Categories
NASIONAL

Kenapa tak boleh bina lebuh raya tanpa tol?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menelan kata-kata beliau sebelum ini apabila mendakwa lebuh raya tidak dapat dibina tanpa penglibatan syarikat konsesi mengutip tol.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata sebaliknya Najib semasa membentangkan Bajet Persekutuan 2016 baru-baru ini mengumumkan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dibina tanpa tol.

TOL LEBUHRAYA“Kalau di Sabah dan Sarawak boleh bina lebuh raya tanpa tol mengapa tidak boleh di semenanjung?

“Dulu bila kita tekan isu tol dia kata lebuh raya tak akan dapat dibina tanpa tol,” kata Rafizi pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Rafizi turut menafikan laporan media yang mendakwa pembangkang membantah pembinaan lebuh raya tanpa tol terbabit.

Sebaliknya Rafizi berkata, idea lebuh raya tanpa tol terlebih dahulu dikemukakan Pakatan Rakyat sebelum menjelang pilihan Raya Umum ke-13 lagi.

“Apa yang kami persoalkan, mengapa lebuhraya tanpa tol tidak boleh dilaksanakan di Semenanjung,” kata Rafizi.

EZY

Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan patut perjelas kontrak bina hospital RM8.2 bilion

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Kerajaan Persekutuan perlu memberikan penjelasan berkenaan dakwaan bakal menganugerahkan kontrak bernilai RM8.2 bilion bagi projek pembinaan Hospital UiTM Puncak Alam sedangkan kos sebenar hanya membabitkan RM599 juta.

Rafizi Ramli (PKR-Pandan) di Dewan Rakyat menuntut penjelasan daripada Kerajaan Persekutuan mengenai maklumat yang diterimanya itu.

yb rafizi parlimen“Adakah benar bahawa Kerajaan Persekutuan akan menganugerahkan projek penswastaan hospital di UiTM Puncak Alam kepada syarikat ini?

“Kos adalah RM599 juta, tetapi melalui perjanjian penswastaan ​​konsesi ini, kerajaan membayar RM8.2 bilion. Ini duit siapa, ini duit GST kita,” katanya ketika membahaskan Bajet 2016.

Naib Presiden PKR itu turut mempersoalkan mengapa syarikat itu diberikan projek, sedangkan sebelum ini berdepan saman kontraktor dalam menyiapkan projek penswastaan kampus UiTM.

“Walaupun disaman, terdapat arahan daripada Kementerian Kewangan yang menuntut UiTM membayar ganti rugi itu,” katanya.

Katanya, UiTM terpaksa menanggung kerugian bayaran sewa tahunan yang tinggi apabila kampus universiti itu diswastakan di enam kampus di seluruh negara.

“Kerana itu, kita tidak mempunyai wang yang cukup kerana menganugerahkan projek kepada kroni melalui perjanjian yang berat sebelah masih lagi berterusan,” katanya.
EZY

Categories
NASIONAL

Henti kutip GST, selesai isu pembayaran balik dulu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Kerajaan Persekutuan disaran menghentikan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehingga masalah sistem pelaksanaan yang dihadapi pihak terlibat dapat diselesaikan.

Rafizi Ramli (Pandan-PKR), berkata antaranya sehingga kini sebanyak 59 peratus peniaga masih belum menerima bayaran balik GST.

GST“Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong semalam semasa menjawab soalan lisan mengesahkan sejak GST dilaksanakan, hanya 41 peratus bayaran balik GST dibuat mengikut undang-undang iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh borang GST difailkan.

“Ini bermakna 59 peratus dari bayaran balik ini tak mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan sendiri dan membawa kesan aliran tunai kepada peniaga ini.

“Bila aliran tunai terjejas ini mengakibatkan kos perniagaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan,” kata Rafizi.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelas Rafizi, isu kelewatan bayaran balik GST sebelum ini dibangkitkan pelbagai pihak termasuk dewan perniagaan.

Kata beliau, kegagalan membayar balik GST kepada peniaga mengikut tempoh ditetapkan adalah kepincangan besar yang tidak boleh dipandang ringan.

“Kerajaan masih tidak dapat menguruskan sistem GST ini dengan baik dan yang menjadi mangsa adalah peniaga dan rakyat.

“Saya tidak boleh menerima alasan diberikan Timbalan Menteri Kewangan semalam bahawa ini perkara biasa yang terpaksa dilalui semasa peringkat awal pelaksanaan GST kerana rakyat bayar GST tepat pada masanya semasa GST dilaksanakan,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Persekutuan patut bayar keuntungan peniaga lambat terima bayaran balik GST

Oleh: Rafizi Ramli

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong semalam semasa menjawab soalan lisan telah mengesahkan bahawa sejak GST dilaksanakan, hanya 41% dari bayaran balik GST (“GST refund”) yang dibuat mengikut undang-undang iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh borang GST (“GST return”) difailkan.

Ini bermakna 59% dari bayaran balik GST setakat ini tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri.

yb rafizi parlimen59% dari peniaga lewat menerima bayaran balik GST yang membawa kesan kepada aliran tunai (“cashflow”) peniaga. Apabila aliran tunai peniaga terjejas, ini meningkatkan kos perniagaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Kelewatan bayaran balik GST ini telah ditimbulkan sebelum ini oleh pelbagai pihak baik peniaga sendiri atau dewan-dewan perniagaan.

Walau bagaimana pun, kerajaan hanya memberi pengesahan semalam bahawa selama ini memang kerajaan telah lewat membayar balik GST kepada peniaga-peniaga.

Kegagalan membayar balik GST kepada peniaga mengikut tempoh masa yang dijanjikan oleh kerajaan adalah satu kepincangan besar yang tidak boleh dipandang rendah.

Setelah 6 bulan GST dilaksanakan, kerajaan masih belum dapat menguruskan sistem GST ini dengan baik dan yang menjadi mangsa adalah peniaga dan rakyat yang lewat menerima bayaran balik.

GSTSaya tidak boleh menerima alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan semalam bahawa ini perkara biasa yang terpaksa dilalui semasa di peringkat awal pelaksanaan GST kerana rakyat telah membayar GST tepat pada masanya sejak ia dilaksanakan pada 1 April 2015 lalu.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya kerajaan berlaku adil kepada peniaga dan rakyat dengan menghentikan serta-merta sistem cukai GST ini sehinggalah segala masalah yang dihadapi oleh pihak berkuasa yang menyebabkan kelewatan bayaran balik GST dapat diselesaikan.

Hanya apabila kerajaan dapat membayar balik GST kepada peniaga dan rakyat tepat pada masanya barulah adil rakyat membayar GST tepat pada masanya seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Saya juga berpendapat adalah adil sekiranya kerajaan membayar keuntungan (faedah) di atas jumlah cukai GST yang lewat dibayar balik kepada peniaga dan rakyat sebagai timbal balik kepada kos peniaga dan rakyat yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk menampung gangguan kepada aliran tunai akibat dari kelewatan kerajaan membayar balik GST selama ini.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden/Setiausaha Agung & Ahli Parlimen Pandan

Categories
KENYATAAN MEDIA

Polis patut fokus siasat kes jenayah bukan isu remeh

Oleh: Rafizi Ramli

Saya baru selesai memberikan kenyataan kepada pegawai penyiasat dari IPD Dang Wangi yang mengambil keterangan saya dalam dua kertas siasatan berikut:

1. Kes di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkenaan ucapan yang dibuat semasa Perhimpunan BERSIH4

2. Kes di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan kerana dituduh memakai baju BERSIH4 yang diharamkan.

RafiziSaya berasa lucu kerana soalan-soalan yang ditanya berhubung siasatan di bawah Seksyen 505(b) adalah bersabit laungan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”.

Saya ditanya sama ada saya ada memimpin laungan itu dan berapa kali saya melaungkan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”.

Saya tidak ditanya langsung mengenai kandungan lain ucapan saya kecuali laungan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”.

Jika Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur mengambil sedikit masa meneliti komen-komen yang dibuat oleh rakyat biasa terhadap mereka, kritikan dari rakyat adalah lebih teruk dari “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”.

Jika Perdana Menteri benar-benar mengambil kira kebajikan rakyat, beliau sudah tentu tahu beliau telah sampai tahap dibenci oleh rakyat.

Oleh itu, adalah menjadi pembaziran masa polis yang ketara apabila polis diarahkan menyiasat perkara-perkara yang telah menjadi sentiment rakyat seperti laungan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”.

Jika saya disiasat kerana laungan itu, maknanya pihak polis terpaksa menyiasat berjuta-juta rakyat Malaysia yang memberikan komen lebih kasar dari itu.

Saya menyeru supaya kepimpinan polis berhenti dari mengarahkan pegawai-pegawai bawahan yang sepatutnya diberikan ruang memerangi jenayah, bukannya menyiasat kata-kata orang ramai yang menyinggung Perdana Menteri dan isteri beliau.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Categories
KENYATAAN MEDIA

Rafizi: Belanja kempen BN RM2.6 bilion tapi prestasi makin merosot

Oleh: Rafizi Ramli

Saya agak tercuit dengan penerangan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan kononnya Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu berbelanja besar untuk menampung kempen pilihanraya BN yang lalu kerana beberapa negeri berada di bawah pembangkang (Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan).

Dalam wawancara dengan TV1 semalam, beliau menggunakan alasan bahawa Selangor berada di bawah Pakatan Rakyat yang menyebabkan Dato’ Seri Najib Tun Razak memerlukan sumbangan sehingga RM2.6 bilion untuk menampung perbelanjaan.

UMNO BN 55Sudah tentu ramai rakyat akan tertanya bagaimanakah dengan perbelanjaan kempen sebegitu besar Barisan Nasional masih gagal memenangi kembali Selangor?

Malah dalam PRU13, Dato’ Seri Najib Tun Razak bukan sahaja kalah besar di Selangor, Barisan Nasional turut kalah besar di Pulau Pinang dan gagal merampas Kelantan. Kerusi Parlimen Barisan Nasional juga turut susut.

Maka, alasan Datuk Abdul Rahman Dahlan itu perlu disanggah dari beberapa segi:

1. Jika benar “sumbangan” RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri itu untuk perbelanjaan Umno, kenapa Timbalan Presiden Umno sendiri tidak mengetahui kewujudan wang sebanyak itu yang kononnya milik Umno?

2. Jika benar RM2.6 bilion itu digunakan untuk kempen PRU13, kenapakah BN kalah teruk di kubu-kubu pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang? Sekiranya RM2.6 bilion ini diagihkan kepada 1.7 juta pengundi di Selangor, setiap pengundi menerima RM1,500 seorang dan BN telah boleh membeli kemenangan di Selangor dalam PRU13.

3. Jika RM2.6 bilion ini diagihkan kepada calon dan dibelanjakan sebagai kempen pilihanraya, perbeanjaan calon-calon BN sudah tentu melanggar had perbelanjaan RM200,000 yang ditetapkan undang-undang.

Dengan anggaran mudah bahawa separuh dari jumlah RM2.6 bilion itu dibelanjakan untuk kempen pilihanraya bagi kerusi Parlimen, ini bermakna setiap calon BN telah membelanjakan sekitar RM5.8 juta dalam PRU13.

4. Sekiranya setiap calon BN dalam PRU13 telah membelanjakan sumbangan itu dalam PRU13 seperti kiraan mudah dalam (3), ini bermakna setiap calon BN dalam PRU13 telah melanggar peraturan pilihanraya dan kerusi mereka telah dimenangi secara tidak sah.

Soalan-soalan sebegini akan terus berlegar di kalangan rakyat kerana penjelasan yang diberikan setakat ini terutamanya oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan tidak masuk akal.

Lebih banyak penjelasan yang dibuat, ia akan membuka lebih banyak ruang kontroversi yang akan terus menghakis keyakinan rakyat bahawa pimpinan kerajaan dan Barisan Nasional berterus terang.

RAFIZI RAMLI ADALAH NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Categories
NASIONAL

Rafizi saman balik Najib & Rosmah isu cincin

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 26 JUL: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyaman kembali Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam tuntutan balas terhadap beliau untuk terus membawa isu rakyat.

Tuntutan balas saman difail kerana satu saman dibawa Najib Razak dalam percubaan untuk menutup mulut Rafizi daripada terus membawa isu pembelian cincin, barang kemas, beg tangan dan kehidupan mewah Perdana Menteri dan isterinya.

najibrosmah_400_289_100_270_195_100“Ini termasuk dakwaan yang dibuat Deepak Jaikishen mengenai pembelian barang kemas dan paparan skrin Sistem Maklumat Kastam mengenai cincin berharga jutaan ringgit.

“Telah timbul pelbagai persepsi umum gaya hidup mewah Perdana Menteri dan isteri tidak sepadan dengan pendapatan mereka sebagai penjawat awam,” katanya dalam kenytaaan media.

Rafizi berkata, sehubungan itu seorang Perdana Menteri tidak wajar mengenakan tindakan saman menjawab kritikan pembangkang bagi menafikan isu yang dibawa.

“Rakyat juga perlu tahu bahawa hujah-hujah pembelaan dan tuntutan balas di mahkamah mempunyai asas yang kukuh dan bersifat kepentingan awam.

“Ia penting untuk mendidik rakyat supaya tidak takut dengan ugutan tindakan saman yang nampaknya kini menjadi senjata utama Perdana Menteri untuk membela diri,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Rafizi: Abdul Rahman perlu minta maaf sebar maklumat palsu

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 JUL: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan perlu tampil memohon maaf ekoran menyebar maklumat palsu bagi mengelirukan rakyat dalam isu skandal 1MDB.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata demikian merujuk laporan Malaymail Online berkenaan tuduhan yang dibuat Lester Melanyi berikutan kewujudan seorang jurugrafik pakar bernama James Steward Stephen yang kononnya bertanggungjawab membuat dokumen palsu 1MDB yang digunakan Sarawak Report.

Rafizi berkata, The Malaymail Online mendedahkan bahawa orang dituduh itu (James Steward) yang gambarnya turut disiarkan di dalam video pengakuan Lester Melanyi sebenarnya pengurus rangkaian keretapi di United Kingdom yang tidak ada kena-mengena dengan Malaysia.

yb rafizi parlimen“Dengan pendedahan ini, dakwaan Lester Melanyi berkenaan kewujudan seorang jurugrafik pakar yang membuat dokumen palsu itu rekaan semata-mata, maka wajarlah Datuk Abdul Rahman tampil meminta maaf kepada rakyat Malaysia.

“Ini kerana, beliau sendiri membawa berita palsu yang tidak disemak kesahihannya untuk mengelirukan rakyat berkenaan skandal 1MDB,” katanya dalam kenyataan.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, hal itu menjadi tamparan dan pengajaran kepada Rahmanyang tampil ke hadapan kononnya mendedahkan perkara terbabit.

“Selepas dibuktikan bahawa kredibiliti Lester Melanyi diragui terutama rekodnya menyiarkan kartun Rasulullah sehingga menyebabkan akhbar Sarawak Tribune ditutup.

Datuk-Abdul-Rahman-Dahlan“Beliau (Rahman) masih bertegas mempertahankan kononnya berita yang dibawa itu betul walaupun sebagai seorang individu Lester Melanyi tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.

Sehubungan itu, Rafizi mahuPolis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat untuk mengetahui siapa dalang di belakang yang membayar Lester Melanyi.

“Lester Melanyi mungkin dibayaruntuk menyebarkan tuduhan palsu kerana ia mengganggu siasatan skandal 1MDB yang sedang berjalan sekarang,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Seminggu dilancar, ‘Tutup 1MDB’ kutip separuh dana

SHAH ALAM, 29 MEI: Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) sudah mengumpulkan RM10,000 bagi kempen ‘Tutup 1MDB’ yang dimulakan, sejak lapan hari lalu.

Naib Preseiden PKR, Rafizi Ramli berkata, kira-kira 1,000 orang sudah menyahut kempen menyumbang RM10 itu dan hanya memerlukan sebahagian lagi dana.

tutup 1mdbKatanya, ia bertujuan memfailkan tindakan undang-undang dan menjalankan kaji selidik bagi menentukan sikap rakyat terhadap 1MDB.

“Alhamdulillah selepas seminggu, kutipan kempen #tutup1MDB #kembalikanwangrakyat berjaya melepasi RM10,000.

“Insya Allah saman akan difailkan minggu depan dan peguam sedang menyiapkan tiga saman itu. Jika anda belum menderma, masih belum terlambat,” katanya melalui akaun Facebook, hari ini.

Pada 21 Mei lalu, NOW meminta orang ramai menyumbangkan RM10 bagi menjayakan kempen berkenaan.

Categories
NASIONAL

Polis bawa Rafizi ke pejabat KEADILAN, serbu Sekretariat #KitaLawan

SHAH ALAM 29 MAC: Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli yang masih ditahan reman dibawa polis ke ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, kira-kira pukul 4.05 petang tadi dipercayai untuk menyerbu Sekretariat #KitaLawan.

Perkara ini dinyatakan peguam KEADILAN, Latheefa Koya dalam tweeter sebentar tadi.

1907419_939550122746162_3510935959659775218_n“Polis tengah bawa Rafizi Ramli ke Ibu Pejabat KEADILAN di Merchant Square – untuk serbuan Sekretariat #KitaLawan”.

Terkini, Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa enam anggota polis menyerbu pejabat tersebut dan bersama mereka adalah Rafizi lapor Keadilan Daily

Difahamkan mereka mahu mengambil bahan-bahan berkaitan Himpunan #KitaLawan.
Peguam yang bersama Rafizi adalah G Manivanan.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan yang ditahan Jumaat lalu di bawah Akta Hasutan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi akan dibebaskan esok.

Beliau ditahan ekoran kenyataannya mengajak ahli parti menyertai Himpunan #KitaLawan yang diadakan semalam.

Terdahulu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dibebaskan tengahari tadi setelah ditahan pagi semalam, beberapa jam sebelum perhimpunan #Kita Lawan dimulakan.

Setiausaha Pengelola KEADILAN, Fariz Musa direman dua hari sebaik selesai mengetuai himpunan itu semalam yang berjaya menarik kehadiran 3,000 peserta.

Turut ditahan berkaitan himpunan itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Beliau ditahan kira-kira jam 3 pagi tadi di rumahnya, dan dibebaskan tengahari ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula dibebaskan malam tadi selepas ditahan 23 jam tanpa disabit sebarang kesalahan.

Turut sama ditahan dan direman tiga hari, aktivis Hishamuddin Rais yang ‘diculik’ sebaik tiba di Dataran Merdeka pada program ceramah #KitaLawan pada malam terakhir sebelum perhimpunan itu berlangsung.

Beliau akan dibebaskan esok.

Categories
NASIONAL

Rafizi: “Saya sudah isytihar harta, Najib bila lagi?”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 MAC: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini memaklumkan beliau sudah melaksanakan akuan berkanun (SD) mengisytiharkan harta, pendapatan dan perbelanjaannya secara terperinci susulan cabaran daripada pemimpin Umno sebelum ini.

Beliau berkata, akuan bersumpah itu menunjukkan latar belakang berkenaan pendapatan dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen termasuk sebelum menyertai arena politik dan menjadi wakil rakyat.

Katanya, perincian berkenaan turut disertakan dengan bukti dokumen penyata bank, simpanan dan dipaparkan secara terbuka di blog serta laman sosial peribadinya untuk makluman umum.

umno-kekal“Saya percaya jika saya yang tidak mempunyai sebarang jawatan kerajaan dan tidak mempunyai kuasa boleh mengisytiharkan harta, maka menjadi tanggungjawab moral serta amanah bagi setiap Menteri Kabinet hingga ke Perdana Menteri untuk turut mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan juga perbelanjaan.

“Saya menasihatkan Datuk Seri Najib Razak menggunakan kaedah ini untuk membersihkan namanya yang dikaitkan dengan kemewahan yang tidak berpadanan dengan gaji.

“Jika benar beliau mewarisi harta yang banyak daripada Allahyarham Tun Abdul Razak seperti kenyataan Pejabat Perdana Menteri, maka beliau perlu memperincikan setiap harta warisan itu seperti saya,” katanya.

rafiziRafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau yakin langkah mengisytiharkan harta seperti yang dilaksanakannya akan mendapat sokongan penuh daripada rakyat.

Rafizi bertindak mengisytiharkan harta, pendapatan dan perbelanjaannya secara terperinci susulan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mencabarnya berbuat demikian.

Syed Ali mencabar pimpinan Pakatan Rakyat (PR) membuat pengisytiharan harta sebelum mengkritik kekayaan Najib dan pimpinan Barisan Nasional (BN) lain.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Tindakan hapus subsidi petrol & diesel tindakan tak bertanggungjawab, memangsakan rakyat

Oleh: Rafizi Ramli

Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan Dato’ Seri Najib Tun dan pentadbiran beliau yang mengorbankan kebajikan dan kepentingan rakyat apabila subsidi petrol RON95 dan diesel dihapuskan sepenuhnya bermula 1 Disember 2014, seperti yang diumumkan sebentar tadi.

Persoalan subsidi petrol dan diesel di negara ini bukan terhad kepada keputusan ekonomi sama ada subsidi baik atau buruk untuk ekonomi negara.

demoPrinsip yang lebih besar ialah sama ada kekayaan hasil minyak dan gas negara dikongsi bersama dengan rakyat, bukannya dibelanjakan sewenang-wenangnya oleh pemerintah di Putrajaya.

Melalui kaedah subsidi petrol dan diesel yang digunapakai selama berpuluh tahun, sebahagian dari kekayaan itu dikongsi terus dengan rakyat tanpa perlu menunggu peruntukan yang diputuskan oleh pemerintah di Putrajaya.

Dengan penghapusan subsidi petrol dan diesel, keseluruhan kekayaan hasil minyak dan gas dibolot sepenuhnya oleh Barisan Nasional.

Mereka menentukan berapa peruntukan yang sampai kepada rakyat. Dalam keadaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah terbukti tidak berniat untuk menghapuskan rasuah malah diburukkan lagi dengan skandal 1MDB dan lain-lain, penghapusan subsidi ini bermakna kekayaan hasil minyak dan gas dipusatkan sepenuhnya bagi membiayai segala pembaziran dan rasuah yang kian berlaku oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya menolak sepenuhnya penghapusan subsidi petrol dan diesel ini dan berazam akan terus bersama-sama aktivis dan rakyat menuntut harga minyak diturunkan bermula dengan demonstrasi #turunhargaminyak pada 31 Disember 2014.

10653291_10201829929109271_7809287000168453037_nDengan pengumuman Barisan Nasional pada hari ini, demonstrasi pada 31 Disember 2014 akan turut menuntut supaya sistem subsidi dikembalikan.

Sementara menunggu tekanan dari rakyat mengembalikan sistem subsidi petrol dan diesel, saya juga mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak berlaku adil dengan rakyat dengan serta-merta mengumumkan perkara-perkara berikut:

1. Membatalkan hasrat menetapkan harga petrol dan diesel melalui sistem apungan harga terkawal (managed floating pricing system) sebaliknya membenarkan syarikat-syarikat minyak menetapkan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing tertakluk kepada harga siling.
Dengan cara ini, rakyat akan dapat memilih untuk membeli minyak pada harga paling rendah, bukannya yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ia juga memberi insentif kepada syarikat-syarikat minyak supaya lebih cekap dan tidak hanya bergantung kepada perlindungan kerajaan melalui harga seragam seperti yang berlaku sekarang.

Melalui cara ini iaitu melaksanakan harga terbuka, syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan pimpinan Barisan Nasional seperti PETRON akan mengalami kesukaran untuk bersaing kerana mereka bukanlah syarikat minyak yang mempunyai operasi berintegrasi di hiliran dan huluan;

2. Mengumumkan penghapusan cukai eksais kereta secara berperingkat untuk memastikan harga kereta akan lebih selari dengan harga pasaran seperti yang dibayar oleh pengguna di negara-negara lain.

Selama ini Barisan Nasional memberi alasan rakyat terpaksa membayar cukai eksais kereta yang tinggi kerana kerajaan memberikan subsidi petrol dan diesel, alasan ini kini tidak boleh digunapakai.

Jika harga petrol dan diesel ditetapkan mengikut kos dan pasaran, maka harga kereta juga perlulah mengikut harga pasaran.

Kegagalan atau keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan kedua-dua perkara di atas bermakna beliau mengundang kemarahan rakyat.

Jika cukai-cukai kereta tidak dihapuskan, pentadbiran beliau dijangka mengutip RM17.3 bilion dari rakyat bagi segala jenis cukai kenderaan tahun depan tanpa sedikit pun dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk subsidi.

Apa pun alasan Dato’ Seri Najib Tun Razak selepas ini, saya menyeru semua rakyat, NGO dan aktivis untuk turun beramai-ramai pada 31 Disember 2014 untuk menuntut #turunhargaminyak dan dikembalikan sistem subsidi.

*Rafizi Ramli adalah Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan