Categories
AGENDA NASIONAL

Ubah sikap dan iltizam politik melawan rasuah

SHAH ALAM, 10 DIS: Usaha melawan rasuah menjadi retorik berulang jika semua pihak gagal mengubah sikap dan iltizam politik, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata reformasi institusi menjadi tunjang dalam menggendong matlamat, namun impian tersebut belum terwujud secara nyata.

“Langkah ini perlu bermula daripada pihak yang berada di puncak kuasa kerana usaha membanteras rasuah memerlukan integriti dan kekuatan.

“Setiap institusi perlu dijamin bebas pengaruh eksekutif dan pemuka politik. Reformasi institusi penting bagi mengelakkan kebocoran dan ketirisan bantuan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2020.

Anwar turut mengajak rakyat Malaysia membetulkan sikap terhadap rasuah dan membangunkan bangsa bermaruah serta berintegriti.

“Sehingga kini masih banyak yang mesti dilakukan negara ini bagi membanteras rasuah dan meletakkan Malaysia pada jalur demokrasi yang mempunyai kekuatan institusi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Rasuah ‘pembunuh senyap’ kredibiliti penjawat awam

Oleh Noraizura Ahmad

PUTRAJAYA, 9 DIS: Budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam di negara ini, ibarat barah yang dibimbangi akan merosakkan institusi kerajaan secara perlahan.

Hal ini terbukti berdasarkan statistik tangkapan Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada 2015 sehingga Oktober tahun ini, apabila seramai 2,607 penjawat awam ditahan kerana terbabit dalam gejala tidak sihat itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, tangkapan melibatkan kumpulan pelaksana merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,884 individu, diikuti kumpulan pengurusan dan profesional seramai 658.

“Kumpulan pengurusan tertinggi pula mencatatkan 65 individu. Kita tidak mahu kerana segelintir individu ini, akan merencatkan kelancaran pembangunan negara dan kredibiliti penjawat awam.

“Disebabkan itu usaha menangani dan memastikan negara terutamanya penjawat awam bebas rasuah adalah tanggungjawab bersama, dan bukan hanya terletak di bahu SPRM sahaja,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di pejabat SPRM di sini baru-baru ini.

Shamshun Baharin berkata sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) hari ini, SPRM memberi fokus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan bertemakan ‘PBT Perangi Pemberi Rasuah’.

Jelasnya PBT adalah salah satu fokus dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan pihaknya sedia bekerjasama membantu PBT, dalam menangani masalah rasuah dan penyalahgunaan kuasa selain penyelewengan.

“PBT ini banyak isu dan bukan sahaja rasuah, tetapi juga isu perkhidmatan yang selalu dipertikaikan orang ramai,” katanya.

Katanya ini adalah usaha mentransformasikan PBT menjadi organisasi berintegriti tinggi dan bebas rasuah.

Beliau turut menyarankan PBT untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) tersendiri, dalam usaha memerangi gejala rasuah secara komprehensif, sekali gus memperlihatkan komitmen seluruh warga kerja dalam memerangi rasuah, selain bertindak sebagai peringatan dan amaran mengenai PBT tidak menerima rasuah.

Katanya Majlis Perbandaran Taiping antara yang pertama dalam kalangan 149 PBT di Malaysia, membangunkan pelan tersebut dan mencerminkan komitmen serta sokongan warga MPT dalam memerangi rasuah, malah secara tidak langsung menjadi pembakar semangat SPRM untuk terus memerangi rasuah serta salah guna kuasa secara habis-habisan.

“Kita sedia membantu PBT lain dalam menyediakan OACP, dengan memberi nasihat dan kerjasama dengan pegawai terbabit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Imigresen antara agensi beri kerjasama bongkar rasuah

PUTRAJAYA, 18 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia (imigresen) antara agensi penguatkuasaan yang berani memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membongkar dan mendedahkan kegiatan rasuah serta salah guna kuasa, demikian menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Azam berkata bukan mudah untuk mendapat kerjasama berhubung siasatan dan risikan bagi sesuatu kes rasuah, bagaimanapun imigresen yang diketuai Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud memberikan kerjasama baik kepada SPRM dalam merungkai kegiatan sindiket penyalahgunaan pengesahan cap keluar masuk sempadan meskipun ia melibatkan anggota jabatan itu.

Dilaporkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara lumpuh apabila SPRM menahan 46 orang termasuk 27 pegawai imigresen dalam operasi besar-besaran pada Isnin.

‘Sting Operation’ yang dinamakan Op Selat itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan di pintu masuk dan keluar negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru, Johor.

“Saya amat hargai kerjasama siasatan yang diberikan oleh beliau (Khairul Dzaimee) dalam membongkar sindiket ini. Risikan dan siasatan bersama dijalankan sejak beberapa bulan lepas walaupun ia melibatkan beberapa pegawai imigresen,” kata Azam ketika dihubungi Bernama.

Khairul Dzaimee dalam satu kenyataan semalam berhubung penahanan pegawai imigresen berkata Jabatan Imigresen akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan dengan penuh profesional.

Menurutnya, penahanan pegawai jabatan itu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan cap itu adalah hasil kerjasama Jabatan Imigresen dan SPRM khususnya dalam perkongsian maklumat yang diperoleh daripada aduan orang ramai.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah akta dan peraturan imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan itu.

Memuji iltizam Khairul Dzaimee, Azam berkata kerjasama dengan pihak imigresen itu bukan kali pertama dan akan ada lagi kes berbentuk sindiket jenayah yang bakal dibongkarkan.

“Kerjasama risikan dan siasatan dengan mana-mana agensi kerajaan amat diperlukan bagi membolehkan kegiatan rasuah serta salah guna kuasa di negara ini dibanteras,” katanya, sambil menambah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) adalah antara rakan strategik SPRM dalam melaksanakan beberapa risikan dan siasatan bersama sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Projek solar: Perbicaraan rasuah Rosmah bersambung 2 November

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi di sini berkenaan tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak akan bersambung semula pada 2 November ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata mahkamah melapangkan tarikh pendengaran yang sebelum ini ditetapkan pada 20 Oktober susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

“Kami (pihak pendakwaan) menerima pemakluman (berhubung tarikh baharu perbicaraan) daripada mahkamah menerusi e-mel semalam,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang merupakan saksi kelima pendakwaan, dijadual dipanggil semula bagi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan apabila perbicaraan bersambung semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan di antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai bahan bukti di mahkamah.

Pendakwaan sebelum ini memaklumkan kepada mahkamah yang mereka menjangka dapat menutup kes mereka pada awal November dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan.

Rosmah, 69, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

290 individu pemberi maklumat diberi perlindungan SPRM

PUTRAJAYA, 4 OKT: Seramai 290 individu diberi perlindungan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sejak tahun 2016 kerana bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata di bawah akta itu keselamatan mereka dilindungi dan dijamin.

“Pada saya ia merupakan jumlah yang banyak dan mereka ini adalah mereka yang sanggup bekerjasama dengan SPRM.

“SPRM memerlukan lebih banyak maklumat daripada orang ramai seperti ini supaya kami dapat mengumpul maklumat dengan lebih banyak dan bergerak lebih berkesan lagi,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui SPRM tidak terlepas berdepan kesukaran untuk mendapatkan maklumat kerana masih ramai yang takut untuk melaporkan kegiatan rasuah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Antara faktor yang menyukarkan sesetengah individu berkongsi maklumat dengan agensinya berkemungkinan disebabkan takut dibuang kerja atau akan menjejaskan perniagaan mereka.

“Kami sedar bahawa untuk mendapatkan pengadu untuk datang kepada kami untuk membuat aduan itu amat susah dan peratusannya terlalu kecil,” katanya.

Beliau berkata SPRM merupakan agensi yang menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat agar mereka dilindungi daripada segala ancaman termasuk risiko dibuang kerja.

“Banyak kes dikendalikan ketika ini berdasarkan maklumat diberikan pemberi maklumat dan mereka ini dilindungi oleh undang-undang termasuk daripada sebarang tindakan undang-undang oleh majikan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata sasaran SPRM adalah untuk menjadikan masyarakat di negara ini bebas rasuah dan menjadi agensi penguat kuasa rasuah terunggul di dunia, dan untuk merealisasikan impian itu, pelbagai strategi perlu dirangka turut melibatkan semua pihak termasuk pelbagai jabatan dan agensi lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes rasuah tiris perolehan kerajaan semakin kritikal – SPRM

PUTRAJAYA, 1 OKT: Kes rasuah melibatkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam dilihat semakin kritikal, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Tanpa mendedahkan statistik berkenaan, beliau berkata hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan banyak berlaku melibatkan agensi-agensi kerajaan.

“Saya boleh katakan ketirisan pada analisa SPRM banyak berlaku di sektor awam, dengan mereka (pihak pimpinan tertinggi agensi kerajaan) yang berkuasa dalam memutuskan sesuatu perkara itu (perolehan kerajaan) terlibat penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Apabila berlakunya ketirisan perolehan kerajaan, siasatan kami menunjukkan terdapatnya elemen rasuah yang menyebabkan sesuatu nilai perolehan kerajaan turut naik,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Ulang Tahun SPRM ke-53, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Azam memberi contoh jika sesuatu perolehan kerajaan bernilai RM1 juta maka nilai rasuah juga akan naik berbanding nilai asas.

“Ia bukan hanya nilai rasuahnya naik malah kualiti projek juga tidak berkualiti. Saya ingin memberi contoh kes terbaharu melibatkan projek naik taraf jalan di Sarawak. Projek jalan ini dikurangkan kualiti pembuatannya sehingga menyebabkan jalan terlibat cepat rosak lalu menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan,” katanya.

Azam berkata pihaknya perlu ada pakar dalam perkara berkenaan dan perlu bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian semula.

Pada awal September lepas, Bernama melaporkan SPRM telah menahan dua pengarah syarikat berpangkat Datuk disyaki terlibat rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berlaku ketirisan, Azam berkata pihaknya ada menerima kes ketirisan melibatkan sektor swasta, namun jumlahnya tidak membimbangkan seperti dalam sektor awam.

“Hasrat SPRM adalah untuk menyiasat kedua-dua pihak ini (sektor awam dan swasta) jika terlibat ketirisan perolehan kerajaan, kami akan bawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas usaha menjadikan negara ini bebas rasuah, Azam berkata SPRM yang telah memasuki usia melebihi lima dekad, menuntut kematangannya dalam semua tindakan sama ada melibatkan penguatkuasaan, pencegahan mahupun pendidikan masyarakat dalam membanteras rasuah.

“Sekarang ini, kita hidup dalam norma baharu berhadapan dengan wabak Covid-19 untuk beberapa tahun akan datang dan ia memberi cabaran kepada SPRM untuk mencapai sifar rasuah atau mewujudkan masyarakat bebas rasuah.

“Sebelum Covid-19, SPRM banyak turun padang beri taklimat dan membuat kempen banteras rasuah kepada masyarakat, namun sejak ada Covid-19, SPRM banyak menggunakan pendekatan video dan media sosial untuk berinteraksi dengan masyarakat,” katanya.

Selain itu, Azam berkata SPRM turut memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks sekolah rendah Tahun lima yang akan berkuat kuasa 2021.

“Selain tindakan pencegahan, pendidikan masyarakat juga merupakan agenda utama SPRM dalam meningkatkan integriti individu terutama melibatkan masa depan sektor awam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kakitangan MBI lafaz ikrar bebas rasuah, mahu jadi organisasi contoh

SHAH ALAM, 25 OGOS: Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Norita Mohd Sidek mengetuai 172 kakitangan melafaz dan menandatangan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen membanteras sikap tidak bermoral itu.

Norita berkata setiap individu yang melafaz ikrar perlu faham tanggungjawab masing-masing sepanjang melaksanakan tugas dengan menolak rasuah.

“MBI perlu menjadi organisasi contoh yang berjaya mengamalkan tahap integriti tinggi kepada syarikat atau organisasi lain di Selangor dan juga Malaysia, ini yang kita hasratkan.

“Malah MBI juga merupakan cerminan kepada kejayaan Kerajaan Negeri, jadi warga MBI perlu mengamalkan integriti dengan sepenuh hati,” katanya pada Majlis Melafazkan dan Menandatangani IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Alias Salim di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Norita menambah MBI menubuhkan Jabatan Integriti dan Governans sebagai usaha memperkukuh tadbir urus korporat dan memupuk nilai murni dalam kalangan kakitangan.

“Saya percaya mana-mana organisasi yang berhasrat untuk berkembang maju dan menjadi nilai kepada masyarakat perlu memastikan barisan kepemimpinannya mengamalkan nilai integriti.”

Semalam Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru kakitangan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menyambut baik dan memberi perhatian serius titah Sultan Sharafuddin dalam memastikan rekod pencapaian bebas rasuah itu tidak lagi tercalar.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan: Penguat kuasa terlibat rasuah jejas reputasi kerajaan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Tindakan segelintir penguat kuasa yang terlibat dalam gejala rasuah mencemarkan reputasi dan imej kerajaan serta pihak berkuasa.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat hilang kepercayaan terhadap kemampuan penguat kuasa jika jenayah itu terus berleluasa.

“Laporan media yang meluas tentang kesalahan jenayah rasuah menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

“Seandainya dibiarkan terus berleluasa, ia menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kemampuan Jabatan Penguatkuasa dalam melaksanakan tindakan undang-undang,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Selangor turut menyeru kakitangan penguat kuasa di semua pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan tidak terlibat dengan rasuah serta perkara yang menimbulkan tohmahan penyelewengan.

Baginda bertitah ini termasuk aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri atau pihak tertentu yang perlu dielakkan semasa bertugas.

“Baginda juga menegaskan Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang diamanahkan dengan jawatan. Gejala ini mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

“Baginda juga menyeru semua pegawai dan kakitangan penguat kuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP). Mereka perlu bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan,” titah baginda lagi.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA terbuka SPRM tahan lebih ramai anggota terpalit rasuah

SUNGAI BULOH, 13 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terbuka sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lebih ramai kakitangannya terbabit rasuah di Sungai Buloh.

Timbalan Datuk Bandarnya Mohd Rashidi Ruslan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada suruhanjaya tersebut dan berjanji memberi kerjasama penuh.

“Kita tidak tahu (berapa ramai ditahan). Biar SPRM siasat dan (MBSA) tidak masuk campur,” katanya ditemui pada operasi bersepadu sekitar Bandar Baru Sungai Buloh semalam.

Beliau mengalu-alukan kerjasama SPRM bagi memastikan tadbir urus pihak berkuasa tempatan itu mengekalkan prinsip integriti serta melahirkan warga kerja berdisiplin dan amanah.

Semalam, Mahkamah Majistret Putrajaya memerintahkan empat pegawai penguat kuasa MBSA direman tujuh hari berkait kes rasuah di Sungai Buloh.

Mereka disyaki mengutip dan menerima wang perlindungan bulanan RM300 hingga RM3,500 daripada peniaga dan premis tanpa lesen termasuk kegiatan perjudian haram di sekitar daerah itu.

Categories
EXCO SELANGOR

Kakitangan PBT terlibat rasuah, salah guna kuasa berdepan tindakan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit rasuah dan salah guna kuasa.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan melindungi individu melakukan kesalahan tersebut.

“Kerajaan Selangor mengamalkan pentadbiran berlandaskan ketelusan dan mengutamakan integriti.

“Semua kakitangan PBT dinasihatkan menjalankan tugas dengan telus dan menjauhi diri daripada kegiatan rasuah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sze Han menambah pihaknya yakin PBT melaksanakan tugas dengan baik demi rakyat dan negeri serta mengalu-alukan maklumat awam menerusi saluran betul jika berlaku kesalahan terbabit.

Hari ini, Mahkamah Majistret Putrajaya memerintah empat pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari susulan siasatan kes menerima dan mengutip rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kakitangan rasuah berdepan tindakan tatatertib, dipecat – MBSA

SHAH ALAM, 11 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) enggan melindungi kakitangan tidak berintegriti terutama melibatkan rasuah.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim berkata mereka yang melakukan kesalahan jenayah bakal dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

“MBSA memberi jaminan kerjasama penuh akan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malah MBSA mengadakan mesyuarat dengan SPRM berhubung perkara ini semalam.

“Saya tidak akan melindungi pegawai dan kakitangan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berintegriti, sikap seperti ini perlu dicegah dalam MBSA,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Haris berkata orang ramai diminta menyalurkan aduan berkaitan salah laku kakitangan agensi itu menerusi emel [email protected] atau di
talian 03-55105133.

Hari ini, SPRM menahan tiga anggota penguat kuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh kerana disyaki melindungi premis perniagaan tanpa lesen. Penguat kuasa berusia antara 41 hingga 49 tahun itu turut disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan.

Terdahulu, tular video yang mendakwa MBSA tidak memantau kegiatan judi dan jualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Video dimuat naik Facebook ‘Hot Burger Malaysia’ turut mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada tauke kedai mesin judi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah: Guan Eng, Li Koon mengaku tidak bersalah

BUTTERWORTH, 11 OGOS: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan rasuah.

Lim, 60, dan Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Li Koon pula didakwa bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman sama.

Betty, 56, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dengan menerima wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 serta pada 4 Sept 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA