Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat maklum SPR kerusi parlimen Gerik kosong

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi parlimen P054 Gerik, Perak susulan kematian penyandangnya Datuk Hasbullah Osman.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya tersebut bahawa ada kekosongan.

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 18 Nov 2020 kepada pengerusi SPR bahawa Yang Berhormat Datuk Hasbullah Osman, Ahli Parlimen Gerik, Perak telah meninggal dunia pada hari Isnin, 16 Nov 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pihak Parlimen, Azhar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang pada Isnin akibat serangan jantung.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM saran jangan adakan pilihan raya ketika ini

PUTRAJAYA, 27 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menyarankan agar tidak mengadakan sebarang pilihan raya buat masa ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya pilihan raya itu tidak dapat dielakkan, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mereka akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti kaedah berbeza untuk melaksanakan pilihan raya.

“(Pertama) tidak boleh rentas sempadan, tiada rentas daerah dan tidak boleh balik kampung untuk pilihan raya. Kedua, tidak dibenarkan perhimpunan dan ketiga, tiada lawatan rumah ke rumah. Jadi ini adalah tiga isu utama yang kami perlu bincangkan dengan SPR sama ada kita boleh laksanakan undi pos dan sebagainya. Kami akan terus berbincang dengan SPR untuk memperbaiki keadaan.

“Kami hanya boleh memberi cadangan. Jika ia tidak dapat dielakkan, pilihan raya perlu dilakukan, di bawah Perlembagaan, maka kita perlu meneliti SOP (tatacara operasi piawai) bagaimana kita boleh menjalankan pilihan raya dan meminimumkan jangkitan.

“Walaupun SOP itu ada, tetapi apa yang lebih penting adalah pematuhan SOP. Saya rasa kita telah melihat dan mempelajari dari Sabah (pilihan raya). Kita harap kita tidak perlu ulangi konsekuens daripada pilihan raya ini di negeri lain,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan harian Covid-19 di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan berbincang dengan SPR mengenai SOP yang lebih ketat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang bakal diadakan 5 Disember ini, bagi menjamin kesihatan penduduk yang akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil itu.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pilihan raya kerana ia terletak di bawah bidang kuasa SPR.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga turut menasihatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang merancang untuk membantu mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19, berbuat demikian di bawah kelolaan KKM.

Beliau berkata ini akan memastikan semua peserta akan diberi latihan asas seperti kawalan jangkitan serta penyelarasan dari segi lokasi yang hendak dituju dan apa yang perlu dilakukan, justeru kedua-dua pihak saling melengkapi.

“Ada dua jenis NGO. Satu yang pergi sendiri tanpa memaklumkan kepada KKM, tetapi apa yang merisaukan kami, mereka akan dijangkiti terutama NGO yang tidak mempunyai pengalaman dari segi kawalan jangkitan. Niat itu bagus tetapi kita juga perlu melindungi NGO.

“Lihatlah barisan hadapan kita, mereka juga turut dijangkiti apatah lagi NGO yang turun di lapangan. Kita juga sudah mempunyai beberapa NGO yang telah mewujudkan kluster, yang balik dari Sabah, sudah ada kluster baharu. Di Selangor contohnya, segelintir petugas kami juga dijangkiti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Batu Sapi mula 23 Nov, undi 5 Dis – SPR

PUTRAJAYA, 13 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi pada 5 Disember.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan PRK Batu Sapi dalam sidang media di Menara SPR di sini hari ini, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

PRK Batu Sapi perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Oktober lepas dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Liew yang mewakili Parti Warisan Sabah berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 4,619 undi dalam pertandingan empat penjuru.

PRK Batu Sapi merupakan PRK ke-13 selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018.

Selain 12 PRK sebelum ini, turut diadakan selepas PRU-14 ialah Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan lepas. Batu Sapi terletak dalam daerah Sandakan di Sabah.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah berkuat kuasa hari ini sehingga 26 Okt ini.

Sebelum ini, Abdul Ghani dilaporkan berkata PRK Batu Sapi perlu dijalankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan hanya boleh ditangguhkan sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat maklum SPR kerusi Parlimen Batu Sapi kosong

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P. 185 Batu Sapi, Sabah berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya itu bahawa ada kekosongan.

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 6 Oktober 2020 kepada Pengerusi SPR bahawa Yang Berhormat Datuk Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Batu Sapi, Sabah telah meninggal dunia pada hari Jumaat, 2 Oktober 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Liew, 60, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: 447 calon disahkan bertanding 73 DUN

KOTA KINABALU, 12 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 447 kertas pencalonan untuk bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini selepas tempoh penamaan berakhir  jam 10 pagi tadi.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata daripada jumlah itu 404 calon adalah lelaki manakala 43 lagi calon wanita.

Beliau berkata daripada 447 calon itu, seramai 73 adalah daripada Parti Cinta Sabah (PCS), diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) (53), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) (47), Parti Liberal Demokratik (LDP) (46), Barisan Nasional (BN) (41), Perikatan Nasional (PN) (29), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (23) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (22).

“Selain itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebanyak 12 calon, KEADILAN (tujuh), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) (lima), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (dua) dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan).

“Sepanjang tempoh penamaan calon, hanya terdapat satu kertas penamaan telah ditolak atas sebab calon tidak layak bertanding kerana telah diisytihar bankrap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata seramai 56 calon Bebas turut disahkan bertanding pada PRN Sabah.

Beliau berkata DUN Bengkoka, menyaksikan calon terbanyak bertanding iaitu 11 penjuru diikuti Inanam dengan pertandingan 10 penjuru.

“Sebanyak 26 DUN akan menyaksikan pertandingan enam penjuru, 15 DUN (lima penjuru) dan 13 DUN (tujuh penjuru).

“Selain itu, enam DUN (lapan penjuru), lima DUN (empat penjuru) dan tiga DUN (tiga penjuru),” katanya.

Beliau berkata calon termuda pada PRN Sabah kali ini berusia 22 tahun yang bertanding di Tandek, manakala calon tertua berumur 75 tahun bertanding di DUN Bugaya.

“Kita menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRN Sabah kali ini boleh mencecah kira-kira 75 peratus dan keputusan pengiraan undi dijangka boleh diselesaikan sebelum pukul 12 malam 26 September ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

4.2 juta rakyat belum daftar pemilih, usaha perlu dipergiat

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Seramai 4.2 juta penduduk di negara ini yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya.

Beliau berkata angka itu mewakili 22 peratus daripada jumlah keseluruhan warga Malaysia yang layak mengundi ketika ini.

“Kita hadapi satu masalah yang memerlukan semua pihak memainkan peranan bersama kerana masih terdapat 4.2 juta rakyat negara ini yang berusia 21 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai pengundi.

“Jumlah ini tidak bagus untuk perkembangan daftar pemilih. Ketika ini kita mempunyai pengundi berusia 21 tahun ke atas lebih kurang 15 juta orang dan kalau kita laksanakan sistem undi 18 tahun, kita akan menambah jumlah pengundi antara enam hingga tujuh juta,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ismail Yusop yang bertanyakan langkah kerajaan dalam memperkasakan pengundi baharu sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun.

Shabudin berkata tanggungjawab untuk menyedarkan mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi tidak harus diletakkan di bahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata, sebaliknya perlu digalas bersama semua pihak seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik.

Katanya di pihak kerajaan sendiri khususnya SPR, pelbagai kempen dan program telah dilaksanakan termasuk program pendaftaran secara dalam talian menerusi https://mysprdaftar.spr.gov.my yang dilancarkan pada 18 Julai tahun lepas yang mendapat sambutan dalam kalangan pengundi muda khasnya.

Terdahulu, menjawab soalan Ismail yang ingin tahu persediaan yang telah dan akan dilakukan kerajaan terhadap pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun, Shabudin berkata SPR kini dalam persiapan melaksanakan kelayakan undi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan pindaan Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan Parlimen sebelum ini.

Menurutnya, persiapan itu meliputi pindaan pada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2001 dan undang-undang yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dan penyediaan infrastruktur bagi pelaksanaan kedua-dua perkara itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Slim: 41 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari

TANJUNG MALIM, 29 OGOS: Sebanyak 41 peratus daripada 22,749 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian yang bermula tepat jam 8 pagi berlangsung di 12 pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminuddin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

Sepanjang proses pengundian yang akan berakhir pada 5.30 petang ini, pematuhan garis panduan pencegahan Covid-19 dikuatkuasakan seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru S. Santharasekaran.

SPR menyasarkan 85 peratus pengundi keluar mengundi hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 600 petugas SPR kendali PRK Slim esok

TANJUNG MALIM, 28 OGOS: Seramai 689 petugas dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok, yang melibatkan 12 pusat mengundi dan 54 saluran, kata Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Pusat mengundi tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

Abdul Ghani berkata pihaknya berharap keputusan PRK itu dapat diketahui sebelum 9 malam sekiranya tiada bantahan dan gangguan.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 85 peratus daripada 22,749 pengundi biasa keluar mengundi esok, berbanding sasaran 70 peratus sebelum ini dengan mengikut peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Ini (patuh SOP) supaya keselamatan diri dan keluarga terjamin kerana kita masih berada dalam musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kita takut nanti pengundi apabila pulang, membawa masalah kepada keluarga masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat perjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abdul Ghani turut mengingatkan para pengundi supaya mematuhi peraturan seperti tidak berpakaian yang melambangkan mana-mana parti politik kerana boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi serta dikenakan tindakan.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S. Santharasekaran.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Sejumlah 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan mengingatkan semua parti atau calon bertanding, mereka dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi.

“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,’’ katanya menjelaskan tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: SPR ambil serius perihal norma baharu

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Norma baharu dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) adalah antara keutamaan dan mesti diambil serius oleh semua pihak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaa Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata penambahbaikkan terhadap SOP pengendalian pilihan raya dalam situasi Covid-19 akan dilakukan berasaskan keadaan semasa di Sabah yang menyaksikan pilihan raya negeri ke-16 melibatkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Berbekal pengalaman mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Pahang pada awal Julai dan Slim, Perak pada 29 Ogos sewaktu negara berdepan wabak Covid-19, beliau berkata SPR giat melakukan persiapan bagi mengendalikan pilihan raya mengejut Sabah dengan memastikan protokol kesihatan dan keselamatan bagi proses pilihan raya itu berjalan lancar.

“Di Sabah mungkin berbeza… hari penamaan calon belum tiba lagi dan kita tiada kuasa lagi ketika ini. Apabila kempen bermula, ia akan berbeza berasaskan situasi di Sabah sendiri. Saya harap rakyat sedar bahawa ketika ini paling penting adalah keselamatan orang ramai,” katanya dalam wawancara bersama Bernama di sini.

Azmi berkata aspek terpenting adalah calon, jentera parti serta pengundi mengutamakan keselamatan kesihatan dan kebersihan semasa menunaikan tanggungjawab demokrasi itu.

“Saya ingin tekankan di sini, bagi calon terlibat, SOP yang ada sekarang adalah terhad dari segi bilangan orang yang boleh datang mendengar ceramah, tempat ceramah juga mesti boleh dikawal. Ada pemeriksaan suhu orang ramai, nama dicatatkan bagi memudahkan pengesanan kontak.

“Maksimum 250 orang berasaskan keluasan tempat. Kalau tempat itu kecil bermakna bilangan (yang hadir) juga kecil. Tidak boleh bersalam dan berpeluk dengan orang ramai. Rombongan besar-besaran seperti dulu tidak dibenarkan. Ini adalah norma baharu bagi setiap calon apabila mereka berkempen. Selagi Covid-19 masih ada, kita perlu prihatin,” tegas beliau.

PRN Sabah ditetapkan pada 26 Sept manakala hari pencalonan pada 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept dengan sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Bagi melancarkan hari pengundian, Azmi berkata SPR akan mengedar kad pengundi kepada semua pemilih berdaftar, yang antara lain mengandungi maklumat nama pengundi, pusat mengundi, saluran mengundi serta cadangan masa yang digalakkan datang untuk mengundi.

Sambil berharap pengundi dapat menuruti syor masa untuk menunaikan tanggungjawab mereka, beliau berkata tindakan itu akan membantu mengelakkan kesesakan di pusat-pusat mengundi.

“Kita ada pengalaman di PRK Chini dan setakat ini kami bersyukur tidak ada kluster Chini dikesan Covid-19, selepas ini PRK Slim. Banyak penambahbaikkan daripada aspek prosedur operasi standard yang dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Menyentuh SOP bagi PRK Slim yang ditambah baik berbanding PRK Chini, Azmi berkata SPR memberi penekanan kepada kekerapan melakukan sanitasi sebaik pengundi memasuki tempat mengundi sehinggalah keluar dari kawasan mengundi.

Antara SOP berkenaan ialah, pengundi perlu mensanitasi tangan apabila mula memasuki kawasan pusat mengundi, menuju ke bilik mengundi, selepas mencelup jari dalam dakwat dan terakhir sebelum keluar dari bilik mengundi.

“Saya yakin dengan cara ini masa yang digunakan tidak akan melebihi masa biasa yang diambil SPR untuk jalankan PRK ketika tiada Covid-19. Pengalaman di PRK Chini dan PRK Slim akan digunakan di Sabah,” katanya.

Menegaskan bahawa SPR akan memastikan pengendalian pilihan raya mematuhi SOP ditetapkan MKN dan KKM serta disesuaikan mengikut keadaan semasa, Azmi berkata isu kesihatan awam menjadi keutamaan SPR.

“Kalau ada perubahan kita kena lebih tegas lagi, mungkin proses sanitasi dilakukan enam kali, mungkin kena juga pakai sarung tangan… ini adalah SOP kita dan kalau tiada perubahan yang serius, kita akan guna SOP ini di Sabah. Isu kesihatan awam ini sentiasa berubah dan kita harus berkebolehan untuk menyesuaikan dengan keadaan,” katanya.

Bagi mengendalikan PRN Sabah, yang dianggarkan memerlukan peruntukan RM186 juta, seramai 30,540 petugas dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya yang menyediakan 741 buah pusat mengundi dengan 2,540 saluran.

Azmi berkata sebanyak 332 saluran baharu disediakan termasuk saluran khusus buat lebih 12,000 warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perbaiki proses undi pos antara tumpuan SPR – Azmi

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Usaha menambah baik proses pengundian pos adalah antara tumpuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini bagi mengukuhkan sistem penjalanan pilihan raya negara.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata sebuah jawatankuasa khusus diketuai Ahli SPR Datuk Chin Phaik Yoong sedang mengkaji perkara berkenaan terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu undi pos termasuk hal kertas undi tidak sampai kepada pengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sistem undi pos menghadapi banyak masalah dengan berlaku peratusan yang sangat tinggi (kertas undi pos) tidak sampai. Ini tidak patut berlaku,” katanya dalam wawancara bersama Bernama di sini.

Azmi berkata SPR mengambil maklum hal berkaitan kertas undi pos yang dibangkitkan beberapa pihak termasuk desakan terbaharu yang mahukan suruhanjaya itu mempertimbangkan cadangan membenarkan pengundi Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, bulan depan.

Menyentuh hal itu, beliau berkata kemudahan undi pos tidak dapat diberikan kepada pengundi luar kawasan seperti yang berada di Semenanjung Malaysia berikutan sistem sedia ada tidak mampu menampung jumlah yang besar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 pada 17 Ogos 2020. Foto BERNAMA

Katanya, faktor pertambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 73 kerusi juga menyebabkan kemudahan itu sukar dilaksanakan, selain SPR tidak sempat menambah baik sistem undi pos memandangkan ia adalah pilihan raya mengejut.

Azmi berkata SPR memahami kekecewaan pengundi Sabah berhubung perkara berkenaan dan sebagai sebuah agensi yang matang, SPR mendengar setiap kritikan yang dilemparkan dan akan berusaha gigih memperbaiki proses undi pos negara ini.

“Jika kita tak dapat sediakan satu sistem yang sempurna dan selamat, ia lebih berbahaya jika kita melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa. Ia mungkin menimbulkan lebih masalah daripada apa yang kita hendak selesaikan.

“Kita ingin menyelesaikan suatu masalah tetapi kita mungkin menyebabkan timbul masalah lain. Jadi, adalah lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian. Saya faham, tetapi inilah penjelasan saya, kalau rakyat Sabah masih marah, saya minta maaf,” jelasnya.

SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September, dengan hari pencalonan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September, membabitkan 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Mengenai sistem pilihan raya negara secara keseluruhannya, Azmi yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya, berkata terdapat banyak penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan rakyat, antaranya sistem ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) dan sistem pemerhati.

Menurut Azmi, kehadiran PACA bagi memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap saluran tidak memungkinkan berlaku penipuan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

“Dahulu ada yang menyatakan muncul kotak baharu dan sebagainya, tetapi kini saya rasa hampir mustahil perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 (penyata pengundian selepas pengiraan undi) yang ditandatangani oleh saksi iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.

“Jika ada sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian itu adalah lebih telus. Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan, susah untuk mengundang perkara yang tidak elok berlaku,” katanya yang terlibat dalam pengendalian enam pilihan raya kecil, sejak dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada Februari 2019.

Mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan bertanding sebagai calon serta pendaftaran pengundi secara automatik, Azmi berkata SPR sedang bertungkus-lumus menyediakan sistem yang baik dan selamat bagi melaksanakan pindaan berkenaan.

Katanya sistem pendaftaran secara automatik dijangka tersedia pada pertengahan tahun depan berikutan SPR perlu menyelesaikan pelbagai isu termasuk kesukaran menentukan daerah tempat mengundi kerana alamat yang tidak lengkap, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.

“Kalau orang itu dalam penjara dia tak boleh mengundi, begitu juga yang dalam hospital mental, kita tak boleh daftarkan. Ini bukan perkara mudah dengan sekadar mengambil (data) dari JPN. Sistem harus dijamin selamat sehingga data yang dipindahkan terpelihara,” jelasnya.

Azmi berkata dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, SPR menjangkakan bilangan pemilih berdaftar yang ketika ini berjumlah kira-kira 15 juta akan meningkat kepada lebih 19 juta orang, termasuk kira-kira empat juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi apabila sistem berkenaan siap kelak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semak kehakiman bubar DUN Sabah, SPR sedia teruskan pilihan raya

KOTA KINABALU, 18 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap bersedia meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN), meskipun terdapat permohonan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata setakat ini, pihaknya tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah berhubung perkara itu.

“Setakat ini SPR tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah. Jadi kita akan terus bersedia dengan pilihan raya ini sehingga kita dapat arahan daripada mahkamah, kita akan terus dengan tanggungjawab kita,” katanya dalam sidang media bagi urusan pilihan raya DUN Sabah ke-16 di sini, semalam.

Pada 3 Ogos, bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memohon semakan kehakiman terhadap pembubaran DUN Sabah yang difailkan oleh firma guaman FT Ahmad and Co.

Terdahulu, pada tengah hari semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos ini bagi membuat keputusan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai, boleh diadili.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perakuan Tun Juhar, berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum itu, Musa pada sidang medianya mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 32 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu. DUN dibubarkan itu mempunyai 65 Adun.

—BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan rakam, tular gambar kertas undi pos – SPR

TANJUNG MALIM, 17 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan para pengundi pos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim supaya tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularnya di laman media sosial.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata individu yang didapati melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman sewajarnya.

SPR telah mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi pos bagi PRK DUN Slim, semalam dan daripada jumlah itu 75 untuk petugas pilihan raya dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua untuk pengundi tidak hadir luar negara manakala satu kepada warganegara Malaysia di luar negara.

Beliau berkata proses pengeluaran kertas undi pada jam 2.30 petang di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Slim River turut dihadiri wakil calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan.

“Sebanyak 68 sampul keutamaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada para pemohon manakala 10 sampul keutamaan diambil oleh Pegawai Yang Bertanggungjawab PDRM untuk diserahkan kepada anggota terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ikmalrudin mengingatkan semua pengundi pos supaya segera mengembalikan borang yang telah lengkap diisi kepada pegawai pengurus PRK DUN Slim sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu 29 Ogos ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, Amir Khusyairi dan seorang lagi calon Bebas S. Santharasekaran.

-BERNAMA