Categories
GLOBAL

Rusia uji berpandu hipersonik

MOSCOW 12 MAC: Rusia berjaya melancarkan peluru berpandu hipersonik yang digambarkan oleh Presiden Vladimir Putin sebagai senjata ideal dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara itu.

Peluru berpandu Kinzhal itu dilancarkan dari jet pemintas supersonik MiG-31 yang berlepas dari lapangan terbang di Daerah Ketenteraan Selatan, barat daya negara itu.

“Pelancaran itu berjalan seperti dirancangkan, peluru berpandu hipersonik menemukan sasarannya,” kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurut Putin, senjata terbaharu itu terbang 10 kali ganda kelajuan bunyi dan boleh mengatasi sistem pertahanan udara.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Sistem pemanas gagal berfungsi mungkin punca pesawat terhempas

GLOBAL 14 FEB: Kemalangan pesawat Rusia yang mengorbankan kesemua 71 penumpang dan kru dipercayai berpunca daripada kegagalan juruterbang mengaktifkan sistem pemanas menyebabkan data kelajuan pesawat tersebut gagal berfungsi.

Jawatankuasa Penerbangan Interstate pada Selasa berkata demikian selepas mengkaji dan meneliti perakam data penerbangan pesawat itu dan data daripada dua tolok kelajuan udara pesawat malang itu.

Petunjuk yang diperoleh jelas menunjukkan juruterbang gagal menghidupkan sistem pemanas untuk peralatan pengukuran tekanan pesawat sebelum berlepas.

Juruterbang berkenaan melakukan tetapan autopilot setelah berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di sini tetapi mengubah kawalan kepada manual apabila data kelajuan mulai tidak stabil.

Pesawat itu terhempas di sebuah padang bersalji enam minit selepas berlepas, membunuh kesemua 65 penumpang dan enam kru.

Sementara itu, beratus-ratus pekerja kecemasan meneruskan pencarian mayat mangsa dan serpihan pesawat.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

Rusia keluarkan amaran perjalanan ke AS

GLOBAL 3 FEB: Rusia mengeluarkan amaran perjalanan yang menyarankan rakyatnya untuk berfikir dahulu sebelum melancong ke luar negara kerana mendakwa Amerika Syarikat (AS) sedang memburu warga negara ini di seluruh dunia.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Kementerian Luar Moscow dalam satu kenyataan berkata, rakyat Rusia diberi amaran mereka akan berdepan ancaman serius ditahan di negara lain atas permintaan AS.

“Walaupun kami mahu meningkatkan kerjasama antara pihak berkuasa Rusia dan AS…perkhidmatan khas AS gigih memburu rakyat Rusia di seluruh dunia.

“Melihat kepada situasi tersebut, kami sekeras-kerasnya mahu rakyat Rusia berhati-hati terhadap sebarang risiko jika merancang untuk melancong ke luar negara,” kata kenyataan terbabit.

Tambah kenyataan itu, lebih 10 warga Rusia telah ditahan di negara asing yang mempunyai kaitan dengan AS sejak awal tahun lalu.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Rantau Komandorskiye Ostrova dilanda gempa bumi kuat

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter berlaku di rantau Komandorskiye Ostrova, Rusia, kira-kira jam 10.10 pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata, pusat gempa bumi itu terletak di 573 kilometer timur laut dari Petropavlovsk Kamchatsky, Rusia dan 6,937 kilometer timur laut dari Kudat, Sabah, lapor BERNAMA.

Bagaimanapun, gempa itu tidak mendatangkan ancaman tsunami.

 

Categories
GLOBAL

AS, Rusia bertelagah isu Iran

NEW YORK 6 JAN: Amerika Syarikat dan Rusia bertelagah berhubung Iran di Majlis Keselamatan semalam ketika perhimpunan prorejim diadakan hari ketiga berturut-turut susulan gelombang bantahan yang sudah meragut 21 nyawa.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, menggesa mesyuarat diadakan, menegaskan ketegangan boleh merebak menjadi konflik lebih besar dan membandingkan keadaan itu dengan Syria.

“Rejim Iran kini berada dalam perhatian: dunia menyaksikan apa yang dilakukan,” katanya.

Sementara Rusia membantah desakan isu Iran dibincangkan, berkata bantahan itu tidak memberi ancaman kepada keamanan dan kestabilan antarabangsa. Namun ia tidak menghalang mesyuarat diadakan.

“Kami kesal dengan kehilangan nyawa dalam demonstrasi itu yang jelas tidak berjalan dengan aman.

“Bagaimanapun, biarkan Iran berurusan dengan masalahnya sendiri,” kata Duta Rusia, Vassily Nebenzia.

Keseluruhannya, 21 maut dan ratusan lagi ditahan sejak 28 Disember lalu apabila tunjuk perasaan berhubung masalah ekonomi bertukar menjadi penentangan terhadap rejim, dengan serangan dilancarkan ke atas bangunan kerajaan dan balai polis.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Putin arah tentera Rusia berundur dari Syria

MOSCOW 13 DIS: Rusia mula memanggil pulang sebahagian tenteranya di Syria, atas arahan Presiden Vladimir Putin, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Selasa.

Putin memanggil pulang sebahagian tenteranya di negara itu semasa melawat pangkalan tentera Hmeymim di Syria pada Isnin.

Agensi berita Tass melaporkan, fasa pertama pengunduran tentera itu termasuk 23 pesawat tempur, 2 helikopter jenis Ka-52, anggota separa tentera, pasukan operasi khas dan pasukan perubatan tentera, kata komander pasukan Rusia di Syria, Sergey Surovikin.

Surovikin berkata, pangkalan udara Hmeymim dan pangkalan tentera laut Tartus akan dikekalkan untuk menjamin kestabilan di Syria pada masa depan.

Media tempatan melaporkan, dengan sokongan tentera udara Rusia, tentera Syria berjaya membebaskan 98 peratus wilayah dikuasai kumpulan pengganas dalam tempoh dua tahun.

Rusia memperuntukan purata 156 juta Rubel (AS$2.6 juta) setiap hari untuk menempatkan 69 pesawat perang di Syria.

Selain itu, 40 askar Rusia terbunuh dan sekurang-kurangnya tujuh peralatan ketenteraan musnah sejak September 2015, ketika Moscow melancarkan operasi tentera ke atas kumpulan pengganas di Syria atas permintaan Damsyik.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Rusia pamer tentera masa hadapan ala Star Wars

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 13 OKT: Rusia mempertingkatkan kemampuan ketenteraannya apabila memperkenalkan ‘tentera masa hadapan’ dengan sut terbaharu bakal digunakan angkatan tentera negara itu dengan teknologi terkini.

Sut tempur canggih itu menyerupai pakaian seperti dalam filem Star Wars yang digunakan dalam watak tentera Stormtrooper.

Sut diberi nama The Ratnik-3 (Warrior-3) adalah siri tempur infantri generasi ketiga yang menggabungkan eksoskeleton terbina dalam dan hampir 60 aksesori berbeza.

Ia termasuk pelbagai senjata akhir model, sensor dan peralatan pelindung yang direka untuk beroperasi di bawah hampir semua keadaan cuaca termasuk dalam peperangan nuklear.

Generasi pertama prototaip sistem Ratnik dilaporkan telah diedarkan untuk beberapa unit tentera terpilih pada 2013 dan dilihat oleh The New York Times yang dipakai oleh unit Rusia yang tidak bertanda di Crimea sejurus selepas Moscow berhadapn krisis dengan bekas wilayah Ukraine pada 2014.

Pada Januari 2015, Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan penghantaran pertama sebanyak 50,000 kits untuk tahun itu, menurut The Moscow Times, dan, menjelang November 2016, RIA Novosti melaporkan bahawa semua unit tentera laut Rusia akan dilengkapi dengan sistem Ratnik, termasuk sistem peluru dan pelampung terkini.

THE MAIL ONLINE melaporka sut terkini Ratnik-3 itu direka bagi mempertingkatkan kekuatan dan stamina askar, perisai badan dan jam yang mampu melindungi askar daripada letupan nuklear sekali gus dapat memberi kelebihan kepada pasukan tentera dalam medan perang pada masa akan datang.

Kit pakaian berwarna gelap yang dikenali sebagai ‘Ratnik’ itu mempunyai topi keledar digital dengan gaya seperti Stormtrooper, lengkap dengan visor kaca berwarna dan skrin yang memaparkan maklumat sasaran.

Awal bulan ini, Ketua Turus Tentera Darat Rusia, Kolonel Jeneral Oleg Salyukov berkata, pasukan itu sedang menyiapkan kajian saintifik dalam mewujudkan reka bentuk sut tentera masa depan, Ratnik-3.

“Pelaksanaan projek akan membolehkan peningkatan prestasi seorang askar kepada 1.5 kali ganda dalam menyelesaikan pelbagai tugas,” katanya kepada akhbar Krasnaya Zvezda.

Salyukov berkata, berat keseluruhan sut itu akan dikurangkan kepada 30 peratus.

Menurut laporan, kit pakaian Ratnik mengandungi lima sistem utama termasuk sokongan hayat, arahan dan komunikasi, penglibatan, perlindungan dan subsistem penjimatan tenaga.

Sut itu direka bentuk untuk digunakan sepanjang masa dalam semua keadaan cuaca.

“Ratnik terdiri daripada 59 peralatan termasuk pelbagai jaket kalis peluru dan topi keledar, pakaian tempur, fon kepala dan kaca mata.

“Selain itu, kit Ratnik dilengkapi pelancar bom tangan, raifal tempur dan penembak hendap, peluru, pisau perang dan penglihatan yang menggabungkan imej optik dan haba,” katanya.

Awal tahun ini, sut setinggi 1.8 meter itu yang dicipta oleh Central Scientific Institute for Precision Machine Engineering dipamerkan di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan di Moscow.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Rusia sumbang Filipina 5,000 senapang Kalashnikov

MANILA 12 OKT: Rusia bakal menyerahkan kepada Filipina kira-kira 5,000 senapang Kalashnikov melalui perjanjian ditandatangani pada bulan ini selain berjuta-juta peluru dan berpuluh-puluh trak tentera.

Perkara demikian diumumkan Presiden Rodrigo Duterte berkenaan sumbangan kelengkapan pertahanan dari Rusia bagi menyokong usaha negara ini memerangi kumpulan pengganas Daesh.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ini akan diikuti dengan sumbangan lebih 6,000 senapang gempur dan 100 senapang penembak tepat dari China kepada negara itu.

Seorang pegawai kanan pertahanan Filipina memberitahu Reuters, senjata dari Rusia itu dijangka tiba di negara ini hujung bulan ini semasa kunjungan Menteri Pertahanan Rusia bagi menghadiri mesyuarat rantau ini.

Lima kapal perang Rusia dijangka tiba di Manila untuk menyerahkan kelengkapan pertahanan itu.

=EZY=

 

Categories
SUKANKINI

Panama cuti umum selepas layak ke Piala Dunia

PANAMA CITY 12 OKT: Presiden Panama, Juan Carlos Varela mengisytiharkan cuti kebangsaan bagi meraikan kejayaan negara dari Amerika Tengah itu layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya.

“Ia adalah hari bersejarah buat negara. Esok (Khamis) akan menjadi hari cuti kebangsaan untuk sektor awam dan swasta,” kata Varela menerusi Twitter, pagi tadi, lapor AFP.

Panama bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Costa Rica, 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia, semalam dan menempah tiket ke Russia 2018.

Kemenangan itu meletakkan mereka di tangga ketiga kelayakan Zon CONCACAF, di belakang Mexico serta Costa Rica dan secara sensasi menendang keluar Amerika Syarikat daripada kejohanan itu.

Ribuan rakyat Panama meraikan kejayaan itu di ibu kota, Panama City dengan membunyikan hon kereta sebagai simbolik detik bersejarah berkenaan.

“Hari ini semua planet bersatu, anda tidak boleh hilang rasa percaya,” kata Varela di padang Estadio Rommel Fernandez selepas perlawanan.

Walaupun ia bukan permainan kebangsaan Panama, namun kini bola sepak semakin mengejar kedudukan besbol dan tinju sebagai sukan pilihan negara itu.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Arab Saudi beli peluru berpandu S-400, senjata dari Rusia

GLOBAL 7 OKT: Arab Saudi kini beralih kepada Rusia sebagai pembekal sistem persenjataannya bagi memperkukuh pertahanan negara itu apabila selama ini turut menjadi pengimport senjata daripada Amerika Syarikat.

Agensi Berita Antarabangsa AL-JAZEERA melaporkan Aras Saudi membeli sistem pertahanan udara iaitu peluru berpandu anti pesawat S-400, sistem peluru berpandu anti kereta kebal Kornet dan juga pelancar roket berbilang laras yang diumumkan ketika lawatan pertama kali Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Rusia.

Perjanjian awal dimeterai di luar acara lawatan bersejarah Raja Salman yang bertujuan mengukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam bidang pelaburan dan usaha sama.

Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa perjanjian itu secara tidak langsung dilihat memainkan peranan pembangunan dan kemajuan sistem ketenteraan di negara ini.

Delegasi Arab Saudi ke Moscow turut menyaksikan persetujuan perjanjian pelaburan bersama melibatkan jumlah berbilion dolar, sekali gus mampu memacu pertumbuhan ekonomi Rusia yang kini berdepan masalah akibat kejatuhan harga minyak mentah dan sekatan dari negara-negara Barat.

S400 1Dalam pada itu, Presiden Vladimir Putin menyifatkan kunjungan delegasi Arab Saudi itu sebagai satu peristiwa bersejarah.

“Ini merupakan kunjungan kali pertama keluarga diraja Arab Saudi ke Rusia dan saya percaya lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Raja Salman dalam reaksinya pula berkata, Arab Saudi mahu mengukuhkan hubungan dengan Rusia dalam aspek keamanan dan keselamatan dengan hasrat untuk membangunkan ekonomi dunia.

Baginda turut memberitahu Putin bahawa Iran perlu berhenti campur tangan dalam konflik di Asia Barat.

“Kami menegaskan bahawa keselamatan serta kestabilan negara-negara Teluk dan Asia Barat adalah satu desakan untuk mencapai keamanan di Yemen.

“Situasi ini akan mendesak Iran untuk melepaskan campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan tindakan yang menyebabkan ketidakstabilan serantau,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL NASIONAL

19 pendaki Malaysia terkandas di Perkampungan Terskol, Rusia

PUTRAJAYA 3 SEPT: Kementerian Luar mengesahkan bahawa 19 rakyat Malaysia yang sedang dalam pendakian menuju ke puncak Gunung Elbrus, Rusia, terkandas ekoran banjir lumpur yang melanda Perkampungan Terskol, yang terletak berhampiran gunung itu, pada Jumaat.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata pendaki Malaysia yang terjejas akibat bencana itu dilaporkan selamat.

“Semua laluan darat di kawasan terjejas tidak boleh dilalui setakat ini.

“Kedutaan Malaysia di Moscow bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan pendaki terbabit,” menurut kenyataan itu.

lbrus_North_195Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang berada di sekitar kawasan terjejas supaya menghubungi kementerian berkenaan atau Kedutaan Malaysia di Moscow.

Mereka yang terjejas boleh menghubungi Kementerian Luar Malaysia di talian 03-8887 4570 atau menerusi e-mail di [email protected] atau Kedutaan Malaysia di Moscow di Mosfilmovskaya Ulitsa 50, 115127 Moscow or +7 495 419 9898 / +7 495 419 9899 / +7 905 7466 944 atau e-mail [email protected]

Wisma Putra berharap anggota keluarga akan bertenang sementara prosedur pemindahan dijalankan.

SUMBER: BERNAMA.

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Presiden Rusia: Siapa kuasai AI bakal kuasai dunia

MOSCOW 2 SEPT: Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata sesiapa yang mencapai kejayaan dalam membangunkan kecerdasan buatan (AI) akan mampu menguasai dunia.

Putin ketika mengadakan pertemuan dengan pelajar di negara itu, berkata, perkembangan arena kecerdasan buatan meningkatkan peluang dan ancaman besar yang sukar dijangka sekarang.

Artificial-IntelligenceBeliau memberi amaran bahawa sesiapa yang menjadi pemimpin dalam bidang ini akan menguasai dunia, lapor Agensi Berita Antarabangsa AP.

Malahan, pemimpin Rusia berkenaan bersedia untuk berkongsi pengetahuan mereka berkaitan kecerdesan buatan dengan negara-negara lain.

Putin turut meramalkan peperangan pada masa hadapan akan menggunakan dron dan apabila satu dron dimusnahkan oleh dron lain, ia tidak mempunyai pilihan lain selain menyerah diri.

=EZY=