Categories
RENCANA WAWANCARA

Seksyen 17A bendung rasuah pasca perintah kawalan

Oleh Sakini Mohd Said

PUTRAJAYA, 20 JULAI: Pandemik Covid-19 yang menular hampir seantero dunia pada masa ini memberi impak sangat besar dengan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression tahun 1930an.

Malaysia sepertimana negara lain yang tidak terkecuali diserang wabak pembawa virus maut itu turut berhadapan cabaran getir.

Sektor perniagaan negara pada masa ini bergelut dengan kemelut aliran tunai seperti permasalahan pembayaran gaji pekerja serta daya survival berikutan penutupan hampir sebahagian besar sektor ekonomi negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berperingkat ketika negara beralih kepada PKP Bersyarat (PKPB) dan kini dalam fasa PKP Pemulihan (PKPP) yang membenarkan hampir kesemua industri berfungsi, menyaksikan organisasi komersial semakin komited untuk bangkit memulihkan perniagaan dengan kadar segera.

Di sebalik perkembangan positif ke arah pemulihan ekonomi negara, timbul kebimbangan di pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berlaku kecenderungan organisasi komersial terlibat dengan rasuah ketika berlumba-lumba mencari keuntungan buat perniagaan mereka.

“Memanglah kita bimbang. Keadaan ini memberi peluang dan ruang kepada mereka dalam dunia perniagaan untuk terlibat dengan rasuah kerana ketika krisis masing-masing kesempitan, kekurangan dana dan simpanan.

“Jadi, apabila keadaan kembali normal, mereka akan berusaha mendapatkan keuntungan secepat mungkin walaupun melibatkan rasuah,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil ketika menjawab soalan Bernama pada sidang media untuk menerangkan mengenai Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) di Putrajaya baru-baru ini.

Langkah tepat

Kebimbangan ini berasas memandangkan satu kajian yang dijalankan oleh University of the West of England pada 2013, mendapati jumlah rasuah dalam kalangan organisasi komersial berlaku pada skala amat besar ketika krisis ekonomi kerana masing-masing mahu memulihkan perniagaan dengan kadar segera.

Manakala dari sudut pandangan Malaysia pula, kajian ‘KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013, menyatakan 80 peratus responden merasakan insiden berhubung suapan dan rasuah dalam sektor korporat meningkat sejak tahun 2010.

Manakala 90 peratus daripada responden mempercayai insiden penipuan korporat, merujuk kepada suapan dan rasuah, adalah masalah utama bagi sektor perniagaan di Malaysia.

Kajian ini bukanlah sekadar pergantungan kepada ‘persepsi’, namun diperkukuhkan dengan statistik dikeluarkan oleh SPRM berhubung jumlah kes rasuah yang melibatkan organisasi komersial bagi tahun 2014 sehingga 2018 di mana penerimaan aduan/maklumat adalah sebanyak 1,517 kes, kertas siasatan (900 kes) dan tangkapan (782 kes).

Ini menunjukkan polemik permasalahan rasuah dalam sektor perniagaan di Malaysia sebelum berlakunya penularan wabak Covid-19 sudah berada pada tahap membimbangkan dan wajarlah SPRM berasa khuatir berlakunya peningkatan rasuah sepanjang fasa pemulihan ekonomi negara.

Sehubungan itu, Shamshun Baharin berkata pelaksanaan Seksyen 17A ASPRM 2009 yang berkuatkuasa 1 Jun tahun ini adalah sangat bertepatan pada masanya ketika negara sedang membuka semula pintu ekonomi yang terjejas akibat krisis Covid-19.

“Umum mengetahui bahawa sektor komersial mempunyai risiko yang tinggi terlibat dalam aktiviti rasuah, terutamanya melibatkan isu tender projek atau kontrak sehingga mencecah nilai berjuta-juta ringgit. (Justeru) dengan pelaksanaan Seksyen 17A ASPRM 2009, saya berharap kes rasuah terutamanya dalam sektor komersial dapat dikurangkan dan diatasi secara menyeluruh.

“Ini memandangkan, undang-undang baharu ini merupakan alat kepada organisasi komersial supaya tidak terlibat dengan rasuah ketika berlumba-lumba mencari keuntungan pada pasca PKP.

Peruntukan undang-undang baharu ini yang juga dikenali sebagai ‘liabiliti korporat’ menetapkan kesalahan di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009 dilakukan oleh organisasi komersial apabila seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial tersebut secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menjanjikan atau menawarkan apa-apa suapan dengan tujuan untuk memperoleh atau mengekalkan apa-apa perniagaan bagi organisasi komersial itu; atau untuk memperoleh apa-apa faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.

‘Natural person’

Sebelum wujud peruntukan ini, Akta SPRM 2009 lebih tertumpu kepada pendakwaan atas natural person iaitu individu yang terlibat secara langsung dengan aktiviti rasuah sahaja.

Ini bermakna, pihak pengurusan tertinggi seperti Pengurus Besar, Ketua Pegawai Eksekutif dan sebagainya ‘terlepas’ daripada kesalahan tersebut biarpun pada hakikatnya mereka turut sama terlibat secara tidak langsung untuk mendapatkan sebarang kontrak atau tender untuk organisasi komersial berkenaan.

Dalam konteks ini, boleh diklasifikasikan individu tersebut merupakan ‘kambing hitam’ bagi syarikat berkenaan untuk mendapatkan faedah tersebut.

“Realitinya, berdasarkan siasatan SPRM, dalam konteks organisasi komersial, mendapati individu berkenaan memberi rasuah untuk mendapatkan projek atau faedah tertentu kepada syarikat mereka. Malah, dalam banyak keadaan, bukan sahaja perbuatan itu melibatkan pengurusan tertinggi syarikat malahan mendapat restu daripada pengurusan tertinggi syarikat.

“Disebabkan itulah, Seksyen 17A ASPRM 2009 digubal bagi membolehkan syarikat yang menjalankan kegiatan rasuah dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang,” jelasnya.

Menurut Shamshun Baharin, peruntukan undang-undang baharu ini adalah untuk melaksanakan obligasi dan memenuhi tanggungjawab antarabangsa di bawah Artikel 26 United Nation Convention Against Corruption (UNAC) yang merujuk kepada ‘Liability Of Legal Person’.

Pada 5 April 2018, Parlimen meluluskan pindaan Akta SPRM 2009 bagi mengukuhkan undang-undang berkaitan pencegahan rasuah di Malaysia terutamanya dalam dunia perniagaan. Peruntukan undang-undang baharu, Seksyen 17A ASPRM 2009 memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial.

Integriti tanpa rasuah

Menjelaskan mengenai terma organisasi komersial dalam akta berkenaan, Shamshun Baharin berkata definisi berkaitan dengannya adalah;

> suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain;

> suatu syarikat di mana jua diperbadankan dan menjalankan perniagaan atau sebahagian daripada perniagaan di Malaysia;

> suatu perkongsian – (i) di bawah Akta Perkongsian 1961 [Akta 135] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain; atau (ii) yang merupakan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 [Akta 743] dan menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain;

> suatu perkongsian di mana jua ditubuhkan dan menjalankan perniagaan atau sebahagian daripada perniagaan di Malaysia.

Semasa penggubalan peruntukan ini, SPRM telah merujuk kepada pelbagai sumber perundangan sama ada domestik atau luar negara dan peruntukan khusus yang dirujuk adalah Seksyen 7 The UK Bribery Act 2010 (UKBA 2010) dan Foreign Corrupt Practices Act 1977 (FCPA 1977).

“Sebenarnya, spirit of this law is preventive. Maksudnya, ia lebih untuk prevent the company dari melakukan atau terlibat dengan rasuah. Jadi, kita dapat mewujudkan organisasi komersial negara menjalani budaya baharu yang lebih bersih, jujur serta memastikan warga mereka tidak menggunakan rasuah untuk mendapatkan keuntungan.

“Saya percaya dengan pengurangan kes rasuah dalam sektor komersial, ekonomi negara dapat ditingkatkan dengan kemasukan pelabur asing dan kekurangan isu ketirisan, sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mewujudkan negara bersih daripada gejala rasuah.

“Mungkin masih ada yang tidak jelas mengenai akta tersebut disebabkan seksyen ini baharu dilaksanakan awal bulan lalu. Namun, ia bukanlah alasan kerana SPRM telah memberikan tempoh grace period selama dua tahun kepada organisasi komersial sebagai langkah persediaan sewajarnya,” katanya.

Jika sesebuah organisasi komersial disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009, hukuman di bawah Seksyen 17A (2) adalah denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, atau dipenjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Tatacara mencukupi

Sebelum ini, ada segelintir pihak meminta pelaksanaan Sekysen 17A ASPRM 2009 ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.

Namun, menurut Shamshun Baharin, kerajaan komited dengan pendirian untuk meneruskan pelaksanaannya pada 1 Jun lepas dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik dalam pengurusan organisasi komersial.

Bagaimanapun, organisasi komersial boleh membela diri sekiranya dapat menunjukkan bahawa organisasi tersebut mempunyai ‘tatacara mencukupi’ yang dilaksanakan bagi mencegah berlakunya rasuah dalam operasi atau aktiviti perniagaan mereka.

Menjelaskan mengenai ‘tatacara mencukupi’, Shamshun Baharin berkata ia merujuk kepada pembangunan serta penggunaan instrumen dan kaedah bersesuaian mewujudkan polisi pencegahan rasuah dalam sesebuah organisasi komersial ke arah pembudayaan tadbir urus yang baik dan berintegriti.

“Sebenarnya, ada tiga entiti yang diiktiraf kerajaan untuk syarikat mendapatkan nasihat berkaitan penyediaan tatacara mencukupi di organisasi komersial mereka.

“Selain SPRM, dua lagi yang layak adalah Institut Integriti Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC). Apa-apapun, tatacara mencukupi yang disediakan oleh GIACC yang menetapkan lima prinsip asas dikenali sebagai T.R.U.S.T. sebagai usaha mencegah rasuah dalam syarikat tersebut boleh dijadikan rujukan.

“Biarpun begitu, SPRM bersedia untuk membantu mana-mana syarikat dalam menyediakan Garis Panduan Tatacara Mencukupi,” katanya.

Beliau menambah, selain mewujudkan sendiri polisi pencegahan rasuah di syarikat masing-masing, mereka juga boleh mendapatkan pensijilan seperti MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System daripada badan pensijilan sedia ada negara ini ataupun Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang dikendalikan SPRM bagi mengurangkan risiko amalan rasuah di organisasi komersial.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Disyaki terima rasuah RM20,000, pegawai kanan polis ditahan

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Seorang pegawai kanan polis semalam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki meminta dan menerima rasuah RM20,000.

Pengarahnya Datuk Alias Salim yang mengesahkan perkara berkenaan berkata suspek berusia 40 tahun ditahan di Pejabat SPRM Selangor jam 5.30 petang.

“Suspek ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengadu sebagai balasan membantu dan mempercepatkan tuntutan bayaran insurans kemalangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Alias berkata pegawai itu akan di bawa ke Mahkamah Majisteret Shah Alam 9 pagi ini bagi tujuan permohonan reman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Banyak ‘jerung’ rasuah bakal bebas, rencat usaha bersih negara

SHAH ALAM, 10 JUN: Pembebasan beberapa individu berpengaruh daripada tuduhan rasuah dan gubahan wang haram memberi gambaran jelas lebih banyak ‘jerung’ lain akan dilepaskan.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu seolah-olah membalikkan usaha kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini cuba membersihkan imej Malaysia di mata dunia.

“Perkembangan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Riza Aziz dan Tan Sri Musa Aman memberi gambaran jelas ramai lagi jerung akan dibebas dan dilepaskan. Apakah cukup dan munasabah penjelasan yang diberikan?

“Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International meletakkan Malaysia di tangga 51 tahun lalu berbanding 61 pada 2018. Apakah tahun ini akan tenat berbanding sebelum ini?” soalnya dalam kenyataan di Facebook berhubung renungan 100 hari Perikatan Nasional.

Pada 14 Mei lalu, anak tiri kepada Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pengubahan wang haram RM1.25 bilion berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad.

Mahkamah Tinggi semalam pula melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Sementara itu, Anwar yang juga ketua pembangkang turut mempertikai beberapa pengumuman terkait Covid-19 membabitkan bilion ringgit tanpa diimbangi Parlimen.

Katanya, berbanding Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Korea Selatan termasuk Singapura, kesemua negara tersebut meluluskan pakej rangsangan melalui Parlimen atau Kongres.

“Saya sudah suarakan dalam pelbagai medium bahawa kerajaan mesti membentangkannya di Parlimen agar perincian dapat dipastikan sekali gus mengelak kebocoran dan ketirisan serta menafikan hak kumpulan sasar,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara kes rasuah Bung Mokhtar, Zizie Izette bermula 14 Mei

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Perbicaraan kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie A. Samad akan bersambung pada 14 Mei di Mahkamah Seksyen di sini, dengan saksi kelima pendakwaan akan meneruskan keterangannya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, mahkamah menetapkan 14 dan 15 Mei untuk meneruskan perbicaraan.

“Pihak pembelaan akan menyoal balas saksi pendakwaan kelima, seorang ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad Dr Habibah Suleiman apabila perbicaraan dimulakan pada hari tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai tarikh baru perbicaraan tersebut.

Perbicaraan kes itu kali terakhir diadakan pada 17 Mac di hadapan Hakim Rozina Ayob dan sepatutnya disambung pada 10 April dan kemudiannya pada 29 April, namun ditangguhkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Pada 3 Mei tahun lepas, Bung Moktar, 60, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Ezette di Public Bank cawangan Taman Melawati di No.262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara 12.30 pm dan 5 pm pada 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Ezette juga mengaku tidak bersalah atas tiga kesalahan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara yang sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usah leka kedudukan CPI terus usaha banteras rasuah

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kejayaan Malaysia memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2019 merupakan pencapaian membanggakan namun semua pihak diingat  tidak leka dan terus berusaha membanteras rasuah.

Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata negara perlu mengekalkan momentum baik itu terutamanya dalam meningkatkan lagi skor atau mata, yang menjadi penentu kedudukan negara dalam indeks berkenaan.

Katanya skor itu diberi berdasarkan beberapa tinjauan dan penilaian pakar, yang melihat kepada pelbagai faktor sesebuah negara termasuk aspek demokrasi, keterbukaan terhadap pelabur asing dan faktor ekonomi.

“Saya yakin kita (Malaysia) mampu menjadi lebih baik lagi…penting untuk kita memahami bagaimana TI membuat pengiraan mata, dan bagaimana kerajaan boleh merangka strategi mendapatkan mata yang tinggi.

“Untuk melonjak naik lagi, setiap aspek atau faktor lain juga perlu naik (diperbaiki)… (misalnya) kita perlu menjadi negara pelabur rasa mudah datang berniaga, dan (menjadi) negara lebih demokratik. Ini bukan usaha satu pihak sahaja tetapi setiap agensi dan kementerian,” katanya.

Malaysia melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 51 daripada 180 negara dalam CPI TI untuk 2019, menunjukkan peningkatan dalam menangani rasuah.

Skor Malaysia juga meningkat kepada 53 daripada 100 mata dalam tinjauan CPI peningkatan daripada 47 mata yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Skor dan kedudukan CPI itu berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara pada skala daripada sifar (dianggap tinggi rasuah) ke 100 (paling bersih).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM komited tingkat usaha perangi rasuah

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi jaminan akan meningkatkan usaha untuk membanteras gejala rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) mengenai Malaysia yang dikeluarkan Transparency International (TI) sangat memberangsangkan.

TI menyatakan Malaysia telah memperbaiki kedudukannya dengan melonjak 10 anak tangga untuk menduduki tempat ke 51 pada CPI bagi tahun 2019.

Latheefa berkata SPRM berbesar hati kerana negara ini bergerak ke arah yang betul.

“Kami sebenarnya telah memulakan langkah-langkah inovatif bagi menangani perkara ini dan akan terus berusaha untuk ketelusan yang lebih hebat, memperbanyak penyertaan daripada pemegang taruh dan memperkukuh mekanisme pengurusan perlindungan pemberi maklumat.

“Kami juga menggesa semua badan pentadbiran kerajaan di pelbagai peringkat untuk meningkatkan unit integriti dan tadbir urusnya,” kata Latheefa dalam kenyataan.

Hari ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan mengumumkan Malaysia melonjak ke kedudukan 51 daripada 180 negara bagi CPI TI untuk tahun 2019.

Sementara itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata kedudukan Malaysia yang naik 10 anak tangga dari kedudukan 61 pada tahun 2018 daripada 180 buah negara itu merupakan satu perkembangan yang amat memberangsangkan.

Beliau berkata usaha kerajaan dan semua pihak termasuk Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dilancarkan pada tahun lepas memberikan kesan positif dan menjelaskan bahawa masyarakat kini mempunyai kesedaran bahawa aktiviti rasuah merupakan musuh utama negara yang boleh merencatkan perkembangan dan ketamadunan sesebuah negara.

“Strategi yang dilakukan kerajaan dan pihak-pihak berkaitan dalam memperkenalkan pelbagai strategi termasuk NACP ini menampakkan hasilnya.

“Selain itu, penglibatan SPRM, kempen-kempen badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta juga memainkan peranan penting seperti menekankan urus tadbir baik dan menjalankan ketelusan dalam setiap urusan harian menjadikan Malaysia bebas rasuah,” katanya kepada Bernama.

Timbalan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Dr Rozaidi Abdul Rahim Razali berkata peningkatan nilai CPI Malaysia pada 2019 adalah disebabkan perubahan dalam kerajaan dan komitmen kerajaan baharu dalam memerangi rasuah.

Beliau berkata ini termasuk tindakan pantas kerajaan menangani kes berprofil tinggi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, Felda serta penangkapan beberapa tokoh politik berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Usaha Malaysia perangi rasuah mula tunjuk hasil

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri & Muhammad Afiff Md Adnan

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Tatkala tahun 2019 hampir melabuhkan tirai, amat mengujakan untuk mengetahui sejauh mana kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun ini, dengan mengambil kira apa yang boleh disifatkan sebagai kempen agresif oleh kerajaan untuk negara ini bebas rasuah.

Transparency International, sebuah organisasi pencegahan rasuah, dijadual mengeluarkan CPI 2019 bulan depan. Tinjauan tahunan yang memberi tumpuan pada persepsi rasuah di 180 negara itu telah menaikkan kedudukan Malaysia sebanyak satu mata ke tangga ke-61 pada 2018.

“Saya yakin Malaysia akan mampu naik tiga mata tangga dalam CPI,” kata Pakar Kriminologi Datuk Seri Akhbar Satar.

Apa yang membuatkan beliau fikir begitu?

Buktinya, sudah pasti, ada di luar sana.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan (PAKATAN), dalam menunaikan janji pilihan rayanya, telah giat mengambil pelbagai langkah untuk menghapuskan rasuah dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, telus dan dipercayai.

Ia telah mewujudkan dasar-dasar dan badan-badan untuk mencapai objektifnya, memastikan semua aspek diberi perhatian dalam melaksanakan agenda untuk memastikan negara bebas rasuah.

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan memerangi rasuah. Ia juga bertanggungjawab merancang, merumuskan strategik dan menilai dasar-dasar dalam memastikan semua pentadbiran kerajaan mematuhi prinsip tadbir urus baik, integriti dan sifar-toleransi terhadap rasuah.

Tokoh yang menerajui pusat itu tidak lain dan tidak bukan ialah Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PH juga mahu Ahli Parlimen (MP) pakatan itu bersih, dan sehubungan itu, telah meminta mereka mengisytiharkan aset mereka selaras dengan usul di Parlimen yang mewajibkan semua MP mengisytiharkan aset mereka. Maklumat berhubung perkara itu boleh didapati dalam talian untuk diakses orang ramai di mydeclaration.sprm.gov.my.

Kerajaan juga melaksanakan dasar tiada hadiah, bermakna menteri Kabinet tidak dibenarkan menerima hadiah bernilai lebih RM500 kecuali bunga, makanan dan buah-buahan.

Beberapa agensi penting yang asalnya berada di bawah Jabatan Perdana Menteri kini melapor kepada Parlimen. Entiti berkenaan termasuk SPRM; Suruhanjaya Pilihan Raya; Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan Jabatan Audit Negara.

Untuk membantu tugasnya dalam memerangi rasuah, kerajaan turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah dan membentuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC).

Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bertemakan ‘Memecahkan Rantaian Rasuah’, mencerminkan keseriusan kerajaan dalam menangani rasuah.

GIACC, menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, menerajui pelaksanaan pelan itu yang dibangunkan untuk menetapkan matlamat munasabah berdasarkan inisiatif yang akan diambil kerajaan dan agensi swasta untuk menangani isu rasuah, integriti dan tadbir urus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Paling menonjol pastinya pelantikan Latheefa Koya, yang terkenal dengan pendekatan berani dan tegas, sebagai ketua pesuruhjaya baharu SPRM pada Jun tahun ini. Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memendekkan kontraknya yang dijadual tamat pada 17 Mei, 2020.

Sejurus selepas pelantikannya, peguam Latheefa menyatakan: “Sesiapapun berhak menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing, tetapi tugas saya adalah jelas – untuk membanteras rasuah.”

Akhbar Satar berkata kes demi kes yang didedahkan merupakan petanda positif bahawa lebih banyak lagi boleh dicapai sekiranya kerajaan tegas dalam memerangi rasuah.

Usaha kerajaan memerangi rasuah sudah mula membuahkan hasil.

Delam tempoh setahun pemerintahannya, dari Mei 2018 sehingga April 2019, kira-kira 1,230 tangkapan telah dibuat berkaitan rasuah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok, dalam kenyataan dikeluarkan bersempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa pada 9 Dis, berkata dengan sejumlah besar kes rasuah, Malaysia sudah mula membersihkan namanya daripada skandal rasuah di mata dunia.

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata rasuah yang tidak terkawal, kecuali ditangani, mampu memusnahkan ekonomi negara.

Beliau mencadangkan pendidikan pencegahan rasuah dimasukkan dalam kurikulum sekolah.

“Kecuali ini dilakukan, kemerosotan nilai murni dan sosial akan menjadi perkara serius di Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Integriti belia cabaran 2030

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ungkapan ‘duit kopi’ seolah-olah satu perkara biasa dan agak sebati dengan kehidupan seharian sebilangan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang.

Kebiasaan itu jika diamalkan bukan sahaja boleh memudaratkan malah boleh membawa keruntuhan kepada negara kerana ia melibatkan integriti sistem pentadbiran sesebuah negara dan keadaan lebih buruk apabila gejala ‘duit kopi’ atau lebih tepat lagi rasuah itu menular dalam kalangan generasi muda atau milenial.

Oleh itu, telah tiba masanya untuk meletakkan titik noktah pada gejala rasuah yang sememangnya menjadi cabaran besar buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tatkala Malaysia dalam landasan menuju negara maju menjelang 2030.

Dalam membanteras ‘musuh nombor satu negara’ itu, tumpuan harus diberi pada generasi muda atau golongan milenial memandangkan lebih separuh daripada jumlah individu yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lebih lima tahun lepas terdiri daripada golongan berumur 40 tahun dan ke bawah.

Berdasarkan statistik SPRM dari tahun 2014 sehingga Jun lepas, seramai 4,860 orang telah ditangkap kerana rasuah dan 2,594 atau 53.4 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda.

“(Ini menunjukkan) bukan generasi tua sahaja yang gagal (terlibat rasuah) dan kurang integriti tetapi golongan muda yang bakal mengambil alih tampuk pemerintahan negara juga kini sudah melakukan rasuah. Apa bakal terjadi kepada negara pada masa hadapan nanti,” kata aktivis antirasuah Datuk Seri Akhbar Satar kepada Bernama baru-baru ini.

Perkembangan itu juga menurutnya menimbulkan persoalan sama ada strategi dan pendekatan yang diambil bagi menangani isu rasuah sebelum ini adalah betul-betul berkesan.

Sehubungan itu, Akhbar mencadangkan supaya satu kajian dijalankan bagi memahami ‘root cause’ kepada masalah integriti itu dan melihat sama ada ia berpunca daripada faktor tertentu seperti cara individu dibesarkan, pendidikan atau ekonomi.

Hasil penemuan daripada kajian itu boleh digunakan untuk merangka satu modul antirasuah yang baharu.

“Melalui kajian itu, kita boleh buat modul membanteras rasuah dengan acuan kita sendiri. Ini penting kerana kita tak boleh ikut (atau ambil) modul sedia ada dari negara luar kerana mereka mempunyai nilai kehidupan, budaya, malah etnik yang tersendiri,” ujarnya.

Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei 2018, kerajaan PH telah mengambil langkah memerangi rasuah secara total kerana menyedari natijahnya yang boleh merencatkan pengembangan dan pengagihan ekonomi negara seperti ditekankan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Usaha itu dibuktikan dengan pengenalan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada Januari tahun ini yang memfokuskan enam sektor utama merangkumi politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Ketegasan kerajaan PH juga memperlihatkan kesan positif apabila Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan 61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018, berbanding tempat ke-62 pada tahun lepas.

Namun, semua usaha itu bakal menjadi sia-sia sekiranya tumpuan tidak diberikan kepada generasi akan datang kerana pembelajaran dan kesedaran ‘katakan tidak pada rasuah’ itu harus bermula awal iaitu di peringkat sekolah lagi, kata Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan.

Sambil menyifatkan inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memasukkan pendidikan antirasuah dalam mata pelajaran adalah satu perkara yang baik, beliau juga mencadangkan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat sivil antirasuah lain untuk terlibat sama dalam mendidik generasi muda.

Kerjasama itu, katanya boleh dimulakan dengan penganjuran program seperti ceramah integriti bagi menerapkan pendidikan nilai-nilai yang baik kepada pelajar sekolah.

“Program itu ialah bengkel sehari, kita akan draf program (termasuk) yang ringkas seperti pertandingan mencipta poster, menulis esei yang berkaitan dengan rasuah…dan (juga aktiviti) mewarna untuk budak kecil.

“Ceramah integriti seperti ini, kita (akan) terlibat secara terus dengan mereka (pelajar), kita akan terapkan nilai-nilai baik (kepada mereka). Pelajar ini bila jumpa dengan orang luar mereka akan lebih teruja berbeza dengan cikgu mereka sendiri (ketika mengajar),” katanya.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye juga senada bersetuju pentingnya pendidikan antirasuah dimulakan di sekolah, tetapi beliau merasakan lebih mustahak lagi usaha untuk menanamkan sikap atau mentaliti ‘takut’ untuk melakukan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, budaya takut melakukan rasuah itu boleh diterapkan dengan meminda akta supaya perasuah dikenakan hukuman lebih berat atau penalti yang lebih tinggi.

“Yang penting adalah aspek kesedaran dan pendidikan (menentang rasuah) tetapi pada waktu yang sama kita mahu meletakkan perasaan takut untuk melakukan rasuah. Kita perlu tanamkan perasaan takut terhadap mereka supaya tidak melakukan rasuah, sekiranya mereka terlibat, mungkin mereka perlu menerima (akibat) yang buruk,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Integriti perisai cegah rasuah, salah guna kuasa

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Perangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah antara perkara utama yang menjadi fokus Malaysia Baharu sebagai sebahagian daripada usaha membaik pulih imej negara yang sebelum ini terpalit dengan gelaran kleptokrasi.

Memetik ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-73 di New York pada September 2018, “Malaysia Baharu adalah respons daripada rakyat yang mahukan kerajaan baharu bagi menghapuskan politik kebencian, ketaksuban perkauman dan agama serta rasuah yang berleluasa.”

Perdana Menteri turut berkata, rakyat mahukan Malaysia Baharu pimpinan Pakatan Harapan usai Pilihan Raya Umum ke-14, mengamalkan dasar keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang.

Banteras rasuah

Antara langkah awal kerajaan dalam menterjemah hasrat Malaysia Baharu ialah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) yang bertujuan menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

Berkongsi pandangan, Timbalan Ketua Pengarah GIACC Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata Malaysia Baharu pastinya diharap menjadikan negara ini lebih baik daripada sebelum ini.

“Apabila orang bercakap mengenai Malaysia Baharu, apa yang mereka maksudkan? Adakah Malaysia sebelum ini tidak baik? Kita ada sejarah sejak Merdeka di mana Malaysia amat dihormati dan dikenali diperingkat dunia kerana kejayaannya.

“Cuma beberapa tahun sebelum ini pandangan orang luar melihat Malaysia seolah-olah sebuah negara kleptokrat. Kadang-kadang disebabkan persepsi itu kita nak mengaku dari Malaysia pun malu. Kita nak Malaysia dikenali bukan sebab rasuah sebaliknya kejayaan dan pencapaian seperti sebelum-sebelum ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

GIACC turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dan Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR), dengan ​​JKKMAR bertindak untuk menyelaras pelaksanaan pemantauan dan penilaian keberkesanan semua inisiatif berkaitan governans, integriti dan anti-rasuah di semua sektor sama ada kerajaan mahupun swasta.

“Sehingga kini hampir 100 inisiatif diluluskan melalui GIACC. Itu tidak termasuk perkara yang terkandung dalam 115 inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP). Pelbagai agenda membanteras rasuah digerakkan serta diambil tindakan di samping kajian demi kajian turut dijalankan bagi mengenal pasti punca masalah sebenar.

“Dalam tahun pertama ini, alhamdulillah kita berjaya mencapai banyak perkara dalam membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam masa yang singkat. Ia boleh dilihat melalui beberapa siri tangkapan dan pertuduhan di mahkamah yang melibatkan pelbagai peringkat jawatan,” tambahnya.

Masalah individu

Menyentuh mengenai Pelan Integriti Nasional yang diperkenal sejak 2004 yang bertujuan menanam dan memupuk budaya etika dan integriti dalam kalangan semua lapisan masyarakat, beliau berkata pendekatan baharu yang lebih relevan perlu dilaksanakan berbanding usaha pemupukan budaya itu.

“Kita perlu lihat pada situasi semasa. Jika keadaan semakin serius di mana salah guna kuasa dan rasuah membarah, adakah memadai jika kita kata nak terus berpegang pada kaedah memupuk budaya integriti kepada mereka yang terlibat?

“Jadi pendekatan yang kita ambil hari ini ialah terus fokus kepada masalah sebenar dan ‘menghapuskan’ punca masalah. Analoginya jika seseorang menghidap kencing manis tahap kronik, masalah gangrene dan sebagainya, adakah kita boleh bagi nasihat sama seperti mereka yang berisiko menghidap kencing manis sebagai contoh jaga pemakanan dan sebagainya. Dah terlambat dan pasti pendekatan juga berbeza,” katanya.

Walaupun ada pihak berpendapat kaedah itu terlalu ‘keras’ namun katanya sudah sampai masa kerajaan bertindak lebih tegas dalam menangani isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

“Sebelum ini kita mengambil jalan keluar dengan memindahkan mereka yang terlibat, tetapi itu sebenarnya tidak membantu menyelesaikan masalah kerana khuatir mereka akan mengulangi tabiat lama (rasuah) di tempat lain,” katanya.

Turut berkongsi data yang diperolehi dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anis Yusal berkata lebih 60 peratus kes rasuah melibatkan perkhidmatan awam dengan hampir 42 peratus berlaku dalam bidang perolehan awam.

“Sebab itu kita letak fokus kepada perkhidmatan awam dahulu. Dalam bidang perolehan awam contohnya orang mudah buat penipuan, curi duit dengan cara menipu, ubah dan menaikkan harga. Laporan audit pun setiap tahun merekodkan perkara yang hampir sama.

“Ini bagaimanapun tidak bermakna bukan penjawat awam tidak terlibat rasuah. Harus difikirkan, jika 60 peratus kes melibatkan penjawat awam menerima rasuah, maka akan ada jumlah yang sama yang memberi rasuah,” katanya.

Menambah isu itu mungkin boleh tangani dengan pembaharuan sistem, prosedur dan mekanisme yang baharu namun apa yang lebih utama katanya ialah sikap dan jati diri seseorang individu dalam mengamalkan integriti.

“Yang buat onar ialah orang, sistem kita boleh perbaiki tapi jika orang kita tak betulkan, bagaimana?,” soalnya.

Isytihar harta

Mengakui bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengubah perkara yang sebelum ini menjadi budaya, beliau berkata usaha berterusan perlu dijalankan meskipun ia memakan tempoh masa yang lama untuk melihat perubahan.

“Apa yang kita buat ni sebab nak ubah cara. Sekarang dah Malaysia Baharu, tak kan masih nak buat perkara yang dulu, biarlah semua urusan dijalankan dengan lebih sistematik, mengikut prosedur yang betul beserta bukti yang sah. Bukan lagi atas kapasiti kuasa dan pangkat seseorang.

“Jika kita berjaya menangani isu rasuah dan integriti, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik daripada sekarang namun semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Berhubung langkah kerajaan untuk mewajibkan semua anggota parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing, beliau berkata usaha itu mampu menyumbang dalam pencegahan rasuah dan salah guna kuasa.

Meskipun ada pihak yang mempersoalkan kewajaran inisiatif itu dengan membangkitkan isu tidak mempunyai pangkat yang tinggi, bimbang dianggap bermegah-megah dan mengundang risiko jenayah, status sebagai anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat, berpengaruh dan mudah mempengaruhi sesiapa menjadikan ia suatu keperluan.

“Kita nak tahu bermula dari tempoh seseorang memegang jawatan sehinggalah ke suatu waktu yang kita perlu nilai, berapa banyak harta kekayaan yang telah dibina. Sebab kita khuatir kalau orang pegang jawatan tinggi, ada pengaruh, kalau dia tak boleh isytihar harta, ada kemungkinan dia menyembunyikan kekayaan yang dibuat melalui sumber tak betul.

“Tiada masalah jika mereka boleh menyenaraikan semua sumber pendapatan. Langkah ini pada masa sama ​​​​membantu rakyat menilai ketelusan pemimpin adakah mereka mengambil kesempatan sewaktu berkuasa untuk kepentingan peribadi atau tulus berkhidmat untuk masyarakat,” katanya ​​​​sambil menambah mengenai usaha mewujudkan undang-undang untuk mensabitkan kesalahan bagi mereka yang gagal mengisytihar harta.

Masalah akar umbi

Mengambil beberapa contoh kes yang berlaku sebelum ini, Anis Yusal berkata sesiapa sahaja boleh jadi ‘gelap mata’ dengan wang ringgit, kuasa dan pangkat tanpa mengira latar belakang.

Antara yang pernah menarik perhatian seluruh negara ialah kes melibatkan bekas pengarah dan bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah pada 2016, dengan penemuan wang tunai berjumlah ratusan juta ringgit selain barang kemas dan geran tanah.

“Ini sebenarnya ‘penyakit’. Bagaimana boleh simpan dan sorok duit begitu banyak di rumah dan pejabat tanpa rasa bersalah. Mereka tak memikirkan implikasi hasil daripada perbuatan itu. Mereka ada ‘sakit’ dan ketagih untuk buat perkara sama (salah guna kuasa) berulang kali sehingga boleh menghimpun nilai kemewahan yang tak masuk dek akal.

“Berapa ramai dalam masyarakat kita sekarang yang ‘ketagih’ nak buat benda jahat. Jadi kita perlu kenal pasti punca masalahnya dari akar umbi supaya kita boleh rawat dengan kaedah yang sepatutnya.

“Jika kita mampu membendung gejala rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai kesalahan melibatkan integriti, tidak mustahil kita akan menjadi sebuah negara yang dihormati, disanjungi bahkan sebagai pusat rujukan kerana kita ada ‘resipinya’,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah: Perketat hukuman sebagai amaran kepada kakitangan awam

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Hukuman ke atas pesalah rasuah daripada segi perundangan negara perlu diperketatkan tanpa mengira kedudukan dan pangkat bagi memberi peringatan kepada kakitangan awam lain, kata Presiden Dewan Perniagaan ASEAN (DPA) Datuk Moehamad Izat Emir.

“Hukuman ringan kepada pesalah rasuah mendorong dan memotivasikan pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar bahawa mereka mampu menikmati hasilnya setelah bebas dari hukuman atau penjara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu kerajaan dengan bertindak agresif dalam memerangi dan membanteras gejala jenayah rasuah yang membabitkan pegawai dan kakitangan kerajaan.

Beliau berkata, ini berikutan terdapat masalah integriti dan ketelusan pegawai kerajaan yang diragui, walaupun dua jenayah yang melibatkan kakitangan awam berjaya dihidu pihak berkuasa baru-baru ini.

Dua jenayah berkenaan adalah pembabitan anggota polis dalam sindiket menyeludup tenggiling di sempadan negara yang dilakukan sejak 2012, selain penglibatan pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara dalam kegiatan haram iaitu menjual MyKad dan sijil lahir.

“Ketelusan dalam sistem pentadbiran kerajaan juga diragui sehingga menyebabkan masalah rasuah ini bermaharajalela kerana dikhuatiri kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam perolehan tender dan projek kerajaan.

“Kelemahan dalam ketelusan ini menyebabkan pihak yang terbabit mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan memberi rasuah kepada pegawai yang terangsang untuk melakukan jenayah rasuah sebelum terjerumus dalam penyalahgunaan kuasa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes rasuah Ahmad Zahid akan didengar di Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM, 23 SEPT: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu, 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan difailkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi oleh pihak pembelaan.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan demikian ketika prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

“Pihak pembelaan dan pihak pendakwaan telah berbincang dan bersetuju supaya semua dokumen berkaitan kes diserahkan oleh pendakwaan kepada kami dalam masa sebulan lagi. Selepas itu, kami akan failkan kes ini dan membuat permohonan supaya kes didengar di Mahkamah Tinggi di sini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa kerana terdapat lebih 500 dokumen sedang disediakan untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

Rozilah kemudian menetapkan 25 Oktober ini untuk pengurusan kes di mahkamah sama.

Terdahulu, Gan memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi memindahkan 33 pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid untuk didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Pendakwaan menarik balik permohonan (memindahkan 33 pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) memandangkan semakan semula kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bagi memindahkan tujuh lagi pertuduhan rasuah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) telah ditolak dan hakim memerintahkan supaya kesemua kes ini kekal untuk didengar di mahkamah ini,” katanya.

Pada 31 Julai lepas, pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan tujuh pertuduhan bagi dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN yang dihadapinya di mahkamah sesyen di sini.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan semula itu pada 28 Ogos lepas kerana tidak menemui kekhilafan dalam perintah pemindahan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948.

Pada 26 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa atas tujuh pertuduhan menerima suapan daripada sebuah syarikat berjumlah S$4.24 juta membabitkan Sistem VLN, dua tahun lepas.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa telah menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama.

Bagi 26 pertuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah S$9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN, telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai S$150,000, RM325,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tetap notis usul kes rasuah Zahid 17 September

SHAH ALAM, 14 OGOS: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 September untuk mendengar notis usul difailkan pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memindahkan 33 pertuduhan yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan notis usul untuk memindahkan 33 pertuduhan Ahmad Zahid ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didengar hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memohon penangguhan kerana mereka sedang menunggu keputusan satu permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang difailkan minggu lepas untuk didengar pada 28 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun menyatakan permohonan tersebut bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu yang membenarkan tujuh lagi pertuduhan rasuah dihadapi Ahmad Zahid dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam.

“Oleh itu, saya mohon agar pendengaran notis usul hari ini ditangguhkan sehingga keputusan semakan (untuk memindahkan kembali tujuh pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) diputuskan nanti,” katanya.

Bagaimanapun, tiada bantahan daripada pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Rozilah turut mengekalkan jaminan terhadap Ahmad Zahid berjumlah RM200,000 seperti yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

Pada 27 Jun lalu, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bagi 26 pertuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SGD9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai SGD150,000, RM325,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, tujuh pertuduhan menerima rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibacakan sekali lagi di mahkamah di sini dan presiden UMNO itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Bagi tujuh pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta (anggaran RM1=SGD3.06) daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA