Categories
SUKANKINI

PKNS FC junjung kasih, tekad juarai Piala Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 JUL: PKNS FC berazam menjuarai Piala Sultan Selangor kali ini dan menghadiahkan piala penuh tradisi itu kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Presidennya, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata, pihaknya menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor untuk PKNS FC menyertainya buat kali kedua serta bertekad menebus kehampaan tahun lalu.

“Satu penghormatan besar buat kami untuk mewakili Selangor dan beriltizam dengan penuh semangat untuk bermain bermati-matian bagi menghadiahkan kemenangan dan membawa pulang trofi Piala Sultan Selangor ke pangkuan Tuanku dan rakyat Selangor tahun ini.

“Pastinya kami juga mengharapkan sokongan seluruh rakyat di negeri ini khususnya peminat dan penyokong bola sepak Selangor bersatu di bawah semangat kesukanan kerana menyokong PKNS FC,” katanya.

PKNS FC terpilih sebagai Pilihan Selangor dalam kejohanan di Singapura tahun lalu namun tewas kepada Pilihan Singapura 3 – 2 .

Piala Sultan Selangor menjadi simbol kepada hubungan istimewa di antara dua buah negara atas semangat kesukanan diilhamkan Sultan Selangor.

Tahun ini adalah edisi ke 16 penganjuran dan dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam di sini pada 25 Ogos ini.

Ia bermula pada 2001 dengan Pilihan Selangor menjuarainya lapan kali manakala Pilihan Singapura (tujuh).

Categories
SUKANKINI

Rajagopal: Tugas sukar tapi PKNS FC sedia bangkit

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Berdepan misi sukar namun Datuk K Rajagopal masih menaruh harapan PKNS FC akan bangkit mencabar dalam perlawanan menentang Selangor pada separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.

Ketua jurulatih The Red Ants itu berkata, tiada yang mustahil dalam bola sepak dan ia mampu diperoleh dengan kesungguhan pemain bagi mengubah keadaan pada perlawanan di Stadium Shah Alam nanti.

“Dalam bola sepak, ramai yang kata keajaiban boleh berlaku tetapi Selangor pasukan bagus dengan beberapa pemain memiliki skil individu yang baik.

“Namun kita hanya perlu bersikap positif bagi mengembalikan maruah dan berusaha memenangi perlawanan walaupun ia bukan mudah selepas ketinggalan 0 – 4,” katanya kepada media selepas perlawanan sepruh akhir pertama Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dalam perlawanan itu, Selangor mengalahkan PKNS FC 4 – 0 melalui hatrik Rufino Segovia Del Burgo dan jaringan sendiri Azmizi Azmi.

Mengulas lanjut, bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, PKNS FC memulakan permainan agak baik pada 15 ke 20 minit pertama tetapi berubah selepas itu dengan barisan pertahanan agak gementar dan memberi ruang kepada penyerang lawan terutama Rufino Segovia.

Akibatnya PKNS FC menerima padah apabila dibolosi dua gol mudah pada separuh masa pertama diikuti dua gol lagi pada babak kedua.

“Dalam separuh masa kedua kita cuba bangkit untuk dapatkan gol bagi mengurangkan defisit tetapi kita dibolosi lagi dan ia kesilapan pemain yang tidak seharusnya berlaku.

“Kalau kita lihat dua perlawanan dalam Liga Super sebelumnya kita bermain dengan baik dan berpeluang untuk mencabar tetapi tidak menjadi,” katanya menambah PKNS FC akan kembali fokus kepada perlawanan liga menentang Kedah di Alor Setar, Selasa ini.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Selangor belasah PKNS FC 4 – 0 dalam separuh akhir pertama Piala FA

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Selangor membelasah PKNS FC 4 – 0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2018 di Stadium Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Kemenangan The Red Giants dicatat menerusi jaringan hatrik Rufino Segovia Del Burgo dan jaringan sendiri pertahanan PKNS FC, Azmizi Azmi.

Rufino Segovia menjaringkan gol pertama pada minit ke-39 melalui satu sepakan kencang melepasi Taufik Ar Rasyid Johar.

Penyerang import dari Sepanyol itu menghukum pertahanan The Red Ants seminit selepas itu untuk gol keduanya dengan rembatan dari sebelah kiri pintu gol.

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Datuk K Rajagopal berusaha bangkit dengan memasukkan Safee Sali menggantikan Jafri Firdaus Chew dan beberapa serangan dilancar ke kubu Selangor.

Bagaimanapun Selangor terus mengukuhkan kedudukan apabila Rufino Segovia (m56) mencapai hatrik dengan menyempurnakan hantaran D Kugan di depan gol.

Juara lima kali itu mendapat gol keempat apabila Azmizi Azmi (m64) tertampan masuk bola percubaan Rugino Segovia.

Keputusan kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Suhaimi Mat Hassan.

Dengan kelebihan empat gol, skuad bimbingan Nazliazmi Mohd Nasir membawa bekalan selesa berdepan PKNS FC dalam separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, 30 Jun ini.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

PKNS FC benam Kelantan di Kota Bharu

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 20 JUN: PKNS FC berjaya menundukkan Kelantan dengan keputusan 2-0, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, semalam.

Kelantan dikejutkan dengan jaringan pelawat seawal minit ketiga menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti Bruno Oliveira yang memerangkap penjaga gol tuan rumah, Mohd Shahrizan Ismail.

Tanpa kelibat import Namibia dan Lazarus Kaimbi yang diketepikan kerana kecederaan, nyata menjejaskan rentak permainan skuad pengendali sementara, Yusri Che Lah.

The Red Warriors (TRW) membuat beberapa percubaan berbahaya dari luar kawasan penalti menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat, Imran Samso dan Cristiano Santos, namun berjaya diselamatkan penjaga gol PKNS, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Safee Sali gagal memanfaatkan peluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti, namun sedikit tersasar minit ke-44.

Bersambung babak kedua, PKNS FC berjaya mencipta peluang menambah jaringan menerusi sepakan Romel Ramazotti, namun ditangkap kemas Shahrizan Ismail.

Yusri membuat pertukaran taktikal menggantikan Imran dan Shafiq dengan Nik Azli Nik Alias serta Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi untuk memperkuatkan jentera serangan tuan rumah.

PKNS FC terus berada di depan menerusi jaringan Oliveira pada minit ke-86, sekali gus menutup peluang TRW untuk menyamakan kedudukan.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kredit Foto: PKNS FC Official

Categories
SUKANKINI

Pemain import selamatkan maruah PKNS FC

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 11 JUN: Hajat PKNS FC melunaskan ‘dendam’ ke atas Selangor tidak kesampaian apabila terikat 2-2, di Stadium Shah Alam, semalam.

Anak buah Datuk K Rajagobal yang tumbang 2-1 di tangan Selangor, dalam aksi pusingan pertama Liga Super di gelanggang lawan Rabu lalu hanya berjaya mengutip satu mata.

Dua jaringan penyerang import dari Brazil, Rafael Ramazottie Quadros berjaya menyelamatkan maruah PKNS FC apabila menjaringkan gol penyamaan selepas pelawat bangkit, terutama pada babak kedua.

PKNS FC terlebih dahulu menjaringkan gol, pada minit ke-18 apabila Rafael Ramazotti melakukan rembatan kencang hasil lorongan pemain import baharu, Bruno Matos.

Bersambung babak kedua dengan PKNS memberikan gol mudah hasil jaringan pendahulu senarai penjaring terbanyak liga, Rufino Segovia bijak memanfaatkan kekalutan dalam kotak penalti, pada minit ke-79.

Ketika perlawanan menuju ke minit akhir, pemain gantian Selangor, Kugan Dhevaraja menceriakan pasukan pelawat menerusi gol kedua, pada minit ke-89, namun ia tidak kekal lama apabila Rafael sekali lagi meledak gol bagi membawa pulang satu mata berharga.

 

Categories
SUKANKINI

PKNS-JDT terikat tanpa jaringan

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 28 MEI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur diikat tanpa jaringan oleh PKNS FC, pada aksi Liga Super, malam tadi.

Perlawanan yang berlansung di Stadium Shah Alam itu menimbulkan rasa kurang selesa bagi kedua pasukan untuk mencari rentak permainan.

Permukaan padang yang basah dan berlecak ekoran hujan menyebabkan permainan hambar ditunjukkan dalam tempoh 35 minit pertama serta tiada percubaan tepat berjaya dilakukan.

Percubaan tepat pertama muncul, pada minit ke-35 menerusi percubaan Jorge Santos, namun tandukannya mudah ditangkap penjaga gol PKNS FC, Mohd Shahril Sa’ari.

Pelawat menguasai separuh masa kedua, namun beberapa gerakan dilancarkan tetap gagal menembusi gawang PKNS selepas Shahril cemerlang menidakkan percubaan Mohd Nazmi Faiz Mansor, pada minit ke-56 dan rembatan deras Safawi Rasid lima minit berselang.

Memasuki 15 minit terakhir perlawanan, PKNS mula bermain secara bertahan setiap asakan JDT yang berusaha keras memburu gol, namun keputusan kekal 0-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Namun, skuad Harimau Selatan itu tetap selesa mendahului saingan liga dengan enam mata mengatasi pencabar terdekat, Perak dan impian mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan dilihat masih berada dalam laluan tepat.

Kredit foto: PKNS FC

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Gabriel Guerra kembali jadi buruan PKNS FC

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 21 MEI: Pemain tengah Argentina, Gabriel Guerra, menjadi sasaran PKNS FC untuk dibawa masuk sementara jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka, sehingga 3 Jun ini.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Abdul Rashid berkata, pihaknya sudah menghubungi pemain itu yang kini bersama kelab Boca Junior, di Aregntina.

“Untuk jendela perpindahan ini, kami melihat beberapa pilihan untuk memantapkan pasukan dan salah satu caranya ialah mendapatkan Guerra.” katanya memetik laporan Stadium Astro.

Mahfizul berkata, keputusan untuk mengambil kembali khidmat Guerra adalah tepat kerana pemain itu sudah biasa dengan kancah bola sepak Malaysia.

“Pilihan yang ada sekarang disebabkan Guerra sudah memahami budaya bola sepak di Malaysia, membuatkan kemungkinan risiko itu agak kecil.” katanya.

Terdahulu, Guerra cemerlang bersama PKNS pada musim 2016 dengan membantu kelab itu muncul naib juara Liga Perdana dan Piala FA.

PKNS FC kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan berbekalkan 17 mata selepas 10 perlawanan dan layak ke separuh akhir Piala FA serta menyasarkan mengulangi pencapaian 2016 beraksi di pentas akhir

 

 

Categories
SUKANKINI

Latihan sebelah malam tak jejas persiapan PKNS FC

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Kehadiran Ramadan tidak menggangu perjalanan sesi latihan PKNS FC apabila ia dilangsungkan pada sebelah malam.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, masa latihan bermula 9.30 malam seperti yang dilangsungkan sebelum ini menuntut setiap pemain sentiasa cergas memandangkan mereka akan beraksi dalam lima perlawanan sepanjang Ramadan.

“Aksi pertama kita pada Ramadan ini bertemu Melaka United di gelanggang lawan pada 23 Mei diikuti pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang sendiri.

“Kita akan memberikan tumpuan untuk memperbaiki mutu persembahan pasukan untuk mengutip mata dan mengejar kelompok atas,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, semua pemain Red Ants bebas daripada sebarang kecederaan, namun persembahan beberapa pemain utama dilihat sedikit merosot dan memerlukan perhatian.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Melaka United, Mahfizul mengingatkan pemain supaya tidak leka kerana pasukan kendalian bekas jurulatih PKNS FC, E Elavarasan itu mempunyai suntikan baru menerusi kehadiran bekas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat selain berjaya mengikat Perak seri tanpa jaringan untuk meraih satu mata berharga.

Categories
SUKANKINI

PKNS kutip mata penuh benam KL

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 MEI: PKNS FC berjaya menumpaskan Kuala Lumpur dengan jaringan 3-2, sekali gus melunaskan ‘hutang’, pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Anak buah Datuk K Rajagobal yang tumbang 2-1 di tangan Kuala Lumpur di Cheras sebelum ini menunjukkan aksi lebih kemas, membantu mereka membalas dendam dan mengutip mata penuh untuk merapatkan jurang dengan kelompok atasan liga.

Kuala Lumpur yang sebelum ini digelar ‘pembunuh gergasi’ apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah terpaksa akur dengan kekalahan yang menyaksikan mereka kekal menghuni kelompok pertengahan liga.

Pada aksi terbabit, Kuala Lumpur bermula garang mendahului seawal minit keempat apabila pertahanannya, Bobirjon Akbarov menyambar sepakan percuma Paulo Josue untuk gol pembukaan perlawanan.

PKNS FC kembali dalam permainan apabila berjaya mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti, pada minit ketujuh selepas Faris Ramli dijatuhkan dan Safee Sali tidak berdepan masalah menyempurnakannya.

Kegagalan pemain Kuala Lumpur, Zhafri Yahya menyempurnakan peluang terhidang untuk meletakkan Kuala Lumpur kembali di hadapan, pada minit ke-36 dilihat mengundang padah apabila sebaliknya, PKNS beroleh gol kedua menerusi gerakan solo Faris Ramli yang disudahkan dengan kemas menewaskan Solehin seminit selepas itu.

Babak kedua bersambung, hasrat Kuala Lumpur untuk bangkit memburu gol penyamaan kian pudar apabila PKNS FC sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti, pada minit ke-49 apabila bola terkena tangan Achmad Jufriyanto dan Jonatan Leonel Costa mudah menyempurnakan sepakan penalti itu untuk gol ketiga tuan rumah.

Gol lewat permainan dijaringkan Guilherme de Paula, pada minit pertama masa tambahan hanya sekadar gol sagu hati dan PKNS FC berjaya mengekalkan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat.

Categories
SUKANKINI

Amirudin yakin PKNS FC capai sasaran, cipta kejutan

OLEH SHEEDA FATHIL

SELAYANG, 17 APR: PKNS FC mampu berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Unifi Liga Super musim ini berdasarkan prestasi semasa berbanding pencapaian musim lalu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, kualiti pemain dan mutu persembahan dipamerkan ketika ini membuktikan mereka mampu menghadapi tekanan Unifi Liga Super.

“Dengan kedudukan sekarang, PKNS FC mampu berada pada kedudukan keenam dan bersungguh-sungguh mempertahankan empat teratas sehingga ke penghujung liga.

“Mungkin dalam musim pemindahan pemain mereka perlu membuat beberapa pertukaran terutamanya bahagian serangan atau pertahanan,” katanya ketika ditemuiĀ pada Majlis Pecah Tanah Pangsapuri Mampu Milik PKNS di Kampung Seri Temenggung, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin, optimis The Red Ants mampu mencapai sasaran dan mencipta kejutan apabila selepas kejayaan menewaskan Perak, 2-1 dalam perlawanan suku akhir pertama Shopee Piala FA.

“Walaupun kurang selesa, namun rekod pertemuan dengan Perak agak baik dan pernah menang di Lumut dan Shah Alam.

“Jadi, saya harap kesemua pemain dapat mengekalkan momentum tersebut sekali gus dapat melepasi cabaran untuk pusingan kedua suku akhir akan datang,” katanya.

Kemenangan 2-1 ke atas Perak di Stadium Shah Alam, 7 April lalu memberi sedikit kelebihan buat PKNS FC menjelang perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak, 21 April nanti.

Categories
SUKANKINI

PKNS FC yakin cipta kemenangan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 APR: PKNS FC berjaya mengatasi cabaran getir Perak sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan menghadapi perlawanan seterusnya.

Ketua jurulatih, Datuk K Rajagopal berkata, kemenangan memberi kelebihan buat The Red Ants dan ia akan dipertahankan ketika kedua pasukan bertemu dalam perlawanan suku akhir kedua, di Ipoh nanti.

“Sesuatu perlawanan adalah berbeza mengikut situasi dan kalau menang, kita kena fikir untuk pertahankan kelebihan, kalau seri atau kalah kena fikir untuk menang ke atas lawan.

“Kita kena sentiasa berfikir dan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

PKNS FC berjaya mengalahkan Perak 2 – 1 dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, di sini, Sabtu lalu.

Rajagopal berkata, pemain berjaya memberi persembahan diinginkan dan mengatasi saingan sengit The Bos Gaurus.

Kedua pasukan akan bertemu dalam suku akhir kedua di Ipoh, 21 April nanti namun tumpuan akan kembali ke Liga Super hujung minggu ini.

PKNS FC akan bertandang ke Johor bertemu Johor Darul Ta’zim, Sabtu ini, manakala Perak berdepan PKNP di Pulau Pinang, keesokannya.

Categories
SUKANKINI

Piala FA: PKNS FC benam Perak 2 – 1

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 APR: PKNS FC mengatasi cabaran Perak dan menang 2 – 1 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, di sini, semalam.

The Red Ants memperoleh gol menerusi Faris Ramli pada minit ke-25 dan Safee Sali (m87) manakala Wander Luiz menjaringkan gol penalti pada masa kecederaan babak kedua untuk pasukan pelawat.

Biarpun mendapat tentangan hebat The Bos Gaurus namun pasukan kendalian Datuk K Rajagopal bijak mendominasi perlawanan dan mencipta peluang di depan pintu gol lawan.

Gol pembukaan PKNS FC menerusi Faris diperoleh hasil kealpaan pertahanan Perak dan pemain import dari Singapura itu tidak melakukan kesilapan untuk meletak bola ke dalam jaring mengatasi penjaga gol, Hafizul Hakim.

Skuad Mehmed Durakovic yang tersentak dengan jaringan itu, berusaha bangkit dengan beberapa serangan balas ke pintu gol PKNS FC tetapi segalanya tidak menjadi.

Tuan rumah terus selesa pada babak kedua apabila Safee Sali menjaringkan gol kedua apabila mendapat hantaran Mahalli Jasuli.

Ketika perlawanan hampir ke penghujung, Perak mendapat peluang merapatkan jurang dengan sepakan penalti apabila pertahanan PKNS FC melakukan kekasaran ke atas Nasir Basharudin.

Wander Luiz menyempurnakannya dan menghampakan Mohd Shahril Shaari untuk menjadikan keputusan 2 – 1.

Kemenangan itu memberi kelebihan kepada PKNS FC untuk perlawanan suku akhir kedua di gelanggang lawan, 21 April nanti.

=EZY=