Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jabatan Perdana Menteri tubuh badan khas, pantau rasuah kakitangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JUN: Pusat Governans Intergriti dan Anti Rasuah (GIACC) ditubuhkan bagi memantau sebarang salah laku rasuah membabitkan kakitangan kerajaan.

Jabatan Perdana Menteri memaklumkan, penubuhannya seiring hasrat Kerajaan Pakatan Harapan dalam memastikan tatakelola pentadbiran Putrajaya telus dan bebas rasuah.

“Pusat ini bertangunggjawab dalam merancang, menggubal strategi dan menilai polisi dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksanakan berteraskan tadbir urus baik, intergriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

“Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui perdana menteri adalah untuk memastikan 21 janji berkaitan governans, integriti dan anti rasuah yang dikenalpasti terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan, dalam fasa tertentu,” menurut JPM dalam kenyataannya.

JPM memaklumkan, penubuhan badan itu juga tidak akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidang agensi lain sedia ada.

Sebaliknya, agensi rasuah lain akan distruktur semula mengikut kesesuian fungsi penubuhan GIACC.

Pada masa sama, GIACC bakal diterajui Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang dipersetujui lantikannya oleh perdana menteri.

“Semua cadangan penambahbaikan oleh GIACC akan dibentangkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) untuk diputuskan.

“JKKMAR ini ditubuhkan dengan berperanan dalam penentuan dasar dan hala tuju governans, integriti dan anti rasuah di negara ini melalui kerangka Pelan Anti Rasuah yang bakal digubal kelak,” kata kenyataan itu.

Categories
PBT SELANGOR

MPK: Tindakan tegas jika disabit kesalahan rasuah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 MAC: Majils Perbandaran Kajang (MPK) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap tujuh anggota penguatkuasanya jika disabitkan kesalahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, jika tujuh anggota penguatkuasanya disabit kesalahan menerima suapan rasuah daripada pengusaha kafe siber, maka tindakan tatatertib buang kerja boleh diambil.

“Namun, perkara itu masih dalam siasatan dan mereka juga berada dalam tahanan SPRM untuk siasatan.

“Selepas kita menerima laporan sah daripada SPRM, baru tindakan lembaga tatatertib mempunyai kuasa untuk menahan mereka daripada menjalankan tugas,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penghargaan Anugerah MPK Care 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Yasid berkata, tindakan anggota penguatkuasa yang mengambil rasuah dari pusat siber kafe adalah atas pilihan sendiri dan tidak didorong Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

“Kita tidak pernah mengarahkan anggota untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, malahan MPK adalah PBT pertama yang mengadakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai aku janji kakitangan untuk bebas daripada amalan itu.

“Kita juga ada unit integriti yang sentiasa memantau dan melaksanakan aktiviti termasuk memberi penerangan melalui ceramah berkenaan rasuah serta salah guna kuasa sebagai satu kesedaran kepada semua kakitangan,” katanya.

Terdahulu, SPRM menahan tujuh anggota penguatkuasa PBT kerana dipercayai meminta suapan berjumlah RM1,000 daripada pengusaha kafe siber tanpa lesen, di Klang, pada 21 Oktober 2017.

Kesemua mereka berusia lingkungan 31 hingga 42 tahun ditahan kira-kira jam 1.45 petang, pada 14 Mac lalu.

Categories
NASIONAL

Malaysia hadapi krisis integeriti akibat rasuah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 MAC: Malaysia diyakini menghadapi krisis integriti berikutan siasatan dan tangkapan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggambarkan ia pada tahap membimbangkan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, peratusan dicatatkan juga membuktikan generasi muda tidak terkecuali dalam kes rasuah berlaku di negara ini.

“Tiga tahun lalu, tangkapan dibuat SPRM membabitkan kira-kira 2,000 dengan 54 peratus daripadanya berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Hasil tangkapan itu membuktikan kes rasuah turut membabitkan Generasi Y,” katanya dalam forum Malaysia Menuju Negara Korupsi: Fakta atau Propaganda? di sini, semalam.

Beliau berkata, tangkapan SPRM dan penyertaan golongan muda dalam kes berkaitan amat membimbangkan ekoran kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003 memberi gambaran akan situasi itu.

Katanya, kajian dibuat dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) menyatakan bahawa 30.5 peratus daripadanya bersedia menerima rasuah apabila menyertai alam pekerjaan.

“Kini Malaysia menghadapi krisis integriti bukan sahaja dalam kalangan generasi lama tetapi juga generasi muda,” katanya.

Hasil kajian Indeks Persepktif Rasuah (CPI) pada tahun lalu, katanya, juga memberi gambaran buruk dengan Malaysia berada pada kedudukan 62 daripada 180 negara.

“Bagi melonjak kembali kedudukan CPI ini, kerajaan perlu memastikan kes berkaitan seperti 1MDB, Felda dan yang lain disiasat bagi menggembalikan kepercayaan rakyat,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang kenal pasti 27 aktiviti berisiko rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 23 JAN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sudah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyenaraikan 27 aktiviti yang berpotensi terbabit dengan gejala rasuah, di peringkat dalaman.

Yang Dipertua MPSepang, Dato’ Puasa MD Taib berkata, semua potensi itu sudah disenaraikan di bawah Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) yang diputuskan, pada Mac 2017.

“Antara perkara yang berpotensi terbabit dengan rasuah adalah aktiviti pengeluaran lesen kerana semua orang mahukan lesen segera. Kita keluarkan lesen biasa dalam masa sehari.

“Lesen risiko membabitkan ulasan beberapa jabatan luar seperti polis dan Jabatan Kesihatan akan dipastikan mempunyai ulasan terlebih dahulu sebelum diluluskan.

“Kita tidak mahu ia dikeluarkan terus tanpa sebarang ulasan jabatan luar,” katanya.

Terdahulu, beliau ditemui selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah, di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rasuah adalah isu hak asasi

OLEH: DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menetapkan Hari Anti Rasuah Sedunia pada 9 Disember, diikuti Hari Hak Asasi Sedunia pada 10 Disember.

Lazimnya kita difahamkan masalah hak asasi di Malaysia adalah isu berkaitan kehidupan dan kematian seperti layanan terhadap tahanan atau hal berkaitan kebebasan asas, seperti kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, kita perlu mengakui rasuah juga adalah isu hak asasi. Rasuah memberi kesan kepada hak asasi apabila kekayaan sepatutnya digunakan untuk memberi manfaat kepada orang ramai – meningkatkan tahap kesihatan, pendidikan, kehidupan – telah diselewengkan oleh individu berkuasa untuk keseronokan peribadi mereka.

Dalam usaha politikus rasuah menjalankan kegiatan salah atau mengelakkan pengadilan, pelbagai pelanggaran hak asasi boleh dilakukan oleh penjenayah kolar putih ini.

Sesiapa yang mengkritik tindakan mereka boleh dipenjara atau dihukum denda; seperti penggunaan Akta Hasutan kepada rakyat Malaysia yang berani bersuara.

Lebih memburukkan keadaan, sesiapa yang mendedahkan kesalahan mereka boleh hilang kehidupan.

Dalam usaha melarikan diri daripada pengadilan politikus rasuah boleh mempergunakan institusi undang-undang; hakim ditekan, Peguam Negara boleh dipecat.

Inilah yang dilakukan kleptokrat. Mereka menggunakan institusi kerajaan untuk mengambil kekayaan negara. Untuk mencuri mereka memperalat institusi demokrasi kita. 1Malaysia Development Berhad adalah isu rasuah, isu hak asasi yang menjejaskan negara tercinta.

Bercakap dalam Global Forum on Asset Recovery pada Isnin lalu, Peguam Negara Amerika Syarikat, Jeff Sessions berkata, “1MDB diwujudkan kerajaan Malaysia untuk mempromosikan pembangunan ekonomi jangka masa panjang untuk manfaat rakyat Malaysia.”

Malangnya, pegawai rasuah menggunakan dana ini untuk mendapatkan kemewahan peribadi. Ratusan juta dolar dibelanjakan untuk hartanah, kerja seni, hiburan dan kapal layar.

AS$4.5 bilion dana diselewengkan menerusi syarikat pesisir luar palsu dengan akaun bank merentasi dunia. Peguam Negara Sessions merumuskan, “Ini adalah kleptokrasi yang terburuk.”

Kleptokrasi bersenang-lenang atas rasuah dan menggugat hak asasi semua rakyat Malaysia, dan juga mereka yang belum lahir, kerana kekayaan yang sepatutnya menjadi milik mereka telah dibawa keluar dari Malaysia.

Di Selangor, kita berusaha untuk menjadi bertanggungjawab kepada masyarakat, menjadi telus dalam urusan kewangan dan mengamalkan urus tadbir yang baik demi mengembalikan kekayaan negeri kepada rakyat supaya mereka dan anak-anak boleh menikmati masa depan lebih baik.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Dato’ Menteri Besar Selangor

Categories
KENYATAAN MEDIA

Rasuah punca masalah negara tidak selesai

Kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa dadah masih dianggap menjadi musuh nombor satu negara berbanding rasuah sesuatu yang amat membimbangkan negara dan rakyat.

Menurut Nur Jazlan, sindiket pengedaran dadah memberi tumpuan terhadap penglibatan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menengah.

Untuk makluman, sebanyak 78 peratus daripada 52,000 penagih dalam komuniti adalah orang muda berusia antara 19 hingga 39 tahun.

1. Saya percaya bahawa isu penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa dan sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan adalah kerana wujudnya amalan rasuah serta salah guna kuasa.

Martabat negara boleh jatuh di mata dunia jika setiap kejadian di negara ini berkait rapat dengan amalan rasuah.

2. Salah satu sebab mengapa isu rasuah terus wujud adalah kerana agensi-agensi penguatkuasaan gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan telus. Penyakit rasuah ini jika tidak dibendung akan menghancurkan negara. Mana mungkin negara menjadi maju kalau pemimpinnya sanggup dijual beli.

Sekarang ini juga serata dunia mengenali Malaysia disebabkan pelbagai skandal rasuah yang terpalit di negara ini termasuk skandal 1MDB yang melibatkan Malaysian Official No 1 (MO1) yang dipercayai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

1MDB-1024x7313. Bagi saya kerajaan seharusnya mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh paling utama negara, dalam pada masa sama, jangan mengetepikan isu dadah di kalangan pelajar dan belia yang harus di diberi perhatian serius.

4. Saya amat bimbang segala pencapaian ekonomi negara akan diserang oleh penyakit rasuah yang diibaratkan seperti barah yang memakan sel demi sel secara perlahan yang akhirnya membawa kematian kepada seseorang sekiranya tiada ubat yang sesuai untuk dirawati pada jangkamasa tertentu.

5. Apa akan terjadi kepada negara ini jikalau kesemuanya boleh dibeli dan semua orang ada harganya masing-masing? Seperti penagih dadah yang sanggup mencuri dan membunuh ahli keluarga demi melepaskan gian mereka, negara yang dibelenggu rasuah pasti akan digadai oleh puak-puak yang ketagihkan rasuah.

6. Persoalan yang ingin saya utarakan adalah sekiranya penagih dadah mempunyai pusat pemulihan, adakah kerajaan juga perlu mewujudkan pusat pemulihan untuk mereka yang ketagih rasuah ini? Atau, mungkinkah undang-undang mandatori seperti dadah untuk perasuah perlu diguna pakai demi menyelamatkan negara?

Onn Abu Bakar
Penyelaras Parlimen KEADILAN Sembrong
Ahli Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan

Categories
SELANGOR

Borang isytihar kepentingan, langkah Selangor kekang rasuah

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 4 OGOS: Budaya menandatangani borang pengisytiharan kepentingan dalam kalangan Exco Selangor sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dimulakan, antara pendekatan Selangor membanteras rasuah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata,walaupun dasar Kerajaan Negeri menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membenteras rasuah, namun pihaknya mengambil pendekatan berbeza untuk tujuan sama.

“Melafazkan ikrar mungkin satu pilihan sahaja, tetapi setiap Exco wajib menandatangani borang pengisytiharan kepentingan supaya mereka mengisytiharkan sama ada mempunyai kepentingan atau tidak pada setiap kertas yang dibincangkan dalam mesyuarat.

CP2A9555-1280x853“Ini saya rasa lebih efektif kerana setiap Exco perlu mengisytiharkan secara bertulis tidak mempunyai kepentingan sama ada diri sendiri atau keluarga dalam setiap kertas yang dibincangkan dalam mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang melakukan lafaz ikrar anti rasuah hari ini.

Bercakap kepada media pada Majlis Kenduri Rakyat di Masjid Meranti, Kampung Pulau Meranti, beliau berkata amalan itu turut dilakukan di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebelum mesyuarat Ahli Lembaga PKNS dimulakan.

Katanya sekiranya didapati terdapat unsur kepentingan peribadi, individu berkenaan akan berdepan tindakan dibawa ke muka pengadilan.

Categories
NASIONAL

Shamsul Iskandar: Ketua Menteri Melaka cuba lindungi pemimpin Umno rasuah RM150 juta?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 APR: Kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pemimpin Umno yang didakwa atas kesalahan rasuah RM150 juta menimbulkan persoalan jika individu terbabit dilindungi pihak berkepentingan.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, pemimpin Umno Melaka itu tidak ditahan dan masih bebas walaupun waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan.

“Bagaimana beliau masih bebas walaupun waran tangkap dikeluarkan? Dimanakah pemimpin terbabit berada sehingga pihak berkuasa gagal membuat tangkap terhadapnya?

shamsul-iskandar-mohd-akin“Apakah beliau dilindungi pimpinan atasan kononnya mempunyai hubungan secara langsung dengan ketua menteri kerana bimbang Idris Haron akan diheret sama?” katanya dalam kenyataan.

Pada November lalu, SPRM merampas lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai, kenderaan, aset dan dokumen daripada pemimpin berkenaan dalam siasatan pengubahan wang haram.

Kes berkenaan dipercayai berkait rapat dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Ketua Menterinya, Datuk Idris Haron.

Memetik sumber MalaysiaKini, pemimpin Umno terbabit mempunyai kaitan rapat dengan pegawai atasan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, individu terbabit dikatakan sudah digantung tugas dalam pentadbiran selepas disiasat SPRM.

Namun, media tempatan melaporkan beliau kini dilantik untuk memegang jawatan di Pusat Khidmat Umno bahagian Tangga Batu.

Shamsul mendesak SPRM supaya tampil memberikan penjelasan berhubung kelewatan penangkapan individu terbabit bagi mengelakkan sebarang spekulasi timbul.

“Saya juga mendesak supaya menghentikan sebarang percubaan ‘cover up’ oleh pihak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin terbabit,” katanya.

Categories
NASIONAL

Exco Johor terpalit rasuah letak jawatan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Datuk Abd Latif Bandi yang menghadapi pertuduhan rasuah secara rasmi meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.

Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan media dikeluarkan peguamnya, hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau turut merakam penghargaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran.

Kenyataan terbabit turut memaklumkan Abd Latif berjaya mengumpulkan wang RM2 juta untuk membayar ikat jamin dan dibebaskan.

Abd Latif, 51 dikenakan jaminan RM2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bharu, semalam atas pertuduhan terlibat dalam rasuah lebih RM30.3 juta antara 2013 dan 2016.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Dakwaan terima rasuah, tiga pemain bola sepak ditahan

SHAH ALAM, 6 APR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pemain pasukan bola sepak Malaysian Indian Sports Council-Malaysia Indian Football Association (MISC-MIFA)kerana disyaki menerima rasuah sebagai habuan bagi mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Sumber SPRM berkata, mereka yang ditahan termasuk pemain import berusia 29 tahun, manakala dua lagi pemain tempatan berusia 26 dan 27 tahun.

Tiga pemain itu dikatakan menerima rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie dan ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, semalam.

rasuah bola“Siasatan mendapati semua suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu, sejak beberapa tahun lalu. Mereka dipercayai mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil daripada rasuah yang diterima,” katanya lapor BERNAMA.

Sumber itu turut membayangkan lebih ramai individu mungkin akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi BERNAMA turut mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau menegaska, SPRM tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan rasuah membabitkan pemain bola sepak ekoran boleh menjatuhkan reputasi sukan negara.

“SPRM akan terus memantau dan menyiasat pemain bola sepak serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perlu,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

TMJ: Tiada tempat individu tak berintegriti dan korup di Johor

JOHOR BAHRU 15 MAC: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tiada tempat untuk individu mahupun pihak tidak berintegriti dan korup di Johor.

Menurut Tunku Ismail, individu diberikan amanah dan tanggungjawab diingatkan supaya menjalankan kewajipan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik.

“Saya ingin beri nasihat sedikit terhadap isu berbangkit berkaitan dengan negeri Johor Darul Ta’zim.

“Perlu saya ingatkan di negeri Johor ini tidak akan ada tempat untuk mereka-mereka yang tidak mengamalkan integriti dalam tugasan yang diberikan serta terlibat dengan budaya korup.

“Kepada mana-mana individu yang diberi amanah dan tanggungjawab, jalankan kewajipan anda untuk berkhidmat kepada rakyat dengan baik,” tulis Tunku Ismail laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail berkata, individu yang mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada rakyat juga tidak layak berada di negeri ini.

“Sekiranya anda mengutamakan kepentingan peribadi lebih daripada rakyat, sebagai mana yang DYMM Tuanku pernah bertitah, anda tidak layak berada di negeri Johor dan kami akan pastikan anda tidak mempunyai tempat di negeri berdaulat ini,” tulis beliau.

 

TMJ

=EZY=

Categories
SELANGOR

Ambil iktibar kehancuran tamadun Rom akibat rasuah

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 MAC: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj mengajak seluruh rakyat dan pemimpin mengambil iktibar kehancuran Empayar Rom akibat berleluasanya amalan rasuah.

Baginda Sultan dalam titah di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-13 mahu seluruh rakyat bersatu padu dan kekuatan perpaduan digerakkan berlandaskan nilai dan prinsip murni demi kedaulatan negeri dan kesejahteraan rakyat.

DNS 2016“Khazanah negara dianugerahkan Allah SWT pupus sekiranya pemimpin bergelumang dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan tamak haloba yang hanya memerah keringat rakyat.

“Hawa nafsu manusia tidak ada batasnya seperti dikatakan Mahatma Gandhi ‘The world has enough for everyone’s need, but not enough for everyone’s greed‘,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan juga mengajak rakyat mengambil kira sejarah lalu dari Ahli Sejarah, Edward Gibbon dalam karya agungnya ‘The Decline and Fall of the Roman Empire’.

Ia menceritakan bagaimana empayar Rom yang begitu besar, kuat dan gemilang boleh runtuh dan hancur akibat rasuah dan fitnah menjadi barah di kalangan pemimpin tertinggi ekoran gaya hidup bermewah mewah.

Baginda Sultan turut bersyukur dalam tempoh singkat selama 18 bulan itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan ahli Exco berjaya menggerakkan negeri dan rakyat bekerja berpasukan.

“Demi mempertahankan kedaulatan negeri dan menjaga kesejahteraan rakyat, pasukan ini berjaya memiliki kesatuan fikrah.

“Kesatuan ini menjadi pemangkin kepada kemakmuran negeri dan mengangkat maruah serta martabat rakyat beta,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan turut mahu anggota penjawat awam sentiasa berpegang teguh kepada piagam perkhidmatan awam dari pihak eksekutif bekerjasama secara objektif dan profesional.

“Beta berkenan semangat kerjasama di antara eksekutif, pegawai kerajaan dan rakyat diperkukuhkan untuk memajukan Selangor yang beta kasihi.

“Beta mendoakan semangat ini menjadi semakin kental supaya negeri dan rakyat terus maju, aman dan makmur,” titah Baginda Sultan.

EZY