Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA buka lebih banyak pusat pemindahan bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka lebih banyak pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter, yang berkongsi senarai PPS terlibat bagi rujukan orang awam.

Lokasi melibatkan kawasan tengah antaranya Dewan Jenjarum Seksyen 11, utara (Dewan Rozel Seksyen U6), selatan (Dewan Azalea Seksyen 25) dan dewan kecil (Dewan Kerayung Seksyen 25).

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Bilik Pantas MBSA di talian 03-5510 5811.

Berikut senarai lokasi PPS:

 

Categories
AGENDA NASIONAL

5,731 pusat pemindahan sementara mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

PUTRAJAYA, 19 DIS: Sebanyak 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

“Setakat pukul 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rina berkata bagi menangani penularan Covid-19, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes Covid-19 sebelum penempatan dibuat di PPS berkaitan.

Beliau berkata kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

“Tambahan itu, pada masa ini seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi,” katanya.

Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada tempat berlindung akibat banjir? Kunjungi premis berikut

SHAH ALAM, 19 DIS: Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang melanda negeri ini sejak Jumaat lalu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban dan memberi keselesaan kepada golongan berkenaan.

Bantuan bukan hanya tertumpu kepada sumbangan keperluan asas tetapi turut meliputi penyediaan tempat berteduh dan pemindahan sementara.

Berikut bantuan tempat perteduhan dan penempatan sementara yang ditawarkan:

-Masjid Negeri Shah Alam menyediakan ruang untuk menempatkan mereka yang terkandas. Makanan dan minuman turut disediakan

-Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor menawarkan Pustaka Raja Tun Uda di Seksyen 13, Shah Alam sebagai tempat perteduhan. Kafe juga dibuka. Hubungi 03 5519 7667

-Surau Al-Munawwarah di Seksyen 13, Shah Alam membuka penempatan untuk mangsa banjir berteduh. Makanan turut disediakan oleh kejiranan perumahan berhampiran

-Gudwara Shah Alam menawarkan kemudahan penginapan di tingkat satu premisnya yang beralamat 10, Jalan 18/49, 40200, Shah Alam. Hubungi 012 379 0124 (Belbir Singh)

-Thompson Hospital Kota Damansara menawarkan wadnya yang tidak digunakan untuk individu memerlukan penempatan sementara. Hubungi 03 6287 1111

-Pusat Sehenti Bencana DUN Lembah Jaya dibuka sebagai persediaan menghadapi banjir. Premis itu terletak di Dewan MPAJ Lembah Jaya. Hubungi 017 879 2399 (Iman)

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 3,000 anggota pelbagai agensi digerak bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Sebanyak 3,826 mangsa daripada 2,551 keluarga di Selangor ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 10.45 malam tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 2,817 anggota, 453 aset kenderaan dan logistik pelbagai agensi turut digerakkan membantu mangsa banjir.

“Di Selangor sedikit kelam kabut kerana berlaku secara mengejut, biasanya jarang berlaku banjir di Selangor ketika musim tengkujuh.

“Meskipun datang (banjir) mengejut seolah-olah banjir kilat namun kita sentiasa bersedia, untuk membuka PPS” katanya dalam sidang media malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata sebanyak 5,731 buah PPS tersedia di seluruh negara yang boleh menempatkan 1,628,512 mangsa.

“Terdapat 521 pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat tersedia di seluruh negara membekalkan barangan keperluan mangsa di PPS.

“Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Arahan Bencana Negara ditalian 03 80642400,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Pustaka Raja Tun Uda buka kafe, jadi tempat berteduh

SHAH ALAM, 18 DIS: Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini dijadikan tempat berteduh kepada mereka yang terjejas akibat bencana banjir.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memaklumkan mereka yang ingin mendapatkan lokasi premis itu boleh menghubungi pihaknya di talian 03 5519 7667.

Menurutnya, kafe perpustakaan itu juga masih dibuka kepada umum.

“Diharap ibu bapa jangan risau. Insya-Allah kami akan menjaga anak-anak anda dengan sebaiknya,” maklumnya di Facebook.

Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa laluan dinaiki air menyebabkan ramai pengguna jalan raya terkandas lama.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan aset, tentera selamatkan mangsa banjir

SHAH ALAM , 18 DIS : Kerajaan Selangor memohon bantuan aset peringkat persekutuan dan penglibatan tentera bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa banjir yang terkandas ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sudah menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan hasrat tersebut.

“Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri YAB (Yang Amat Berhormat) Dato Seri @IsmailSabri60 memohon bantuan bagi mangsa banjir di Selangor.

“Kerajaan Negeri memohon bantuan aset persekutuan dan penglibatan tentera bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa banjir yang terkandas ketika ini,” katanya di Twitter.

Amirudin turut menghubungi Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon bantuan aset dan anggota keselamatan.

“Saya berharap agar pihak Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membantu Kerajaan Negeri menangani bencana banjir yang sedang melanda Selangor ketika ini,” tulisnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan hujan sangat lebat berterusan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Sekiranya anda memerlukan pertolongan, sila hubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920, ataupun nombor-nombor yang tertera di bawah.

  • Majlis Perbandaran Klang – 03-3374 8845
  • Majlis Bandaraya Shah Alam – 03-5522 2787
  • Majlis Perbandaran Kuala Langat – 03-31822566
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah – 03-3323 9478
  • Pejabat Kesihatan Daerah Klang – 03-3323 9554
  • PDRM Klang Selatan – 03-3372 2222
  • PDRM Klang Utara – 03-3291 3344
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat – 03-3341 3703
  • Jabatan Kerja Raya – 03-3371 4040
  • Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor – 03-3371 2464
  • Angkatan Pertahanan Awam – 03-3371 0820
Categories
AGENDA NASIONAL

Sukarelawan digerak ke lokasi banjir, agih bantuan awal

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan sukarelawan Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) bagi membantu proses menempatkan penduduk di pusat pemindahan sementara (PPS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan sukarelawan turut mengagihkan bantuan awal serta proses pembersihan kediaman selepas air pasang mula surut.

“Selain itu sebanyak 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang yang menyebabkan tidak selamat untuk dibuka bagi mengelakkan air melimpah keluar ke kawasan-kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air.

“Tambahan kepada itu, sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir yang sedang berlaku di lima daerah di Selangor,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan hujan sangat lebat berterusan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Perak, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sekiranya anda memerlukan pertolongan, sila hubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920, ataupun nombor-nombor yang tertera di bawah.

  • Majlis Perbandaran Klang – 03-3374 8845
  • Majlis Bandaraya Shah Alam – 03-5522 2787
  • Majlis Perbandaran Kuala Langat – 03-31822566
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah – 03-3323 9478
  • Pejabat Kesihatan Daerah Klang – 03-3323 9554
  • PDRM Klang Selatan – 03-3372 2222
  • PDRM Klang Utara – 03-3291 3344
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat – 03-3341 3703
  • Jabatan Kerja Raya – 03-3371 4040
  • Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor – 03-3371 2464
  • Angkatan Pertahanan Awam – 03-3371 0820
Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

46 pusat pemindahan dibuka, lengkap kemudahan asas

SHAH ALAM, 18 DIS:  Kerajaan Negeri membuka 46 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 3,582 individu selepas kediaman mereka dimasuki air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat jam 5 petang tadi,  pengoperasian PPS  melibatkan daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat, dan Kuala Selangor.

“Kesemua PPS ini akan dilengkapi keperluan asas seperti pakaian, makanan, cecair pembasmi kuman, pelitup muka serta bilik kecil bagi melindungi keperibadian keluarga masing-masing,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata memandangkan masih bergelut dengan endemik penularan Covid-19, mangsa banjir akan melalui saringan secara berkala dan percuma untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes di PPS.

“PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif Covid-19,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan hujan sangat lebat berterusan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Perak, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sekiranya anda memerlukan pertolongan, sila hubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920, ataupun nombor-nombor yang tertera di bawah.

  • Majlis Perbandaran Klang – 03-3374 8845
  • Majlis Bandaraya Shah Alam – 03-5522 2787
  • Majlis Perbandaran Kuala Langat – 03-31822566
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah – 03-3323 9478
  • Pejabat Kesihatan Daerah Klang – 03-3323 9554
  • PDRM Klang Selatan – 03-3372 2222
  • PDRM Klang Utara – 03-3291 3344
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat – 03-3341 3703
  • Jabatan Kerja Raya – 03-3371 4040
  • Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor – 03-3371 2464
  • Angkatan Pertahanan Awam – 03-3371 0820
Categories
AGENSI SELANGOR

113 mangsa banjir ditempatkan di tiga pusat pemindahan

SHAH ALAM, 17 DIS: Seramai 113 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian banjir di sekitar Jenjarom, Teluk Panglima Garang dan Pelabuhan Klang petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata tiga PPS dibuka iaitu di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek, SRA Pulau Indah dan Sekolah Kebangsaan Telok Gong.

“Rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter akibat hujan berterusan. Kampung Nelayan Telok Gong mencatatkan jumlah mangsa seramai 106 orang.

“Pihak bomba juga memindahkan dua keluarga termasuk empat kanak-kanak di Jalan Nangka, Banting dan Taman Dato’ Hormat, Telok Panglima Garang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata piihak bomba memantau keadaan dari semasa ke semasa sekiranya ada mangsa banjir terperangkap.

Categories
AGENDA NASIONAL

20 PPS khusus untuk pesakit Covid-19 mangsa banjir

PUTRAJAYA, 24 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 20 pusat pemindahan sementara (PPS) isolasi khusus untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang menjadi mangsa banjir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata PPS isolasi itu bagi memastikan penularan jangkitan dapat dikawal di sesuatu kawasan yang ditimpa banjir.

“Kita akan gunakan kaedah pemetaan untuk bekerjasama dengan beberapa pihak untuk lihat tempat-tempat yang berkemungkinan ada peningkatan kes-kes jangkitan Covid-19 dan keadaan banjir di situ.

“Kita akan pastikan PPS yang kita telah kenal pasti dapat tampung kes yang positif. Sekarang ini kalau positif, akan diasingkan dan dikuarantin di rumah, jadi (apabila berlaku bencana banjir) PPS isolasi yang kita kenal pasti ini akan tempatkan mereka di situ,” katanya kepada pemberita selepas menerima Pingat Ketua Pengarah (PKP) pada majlis penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga akan menawarkan perkhidmatan pemberian vaksinasi Covid-19 di PPS isolasi terpilih kepada individu yang belum atau tidak lengkap mendapatkan pelalian itu.

“Kita akan imbangkan untuk kita pastikan tiada penularan Covid-19 di PPS selain menggunakan strategi ujian saringan, tindakan kesihatan awam dan liputan vaksinasi.

“Kalau ada mereka yang ketinggalan dalam dapatkan vaksinasi, kita akan tingkatkan liputan pemberian vaksinasi di PPS (isolasi) dan mereka juga boleh dapatkan dos penggalak di sana,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dilaporkan berkata sejumlah 5,693 PPS membabitkan fasiliti sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti setempat disediakan di seluruh negara yang berkemampuan menempatkan kira-kira 1.63 juta mangsa banjir.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mengenal pasti rumah yang mempunyai individu sedang menjalani kuarantin atau pesakit Covid-19.

“Dengan cara itu, kita dapat memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah rumah mana yang perlu dihantar pasukan khas yang memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kerja menyelamat.

“Bagi mangsa banjir yang tidak dijangkiti atau berisiko, kita selamatkan macam biasa,” katanya.

Aminuddin berkata ujian saringan COVID-19 menggunakan air liur akan dilakukan bagi kemasukan mangsa banjir yang bergejala ke PPS manakala mangsa banjir yang sihat tidak perlu melakukan ujian saringan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sedia 71 pusat pemindahan di Klang hadapi risiko banjir

KLANG, 2 NOV: Sebanyak 71 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di Klang untuk menempatkan penduduk terjejas akibat air pasang besar dan Monsun Timur Laut antara 4 hingga 7 November.

Ia membabitkan sekolah dan dewan orang ramai berpandukan garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan, kata pemangku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang.

“Garis panduan itu turut menjelaskan pengendalian mangsa kepada beberapa risiko Covid-19 yang akan diasingkan mengikut bilik berbeza,” kata Mohd Shahrizal Mohd Salleh hari ini.

Beliau yang ditemui selepas melawat pintu air Pandamaran 12 di sini berkata maklumat berhubung lokasi PPS boleh didapati dengan menghubungi bilik gerakan bencana daerah di talian 03 3371 6700.

Antara lokasi pusat pemindahan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja Uda, SK Methodist, SK Pelabuhan Klang, Dewan Orang Ramai MBSA Seksyen 19 dan Dewan Taman Sentosa.

Sementara itu, Mohd Shahrizal turut meminta Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran menyelenggara sistem saliran sebagai persediaan menghadapi fenomena tersebut.

“Seperti contoh Majlis Bandaraya Shah Alam menyewa pam air dan membina kolam tadahan sementara bagi menghadapi bencana banjir,” katanya lagi.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua pusat pemindahan banjir di Selangor ditutup

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Satu daripada dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir beroperasi di Sepang, Selangor ditutup bermula 10 malam tadi.

Ketua Sektor Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sepang Leftenan Mohammad Amin Nasrin Ghazali berkata keadaan banjir di kawasan terlibat juga sudah surut dan PPS di Sekolah Rendah Agama Kampung Giching, Sepang yang menempatkan 25 mangsa banjir ditutup operasinya.

Mohammad Amin berkata Balai MPKK Kampung Giching yang sebelum ini menempatkan seorang mangsa banjir yang sedang menjalani kuarantin susulan positif Covid-19 juga telah ditutup 8 pagi tadi.

Di KEDAH, dua lagi PPS dibuka bagi menempatkan 41 mangsa banjir terdiri daripada 12 keluarga di daerah Baling.

Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Kedah Saifuddin Abdullah berkata kedua-dua PPS berkenaan mula diaktifkan malam tadi berikutan hujan lebat yang turun sejak petang semalam.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung di daerah Baling telah dibuka pada pukul 9 malam bagi menempatkan 29 mangsa daripada 10 keluarga manakala 12 mangsa daripada dua keluarga berlindung di PPS SK Bandar yang dibuka 12 tengah malam.

“Sementara itu di daerah Pendang pula, mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah kekal seramai 140 mangsa daripada 36 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keadaan cuaca pada pagi ini baik, namun keadaan diramalkan berubah pada sebelah petang apabila hujan dijangka turun di beberapa kawasan di negeri itu.

– BERNAMA