Categories
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

Selangor komited baik pulih bumbung Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Negeri akan melaksanakan kerja membaik pulih bumbung Stadium Shah Alam yang rosak membabitkan kos keseluruhan hampir RM20 juta, kata EXCO Sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata perkara itu pada peringkat kelulusan dana kerana melibatkan kos tinggi dan pembaikan prasarana itu bagi mengelak sebarang isu keselamatan berlaku terhadap penonton.

“Kita akan selesaikan nanti termasuk bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,” katanya mengulas spekulasi skuad Gergasi Merah terpaksa melupakan hasrat bermain di stadium terbabit menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) 2020 hujung bulan ini susulan kerosakan bumbung.

Beliau berkata skuad kendalian B Sathianathan masih boleh beraksi di gelanggang keramat itu walaupun kerja pembaikan belum bermula dan menyerahkan kepada budi bicara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menggunakan kemudahan itu atau sebaliknya.

“Malah kejohanan Cabaran Asia (SAC) 2020 baru-baru ini pun skuad Selangor bermain di Stadium Shah Alam,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Liga-M 2020, Stadium Shah Alam `uzur’

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Selangor mungkin terpaksa melupakan aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini di Stadium Shah Alam susulan kerosakan bumbung gelanggang keramat skuad Gergasi Merah itu, yang mengancam keselamatan penonton.

Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan awal sebelum ini, sudah dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk segera melakukan kerja-kerja membaik pulih stadium berkenaan.

Beliau berkata semua venue perlawanan Liga-M 2020 perlu mencapai tahap piawaian seperti ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Februari atau Selangor berhadapan larangan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah mereka, musim ini.

“Kita telah membuat semakan (kerosakan) ketika melakukan pemeriksaan pertama dan pihak FAS telah dimaklumkan untuk memberi perhatian serius kepada aspek bumbung dan padang. Kalau mereka tidak buat (baiki), stadium itu tidak akan diluluskan.

“Tetapi saya difahamkan Selangor sedang dalam proses memastikan perkara itu dibaik pulih dan sebarang penambahbaikan akan dibuat. Seminggu sebelum liga bermula kita (MFL) akan mengemas kini status venue pertandingan untuk musim ini,” katanya.

Mohd Shazli yang ditemui pada Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Telekom Malaysia Berhad (TM), anak syarikatnya, TM Multimedia (TMM) dan MFL semalam berkata beberapa venue sudah mendapat kelulusan hasil pemeriksaan awal sebelum ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon yang sedia maklum mengenai kerosakan stadium tersebut, menafikan pihaknya diminta segera mengatasi masalah tersebut sebelum liga bermula.

“Secara jujurnya, saya tidak tahu mengenai pemeriksaan tersebut dan juga pemintaan mereka untuk kami (FAS) perbaiki. Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk Stadium Shah Alam dari segi pembaikan padang dan juga bumbung, sebab kami tidak mempunyai kapasiti dan sumber untuk membuat apa-apa di situ.

“Tetapi saya tahu yang Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) telah mengeluarkan satu tender untuk pembaikan bumbung beberapa bulan lepas, jadi mereka sedang dalam proses untuk membaiki stadium, tetapi FAS memang tidak terlibat dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Johan berkata Selangor akan memberi kerjasama sekiranya diminta untuk menggunakan gelanggang lain pada musim ini.

Pada Kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020, bulan lepas, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak, terutama dalam soal padang dan bumbung bocor, yang menyebabkan serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan penonton.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kerja baik pulih Stadium Shah Alam dilaksana berperingkat

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerja membaik pulih Stadium Shah Alam dijalankan secara berperingkat dengan mendahulukan perkara asas seperti sistem elektrik dan pengairan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata hal itu kerana kos membaik pulih stadium berkenaan menelan belanja RM250 juta yang disifatkan terlalu tinggi.

“Memang membabitkan kos besar tetapi kita tidak buat sekali gus kerana kita sudah ada angkanya dan untuk mengubah semua sistem dalam stadium, kita perlukan paling kurang RM250 juta, jadi ia memerlukan kos sangat besar.

“Jika mahu buat secara luaran sahaja kurang bermakna kerana fungsi dalaman seperti sistem air dan elektrik mesti diperbetulkan dahulu, jadi kita betulkan perkara asas kemudian luaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata secara asasnya, Stadium Shah Alam masih berada dalam keadaan baik seperti padang, kemudahan asas dan strukturnya.

Namun katanya kerja pembaikan kemudahan asas giat dijalankan sejak tiga hingga empat tahun lalu.

Terdahulu, Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) dalam ucapan perbahasannya menggesa Kerajaan Negeri memberi perhatian untuk membaik pulih Stadium Shah Alam.

Categories
SELANGOR

Fokus baiki bumbung Stadium Shah Alam – EXCO

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 MEI: Proses membaik pulih Stadium Shah Alam wajar dijalankan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada kerja baik pulih bumbung terlebih dahulu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita akan maklumkan perkara ini kepada Dato’ Menteri Besar untuk mendapatkan peruntukan khas sama ada tahun ini atau tahun hadapan.

“Kos membaiki bumbung stadium ini sahaja dianggarkan menelan kos sebanyak RM20 juta,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, kos keseluruhan membaik pulih stadium yang dibuka pada 1994 itu dijangka mampu mencecah RM190 juta.

Katanya, selain memberi keselesaan kepada penyokong bola sepak Selangor, ia juga adalah persediaan sebelum melobi bagi mendapat hak menjadi tuan rumah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2022.

Pada masa ini, Mohd Khairuddin giat meninjau kemudahan sukan di Selangor sebelum melobi hak penganjuran SUKMA 2022 nanti.

Antara yang sudah dilawati adalah Stadium Shah Alam pada 25 April lalu.

 

Categories
SUKANKINI

FAS hargai kehadiran 13,000 penyokong

SHAH ALAM, 5 FEB: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penyokong yang sentiasa menjadi tunjang kepada pasukan The Red Giants.

Katanya, ucapan tahniah juga diberikan di atas kehadiran 13,000 penyokong yang membanjiri Stadium Shah alam pada perlawanan Home pertama Selangor menentang Felda United dalam kempen Liga Super musim ini.

“Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua penyokong yang sentiasa menjadi tunjang kepada pasukan Selangor.

“Jumpa lagi dalam perlawanan Liga Super seterusnya,” tulisnya dalam di laman facebook rasminya.

Pada 3 Februari lalu, Selangor berjaya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Felda United dalam aksi pertama kempen Liga Super musim ini di Stadium Shah Alam.

Terdahulu, Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) komited menyelesaikan proses balik pulih dan status semasa kerja baik pulih Stadium Shah Alam selesai sepenuhnya malahan padang sedia digunakan sebelum perlawanan pertama menetang Felda United.

Pengurus Besarnya, Rohaidi Tugiro berkata, bagi tahun lalu pihaknya membuat perancangan membaik pulih sebahagian kawasan padang stadium yang mengalami keporosan tanah.

Categories
SUKANKINI

Stadium Shah Alam sedia digunakan 3 Februari hadapan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 JAN: Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) mengesahkan pasukan Selangor boleh memulakan sesi ‘try-run’ di Stadium Shah Alam pada 30 atau 31 Januari ini sebelum perlawanan pertama Liga Super 2019 yang bakal berlangsung pada 3 Februari hadapan.

Pengurus Besar DEFM, Rohaidi Tugiro berkata, pihaknya komited untuk menyelesaikan proses balik pulih dan status semasa kerja baik pulih sudah selesai sepenuhnya malahan padang sedia digunakan sebelum perlawanan pertama menetang Felda United.

“Bagi tahun lalu, pengurusan DEFM telah membuat perancangan untuk membaik pulih sebahagian kawasan padang stadium yang mengalami keporosan tanah.

“Masalah ini disebabkan oleh lapisan tanah yang telah menjadi keras (compact) dan ia memberi kesan terhadap tahap serapan air di padang menjadi lambat dan padang becak teruk ketika hujan. Inisiatif ini mengambil masa sekurang-kurangnya 40 hari untuk diselesaikan.

“Mengikut kalendar perlawanan terakhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam adalah pada 14 Disember tahun lalu, iaitu acara Hari Bola Sepak Selangor yang membabitkan perlawanan akhir Selangor Champion League (SCL) dikelolakan oleh SAYs dan turut membabitkan Selangor FA sebagai penganjur bersama.

“Tiada pihak yang datang untuk mendapatkan pencerahan mengenai status baik pulih ini dari pihak DEFM dan komen yang diberikan seolah-olah memberi gambaran pihak kami tidak menjalankan kerja dengan baik sehingga persiapan pasukan Selangor terganggu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, DEFM juga sudah menghubungi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon bagi memaklumkan kesediaan Stadium Shah Alam untuk digunakan The Red Giants.

“Kami di peringkat DEFM berharap tiada lagi isu seperti ini dibangkitkan pada masa hadapan. Kami sentiasa bersedia bekerjasama dan membantu FAS untuk memberikan venue terbaik kepada pasukan Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Pengurusan DEFM tambah baik, suntik aspek komersial

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 18 APR: Keputusan Kerajaan Negeri menyerahkan pengurusan Stadium Shah Alam kepada Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) adalah bagi penambahbaikan dan menyuntik aspek komersial dalam pengurusan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, pendekatan diambil turut akan megurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Negeri dari segi penyediaan peruntukan setiap tahun.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selaku pihak pengurusan stadium terpaksa menggunakan wang pembayar cukai lebih kurang RM4 hingga RM5 juta setahun.

“Selepas pengambilalihan ini, DEFM meletakkan tiga atau empat tahun pertama untuk disuntik Kerajaan Negeri dan kita akan menyuntik aspek komersial seperti mana pengurusan stadium di negara maju supaya dapat bergerak dengan pembiayaan penuh daripada operasi semasa,” katanya.

Beliau berkata, pengambilalihan pengurusan Kompleks Belia dan Sukan juga dengan tujuan sama dan kini Kerajaan Negeri tidak perlu lagi mengeluarkan sebarang peruntukan kepada DEFM.

Sebelum perubahan itu, katanya, pengurusan kompleks di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri dan perbelanjaan pengurusan adalah lebih kurang RM1 juta setahun.

“Keputusan menyerahkan Stadium Shah Alam kepada DEFM atau nama lamanya, MSNH Holdings Sdb Bhd (MSNSH) dibuat pada 2009 oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Saya selaku Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi DEFM hanya melengkapkannya selepas melalui beberapa proses rundingan dengan pihak Kerajaan Negeri.

“Maka keputusan ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia masih diuruskan anak syarikat 100 peratus milik Kerajaan Negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Tak perlu layan ‘drama’ FAS selesai isu Stadium Shah Alam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri enggan melayan ‘drama’ Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) yang tidak mahu berunding bagi menyelesaikan isu penggunaan Stadium Shah Alam walaupun pintu rundingan sudah dibuka seluasnya.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, berdasarkan surat terbaru diterima daripada Setiausaha Agung FAS, mereka menyatakan keengganan bertemu beliau.

“Saya sudah jelaskan senarai panjang sikap mereka terhadap Sultan Selangor Cup, mereka gagal menghantar pasukan walaupun diberikan pelepasan. Mereka gagal memberikan maklum balas kepada Kerajaan Negeri.

“Akhirnya, bila kita buka pintu rundingan, surat terbaru yang saya terima daripada Setiausaha Agung FAS, tak nak berjumpa dengan saya.

“Jadi isunya adalah mereka menggunakan isu ini sebagai modal politik, serang Kerajaan Negeri dan jadikan agenda memburukkan Kerajaan Negeri.

“Kita ada pelan sendiri untuk membangunkan bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan terhadap soalan tambahan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Katanya, sepanjang 2017, FAS tidak menghantar surat permohonan untuk menggunakan Stadium Shah Alam tetapi hanya berbuat demikian pada penghujung tahun namun enggan bertemu beliau sebaliknya hanya mahu berbincang dengan Dato’ Menteri Besar sahaja walaupun surat perbincangan sudah dihantar.

Beliau berkata, Stadium Shah Alam tidak berhadapan masalah pendapatan walaupun tidak digunakan Red Giants kerana mempunyai dua sektor pendapatan utama.

Menerusi sewa tapak kereta, sebanyak RM971,000 berjaya dikutip bagi tahun 2015, RM1.4 juta untuk 2016 dan RM1.093 juta pada 2017.

Bagi pendapatan menerusi sewa stadium, tahun 2015 mencatatkan pendapatan berjumlah RM2.08 juta, RM2.42 juta pada 2016 dan RM1.9 juta bagi 2017.

“Dari segi fakta saya tunjukkan, pada 2017 kita tidak memberikan peluang kepada Red Giants, kutipannya jauh lebih besar hampir RM2.7 juta berbanding 2016 pada RM2.4 juta.

“Namun masih ada baki RM700,000 yang belum dikutip daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sewaan daripada Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencatakan jumlah RM2.7 juta bagi tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Darul Ehsan Facilities Management Sdn Berhad (DEFM) dibuat berdasarkan daripada permohonan mereka kerana pengalaman menguruskan Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor dengan kejayaan penjimatan kewangan berjumlah RM4 juta.

=EZY=

Categories
PBT SELANGOR SUKANKINI

Pembetulan laporan SelangorKini “Stadium Shah Alam bukan milik swasta”

RALAT: SelangorKini dengan rendah hati ingin membetulkan laporan berita bertajuk “Stadium Shah Alam bukan milik swasta” yang diterbitkan menerusi portal dan muka belakang ruangan sukan bagi edisi 7-13 Mac 2018.

Pihak kami menerima maklum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad, bahawa terdapat kekeliruan berhubung berita yang dipetik daripada sebuah akhbar tempatan, baru-baru ini.

Katanya, penafian dimaksudkan MBSA ketika itu adalah berhubung mesej tular kononnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu terpaksa melepaskan tanggungjawab mengurus stadium berkenaan atas sebab kewangan.

“Berita yang tular itu tidak benar kerana MBSA sentiasa mengikut arahan Kerajaan Negeri sama ada untuk mengurus atau melepaskan, kita tidak mempunyai sebarang masalah.

“Namun, penafian dibuat langsung tidak merujuk kepada penyerahan kepada pihak swasta kerana memang benar kita sudah serahkan kepada Kerajaan Negeri yang memutuskan untuk menyerahkan pengurusan stadium kepada pihak berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, SelangorKini sekali memohon maaf kepada MBSA dan pembaca yang mungkin terkesan dengan laporan sebelum ini.

Terdahulu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari turut mengesahkan pengurusan Stadium Shah Alam bukan lagi di bawah MBSA tetapi diserahkan kepada anak syarikat Kerajaan Negeri, bermula awal tahun ini.

Katanya, pengumuman rasmi akan dibuat selepas proses pengambilalihan oleh Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) Sdn Bhd selesai sepenuhnya.

Categories
SUKANKINI

Isu Stadium Shah Alam: Penyokong harap Kerajaan Negeri, FAS berdamai

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 FEB: Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) berharap penyelesaian dapat dicapai antara Kerajaan Negeri dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) demi kebaikan bola sepak Selangor.

Wakil BBPS dan Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, penyelesaiaan itu sewajarnya menjadi kepentingan kedua-dua pihak supaya masalah dihadapi kini tidak berpanjangan.

“Kita berpuas hati dengan hasil perbincangan bersama Exco Sukan, Amirudin Shari, dan mendapat maklumat berkaitan isu dibangkitkan.

Kita akan memaklumkan kepada FAS dan berharap satu langkah perdamaian akan berlaku antara Kerajaan Negeri dan FAS,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mohd Faizal berkata demikian selepas BBPS mengadakan pertemuan dengan Amirudin dan penyerahan memorandum kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung masalah penggunaan Stadium Shah Alam membabitkan pasukan Selangor dalam Liga Malaysia.

Beliau seterusnya menjelaskan, BBPS akan mengadakan pertemuan dengan FAS esok bagi membincangkan perkara itu.

“Kita juga berharap pejabat Dato’ Menteri Besar akan memberikan kenyataan rasmi berhubung isu ini,” katanya.

Seorang lagi wakil BBPS, Shah Rafi Ihsham Shah berkata, pihaknya mengharapkan respon positif daripada pejabat Dato’ Menteri Besar berhubung perkara itu.

Katanya, ini kerana isu berkaitan adalah atas kehendak keseluruhan penyokong bola sepak di Selangor.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Isu Stadium Shah Alam: Kerajaan Negeri sedia bincang dengan FAS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri sedia mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi mencari penyelesaian dalam isu pengunaan Stadium Shah Alam untuk kegunaan pasukan Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka dalam perkara itu demi kebaikan dan masa depan bola sepak Selangor serta penyokongnya.

Beliau berkata, bagi FAS ialah menunjukkan komitmen bagi membaiki hubungan keruh berlaku sebelum ini yang menimbulkan masalah dalam perkara ini.

“FAS perlu bertolak ansur dan ia boleh diselesaikan tetapi kalau keadaan terus tegang, saya tidak boleh menjamin apa-apa.

“Bagi Kerajaan Negeri, kita mahu melihat komitmen daripada FAS dalam perkara ini bagi membaiki hubungan dan kita bersedia malahan sampai ke tahap mengembalikan peruntukan seperti mana dahulu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan wakil penyokong bola sepak Selangor dan menerima memorandum daripada mereka supaya penyelesaian dapat dicapai mengenai kemulut bola sepak Selangor dan penggunaan Stadium Shah Alam.

Beliau menjelaskan, perbincangan awal kini berjalan dan pihaknya sedang mengenal pasti beberapa pilihan supaya masalah itu dapat diselesaikan.

“Saya memang faham, penyokong inginkan kemudahan sebegitu untuk Selangor bermain di Stadium Shah Alam dan pasukan ini mempunyai tradisi cukup panjang.

“Perbincangan telah bermula selepas kira-kira setahun tidak berbincang, bagaimanapun ia memerlukan sedikit masa.

“Untuk perlawanan awal liga mungkin tidak boleh tetapi agak selesa untuk direalisasikan bagi pusingan kedua iaitu membolehkan Selangor beraksi di Stadium Shah Alam,” katanya.

Mengulas lanjut, mantan Pengurus Selangor itu berkata, permohonan FAS untuk tujuan itu hanya dibuat sekali pada 13 Disember dan diterima Pejabat Dato’ Menteri Besar, 18 Disember tahun lalu.

Katanya, selepas lebih setahun isu terbabit tidak diperkatakan kini perbincangan telah berjalan dua kali dan Kerajaan Negeri akan berusaha menanganinya untuk manfaat semua pihak.

“Untuk rekod, kita tidak menghalang FAS menggunakan segala kemudahan setakat ini iaitu menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang, memang tiada halangan secara total.

“Cuma bila tiada hubungan rasmi serta agak keruh antara FAS dan Kerajaan Negeri maka penggunaan Stadium Shah Alam menjadi isu utama seperti mana kenyataan media saya, baru-baru ini,” katanya.

Selain PKNS FC, kebenaran untuk Felcra FC menggunakan Stadium Shah Alam pula, katanya, adalah perbincangan di antara pengurusan stadium, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

“Ia atas permohonan biasa seperti sebelum ini untuk Perak apabila stadium mereka bermasalah maka kita izinkan. Isu ini berbeza apabila membabitkan Selangor,” katanya.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Stadium Shah Alam: Penyokong mahu Kerajaan Negeri dan FAS berbincang

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 JAN: Badan Bertindak Penyokong Selangor mahu Kerajaan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) berbincang bagi menyelesaikan kemelut penggunaan Stadium Shah Alam supaya boleh digunakan Selangor sebagai gelanggang tuan rumah.

Jurucakapnya, Mohd Firdaus Abdul Mutalib berkata, pihaknya bersedia dijemput menjadi orang tengah untuk kedua-dua pihak berbincang supaya tiada rahsia antara Kerajaan Negeri dan FAS sekiranya enggan mengatur mesyuarat dalam masa terdekat.

“Pengurusan FAS serta Kerajaan Negeri berbincang secara rasmi dan menyelesaikan isu berkaitan pengurusan pasukan bola sepak Selangor terutamanya berkaitan penggunaan Stadium Shah Alam demi kepentingan semua penyokong.

“Kami bukan mahu mencari musuh atau salah sesiapa sebaliknya ia lebih kepada tindakan akhir yang diambil atas dasar sayang dan cintakan pasukan bola sepak Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan pintu gerbang Stadium Shah Alam hari ini.

Katanya, mereka akan menyerahkan satu memorandum kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali esok jam 10 pagi di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kami akan menyerahkan satu memorandum supaya Kerajaan Negeri membenarkan Stadium Shah Alam dijadikan gelanggang rasmi pasukan Selangor selewat-lewatnya dalam saingan pusingan kedua Liga Super 2018.

“Kami menuntut FAS dan Kerajaan Negeri memberi jawapan balas terhadap segala tuntutan dan desakan kami dalam tempoh 48 jam selepas memorandum diserahkan,” katanya.