Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kompaun serta-merta individu rentas mukim ketika PKPD

SHAH ALAM, 3 JULAI: Polis Selangor memberi amaran keras akan mengenakan kompaun serta-merta kepada individu yang merentas mukim tanpa kebenaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata kompaun dikenakan kepada mereka yang sudah melepasi kawasan dan akan diarah berpatah balik serta-merta.

“Kalau dia belum melepasi sempadan kita akan arah patah balik tetapi kalau dia sudah merentasi sempadan kita akan kompaun dan arah patah balik. Jika merentasi sahaja sempadan dia sudah melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Bual Bicara PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ yang disiarkan secara langsung di Media Selangor semalam.

Arjunaidi juga berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini, kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) paling tinggi dilakukan warga Selangor adalah tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal dan merentas sempadan.

Mengulas mengenai operasi pemantauan di kilang, Arjunaidi memaklumkan terdapat kilang yang beroperasi tanpa surat kebenaran dan ada yang mempunyai surat tetapi apabila diperiksa ia bukan dari sektor yang dibenarkan.

“Ada juga kilang yang didapati beroperasi melebihi had yang ditetapkan kerana jumlah yang dibenarkan adalah sebanyak 60 peratus sahaja. Kita telah memberi arahan untuk diambil tindakan,” katanya tanpa menyatakan jumlah kilang yang dikenakan kompaun.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis memaklumkan PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula hari ini sehingga 16 Julai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB puji usaha ketua polis Selangor mahu bantu golongan terkesan

SHAH ALAM, 2 JULAI: Dato’ Menteri Besar memuji usaha ketua polis Selangor dan kontinjennya yang mahu membantu golongan terkesan akibat Covid-19 walaupun sibuk menjalankan tugas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata naluri kemanusian amat diperlukan ketika ini apabila Dato’ Arjunaidi Mohamed dan anggotanya turut bersama rakyat yang terkesan.

“Naluri kemanusiaan seumpama ini amat diperlukan ketika rakyat bergelut meneruskan kehidupan dan menghadapi pandemik ini. Syabas Dato’ Arjunaidi dan kontinjen Polis Selangor!” tulisnya menerusi Twitter.

Terdahulu, menerusi ‘Bual Bicara PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ secara langsung di Media Selangor, Arjunaidi berkata pihaknya akan membantu golongan yang terkesan akibat pandemik khususnya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Di Selangor saya pertingkatkan lagi supaya kita lebih proaktif untuk mengesan golongan ini. Selepas kenal pasti, kita akan bantu dengan menghubungkan mereka dengan agensi berkenaan seperti lembaga zakat,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD akan dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula esok dan dijadual berakhir 16 Julai.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Polis Selangor kesan golongan terjejas untuk dibantu

SHAH ALAM, 2 JULAI: Polis Selangor akan membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 khususnya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya mengeluarkan arahan yang mana ketua balai dan anggota diminta untuk mengenal pasti golongan terbabit untuk segera dibantu.

“Di Selangor saya pertingkatkan lagi supaya kita lebih proaktif untuk mengesan golongan ini. Selepas kenal pasti, kita akan bantu dengan menghubungkan mereka dengan agensi berkenaan seperti lembaga zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ yang disiarkan secara langsung di Media Selangor hari ini.

Arjunaidi berkata orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihaknya dengan menghubungi balai polis berdekatan.

“Mungkin ada yang menghadapi kemurungan kerana mempunyai masalah kewangan, jadi hubungi balai pada bila-bila masa. Kita akan bantu mereka bagi mendapatkan bantuan dari segi kewangan, kaunseling,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD akan dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula esok dan dijadual berakhir 16 Julai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

80 peratus polis Selangor dikerah pantau PKPD

SHAH ALAM, 2 JULAI: Sebanyak 80 peratus daripada hampir 14,000 anggota polis di Selangor akan terbabit dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lebih 30 mukim mulai esok.

Ketua polis Selangor berkata antara penugasan yang dilakukan adalah menempatkan anggota di sekatan jalan raya (SRJ), pasukan pemantau di beberapa lokasi bagi memastikan tiada aktiviti merentas dan pemeriksaan di kawasan perkilangan.

“Secara keseluruhan kita ada hampir 14,000 keanggotaan dan kita akan gunakan sekurang-kurangnya 80 peratus kekuatan yang ada ini untuk tujuan operasi Covid-19.

“Kita mempunyai 140 SJR secara kekal dan sekatan secara mobil dengan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Malah kita juga menjalankan pemeriksaan di mana-mana laluan dalam tempoh sejam ke dua jam bagi mengekang aktiviti merentas,” kata Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Bual Bicara PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ yang disiarkan secara langsung di Media Selangor.

Arjunaidi dalam pada itu mengakui pihaknya berdepan cabaran susulan terdapat 34 mukim yang dikenakan PKPD dan 21 mukim lagi masih dikenakan PKP.

“Ada yang bertanya adakah polis akan letakkan kawat duri, kalau nak letak di kawasan PKPD ianya tidak mencukupi jadi apa yang boleh kita lakukan adalah meletakkan SJR di laluan kebiasaan orang ramai merentas,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD akan dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula esok dan dijadual berakhir 16 Julai.

Categories
SELANGOR

Polis Selangor nafi dakwaan lelaki dikasari ketika rakaman percakapan

SHAH ALAM, 16 JUN: Polis menafikan dakwaan seorang lelaki yang beliau dipukul dan dikasari semasa hadir ke ibu pejabat Polis Daerah Serdang untuk rakaman percakapan bersabit satu laporan yang dibuat isterinya berkaitan keganasan rumah tangga, minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata pada hari kejadian lelaki berkenaan yang terserempak dengan isterinya semasa berada di balai bertindak agresif dan mengugut akan membunuh isterinya itu.

Beliau berkata polis menasihatkan lelaki itu agar jangan membuat bising di kawasan balai polis, namun dia tidak mengendahkan nasihat yang diberikan dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis iaitu “polis bodoh”.

“Semasa proses tangkapan terhadap suspek, berlaku pergelutan dan pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan paling minimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam sebuah portal berita melaporkan seorang bekas pengurus bengkel Joseph Prakash Sukumaran mendakwa dia dipukul dan dikasari semasa berada di ibu pejabat polis berkenaan.

Arjunaidi berkata suspek didapati mempunyai lapan rekod jenayah lampau meliputi pelbagai kesalahan jenayah termasuk kekerasan serta narkotik, dan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methapethamine.

Beliau berkata suspek didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 11 Jun lepas mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, di samping menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Menurutnya suspek tidak mengaku salah dan dibebaskan dengan jamin mahkamah.

“Sejurus dibebaskan, pada hari yang sama lelaki itu telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bandar Kinrara mengatakan telah dipukul dan dikasari oleh pihak polis semasa hadir memberi keterangan bersabit kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Arjunaidi berkata satu Kertas Siasatan Enkuiri Polis (KEP) dibuka bagi menjalankan siasatan terhadap laporan yang dibuat dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mengambil alih siasatan KEP ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

PKP penuh: Polis Selangor keluar 2,251 kompaun ingkar SOP

SHAH ALAM, 15 JUN: Polis Selangor mengeluarkan 2,251 kompaun atas pelbagai kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan penuh fasa pertama bermula 1 Jun.

Ketua polis negeri berkata tiga kesalahan utama ialah gagal mematuhi penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan tidak mengimbas MySejahtera, lapor Berita Harian.

“Kompaun ini dalam tempoh 13 hari sehingga 13 Jun. Kesalahan yang paling banyak ialah tiada penjarakan fizikal, iaitu 541 kompaun.

“Kemudian diikuti kesalahan tidak memakai pelitup muka 523 kompaun, tidak mengimbas kod QR MySejahtera sebanyak 238 kompaun,” kata Dato’ Arjunaidi Mohamed semalam.

Menurut Arjunaidi berdasarkan penguatkuasaan pemantauan sepanjang tempoh terbabit, kebanyakan penduduk Selangor mematuhi SOP.

“Hanya segelintir penduduk Selangor masih gagal, ingkar dan mengambil mudah, seperti SOP yang mudah iaitu penjarakan fizikal dan pelitup muka.

“Sepatutnya semua orang sudah faham tetapi masih ada yang ambil mudah dengan tidak memakai pelitup muka dan berkumpul. Ada juga majikan gagal menentukan agar pekerja merekod kehadiran atau mengimbas MySejahtera,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tumpas 10 sindiket along, 38 individu ditahan

SHAH ALAM, 14 JUN: Polis menahan 38 individu daripada 10 sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along dalam serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar Selangor pada awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata kesemua sindiket terbabit dipercayai beroperasi di Lembah Klang sejak dua minggu ke setahun yang lepas dengan mempromosikan perkhidmatan pinjaman wang melalui iklan pada poster, gegantung dan edaran risalah kepada orang awam.

Beliau berkata sindiket berkenaan menawarkan pinjaman sehingga RM1 juta dengan kadar bunga yang tinggi iaitu 10 hingga 15 peratus sebulan.

“Kesemua suspek berumur 21 hingga 61 tahun itu terdiri daripada 32 lelaki dan dua wanita tempatan serta tiga lelaki dan seorang wanita warga asing, dengan 17 orang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Selain itu, Arjunaidi berkata terdapat enam kes dilaporkan membabitkan sindiket along berkenaan yang menawarkan pinjaman wang tidak wujud yang dipromosikan melalui pelbagai platform dalam talian seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram.

“Mangsa tidak mendapat wang sebaliknya mereka diperdaya untuk membuat pinjaman yang tidak wujud contohnya memohon pinjaman RM10,000 tapi perlu mengeluarkan wang sendiri hingga RM15,000,” katanya.

Beliau berkata hasil serbuan yang dilakukan pada 3 hingga 8 Jun lepas itu, pihaknya merampas antaranya wang tunai berjumlah RM57,170, tujuh kenderaan, 72 telefon bimbit, sembilan komputer serta 61 keping kad ATM bank yang dipercayai kepunyaan para peminjam dan salinan rekod peribadi peminjam.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 506 KK, Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Beliau berkata 12 ahli sindiket itu dituduh di mahkamah pada Jumaat lepas dan hari ini manakala tiga kes lagi iaitu di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Shah Alam berjaya mendapat arahan pertuduhan dan bagi kes-kes lain akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat untuk mendapat arahan pendakwaan.

Sementara itu, Arjunaidi berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan mengesahkan menerima dua laporan berkenaan dua insiden berasingan membabitkan kekasaran berkaitan pesakit Covid-19 di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Dera kanak-kanak hingga badan lebam, dua petugas taska ditahan polis

SHAH ALAM, 11 JUN: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak yang dipercayai berlaku di sebuah taska dalam sebuah hospital di Selangor.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata kedua-dua wanita, yang merupakan petugas taska berusia lingkungan 20-an, ditahan pada kira-kira 3 petang Rabu selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Beliau berkata penangkapan itu susulan laporan kes penderaan yang diterima daripada ibu seorang kanak-kanak berusia 20 bulan pada hari sama.

“Kanak-Kanak itu luka di pipi serta lebam di beberapa bahagian anggota badan. Siasatan lanjut mendapati terdapat seorang lagi kanak-kanak berusia 21 bulan yang menjadi mangsa penderaan di taska sama.

“Mangsa dipercayai telah dipukul di bahagian kaki dan kepala dengan bantal. Kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Arjunaidi berkata pihaknya turut merampas sebiji bantal bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Selangor tumpaskan sindiket edar dadah lebih RM7 juta

SHAH ALAM, 27 MEI: Sindiket pengedaran dadah bernilai RM7,620,900 di sekitar Ampang Jaya dan Petaling Jaya berjaya ditumpaskan susulan penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 Tahun pada 21 Mei lepas.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata rampasan dadah itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sekitar 3 petang dan pihaknya menahan suspek yang berada dalam kereta di tempat meletak kenderaan di sebuah pasar raya di Ampang.

Dalam serbuan pertama, pihaknya merampas sembilan bungkusan plastik berisi pil berwarna hijau dan merah jambu disyaki dadah jenis ekstasi anggaran 7,320 gram, serta dua bungkusan plastik hijau berisi satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan disyaki dadah jenis ketamin beranggaran 2,000 gram.

“Dianggarkan jumlah rampasan di dalam kereta suspek itu bernilai RM545,200,” katanya kepada pemberita dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata rampasan kedua di sebuah kediaman teres dua tingkat di Petaling Jaya pada 4.15 petang hari yang sama menemukan 29 bungkusan plastik mengadungi satu paket plastik lutsinar dadah jenis methaphetamine dianggarkan 20,165 gram.

“Kami turut menjumpai dua bungkusan plastik hijau mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis ketamin dianggarkan 25, 870 gram serta 1,350 kepingan aluminium foil warna perak /merah yang berisi pil disyaki dadah jenis erimin beranggaran 3,510 gram.

“Turut dijumpai 20 paket plastik lutsinar berisi pil pelbagai warna dipercayai dadah ektasi dengan anggaran berat 72,590 gram menjadikan nilai keseluruhan rampasan kedua ini berjumlah RM7,075,700,” katanya.

Arjunaidi berkata suspek dipercayai dalang utama bagi sindiket ini tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah di bawah Seksyen 39 (1) dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 22 sehingga esok di bawah Seksyen 39B ADB 1952,” katanya

Beliau berkata dipercayai dadah yang dirampas ini adalah untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang khususnya di Selangor.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis rampas lebih RM14 juta dadah di Lembah Klang

SHAH ALAM, 21 MEI: Polis Selangor berjaya menumpaskan dua sindiket jenayah susulan rampasan dadah bernilai lebih RM14 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang awal minggu ini, dan ia disusuli dengan kejayaan Pulau Pinang merampas syabu serta heroin bernilai sekitar RM3.5 juta bersama sepucuk pistol dan peluru dalam dua serbuan pada hari berikutnya.

Dalam serbuan di Lembah Klang pada hari Isnin dan Selasa lepas, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata polis merampas 934.41 kilogram (kg) dadah jenis heroin, 170 kg syabu serta 56.24 kg heroin base dan menahan lapan suspek berumur antara 24 dan 45 tahun yang merupakan ahli sindiket berkenaan.

Katanya bagi sindiket pertama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah melancarkan enam serbuan di lokasi berbeza di sekitar Bandar Kinrara, Puchong; Subang Jaya serta Brickfields pada hari Isnin.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di sini hari ini beliau berkata dalam salah satu serbuan di sebuah rumah teres di Bandar Kinrara, polis turut menemukan wang tunai berjumlah RM1.08 yang dipercayai hasil aktiviti penjualan dadah.

Menurutnya polis merampas dadah dengan nilai berjumlah RM3.42 juta susulan penahanan enam anggota sindiket itu.

Arjunaidi berkata sindiket kedua ditumpaskan dalam serbuan pada hari Selasa yang menyaksikan dua lelaki masing-masing berumur 25 dan 41 tahun ditahan di sekitar Seri Kembangan selepas polis merampas dadah jenis syabu serta heroin base berjumlah RM11.09 juta.

Beliau semua suspek kedua-dua sindiket itu ditahan reman antara dua hingga tujuh hari bermula Selasa dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada hari Rabu pula, polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki dan merampas syabu serta heroin bernilai RM3.5 juta, dan sepucuk pistol serta peluru, dalam serbuan di Kepala Batas, dan Bukit Minyak.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai penjual tangkal Buddha itu ditahan di Jalan Bertam, Kepala Batas pada pukul 6.00 petang oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang hasil risikan dan intipan.

“Ekoran penahanan lelaki itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah kedai di Bukit Minyak dan berjaya membongkar tempat penyimpanan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Hasil pemeriksaan di rumah kedai itu, polis merampas 97,140 gram (g) syabu, heroin (190g), bahan kimia cecair dan peralatan serta mesin pembungkusan dadah. Polis turut menemui sepucuk pistol bersama dua kelopak mengandung 15 butir peluru,” tambahnya.

Katanya siasatan mendapati rumah kedai itu dijadikan stor untuk menyimpan semua bekalan dadah yang dipercayai dibawa masuk dari Kuala Lumpur sebelum dibungkus semula dalam kuantiti kecil untuk pasaran Pulau Pinang dan negeri di utara.

Sahabudin berkata siasatan mendapati lelaki itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Januari lepas dan semua dadah bernilai RM3.5 juta itu dipercayai boleh digunakan oleh 486,000 orang penagih dadah.

Beliau berkata lelaki itu turut disiasat berhubung satu kes melarikan orang di Butterworth pada 1 Mei lepas dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Sementara itu Sahabudin berkata pada hari yang sama polis berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki berumur dalam lingkungan 24 hingga 26 tahun, dan merampas dadah bernilai RM310,000 dalam dua serbuan di Mak Mandin serta Butterworth.

Menurutnya polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha LC 135 serta barang kemas yang jumlah nilai semuanya sekitar RM18,515, dam ketiga-tiga suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Polis Selangor keluar 51 kompaun, 27 babit kesalahan rentas daerah, negeri

SHAH ALAM, 14 MEI: Polis Selangor mengeluarkan 51 kompaun pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hari pertama sambutan Aidilfitri semalam.

Ketua polis negeri, Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata daripada jumlah itu 27 kompaun membabitkan kesalahan rentas daerah dan negeri.

“Ada yang cuba merentas negeri dan daerah walaupun tindakan itu dilarang.

“Untuk aktiviti ziarah raya, polis Selangor tidak ada mengeluarkan sebarang kompaun,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Arjunaidi berkata pihaknya mendapati pematuhan penduduk yang tinggal sekitar Lembah Klang agak baik.

Pada 5 Mei lalu, beliau menegaskan akan mempertingkat jumlah sekatan jalan raya di setiap daerah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) negeri ini terutama pada sambutan Aidilfitri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tingkat sekatan jalan raya, elak rentas daerah

SHAH ALAM, 5 MEI: Polis Selangor akan meningkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah mulai esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata langkah itu bagi menyekat aktiviti rentas negeri atau daerah terutama menjelang sambutan Aidilfitri minggu hadapan.

Beliau menjelaskan rentas hanya dibenarkan atas urusan kecemasan dan orang ramai perlu memohon kebenaran daripada polis terlebih dahulu.

“Selain daripada itu, pemantauan bazar, pusat beli-belah dan tumpuan ramai akan turut ditingkatkan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan disiplin kendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP mulai esok hingga 17 Mei.

Sementara Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor kekal dikenakan PKPB.