Categories
SELANGOR

Turun Harga Barang, Kawal Jenayah Antara Tuntutan FOMCA Dalam PRU13

PETALING JAYA 29 JUN : Penurunan harga barang, tingkat pengangkutan awam dan kawal kadar jenayah merupakan tiga isu utama yang dituntut pengguna, kata Datuk Marimuthu Nadason.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), berkata tuntutan itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke -12, 2008 hingga 2011 melalui kempen konsumer kebangsaan (3K).

Katanya, manifesto bagi PRU13 itu diwujudkan memandangkan pengundi juga merupakan golongan pengguna.

“Isu kenaikan harga barang merupakan masalah utama bagi rakyat Malaysia. Taraf hidup yang semakin meningkat menyebabkan rakyat tertekan.

“Oleh itu, tumpuan perlu diberikan kepada sektor pertanian bagi menstabilkan harga, ” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya pagi tadi.

Selain itu, kerajaan harus memberikan komitmen yang serius untuk menambah baik pengangkutan awam, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di seluruh negara.

“Kerajaan juga harus mencari jalan bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini, ” katanya.

Manifesto tuntutan itu berdasarkan lapan hak pengguna antaranya hak mendapat keperluan asas, keselamatan, pilihan, maklumat, bersuara, ganti rugi, pendidikan pengguna dan alam sekitar yang sihat.

Ia dilancarkan sempena PRU13 akan datang dan merupakan pertama kali dilancarkan sebelum pilihan raya.

“Manifesto ini bagi mewujudkan kesedaran dan peringatan kepada parti politik yang akan bertanding pada PRU13 tentang isu-isu kepenggunaan.

“Pihak kami tidak kisah siapa yang memenangi PRU13 nanti, apa yang kami mahu hanya sebuah kerajaan yang boleh melindungi kami dengan baik.

“Kami mahu kerajaan mengambil serius apa yang dituntut ini. Kami harap perkara ini dibentangkan di Parlimen dan bukan hanya membahaskan isu politik sahaja, ” katanya.

Marimuthu menambah Fomca turut mencadangkan agar pengawalseliaan perlindungan pengguna diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri(JPM) bukannya di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Pihak Fomca berasa terkilan kerana setiap kali ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru, mereka diberikan peruntukkan khas tetapi tidak bagi kami.

“Di Singapura, kerajaan mereka memberikan peruntukkan khas kepada persatuan pengguna. Fomca tidak seperti NGO lain yang hanya membincangkan isu asas sahaja, ” katanya.

Justeru, jika di bawah JPM, Fomca dapat memberi lebih pendekatan perlindungan yang lebih menyeluruh dan bersepadu kepada pengguna.

Manifesto tuntutan itu akan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Kami juga sudah menghantar ke semua parti pembangkang dan akan diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, parti terlibat juga diharap membuat perancangan untuk melaksanakan dasar dan program berkaitan isu tersebut apabila berjaya membentuk kerajaan.

Categories
NASIONAL

Dakyah Blogger Umno Hanya Sia-sia

SHAH ALAM, 17 MEI : Blogger pro Umno-BN hanya membuang masa dengan cerita rekaan mereka kerana segala usaha bagi melemahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak berkesan sama sekali.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata usaha blogger pro Umno-BN itu adalah sia-sia dan tidak memberi kesan langsung terhadap keutuhan parti itu bagi menempuh pilihanraya umum ke 13 (PRU13) nanti.

“Ia hanyalah usaha yang dibuat sekumpulan blogger kecil pro Umno-BN bagi mewujudkan satu keadaan yang memihak kepada Umno-BN tetapi malangnya tidak berlaku.

?Kita tidak terkesan langsung dengan segala usaha yang dibuat mereka,” begitu kata Shuhaimi kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung penafian Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Beliau dituduh meminta wang RM10 juta daripada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo supaya keluar dari PKR selepas PRU12 2008 seperti didakwa blogger pro Umno-BN.

Tuduhan itu dipaparkan di dalam sebuah artikel blog yang mengatakan Manikavasagam bertemu Dr Mohamad Khir pada akhir 2008 untuk meminta wang tersebut.

Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda berkata tiada apa yang perlu dilakukan PKR bagi membetulkan keadaan berikutan segalanya berjalan seperti sedia kala.

Katanya, PKR tidak akan melayan sebarang usaha sebegitu kerana ianya hanya membuang masa dan tenaga.

“Tiada apa yang perlu kita lakukan bagi menanganinya kerana ia tidak memberi kesan.

“Ia dilihat usaha bagi melemahkan parti menjelang berlangsungnya PRU ke 13 nanti. Usaha untuk melaga-lagakan pemimpin dan ahli di dalam PKR.

?Bagaimanapun ia tidak menjejaskan kita dan tiada apa yang menggugatkan keutuhan kita,” katanya.