Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPR perlu RM1.2 bilion jika PRU mengejut dalam tempoh Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu sebanyak RM1.2 bilion diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika pilihan raya umum mengejut diadakan dalam tempoh penularan Covid-19 sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata jumlah itu adalah anggaran untuk melaksanakan proses pilihan raya dengan mengambil kira tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

“SPR memaklumkan sekiranya kerajaan adakan pilihan raya snap (mengejut) untuk seluruh negara pada masa ini, pasca-Covid-19, dianggarkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion diperlukan,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di sini.

Beliau turut memberitahu Dewan Rakyat, daripada RM15 juta yang diterima SPR bagi 2019, sebanyak RM12,946,353.50 dibelanjakan untuk pelaksanaan lima pilihan raya kecil (PRK) iaitu PRK Parlimen Cameron Highlands, Parlimen Sandakan dan Parlimen Tanjung Piai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Rantau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ramlan Ibrahim letak jawatan sebagai ahli SPR

PUTRAJAYA, 1 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan peletakan jawatan Datuk Seri Ramlan Ibrahim sebagai ahli SPR berkuat kuasa semalam.

Menurut SPR, peletakan jawatan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“SPR mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai ahli SPR,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramlan, 63, dilantik menjadi ahli SPR pada Februari 2019 dan beliau juga adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR terima notis pembubaran DUN Sabah

PUTRAJAYA, 31 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima pemakluman rasmi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam, berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke-15.

Setiausahanya Ikmalrudin Ishak berkata berdasarkan Perkara 21 (4), Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

“Justeru, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ikmalrudin berkata tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: PRK DUN Slim 29 Ogos, penamaan 15 Ogos

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N58 Slim, Perak diadakan pada 29 Ogos.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut mengumumkan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula daripada hari perisytiharan calon-calon bertanding sehingga 11.59 malam 28 Ogos,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas mengenai urusan PRK itu, di sini hari ini.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket KEADILAN, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14.

Sebelas PRK yang diadakan sebelum ini ialah di DUN Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Sandakan, Parlimen Tanjung Piai, Parlimen Kimanis dan DUN Chini.

Azmi berkata Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2020 yang dikemas kini sehingga 16 Julai lepas akan digunakan bagi PRK DUN Slim dan akan mula dijual pada 5 Ogos.

Katanya daftar pemilih tersebut mengandungi 23,094 pengundi yang terdiri daripada 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih mulai 5 Ogos untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my) atau menghubungi talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Azmi berkata bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan mula dibuka hari ini dan ditutup pada 13 Ogos.

Pegawai Daerah Muallim Shamsul Ridzuan Idris dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN Slim dan beliau akan dibantu oleh empat orang penolong pegawai pengurus, katanya.

Azmi berkata SPR juga bersetuju menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang akan dianggotai oleh pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

“SPR akan menggunakan Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi,” katanya.

Azmi berkata seramai 689 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Slim manakala sebanyak 13 pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM4.6 juta,” katanya.

Menurut Azmi, seramai 391 pengundi kurang upaya dikenal pasti bagi PRK itu yang akan mengundi di saluran satu dan 10 saluran baharu ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai dalam satu saluran.

Azmi berkata satu garis panduan pencegahan Covid-19 yang ditambah baik selepas PRK DUN Chini akan dikuatkuasakan bagi memastikan setiap proses dalam urusan pilihan raya tersebut selari dengan langkah-langkah kawalan penyebaran pandemik Covid-19 sebagaimana yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan atau individu berkelayakan berminat menjadi pemerhati dalam proses PRK dari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya.

Permohonan menjadi pemerhati boleh dikemukakan kepada SPR mulai hari ini hingga 29 Julai melalui emel [email protected]. , katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Azizan Harun letak jawatan pengerusi SPR, Dr Azmi galas tugas

SHAH ALAM, 9 JULAI: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom akan menjalankan tugas Pengerusi SPR susulan peletakan jawatan Datuk Azhar Azizan Harun pada 29 Jun lalu.

Unit Komunikasi Korporat SPR memaklumkan Azmi menjalankan tugas itu sehingga pelantikan Pengerusi SPR baharu, selaras dengan Perkara 114 (7) Perlembagaan Persekutuan.

“SPR memaklumkan Datuk Azhar Azizan Harun meletak jawatan sebagai Pengerusi SPR berkuat kuasa pada 29 Jun lalu.

“Peletakan jawatan ini sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dimaklumkan melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, SPR merakamkan  penghargaan dan terima kasih kepada Azhar atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau.

Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar pengundi 18 tahun belum dilaksana – SPR

PUTRAJAYA, 7 JUN: Pendaftaran untuk pengundi 18 tahun masih belum dilaksanakan lagi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun berkata ini sekali gus menafikan maklumat yang tular di media sosial yang mengajak rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Pendaftaran pengundi 18 tahun akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah segala persiapan SPR diselesaikan termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur.

“Kesemua persiapan ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azhar berkata SPR dari semasa ke semasa akan mengeluarkan kenyataan media rasmi untuk sebarang perkembangan terkini dan menyeru kepada orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu kepada SPR melalui laman rasmi www.spr.gov.my atau Facebook rasmi SPR atau menghubungi talian 03-8892 7200 bagi mengelakkan penularan berita palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK DUN Chini, SPR dapatkan pandangan agensi terlibat

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan pandangan dan nasihat dalam menyusun tatacara Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini daripada agensi berkepentingan susulan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Agensi yang terbabit dalam libat urus itu ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan agensi berkenaan Jumaat lepas yang membincangkan beberapa perkara sekiranya tarikh PRK itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sudah tentu kalau hari mengundi ketika PKPB berkuat kuasa, maka tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut, menggunakan cecair pembasmi kuman, memeriksa suhu badan dan sebagainya akan dilakukan.

“Itu adalah langkah-langkah yang akan dibuat… SPR akan terus lakukan libat urus dengan pihak-pihak berkenaan sehinggalah tarikh PRK itu hampir dan waktu itu, kita akan muktamadkan tatacara PRK tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengenai keadaan DUN Chini yang ketika ini berada dalam Zon Hijau, Azhar berkata pihaknya akan mempertimbangkan banyak perkara berhubung keselamatan dan kesihatan dalam mengendalikan PRK kali ini.

Beliau berharap kawasan itu akan terus kekal sebagai zon hijau dan tiada sebarang jangkitan Covid-19 sehingga berakhirnya PRK.

“Kita tidak mahu zon hijau itu dicemarkan menjadi zon merah oleh kerana pilihan raya kecil,” katanya.

DUN Chini kosong berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, dari Barisan Nasional di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada Khamis 7 Mei.

Notis kekosongan DUN itu diserahkan Speaker DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad kepada SPR pada Jumaat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini, yang berada di bawah Parlimen Pekan, dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banci 2020: SPR-Jabatan Perangkaan jalin kerjasama strategik

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Perangkaan Malaysia dalam melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) bermula 7 Julai ini.

Foto Facebook MyCensus2020

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataaan hari ini berkata banci itu akan melalui proses modenisasi membabitkan pembangunan ‘Malaysia Statistical Address Register’ di bawah Sistem Populasi Census Bersepadu oleh Jabatan Perangkaan.

“Ia dilihat amat bermanfaat untuk negara dan membuka ruang serta peluang kepada penambahbaikan berterusan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Perkara itu, katanya dicapai hasil lawatan dan perbincangan bersama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada Khamis lalu, yang merupakan kesinambungan kepada usaha serta kerjasama baik antara kedua-dua pihak demi faedah dan kepentingan negara.

Azhar berkata SPR amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan bagi menjayakan pelaksanaan banci itu kerana ia merupakan aktiviti yang sangat penting dan signifikan untuk memberikan gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia.

Katanya, ia juga akan menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: Patuhi peraturan, etika kempen

KIMANIS, 3 JAN: Semua pihak diingatkan sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata aktiviti kempen seperti jamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan ataupun wang yang boleh mempengaruhi pengundi adalah salah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau turut mengingatkan sebarang tindakan atau pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihan secara bebas juga satu kesalahan di bawah akta sama.

Katanya ia termasuk tindakan atau pernyataan yang bertujuan atau cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum selain yang mengancam hendak menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi.

“(Selain itu) tindakan mengancam hendak mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan ataupun kerohanian ke atas pengundi.

“Tindakan atau pernyataan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai dia atau mana-mana orang akan menjadi seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata SPR juga mengingatkan calon atau parti yang diwakili supaya tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Segala arahan pihak berkuasa, terutama daripada SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi,” menurutnya.

Sementara itu, Azhar berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau keterangan mengenai pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau berkata segala perbuatan membabitkan amalan rasuah harus dilapor kepada SPRM, manakala bagi kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.

Beliau juga mengingatkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi.

“Ini termasuk melalui saluran media sosial. Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Kimanis: SPR hantar 29,663 kad pengundi

KOTA KINABALU, 31 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 29,663 pengundi, meliputi 29,654 pengundi biasa dan sembilan pengundi awal, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata ia merupakan usaha bagi menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada PRK Parlimen Kimanis yang telah ditetapkan pada 14 Januari bagi pengundian awal dan 18 Januari sebagai hari mengundi.

“Kad pengundi terbabit yang diedarkan bermula semalam (30 Disember), mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi.

“Pengundi yang menerima kad pengundi ini, tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR, untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih, kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata pada hari mengundi, pengundi diingatkan untuk membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diminta membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih, bagi memudahkan semakan.

Katanya pengundi yang tidak menerima kad pengundi, boleh membuat semakan berkaitan maklumat pengundian, di portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Turun had umur mengundi hadiah PAKATAN kepada belia

Oleh Hasnah Jusid dan Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Parlimen Malaysia mencatatkan sejarah tersendiri pada 2019 apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sebelum ini.

Peristiwa bersejarah dalam helaian politik dan sistem demokrasi negara itu menjadikan negara kini bersama-sama dengan hampir kesemua negara anggota ASEAN lain yang menetapkan had umur minimum mengundi kepada 18 tahun, kecuali Indonesia 17 tahun.

Selain Singapura, beberapa negara lain yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun adalah Kuwait, Lubnan, Oman, Cameroon, Samoa dan Tongga.

Usaha dipelopori kerajaan Pakatan Harapan yang terkandung dalam manifesto mereka itu juga turut menyaksikan kelulusan cadangan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menelusuri kronologi, pindaan perlembagaan itu pada mulanya dibentang untuk bacaan pertama pada 4 Julai oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman namun terpaksa ditarik balik pada 10 Julai bagi turut meminda perkara berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

Sehari selepas itu, ia dibentang semula untuk bacaan kali pertama dengan merangkumi tiga perkara itu. Permuafakatan semua anggota Dewan Rakyat tanpa mengira parti politik terserlah apabila rang undang-undang itu disokong 211 daripada 222 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan, iaitu menerima persetujuan lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada 16 Julai.

Selepas 10 hari pindaan itu diluluskan di Dewan Rakyat, ia turut diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai dengan majoriti dua pertiga undian

Dijangkakan, seramai 7.8 juta pengundi baharu yang berumur 18 tahun termasuk pengundi yang menggunakan pendaftaran pemilih secara automatik akan disertakan dalam daftar pemilih sehingga tahun 2023, dengan jumlah pengundi dianggar meningkat kepada sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Sebagai persediaan ke arah itu, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menubuhkan jawatankuasa petugas khas berhubung pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang akan bertindak menyelaraskan maklumat warganegara dan perkara lain yang berkaitan.

Badan pengurus pilihan raya itu menjangkakan semua persediaan berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira 18 hingga 24 bulan daripada kelulusan pindaan Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan itu pada 25 Julai lalu.

Sementara itu reformasi sistem pilihan raya tahun ini juga menyaksikan SPR melakukan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan bagi melancarkan proses penjalanan pilihan raya negara, antaranya melalui pendaftaran pemilih secara dalam talian melalui https://mysprdaftar.spr.gov.my/.

SPR juga melaksanakan inisiatif baharu dalam usaha menggalak dan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada beberapa pilihan raya kecil dengan memperkenalkan kad pengundi, mengandungi maklumat seperti pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi.

Sejajar dengan Undi 18, SPR turut mengambil langkah bagi persediaan menghadapi perkara itu dengan melakukan beberapa perkara antaranya kajian Pusat Daerah Mengundi (PDM) sama ada lokasi mengundi di sekolah atau dewan sedia ada masih dapat menampung jumlah pengundi yang akan meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Dalam membantu SPR menyebar maklumat tentang demokrasi dan pilihan raya, Akademi Pilihan Raya (APR) mererusi Program APR Associate Trainer (AAT) telah melatih dan melantik 187 orang mahasiswa dan mahasiswi bagi membantu SPR mengendalikan program pendidikan pengundi dan pendidikan sivik di kalangan pelajar sekolah.

Komitmen SPR untuk terus menambah baik sistem pilihan raya turut dibuktikan apabila pada April ia mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian kerjasama dengan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan melibatkan perkongsian kos sebanyak RM6.4 juta.

Melalui kerjasama itu, UNDP akan memberi bantuan dan khidmat rundingan teknikal kepada SPR khususnya dalam proses penambahbaikan daftar pemilih serta pembangunan kapasiti melalui program ‘Building Resources in Democracy, Governance and Elections’ (BRIDGE).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR terima 486 laporan kesalahan dalam sembilan kempen PRK

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 486 laporan kesalahan pilihan raya dalam sembilan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata daripada jumlah itu sebanyak 30 laporan polis dibuat oleh SPR dan ia masih lagi dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Antara kesalahan pilihan raya yang merekodkan bilangan tinggi adalah melibatkan kesalahan bahan kempen pilihan raya yang (statik), kedua, melibatkan ceramah atau taklimat atau syarahan dan ketiga kesalahan bahan kempen yang diedarkan (edaran).

“Manakala kesalahan pilihan raya yang direkodkan semasa hari mengundi ialah berkaitan pewujudan barung atau pondok panas, aktiviti merayu atau meraih undi dan kenderaan dengan logo parti yang memasuki zon larangan jarak 50 meter,” katanya pada sesi pertanyaan lisan.

Beliau menjawab soalan Senator Sopiah Sharif yang ingin tahu kesalahan pilihan raya yang dikesan sepanjang pilihan raya kecil sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara termasuk PRK Tanjung Piai di Johor.

Mohamed Hanipa berkata bagi kesalahan pilihan raya semasa PRK di Tanjung Piai, sebanyak 188 kesalahan direkodkan SPR yang mana kebanyakannya hampir sama dan berulang, antaranya kesalahan bahan kempen statik sebanyak 98 kes.

“Seterusnya kesalahan pada hari mengundi ialah berkaitan pewujudan barung atau pondok panas iaitu 31 kesalahan dan kesalahan aktiviti meraih atau merayu undi berdekatan dengan pusat mengundi dengan jumlah 41 kesalahan,” kata Mohamed Hanipa.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 41 laporan polis dan empat laporan SPRM direkodkan berkaitan PRK tersebut.

Kesemua laporan itu masih dalam tindakan siasatan kedua-dua agensi berkenaan.

-BERNAMA