Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Halimah : Bajet Umno-BN Terus Abai SAR

SHAH ALAM 5 OKT : Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Tinggi Negeri, Dr Halimah Ali kesal dengan Kerajaan Pusat yang dikatakan tidak adil dalam pengagihan Bajet 2013 terutama dalam bidang pendidikan melibatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Katanya, perlaksanaan itu menggambarkan Umno-BN mendiskriminasikan ibubapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka di peringkat sekolah rendah agama.

Beliau berkata, adalah menjadi hak setiap ibu bapa untuk memilih menghantar anaknya ke mana-mana jenis sekolah yang difikirkan perlu.

“Apa bezanya hak mereka ini? Bukankah keperluan mereka juga diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia,” soalnya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, berdasarkan Petikan Artikel Perlembagaan Malaysia (Bahagian 2 Hak Asasi) Perkara 12 berkenaan pendidikan, menyatakan tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir.

Tambah Dr Halimah, dalam pembentangan bajet itu, tidak menyatakan peruntukkan kewangan untuk institusi pendidikan Islam seperti elaun guru, latihan perguruan dan Sekolah Kafa seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Jika peruntukkan RM100 juta boleh diberikan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Mubaligh yang bukan diperingkat dasar, kenapa SAR tidak dapat?

“Sedangkan SABK bukanlah bantuan menyeluruh kepada sekolah agama kerana masih banyak sekolah agama yang tidak bersedia untuk mendaftar,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini, Sekolah Agama milik Kerajaan Negeri sebanyak 107 buah dengan bilangan guru 4,680 orang dan 62,929 pelajar.

Manakala, Kerajaan Negeri Selangor membelanjakan RM264 juta bagi tahun 2011.

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Task Force’ Untuk Kaji Peruntukan Tambahan Pembangunan Sekolah

KLANG, 29 OGOS : Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan jawatankuasa bertindak (task force) bagi mengkaji keperluan belanjawan tambahan untuk urusan pembangunan sekolah di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata belanjawan tambahan itu berbeza daripada peruntukan RM16 juta setahun yang diberikan Kerajaan Negeri kepada tiga jenis sekolah.

Beliau berkata, ia merujuk kepada sekolah agama rakyat (SAR), sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Kerajaan Negeri bersedia mewujudkan satu task force yang akan mencari jalan bagaimana untuk membuat belanjawan bagi menolong pihak sekolah dalam usaha menambah baik kemudahan sekolah.

“Peruntukan ini adalah berasingan daripada peruntukan sedia ada di mana ia hanya disumbangkan sebagai sebahagian daripada kos pembangunan sekolah itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Cina Pin Hua, di sini.

Bangunan baru setinggi lapan tingkat itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pusat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik auditorium, bilik multimedia, makmal serta bilik muzik yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini.

Manakala, bangunan asrama yang baru didirikan adalah untuk keselesaan dan kesempurnaan para pelajar di samping mewujudkan persekitaran yang kondunsif untuk mereka.

Asrama ini juga dapat menempatkan pelajar luar negeri Selangor dan dapat memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama belajar di sekolah itu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai isu penempatan pelajar Universiti Selangor (Unisel), Abdul Khalid memaklumkan pendaftaran pelajar berjalan lancar di mana dianggarkan kira-kira 1,000 pelajar sudah mendaftar.

Katanya lagi, perbincangan Unisel bersama pihak Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) juga masih diteruskan untuk mendapat penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

16 SAR dan SRJK(c) di Sri Muda Terima RM 446 Ribu

SHAH ALAM, 29 JUN : Sumbangan RM 170 ribu kepada Sekolah Menengah Islam (SMI) dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Ibnu Khaldun dari Selangor memberi makna besar bagi pembangunan kedua-dua sekolah berteraskan Islam itu.

Pengerusinya, Hamdan Mokhtar berkata, pihaknya berbesar hati menerima bantuan pendidikan itu buat pertama kali dan dana tersebut boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sekolah itu.

Hamdan mensasarkan pertambahan pelajar di kedua-dua sekolah itu sebanyak 400 hingga 500 orang bagi menjadikan populasi keseluruah lebih kurang 1,500 pelajar.

“Dengan peruntukan ini kita akan merancang pembangunan dengan penuh teliti untuk memanfaatkannya demi kepentingan anak-anak kita yang belajar di kedua-dua sekolah ini.

“Kita merancang membina 48 bilik kelas tambahan, kantin, dewan makan dan surau.

Ia bersesuaian dengan usia sekolah yang sudah lebih 20 tahun,” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor Kepada Sekolah-Sekolah DUN Sri Muda di SMI Ibnu Khaldun di sini hari ini.

Dalam majlis itu, SMI dan SRI Ibnu Khaldun masing-masing menerima sumbangan RM 100 ribu dan RM 70 ribu yang disampaikan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Shuhaimi turut menghulurkan sumbangan sama kepada 16 sekolah lain iaitu 14 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan jumlah keseluruhan RM 446 ribu.

Kesemua sekolah itu masing-masing menerima sumbangan dari RM 5 ribu hingga RM 100 ribu.

Shuhaimi berkata, bantuan itu adalah sebahagian dari dana RM 9 juta yang disediakan bagi pembangunan pendidikan di seluruh Selangor.

“Peruntukan RM 446 ribu disalurkan bagi 16 SAR dan dua SJKC bagi DUN Sri Muda bagi Fasa Pertama tahun ini.

Kita akan terus memberikan bantuan ini kepada semua sekolah yang lain dalam Fasa Kedua nanti yang dijangka akan bermula pada Julai depan.

“Kita berharap sekolah yang belum menerima bantuan ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkannya, ” katanya.

Categories
SELANGOR

RM 7.82 juta bagi SAR dan SJKS di Selangor

SEPANG, 18 MEI : Kerajaan Selangor memberikan bantuan pelajaran sebanyak RM4.83 juta kepada 180 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sebanyak RM2.99 juta kepada 93 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh Selangor.

Bantuan Pelajaran bagi tahun 2012 ini akan disalurkan melalui Pejabat ADUN dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat di kesemua 56 DUN Selangor.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, usaha ini adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk membela nasib sekolah-sekolah di bawah kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri juga berusaha meningkatkan kualiti dan prestasi SAR dengan menaikkan gaji guru serta menyediakan infrastruktur yang lebih selesa untuk para pelajar,” katanya ketika memberi ucapan di majlis dialog bersama rakyat di Dewan Orang Ramai Sepang pagi ini.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali menyarankan ADUN dan Penyelaras DUN menyampaikan maklumat berkenaan peruntukan itu kepada sekolah-sekolah dan membantu urusan permohonan.

?Pihak Adun dan Pusat Khidmat juga diminta untuk memantau sekolah-sekolah yang menerima bantuan pembangunan pendidikan daripada kerajaan negeri,? ujarnya ketika ditemui disini hari ini.

Bagi tahun 2011, katanya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan pendidikan sebanyak RM16 juta untuk SAR, RM6 juta untuk SJKC dan RM4 juta untuk SJKT.

Barisan exco yang turut hadir pagi ini adalah Dr. Ahmad Yunus Hairi, Dr. Yaakob Sapari, Dr. Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail, Iskandar A. Samad.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyampaikan Sijil Amanah Saham Bumiputera, dan Skim Mesra Usia Emas Fasa Kedua bagi kawasan DUN Sungai Pelek.