANKINI

PKNS FC tidak tambah pemain tempatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JAN: PKNS FC tidak berhasrat menambah jumlah pemain tempatan dan akan menguji tiga pemain import untuk melengkapkan kuota lima pemain yang dibenarkan, bagi menghadapi musim 2019.

Ketua Jurulatihnya, Datuk K Rajagobal berkata, pihaknya enggan terburu-buru dalam melengkapkan jumlah pemain, sebaliknya mementingkan aspek kualiti buat pasukan dalam sesi pemilihan.

“Kami tidak mahu terburu-buru dan perlu membuat keputusan dengan teliti.

“Pemain yang kami tandatangani mesti mempunyai ciri yang dapat memperkuatkan pasukan,” katanya dipetik menerusi Goal.com.

Antara pemain baharu yang menyertai PKNS FC musim ini adalah Muhammad Akram Mahinan (Kedah), Nicholas Ryan Swirad (Melaka United), Tommy Mawat Bada (PJ Rangers), Muhammad Ariff Farhan Md Isa (Kedah), Shafiq Shaharuddin (Kelantan), Mohamad Fandi Othman (Felcra FC) serta Mohd Farhan Abu Bakar (Kedah).

Sebelum ini, The Red Ants mengekalkan 11 pemain musim lalu antaranya dua penjaga gol Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin (23 tahun) dan Tauffiq Ar Rasyid Johar (22 tahun) bersama empat pemain pertahanan Rodney Calvin Akwensivie (22 tahun), Mohamad Qayyum Marjoni Sabil (24 tahun), Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim (27 tahun) serta pemain senior, P Gunalan (37 tahun).

Barisan tengah pula menyaksikan tiga pemain dikekalkan iaitu K Gurusamy (29 tahun), Mohd Faizat Mohamad Ghazli (23 tahun) dan Muhammad Alif Haikal Mohd Sabri (23 tahun) sementara hanya Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (21 tahun) kekal selaku penyerang PKNS FC.

Bagi kuota pemain import, PKNS FC mengekalkan khidmat pemain berusia 21 tahun, Romel Morales Ramírez di samping menandatangani penyerang import baharu iaitu bekas pemain MIFA, Kpah Sean Sherman.

Dalam perkembangan lain, PKNS FC akan mengadakan lima lagi perlawanan persahabatan termasuk kunjungan ke Singapura sebelum musim 2019 bermula Februari hadapan.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

PKNS FC kekalkan 11 pemain musim 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 DIS: PKNS FC mengekalkan 11 pemain musim 2018, termasuk seorang pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan dengan lapan daripadanya berumur bawah 25 tahun.

The Red Ants dalam kenyataan berkata, langkah itu diambil berdasarkan perubahan landskap bola sepak Selangor dan Malaysia.

“Antara langkah wajar yang dirasakan perlu adalah dengan pemotongan bajet, termasuk gaji pemain yang ditetapkan secara siling.

“Bagaimanapun, kita tetap optimis kejayaan mampu dicapai dengan beberapa musim sebelum ini, PKNS FC beroperasi dengan bajet sederhana, asalkan pasukan diurus tadbir secara korporat dan profesional,” katanya.

Pemain yang dikekalkan adalah dua penjaga gol Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin (23 tahun) dan Tauffiq Ar Rasyid Johar (22 tahun) bersama empat pemain pertahanan Rodney Calvin Akwensivie (22 tahun), Mohamad Qayyum Marjoni Sabil (24 tahun), Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim (27 tahun) serta pemain senior, P Gunalan (37 tahun).

Barisan tengah pula menyaksikan tiga pemain dikekalkan iaitu K Gurusamy (29 tahun), Mohd Faizat Mohamad Ghazli (23 tahun) dan Muhammad Alif Haikal Mohd Sabri (23 tahun), sementara hanya Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (21 tahun) kekal selaku penyerang PKNS FC.

Pemain import yang dikekalkan pula adalah Romel Morales Ramírez yang berusia 21 tahun, manakala pemain serba boleh, Daniel Ting memilih untuk bersara dan berhijrah ke Australia.

Kredit Foto: Facebook PKNS FC

Categories
SUKANKINI

Rajagobal kekal bimbing PKNS FC musim 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 OKT: Datuk K Rajagobal menyambung kontrak untuk kekal sebagai Ketua Jurulatih PKNS FC bagi musim 2019.

Persetujuan itu dimetrai dalam satu majlis ringkas menandatangani kontrak baharu bersama Presiden, Puan Hajah Siti Zubaidah Abd Jabar telah diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC), hari ini dengan disaksikan oleh Setiausaha Kelab, Md Adi Harmizi Ariffin.

Rajagobal mengucapkan terima kasih kepada pengurusan PKNS FC yang menyambung kontrak beliau serta para pemain yang bekerja keras untuk memberikan kejayaan kepada pasukan.

“Saya sebagai jurulatih akan memberikan sepenuh tenaga, komitmen dan jiwa raga kepada pasukan.

“Saya juga akan memberikan yang terbaik untuk pasukan Semut Merah kekal kompetitif dalam saingan Liga Malaysia tahun depan,” katanya.

PKNS FC memperolehi pencapaian cemerlang sepanjang penglibatan di dalam Liga Malaysia pada musim ini dengan menduduki tangga ketiga unifi Liga Super, Separuh Akhir Shopee Piala Malaysia, Suku Akhir unifi Piala Malaysia dan Juara Piala Sultan Selangor.

Kredit Foto: Instagram PKNS FC

Categories
SELANGOR SUKANKINI

PKNS taja RM300,000 jaya Piala Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang RM300,000 sebagai tanda sokongan untuk kejohahan Piala Sultan Selangor edisi ke 17 tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, selaku penaja utama, PKNS menyokong penuh kejohanan hasil cetusan idea Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyatukan dua pasukan sensasi itu.

“Ini adalah kali kedua secara berturut-turut kita terbabit selaku penaja berikutan PKNS FC terpilih mewakili Pilihan Selangor pada kejohanan ini.

“Selain itu, anak syarikat PKNS, Worldwide Holdings Berhad juga terbabit dengan menghulurkan sumbangan RM50,000.

“Dengan ianya diadakan di Stadium Shah Alam dan selaku tuan rumah, kita berharap Pilihan Selangor menampilkan kualiti permainan tinggi untuk membawa balik Piala Sultan Selangor ke Selangor,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Jelajah Publisiti dan Penyerahan Tiket Piala Sultan Selangor di Wasmia PKNS di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar dan jurulatih, Datuk K Rajagopal.

Ia adalah kali kedua PKNS FC terpilih sebagai Pilihan Selangor untuk kejohahan ini di mana pada tahun lalu mereka tewas 2 – 3 kepada Pilihan Singapura.

Untuk kejohahan kali ini, selain pemain PKNS FC sedia ada, Pilihan Selangor turut diperkuatkan dua pemain Selangor iaitu Mohd Amri Yahyah dan Rufino Segovia del Burgo.

Kejohanan itu turut mempertanding dua perlawanan lain iaitu antara pasukan Sekolah Selangor-Singapura B-16 dan Veteran Selangor-Singapura.

Categories
SUKANKINI

Piala Malaysia: PKNS FC benam PDRM

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 OGOS: PKNS memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila mengalahkan PDRM 5-2 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Skuad kendalian Datuk K Rajagopal memperoleh gol seawal minit ke 27 hasil sepakan penalti Romel Oswaldo apabila Rafeal Ramazotti dijatuhkan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Sheril Anuar Saini.

Gol pembukaan itu menyaksikan permainan bertambah rancak dan PDRM mendapat jaringan penyamaan melalui Petrisor seminit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, The Red Ants sekali lagi mendahului The Cops hasil tolakan ke jaring oleh Daniel Sang Ting (m47).

Mendahului 2 – 1, PKNS FC terus berusaha menambah jaringan dan serangan berterusan dilakukan membuka ruang Faris Ramli mencipta gol ketiga (m63) diikuti Ramazotti menjaringkan gol keempat (m74).

The Cops mendapat gol kedua melalui Mohd Baqiuddin Shamsudin empat minit kemudian namun PKNS FC terus menghukum tuan rumah dengan gol kelima Mohd Safee Sali pada minit akhir permainan.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Liga Super: PKNS FC catat kejayaan terbaik, duduki tempat ketiga

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 JULAI: PKNS FC mencatat pencapaian terbaik dengan menduduki tangga ketiga dalam Liga Super musim ini.

Selepas menempuh 22 perlawanan dengan pungutan 35 mata, kejayaan diraih itu mengatasi sasaran ditetapkan pengurusan pasukan yang menyasarkan sekurang-kurangnya kedudukan kelima dalam liga.

Presidennya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, pencapaian itu adalah hasil kerja keras pasukan dan perancangan rapi pengurusan bagi memperolehnya.

“Setiap kerja keras yang dilakukan pasti membawa hasil,” katanya selepas perlawanan terakhir antara PKNS FC dan Perak di Stadium Sah Alam, di sini, Sabtu lalu.

Dalam perlawanan itu, The Red Ants mengalahkan pasukan lawan 4 – 1.

Beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pengurusan, barisan jurulatih dan pemain yang bekerja keras sepanjang musim untuk kejayaan itu dengan memenuhi sasaran ditetapkan pasukan.

Sementara itu, Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menyifatkan kejayaan itu sebagai kenangan dan sejarah manis untuk The Red Ants.

Ia adalah musim kedua PKNS FC dalam Liga Super di mana musim lalu menamatkan saingan pada kedudukan ketujuh dengan 25 mata hasil enam menang, tujuh seri dan sembilan kalah.

Pada musim ini, pasukan bimbingan Datuk K Rajagopal membaiki kedudukan dengan pencapaian terbaik itu menerusi 10 menang, lima seri dan tujuh kalah.

Musim ini, PKNS FC turut mara ke separuh akhir Piala FA tetapi dikecewakan Selangor dengan agregat 1 – 5.

Categories
SUKANKINI

PKNS FC sedia lepaskan pemain untuk skuad Sukan Asia negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JUL: Datuk K Rajagopal bersedia melepaskan dua pemain PKNS FC sekiranya mereka diperlukan bagi membantu skuad Bawah 23 Tahun Malaysia ke Sukan Asia di Indonesia, bulan depan.

Ketua jurulatih The Red Ants itu berkata, keutamaan tetap diberikan kepada skuad kebangsaan walaupun PKND FC juga menagihkan khidmat mereka untuk saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Jika negara perlukan mereka, saya akan lepaskan mereka.

“Panggilan untuk negara adalah lebih penting,” katanya dalam sidang media selepas menentang Pahang dalam Liga Super, Sabtu lalu.

Rajagopal berkata, sebagai bekas pengendali skuad kebangsaan, beliau memahami keresahan dialami jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee.

Dfahamkan, dua pemain PKNS FC iaitu pemain pertahahan, Rodney Calvin Akwensivie dan penyerang, Jefri Firdaus Chew, dipanggil menyertai skuad bimbingan Kim Swee bagi menghadapi Sukan Asia nanti.

Sehubungan itu, Rajagopal berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan PKNS FC bagi pelepasan kedua pemain itu dan akan mengkaji kebaikan juga keburukan kepada pasukan.