JURNAL BERITA – Turunkan harga kereta: PKR ulangi desakan hapus cukai eksais

Sinopsis

1. MB: Dua pegawai PKNS ditukar sementara untuk siasatan dalaman –

2. Isu PKNS: SUK minta semua pihak tidak sebar khabar angin –

3. Selangor sasar bina 35,000 rumah mampu milik dalam tempoh 4 tahun –

4. LZS kutip zakat RM517.4 juta, sasar RM530 juta pada 2014

5. Anwar dihalang masuki Jepun, Kerajaan Jepun patut mohon maaf, tidak ulangi kesilapan

6. AMK hantar memo bantahan ke Kedutaan Jepun

7. PKR ulangi desakan hapus cukai eksais bagi turun harga kereta

8. Chegubard buat laporan polis terhadap fitnah Amar Singh

9.Tuduhan DAP sabotaj BN, mentaliti menteri kekampungan

10.AKTIVITI YB: Ziarah, agih limau mandarin sekitar Bangi

Categories
NASIONAL

‘Polis mabuk’, KPN perlu fokus perangi jenayah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JAN: Insiden anggota polis melanggar disiplin ketika bertugas menunjukkan kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis dalam menentukan fokus sebenar badan penguatkuasa itu supaya berfungsi lebih efisyen dalam memerangi jenayah.

Naib Presiden PKR, N Surendran, berkata Ketua Polis Negara (KPN) sepatutnya perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebenar polis supaya dapat memberikan fungsi terbaik dan bukannya ghairah ‘menyerang’ pimpinan Pakatan Rakyat.

Katanya, campurtangan politik terhadap urusan pentadbiran polis menjejaskan integriti anggota polis bertugas sehingga mengakibatkan mereka hilang semangat.

“KPN sepatutnya memastikan polis berfungsi secara sempurna dan efisyen dalam kegiatan harian mereka,” kata Surendran ketika dihubungi Selangor Kini.

polis mabukSebelum ini, terdapat penyebaran gambar dua anggota polis yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol semasa menjalankan tugas rondaan di laman sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahalan dalam satu kenyataan di laman Facebook Rasmi Polis Kontinjen Selangor berkata, identiti kedua-dua anggota terbabit dikenal pasti dan mereka ditukarkan serta merta tempat penugasan sementara siasatan lanjut insiden itu dijalankan.

“Ini adalah satu kegagalan KDN kerana beberapa insiden terlah berlaku termasuk kehilangan senjata sebelum ini dan sekarang kes mabuk dan segalanya pula. Sentiasa pula ada kes dera dalam tahanan.

“Semua ini menunjukkan bahawa KDN gagal memastikan bahawa polis berfungsi secara berdisiplin dan mengikuti undang-undang dalam melaksanakan tugas,” katanya.

20130623_PKR_Padang_Serai_N_SurendranSurendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai turut membidas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang memaklumkan polis memerlukan prosedur (SOP) baru bagi mengatasi masalah ini

“Tak masuk akal apabila polis memerlukan SOP baru. Ini adalah hal penyelenggaraan dan pengendalian PDRM serta polisi KDN,” kata beliau lagi.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

Antara keganasan polis & penyokong kepartian, media ‘terkeronyok’

Oleh Fazallah Pit

SESETENGAH pihak menganggap Utusan atau media arus perdana seratus peratus kebal dari ‘dibelangkung’ pihak berkuasa khususnya polis atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ada benarnya tetapi hanya secara organisasi. Wartawannya tidak, jurugambarnya pun tidak. Mereka tetap dimangsai, sama seperti pengamal media alternatif mahupun media independen.

Cuma, ia tidak diperbesar-besar kecuali jika dimangsai penyokong pembangkang. Jika tidak, cerita itu ditutup atau sekurang-kurangnya dikecilkan. Mungkin mereka ‘deal‘ cara lain.

imageSelain kes wartawan The Sun yang dibelasah polis pada perhimpunan Bersih 3.0 hingga terlantar di hospital, kekasaran juga pernah berlaku membabitkan wartawan dan jurugambar Utusan.

Ketika itu, saya masih wartawan Berita Harian dan baru ditukar ke biro Klang. Kami sekereta – Proton Iswara merah yang dipandu wartawan senior Bernama dan dalam perjalanan membuat liputan Perhimpunan 100,000 Kesas.

Kami yakin ‘selamat’ – maklumlah, media arus perdana katakan.

Tidak jauh dari susur keluar Jalan Kebun dari Klang, kami berhenti di satu sekatan jalan raya di arah bertentangan.

Jurugambar Utusan merakam ‘aksi’ beberapa polis terhadap penyokong pembangkang. Untuk simpanan sahaja, mana boleh keluar paper, katanya kepada saya yang merokok sambil meninjau-ninjau.

Tiba-tiba, sekumpulan anggota polis berjalan laju ke arah kami.

Saya cepat-cepat masuk ke kereta – masih trauma akibat dikeronyok penyokong pembangkang dalam insiden ‘polis lepaskan tembakan ke udara’ di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

gardownload (1)Dalam sekelip mata, kereta yang kami naiki dikerumuni berbelas-belas  anggota polis, rasanya LSF (Unit Tindakan Ringan yang pakaiannya mirip FRU atau Unit Simpanan Persekutuan).

Tak ubah macam gula dihurung semut.

Seorang wartawan Utusan bersebelahan pemandu membuka pintu, mahu memberi penjelasan mengenai kehadiran kami. Malangnya, pintu kereta ditendang menyebabkan kaki kirinya terkapit.

Saya pula – di tempat duduk belakang, betul-betul belakang kerusi pemandu – menunjukkan kad media yang dikeluarkan Kementerian Penerangan apabila ditanya seorang anggota polis.

Press, press (Media, media)”  tetapi ‘tidak laku’ di mata anggota polis yang kemudian menghambur herdikan. Saya diam dan mulai memboikot kad media itu bertahun-tahun lamanya.

Kekecohan belum berakhir.

kareownload (1)Jurugambar Utusan – yang hanya menunggu tempoh pencen – dikerumuni anggota polis. Lehernya dicekak manakala filem kameranya dikeluarkan secara paksa. (Kamera berkenaan rosak akibat perbuatan itu).

Kami buat laporan dan dipanggil ke balai polis. Tapi, kami enggan – nekad hanya beri keterangan tanpa pergi ke balai. Maka, ia berlangsung di pejabat Utusan di Jalan Raja Bot, Klang.

Puluhan keping gambar anggota polis ditunjuk tapi semuanya ‘muka muda-muda’. Tak dapat cam, kami rasa dipermainkan, minta gambar yang agak baru tetapi tidak diendah.

Ironinya, polis ketika itu galak meminta media arus perdana memapar gambar wanted reformasi di dada akhbar termasuk Utusan.

Dalam satu sidang media tidak lama kemudian, seorang wartawan senior Utusan mempersoal keganasan polis kepada Ketua Polis Selangor (sudah meninggal dunia).

gandownload (1)“Datuk, polis minta media siar pesalah reformasi tetapi media pun ‘kena’ jugak.” Soalan itu hanya dijawab dengan janji yang tidak ditepati.

Anehnya, kisah sebegini cepat sejuk di kalangan pengamal media arus perdana tetapi cerita dikasari penyokong pembangkang sering kali digembar-gembur dari dada akhbar hingga ke kedai kopi.

Sebaik-baiknya, semua pengamal media konsisten dalam bersikap, dengan membantah sebarang keganasan terhadap pengamal media – baik sesiapapun pihak berkuasa mahupun penyokong kepartian.

Kebetulan, ia juga satu daripada lapan tuntutan Gerakan Media Marah (GERAMM) iaitu menyiasat keganasan terhadap pengamal media.

Maka, Protes Media Marah jam 2 petang esok di depan bangunan Majlis Peguam, Lebuh Pasar, Kuala Lumpur menjadi wadah paling sesuai untuk kita lepaskan marah dan geram.

Copy of geram-poster

* FAZALLAH PIT ialah bekas wartawan Berita Harian selama 13 tahun dan bekas editor Suara Keadilan antara 2010 hingga Mei 2013. Kini, Ketua Pengarang TV Selangor/Selangor Kini. Artikel ini pertama kali disiarkan di Malaysia Kini.

Categories
NASIONAL

Polis salah muat naik gambar, kredibiliti dan integriti terus dipersoal

Oleh: Siraj Zaini

SHAH ALAM 2 JAN: Permohonan maaf polis memuat naik gambar anggotanya cedera semasa Himpunan Turun pada 31 Disember lepas tidak mencukupi tanpa memberikan penjelasan munasabah kepada umum.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kecuaian itu tidak wajar kerana ia memberi pelbagai persepsi buruk kepada masyarakat mengenai perkara sebenar yang berlaku.

Polis FB“Perkara macam ini perlu diambil serius, polis sebagai badan berkuasa negara ini tidak boleh membenarkan berita yang tidak sahih untuk disebarkan.

“Sebab kalau ia tidak sahih dan tidak disahkan kesahihannya dan disebarkan, ia adalah sama seperti menyebarkan berita palsu,” katanya ketika ditemui Selangor Kini, hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan polis di dalam laman sosialnya yang bertajuk Ralat : Kesilapan Memuatnaik Gambar Anggota Polis Cedera.

polis maafLaman sosial Facebook Polis mengeluarkan kenyataan maaf berhubung kesilapan memuat naik gambar anggotanya yang cedera semasa menjalankan tugas semasa malam sambutan berkenaan, kelmarin.

Polis dalam kenyataannya menyatakan tidak mempunyai sebarang niat untuk mengeruhkan keadaan dan mengakui kelemahannya di laman sosial rasmi pasukan keselamatan itu.

Namun, gambar anggota polis yang didakwa dicederakan dipadamkan terlebih dahulu sebelum kenyataan maaf dikeluarkan di media sosial berkenaan.

Katanya, kesilapan sedemikian hanya menampakkan polis sebagai sebuah badan tidak bebas dan dipengaruhi sifat kepartian secara lebih jelas lagi.

“Sebagai sebuah badan neutral, polis tak perlu tunjuk sifat kepartian, jika polis ambil gambar daripada ‘cybertrooper’ Umno, maka kita kena tanya polis.

“Adakah ini Prosedur Operasi Standard (SOP) yang biasa dilakukan polis mengenai media sosial, dan jika ia, adakah ia mengikut piawaian antarabangsa, kerana ia menjejaskan status neutral polis,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

PDRM patut contohi polis Thai protes kenaikan kos sara hidup

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 31 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberi kerjasama sepenuhnya kepada rakyat yang ditindas akibat kenaikan harga perkhidmatan dan barangan keperluan harian.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, berkata kerjasama daripada polis bukan sahaja mampu melancarkan perhimpunan Protes Ambang 2014 tanpa kejadian tidak diingini berlaku tetapi turut memberi manfaat kepada anggota polis dan keluarga mereka yang turut sama tertekan.

azmin“Kita mengambil pendirian polis harus bersama rakyat pertahankan keadilan dan bersikap profesional perangi jenayah bukan perangi rakyat yang tertindas dengan kenaikan kos sara hidup.

“Walaupun kita tahu anggota polis juga tertekan apabila harga naik tetapi saya tidak kata mereka patut berdemonstrasi sama kerana harus bersikap profesional dengan tidak dipergunakan sama ada kerajaan untuk menentang rakyat atau sebaliknya.

“Sewajarnya menjadi tanggungjawab polis melindungi keselamatan dan bekerjasama dengan rakyat yang berhimpun malam ini bagi melancarkan bantahan tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” kata Ahli Parlimen Gombak itu ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Azmin berkata, pengalaman lepas membuktikan sebarang perhimpunan aman seumpama Protes Ambang 2014 akan berjalan aman dan lancar jika polis turut bekerjasama melicinkan perhimpunan.

Sementara itu, dalam perkembangan protes anti kerajaan di Bangkok, dianggarkan kira-kira 500 polis Thailand yang diketuai Kolonel Niwat Puenguthaisri menyertai perhimpunan itu bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap prosedur kerajaan menangani protes rakyat.

Kolonel Niwat Puenguthaisri menyifatkan kejadian polis menyertai bantahan terhadap kerajaan itu adalah kali pertama berlaku dalam sejarah Thailand.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Chegu Bard: ‘Amar Singh, saman RM100 juta atau mohon maaf’

SHAH ALAM 29 DIS : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengambil tindakan saman terhadap Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur , Datuk Amar Singh Ishar Singh sebanyak RM100 juta yang mengaitkan mereka antara dalang himpunan guling kerajaan 31 Disember ini.

Pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin, berkata tuduhan Amar Singh itu bersifat fitnah jahat serta cuba mengalih isu sebenar terhadap kemarahan rakyat akibat kenaikan kos hidup.

Chegubard“Saya dengan ini mendesak fitnah ini ditarik balik oleh Datuk Amar Singh Ishar Singh dan permohonan maaf dituntut. Dia harus dedah apa sumber dia, dan dedah bukti gred A sekiranya ada.

“SAMM akan menghantar notis undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan media terbabit. Saya akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Amar Singh pada satu sidang media mendedahkan kononnya empat NGO sebagai dalang utama himpunan ‘menggulingkan kerajaan’ malam sambutan tahun baru Selasa ini.

Polis SAMMBeliau menamakan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) serta beberapa individu yang dikatakan turut merancang menimbulkan kekecohan dengan menggunakan bom dan senjata.

“Datuk Amar Singh Ishar Singh kononnya ada maklumat dan sumber mengenai tuduhan itu. Namun pendedahan menjadi ‘lawak’ apabila dia umum himpunan guling kerajaan oleh NGO-NGO kecil ini hanya ratusan dijangka hadir.

“Saya kasihan dengan Datuk Amar Singh Ishar Singh, seorang pegawai polis kanan sanggup menjadi alat aparat dakyah regim,” katanya lagi.

Menurut Badrul, himpunan Turun pada Selasa ini adalah meluahkan rasa terhimpit rakyat dengan kenaikan kos hidup, ini berkait rapat dengan kegagalan pemerintah yang mungkir janji PRU tujuh bulan yang lalu, dan bukan mahu mengguling kerajaan seperti dituduh.

Ianya adalah anjuran rakyat yang pada awalnya mencadangkan di Facebook dan SAMM serta beberapa lagi NGO hanya menyambut persetujuan itu.

“Namun pemerintah yang menganggap kebangkitan kesedaran rakyat sebagai tekanan telah memulakan propaganda dengan memunculkan persepsi jahat terhadap himpunan protes kenaikan kos hidup sebagai ‘himpunan guling kerajaan’.

“Maka media arus perdana digunakan sepenuhnya bagi mengalih isu dari kenaikan kos sara hidup kepada guling kerajaan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Mahkamah gugur rayuan, Ibu Aminulrashid: ‘Anak saya mati macam anak kucing…”

OLEH: SIRAJ MOHD ZAINI

PETALING JAYA 23 DIS: Kejadian malang menimpa Aminulrashid Amzah masih segar dalam ingatan ibunya, Norsiah Mohamad yang kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan menggugurkan kes melibatkan arwah anaknya.

Katanya, keputusan mahkamah didakwa tidak adil dan berat sebelah kerana keadilan tidak berpihak kepada keluarganya yang menuntut pembelaan di atas kematian Aminulrashid apabila ditembak polis dalam satu kejadian awal pagi 24 April 2010 lalu.

DSC_0506a“Nampak sangat berat sebelah, tak ada keadilan langsung, macam-macam tohmahan untuk anak saya, dalam internet macam-macam tohmahan untuk saya, saya tak kacau orang, sedangkan anak saya ditembak macam banduan besar, macam penjenayah besar, sedangkan umur anak saya 14 tahun.

“Bukan satu peluru, tapi 21 peluru dan mahkamah boleh katakan ia dilakukan tanpa niat,” katanya dalam sidang media di pejabat Lawyers of Liberty (LFL) di 8 Avenue, Petaling Jaya, di sini hari ini.

Beliau turut ditemani ahli keluarganya serta Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran serta peguam PKR, Latheefa Koya.

Dalam kejadian awal pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam itu, Aminulrashid meninggal dunia akibat luka tembakan dikepalanya selepas ditembak berpuluh das tembakan oleh seorang anggota polis berpangkat Koperal.

Susulan itu, keluarga Aminulrashid memfailkan saman sebanyak RM50 juta di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 April lalu kepada Kerajaan Pusat dan polis bagi menuntut keadilan terhadap insiden itu.

aminulNorsiah berkata, sehingga kini pihak yang bertanggungjawab termasuk Kerajaan Pusat serta polis tidak tampil untuk memohon maaf terhadap insiden yang menimpa keluarganya itu.

“Tak ada pun minta maaf dengan saya, kalau malu nak jumpa saya pun, telefon, saya hormat polis yang ada etika, ada wawasan, tapi saya tak hormat polis macam itu,” kata Norsiah.

Dalam pada itu, N.Surendran, berkata biarpun Mahkamah Rayuan sudah membuat keputusan, Peguam Negara (AG) boleh menggunakan kuasa untuk memfailkan usul mengkaji semula keputusan diputuskan mahkamah kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Katanya, kes berkenaan ditangani secara tidak serius dan lebih kepada menutup kelemahan dan kesilapan yang dilakukan polis ketika insiden itu berlaku.

“Sudah lebih tiga tahun, namun tiada siapa yang dijatuhkan hukuman di atas apa yang berlaku,” katanya yang juga Naib Presiden PKR itu.

Dakwanya, polis tidak bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerana boleh menembak kenderaan suspek sewenang-wenangnya tanpa usul periksa.

“30 peluru digunakan untuk memberhentikan kenderaan?, Awak tak boleh tembak untuk memberhentikan kenderaan, awak tak boleh tembak jika tiada ancaman, ia terkandung dalam (SOP) polis,” kata Surendran.

EZY

Categories
NASIONAL

Separuh lokap, bilik soal siasat tiada CCTV, polis tak gunakan peruntukan

hee loy seanKUALA LUMPUR 9 Nov: Peruntukan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokap dan bilik-bilik soal siasat tidak digunakan sepenuhnya oleh polis, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sean.

Berdasarkan jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen 7 November lalu, katanya 389 lokap belum dipasang CCTV daripada sejumlah 730 lokap manakala daripada 107 bilik soal siasat, 57 tidak dilengkapi kamera itu.

“Ini menjadi salah satu punca kes kematian dalam tahanan kerap berlaku di Negara ini,” katanya merujuk kes Cheah Chin Lee, 36, yang dijumpai mati dalam lokap Tanjong Tokong 13 Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, laporan bedah siasat yang mendapati mangsa ‘menggantung diri sendiri’ amat mencurigakan dan mendiang dijumpai mati selepas lima jam ditahan.

“Alasan lain yang digunakan polis jika ada kematian dalam tahanan ialah mangsa mengalami masalah kesihatan.

“Dalam kes ini, ada rakaman CCTV tetapi tiada rakaman audio menyebabkan kesukaran kepada mahkamah untuk mengenalpasti kejadian tersebut,” katanya.

Dipetik Keadilan Daily, Loy Sean berkata, punca kematian boleh dimanupilasi kerana tiada rekod keluar-masuk anggota ke lokap mahupun bilik siasatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Tindakan terhadap pegawai kerajaan negeri jika bersalah kes seksual

Kes Seksual

SHAH ALAM 23 OKT: Tindakan tegas akan diambil terhadap ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang berdepan dakwaan seksual termasuk diarah melepaskan jawatan jika polis mendapati individu itu bersalah.

Dipetik Malaysia Kini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri sedang memantau kes seksual itu dan kerajaan Selangor tidak campur tangan dalam siasatan polis.

“Kita mesti bersikap adil. Jika ia adalah satu laporan jenayah, maka polis, perlu bertindak mengenai dalam perkara itu kerana kerajaan tidak mempunyai kapasiti untuk menyatakan ia satu kesalahan.

“Kami sedang memantau situasi ini. Kami mahu mengenal pasti hak individu bagi mempertahankan kedudukan mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Shah Alam petang ini.

Khalid juga mengarahkan Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim untuk mengambil tindakan bersesuaian jika individu itu didapati bersalah atas tuduhan.

“Ini kerana kita perlu memberi hak yang adil kepada ahli majlis. Sekiranya (kejadian seperti didakwa benar-benar berlaku), maka kerajaan negeri akan mengarahkan beliau melepaskan jawatannya,” katanya.

Kata Khalid, ahli majlis itu buat masa ini masih menghadiri majlis rasmi kerana belum terbukti bersalah dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor prihatin beri sumbangan kepada Sugumaran – FOKUS


 

Sinopsis

FOKUS Untuk 16102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Negeri Selangor menghulurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga C Sugumaran yang meninggal dunia semasa di tahan polis.

2. PKR menuntut penjelasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang didakwa menghalang mahasiswa Australia daripada menghadiri program berkaitan demokrasi dan perbezaan pendapat bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

3. Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, walaupun beliau menerima tawaran untuk menyertai operasi bersama pasukan polis, ia bukan jalan penyelesaian terhadap kritikannya kepada agensi penguatkuasa itu.

Categories
NASIONAL

Laporan Audit Negara dedah polis banyak hilang gari, senjata api

Audit-Polis

KUALA LUMPUR, 2OKT: Polis kehilangan 309 unit aset meliputi gari, senjata api dan kenderaan yang bernilai RM1.33 juta, dedah Laporan Ketua Audit Negara hari ini.

Mengikut The Malaysian Insider, aset yang paling banyak hilang daripada 2010 hingga 2013 ialah gari dengan sejumlah 156 unit.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik itu menyatakan jumlah itu diikuti senjata api dan kenderaan, masing-masing 44 dan 29 unit.

“Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pengurusan aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang memuaskan.

“Pengurusan aset yang yang tidak teratur dan bersistematik boleh menyebabkan berlakunya kehilangan aset terutamanya senjata api dan gari yang boleh mengancam keselamatan awam,” kata laporan itu.

Antara kelemahan lain ialah kehilangan aset lewat dikesan; kelewatan melapor kehilangan kepada Ketua Jabatan dan Polis; Ketua Jabatan lewat menyediakan Laporan Awal Kehilangan Aset; Jawatankuasa Penyiasat Kes kehilangan aset lewat ditubuhkan; dan Jawatankuasa Kehilangan Aset lewat menyediakan Laporan Akhir.

– The Malaysian Insider

MPS roboh 10 gerai,3 warga asing ditahan

roboh premis Majlis Perbandaran Selayang 01

SELAYANG , 26 Sept : Operasi bersepadu membabitkan Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Imigresen, Syabas, TNB dan polis dijalankan di Kolam Air Panas, di sini.

Hasil pantauan MPS, 10 buah gerai haram yang beroperasi selama 10 tahun, diroboh.

Sebelum ini banyak notis dan kompaun dikeluarkan, yang terbaru, notis bertarikh 2 september diberikan kepada peniaga terlibat, namun tidak diendahkan.

roboh premis Majlis Perbandaran Selayang 02“Dakwaan peniaga di sini mengatakan kami mengambil tindakan tanpa notis adalah tidak benar sama sekali,” kata Penolong Pegawai Penguatkuasa, Megat Ainul Fadhil Ainul Fadzil.

“Gerai-gerai ini didapati menceroboh tanah Kerajaan Negeri dan diambil tindakan meroboh di bawah notis halangan 46(1)a Akta Parit danBangunan 1974.

“Hasil pantauan yang dibuat, didapati premis ini juga tidak menjaga kebersihan dan memberikan pandangan negatif kepada pelancong,” katanya.

Menurut beliau, kawasan ini bakal dibangunkan menjadi salah satu kawasan pelancongan di masa akan datang.

roboh premis Majlis Perbandaran SelayangOperasi ini disertai kira-kira 50 orang penguatkuasa termasuk imigresen.

Pemilik-pemilik gerai ini kesemuanya berasal dari luar Selangor dan menjadikan premis sebagai tempat tinggal.

Peniaga ini pernah memohon permit, namun ditolak kerana lokasi terbabit tidak sesuai memandangkan kawasan terbabit bakal dinaiktaraf.

Sementara itu, Jabatan Imigresen yang diketuai Norazilawati Che Anuai Tim, berjaya menahan tiga warga asing, dua warga Bangladesh, di bawah kesalahan menyalahgunakan pas kerja, manakala seorang wanita warga Indonesia menetap lebih masa.

Kesemua mereka ditahan selama 14 hari untuk sisatan dan jika disabit kesalahan akan dikenakan hukuman kompaun, diusir atau didakwa.