Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara kes saman FGV Holdings terhadap Isa Samad 25 November

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Kes saman FGV Holdings Berhad terhadap bekas Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah ditetapkan untuk perbicaraan bermula 25 November depan.

Saman itu difailkan FGV Holdings bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM7.69 juta membabitkan kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC yang didakwa dibeli dengan harga melebihi pasaran.

Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Isa berkata, kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 25 hingga 29 November ini dan 2 hingga 4 Disember.

“Mahkamah juga menetapkan 6 Ogos untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar, hari ini.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia 30 November tahun lepas, menjelaskan saman yang difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah di Troika, Persiaran KLCC oleh FGV dengan harga yang dikatakan melebihi pasaran.

Syarikat itu berkata, saman berkenaan juga berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat dan faedah petrol oleh Mohd Emir.

Oleh itu, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondo berkenaan dan RM3.15 juta daripada Mohd Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat serta faedah petrol.

Syarikat itu juga menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi yang diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isa Samad kekal pengakuan tidak bersalah

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Perbicaraan kes bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan rasuah lebih RM3 juta akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini, pada 7 Oktober ini selama 13 hari.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh berkenaan selepas Mohd Isa, 70, mengekalkan pengakuan tidak bersalah ke atas semua pertuduhan, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan adalah 7 sehingga 9 Oktober dan bersambung 14 sehingga 25 Oktober.

Hari ini adalah sebutan kali pertama kes itu di Mahkamah Tinggi selepas kes berkenaan dibenarkan dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Mohd Isa yang hadir ke mahkamah memakai kot kelabu dibacakan semula 10 pertuduhan itu satu persatu dan beliau berkata “minta bicara” ketika ditanyakan jurubahasa apakah pengakuannya terhadap semua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu melakukan pecah amanah ke atas dana terbabit dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah FELDA.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah FELDA Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah FELDA memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan membabitkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-10, Mohd Isa didakwa menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemuanya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai memohon mahkamah mengekalkan jaminan RM800,000 yang dikenakan ke atas Mohd Isa ketika kali pertama didakwa di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Tiada sebarang bantahan dikemukakan Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Mohd Isa.

Allan turut memaklumkan bahawa kesemua dokumen berkaitan kes itu diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah namun katanya terdapat tiga dokumen yang tidak lengkap dan akan diserahkan dalam minggu ini.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan Mohd Isa mengguna pakai jaminan terdahulu dan mengarahkan Mohd Isa menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 13 Mei untuk pengurusan kes. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isa Samad didakwa pecah amanah, rasuah lebih RM3 juta

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah lebih RM3 juta.

Pertuduhan itu berkait dengan kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Syarikat Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Mohd Isa, 69, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd, yang diamanahkan dengan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah ke atas dana tersebut dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah Felda Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu yang mana Anggota Lembaga Pengarah Felda memberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-10, Mohd Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai, yang kesemunya berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu Anggota Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh pihak Syarikat FIC Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC dekat sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Mohd Isa diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan peguam Ridha Abdah Subri.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir?

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir

SHAH ALAM, 17 OKT: Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka tersingkir daripada persaingan merebut kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemilihan Umno 2013.

Antara faktor penyumbang kekalahan Hishamuddin adalah kerana gagal mencapai prestasi diharapkan Umno baik sebagai Naib Presiden Umno mahupun sebagai Menteri Kabinet.

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata kemenangan Hishamuddin dalam Pemilihan Umno sebelum ini dibantu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan sepupu beliau.

Selain Hishamuddin, turut dijangka tewas dalam perebutan enam penjuru itu, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Saya tidaklah boleh meramalkan dengan tepat tetapi saya boleh katakan beberapa orang yang lama itu dalam Umno semakin tidak disenangi banyak pihak dalam Umno dan luar Umno seperti Hishamuddin, Isa Samad dan Ali Rustam.

“Ali Rustam sendiri tidak menang di Melaka, Isa Samad pernah dikenakan tindakan disiplin manakala Hishammuddin dalam pemilihan Umno yang lalu pernah dikatakan tidak popular tetapi diselamatkan Najib,” ujar pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiga calon lain, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dijangka menang dalam perbezaan undi kecil.

“Bagi mereka yang menang mereka tidak lagi berkedudukan seperti pemimpin Umno sebelum ini, pemimpin dahulu, apabila menang mereka dianggap sebagai pemimpin yang bukan sahaja mencorak Umno tetapi juga mencorak dalaman BN dan juga negara.

“Dahulu bila menang dalam Umno, parti-parti komponen lain dalam BN seperti MCA, MIC sujud dan pembangkang pula, suara mereka tidak diambil kira kerana tidak mempunyai sokongan majoriti pada masa itu.

Tetapi sekarang Pakatan Rakyat memperolehi lebih 50 peratus sokongan rakyat, menjadikan mereka lebih kuat dari Umno,” ujar Mohamad lagi.