Categories
NASIONAL

Minyak sawit Malaysia berpotensi besar cemerlang – Teresa

KUALA LUMPUR, 27 APR: Minyak sawit Malaysia masih mempunyai banyak potensi untuk cemerlang berbanding pesaingnya seperti minyak kacang soya, sesawi, zaitun dan bunga matahari, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Bagaimanapun, katanya peserta industri besar dan kecil perlu memastikan minyak sawit Malaysia lebih baik daripada minyak makan yang lain.

“Kita perlu mematuhi semua peraturan termasuk mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) bagi ladang kita.

“Sehingga 31 Mac, kira-kira 28 peratus daripada ladang kita diperakui MSPO. Kami mahu memastikan menjelang tahun depan, semua pengeksport minyak sawit terutamanya ke Kesatuan Eropah (EU) diperakui. Ini matlamat kami,” katanya pada taklimat bersama media sempena sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Teresa berkata kempen Sayangi Sawit dengan slogan ‘Produk Malaysia Lima Bintang’ yang dilancarkan baru-baru ini, menggesa peserta industri untuk meneliti semula cara mereka mengendalikan ladang mereka.

“Dengan menguruskan ladang dengan baik, secara automatik kita akan dapat menangani semua dakwaan terhadap industri ini, termasuk penebangan hutan, membunuh hidupan liar dan kehilangan biodiversiti.

“Itu sebabnya saya pergi ke Sabah. Saya mahu memberi inspirasi kepada semua kerajaan negeri dan peserta industri minyak sawit untuk menanam semula satu juta pokok hutan di seluruh negara.

“Saya turut menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membincangkan tentang bagaimana kita dapat menghubungkan kembali seluruh koridor hidupan liar supaya ladang kelapa sawit dapat bersama hidupan liar kita. Beri kembali hutan kepada hidupan liar,” katanya.

Sementara itu, mengenai resolusi EU dan cadangannya untuk melarang minyak sawit ke Eropah, menteri itu mengakui bahawa ia akan menjadi ‘perjuangan jangka panjang’.

Beliau berkata walaupun berdekad menangani isu ini, lebih banyak penglibatan diperlukan antara Malaysia dan pemimpin politik EU.

“Kita masih perlu melobi dan berkempen untuk minyak sawit. Mengetahui pada Mei akan terdapat pilihan raya Parlimen Eropah dan perubahan iklim, semua ini menjadi kepentingan politik untuk semua calon yang bertanding dalam pilihan raya itu.

“Oleh itu, ia mungkin amat sukar bagi kami untuk meminta mereka menangguhkan peraturan perwakilan itu, tetapi peraturan tersebut akan dikaji semula pada Jun 2021,” katanya.

Ditanya mengenai potensi kehilangan hasil daripada kehilangan eksport ke blok perdagangan itu disebabkan larangan tersebut, menteri itu berkata tiada angka yang tepat pada peringkat ini berikutan ia masih mengimport minyak sawit Malaysia.

“Mereka akan menghentikan secara berperingkat jumlah import menjelang 2030,” katanya.

Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan tahun lepas, negara mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke EU, susut empat peratus berbanding 1.99 juta tan dicatatkan pada 2017 dan menyumbang 12 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2018.

EU merupakan pembeli minyak sawit Malaysia kedua terbesar, selepas India.

Sementara itu, China merupakan pengguna ketiga diikuti Pakistan, Filipina, Turki dan AS. Tujuh negara utama ini menyumbang 9.31 juta tan atau 56.5 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2018.

Categories
NASIONAL

Parlimen Seputeh umum RM50,000 tambah baik balai polis

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEPUTEH, 25 MAC: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menambah baik balai polis di Seputeh.

Menteri Industri Utama itu, dalam pengumumannya turut memperuntukan RM10,000 kepada kelab polis.

“Saya umumkan peruntukan RM50,000 bagi menambah baik lapan balai polis di kawasan Seputeh dan RM10,000 kepada kelab polis,” tulisnya di Twitter.

Pada masa sama, beliau kata, ini kali pertama beliau hadir ke Sambutan Hari Polis selama 20 tahun menjadi wakil rakyat.

Beliau mengumumkan peruntukan terbabit selepas menghadiri Sambutan Hari Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Sambutan Hari Polis Ke-212 disambut serentak di seluruh negara oleh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Categories
NASIONAL

Kerajaan kemuka cadangan tingkat kadar adunan biodiesel

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kementerian Industri Utama akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung cadangan meningkatkan kadar adunan biodisel sawit dalam sektor pengangkutan dan industri, dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Teresa Kok berkata, menerusi program Biodisel Negara, kadar adunan di stesen minyak merangkumi tujuh peratus biodisel sawit dan 93 peratus diesel petroleum, di bawah Program B7 dalam sektor pengangkutan.

Sementara katanya, sektor industri masih kekal menggunakan diesel biasa (B0).

“Kedua program (B7 dan B10) dijangka menggunakan 760,000 tan minyak sawit dalam negara setahun, seterusnya mengukuhkan harga sawit di pasaran.

“Kita juga memperkukuh pasaran eksport sedia ada, di China memandangkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia sudah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universiti Tsinghua di Beijing, pada Ogos lalu untuk menggalakkan penggunaan bahan api berasaskan sawit Malaysia di China,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin pada sesi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat.

Katanya, harga diesel industri berada pada paras RM2.60-RM2.80 seliter, berbanding RM2.28 seliter untuk biodiesel.

Teresa berkata, penggunaan B7 dalam sektor industri akan memberi penjimatan kos bahan api sebanyak RM6.5 juta jika harga itu berterusan.

“Harga biodiesel sekarang adalah RM2.2857 berbanding harga kos diesel semasa RM2.3105 seliter.

“Maka, adalah jelas bahawa biodiesel lebih murah berbanding diesel,” katanya.

Categories
NASIONAL

Segera warta Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020

SHAH ALAM, 24 APRIL: Konvensyen Pakatan Harapan (PAKATAN) Wilayah Persekutuan mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan mewartakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 dengan serta-merta.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berkata, pembangunan tanpa kawalan dan tidak mengikut Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 menyumbang kepada kesesakan trafik dan kekecohan dari aspek pembangunan serta menimbulkan bantahan daripada penduduk di Kuala Lumpur.

“Selain itu, banjir kilat tetap berlaku di banyak tempat sekitar Kuala Lumpur kerana keadaan perparitan yang cetek dan lama, ditambah pembangunan pesat tanpa kawalan dari segi densiti.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa untuk meluluskan pembangunan projek mengikut kegunaan tanah ditetapkan dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020,” katanya lapor Sinar Online.

Teresa yang juga hli Parlimen Seputeh berkata, DBKL banyak meluluskan projek pembangunan berdensiti tinggi kepada Yayasan Wilayah Persekutuan yang ditadbir pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, keadaan itu adalah konflik berkepentingan di antara pihak yang memberi kelulusan dengan permohon projek.

teresa kokPada masa sama, Teresa berkata, tindakan kerajaan pusat yang ingin membina insinerator pembakaran sampah di Kepong mencetuskan bantahan daripada penduduk setempat.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu membatalkan projek insinerator terbabit yang bakal mengancam keselamatan, kesihatan dan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.

“Kerajaan dan DBKL perlu meneruskan usaha 3R (Reuse, Reduce & Recycle) bagi mengurangkan pembuangan sampah ke kadar sifar.

“Dengan langkah ini, keperluan untuk membina insinerator tidak wujud lagi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jamal lempar fitnah, Teresa bakal saman

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mempertimbangkan tindakan saman terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos yang didakwa memfitnahnya berkaitan perbelanjaan wang peruntukan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Beliau berkata, tuduhan dibuat Ketua Bahagian Umno Sungai Besar bahawa dirinya menyalahguna dan membelanjakan peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu salah satu skim di bawah YAWAS sehingga RM2 juta seperti laporan media adalah tidak benar kerana terdapat rekod.

“Terdapat rekod dari 2016 hingga hari ini iaitu 383 keluarga datang ke pejabat saya memohon SMUE dan wang dikeluarkan hanya RM383,000 sahaja bukan RM2 juta seperti didakwa.

“Dia (Jamal) juga tuduh pembantu saya keluarkan wang guna kad ATM di Kajang, Semenyih dan beberapa tempat.

teresa kok“Apa yang Jamal katakan adalah tuduhan palsu dan hasutan fitnah terhadap saya. Selepas ini, saya akan berbincang dengan peguam untuk failkan saman terhadap Jamal,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, SMUE ialah wang ehsan kepada keluarga si mati dengan setiap waris berhak memperoleh bantuan RM2,500 dengan bayaran pendahuluan RM1,000 diuruskan pejabat wakil rakyat, manakala baki RM1,500 oleh pejabat daerah dua bulan selepas itu.

Katanya, setiap wakil rakyat PAKATAN di Selangor dan Kuala Lumpur termasuk Seputeh menerima peruntukan permulaan RM10,000 yang dimasukkan dalam satu akaun khas atas nama wakil rakyat berkenaan serta kad ATM.

“Apabila berlaku kematian, waris si mati memohon SMUE dan wang RM1,000 akan dikeluarkan untuk diberi kepada mereka sehingga semua RM10,000 dibelanjakan.

“Selepas itu, petugas saya akan hantar semua dokumen berkaitan ke Pejabat Daerah Petaling untuk rekod dan peruntukan RM10,000 ditambah lagi untuk bantuan seterusnya,” katanya.

Teresa berkata, semua rekod pemberian wang ehsan kepada waris si mati disimpan baik Pejabat Daerah Petaling dan beliau tidak pernah melakukan penyelewengan.

“Kita dan Pejabat Daerah Petaling mempunyai semua rekod, jangan anggap penjawat awam Selangor, pejabat daerah juga YAWAS tidak berkesan dan bodoh serta mengikut arahan kami.

“Jangan cuba fitnah dan hina usaha kita untuk beri wang ehsan kepada keluarga si mati,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Haramkan akaun Facebook Alvin Tan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 NOV: Warga Facebook disaran membuat aduan kepada pentadbir laman sosial itu untuk mengharamkan akaun Alvin Tan.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berkata perbuatan Alvin berterusan menghina Islam tidak mewakili kaum Cina dan bukan Islam.

teresa kokKatanya, perbuatan itu sekadar merosakkan keharmonian masyarakat majmuk serta memalukan Malaysia.

“Saya merasa marah dan kesal melihat perbuatan gila blogger Alvin Tan yang menghina dan mengotorkan Al-Quran.

“Perbuatan yang mengejikan ini menyakiti hati semua umat Islam dan bukan Islam.

“Justeru itu, saya menyeru semua pemilik Facebook memanjangkan aduan berkenaan perbuatan keji Alvin Tan kerana ia bercanggah dengan jiwa dan prinsip Facebook,” katanya dalam satu status di Facebook sebentar tadi.

Terdahulu, Alvin Tan bertindak kurang ajar dengan menghina dan mengotorkan Al-Quran.

Perbuatan itu mengundang reaksi kurang senang bukan sahaja umat Islam tetapi juga bukan Islam.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Teresa Kok: Bukan DAP saja bangkitkan, Mahathir juga persoal 1MDB

SHAH ALAM, 23 NOV: Ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok mempersoalkan tindakan Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Al Habshee yang menggesanya tidak mempolitikkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kok berkata, Syed Ali sepatutnya menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempolitikkan isu 1MDB kerana turut mengkritik syarikat pelaburan negara itu.

“Adakah beliau (Syed Ali) akan menuduh Mahathir mempolitikkan isu 1MDB untuk memburukkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?,” katanya yang dipetik dari Malaysia Kini.

Beliau berkata, Mahathir membangkitkan beberapa persoalan berkenaan lambakan hutang dan penggunaan dana 1MDB, pada September lalu.

“Isu berkenaan 1MDB dan dibangkitkan oleh DAP dan Mahathir adalah isu yang sangat serius dan memerlukan delegasi Umno untuk berani mengangkatnya dalam perbahasan mereka,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Syed Ali yang mempersoalkan tindakan DAP yang menggesa Umno membincangkan isu 1MDB ketika perhimpunan agung parti itu, pada 21 November lalu.

Categories
NASIONAL

Teresa Kok nyaris diragut dua lelaki bermotosikal

SHAH ALAM, 16 APRIL: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menjadi mangsa terbaru jenayah apabila cuba diragut dua lelaki bermotosikal berhampiran kediaman keluarganya di Sentul, semalam.

Dalam kejadian di Taman Rainbow itu, suspek cuba meragut rantai leher tetapi melarikan diri tanpa berjaya mendapatkan rantai berkenaan selepas Teresa menjerit.

Memetik laporan Malaysia Kini, Teresa dan dua anak saudaranya berusia 11 dan lima tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

TERESA KOKTeresa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sentul, pada tengah hari semalam.

Menurut polis, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihak berkuasa menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian terbabit supaya tampil menyalurkannya.

Polis berkata, pasukan berkenaan akan menambah kekerapan rondaan dan tindakan pencegahan di sekitar kawasan terbabit.

JURNAL BERITA : Projek Rumah Selangorku dilancar MB pada 22 Feb ini

1. Projek Rumah Selangorku dilancar MB pada 22 Feb ini

2. JMM: Pembenihan awan jika negara alami bencana kemarau

3. Anwar: Kemenangan PR di Kajang penting akhiri legasi Umno-BN

4. 19 angkat sumpah ahli majlis MBPJ, ikrar terus khidmat cemerlang

5. 3 muka baru angkat sumpah ahli majlis MDKL

6. AKTIVITI YB: Masyarakat patut lipat ganda usaha banteras wabak denggi

7. AKTIVITI YB: Jeti terbiar dikenalpasti sesuai jadi Pusat Latihan Kenu

8. AKTIVITI YB: Zaidy turun padang selesai masalah pembangunan Selayang Heights

9. Hartanah PKNS catat jualan lebih RM8.6 juta

10. Laluan Bandar Rawang diubah suai pastikan kelancaran lalulintas

11. MBSA: Beberapa jalan ditutup sempena Pertandingan Berbasikal Kriterium pada 22 Feb

12. Dr Dzul: MAS rugi RM1.17 bilion, apa tindakan Kerajaan Pusat?

13. Politik Seks: Penyebar aib manusia, percaya, berdosa besar – Fathul Bari

14. Teresa Kok: “Cukup-cukuplah…”

Categories
NASIONAL

Teresa Kok: “Cukup-cukuplah…”

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 20 FEB : Selepas lebih dua minggu diserang, Teresa Kok menggesa agar segala putar-belit berhubung penerbitan sebuah klip videonya sempena Tahun Baru Cina dihentikan.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, serangan dan ugutan yang diterimanya membuktikan bahawa terdapat pihak yang berniat jahat memburukkan kredibiliti pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

YB Teresa Kok Purple Mic 01Katanya, pihak yang bertanggungjawab berkenaan jelas memutar-belitkan apa-apa kenyataan wakil rakyat dan pemimpin PR untuk dijadikan isu perkauman.

“Lihat sahaja klip video saya yang tidak mengandungi unsur perkauman boleh diputar-belitkan sehingga saya menghadapi ugutan sebegini.

“Saya percaya pemimpin PR yang lain juga akan menghadapi masalah yang sama seperti saya dalam bulan-bulan atau tahun-tahun yang akan datang,” katanya dalam status Facebooknya semalam.

cat teresa kokKenyataan itu dikeluarkan ekoran penemuan bangkai ayam di pejabatnya di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur selain tangganya turut disimbah cat berwarna merah.

Terdahulu, dalam satu sidang media, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP berkata beliau kini semakin bimbang dengan keselamatan dirinya ekoran beberapa siri kejadian terhadapnya.

“Tetapi, walau apa pun dugaan, saya masih perlu meneruskan kerja saya dan menghadiri majlis untuk bertemu rakyat.

“Saya tidak mempunyai pengawal peribadi. Tetapi apabila saya menghadiri majlis, akan ada lebih ramai orang bersama saya,” katanya.

Sehubungan itu, Teresa berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan yang menyeluruh dan dapat menahan suspek yang bertanggungjawab.

Sebelum ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur melumurkan darah ayam ke gambar beliau selain menawarkan ganjaran wang untuk menamparnya.

EZY

Categories
NASIONAL

‘Ma lai saile’ bermakna ‘kuda datang dengan hebatnya’ tapi Umno terjemah lain

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 16 FEB: Orang Melayu dinasihatI tidak mudah mempercayai propaganda pihak tertentu yang memutar belit terjemahan video ONEderful-Malaysia terbitan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, perkataan ‘malai saile’ yang disebut dalam rakaman bermakna ‘kuda datang dengan hebatnya’ dan tidak menyentuh kaum Melayu di negara ini.

“‘Ma’ maknanya ‘kuda’, ‘lai’ maknanya ‘datang’, ‘saile’ bermakna ‘dengan hebatnya’ menjadikan terjemahannya ‘kuda datang dengan hebatnya’ kerana Tahun Baru Cina kali ini, tahun kuda tetapi Umno terjemah lain.

“Orang Umno mahu ajar cakap Cina kepada orang Cina. Bila Cina beritahu tak betul, tak nak dengar. Macam dia lebih tahu dari orang Cina,” katanya pada sidang media di pejabatnya, baru-baru ini.

imagesMalah, Khalid juga difahamkan jika perkataan ‘ma lai’ diterjemah ke bahasa Melayu, ia memberi makna ‘Melayu itu hebat’.

“Kalau pun nak terjemahkan ‘malai’ itu Melayu, ‘ma lai saile’ bermakna ‘Melayu itu hebat’. Kalau orang Melayu, Cina akan sebut ‘Malai ren’ sebab setiap orang mereka akan tambah ‘ren’. Malai ren maknanya ‘orang Melayu’,” katanya.

Beliau menyifatkan Umno tiada modal politik hingga memainkan apa jua isu khususnya perkauman, kemudian membuat laporan polis di sana sini, selain membuat provokasi lain.

“Ini semua kerja gila dan inilah yang saya sebut, Umno merosakkan Melayu. Memalukan, menjatuhkan maruah Melayu.

– FZL

Categories
NASIONAL

Pelakon sitkom Kopitiam 88 tidak terlibat video Onederful M’sia

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 FEB : Radio Televisyen Malaysia (RTM) digesa supaya menarik balik arahan penggantungan sitkom popular Cina ‘Kopitiam 88’ kerana tiada pelakon dalam sitkom itu terlibat dengan video parodi Tahun Baru Cina yang dihoskan Ahli Parlimen Seputeh.

Teresa Kok dalam satu kenyataan berkata sebagai sebuah badan profesional, RTM patut tidak terburu-buru mengambil tindakan tanpa melakukan siasatan terperinci terlebih dahulu.

onderful“Saya amat kesal bahawa RTM menggantung penyiaran sitkom Kopitiam 88 kerana mengesyaki salah seorang pelakon dalam sitkom itu terlibat dalam video Onederful Malaysia.

“Saya membuat semakan dan mendapati tiada seorang pelakon daripada sitkom itu terlibat dengan pembikinan klip video saya,” katanya.

Teresa berkata RTM sewajarnya menjadi badan penyiaran yang tidak hanya tertumpu kepada politik semata-mata seperti siaran BBC di United Kingdom dan ABC di Australia bagi mendapatkan semula kredibiliti mereka dan sokongan orang ramai di Malaysia.

Beliau berkata RTM juga perlu menghormati kebebasan dan profesionalisme artis tempatan dalam membuat persembahan tidak kira apa program atau platform yang mereka mahu.

“RTM mesti menghormati kebebasan dan profesionalisme artis membuat persembahan di mana-mana rancangan, program dan platform yang mereka mahu, sejajar dengan aspirasi kerjaya dan profesional mereka,” katanya lagi.

Sitkom 88 Kopitiam yang bersiaran di saluran RTM dihentikan sementara bagi menyiasat kesahihan dakwaan pembabitan pelakonnya dalam klip video yang dikatakan mencemar imej negara.

Ketua Pengarah Penyiarannya, Datuk Norhayati Ismail, berkata RTM akan memanggil penerbit rancangan berkenaan dalam masa terdekat untuk mengesahkan pembabitan pelakon tersebut.

EZY