Categories
NASIONAL

Penganalisis : tiada harapan transformasi dalam Umno

Dr-Maszlee

SHAH ALAM, 20 OKT: Rakyat tidak boleh mengharapkan sebarang perubahan politik lebih matang daripada Umno apabila ketiga-tiga penyandang Naib Presiden parti itu terus mempertahankan kerusinya masing-masing.

Kejayaan Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam perebutan enam penjuru itu  membuktikan kegagalan Umno untuk berubah sekaligus menjadikan slogan meremajakan Umno gagal direalisasikan.

Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik, berkata ini berlaku apabila muka-muka lama dalam jawatan nombor tiga parti itu dijangka mengekalkan gaya dan pendekatan politik lama masing-masing yang semakin ditolak majoriti rakyat.

“Tiada apa perubahan yang boleh diharapkan bagi sesetengah orang yang mahu melihat perubahan politik dengan kekalnya muka lama, wacana lama, memang tiada apa yang boleh diharapkan dari Umno,” kata Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kepada TVSelangor.

Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri sebelum ini dilihat gemar bertindak agresif sehingga melampaui batas dalam cubaan menolak dakwaan pihak pembangkang yang menyentuh isu-isu di bawah kementerian beliau.

Antaranya termasuklah reaksi beliau dalam isu kehilangan senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), isu kejadian tembak menembak antara polis dan penjenayah dan isu ‘samseng kenduri-kendara’.

Sementara itu, Hishamuddin juga dilihat gagal bertindak wajar dalam isu Perhimpunan Aman BERSIH 3.0 ketika beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Manakala bagi kerusi Majlis Tertinggi yang turut menyaksikan majoriti muka lama yang mempunyai kedudukan dalam kabinet juga dilihat semakin menguatkan teori tersebut.

“Mereka mempunyai jawatan dalam kabinet mempunyai akses lebih besar terhadap media, manakala orang baru walaupun membawa agenda perubahan yang positif sukar mendapat liputan, akhirnya ditenggelamkan populariti pemimpin lama ini.

“Dalam soal ini, media juga kena adakan anjakan pradigma, ini terpakai kepada semua parti,” kata Dr Maslee lagi.

Dalam perebutan jawatan Majlis Tertinggi Umno semalam, hampir kesemua pemenang merupakan muka lama dalam Umno termasuk mereka yang menjawat jawatan Menteri dan Timbalan Menteri atau sekurang-kurangnya Ahli Parlimen.

Categories
NASIONAL

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir?

Hishamuddin, Isa Samad, Ali Rustam bakal tersingkir

SHAH ALAM, 17 OKT: Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dijangka tersingkir daripada persaingan merebut kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dalam Pemilihan Umno 2013.

Antara faktor penyumbang kekalahan Hishamuddin adalah kerana gagal mencapai prestasi diharapkan Umno baik sebagai Naib Presiden Umno mahupun sebagai Menteri Kabinet.

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar, berkata kemenangan Hishamuddin dalam Pemilihan Umno sebelum ini dibantu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan sepupu beliau.

Selain Hishamuddin, turut dijangka tewas dalam perebutan enam penjuru itu, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Saya tidaklah boleh meramalkan dengan tepat tetapi saya boleh katakan beberapa orang yang lama itu dalam Umno semakin tidak disenangi banyak pihak dalam Umno dan luar Umno seperti Hishamuddin, Isa Samad dan Ali Rustam.

“Ali Rustam sendiri tidak menang di Melaka, Isa Samad pernah dikenakan tindakan disiplin manakala Hishammuddin dalam pemilihan Umno yang lalu pernah dikatakan tidak popular tetapi diselamatkan Najib,” ujar pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM) itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata tiga calon lain, Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula dijangka menang dalam perbezaan undi kecil.

“Bagi mereka yang menang mereka tidak lagi berkedudukan seperti pemimpin Umno sebelum ini, pemimpin dahulu, apabila menang mereka dianggap sebagai pemimpin yang bukan sahaja mencorak Umno tetapi juga mencorak dalaman BN dan juga negara.

“Dahulu bila menang dalam Umno, parti-parti komponen lain dalam BN seperti MCA, MIC sujud dan pembangkang pula, suara mereka tidak diambil kira kerana tidak mempunyai sokongan majoriti pada masa itu.

Tetapi sekarang Pakatan Rakyat memperolehi lebih 50 peratus sokongan rakyat, menjadikan mereka lebih kuat dari Umno,” ujar Mohamad lagi.

Categories
NASIONAL

KPN perlu dihadap ke Jawatankuasa Khas Ketua Audit Negara

Audit-Polis

SHAH ALAM 9 OKT : Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan tentang kehilangan senjata api dan aset polis, bukannya menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara ini penting kerana Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan bahawa polis memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan 44 pucuk senjata api dan aset polis lain.

“Ambrin menyangkal beberapa laporan menyebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa satu laporan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara berkenaan barangan polis yang hilang tetapi penjelasan dalam laporan tersebut tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Atas sebab ini, Ketua Polis Negara perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas untuk memberi penjelasan penuh dan memuaskan tentang kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kit Siang berkata, adalah sesuatu yang menggusarkan kerana tiada tanda Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ingin memanggil KPN untuk memberi penjelasan tentang kehilangan aset polis itu.

“Agak menghairankan mengapa PAC tidak menyenaraikan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta sebagai salah satu perkara yang perlu segera disiasat.

“Sedangkan orang awam mengharapkan perkara ini diberikan keutamaan dalam senarai siasatan oleh PAC,” kata beliau.

Categories
SELANGOR

Mahasiswa Tunjuk Perasaan Depan KDN, Mahu Zahid Letak Jawatan

mahasiswa demo KDN 01

PUTRAJAYA 31 MEI : Sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan pejabat Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi meletakkan jawatan, ekoran penahanan aktivis yang bermotifkan politik.

Kira-kira 30 mahasiswa berkumpul berhampiran pintu masuk utama KDN, dengan membawa kain rentang bagi menunjuk perasaan secara aman selepas solat Jumaat.

Ketua Solidariti Mahasiswa Malaysia Mohammad Safwan Anang yang baru dibebaskan dengan ikat jamin hari ini turut turun padang dan dengan lantang mendesak Zahid letak jawatan kerana mencemar profesionalisma Kementerian Dalam Negeri.

safwan anang mug demo 01Beliau ditahan Rabu lepas dan disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada program Malam Anak Bangsa Malaysia di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu, yang didakwa berbaur hasutan.

?Kita rasa Datuk Seri Zahid Hamidi perlu berundur, letak jawatan sekiranya beliau masih gagal untuk menangani isu ini.

?Yang kedua, yang cukup jelas dan terang beliau juga telah menyalahgunakuasa apabila mengarahkan polis untuk membuat tuduhan secara berpilih dan itu yang kita rasa beliau telah menggunakan jentera kerajaan untuk motif politik,” kata Safwan.

Mahasiswa juga menuntut KDN dan polis dibebaskan dari campurtangan politik yang bagi mereka telah menyebabkan dua badan tersebut bersikap berat-sebelah.

Selain Safwan, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim juga ditahan dan disiasat dibawah akta yang sama kerana kenyataan beliau di forum yang sama.

Turut ditahan dan didakwa di bawah akta dan sebab yang sama adalah, Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis Pas Tamrin Ghafar dan pemimpin NGO anti-Umno Haris Ibrahim.

 

Categories
NASIONAL

KPN Baru Perlu Fokus Banteras Jenayah Bukan Politik

 

KPN Baru Perlu Fokus Banteras Jenayah Bukan Politik 01

SHAH ALAM 22 MEI : Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa untuk menumpukan tugas beliau untuk memastikan negara, pelancong dan pelabur selamat daripada kejadian jenayah.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan dua anggota polis yang menyoal siasat Pengasas DAP, Dr Chen Man Hin selama Satu Jam 15 minit di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah dengan dakwaan yang tidak berasas adalah membuang masa.

Katanya, Dr Chen disiasat ekoran dakwaan beliau menggunakan terma ‘Malaysian Spring’ yang emel peribadinya pada tahun lepas dengan dikaitkan konspirasi untuk keganasan dan menjatuhkan kerajaan sah.

“Ini adalah tindakan yang membuang masa pihak Polis yang sewajarnya adalah untuk memastikan negara bebas daripada jenayah,” kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Tambah beliau, kejadian pecah rumah kepada adik Timbalan Perdana Menteri di Petaling Jaya dan adik Ketua Polis Negara di Mantin menunjukkan situasi mencemaskan kejadian jenayah di negara ini.

“Dengan kejadian sedemikian adalah tidak bertanggungjawab apabila polis apabila membuang masa dan sumber tenaga dengan menumpukan isu berkaitan dakwaan politik,” kata Kit Siang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi jelasnya mungkin boleh berlagak bahawa siasatan polis terhadap Dr Chen adalah bukti betapa dia serius bertugas sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Dia teramatlah silap, kerana itu hanya membuktikan Malaysia mendapat individu yang salah untuk menjadi Menteri Dalam Negeri di mana tidak mengetahui apa keutamaan yang sepatutnya,” tegas beliau.