Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan dukacita banjir terburuk landa negeri, doa bencana berakhir

SHAH ALAM, 19 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa sedih dan dukacita berikutan kejadian banjir terburuk yang melanda sebahagian besar daerah di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj  juga bimbang atas kesukaran yang dihadapi rakyat selepas menyaksikan sendiri gambar dan video kawasan terjejas susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

“Baginda dimaklumkan banyak lokasi terjejas dan terputus hubungan akibat jalan raya dinaiki air serta kawasan kediaman yang dilanda banjir luar biasa sehingga kini,” menurut kenyataan Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Selangor turut berdoa agar bencana tersebut segera berakhir manakala urusan rakyat dipermudahkan serta kembali seperti sedia kala.

Hujan lebat luar biasa sejak kelmarin, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Categories
BUDAYA RENCANA

Telepuk seni hiasan busana tradisi diraja Selangor

TELEPUK, seni hiasan kain melalui proses menekap corak menggunakan perada emas dan perak lambang kebangsawanan keluarga diraja Selangor.

Menurut buku Kesenian Telepuk Warisan Melayu, seni tekstil berstatus tinggi dan tertua dari masyarakat Yunani dan Mesir purba itu sinonim dengan istana sejak zaman kerajaan Melaka pada abad ke-14.

Karya kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) Intan Salina Idrus itu menyebut telepuk mula bertapak di Selangor ketika pentadbiran Daeng Chelak, ayahanda Sultan Salehuddin (Raja Lumu).

Telepuk digunakan Daeng Chelak ketika berkahwin dengan Tengku Mandak. Pakaian pasangan itu bukti awal penggunaan kain telepuk dalam kalangan orang Bugis.

Ketika pemerintahan Raja Lumu (1766-1782), telepuk ada digunakan berdasarkan artifak sarang telepuk atau cop penuh milik anakanda Baginda, Raja Penuh.

Selain itu, ia dipakai dalam Istiadat Menggelar Orang-Orang Besar. Telepuk juga ada digunakan dalam pemerintahan Sultan Sir Abdul Samad (1857-1898).

Sepersalinan lengkap Baju Sikap bertelepuk iaitu baju berbelah pendek, berpotongan Bugis dan berpola kancing tujuh milik Baginda masih tersimpan di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Baju Sikap hanya dipakai raja, orang besar atau pengantin. Pemakaian tengkolok bertelepuk juga dilihat pada tengkolok Alang milik Baginda.

Dalam pentadbiran Sir Ala’uddin Suleiman Shah (1898-1938), kalangan raja dan orang-orang besar memakai kain bertelepuk dan berbenang emas. Pemakaian telepuk juga berlangsung dalam Istiadat Menggelar Orang-orang Besar di Balairong Bukit Jugra pada 1898.

Baginda turut menjadikan Istana Bandar di Kuala Langat sebagai tempat berkumpulnya tukang-tukang mahir telepuk selain pembuatan songkok dan sulaman lain.

Tengku Ampuan Zabedah pula memiliki kebaya labuh bertelepuk dengan motif bunga setangkai, kini antara koleksi Muzium Seni Asia di Kuala Lumpur.

Kemuncak pemakaian telepuk berlaku dalam pemerintahan Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj (1938-1942 dan 1945-1960).

Baginda dan Permaisuri Tengku Ampuan Jema’ah Raja Ahmad menggiatkan semula seni tersebut.

Bengkel menelepuk dibangunkan dengan pesat, malah Istana Selangor serta kerabat diraja turut menghasilkan sendiri kain telepuk.

Tengku Ampuan Jema’ah turut memiliki koleksi peralatan menelepuk. Alatan itu dan kain destar bertelepuk emas yang dihasilkan Baginda ada di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

Koleksi cop telepuk milik Baginda antaranya berbentuk motif, ukiran dan pahatan. Reka bentuk motif yang diukir terdiri daripada pucuk rebung, bunga dan tumbuhan tempatan selain kaligrafi.

Sultan Hisamuddin pula mengenakan persalinan Baju Layang yang dihiasi telepuk bermotif pucuk rebung, bunga dan dedaun ketika pertabalan pada 1939 di Astana Mahkota Puri Klang.

Seni telepuk pada Baju Layang juga dipakai Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah (1942-1945). Ragam hiasnya mempunyai variasi corak telepuk. Dua motif di bahagian kolar bercorak jata negeri, motif berbentuk S, pucuk rebung, geometrik serta kerawang.

Menurut buku Pesaka Selangor terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1966, orang-orang bergelar turut dikurnia sepersalinan baju dan seluar bertelepuk. Selain itu,  persalinan telepuk turut dianugerah kepada pembesar, tetamu atau rakyat yang berjasa.

Penghasilan telepuk bukan mudah. Ia memerlukan proses teliti bagi menghasilkan motif yang kemas. Bermula sapuan gam, ia diikuti kerja menekap cop atau sarang telepuk pada tekstil. Seterusnya kepingan perada emas ditekap pada cop tersebut.

Kepingan itu perlu ditekan perlahan agar emas melekat sebelum digosok hingga menimbulkan corak motif. Seni itu banyak ditampilkan pada baju, kain dan sapu tangan yang terukir corak menarik.

Pada masa ini, Kerajaan Negeri merancang untuk mengadakan bengkel tenunan telepuk selain selendang kelingkan bagi mengembalikan kegemilangan warisan berkenaan.

 

Categories
SELANGOR

Sultan: Selangor perlu tingkat usaha tarik pelabur

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah negeri ini perlu meningkatkan usaha bagi menarik pelabur asing di sebalik kelembapan ekonomi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pelabur mempunyai banyak destinasi untuk dipilih dan negeri ini perlu membuat tawaran yang terbaik, lapor The Star.

Baginda turut menyatakan kerisauan dengan keadaan kelembapan ekonomi sekarang dan sesuatu mesti dilakukan untuk mengembalikan kerancakannya.

“Sebab itu mereka (ahli perniagaan) lari ke Vietnam seorang demi seorang. Kita akan kehilangan pelaburan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah kos tenaga buruh yang lebih murah di negara berkenaan selain Indonesia dan Kemboja menjadikan mereka berdaya saing.

Bagaimanapun, baginda mengakui EXCO Industri dan Perdagangan Datuk Teng Chang Khim menjalankan tugas dengan baik.

Tambah baginda Selangor kekal menjadi tempat yang baik tetapi ‘kita perlu melakukan lebih baik’.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat diseru ambil dos penggalak, henti penularan Covid-19

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat negeri ini mengambil dos penggalak bagi menghentikan penularan wabak Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah baginda bimbang dengan laporan mengatakan ada individu ragu-ragu untuk mengambil suntikan tersebut, lapor The Star.

“Terlalu banyak maklumat salah dan berita palsu di media sosial. Masyarakat mudah terpengaruh.

“Maka ada pihak yang berpendapat semuanya dalam keadaan baik kerana mereka telah diberi vaksin sepenuhnya,” titahnya.

Baginda juga memberi amaran kepada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang belum mendapatkan suntikan vaksin melibatkan 207 ahli jawatankuasa masjid, 100 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dan empat jurunikah.

Tuanku berkata golongan itu berisiko tidak dapat meneruskan tugas jika kekal menolak vaksin kerana mereka berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, sekali gus meletakkan semua orang dalam risiko.

“Jadi beta memberi mereka masa kira-kira tiga bulan untuk memikirkannya.

“Kini keadaan sudah pulih secara drastik, hanya segelintir yang berdegil. Walaupun vaksin itu mungkin tidak menawarkan perlindungan 100%, ia membantu mengurangkan tahap keterukan penyakit,” titahnya.

Pada 24 November, Sultan Sharafuddin menzahirkan kekecewaan apabila hanya 203 individu menyertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Categories
SELANGOR

Sultan minta rakyat tangani covid-19, hentikan isu kaum

SHAH ALAM, 11 DIS: Semua lapisan masyarakat diminta tidak menimbulkan isu perkauman yang membangkitkan emosi, seru Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah banyak lagi isu mendesak perlu diselesaikan yang mana semua kaum terjejas dari segi pekerjaan dan perniagaan akibat Covid-19, lapor The Star.

“Jumlah rakyat kelas pertengahan merosot tanpa mengira kaum. Kita berada dalam kapal yang sama. Ekonomi dan Covid-19 adalah kebimbangan kita.

“Tolong jangan timbulkan isu tidak perlu yang boleh menyebabkan isu perkauman,” titah baginda.

Tuanku juga menggesa pihak media khususnya untuk tidak membuat liputan terhadap pihak yang bertelagah.

“Berhati-hati dengan apa yang anda kongsi di media sosial. Jangan besarkan isu terpencil. Kebanyakan rakyat Malaysia orang baik-baik dan rasional,” titahnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan minta pemimpin tidak bertelagah, fokus bantu rakyat

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru agar pemimpin politik tidak bertelagah sesama sendiri sebaliknya fokus dalam membantu rakyat pasca Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pandemik telah menjejaskan kesihatan rakyat, mencetuskan kelembapan ekonomi dan ketidakstabilan politik tiga kali ganda di negara ini, lapor The Star.

“Mereka terlalu sibuk bergaduh sesama sendiri dan mengabaikan usaha untuk mengatasi masalah yang disebabkan oleh pandemik. Ini yang berlaku.

“Mungkin beta silap, beta harap, tetapi beta rasa rakyat tidak dapat mendekati wakil rakyat kawasan mereka,” titah baginda.

Tuanku juga mengakui ada kalangan rakyat yang terdesak menghubunginya sendiri bagi meminta bantuan kerana merasakan wakil rakyat mereka tidak dapat membantu.

“Sebelum ini surat kepada beta ditulis tanpa nama, kita biasa panggil surat layang. Kini, mereka menulis nama, nombor MyKad, alamat dan juga nombor telefon bimbit mereka.

“Ini bermakna mereka terdesak,” titahnya sambil menambah hanya badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu rakyat yang terjejas.

Sultan Sharafuddin turut menegur wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas kepada penduduk di kawasan mereka dengan memberi contoh kes banjir kilat yang berlaku di negeri ini beberapa bulan lalu.

“Jadi beta bertanya, ‘Di mana wakil rakyat? Mana ADN (Ahli Dewan Negeri), mana ahli parlimen?’ Ahli parlimen banyak bercakap di media sosial dan di Parlimen tetapi hakikatnya, mereka tiada buat apa-apa,” titahnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri Selangor terima dos penggalak

SHAH ALAM, 30 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berkenan menerima suntikan vaksin penggalak di Hospital Shah Alam hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan merakam gambar kenangan selepas menerima suntikan, menurut Facebook Selangor Royal Office.

Pada 23 Ogos, Baginda mengingatkan rakyat Selangor yang lengkap dos vaksin Covid-19 tidak mengambil mudah dan merasakan diri kebal daripada ancaman wabak berkenaan.

Baginda turut meminta semua pihak terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan menjalani kehidupan mengikut norma baharu.

Sultan Selangor juga menzahirkan sukacita dengan perkembangan kadar suntikan vaksin rakyat negeri ini yang mencecah 85 peratus setakat Oktober.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dahului senarai penerima darjah bintang Sultan Selangor

KLANG, 29 NOV: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Zulfikri Yasoa’ mendahului senarai penerima darjah dan bintang kebesaran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang ke-75 di Istana Alam Shah, hari ini.

Dalam istiadat berkenan, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S) kepada Zulfikri dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-25, Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolenal Ahmad Nirman Fariz Zakaria serta 26 individu lain.

Baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 39 individu termasuk Pengurus Selangor Fruit Valley, Md Saad Mahsah serta dua Guru Cemerlang, Nurul Yakin Supeni dan Rusilawati Mohd Salleh.

Selain itu, 39 individu menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dan 10 penerima dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C).

Berangkat sama ke istiadat itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sabtu lepas, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 57 orang penerima dalam suasana ketertiban istiadat mengikut pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi pencegahan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

57 individu dikurnia darjah, bintang kebesaran Sultan Selangor

KLANG, 27 NOV: Ahli Dewan Diraja Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda mengetuai senarai 57 penerima pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-75 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini.

Beliau menerima Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K II) yang dikurniakan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini pagi tadi.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Ahli Dewan Diraja Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada 27 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain pula dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ Setia pula dikurniakan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Seramai 10 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran-Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato’ antaranya Ketua Polis Selangor Dato’ Noor Azam Jamaludin; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang turut membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada 16 individu antaranya dua penerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 iaitu Ketua Jabatan Perubatan Am dan Pakar Perunding Perubatan Hospital Sungai Buloh Dr C Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anaestesia dan Rawatan Rapi Hospital Sungai Buloh Dr Shaiful Azman Zakaria.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 26 orang penerima.

Turut berkenan berangkat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tiada sebarang istiadat sempena Hari Keputeraan baginda ke-75 pada 11 Disember ini berikutan penularan Covid-19.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah penangguhan Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor bergantung kepada situasi semasa pandemik.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor berkenan terima zakat niaga RM20.05 juta

SHAH ALAM, 22 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada tujuh syarikat korporat bernilai RM20.05 juta.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima zakat bagi tahun kewangan berakhir 2020 dan 2021 di
Bilik Menghadap Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Syarikat terlibat ialah UMW Holdings Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Gas Malaysia Bhd, Pharmaniaga Bhd, Bank Rakyat, Northport (M) Bhd dan Lembaga Juruukur Tanah Malaysia.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Genap 20 tahun mangkat, Almarhum Sultan Salahuddin dikenang

SHAH ALAM, 21 NOV: Hari ini genap 20 tahun kemangkatan Almarhum Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor kelapan.

Baginda diputerakan pada 8 Mac 1926 di Istana Bandar Temasya, Kuala Langat dan mangkat jam 11.57 pagi, 21 November 2001 bersamaan 5 Ramadan 1422 Hijrah pada usia 75 tahun.

Baginda ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong ke-11 setelah ditabalkan pada 23 September 1999, menurut Facebook Selangor Royal Office.

Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj seringkali melawat kampung sekitar Selangor termasuk di Pulau Lumut (kini Pulau Indah) dengan menaiki basikal ketika menjadi Sultan Selangor kelapan. Foto Facebook Selangor Royal Office

Baginda dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada 13 Mei 1950 dan pernah menyertai latihan Askar Melayu Diraja di Port Dickson pada 1952 dengan ditauliahkan pangkat kapten.

Almarhum dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor kelapan pada 3 September 1960 dan dilantik Kolonel Yang di-Pertua Tentera Udara Diraja Malaysia pada 1966 dan Kapten Yang di-Pertua Tentera Laut Diraja Malaysia pada 1984.

Baginda juga Canselor Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali Universiti Putra Malaysia dari 1977 sehingga 1993.

“Sebagai Sultan, Almarhum seringkali melawat ke kampung-kampung sekitar Selangor termasuk di Pulau Lumut (kini Pulau Indah) dengan menaiki basikal.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum. Al-Fatihah,” kata kenyataan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri zahir takziah pemergian hero Bukit Kepong

SHAH ALAM, 7 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri JJ Raj (Jr) yang meninggal dunia semalam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berdukacita atas pemergian pesara polis berusia 100 tahun itu akibat masalah jantung.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, mendiang pernah berkhidmat sebagai ketua polis Selangor pada 1973 selain rapat dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

“Pernah menjawat pelbagai jawatan tertinggi semasa berkhidmat dengan polis, mendiang diingati sebagai hero apabila mengetuai Skuad Harimau ketika menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong semasa tragedi serangan komunis pada 1950,” katanya.

Tan Sri JJ Raj (Jr) (kiri) ketika memegang jawatan ketua polis Selangor bersama Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sekitar tahun 1970an. Foto Facebook Selangor Royal Office

Atas jasa dan baktinya, Almarhum Sultan Salahuddin turut mengurniakan gelaran Dato’ Sri Sentosa Setia Diraja kepada mendiang pada 1980, menurut kenyataan tersebut.

Mendiang yang lahir pada 27 Julai 1921 dilapor meninggal dunia pada jam 1.55 pagi semalam di unit rawatan rapi Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya.

JJ Raj mendapat pendidikan awal di Sekolah St Michael’s Institution di Ipoh, Perak sebelum berkahwin dengan Puan Sri Irene Raj pada 1952 dan dikurniakan empat anak serta tiga cucu.

Beliau menyertai polis sebagai inspektor pelatih pada 1946 dan menjadi ketua polis Pagoh pada 1950 semasa tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong.

Beberapa jawatan penting disandang mendiang antaranya ketua polis Tangkak (1952), ketua polis Kuala Lumpur (1958), ketua polis Pahang (1961), ketua polis Negeri Sembilan (1967) dan pengarah pengurusan Bukit Aman pada 1974.

Beliau mempunyai rekod cemerlang dan berkhidmat dengan jayanya selama 30 tahun.