Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Laluan masuk ke Shah Alam sesak awal pagi

SHAH ALAM, 14 OKT: Dua laluan masuk ke Shah Alam dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) mengalami kesesakan teruk pagi tadi susulan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) oleh polis bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati kesesakan trafik hampir satu kilometer di kedua-dua susur masuk di Persimpangan Hicom dari Kesas menuju Shah Alam itu susulan pelaksanaan SJR di Persiaran Kuala Selangor.

Jurucakap Kesas ketika dihubungi berkata, kesesakan trafik berkenaan bagaimanapun kembali pulih setakat pukul 10.30 pagi tadi.

Pada masa sama, kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di laluan keluar dari Plaza Tol Setia Alam menghala Subang berikutan SJR yang dilaksanakan di kawasan berkenaan namun ia kembali pulih kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Pada Isnin lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari bermula hari ini sehingga 27 Okt, berikutan peningkatan kes Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Diskaun tol Aidilfitri: LDP 30 peratus, KESAS 10 peratus

PETALING JAYA, 28 MEI: Diskaun tol sebanyak 30 peratus diberikan kepada setiap pengguna kenderaan Kelas 1 (satu) Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), manakala, 10 peratus untuk pengguna jenis kenderaan sama bagi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sempena Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) Sazally Saidi berkata, potongan harga tol itu bermula pukul 12 tengah malam sehingga pukul 11.59 malam pada hari pertama Syawal yang dijangka disambut 5 Jun ini.

Kenderaan Kelas 1 merupakan kenderaan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi.

“Dianggarkan hampir 516,000 pengguna LDP dan KESAS akan menerima manfaat daripada jumlah RM256,000 subsidi tol yang diberikan pada Aidilfitri tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra dan Iftar Ramadhan LITRAK dan SPRINT 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Aziz Abdullah.

Sazally berkata, sejak 2010 hingga 2018, LITRAK telah memberikan lebih RM14 juta subsidi tol kepada jutaan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan.

“Kami (LITRAK) berharap menerusi langkah kali ini, kita dapat bersama-sama dengan pengguna lebuh raya untuk berkongsi kegembiraan menyambut dan menyemarakkan Syawal,” tambahnya.

Sementara itu, pada majlis itu, LITRAK menyantuni dan memberi sumbangan duit raya serta cenderahati kepada 50 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara.

LITRAK turut mengagihkan sumbangan berbentuk keperluan barangan masakan antaranya ketupat segera, kepada 30 keluarga yang terdiri daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sekitar jajaran LDP.

Dalam pada itu, LITRAK turut melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya LDP 2019 untuk penunggang motosikal dan seramai 30 pelajar Pusat Giat Mara, Puchong telah melafazkan ikrar janji untuk mematuhi undang-undang jalan raya.

– BERNAMA

5 lebuhraya laksana kutipan tol elektronik sepenuhnya mulai 2 Mac


5 lebuhraya laksana kutipan tol elektronik sepenuhnya mulai 2 Mac melibatkan KESAS, GCE, SPRINT, LATAR dan LEKAS

Categories
SELANGOR

Hannah, KESAS tinjau keretakan batas bunyi Lebuhraya Shah Alam

SUBANG JAYA: Adun Subang Jaya Hannah Yeoh bersama-sama wakil daripada Konsortium Expressway Shah Alam Selangor Sdn Bhd (Kesas) turun padang untuk melihat retakan pada batasan bunyi sepanjang Lebuhraya Shah Alam dan UEP Subang Jaya.

Hannah menggesa Kesas untuk mengkaji semula keberkesanan dan ketinggian batasan bunyi ekoran pertambahan lalulintas di lebuhraya itu.

20140929_102816“Saya menerima aduan daripada penduduk USJ 2 dan 3 berhubung keretakan itu dan telah menghantar surat dengan kadar segera kepada Kesas pada 25 September 2014 memaklumkan perkara itu. Kesas menjawab dengan pantas dan membawa kepada tinjauan hari ini,” jelas Hannah.

Turut bersama adalah wakil penduduk USJ 2 RA, Har Yin Geong dan USJ 3/1 RA, Andy Lam.

Hannah berterima kasih diatas kerjasama yang ditunjukkan dan berharap tindakan diambil dengan segera.

HM

Categories
SELANGOR

Naik Tol, Kerajaan BN tidak prihatin bebanan rakyat

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 4 JAN : Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ikhlas dan prihatin terhadap rakyat di negara ini ekoran bertindak membeli semua pegangan saham dalam Kesas Holdings Bhd, seterusnya menjadikan Gamuda mempunyai saham majoriti 70 peratus.

Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya mengambil tindakan menghalang PNB yang dikuasai Kerajaan Pusat daripada tidak bersetuju untuk menjual saham kepada Gamuda itu.

ng suee lim2Katanya,namun, BN tidak langsung menghiraukan kenaikan harga tol yang akan membebankan rakyat itu.

“Sebagai sebuah Kerajaan Pusat yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat dengan hanya slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, beliau (Najib) sepatutnya mengambil tindakan menghalang.

“Walaupun kita sedia maklum ini adalah transaksi yang membabitkan keuntungan perniagaan namun jika kerajaan betul-betul ikhlas dan prihatin terhadap rakyat, maka kerajaan wajib menghalang dan menolak kerana ia akan menyebabkan kenaikan kadar yang membebankan rakyat,” katanya dalam sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Selangor Kini.

Suee Lim yang juga Adun Sekinchan berkata beliau kesal dengan tindakan PNB yang kurang peka terhadap keluhan rakyat ketika ini.

plaza tol“Jangan biarkan rakyat terus dibelenggu dengan kos saraan yang semakin hari semakin tinggi angkara kenaikan kadar tol seterusnya membiarkan syarikat konsesi mengaut keuntungan yang melampau,” katanya.

Sebelum ini, Gamuda turut menyemak semula pertimbangan pembelian berhubung dengan tawaran diterima oleh Amcorp Properties Bhd pada 18 Dis 2013 dari RM250 million kepada RM280 million.

Pada 18 Dis, 2013, Gamuda menambah kepentingannya dalam Kesas daripada 30 peratus kepada 50 peratus berikutan penerimaan daripada Amcorp untuk melupuskan semua sahamnya dalam Kesas.

Baru-baru ini, PNB bersetuju untuk menjual keseluruhan pegangan 20 peratus kepada Gamuda dan menjadikan komposisi sahamnya 70 peratus dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak 30 peratus.

Hal itu, menunjukkan PKNS akan memiliki saham minoriti, sekali gus mengurangkan kuasa untuk menghalang kenaikan kadar tol oleh KESAS.

Menurut laporan Maybank Investment Bank Research November 2013, KESAS mencatatkan peningkatan kenderaan lima peratus setiap tahun membabitkan 490,000 penguna setiap minggu dengan menyumbangkan keutungan berganda 121 peratus antara tahun 2008 hingga 2012.

Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat Selangor akan menggunakan pegangan saham di lebuh raya KESAS, Sprint dan Damansara – Puchong untuk menolak kenaikan tol seperti yang diumumkan Barisan Nasional.

EZY

Categories
SELANGOR

PNB perlu batal hasrat jual saham KESAS kepada GAMUDA

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 3 JAN: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) mendesak supaya Permodalan Nasional Berhad (PNB) membatalkan hasrat menjual pegangan saham Kesas Holding kepada GAMUDA bagi menghalang kenaikan tol di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Ketuanya, Syarhan Humaizi Halim, berkata selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bertindak untuk tidak menandatangani perjanjian jual beli itu demi memastikan hak dan kebajikan rakyat terpelihara.

imageBeliau berkata, jika kerajaan pusat ikhlas untuk menjaga kebajikan rakyat, maka tindakan PNB itu perlu dihalang kerana ia dilihat ‘green light’ kepada syarikat konsesi menaikkan kadar tol sewenang-wenangnya.

“PNB bertindak menerima tawaran daripada GAMUDA itu sebagai cubaan mengaut keuntungan tanpa memikirkan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat.

“Kami berpandangan kerajaan pusat melalui PNB harus bekerjasama dengan kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghalang kenaikan harga tol.

“Jika PNB di pihak PKNS, maka pegangan 50 peratus saham mereka mampu menghalang kenaikan harga. Jika PNB jual, ini menjadikan GAMUDA memiliki 70 peratus saham berbanding PKNS 30 peratus,” katanya dalam laman Facebook, di sini, hari ini.

Syarhan berkata, tindakan PNB itu menunjukkan kerajaan pusat tidak prihatin dengan masalah peningkatan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat dan lebih mementingkan keuntungan kroni.

“Keperitan rakyat khususnya pengguna lebuh raya bakal menjadi lebih parah lagi selepas GAMUDA memuktamadkan tawaran pembelian pegangan lain dalam Kesas Holding Bhd,” katanya.

Baru-baru ini, Amcorp Properties Bhd dan PNB bersetuju untuk menjual keseluruhan pegangan 20 peratus masing-masing kepada GAMUDA dan menjadikan komposisi sahamnya 70 peratus dan PKNS 30 peratus.

Hal itu, menunjukkan PKNS akan memiliki saham minoriti, sekali gus mengurangkan kuasa untuk menghalang kenaikan kadar tol oleh KESAS.

Menurut laporan Maybank Investment Bank Research November 2013, KESAS mencatatkan peningkatan kenderaan lima peratus setiap tahun membabitkan 490,000 penguna setiap minggu dengan menyumbangkan keutungan berganda 121 peratus antara tahun 2008 hingga 2012.

Sebelum ini, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat Selangor akan menggunakan pegangan saham di lebuh raya KESAS, Sprint dan Damansara-Puchong untuk menolak kenaikan tol seperti yang diumumkan Barisan Nasional.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Turun Harga Tol KESAS, Gimik Terbaru Politik Umno-BN

TOL LEBUHRAYA KESAS 01

SHAH ALAM, 16 JAN : Pengumuman penurunan harga tol bagi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) merupakan satu lagi gimik kerajaan Umno-BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi mengaburi mata rakyat.

Penurunan harga tol didakwa tiada jaminan muktamad daripada kerajaan Umno-BN ia tidak akan dinaikkan jika mereka diberikan mandat semula pada PRU-13 nanti.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, Kerajaan Pusat didesak memansuhkan tol itu dan juga ditempat lain dan bukannya hanya menurunkan harga tol yang kadarnya tidak seberapa.

“Sebelum ini Umno-BN mengatakan sekiranya diturunkan harga tol maka kerajaan akan muflis dengan menyatakan kerajaan tidak mampu untuk membayar pampasan kepada konsesi.

“Tetapi untuk penurunan harga tol di Kesas ini maka bagaimana kerajaan boleh membayar pampasan ke syarikat konsesi.

“Tindakan Umno-BN menyerlahkan mereka semakin terdesak yang hanya untuk mengumpan undi selepas berlakunya Himpunan Kebangkitan Rakyat,” kata Azmizam ketika dihubungi TVSelangor.

Jelas Azmizam, Pakatan Rakyat (PR) komited untuk memansuhkan tol seperti yang termaktub dalam Buku Jingga bagi meringankan bebanan rakyat.

Sebelum ini, rakyat membuat demonstrasi mendesak agar Tol Lebuhraya Persekutuan di Batu 3 di Shah Alam dan Sungai Rasau di Klang dimansuhkan dengan alasan ia membebankan rakyat dan tidak lagi relevan.

Tambah beliau, kini berlaku pengurangan lorong-lorong tol tunai dengan pertambahan lorong untuk ‘Touch N Go’ dan ‘Smarttag’ di mana rakyat perlu membelinya pada harga tertentu terlebih dahulu.

“Ini rakyat yang perlu bayar dulu seperti membeli kad tersebut pada harga RM100 yang belum digunakan lagi.

“Dan ini salahsatu cara baru kerajaan Umno-BN mengambil duit rakyat dahulu dengan menyimpannya yang mana rakyat belum menggunakannya lagi untuk membayar tol itu,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kadar tol di Lebuh raya Shah Alam (Kesas) diturunkan antara 10 sen dan 40 sen.

Kadar tol untuk Kelas 1 iaitu bagi kereta biasa diturunkan sebanyak 20 sen iaitu dari RM2.20 kepada RM2.

Bagi kenderaan Kelas 2 iaitu dua gandar atau enam tayar (kecuali bas) akan menikmati pengurangan tol sebanyak 30 sen (dari RM3.30 kepada RM3).

Manakala Kelas 3 iaitu kenderaan 3 gandar atau lebih sebanyak 40 sen (dari RM4.40 kepada RM4), Kelas 4 iaitu teksi sebanyak 10 sen (dari RM1.10 kepada RM1) manakala Kelas 5 iaitu bas akan menikmati pengurangan 20 sen (dari RM1.70 kepada RM1.50).

Lebuhraya Kesas sepanjang 34.5 km itu adalah lebuh raya ekspres perbandaran yang menghubungkan antara Sri Petaling di Kuala Lumpur dan Pandamaran di Klang.

Categories
SELANGOR

Hannah : Minta JKR Jelas Siapa Bertanggungjawab Selenggara Jejambat Banjir

SUBANG JAYA 18 OKT : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh menuntut Kementerian Kerja Raya untuk menjelaskan kepada umum status projek Subang-Kelana Jaya Link yang mula beroperasi sejak Jun 2009.

Desakan itu dibuat beliau ekoran kejadian banjir di Jejambat Jalan Kemajuan Subang dua hari lalu sehingga menyebabkan sebuah kereta terperangkap.

Hannah memberitahu, respon daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menyatakan lebuhraya yang menelan kos RM 315.46 juta itu masih belum diserahkan kepada pihak JKR Pusat walaupun tempoh liabiliti kecacatan sudah tamat pada 30 Jun 2011.

Tambah beliau, kontraktor lebuhraya tersebut, Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) juga diberi tempoh sehingga 15 Oktober 2011 untuk melakukan pembaikan beberapa kecacatan.

“Namun difahamkan, JKR masih tidak mengambil alih laluan berkenaan, kenapa (JKR tidak mengambil alih) dan kita juga kini dalam proses mendapatkan senarai kecacatan yang dinyatakan JKR kepada pihak AZRB sebelum ini.

“Kita minta supaya JKR jelaskan beberapa perkara mengenai pihak yang bertanggungjawab menyelenggara laluan tersebut, adakah AZRB dan adakah bayaran penuh dilakukan kepada mereka,” ujar beliau dalam sidang media di pejabatnya di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Hannah tidak menolak kemungkinan masalah banjir di jejambat tempoh hari berpunca daripada laluan air yang tersumbat.

“Kali ini dengan banjir di jejambat, ia sememangnya tidak harus terjadi dan sebab itulah kita perlu tahu pihak yang bertanggungjawab atas laluan ini,” tegas beliau.

Subang-Kelana Jaya Link merupakan lebuhraya bertingkat tertinggi di Subang yang menghubungkan Subang dengan Sultan Abdul Aziz Shah Airport Highway, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Ia dibina pada tahun 2005 oleh JKR dengan kontraktor utamanya, AZRB dan mula dibuka pada laluan umum pada 2009.