Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Kekerapan tren, bas di Lembah Klang dikurangkan – Prasarana

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Kekerapan perkhidmatan tren LRT, MRT dan monorel akan dikurangkan mulai esok sehingga arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ke atas Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berakhir.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia (Prasarana) Datin Norlia Noah berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren berdasarkan permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.

“Perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini bagaimanapun akan beroperasi mengikut masa yang sama daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam. Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan MRT Laluan Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara 2.8 dan 9.9 minit, bergantung pada waktu puncaknya.

“Kekerapan yang ditetapkan ini bagaimanapun, adalah sekadar panduan. Operasi tren di semua laluan dipantau rapi Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” katanya.

Pada masa sama, Norlia memaklumkan kekerapan bagi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT turut dikurangkan mulai esok kerana permintaan yang menurun dengan banyak dalam tempoh PKPB ini, termasuk pada waktu puncak.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Prasarana: Operasi tren, bas seperti biasa, kekerapan ikut permintaan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan terus beroperasi mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam sehingga Selasa depan, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan kekerapan perkhidmatan meliputi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel, perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT akan disesuaikan mengikut permintaan semasa.

“Pihak kami akan memantau dengan rapi dengan keadaan aliran penumpang esok dan mengimbangi kapasiti dan permintaan semasa dalam menentukan kekerapan tren dan bas untuk esok dan hari berikutnya.

“Prasarana akan mengeluarkan kenyataan media susulan Jumaat ini bagi memberi maklumat terkini berdasarkan aliran penumpang esok,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-78852585 atau layari laman sesawang myrapid.com.my serta ikuti platform media sosial kami di Facebook myrapid dan Twitter @askRapidKL bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) hari ini mengumumkan untuk membenarkan maksimum 10 peratus pekerja di peringkat pengurusan dan penyeliaan di kawasan PKPB untuk berada di pejabat yang dihadkan selama empat jam bermula 10 pagi hingga 2 petang berkuat kuasa esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Jumlah penumpang pengangkutan awam menurun

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota mencatatkan penurunan jumlah penumpang harian lebih 30 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang bermula Selasa.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah itu melibatkan perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di bawah seliaanya.

Jumlah penumpang harian perkhidmatan rel sebelum PKPB yang dianggarkan mencecah 800,000 sehari kini menurun kepada lebih 500,000 penumpang manakala bas menurun kepada sekitar 200,000 penumpang sehari.

“Situasi ini dipengaruhi budaya bekerja dari rumah yang dilaksanakan ketika PKPB ini, dan kami percaya ia adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Walaupun dalam situasi PKPB, Prasarana akan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan beroperasi pada kekerapan normal terutama pada waktu puncak bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas meluangkan masa lebih sejam meninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam. Tinjauan itu bermula dari stesen MRT Pusat Bandar Damansara hingga stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kebersihan kenderaan dan stesen termasuk pemegang tangan, eskalator, lif dan mesin tiket bagi mencegah penularan Covid-19.

Antara SOP lain yang dipastikan ialah menyediakan cecair pembasmi kuman, membuat saringan suhu badan selain membuat pengumuman berterusan bagi mengingatkan pengguna menjaga jarak fizikal.

Tambahnya, pihaknya juga memastikan kakitangan di stesen sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan getah apabila perlu, serta mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan tugas.

Beliau berkata perkhidmatan bas Rapid turut menggunakan aplikasi Google Map, Moovit, MyRapidBus Kiosk untuk membantu merancang perjalanan bagi mengelakkan pengguna menunggu terlampau lama di kawasan awam.

“Hanya kapten bas yang sihat dan lulus saringan dibenarkan memandu bas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Jumlah penumpang pengangkutan awam menurun

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota mencatatkan penurunan jumlah penumpang harian lebih 30 peratus berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang bermula Selasa.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah itu melibatkan perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di bawah seliaanya.

Jumlah penumpang harian perkhidmatan rel sebelum PKPB yang dianggarkan mencecah 800,000 sehari kini menurun kepada lebih 500,000 penumpang manakala bas menurun kepada sekitar 200,000 penumpang sehari.

“Situasi ini dipengaruhi budaya bekerja dari rumah yang dilaksanakan ketika PKPB ini, dan kami percaya ia adalah untuk sementara waktu sahaja.

“Walaupun dalam situasi PKPB, Prasarana akan memastikan perkhidmatan pengangkutan awam ini akan beroperasi pada kekerapan normal terutama pada waktu puncak bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas meluangkan masa lebih sejam meninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan penumpang dan pekerja ketika menaiki pengangkutan awam. Tinjauan itu bermula dari stesen MRT Pusat Bandar Damansara hingga stesen LRT Masjid Jamek.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memastikan kebersihan kenderaan dan stesen termasuk pemegang tangan, eskalator, lif dan mesin tiket bagi mencegah penularan Covid-19.

Antara SOP lain yang dipastikan ialah menyediakan cecair pembasmi kuman, membuat saringan suhu badan selain membuat pengumuman berterusan bagi mengingatkan pengguna menjaga jarak fizikal.

Tambahnya, pihaknya juga memastikan kakitangan di stesen sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan getah apabila perlu, serta mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan tugas.

Beliau berkata perkhidmatan bas Rapid turut menggunakan aplikasi Google Map, Moovit, MyRapidBus Kiosk untuk membantu merancang perjalanan bagi mengelakkan pengguna menunggu terlampau lama di kawasan awam.

“Hanya kapten bas yang sihat dan lulus saringan dibenarkan memandu bas,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna boleh nikmati pakej My30 mulai Isnin ini – Prasarana

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Pengguna MRT, LRT, monorel, BRT dan bas henti-henti Rapid KL bakal menikmati kemudahan kad perjalanan tanpa had My30, yang menawarkan perjalanan tanpa had RM30 untuk tempoh 30 hari bermula Isnin ini (15 Jun).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Muhammad Nizam Alias dalam kenyataan hari ini berkata pakej eksklusif untuk rakyat Malaysia itu boleh didaftar mulai Isnin di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan lima hab bas di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

“Pakej My30 yang menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My100 dan My50, adalah sah bagi tempoh enam bulan dari 15 Jun hingga akhir Disember, dan merupakan inisiatif yang cukup bijaksana daripada kerajaan dalam menjana semula ekonomi negara yang amat terkesan daripada penularan wabak Covid-19,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada 5 Jun lepas berkata inisiatif My30 yang menyediakan kemudahan perjalanan tanpa had menggunakan semua perkhidmatan kendalian Prasarana dengan hanya RM30 untuk tempoh 30 hari.

Menggunakan analogi kos perjalanan sehari adalah bersamaan dengan harga sekeping roti canai iaitu RM1, Muhammad Nizam berharap pengguna dapat memanfaatkan produk My30 sebaik mungkin dan terus menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL.

“Sejurus selepas berakhir promosi untuk My30 ini, pakej-pakej My100 dan My50 akan dijual semula mulai 1 Januari 2021.

“Pihak pengurusan Prasarana sentiasa mendukung aspirasi kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat dan ternyata pakej My30 menawarkan penjimatan yang jauh lebih hebat,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nizam juga mengulangi nasihat kepada pengguna untuk sentiasa mematuhi etika dalam normal baharu penggunaan pengangkutan awam khususnya pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan diri khususnya mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman.

“Ini adalah amat penting bagi mencegah penularan wabak Covid-19, yang masih berisiko. Kita mesti terus bertindak memutus penularan wabak koronavirus ini dan memastikan kita menang dalam perjuangan ini,” katanya.

Pengguna Rapid KL boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pas My30 daripada kakitangan Rapid KL di stesen rel atau hab bas. Selain itu, mereka juga boleh melayari media sosial Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Prasarana sasar raih RM900 juta tahun 2019

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Prasarana Malaysia Bhd menyasar untuk meraih perolehan sehingga RM900 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, sasaran itu akan disokong oleh peningkatan jumlah penumpang, pengoptimuman kos dan kualiti perkhidmatan.

“Kami telah mengurangkan kos sebanyak RM248.70 juta setakat 30 Jun, 2019 melebihi sasaran 10 peratus atau RM208.40 juta seperti ditetapkan syarikat sebelum ini,” katanya kepada pemberita semasa taklimat prestasi Prasarana bagi separuh pertama 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat 30 Jun 2019, Rapid Rail Sdn Bhd merekodkan lonjakan jumlah penumpang sebanyak 10 peratus tahun ke tahun kepada 112.7 juta berbanding 102.5 juta pada tempoh yang sama 2018.

Bagi tempoh yang sama, jumlah penumpang Rapid Ferry Sdn Bhd meningkat kepada 700,000 orang daripada 200,000 penumpang sebelum ini, namun jumlah penumpang Rapid Bus Sdn Bhd susut kepada 81.3 juta daripada 90.8 juta.

“Pertumbuhan perlahan jumlah penumpang Rapid Bus telah diimbangi oleh pertambahan penumpang Rapid Rail,” katanya.

Mohamed Hazlan berkata, Rapid Rail telah membawa lebih 700,000 pengguna sehari berbanding lebih 450,000 pengguna sehari oleh Rapid Bus.

Berdasarkan peningkatan jumlah penumpang dan pengoptimuman kos yang melebihi sasaran, beliau yakin Prasarana akan merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang positif pada 2021.

Beliau berkata, syarikat pengangkutan milik kerajaan itu telah berjaya mengurangkan kerugiannya sebanyak separuh dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Artikel oleh The Edge Malaysia Weekly yang diterbitkan pada bulan lepas yang memetik sumber sebagai berkata, bahawa susut nilai Prasarana pada tahun kewangan 2018 boleh melebihi RM30 bilion.

“Walaupun butiran tidak mencukupi, namun difahamkan memandangkan kesan
daripada susut nilai tersebut, Prasarana akan menanggung kerugian selepas cukai sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion bagi tahun kewangan 2018,” lapor The Edge.

Bagaimanapun, Mohamed Hazlan enggan mengesahkan angka tersebut seperti dilaporkan oleh terbitan mingguan itu semasa sidang media hari ini.

Melangkah maju, beliau berkata, Prasarana akan menumpukan usaha seperti menerima guna pendigitalan menerusi penggunaan e-dompet, mobiliti sebagai perkhidmatan (Maas), mencari penyelesaian peringkat akhir dan awal, menyediakan pengangkutan yang mampan serta menjadi lebih bertumpu kepada pelanggan.

Beliau berkata, syarikat itu juga akan menumpukan kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) untuk meningkatkan perolehan.

Difahamkan Prasarana berhasrat membangunkan 10 TOD pada masa depan, empat daripada sedang dalam perancangan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) Latitude 8-Dang Wangi, Stesen LRT Ara Damansara, Stesen LRT IOI Puchong Jaya dan Stesen Monorel Brickfields/ Tun Sambanthan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lif rosak kerana banjir – Rapid KL

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 9 OKT: Rapid KL memohon maaf berikutan kerosakan lif di stesen transit aliran ringan (LRT) Pusat Bandar Puchong telah meyukarkan pergerakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Syarikat itu dalam kenyataannya kepada SelangorKini berkata, kerosakan berlaku disebabkan air meresap sehingga merosakkan papan litar bercetak (PCB) dalam lif berkenaan.

“Masalah itu juga berpunca daripada kejadian banjir kilat berhampiran IOI Mall sebelum ini.

“Kerja pembaikpulihan sedang dijalankan dan ia dijangka kembali beroperasi seperti biasa pada hari esok,” katanya.

Rapid KL memberi maklum balas itu setelah SelangorKini melaporkan gesaan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru terhadap kerosakan lif yang menyusahkan golongan OKU, terutama mereka yang berkerusi roda.

Categories
NASIONAL

LRT3: Prasarana diminta semak semula kos

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kementerian Kewangan mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyemak semula kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bernilai RM31.45 bilion.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak akan menyokong pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 tanpa menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan diberikan.

Katanya, kos keseluruhan projek itu disemak kerana kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana yang memerlukan pengurangan secara drastik untuk memastikan ia efektif dan berdaya maju.

“Terdapatnya beberapa laporan media bahawa kos LRT3 boleh dikurangkan RM6 bilion, namun Kementerian ingin menegaskan ia perlu dikurangkan jauh lebih daripada itu supaya projek dapat diteruskan.

“Sebelum ini, Prasarana sudah memperolehi jaminan kerajaan untuk meminjam RM10 bilion bagi membiayai projek ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Prasarana pernah meminta jaminan kerajaan tambahan RM22 bilion bagi membiayai pinjaman untuk menyiapkan projek LRT3, pada 30 Mac lalu.

LRT3 adalah projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam koridor pembangunan ekonomi dan kepadatan penduduk yang pesat.

Jajaran LRT3 adalah kritikal kerana ia menawarkan perkhidmatan meliputi kepadatan penduduk seramai dua juta orang di sepanjang koridor jajaran dan menampung kapasiti 36,700 penumpang sejam, setiap hala.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor harap rakyat guna LRT dan MRT dengan baik

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berpuas hati dengan perkhidmatan rel urban disediakan dan berharap rakyat menggunakannya secara berhemah.

Baginda melahirkan rasa bangga selepas sesi lawatan dan tinjauan perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) dan Tren Aliran Transit Massa (MRT) dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), hari ini.

“Beta dapat lihat perkhidmatan MRT dan LRT dibina kerajaan sebagai usaha baik dan membanggakan.

“Beta sendiri merasai keselesaan ketika menaikinya dan kagum dengan teknologi serta sistem diguna pakai.

“Justeru, rakyat harus menghargai dan tidak melakukan vandalisme atau kerosakan kepada kemudahan disediakan,” titah baginda.

Sultan Selangor turut berharap rakyat akan terus menggunakan pengangkutan awam itu dengan sebaiknya, sentiasa menjaga kebersihan serta tidak membuang sampah merata-rata di kawasan stesen juga di dalam tren.

“Semoga perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien sebegini akan terus memberi manfaat kepada kehidupan rakyat,” titah baginda.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan rombongan diraja turut menyertai Sultan Sharafuddin dalam program lawatan itu.

Baginda dan rombongannya memulakan sesi lawatan, di Stesen LRT Glenmarie dan singgah di beberapa stesen MRT juga monorel.

Turut bersama dalam program itu, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz yang memberi penerangan berkenaan operasi rel urban dikendalikan Prasarana.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor tinjau operasi rel urban Prasarana

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat mencemar duli melawat dan meninjau fasiliti rel urban kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), hari ini.

Disertai DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan kerabat diraja lain, Sultan Sharafuddin menikmati perjalanan sambil mendengar sesi penerangan oleh Pengerusi Prasarana, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Azmi Abdul Aziz.

Baginda dan rombongan diraja memulakan sesi lawatan itu dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie, kira-kira jam 10 pagi.

Baginda seterusnya akan berkunjung ke stesen KL Sentral dan beralih kepada perkhidmatan Tren Aliran Transit Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang dengan perjalanan dari Stesen MRT Muzium ke Stesen MRT Stadium Kajang serta bersantap tengah hari, di Sate Kajang Haji Samuri.

Selepas santapan tengah hari, rombongan diraja kembali ke Stesen MRT Stadium Kajang sebelum berangkat ke Stesen MRT Sungai Buloh untuk meninjau stesen berkenaan.

Rombongan diraja meneruskan perjalanan ke Stesen MRT Merdeka untuk meninjau kawasan berkenaan, termasuk bergambar di ukiran Rukun Negara.

Dari lokasi itu, Sultan Selangor dan rombongan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan LRT dari Stesen LRT Plaza Rakyat ke Stesen LRT Hang Tuah dan bertukar ke perkhidmatan Monorel.

Dari situ, rombongan diraja berangkat ke Stesen Monorel Bukit Nanas untuk ke Hotel Concorde, Kuala Lumpur bagi santapan hi-tea.

Program lawatan dijangka berakhir kira-kira jam 6 petang.

Categories
NASIONAL

Prasarana patut bebas dikait parti politik

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 9 OGOS: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) digesa berhenti memberi publisiti percuma kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Negeri (ADN), Hannah Yeoh berkata, agensi kerajaan di bawah Kementerian Kewangan itu sepatutnya bebas daripada dikaitkan dengan mana-mana parti.

Katanya, program Prasarana dibiayai wang rakyat sebagai pembayar cukai dan tidak harus disalah guna dan berbaur politik.

“Prasarana mampu buat sendiri program ini, mengapa mesti dimasukkan sekali nama MCA.

“Jadi, bagaimana Prasarana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bebas pengaruh dan tangan politik dalam hal lain seperti penganugerahan kontrak,” katanya kepada pemberita.

Menerusi perkongsian atas talian, program Permohonan Kad Diskaun untuk Warga Emas, OKU dan pelajar di Stesen LRT USJ 7 dijadual berlangsung pada 13 dan 14 Ogos ini.

Hannah YeohSelain Prasarana, logo MCA turut kelihatan di bawah kapsyen ‘anjuran bersama’, bersebelahan logo Prasarana.

Hannah berkata, tindakan tidak profesional itu memberikan gambaran salah kepada rakyat.

“Pada hari program nanti, mungkin rakyat akan berfikir yang MCA bantu mereka memudahkan urusan sedangkan bukan itu yang sebenarnya berlaku.

“Agensi kerajaan bukan untuk parti. Sampai bila MCA mahu belajar perkara asas ini,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Prasarana laksana latihan simulasi hadapi kecemasan

SHAH ALAM 15 FEB: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melaksanakan Pelan Tindakan Kecemasan melibatkan Polis, Jabatan Bomba, pasukan perubatan dan agensi kecemasan lain di stesen baru IOI Puchong hari ini.

Bermula pada jam 10 pagi, latihan simulasi itu berlangsung selama satu setengah jam sebelum diisytiharkan tamat pada 11.30 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Ahmad Nizam Mohamed Amin mengingatkan tentang pentingnya aspek keselamatan diberi perhatian pada setiap masa.

Prasarana“Urusan keselamatan ini, jangan sesekali kita ambil mudah. Sekali berlaku, walaupun kecil menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada perkhidmatan kita.

“Sentiasa ingatkan moto Rapid Rail semasa bertugas – tiada kerja yang terlalu penting sehingga kita mengabaikan keselamatan,” kata beliau dipetik laman sesawang Prasarana Malaysia Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif PRAISE, Datuk Ir. Zohari Sulaiman pula berkata latihan simulasi itu penting untuk menguji tahap kesediaan dan kelulusan pembukaan fasa kedua LEP Laluan Ampang, yang dijadualkan pada 31 Mac ini.

“Ujian ini perlu untuk SPAD menyediakan laporan lengkap kepada kerajaan bagi mendapat kelulusan bagi pembukaan laluan berkenaan.

“Latihan simulasi ini juga membantu polis dan bomba lebih mengenali tentang fasiliti di stesen kita,” kata Ir. Zohari.

PRAISE, atau Prasarana Rail and Infrastructure Project Sdn Bhd, adalah anak syarikat Prasarana dipertanggungjawab mengendalikan projek infrastruktur pengangkutan awam seperti LEP.

Selain Laluan Ampang, projek penyambungan jajaran LRT ini turut melibatkan Laluan Kelana Jaya daripada Kelana Jaya ke Putra Heights dan dibuka sepenuhnya pada 30 Jun ini.

Untuk Laluan Kelana Jaya, latihan simulasi ERP akan diadakan pada 14 April ini di stesen Subang Alam.

EZY