Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah mangsa di lima negeri menurun

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) — Sebanyak 28,005 mangsa banjir daripada 8,598 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri pagi ini berbanding 33,193 mangsa malam tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 183 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Di SELANGOR, aplikasi itu menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 11,864 mangsa daripada 3,521 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS pagi ini, berbanding 15,354 mangsa di 81 PPS malam tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut menasihati masyarakat supaya tidak membakar sisa buangan banjir mereka.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata ia susulan semalam pihaknya telah mendapat panggilan untuk memadam kebakaran melibatkan sampah dan perabot rosak pada 5.50 petang dan setakat ini dua kes direkodkan berlaku sekitar Kapar, Klang.

Di PAHANG, 16,579 mangsa banjir masih berada di 119 pusat pemindahan sementara pagi ini berbanding 17,211 orang malam tadi.

Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, beberapa sungai yang direkodkan pada paras bahaya sejak beberapa hari lepas seperti Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Bera di Bera kini berada di paras amaran dengan trend menurun.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan hujan di sesetengah kawasan  di Kuantan dan Pekan pagi ini, manakala di daerah lain cuaca baik.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan dengan 378 orang daripada 127 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 470 orang daripada 153 keluarga semalam, melibatkan dua PPS yang dibuka di Jajahan Pasir Mas.

Dua PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dan hanya satu sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 128 individu daripada 37 keluarga berbanding semalam 132 mangsa daripada 38 keluarga.

Katanya tiga PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat pemindahan dibuka meski banjir surut, mudahkan kebajikan mangsa

KUALA LANGAT, 26 DIS: Pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir kekal dibuka meskipun banjir surut, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penutupan PPS hanya boleh diisytiharkan selepas keputusan dibuat jawatankuasa bencana negeri.

“PPS tetap dibuka untuk keselesaan dan kebajikan mangsa, ini kerana masih ada kediaman yang belum dibersih dan mereka masih berulang-alik ke PPS,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau keadaan pascabanjir antaranya di Taman Langat Utama dan Masjid Ar Rahman serta Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang.

Amirudin berkata jumlah mangsa ditempatkan di PPS semakin berkurang kerana banyak kediaman yang sudah pulih dan dibersihkan.

“Pada Selasa lebih 30,000 mangsa dilaporkan dan setakat petang semalam sebanyak 15,000 individu. Kita jangka pagi ini jumlah itu semakin berkurang,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyapa kanak kanak ketika meninjau keadaan selepas banjir di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 26 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Agensi kerajaan, swasta sumbang penapis air panas kepada 25 pusat pemindahan

SHAH ALAM, 25 DIS: Selangor menerima sumbangan penapis air panas daripada dua syarikat swasta dan agensi kerajaan untuk diserahkan ke 25 pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir.

Koordinator PPS negeri Rodziah Ismail berkata sumbangan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak terbabit memudahkan penyediaan susu kanak-kanak dan bayi serta minuman panas.

Beliau menjelaskan sebanyak 18 penapis air mula dipasang hari ini dan esok manakala selebihnya dijangka Isnin di PPS yang memiliki ramai bayi, kanak-kanak serta warga emas.

“Jawatankuasa PPS Selangor menerima banyak permintaan mangsa banjir agar disediakan bekalan air panas bagi memudahkan penyediaan susu untuk golongan terbabit serta minuman panas.

“Sehubungan itu, kita berhubung dengan syarikat pembekal yang boleh menyediakan kemudahan berkenaan di PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

EXCO Kerajaan Negeri itu turut mengalu-alukan mana-mana syarikat swasta dan korporat menyumbang kemudahan sama serta bantuan lain bagi meringankan beban mangsa musibah.

Rodziah berkata pihak terbabit disaran menghubungi bilik gerakan bencana di sembilan daerah untuk memudahkan penyelarasan dan pengurusan PPS.

Setakat semalam, sebanyak 133 PPS yang menempatkan 17,281 mangsa banjir di negeri ini masih aktif dengan 5,000 daripadanya kanak-kanak dan 400 bayi.

Berikut nombor talian khas bilik gerakan bencana daerah:

1. Klang – 03-33716700/03-33725900
2. Petaling – 03-78419462/011-51397467
3. Kuala Langat – 03-31822566
4. Kuala Selangor – 03-32897632
5. Sabak Bernam – 03-32247058
6. Gombak – 03-61201092
7. Sepang – 03-87061212/011-56698501
8. Hulu Langat – 03-89254809/011-61175078
9. Hulu Selangor – 03-60641026

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Separuh mangsa banjir di pusat pemindahan kembali ke rumah

SHAH ALAM, 24 DIS: Separuh daripada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini telah kembali ke rumah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 17,912 orang masih berada di 94 PPS setakat jam 3 petang sejak Sabtu.

“Kerja-kerja pengepaman air sedang dilipatgandakan di kawasan lain supaya mangsa banjir boleh kembali ke kediaman masing-masing sesegera mungkin,” katanya di Twitter.

Mulai semalam, Amirudin bersama wakil rakyat setempat meninjau dan membantu operasi pembersihan di sekitar Shah Alam, Hulu Langat dan Petaling.

Setakat malam tadi, sebanyak 2,376 tan metrik sampah diangkut oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) menggunakan 494 lori dan 39 pengorek kaut.

Beliau turut mengumumkan bantuan awal RM2 juta melalui peruntukan Selangor Bangkit untuk membangunkan semula Hulu Langat yang terjejas teruk.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
ADN SELANGOR

Enam pusat pemindahan di DUN Dusun Tua masih dibuka

HULU LANGAT, 23 DIS: Enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua masih dibuka hingga kini.

Wakil rakyatnya Edry Faizal Eddy Yusof berkata pusat terbabit turut dijadikan tempat simpanan bantuan susulan ramai penduduk mulai pulang ke rumah.

Edry Faizal Eddy Yusof

“Pada masa sama, kita buka tujuh pusat bantuan berskala kecil untuk memudahkan mangsa mengambil barang keperluan. Jadi mereka tidak perlu pergi jauh,” katanya.

Beliau yang ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai di sini menambah seramai 5,700 penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah terkesan akibat bencana itu.

Sementara itu, Edry Faizal menasihatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi lokasi banjir hanya untuk mendapatkan kandungan media sosial.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB lawat mangsa banjir di pusat pemindahan Kuala Selangor

SHAH ALAM, 22 DIS: Dato’ Menteri Besar melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 681 individu ditempatkan di PPS berkenaan yang terkesan akibat limpahan air susulan ban pecah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor pada 22 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

“Kontraktor sedang membina semula ban dan proses pengepaman air giat dilaksana ketika ini,” tulisnya di Twitter.

Sebelum ini tular beberapa video di media sosial menunjukkan beberapa ban termasuk di Kampung Asahan, Bestari Jaya pecah akibat tekanan air banjir di daerah itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan turun kepada 29,024

SHAH ALAM, 22 DIS: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 192 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri menurun kepada 29,024 orang setakat ini.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitternya sebentar tadi.

“Sebahagian telah mula kembali ke rumah untuk memulakan proses pembersihan sambil dibantu agensi Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan seramai 4,669 mangsa banjir ditempatkan di 39 PPS daerah itu sehingga jam 8 pagi tadi.

Antara PPS paling ramai ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emereld seramai 610 orang, Sekolah Rendah Agama (SRA) Pulau Indah (409), Sekolah Rendah Integrasi Tengku Ampuan Fatimah (368), SRA Integrasi Batu Belah (365) dan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda (350).

“Sebanyak 12 kematian dan 26 kes Covid-19 direkodkan setakat ini. Kita juga menyediakan dewan khas bagi mereka yang positif Covid-19 bagi pengasingan,” kata Mohd Faizal Abdul Raji.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam pula berkata sebanyak 46 PPS dibuka kepada mangsa banjir sehingga semalam.

“Seramai 8,257 mangsa banjir ditempatkan di PPS dan kawasan yang dinaiki air semula di Batu Tiga namun air semakin surut,” kata Shahrin Ahmad.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

86 lagi kes Covid-19 dikesan libatkan mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sebanyak 86 kes Covid-19 dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhannya 267 kes setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 75 daripada 86 kes yang dilapor hari ini, dikesan melalui saringan kemasukan ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya adalah kes Covid-19 sedia ada dan sedang menjalani kuarantin sebelum kejadian banjir.

“Setakat ini tiada kejadian kes positif Covid-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan situasi Covid-19 hari ini.

Beliau berkata kesemua kes itu diasingkan daripada mangsa banjir yang lain dengan menempatkan sembilan kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hospital (12), PPS kuarantin (62) manakala tiga kes menjalani kuarantin di rumah.

Dr Noor Hisham berkata kejadian banjir juga berisiko meningkatkan jangkitan penyakit yang lain seperti keracunan makanan iaitu acute gostroenteritis (AGE), tifoid, dan kolera; penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); leptospirosis; jangkitan saluran pernafasan akut (ARI); penyakit kulit dan denggi.

Menurutnya, setakat ini, sejumlah 203 kes ARI, 73 kes penyakit kulit, 19 kes AGE, 12 kes demam, dua kes cacar air dan 55 kes penyakit berjangkit lain melibatkan mangsa banjir dilaporkan ke Bilik Gerakan Banjir Kebangsaan.

“Bagaimanapun, tiada kes konjunktivitis, tifoid, kolera, HFMD, leptospirosis dan denggi yang dilaporkan sehingga kini,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya cakna akan risiko penyakit berkaitan banjir yang mungkin terjadi dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebaik mungkin bagi membendung penularan Covid-19.

Antaranya, memaklumkan status risiko Covid-19 kepada agensi tindak balas sekiranya disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

“Memakai kasut yang bertutup, seelok-eloknya kasut keselamatan sewaktu melakukan proses pembersihan pasca banjir. Elakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar.

“Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran terutamanya bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mempunyai komorbiditi,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19 berikutan SOP yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya akibat banjir.

Bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 71,000 dipindah akibat banjir, 26,000 orang di Selangor

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Sebanyak 71,876 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri setakat petang ini, dengan Selangor dan Pahang terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir.

Keadaan banjir di Selangor turut menyebabkan penutupan tiga Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) melibatkan daerah Petaling dan Kuala Langat, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi hantaran di laman Facebook.

Penutupan CAC di Petaling melibatkan Klinik Kesihatan (KK) Seksyen 19, Shah Alam yang akan dipindahkan operasinya di KK Puchong Batu 14, Puchong dan KK Taman Medan, manakala CAC di daerah Kuala Langat membabitkan KK Jenjarom dan KK Bukit Changgang, dipindahkan perkhidmatannya ke KK Telok Datok, Banting.

Setakat 4.30 petang tadi, jumlah mangsa di Selangor meningkat kepada 26,247 orang daripada 7,413 keluarga yang ditempatkan di 134 PPS.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa banjir turut meningkat kepada 41,455 orang yang berada di 278 PPS melibatkan sembilan daerah, dengan Kuantan terus menjadi daerah paling teruk terjejas banjir.

Laluan di dua lebuh raya utama Pahang yang dinaiki air sejak Ahad lalu juga masih tidak boleh dilalui iaitu di Bentong ke Karak bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lanchang ke Temerloh di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

Di Kuala Lumpur, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata 350 orang masih berada di PPS, melibatkan 287 mangsa di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sarazwathy Lembah Pantai; PPS Kelab Sultan Sulaiman (55) dan PPS Dewan Jalan Hamzah (lapan).

Katanya, beberapa laporan berkaitan tanah runtuh dikenal pasti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melibatkan 47 lokasi antaranya di Jalan Bukit Ledang, Damansara; Jalan Pantai Permai; Jalan Perkasa, Taman Salak Selatan; Jalan Parlimen; Semantan Villa; dan Seri Duta 1, Bukit Tunku.

“Pihak Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) telah dilantik oleh DBKL untuk membuat kajian bagi mengenal pasti tindakan penyelesaian yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata selain itu, DBKL juga mengenal pasti lokasi pokok tumbang dan dahan serkah menerusi siasatan di tapak, serta aduan awam dengan lebih 40 lokasi telah dibersihkan.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor dalam kenyataan berkata 766 orang daripada 188 keluarga masih berada di enam PPS melibatkan daerah Jelebu, Port Dickson dan Seremban, setakat 4 petang.

Di Kelantan, Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi APM negeri Zainuddin Hussin berkata jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan setakat 6 petang dengan 2,617 orang daripada 815 keluarga, berbanding 3,667 orang daripada 1,101 keluarga pada tengah hari tadi.

Sebanyak 15 PPS dibuka melibatkan dua jajahan di negeri itu iaitu 10 di Pasir Mas dan lima di Kuala Krai.

Di Melaka, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan kepada 173 mangsa daripada 44 keluarga petang ini.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata hanya tiga PPS masih beroperasi selepas tiga lagi PPS di daerah Alor Gajah ditutup pada petang ini iaitu PPS Balai Raya Kampung Paya Lebar, PPS Surau Sri Jeram dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal.

Di Perak, 268 mangsa banjir masih ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak selepas kediaman mereka masih digenangi air, menurut jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

181 kes Covid-19 dikesan di pusat pemindahan, kebanyakan di Selangor

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangka peningkatan kes positif Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara, susulan bencana banjir yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ini berikutan keadaan PPS yang dianggap berisiko tinggi serta langkah dan pematuhan kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika berdepan musibah banjir.

“Dalam kita menyelamat mangsa banjir ini, keutamaan adalah untuk menyelamatkan mereka dan kadang kala memang tak dapat elakkan beberapa perkara yang sepatutnya dibuat dalam langkah kesihatan awam tidak dapat dipatuhi,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy berkata sehingga 11 pagi tadi, 181 kes dikesan positif Covid-19 di PPS seluruh negara melibatkan 117 kes di Selangor, Pahang (52), Kelantan (enam), Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

Hasil saringan di PPS itu juga mendapati kebanyakan kes adalah daripada kategori satu dan dua dengan kesemua mereka dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan yang ditentukan iaitu PPS khusus untuk mereka yang mempunyai kes Covid-19.

Menurut Khairy, KKM juga mengenal pasti 206 mangsa banjir sebagai kontak rapat dan mereka juga telah dipindahkan ke PPS yang khusus serta hospital.

Bagi menghadapi pertambahan kes Covid-19, Khairy berkata sistem kesihatan awam telah disiap sedia untuk menerima lebih ramai pesakit disebabkan musibah banjir yang melanda ini.

“Kita akan tambah bilangan pasukan KKM di lapangan. Kita akan teruskan dengan saringan-saringan di PPS supaya kita dapat kenal pasti mereka yang positif Covid-19 dan mereka diasingkan dan kontak rapat mereka juga telah dikenal pasti dan diasingkan,” katanya.

Selain itu, bekalan pelitup muka, cecair pensanitasi tangan dan pelbagai keperluan lain juga telah dihantar ke semua PPS sejak dua hari lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir: Pusat pemindahan selesa, mesra wanita

SEPANG, 19 DIS: Penyediaan bilik kecil di pusat pemindahan sementara (PPS) memberi keselesaan kepada mangsa banjir termasuk wanita beragama Islam.

Penduduk Kampung Labu Lanjut, Sepang, Abdul Khalid Malik, 52, berkata penjagaan aurat dititik berat wanita Islam ketika berada ditempat umum termasuk PPS.

“Bila sedia bilik-bilik ini lebih selesa dan ada pembahagi dengan keluarga lain,” katanya ditemui di Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu Lanjut di sini hari ini.

Bapa empat anak yang rumahnya hampir tenggelam sepenuhnya juga lega berikutan kemudahan lain termasuk peralatan mencegah Covid-19 turut disediakan.

“Ada juga disediakan pelitup muka untuk cegah virus. Boleh saya katakan kemudahan di PPS yang turut disediakan Kerajaan Negeri adalah baik.

“Walaupun tidak selesa seperti di rumah tetapi memadai. Keperluan lain macam makanan juga mencukupi,”

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PPS negeri dilengkapi keperluan asas termasuk bilik kecil bagi melindungi keperibadian ahli keluarga masing-masing.

Selain itu, pakaian, makanan, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka turut diberi kepada mangsa banjir. Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd juga menyediakan kemudahan bekalan di PPS.

Penduduk kampung sama Mohd Fikri Mahat, 34, pula meminta pihak berkuasa mengkaji punca perkampungan itu sering terdedah kepada bencana banjir termasuk sistem perparitan.

“Baru sahaja banjir melanda kampung ini Oktober lalu tetapi tidak seteruk sekarang yang menyebabkan kami mengalami kerugian lebih besar.

“Kita minta pihak berkuasa buat kajian dan selesaikannya,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM buat ujian RTK semua mangsa banjir di pusat pemindahan

SHAH ALAM, 19 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan saringan RTK Antigen kepada semua mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasukan perubatan berskala besar juga disediakan bagi menangani isu berkaitan kesihatan mangsa banjir, lapor Berita Harian.

Langkah itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin. Penempatan petugas kesihatan akan diperincikan oleh pihak KKM.

Beliau berkata, KKM juga akan memberikan pelitup muka kepada semua mangsa banjir.

“Penempatan petugas kesihatan akan diperincikan oleh pihak KKM sama ada secara tetap atau ada penggiliran,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Klang selepas melawat mangsa banjir, hari ini.