Categories
NASIONAL

Visa luar negara: Ahmad Zahid hadapi 33 pertuduhan rasuah

SHAH ALAM, 27 JUN: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kali ini dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Semalam, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan rasuah berhubung perkara sama berjumlah SGD4.24 juta (anggaran RM1=SGD3.06) dan ini menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid membabitkan visa ialah 40 pertuduhan.

Bagi 26 pertuduhan, presiden UMNO itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SGD9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai SG150,000, RM325,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau keda-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin manakala peguam Kitson Foong yang mewakili Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan jumlah itu dan memohon jumlah yang munasabah.

Rozilah membenarkan Ahmad Zahid dibebaskan dengan jaminan RM500,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu telah menetapkan 18 hingga 22 November, 2 hingga 6 Disember dan 9 hingga 13 Disember untuk perbicaraan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terima rasuah RM12.97 juta

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas tujuh tuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berjumlah SGD4.24 (anggaran RM1=SGD3.06) juta berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ahmad Zahid, 66, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas semua pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Bagi semua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah berjumlah SGD4.24 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan perkara kesalahan itu dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

“Disebabkan tertuduh sebelum ini pernah didakwa di mahkamah, pasportnya sudah berada dalam simpanan mahkamah,” katanya.

Peguam Kitson Foong, yang mewakili Ahmad Zahid tidak membantah dan bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

“Memang benar pasport tertuduh telah diserahkan kepada mahkamah sebelum ini,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu telah menetapkan 18 hingga 22 November, 2 hingga 6 Disember dan 9 hingga 13 Disember untuk perbicaraan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sifat tamak punca rasuah

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Usaha memerangi rasuah dalam sektor awam tidak seharusnya difokuskan kepada soal kenaikan gaji semata-mata, sebaliknya penekanan perlu diberikan kepada usaha mewujudkan sebuah pentadbiran lebih beretika dan berintegriti.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kenaikan gaji dan elaun tidak mampu membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam jika sifat tamak dan sentiasa mahukan kemewahan melebihi kemampuan menguasai diri sendiri.

“Walaupun langkah menaikkan gaji mungkin mampu mengurangkan kecenderungan untuk mengambil rasuah, pelbagai kes besar melibatkan pegawai berpendapatan tinggi membuktikan sifat tamak boleh menjadi punca rasuah yang akan menjejaskan integriti para penjawat awam.

“Kes rasuah melibatkan kakitangan bawahan seperti menerima ‘duit kopi’ lebih memberikan kesan kepada orang awam kerana ia melibatkan mereka secara langsung berbanding kes berprofil tinggi yang melibatkan jutaan Ringgit Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya semua pihak harus membantu usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencapai sifar rasuah penjawat awam bukan sahaja perlu memaparkan perkhidmatan awam yang cekap dan beretika, tetapi juga memupuk budaya yang menekankan integriti dalam pengurusan harian.

Katanya, pegawai yang terbabit dalam aktiviti rasuah ini kebanyakannya terdiri daripada bidang penguatkuasaan undang-undang, sehubungan itu beliau menyarankan semua agensi terbabit perlu mempunyai satu sistem kawalan dalaman yang boleh mengesan penyelewengan.

Lee selain itu turut mencadangkan satu kurikulum diwujudkan di sekolah untuk mendidik pelajar tentang keburukan rasuah.

“Usaha memerangi rasuah harus bermula di sekolah melalui penekanan kepada pengajaran dan amalan nilai-nilai murni kalangan generasi muda kita terutamanya tentang keperluan untuk membangunkan satu budaya integriti serta menjadikannya sebagai satu cara hidup mereka di masa depan.

“Golongan muda harus dididik dengan nilai-nilai moral, etika dan integriti semasa mereka di bangku sekolah bagi memudahkan pembanterasan rasuah kelak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Undang-undang baharu dakwa syarikat terbabit rasuah-SPRM

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal melaksanakan undang-undang baharu iaitu Seksyen 17A Akta SPRM 2009, yang akan berkuat kuasa pada Jun 2020.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, peruntukan undang-undang yang membolehkan syarikat terbabit rasuah didakwa itu, adalah untuk melaksanakan obligasi dan memenuhi tanggungjawab antarabangsa di bawah Artikel 26 ‘United Nation Convention Against Corruption (UNCAC)’ yang merujuk kepada ‘Liability Of Legal Person’.

Beliau berkata, sebelum peruntukan itu wujud, Akta SPRM 2009 hanya tertumpu kepada pendakwaan atas ‘natural person’ iaitu individu yang terlibat dengan rasuah sahaja.

“Oleh yang demikian, Seksyen 17A digubal bagi membolehkan syarikat yang menjalankan kegiatan rasuah, dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

“Seksyen 17A telah diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018, yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersil,” katanya kepada Bernama.

Azam berkata melalui seksyen berkenaan, organisasi komersil boleh didakwa sekiranya orang yang bersekutu dengan organisasi komersil itu terlibat dengan jenayah rasuah dengan tujuan untuk membolehkan organisasi komersil itu memperoleh atau mengekalkan kontrak atau kepentingan.

“Dalam masa sama, peruntukan itu menghendaki, sebagai tindakan pencegahan organisasi komersil untuk mewujudkan polisi dan usaha pencegahan rasuah dalam organisasi mereka dalam bentuk tatacara yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata dalam menggubal peruntukan itu, SPRM telah merujuk kepada pelbagai sumber perundangan sama ada domestik atau luar negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anggota PGA tahan lelaki cuba beri sogokan

PASIR MAS, 20 Mei: Seorang lelaki ditahan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) selepas cuba menyogok RM1,600 kepada anggota bertugas bagi membebaskan dirinya bersama tiga lagi rakan dipercayai terbabit dalam penyeludupan kenderaan.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Ramly Pancho ketika ditemui berkata, tiga lagi individu berkenaan adalah seorang lelaki dan dua perempuan yang kesemuanya berusia 30-an.

Pada awalnya kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Chempaka, Tanah Merah pada 6.15 pagi, 17 Mei lepas.

“Sebenarnya pihak kami mendapat maklumat mengenai penyeludupan kenderaan sebelum bertindak menyerbu rumah berkenaan.

“Ketika serbuan kami menemui beberapa buah kenderaan termasuk Toyota Lexus, Perodua MyV, Perodua Viva dan sebuah motosikal. Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua kenderaan itu adalah diklon,” katanya.

Ramly berkata susulan serbuan itu seorang daripada individu berasal dari negara jiran bertindak menawarkan sogokan agar kesemua mereka dilepaskan.

Walaupun sudah tiga kali amaran disuarakan oleh anggota berpangkat Koperal yang bertugas, lelaki itu tetap berkeras mahu memberi 16 keping wang RM100 berjumlah RM1,600 kesemuanya sebagai dorongan supaya dilepaskan.

“Selepas amaran diberikan namun tidak diendahkan, anggota PGA9 telah membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan kerana cuba membuat sogokan.

“Kita menyerahkan lelaki terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan manakala tiga lagi turut ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kumpulan empat individu berkenaan terlibat dalam sindiket mengklon kenderaan dari Singapura sebelum dijual semula di sini. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN tekad terus agenda banteras rasuah – PM

PUTRAJAYA, 30 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan meneruskan agenda membanteras rasuah walaupun sokongan terhadap kerajaan dan dirinya sendiri telah merosot.

Beliau turut meminta semua jentera kerajaan menolak rasuah dengan jangan mengambil walaupun “satu sen” atau “hadiah-hadiah” seperti membeli rumah pada harga murah.

“Harap kita berikrar tidak terlibat dengan rasuah kerana berdosa dan ia salah dari segi undang-undang,” katanya pada majlis perjumpaan dengan lebih 1,000 pegawai kanan kerajaan di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata dalam usaha menghalang perbuatan-perbuatan curang dan yang merosakkan pentadbiran negara, mungkin terdapat pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah merasa kecewa dengan kerajaan baharu kerana tidak lagi mendapat pendapatan tambahan daripada kegiatan itu.

Menurutnya, mereka yang kecewa itu merasakan seolah-olah kerajaan kleptokrasi dahulu lebih baik daripada kerajaan demokrasi dan sokongan kepada kerajaan PAKATAN dan dirinya merosot setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengambil contoh beberapa negara termasuk Mexico, Pakistan dan Indonesia yang menukar parti memerintah akibat salah guna kuasa, Dr Mahathir berkata usaha membersihkan negara daripada gejala itu perlu diteruskan kerana ia akan menghancurkan negara.

“Segala tugas tak dapat dijalankan dengan baik, kos akan meningkat kerana setiap kos kita belanja perlu tambah kos rasuah, dan sesetengah pihak tidak mendapat perkhidmatan sama sekali kerana rasuah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sebelum ini yang memerintah selama 61 tahun tidak mungkin kalah jika mereka berpegang kepada tugas dan tidak menyalah guna kuasa yang diberikan rakyat.

Pertukaran kerajaan adalah penting kerana rakyat tahu negara dipimpin dengan cara yang tidak baik sehingga dikenali sebagai negara kleptokrasi atau kerajaan penyangak.

“Apakah kita nak kerajaan penyangak atau diganti kerajaan baharu? Apakah kerajaan baharu akan jadi penyangak, mungkin kalau tidak berjaga-jaga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya setakat ini, beliau belum nampak kecenderungan untuk salah guna kuasa dalam kalangan pentadbir.

Sepanjang hampir setahun PAKATAN memerintah, Dr Mahathir berkata beliau mendapati secara umumnya kerajaan tidak menghadapi banyak masalah dalam pentadbiran walaupun terpaksa menggugurkan mereka yang jelas menyeleweng dan melakukan kesalahan.

“Yang lain saya fikir (mereka) sedar pertukaran kerajaan dan kerajaan sekarang berhak menentukan dasar negara,” katanya.

Dr Mahathir berkata, jika rasuah dilihat sebagai haram sama seperti arak, maka pegawai kerajaan pasti tidak akan melakukan perbuatan jijik itu.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

ASP didakwa minta suapan RM1.5 juta

SHAH ALAM, 28 MAC: Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini kerana meminta wang suapan berjumlah RM1.5 juta bagi menyelesaikan kes pengedaran dadah, dua tahun lalu.

Tertuduh ASP Gan Chee Liang, 36, dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Gan didakwa meminta rasuah sebanyak RM1.5 juta dari Victor Goh, 38, untuk diri sendiri sebagai seorang pegawai awam iaitu Penolong Penguasa Polis Diraja Malaysia sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes melibatkan Victor yang disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Gan dituduh melakukan kesalahan itu pada 10 Mac 2017 di sebuah bilik di Lokap Berpusat Polis Shah Alam, pada 11 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mencadangkan wang jaminan RM100,000 dengan dua penjamin.

Peguam Chong Kak Sen yang mewakili tertuduh memohon supaya wang ikat jamin dikurangkan kepada RM10,000 berikutan anak guamnya telah diikat jamin sebanyak RM80,000 bagi semua empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas kes yang sama.

“Siasatan kes dijalankan sejak 2017 dan anak guam saya tidak pernah gagal melaporkan diri ke pejabat SPRM, saya percaya wang ikat jamin termasuk jaminan tambahan dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sudah mencukupi,” katanya.

Hakim Rozilah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 29 April depan.

Semalam Gan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.35 juta. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ku Nan kekal pengakuan tak bersalah tuduhan terima rasuah RM2 juta

 

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas satu pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, pada 2016.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember lalu.

Mahkamah menetapkan enam hari iaitu pada 2, 3, 4, 9, 10 dan 11 Julai ini untuk perbicaraan kes Tengku Adnan, 68, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya.

Hakim itu juga membenarkan permohonan peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan supaya mahkamah melepaskan sementara pasport anak guamnya kerana tertuduh mempunyai urusan perniagaan di luar negara selain mempunyai dua orang anak yang masih belajar di luar negara.

Mohamed Zaini membenarkan pasport diserahkan kepada Tengku Adnan sehingga tarikh sebutan akan datang pada 28 Februari ini dengan jaminan RM500,000 beserta seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julia, Ibrahim tidak membantah permohonan pembelaan berhubung pasport itu.

Julia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes itu tidak akan dibicarakan dengan satu kes rasuah lain yang dihadapi Tengku Adnan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu di tempat dan tarikh sama, sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank‬ miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties yang ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bekas pengarah syarikat hadapi empat tuduhan rasuah

SHAH ALAM, 8 NOV: Bekas pengarah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas empat pertuduhan memperoleh suapan RM270,000 sebagai upah memberi kontrak kepada syarikat lain bagi kerja pembinaan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, enam tahun lalu.

Affendy Bahrom, 44, dari Bukit Jelutong bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bekas pengarah Syarikat Maxwell Accent JV Sdn Bhd itu didakwa memperoleh suapan untuk dirinya dalam bentuk cek berjumlah RM40,000, RM40,000, RM80,000 dan RM110,000 daripada pengarah Syarikat Malim Resources, Mohd Asri Omar, antara 18 Mei 2012 dan 10 Okt 2012.

Affendy yang kini seorang ahli perniagaan didakwa melakukan kesemua kesalahan di tiga bank berasingan di Kelana Jaya dan Shah Alam, dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Rozilah membenarkan Affendy dibebaskan dengan jaminan RM40,000 dan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes selain memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Hazirah Azeman sementara Affendy diwakili peguam A. G. Kalidas.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114,148,983.86.

Zahid, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Mahkamah membenarkan anggota Parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dan memerintahkannya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membayar jaminan RM1 juta hari ini, manakala bakinya sebelum atau pada 26 Oktober dan menetapkan 14 Disember untuk sebutan semula kes.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P. Kunyalam, T. Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal serta Kitson Foong.

Sebelum itu, ruang mahkamah dipenuhi dengan beberapa pemimpin Umno antaranya Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Annuar Musa.

*Sumber: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Golongan muda perlu berani tentang rasuah, salah guna kuasa

ARAU, 24 SEPT: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata golongan muda hendaklah berani menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi menjadikan Malaysia negara ‘super power’ dalam masa 10 hingga 20 tahun lagi.

Menurutnya mereka harus berasa alergi dengan rasuah yang telah banyak merosakkan tadbir urus sesebuah negara.

“Saya yakin dan percaya anak-anak muda hari ini lebih bijak menilai kesan gejala rasuah kerana mereka lebih banyak terdedah dengan isu-isu nasional,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawAR) di Universiti Malaysia Perlis, disini, hari ini.

Konvensyen kali kedua itu dihadiri kira-kira 1,500 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Perlis dan Kedah.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamshun Baharain Mohd Jamil dan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

 

Katanya keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya semua anggota Kabinet mengisytiharkan harta dan dipamerkan dalam laman web SPRM itu penting bagi anak-anak muda untuk menilai ketelusan kerajaan PH.

“Kami mahu mendidik golongan muda membudayakan tahap integriti yang tinggi dan menolak rasuah,” tambah beliau.

Dalam siang media selepas itu Syed Saddiq berkata kes rasuah dalam bidang sukan adalah antara yang tertinggi dan beliau berhasrat menjadikan kementerian tersebut sebagai kementerian yang mendahului dalam tadbir urus telus dan bebas rasuah.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Cabaran tangani rasuah masa kini lebih sukar berbanding 1981 – PM

PUTRAJAYA, 10 JUL: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui cabaran menangani rasuah dan salah guna kuasa pada masa kini lebih mencabar berbanding ketika beliau pertama kali dilantik sebagai perdana menteri pada tahun 1981.

Dr Mahathir berkata ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negara 37 tahun dahulu, jentera kerajaan pada ketika itu dilihat hampir bersih daripada gejala rasuah, tidak seperti masa kini.

Beliau mendakwa tindakan seorang bekas perdana menteri ‘mempromosikan’ rasuah melalui kenyataan ‘cash is king’ atau ‘wang itu raja’ mengakibatkan habis jentera kerajaan terlibat.

“Kita kena pilih, tapis sebelum kita ambil tindakan. Kalau kita syak, kita tidak boleh buang semua pegawai kerajaan yang kita syak (terlibat rasuah) kerana yang demikian kita tiada jentera untuk melaksanakan tugas dan arahan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan pada Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini, yang dihadiri hampir 160 anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) serta anggota pentadbiran kerajaan termasuk jemaah menteri.

Dr Mahathir yang menyambut ulang tahun ke-93 hari ini turut menerima ucapan Selamat Hari Lahir selepas menyampaikan perutusan pada sesi taklimat itu daripada tetamu yang hadir.

Ditanya pemberita akan harapannya pada harijadinya itu, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “Saya harap media akan membantu kami membanteras rasuah,” yang disambut dengan tawa hampir 50 petugas media yang membuat liputan sidang media itu.

Taklimat tertutup yang julung kali diadakan itu dianjurkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bertujuan memberi pendedahan tentang pelbagai aspek berkaitan rasuah dan usaha pencegahan buat anggota Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

SUMBER: BERNAMA