Categories
NASIONAL SELANGOR

Sekatan Terhadap Pemerhati, Bukti SPR Tidak Telus

Saifuddin Nasution Ismail putih 01

PETALING JAYA 2 JAN : Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat beberapa sekatan terhadap enam badan pemerhati Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) tidak mencerminkan kesediaan dan ketelusan badan itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata SPR masih lagi menyekat enam badan pemerhati itu daripada memantau keseluruhan proses pilihan raya secara bebas, sebaliknya lebih fokus kepada proses ketika pasca pilihan raya.

Enam badan pemerhati yang diberi akreditasi oleh SPR itu ialah Transparency International Malaysia (TI-M), Merdeka Centre, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (proham).

Manakala antara sekatan itu terdiri daripada larangan memerhati proses pengiraan undi ; tidak dibenarkan merakam sebarang kejadian penipuan tanpa kebenaran pegawai SPR ; tidak dibenarkan berhubung dengan agen parti dan kakitangan tempat mengundi.

Turut dilarang daripada bercakap kepada pihak media ; dilarang menyerahkan maklumat kepada pihak ketiga dan mereka perlu berada di kawasan pilihan raya sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Tugas pemantauan itu sangat kritikal dan penting terutama di kawasan panas.

“Kami berbincang secara terperinci berkenaan sekatan ini dan ia membuktikan tidak ketulusan pihak SPR untuk menjalankan pilihan raya dengan adil serta telus,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Categories
NASIONAL

Mengapa Najib Minta Maaf Tanpa Sebab? Dr Dzul – INFO 12

Sinopsis

Info 12 Untuk 27122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 27 DISEMBER 2012 :

1. Mengapa Najib Minta Maaf Tanpa Sebab? Dr Dzul

Tindakan PM meminta maaf kepada rakyat tanpa memaklumkan apakah punca dan sebab berbuat demikian membuktikan BN kian terdesak menjelang PRU 13

Layari http://www.selangorkini.net

dr

Categories
NASIONAL

Mohon Tambah Kerusi Cuma Perkara Biasa, Anwar

Anwar Kerusi DAP 01

PETALING JAYA, 20 DIS: Soal permohonan pertambahan kerusi bertanding merupakan perkara biasa yang dibangkitkan setiap parti komponen Pakatan Rakyat berdasarkan kebolehupayaan memenangi sesebuah kerusi yang bertanding.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara ini dibincangkan di peringkat dalaman dan isu ini sengaja ditimbulkan oleh Umno-BN dengan hanya merujuk kepada Konvensyen DAP yang berlangsung di Pulau Pinang tempoh hari.

Menurut Anwar, jika permintaan DAP yang mahu lebihan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang adalah tidak munasabah ia tidak akan diterima baik.

“Kalau dia (DAP) mintak melebihi yang munasabah tentu kita tidak dapat terima tetapi (permintaan penambahan kerusi) memang dibenarkan. PKR juga meminta beberapa kawasan, sama seperti PAS.

“Cuma kebetulan kenyataan itu dari DAP,” katanya ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Setakat ini, perkara ini masih berada dalam peringkat perbincangan oleh Jawatankuasa Perundingan dan belum sampai kepada Anwar secara rasmi.

“Pembahagian kerusi sudah selesai 90 peratus. Cuma ada beberapa kerusi di Pulau Pinang (1), Kedah (1), Perak (2). Ada sikit di Sabah dan Sarawak. Namun keseluruhannya 90-95 peratus dah selesai.

“Dalam tradisi Pakatan kita akan bincang namun akhirnya peringkat jawatankuasa yang akan buat keputusan.

“Pertambahan dan kekurangan kerusi bagaimanapun akan dibuat berdasarkan prestasi parti dan kawasan mereka pada 2008. Tetapi kita juga sentiasa mengelak perbincangan terbuka kerana ia akan rumitkan negeri dan parti masing-masing,” katanya.

Secara sinis Anwar menyatakan di dalam Umno sendiri tidak mempunyai ahli berbangsa Cina dan keputusan di dalam pemilihan DAP digunakan untuk menimbulkan sentimen ‘Melayu’ disifatkan tidak wajar.

“Semua orang tahu majoriti ahli DAP adalah Cina. Dia (DAP) tidak pernah sorok. Majoriti perwakilan pun Cina. Sekarang penambahan penyertaan ketara orang-orang Melayu dalam DAP cuma mungkin tidak cukup memberikan dokongan dan impak dari segi pimpinan,” katanya lagi.

Pada minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata partinya mahu tambahan 13 kerusi iaitu tiga di kawasan Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum akan datang.

Pertambahan 13 kerusi itu katanya adalah atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada PAS dan PKR.

Anwar Kerusi DAP 02

Anwar Kerusi DAP 03

Categories
SELANGOR

Selesai Segera Isu Kewarganegaraan

SHAH ALAM, 11 DIS : PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelesaikan isu kewarganegaraan warga berbangsa India dan bukan menjadikan ia isu perkauman.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, Hishammuddin didakwa gagal menyelesaikan isu kewarganegaraan masyarakat India di mana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Jelas Izzah, beliau merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Hishammuddin pada 10 Disember lepas yang yang mendakwa isu itu di bawa oleh Pakatan Rakyat untuk mencetuskan rasa tidak puas hati antara kaum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kenyataan Hishammuddin itu adalah tidak berasas dan bertanggungjawab dalam cubaan untuk memesongkan daripada isu sebenar,” kata Izzah dalam kenyataan medianya.

Tambah Izzah, beliau kecewa terhadap sikap pimpinan BN yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian isu itu dan bukan menjadikannnya isu perkauman.

“Walaupun majoritinya yang tanpa pendaftaran itu adalah berbangsa India namun isu ini juga dihadapi oleh masyarakat Melayu, Cina dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ujar Izzah, PKR yang merupakan parti berbilang bangsa akan terus berjuang demi hak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Ia berbeza dengan BN yang hanya bercakap bagi pihak kaum terbabit dan merupakan bahaya besar kepada perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

“Warga tanpa kenegaraan ini yang lahir dan tinggal di negara ini dinafikan hak untuk bekerja, sekolah, kesihatan dan beberapa kemudahan lain termasuk dinafikan hak untuk mengundi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Senario Politik Pra PRU13 – Salam Selangor

Episod 43

Sinopsis: Paparan hari ini membawa para penonton mengenai PRU13. Ikuti rancangan ini hanya di www.selangorkini.net

Tetamu : Haris Mohd Ibrahim (Penggerak ABU)

Himpunan Hijau Cipta Sejarah Baru Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 NOV – Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang memuji semangat dan kesungguh peserta Himpunan Hijau yang konsisten mendesak agar Kerajaan Pusat membatalkan segera projek nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang.

Sambil menggelarkan peserta himpunan yang bermalam di Dataran Merdeka sebagai ‘Pencipta sejarah baru Malaysia’ Kit Siang berkata rakyat kini lebih faham menzahirkan erti kemerdekaan sebenar dalam mempertahankan hak.

“Selepas 55 tahun kemerdekaan, rakyat memberikan makna baru Dataran Merdeka.

“Ini adalah Dataran Merdeka Rakyat.

“Selepas pilihan raya (PRU-13) marilah membina kerajaan baru dan Malaysia baru yang lebih sejahtera bersama rakyat,” katanya dalam ucapan ringkas dihadapan hampir 400 orang peserta pagi ini.

Turut hadir sama dalam himpunan ringkas pagi ini beberapa pemimpin Pakatan Rakyat lain antaranya Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Exco Selangor, Ronnie Liu, Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar .

Semalam menyaksikan hampir 10,000 orang peserta menyertai kumpulan Himpunan Hijau yang telah berjalan kaki hampir 300km bermula di Kuantan, Pahang dan berkumpul di Dataran Merdeka.

Namun, kumpulan berkenaan gagal ‘menembusi’ kawasan dataran yang dikawal ketat oleh pihak polis dan petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL).

Categories
SELANGOR

Segerakan Tubuh IPCMC Tangani Salahlaku Polis

SHAH ALAM,17 NOV : Kerajaan Pusat terus didesak untuk menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menangani masalah salahlaku anggota polis.

Ianya perlu ditubuhkan kerana kepercayaan terhadap pasukan polis semakin terhakis ekoran beberapa insiden yang mencemar imej professionalisme anggota polis.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, Suruhanjaya itu perlu untuk mendisiplinkan anggota polis kerana ada anggotanya yang menyalahgunakan kuasa yang memerlukan tindakan khusus bagi menangani masalah itu.

“Jadi perlu ada satu badan yang bebas untuk mengawal tindak tanduk anggota polis supaya tidak membatasi undang-undang dan juga perkara yang memalukan,” ujar Anthony ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian tiga anggota polis yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang wanita warga Indonesia di Berek Balai Polis Perai baru-baru ini.

Jelas beliau, akibat tiada sistem untuk memantau tingkahlaku polis itu maka kejadian sedemikian dikhuatiri akan terus menjejaskan imej pasukan polis di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Maka perlu ada kehendak politik yang tinggi bagi memastikan wujudnya IPCMC itu,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) komited untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas berkenaan jika berjaya dalam Pilihanraya Umum Ke-13 ini.

“Jika kita berjaya ke Putrajaya, kita akan menyiasat bagaimana agensi-agensi kerajaan dapat dipertingkatkan dan professionalisme badan-badan penguatkuasa dapat ditentukan,” katanya.

Sebelum ini,Penubuhan IPCMC dicadangkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri kelima) pada 29 Disember 2004 ketika merasmikan Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander Briged Pasukan Gerakan Am dan Komandan di Putrajaya.

Bagaimanapun, ketika majoriti pendapat menyokong cadangan penubuhan IPCMC oleh suruhanjaya itu, polis dan ahli-ahli Parlimen Umno menentang penubuhan IPCMC.

SAMM: Calon PRU Perlu Isytihar Harta

SHAH ALAM,17 NOV : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyeru pemimpin, rakyat atau pengundi menyokong usaha pengistiharan harta sebagai sebahagian syarat wajib untuk menjadi calon dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Penyelaras SAMM Kebangsaan, Badrul Hisham Shaharin berkata, rakyat seharusnya bangkit menolak pemimpin calon yang tidak mengisytiharkan hartanya.

“Tahniah di atas komitmen Timbalan Presiden PAS,Mohamad Sabu untuk mengisytiharkan harta sebelum menyertai PRU 13 jika dinamakan oleh parti sebagai calon.

“Komitmen beliau telah ditegaskan melalui ucapan dalam Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-53 di Kelantan beberapa hari lalu,” kata Badrul Hisham dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau, tindakan berani ini perlu kerana pilihanraya umum dan pentadbiran negara masa mendatang memerlukan komitmen tinggi pemimpin dan ahli politik yang telus dan berintegriti.

Ujarnya, pengistiharan harta juga perlu dibuat secara serius dengan turut mengumumkan harta calon, isteri, anak dan saudara terdekat bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah.

“Ramai ahli politik yang menjadi kaya mendadak walaupun baru sahaja memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran negara.

“Baik BN atau PR semua pemimpin perlu istihar hatra sebelum dipilih menjadi calon PRU 13 nanti.
“Maka rakyat boleh menilai berapa banyak laba yang diperolehi apabila duduk sesuatu jawatan atau mandat yang diberikan rakyat,” tegas beliau.

Beliau berkata, rakyat juga perlu menilai kejujuran dan sumber harta yang diisytiharkan oleh bakal calon.
“Mekanisme isytihar harta mungkin ada kelemahan tetapi yang penting wajib isytihar.

“Dan rakyat akan melihat betapa serius kita melakukannya demi menjamin pentadbiran yang berintegriti dimasa depan,” ujar beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Selangor Jelajah Negeri Persiapan Hadapi Pilihan Raya

PETALING JAYA 5 OKT : Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan mengadakan program Jelajah Selangor secara bersepadu dan sistematik sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Kesemua parti gabungan PR iaitu PKR, PAS dan DAP bersepakat menjelajah ke seluruh 22 parlimen dan 56 DUN dalam negeri Selangor.

“Ia khusus bagi menerangkan tentang prestasi program yang sudah dilaksanakan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sepanjang empat tahun lepas.

“Program ini juga diatur bagi memastikan setiap maklumat dan fakta penting berkaitan kejayaan Kerajaan Negeri dapat disampaikan kepada rakyat,” ujar Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dalam satu sidang media.

Sidang media yang diadakan di Pejabat Keadilan Selangor di sini pagi tadi turut disertai Ketua Penerangan PAS dan DAP Selangor iaitu Shaari Sungib dan Jenice Lee.

Program jelajah tersebut akan bermula pada 14 Oktober ini di Parlimen Selayang dan dijadualkan berakhir pada 8 Disember di Parlimen Klang.

“Kesemua program jelajah akan melibatkan semua anggota komponen parti di semua peringkat dengan pemantauan oleh Penerangan Pakatan Rakyat Negeri,” jelas Shuhaimi lagi.

Satu tema khas bersempena program Jelajah Selangor akan diputuskan selepas mesyuarat bersama semua Ketua-ketua Penerangan peringkat cabang, kawasan dan bahagian serta Penerangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor pada 7 Oktober nanti.

Categories
NASIONAL

Sayap PKR Tekad PRU-13 Ubah Kerajaan

 

SHAH ALAM 29 SEPT : Ketiga-tiga sayap PKR menyatakan tekad untuk menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini sebagai ‘medan perang’ untuk merubah kerajaan Umno-BN bagi membawa pembaharuan politik negara.

Tekad itu dilaungkan oleh ketiga-tiga pimpinan sayap parti di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan dalam Rapat Umum PKR dalam sesi Forum: Peranan Sayap Parti Dalam Menghadapi PRU13 di sini.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pengundi muda perlu diberi perhatian oleh jentera parti kerana saluran generasi muda membawa perubahan politik semasa PRU12 lalu.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamarudin berkata Kerajaan Umno-BN gagal memberdayakan wanita apabila memberi peruntukan yang kecil untuk program wanita dalam Belanjawan 2013.

Ujarnya, peranan wanita di negara ini dapat diperkasakan dengan pelaksanaan program yang digariskan di bawah Agenda Wanita Malaysia yang dilancarkan Wanita Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaikh Ismail berkata usaha untuk mendekati wanita muda semakin diperhebatkan khususnya isu-isu berkenaan ekonomi.

Ujarnya, generasi muda tidak hanya melihat kepada siapa yang bakal memimpin negara tetapi persoalan harapan yang ditawarkan kepada generasi muda.

“Anak muda ini perlu disantuni dengan memahami gaya dan pemikirannya.

“Jangan anggap anak muda sebagai saingan tetapi perlu disantuni untuk memimpin masa hadapan,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

BN Kini Tidak Selamat Di Sabah, Sarawak Dan Johor

SHAH ALAM 29 SEPT : Negeri Sabah, Sarawak dan Johor kini tidak boleh dianggap kubu kuat dan deposit kepada BN lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke -13(PRU13).

Keyakinan itu dilontarkan oleh Pengerusi-pengerusi Majlis Pimpinan Negeri-Negeri (MPN) semasa Rapat Umum PKR dalam sesi Forum: ‘Memecah Ruyung Tradisi BN’ di sini hari ini.

Pengerusi MPN Sabah Ahmad Tamrin Jaini berkata perkembangan terkini beberapa pemimpin BN yang keluar parti itu mengubah landskap politik negeri dan melonjakkan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR).

“Ini menunjukkan Umno-BN akan tumbang dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Tamrin berkata Sabah akan dijadikan antara penyumbang paling banyak kerusi Parlimen dalam PRU-13 akan datang.

Beliau mengsasarkan sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen untuk dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

“Kita di Sabah membuktikan orang-orang Sabah mempunyai keberanian untuk menukar kerajaan, ini kali lah,” ujarnya.

Pengerusi MPN PKR Sarawak, Baru Bian berkata pihaknya memulakan gerak kerja untuk PRU-13 selepas berakhirnya pilihan raya negeri April 2011 lepas.

“Kita berkeyakinan sekurang-kurangnya enam kerusi di kawasan bandar manakala sekurangnya tujuh kerusi di luar bandar,” katannya.

Ujar beliau, penerimaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin baik ekoran beberapa perkembangan politik semasa di peringkat negeri dan nasional.

Pengerusi MPN PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Ming berkata mesej reformasi kini sudah mula menyerap ke peringkat akar umbi melalui pelbagai program yang dilaksanakan.

“Sekarang kita mahu kini Umno-BN takut kepada PKR. Kita mahu menang di kubu BN di Johor,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

PM Dicabar Jamin Undur Secara Aman Jika PR Menang Pilihan Raya

SHAH ALAM 7 SEPT : Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi jaminan awam bahawa Umno-BN akan berundur secara aman jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Cabaran ini dibuat ekoran kenyataan Mahathir sebelum ini bahawa rakyat tidak akan berpeluang melihat Umno-BN menjadi kerajaan lagi jika kuasa memerintah pada PRU akan datang jatuh kepada PR yang kononnya ‘sanggup berbuat apa sahaja demi mengekalkan kuasa’.

Mahathir juga membuat dakwaan kononnya kerajaan PR akan menamatkan amalan demokrasi di negara dengan tidak membenarkan pilihan raya diadakan lagi.

“Dakwaan ini sangat mengarut kerana semestinya ketiadaan Umno-BN sebagai sebuah kerajaan adalah suatu rahmat kepada seluruh rakyat.

“Malaysia pastinya akan bebas daripada amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan sosio-ekonomi dan amalan politik kebencian yang tidak disenangi kebanyakan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya lagi, kuasa menentukan sesebuah kerajaan adalah terletak sepenuhnya di tangan rakyat yang mengundi, dan bukan pada kuasa PR.

“Bagi pihak Pakatan Rakyat, saya memberi jaminan jika ditakdirkan kami berjaya ke Putrajaya pada PRU 13 nanti, kami akan tetap menghormati kuasa mengundi rakyat jika mereka mahukan Umno-BN kembali menjadi Kerajaan Pusat pada PRU 14.

“Adakah Najib dan Mahathir bersedia untuk melafaz ikrar yang sama jika benar mereka terpaksa berundur pada PRU 13 akan datang ini?” soal Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.