Categories
SELANGOR

Polis: Van putih culik, ambil organ pelajar di Sabak Bernam cerita rekaan

SHAH ALAM 24 JUN: Polis menafikan penyebaran berita palsu yang berlegar di laman sosial berkenaan kes culik kanak-kanak dengan menggunakan van putih berplate Thailand untuk tujuan pengambilan organ di jual ke luar negara.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohd berkata, penyebaran berita palsu itu menerusi laman sosial boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

PolisBeliau berkata, sejak kebelakangan ini terdapat banyak maklumat dipaparkan melalui media sosial berkaitan isu itu terutamanya di Sabak Bernam dan ini ditambahkan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak sekolah dan agensi lain.

“Polis Daerah Sabak Bernam menafikan sekeras-kerasnya penyebaran maklumat tersebut.

“Maklumat tersebut hanyalah rekaan yang ditokok tambah serta cuba menimbulkan kegusaran kepada masyarakat ,” katanya dipetik Facebook Polis Selangor.

Katanya, tindakan ini dilihat akan menimbulkan perasaan takut terhadap masyarakat dan kepada pelajar-pelajar sekolah.

“Sehingga kini polis masih tidak menerima apa-apa laporan daripada orang awam berhubung perkara ini dan hasil siasatan kita juga mendapati tiada sebarang kes dilaporkan berlaku di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, seseorang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Walau bagaimanapun polis menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai penyebaran maklumat tersebut.

Sebarang maklumat atau aduan tuan-tuan dan puan-puan boleh tampil ke Balai Polis untuk membuat laporan polis atau terus menghubungi hot line IPD untuk maklumat lanjut dengan talian 03-32245963.

EZY

Categories
SELANGOR

ACP Azmi Ketua Polis Petaling Jaya baru

SHAH ALAM 10 JUN: Ketua Penolong Pengarah Jabatan Logistik (Kewangan) Bukit Aman, Asisten Komisioner (ACP) Azmi Abu Kassim dilantik Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu.

Beliau menggantikan ACP Arjunaidi Mohamed yang akan memulakan tugasnya sebagai Penolong Pengarah Pemalsuan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Aman.

azmiAzmi,49, memulakan kerjayanya pada 1987 sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan seterusnya di Bahagian Narkotik sebelum ke Jabatan Pengurusan dan Logistik.

“Semua pihak diharap dapat memberi kerjasama bagi memastikan keselamatan awam di daerah ini sentiasa terkawal dan berada di tahap terbaik.

“Saya perlu sedikit masa untuk mendapatkan taklimat rasmi daripada pegawai di sini sebelum merangka sebarang langkah untuk manfaat bersama,” katanya pada majlis serah tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, dipetik Mstar Online.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat.

Azmi juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban selama dua tahun, bermula 2007.

Categories
SELANGOR

Polis digesa siasat segera sindiket penipuan perdaya orang ramai

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 8 JUN : Polis diberi tempoh 48 jam untuk segera bertindak dan menyiasat laporan dibuat orang ramai terhadap sebuah syarikal pembekal di Ken Rimba Jaya di sini.

Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan berkata dalam tempoh kurang dua bulan, sekurang-kurangnya terdapat minimum 100 laporan polis dibuat orang ramai yang mendakwa tertipu dengan skim ditawarkan syarikat itu.

polis bantuanNamun, katanya sehingga kini polis masih tidak menjalankan sebarang siasatan dan seolah-olah enggan memberikan kerjasama.

“Saya sampai di sini tidak sampai 15 minit tetapi saya boleh jumpa dua keping cek yang diberi orang kepada syarikat ini.

“Apa sebenarnya yang membuat polis lembab untuk menyiasat seorang individu dan syarikat ini, apa yang susah sangat sebenarnya.

“Kenapa polis tidak tangkap individu itu, siasat dan maklumkan perkembangan siasatan kepada orang ramai sama ada isu teknikal atau unsur jenayah,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir bersama Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari meninjau pejabat syarikat Yeop Heng Team Trading di sini yang turut menawarkan skim bekerja daripada rumah dengan bayaran RM 800 sebulan.

_MG_1583Pejabat berkenaan tidak lagi beroperasi dan berada dalam keadaan berselerak dipercayai diceroboh mangsa-mangsa yang tidak berpuas hati ditipu.

Mengulas lanjut, Manivannan berkata jika dalam tempoh tersebut pihak polis masih enggan bertindak, beliau akan membawa perkara ini ke Parlimen pada Isnin hadapan.

Pada 2 Mei lepas, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 ekoran tindakan syarikat itu menggunakan namanya untuk menipu pelanggan.

Rodziah yang juga Adun Batu Tiga dalam kenyataannya kepada Selangor Kini turut menggesa polis mengambil tindakan sewajarnya kepada syarikat itu.

EZY

Categories
SELANGOR

Polis: Indeks Jenayah Subang Jaya turun 18%

Oleh: AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 14 MEI : Hasil kerjasama erat antara orang ramai dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Subang Jaya bersama Polis berjaya menurunkan kadar jenayah di beberapa kawasan di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata setakat ini terdapat penurunan sebanyak 18 peratus bagi jenayah indeks secara keseluruhannya sehingga 11 Mei lalu.

polis bantuanKatanya kejayaan memberangsangkan itu tidak mampu dicapai sekiranya masyarakat tidak mempunyai kesedaran untuk membantu Polis mencegah serta membanteras jenayah.

“Setakat ini ada penurunan 18 peratus untuk jenayah indeks keseluruhan, sementara kes pecah rumah menunjukkan penurunan hampir 30 peratus.

“Ini adalah hasil yang diperoleh berdasarkan bentuk kerjasama erat yang kita jalankan bersama agensi kerajaan, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan orang ramai untuk mencegah dan mengawal jenayah di Subang Jaya,” katanya pada Majlis Penutup Program Belia Madani Cegah Jenayah di The Summit, semalam.

Dalam pada itu, Yahaya turut menyambut baik pelaksanaan program anjuran MPSJ yang menggalakkan belia untuk giat mencegah jenayah sebagai salah satu usaha membantu pihak polis.

Katanya belia adalah golongan terbaik untuk menyampaikan wadah kepada orang ramai bahawa jenayah perlu ditangani bersama dan menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Program ini merapatkan hubungan Polis bersama peserta (belia), jadi bila mereka bekerjasama, mereka tidak segan dengan anggota polis.

“Ia juga membolehkan belia membantu untuk Polis cegah jenayah secara keseluruhan kerana golongan inilah paling terbaik (bantu kita cegah jenayah),” katanya lagi.

EZY

 

Categories
NASIONAL

Pengerusi MyWatch: Ancaman bunuh, polis belum jalankan siasatan

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA 6 MEI: Polis digesa untuk menjalankan siasatan terhadap ancaman bunuh tiga butir peluru hidup ditemui di dalam peti surat rumahnya, kata Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan.

Katanya, peluru hidup berukuran 9mm berkenaan diterima dua hari lalu dalam satu sampul surat dan kejadian itu disedari abang beliau.

peluruSanjeevan juga berkata, sejak kejadian tembakan yang berlaku pada 27 Julai lalu, polis sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang perkembangan kes kepadanya.

“Sebagai rakyat beliau sepatutnya menerima perlindungan keselamatan sama seperti orang lain, jalau melibatkan orang berkepentingan seperti menteri, kes disiasat dengan begitu cepat.

“Bila berkaitan kes yang hampir meragut nyawa saya masih tiada tindakan, sehingga kini saya tidak tahu siapa pegawai penyiasat dan tiada makluman,” katanya dalam satu sidang media.

Jelas Sanjeevan, sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan beliau mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Noor Rashid Ibrahim untuk bertemu dengannya berhubung kejadian tembakan yang berlaku namun sehingga kini masih tiada perkembangan.

Katanya lagi, beliau meminta pihak polis untuk mengawal keselamatan di kawasan perumahannya namun sehingga kini masih tiada jawapan.

SanjeevanSementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua melahirkan kekecewaan dengan siasatan polis yang disifatkan berat sebelah.

Hal ini kerana apabila laporan polis dibuat oleh kumpulan pro kerajaan, pihak berkuasa akan bertindak pantas.

“Kita melahirkan kekecewaan terhadap pihak polis bila melibatkan orang awam atau aktivis NGO, tiada tindakan serius pihak polis.

“Kalau pihak pro kerajaan buat laporan, tindakan segera dibuat, macam ada unsur berat sebelah dalam perkara ini,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Penubuhan CIRC cubaan bermotif politik takutkan rakyat

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 1 APRIL : Tindakan Polis menubuhkan unit khas Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (CIRC) dilihat sebagai satu inisiatif yang lebih bermotifkan politik dan sekadar bertujuan menakutkan rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen (MP) Bukit Mertajam, Steven Sim dan MP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata Kerajaan Pusat berkemungkinan bimbang dengan kuasa dan pengaruh media sosial di kalangan rakyat.

LOGO POLIS BARU-EDITKatanya, media sosial kini berfungsi sebagai medium penting penyampaian maklumat tanpa penapisan dan kawalan oleh kerajaan sepertimana didapati di kalangan media arus perdana.

“Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk di kalangan segmen masyarakat yang mempunyai capaian media sosial yang baik seperti di kawasan bandar dan orang muda.

“Maka, adakah tindakan untuk memantau media sosial ini bertujuan untuk menakut-nakutkan penyokong Pakatan Rakyat (PR) serta memperluaskan kawalan kerajaan terhadap penyebaran maklumat,” katanya.

Pada 21 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan CIRC ditubuhkan untuk memantau aktiviti pengguna media sosial dan akan diletakkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Mengulas lanjut, Steven dan Zairil berkata, dengan kekurangan anggota polis melawan jenayah pada masa ini, penggunaan sumber polis untuk memenuhi unit merepek seperti CIRC adalah sangat tidak wajar.

“Seorang pegawai penyiasat (IO) terpaksa mengendalikan sehingga 19 kes sebulan secara purata, manakala IO di kawasan ‘hot spot’ jenayah pula terpaksa mengendalikan 20 sehingga 30 kes sebulan.

“Keadaan ini sangat jauh daripada cadangan Laporan Tun Dzaiddin yang mengesyorkan agar seorang IO sepatutnya mengendalikan hanya lima kes sebulan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Steven dan Zairil menggesa Polis untuk menghentikan langkah mewujudkan CIRC dan memberikan keutamaan sumber serta kakitangan terhadap usaha melawan jenayah yang semakin menggugat keselamatan rakyat.

“Kami ingin menegaskan bahawa setakat ini, tiada keperluan untuk menubuhkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis, lagi-lagilah apabila Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ditubuhkan untuk menyiasat sebarang kesalahan siber,” katanya.

Sebelum ini, Laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin 2005 menyatakan bahawa JSJ memerlukan 21,300 anggota pada tahun 2004, namun sehingga kini PDRM masih belum mencapai sasaran disyorkan malah masih kekurangan 11,300 anggota.

EZY

Categories
SELANGOR

Aktiviti YB: ADUN Gombak Setia rai anggota Balai Polis Gombak

GOMBAK, 28 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia menganjurkan majlis keraian Hari Polis Ke-207 bagi menghargai jasa dan pengorbanan pihak polis yang diadakan di Balai Polis Gombak, baru- baru ini.

ADUN Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan, berkata majlis makan malam itu dianjurkan sebagai sokongan kepada polis atas jasa dan pengorbanan mereka terutama daripada balai berkenaan yang banyak membantu penduduk Gombak Setia dalam menjaga keamanan serta keselamatan.

“Ia berkesesuaian dengan tema iaitu ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’,” katanya.

DSC_0034Pada majlis sama, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner (ACP) Ali Ahmad, yang baru sahaja ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak turut berucap dan menyatakan ucapan penghargaan kepada Hasbullah atas majlis makan malam yang diadakan.

“Pihak polis berharap dengan sokongan ADUN dan Ketua Kampung dalam membanteras jenayah dapat mengurangkan kes berkenaan di DUN Gombak Setia,” katanya.

Hampir 200 orang hadir dalam majlis tersebut membabitkan uketua kampung, nazir masjid, penghulu, ahli majlis dan anggota polis, bahkan penyampaian cenderahati turut diadakan sebagai kenangan dua belah pihak.

-NFN-

JURNAL BERITA – MB: Projek Horas tambah bekalan air mentah

1. MB: Projek Horas tambah bekalan air mentah, siap Julai 2015

2. MB: Manifesto PR PRK Kajang tingkat pembangunan negeri

3. Sultan Selangor: Ibu bapa perlu serius didik anak budayakan Al-Quran

4. PKR: Kesesakan trafik di Kajang sejak zaman Umno

5. Risalah burukkan Wan Azizah, PKR Selangor lapor Polis

6. Exco: Pemilik buat pembakaran terbuka berdepan tindakan undang-undang

7. Kerajaan Pusat digesa naik taraf Lebuhraya Besraya bagi atasi kesesakan

8. Bekas timbalan menteri Umno isytihar sokong Wan Azizah

9. Haniza : Program MES perlukan pendedahan lebih meluas

10. Ahli Parlimen Serdang kesal projek Park ‘n Ride gagal siap ikut tempoh

11. PBT perlu rangka dasar kutip minyak masak untuk kitar semula

12. PKNS anjur seminar pengurusan nilai dan kejuruteraan 17 Mac ini

Categories
SELANGOR

Selangor sumbang RM20,000 kepada anggota polis maut diserang hendap

Oleh Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 5 MAC: Kerajaan Selangor menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada keluarga Koperal Raja Aizam Raja Mohd yang terbunuh selepas diserang hendap sekumpulan warga asing di Taman Sentosa, Klang semalam.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata sumbangan itu hasil peruntukan Tabung Wira Negara yang diwujudkan ketika insiden Lahad Datu.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata, sumbangan itu suatu insentif kepada insan yang bertarung nyawa mempertahankan keselamatan rakyat dan negeri ini.

“Takziah kepada keluarga Raja Aizam. Kita memandang berat hal itu kerana mereka cedera ketika melindungi keselamatan orang ramai,” katanya.

Selain Raja Aizam, sumbangan RM10,000 turut diberi kepada Koperal Mohd Aidil Mustafa yang cedera dalam kejadian sama dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Bantuan itu hasil peruntukan Tabung Wira Rakyat Selangor berjumlah RM10 juta yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan.

Raja Aizam, 53, cedera di kepala, maut ketika dalam perjalanan ke HTAR selepas diserang dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi semalam.

Mereka yang bertugas dalam unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, diserang ketika meronda di Lorong Yusuf Shahbudin 44D, Taman Sentosa.

– FZL

Categories
NASIONAL

KPN patut bertindak tegas terhadap anasir pencetus konflik

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 21 FEB : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sepatutnya mula mengambil tindakan tegas terhadap anasir tidak bertanggungjawab yang jelas berniat untuk mencetuskan konflik kaum dan agama di negara ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Khalid juga perlu berhenti daripada terus berlagak dan bercakap besar sedangkan tiada apa-apa tindakan diambil sehingga ke hari ini.

Katanya, tindakan Khalid selaku ketua tertinggi Polis yang terus berdiam terhadap badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia begitu dikesali.

polis“Beliau (Khalid) bercakap ingin menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 terhadap pihak yang bersuara mengenai isu agama dan kaum, namun masih tiada apa-apa (tindakan).

“Polis juga belum hantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia sedangkan mereka ini membuat kenyataan mengugut untuk melakukan jenayah menampar Teresa Kok selain pengulangan 13 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lepas, Khalid dilaporkan memberi amaran untuk menggunakan SOSMA terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu kaum dan agama yang berpotensi mengancam keselamatan negara.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tindakan lambat Khalid itu ternyata jauh berbeza dengan isu video Teresa Kok, ‘Onederful Malaysia’ apabila kertas siasatannya dihantar terus kepada Pejabat Peguam Negara pada 14 Februari lalu.

“Saya juga terkejut apabila Khalid mengeluarkan kenyataan bahawa klip video itu sebagai sebahagian daripada kempen kebencian untuk mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara.

“Ternyata Khalid menunjukkan sikap berat sebelah dan tidak professional ketika membuat dakwaan itu, pada masa sama terus membisu kepada pihak yang menuduh video itu sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

“Jadi, siapakah yang dimaksudkan Khalid ketika memberi amaran akan menggunakan SOSMA,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Kit Siang meminta agar Khalid menunaikan ikrarnya sewaktu mengangkat sumpah menjadi Ketua Polis Negara dan mula bertindak professional dan bertindak tegas terutamanya terhadap pihak yang mahu mencetuskan kebencian kaum dan agama.

cat teresa kokSebelum ini, Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia mengadakan demonstrasi sembelih ayam selain menawarkan RM 1,200 yang kini semakin meningkat ke RM 2,000 kepada mana-mana individu yang berani menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Dua hari lepas pula, pejabat Teresa di Kuala Lumpur pula ditinggalkan bangkai ayam selain tangga pejabatnya turut disimbah cat merah.

Sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap mana-mana individu sekalipun banyak laporan polis dibuat.

EZY

Categories
NASIONAL

Polis perlu bertindak, tahan dalang ancam Teresa Kok

SHAH ALAM 7 FEB : Polis perlu bertindak cepat menahan mereka yang bertanggungjawab mengancam Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dengan menyembelih ayam dan mencetuskan keganasan serta menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa menampar beliau yang didakwa menghina kepimpinan Melayu juga Islam.

Memetik laporan Malaysian Insider, Peguam, Datuk Baljit Sindhu, berkata polis tidak perlu menunggu sehingga seseorang membuat laporan sebelum bertindak menyiasat kejadian dakwaan perkauman itu.

“Mereka perlu proaktif dalam keadaan seperti ini. Mereka perlu menghentikan masalah perkauman dan agama yang semakin meningkat sebelum menjadi luar kawalan,” katanya.

baljirt singhBeliau menganggap perbuatan terbabit amat mengganggu dan tidak wajar, bahkan polis yang berada di kawasan itu harus bertindak cepat dan tidak berlengah kerana kejadian terbabit diketahui umum.

Selain itu, Peguam, Salim Bashir, berkata pemimpin di Putrajaya perlu mengambil tindakan mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab kumpulan atau individu terbabit.

“Ini dapat bantu menenangkan orang awam daripada takut yang tidak berasas. Masyarakat awam juga perlu melahirkan perasaan mereka kerana rakyat Malaysia yang sayangkan keamanan tidak boleh menerima perkara mengarut seperti itu,” katanya.

Salim berkata, polis juga perlu menyiasat sama ada kumpulan itu melanggar Akta Perhimpunan Aman atau tidak.

Beliau berkata, kejadian semalam menunjukkan badan bukan kerajaan (NGO) mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri ketika polis sudah memulakan siasatan terhadap laporan yang dibuat terhadap Teresa.

Bagi, Penasihat Lawyers for Liberty, Eric Paulsen, berkata perbuatan itu menakutkan dan ancaman untuk mencederakan.

“Perbuatan jenayah itu bukan cara biasa yang aman untuk meluahkan rasa tidak puas hati. Perbuatan itu juga boleh dikaitkan dengan kesalahan menyebabkan perpecahan dan perasaan permusuhan berasaskan kepada agama,” katanya.

Paulsen berkata, polis boleh mengklasifikasikan perbuatan itu sebagai intimidasi jenayah mengikut Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

1780872_1381375482129367_2010266363_nSemalam, kira-kira 50 ahli NGO mencetuskan kekacauan apabila mereka menyembelih dua ayam dan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Teresa Kok sebagai tanda marah terhadap pemimpin itu kerana dikatakan menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Mereka kemudian melumurkan darah ayam itu ke atas kain rentang yang terdapat gambar Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Bantahan itu adalah tanda marah terhadap pembangkang yang didakwa menghina ‘Kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, Islam dan maruah Melayu’.

Teresa Kok sebelum ini menerbitkan klip video sambutan Tahun Baru Cina bertajuk ‘Onederful Malaysia CNY 201’4 yang dikatakan mengandungi unsur fitnah dan menghasut sementara Khai Loon menyumbat kangkung ke dalam mulut patung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai bantahan terhadap kenaikan harga makanan.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

Polis ditugas intip harga barang jatuhkan imej

SHAH ALAM 27 JAN: Tindakan terbaru Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Polis mengintip harga barang jelas tidak ada rasional dan menjatuhkan imej mereka.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, berkata tindakan itu jelas tersasar jauh daripada polis yang termaktub dalam Akta Polis 1967 Seksyen 3 (3).

POLIS bantuanAkta itu menyatakan polis perlu memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekal keamanan, mencegah, mengesan jenayah, menangkap, mendakwa pesalah dan mengumpul risikan keselamatan.

“Tahun lalu, Ahmad Zahid mengarahkan polis menjadi ‘pak guard’ menjaga kertas dan peti undi pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. Kini anggota polis dikerah sebagai pengintip serta pemantau harga barang di pasaran.

“Imej, maruah dan profesionalisme polis jelas semakin tergugat angkara tindakan menteri yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan media.

Kata Steven, Kerajaan Umno-BN gagal mentadbir ekonomi dengan baik menyebabkan hutang negara melampau tinggi, pendapatan terbantut, kos sara hidup meningkat dan budaya rasuah pula tidak dapat ditangani.

“Kini, mereka seakan-akan menggunakan taktik ekonomi perang rejim Nazi untuk mengawal harga barang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan sedemikian jelas bukannya strategi ekonomi bijak dan adil oleh kerajaan yang kononnya mendahulukan rakyat.

“Langkah kerajaan hanya memberi tekanan perniagaan terutama peniaga kecil manakala syarikat besar yang memonopoli perkhidmatan serta barangan terus bebas mengaut keuntungan,” katanya.

EZY