Categories
AGENSI SELANGOR

Polis nafi jalan masuk ke Petaling Jaya ditutup

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Polis menafikan laluan keluar dan masuk ke Petaling Jaya, Selangor di beberapa lokasi ditutup kepada lalu lintas seperti yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata polis hanya melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di tiga lokasi di daerah berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

“SJR didirikan di plaza tol Subang, plaza tol Sungai Buloh dan plaza tol Damansara membabitkan laluan keluar dan masuk, dari dan ke Petaling Jaya.

“Gambar yang dimuat naik ke laman Facebook berkenaan diambil dari akaun Facebook kami namun ia tidak memuat naik status menyatakan ia adalah SJR dan bukan penutupan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Status yang tular dan mendapat lebih 1,000 perkongsian itu mendakwa semua laluan masuk dan keluar ke Petaling Jaya melalui Damansara, Ara Damansara, Subang, Sungai Buloh, Kota Damansara dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) ditutup kecuali bagi yang mempunyai permit polis atau surat majikan.

Nik Ezanee berkata orang ramai dinasihatkan terus mematuhi PKPB agar rantaian wabak Covid-19 yang belum menunjukkan penurunan jumlah kes dapat diputuskan dan memperlahankan kenderaan di SJR demi keselamatan petugas dan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai juga diminta mematuhi jumlah individu di dalam kenderaan seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Tiga jalan di Kota Damansara dibuka semula

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Tiga jalan di Kota Damansara yang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibuka semula untuk kemudahan orang ramai.

Jalan yang akan dibuka kembali itu adalah Jalan Persiaran Mahogani, Seksyen 9; Jalan Persiaran Jati, Seksyen 8 serta Jalan Persiaran Sungai Buloh dan pembukaannya berkuat kuasa malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pembukaan semula jalan ini dibuat bagi memberi kemudahan kepada rakyat dan juga petugas barisan hadapan yang bekerja di lapangan.

“Tindakan ini dilakukan bertujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, pengaturan semula pergerakan petugas barisan hadapan untuk tugas sekatan jalan raya (SJR) dan juga tugas pemantauan di kawasan tumpuan ramai seperti di pasar raya, pasar, pusat komersial dan riadah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Nik Ezanee berkata polis akan menggerakkan sumber manusia sedia ada ke kawasan PKPB untuk melakukan tugasan seperti rondaan Aberdeen MPV, Op Cantas serta tugas lain yang diperlukan.

Sebelum ini, kerajaan telah mengisytiharkan bahawa PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disebabkan peningkatan kes Covid-19 saban hari.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Laluan masuk ke Shah Alam sesak awal pagi

SHAH ALAM, 14 OKT: Dua laluan masuk ke Shah Alam dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) mengalami kesesakan teruk pagi tadi susulan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) oleh polis bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati kesesakan trafik hampir satu kilometer di kedua-dua susur masuk di Persimpangan Hicom dari Kesas menuju Shah Alam itu susulan pelaksanaan SJR di Persiaran Kuala Selangor.

Jurucakap Kesas ketika dihubungi berkata, kesesakan trafik berkenaan bagaimanapun kembali pulih setakat pukul 10.30 pagi tadi.

Pada masa sama, kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di laluan keluar dari Plaza Tol Setia Alam menghala Subang berikutan SJR yang dilaksanakan di kawasan berkenaan namun ia kembali pulih kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Pada Isnin lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari bermula hari ini sehingga 27 Okt, berikutan peningkatan kes Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita bertindak agresif semasa ditahan dalam Op Mabuk

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Seorang wanita bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama kepada polis semasa ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) Op Mabuk di Selangor malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari’at berkata wanita berkenaan merupakan seorang daripada tujuh individu yang ditahan semasa operasi tersebut.

“Enam sekatan jalan raya telah diadakan termasuk di Subang Jaya, Klang dan Ampang dan kesemua suspek di bawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika meninjau SJR di Lebuh Raya Kajang SILK dekat sini, malam tadi.

Menurutnya, enam lelaki tempatan yang ditahan itu akan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan manakala wanita tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis ubah sekatan jalan di Petaling Jaya tengah malam ini

SHAH ALAM, 3 MEI: Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya akan mengubah lokasi sekatan jalan raya (SJR) serta membuka semula jalan yang ditutup di sekitar daerah itu bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata langkah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok bagi mengelak kesesakan.

“Polis akan menggerakkan sumber manusia sedia ada ke penugasan PKPB seperti rondaan, Op Cantas serta tugasan lain untuk pencegahan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota sedia ada akan digerakkan ke lokasi tumpuan awam seperti pasar raya, pasar, pusat komersial dan riadah.

Berikut ialah lokasi SJR yang dihentikan / ditutup:
– Tol Lebuhraya Baru Pantai (NPE) PJS 2
– Tol Subang
– Tol Sungai Buloh
– Tol Kota Damansara
– Kilometer 34.1 Lebuhraya Persekutuan (arah Klang)
– Persiaran Surian
– Royal Chulan (menghala keluar)
– Royal Chulan (menghala masuk)

Lokasi SJR yang baharu:
– Jalan Klang Lama, Batu 8 1/2 (berhadapan Wisma Ann Joo)

Penutupan jalan yang masih diteruskan:
– Jalan PJS 5/46, Jalan Gasing
– Jalan Persiaran Mahogani (Seksyen 9)
– Jalan Persiaran Jati (Seksyen 8) Kota Damansara
– Jalan Persiaran Sungai Buloh (TSB), Kota Damansara

Penutupan jalan yang tidak lagi beroperasi:
– Lampu isyarat PJU 8/1 Damansara
– LDP susur keluar Mutiara Damansara

Laluan alternatif:
– Jalan Persiaran Kenanga – Tol Kota Damansara
– Jalan Persiaran Surian – Palm Spring Kota Damansara
– Jalan Persiaran Tropicana – Casa Tropicana