Categories
GLOBAL

Misi menyelamat 12 remaja, pembantu jurulatih bakal difilemkan

LOS ANGELES 12 JUL: Syarikat produksi filem Pure Flix mengumumkan rancangan untuk menghasilkan filem berdasarkan operasi menyelamat 12 remaja lelaki dan pembantu jurulatih, pasukan bola sepak yang terperangkap di dalam gua di Chiang Rai, Thailand.

Rancangan itu diumumkan rakan kongsi syarikat itu, Michael Scott di akaun Twitter miliknya.

Scott yang menetap di Thailand, berada di lokasi pasukan penyelamat di Chiang Rai ketika kesemua remaja itu diselamatkan.

“Saya berasa sangat teruja. Cerita ini amat bermakna bagi saya kerana berpeluang menyaksikannya sendiri di Thailand.

“Sebenarnya, isteri saya membesar bersama anggota unit SEAL tentera laut Thailand yang maut dalam gua itu.

“Peluang untuk melihat sendiri keberanian dan perjuangan mereka yang berada di dalam gua ini, hingga mereka semua berjaya keluar dengan selamat, sangat menyentuh hati.

“Malah, ia menjadi sesuatu yang amat peribadi kepada saya,” katanya dalam video yang dirakamkan di dalam gua, iaitu lokasi kejadian di Thailand.

Difahamkan, isteri Scott turut membantu proses pengebumian Saman Kunan, bekas anggota unit SEAL yang terkorban pada 6 Julai lalu, ketika membantu operasi memasang tangki oksigen di dalam laluan gua terbabit.

“Kami berharap filem ini mampu memberi inspirasi kepada jutaan manusia di seluruh dunia.

“Dan kami berada di sini, untuk menyaksikan sendiri peristiwa ini, mengumpul segala maklumat yang diperlukan, supaya dapat memberi laporan tepat mengenai usaha pihak antarabangsa, dari seluruh dunia untuk membantu menyelamatkan 12 remaja yang terperangkap dalam gua ini,” katanya.

Sementara itu, pengasas bersama Pure Flix, David A.R. White memberitahu The Wall Street Journal, bahawa syarikat itu sudah mengadakan perbincangan dengan pelakon dan penulis serta pelabur berminat untuk menerbitkan filem berkenaan.

Pure Flix bertanggungjawab menerbitkan trilogi ‘God’s Not Dead’ pada 2014 hingga 2018.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Penyelam tentera Thailand lemas dalam Gua Tham Luang

MAE SAI, Thailand 7 JUL: Seorang bekas penyelam tentera laut Thailand lemas semalam ketika cuba membantu menyelamatkan sebuah pasukan bola sepak kanak-kanak yang terperangkap di dalam sebuah gua dinaiki air, manakala pegawai-pegawai memberi amaran bahawa peluang untuk membebaskan mereka adalah ‘terhad’.

Penyelam itu yang dikenal pasti sebagai Saman Kunont, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan oksigen kepada kumpulan kanak-kanak terperangkap itu.

Kematian penyelam itu menimbulkan keraguan serius mengenai aspek keselamatan dalam percubaan untuk membawa keluar 12 kanak-kanak dan jurulatih bola sepak mereka melalui laluan sempit di Gua Tham Luang yang ditenggelami banjir di wilayah Chiang Rai, utara Thailand.

Bagaimanapun, Apokorn Yookongkaew yang merupakan komander unit khas tentera laut Thailand, SEAL berkata, pasukan penyelamat tiada pilihan selain menyusuri laluan sukar itu kerana mereka tidak boleh menunggu sehingga hujan monsun berakhir.

“Pada mulanya, kami menyangka kanak-kanak itu boleh berada di gua itu untuk tempoh yang lebih lama tetapi keadaan kini berubah, kami mempunyai masa yang terhad,” katanya kepada wartawan semalam.

Situasi suram itu menutup kegembiraan rakyat Thailand awal minggu ini apabila kumpulan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan tetapi selamat di atas batu di dalam gua berkenaan.

Kebanyakan kanak-kanak lelaki itu berusia antara 11 hingga 16 tahun dan tidak pandai berenang, jauh sekali mempunyai pengalaman menyelam.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Umat Islam di Thailand, Indonesia & Singapura sambut 1 Syawal hari ini

PATTANI 15 JUN: Umat Islam di Thailand menyambut Hari Raya Aidilfitri hari ini setelah pihak berkuasa agama mengisytiharkan anak bulan telah kelihatan di selatan negara itu petang semalam

Perisytiharan tarikh 1 Syawal itu serentak dengan Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Pengumuman rasmi tarikh sambutan Aidilfitri itu dibacakan oleh Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phitakumpol, yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi televisyen tempatan, NBT Thailand, malam tadi.

Petang semalam, kira-kira 1,000 umat Islam daripada empat wilayah di selatan Thailand berkumpul di Bukit Parik, daerah Yaha di wilayah Yala untuk melihat anak bulan bagi penentuan tarikh sambutan Aidilfitri.

Anak bulan telah kelihatan kira-kira 6.45 petang semalam (waktu tempatan).

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pilihan raya Thailand: Awal 2019 dan bukan lebih awal

BANGKOK 23 MEI: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha mengulangi semalam, pilihan raya negara itu akan berlangsung pada ‘awal 2019 dan bukan lebih awal’ ketika ratusan penunjuk perasaan berarak di ibu kota ini menuntut undian diadakan November ini.

Penunjuk perasaan, sesetengah mengibarkan bendera Thailand dan lain memegang sepanduk bersama kartun Prayuth sebagai Pinocchio berarak dari Universiti Thammasat ke pejabat Perdana Menteri di Rumah Kerajaan namun dihalang barisan polis berseragam hitam.

Sejumlah penunjuk perasaan menolak polis cuba memecahkan penghadang sementara kumpulan berasingan sekitar 80 orang berjalan ke arah ibu pejabat serantau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk ke pejabat Prayuth.

Rumah Kerajaan dan jalan sekitar diisytihar zon tidak boleh dilalui oleh polis untuk perarakan sempena empat tahun rampasan 22 Mei 2014 dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya tidak melanggar arahan junta membuat perhimpunan awam.

Prayuth, ketua tentera yang mengetuai rampasan 2014 menamatkan bantahan jalanan dan kebuntuan politik mengulangi semalam, tiada pilihan raya sehingga 2019.

Tentera berjanji mengembalikan pemerintahan demokratik namun berulang kali menangguhkan pilihan raya.

SUMBER: REUTERS

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

B2B Thailand, Tourism Selangor perluas promosi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JAN: Inisiatif promosi pelancongan negeri diteruskan Tourism Selangor menerusi penyertaan Chiang Mai International Exhibition and Convention Centre (CMECC), Thailand pada 24 hingga 26 Januari lalu.

Pengurus Besar, Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, kempen promosi itu dijayakan menerusi slot diskusi B2B ‘Table Top’ bersama delegasi pelancongan serantau.

“Pasaran Asia Tenggara merupakan sasaran utama Tourism Selangor untuk menarik lebih tinggi kemasukan pelancongan menerusi kerjasama terbaik dengan Tourism Malaysia.

“Kami berharap kerjasama ini membuka pandangan masyarakat umum terhadap produk pelancongan negeri yang mampu dipasarkan kepada pelancong dari luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan jumlah kedatangan pelancong dari Asia Tenggara sehingga 800,000 bagi tempoh suku tahun 2017 lalu.

Noorul Ashikin berkata, perkembangan positif itu menyaksikan pertambahan jumlah kedatangan sebanyak 5 peratus, berbanding tahun sebelumnya sekitar 3 peratus.

“Pertambahan ini didorong hasil promosi dan tarikan pelancongan terbaru yang ada di Selangor seperti Sky Mirror Kuala Selangor, Gua Damai, Bangi Wonderlang, Mitsui Outlet Park, Selangor Fruit Valley, hotel mewah dan banyak lagi kemudahan infrastruktur di negeri,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor melancarkan kempen Discover Selngor bagi memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati peluang pelancongan desa sebenar di negeri ini.

Pada masa sama, Kempen Take Me Anywhere yang dilancarkan di media sosial turut diperkenalkan sebagai inisiatif memberi gambaran sebenar terhadap keindahan dan kerhamonian pelancongan negeri.

Categories
GLOBAL

Bom di selatan Thailand korban 3 nyawa

BANGKOK, 22 JAN: Letupan bom di sebuah pasar di wilayah Yala, selatan Thailand hari ini mengorbankan tiga nyawa dengan 18 lagi dilaporkan cedera.

Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) berkata, wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala di selatan Thailand yang didiami majoriti penduduk Muslim, sekian lama menjadi lokasi pemberontakan etnik Muslim Melayu yang berjuang bagi mendapatkan kuasa autonomi.

“Penjenayah ini memasang bom pada sebuah motosikal dan meletakkannya di sebelah sebuah troli.

“Kekuatan letupan ini menyebabkan tiga terbunuh,” kata jurucakap ISOC, Pramote Prom-in.

Lebih 6,000 nyawa terkorban, sejak 2004.

ISOC adalah pasukan keselamatan kerajaan yang beroperasi di wilayah itu.

Setakat ini, masih belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan terbabit.

Categories
GLOBAL

Lokasi misteri Yingluck bakal terjawab

GLOBAL 27 SEPT: Misteri mengenai di mana bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra berada berikutan “kehilangan”nya sebulan lalu, akan didedahkan oleh kerajaan selepas Mahkamah Agung membuat keputusan mengenai kesnya hari ini.

Menurut Perdana Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-cha, jurucakap kerajaan akan mengumumkan maklumat mengenai lokasi di mana beliau berada pada masa ini kepada rakyat Thai.

“Saya (kerajaan) akan memberitahu selepas 27 September (keputusan mahkamah) di mana dia berada. Harap bersabar,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan di Bangkok semalam.

Prayut berkata, kerajaan harus menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil sebarang langkah berkaitan dengan bekas perdana menteri, yang menjadi perdana menteri wanita pertama negara ini pada 2011 sebelum digulingkan pada Mei 2014.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata sebarang langkah yang dibuat kerajaan adalah selaras dengan kedaulatan undang-undang.

Yingluck1Bahagian Jenayah untuk Pemegang Jawatan Politik di Mahkamah Agung Thailand akan menyampaikan keputusan mengenai kes pembabitan Yingluck dengan skim subsidi padi yang kontroversi, esok, di mana dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah.

Mahkamah sepatutnya menyampaikan penghakimannya bulan lalu tetapi terpaksa menangguhkannya selepas bekas perdana menteri itu gagal hadir di mahkamah, sehingga mencetuskan spekulasi dia meninggalkan negara ini bagi menyelamatkan diri daripada tindakan mahkamah.

Sejak ketidakhadirannya di mahkamah bulan lepas, Yingluck, yang juga adik perempuan bekas perdana menteri dalam buangan, Thaksin Shinawatra, tidak pernah dilihat di khalayak ramai atau mengeluarkan sebarang kenyataan.

Media membuat spekulasi bahawa dia menyelinap keluar dari Thailand melalui sempadan Kemboja, dua hari sebelum mahkamah bersidang, menaiki penerbangan ke Singapura dan Dubai kemudiannya bersama abangnya yang mempunyai sebuah rumah di bandar di Timur Tengah.

Mahkamah dijangka menyampaikan keputusan tanpa kehadiran Yingluck kerana besar kemungkinan dia tidak akan hadir di mahkamah hari ini.

Perdana menteri Thailand itu juga menolak dakwaan media bahawa sebuah negara asing telah memberikan maklumat mengenai di mana Yingluck berada.

“Siapa yang akan memaklumkan anda (kerajaan Thai). Saya mempunyai detektif saya,” katanya sambil menambah bekas perdana menteri itu tidak mempunyai alasan untuk memohon suaka memandangkan prosiding undang-undangnya masih berjalan.

Sebagai persediaan untuk keputusan mahkamah hari ini, Prayut berkata pasukan keselamatan telah membuat persiapan seperti biasa.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lokasi bagaimana Yingluck larikan diri masih jadi misteri

BANGKOK 2 SEPT: Seminggu sudah berlalu sejak bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra menghilangkan diri secara tiba-tiba dan kerajaan Thailand belum dapat merungkai misteri mengenai keberadaannya.

Kerajaan termasuk polis dan angkatan tentera masih berusaha untuk mencari jawapan tentang bagaimana beliau dapat melarikan diri dari negara itu.

“Kami masih tidak tahu dengan tepat keberadaan Yingluck,” menurut Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan, yang juga Menteri Pertahanan merangkap menteri bertanggungjawab bagi polis kepada media tempatan baru-baru ini ketika siasatan untuk menjejajaki Yingluck rancak berjalan.

Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu sepatutnya hadir di mahkamah Jumaat lalu untuk mendengar keputusan terhadapnya berhubung tuduhan melakukan kecuaian dalam subsidi beras yang jika sabit kesalahan, Yingluck boleh dipenjarakan sehingga sepuluh tahun.

Ketidakhadiran beliau di mahkamah mencetuskan spekulasi oleh media bahawa beliau telah lari meninggalkan negara itu seperti mengikut jejak abangnya, Thaksin kira-kira sebilan tahun lalu pada 2008 dan kini tinggal dalam buangan.

Yingluck1Sejak Yingluck tidak hadir di mahkamah tujuh hari lalu, media di Thailand tidak henti-henti membuat spekulasi dan teori mengenai keberadaannya.

Spekulasi yang paling hangat ialah Yingluck kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama-sama abangnya yang mempunyai sebuah rumah di kota Timur Tengah itu.

Spekulasi lain memetik sumber-sumber tertinggi di kalangan dalam partinya, Pheu Thai yang mendakwa bahawa bekas perdana menteri itu merancang untuk memohon perlindungan di United Kingdom.

Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha yang melahirkan rasa terkejut terhadap peristiwa yang menyusul berhubung kehilangannya telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk memulakan siasatan untuk mengenal pasti bagaimana beliau dapat melarikan diri dari negara itu.

“Saya sangka beliau akan menunjukkan keberanian untuk hadir di mahkamah,” kata beliau ketika beberapa kumpulan dan aktivis politik di Thailand meningkatkan kritikan ke atas kerajaan kerana gagal menghalang Yingluck daripada melarikan diri.

Kumpulan dan aktivis mahu tindakan tegas diambil jika didapati Yingluck dapat melarikan diri akibat kecuaian para pegawai tertinggi keselamatan.

Timbalan Ketua Polis Nasional Jen Srivara Rangsibrahmanakul yang diamanahkan menjalankan siasatan mengenai kehilangan Yingluck berkata, polis meminta kerjasama daripada enam negara termasuk Kemboja, Singapura dan UAE dalam siasatan.

Phnom Penh menyatakan bahawa Yingluck tidak menyeberang masuk ke sempadannya.

Polis Thailand juga telah meminta bantuan daripada Interpol untuk menjejaki bekas perdana menteri itu.

“Polis telah menubuhkan satu pasukan untuk mengesannya dan agensi-agensi berkaitan juga telah memantau dengan rapi pergerakan di sekitar kawasan sempadan. Para pegawai telah diarah mengemukakan laporan setiap lima hari,” kata Srivara.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat Thailand, Jen Chalermchai Sittisart memberitahu media rancangan Yingluck untuk melarikan diri telah dirancang terlebih dahulu apabila beliau meninggalkan semua telefon dan menukar kereta supaya sukar untuk menjejakinya menggunakan cara sama seperti dilakukan dahulu.”

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Yingluck mungkin lari ke Dubai dari Singapura

GLOBAL 26 OGOS: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra telah lari ke Dubai, kata anggota kanan partinya pada hari Sabtu, sehari selepas dia gagal muncul di mahkamah untuk pengumuman kes perbicaraan kecuaian terhadapnya.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan sumber dalam partinya, Parti Puea Thai, berkata bekas PM itu meninggalkan Thailand minggu lalu dan terbang melalui Singapura ke Dubai di mana abangnya, bekas PM Thaksin Shinawatra, hidup dalam buangan untuk mengelakkan hukuman penjara bagi sabitan rasuah.

“Kami dengar dia pergi ke Kemboja dan kemudian Singapura, kemudian berlepas ke Dubai dan selamat tiba dan kini berada di sana sekarang,” kata seorang ahli kanan Parti Puea Thai yang enggan disebutkan namanya.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Srivara Rangsibrahmanakul, berkata polis tidak mempunyai rekod Yingluck meninggalkan negara itu.

Seorang wartawan Reuters tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan masuk ke kawasan kediaman ekslusif Emirates Hills di Dubai, di mana Thaksin mempunyai sebuah rumah.

Jurucakap Thaksin di Dubai tidak memberi respons kepada usaha Reuters untuk menghubungi Thaksin.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Bekas PM Thailand mungkin lari ke Singapura

BANGKOK 26 OGOS: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, dikatakan sudah melarikan diri dari negara itu sebelum mahkamah membabitkan kesnya bersidang.

Mahkamah Agung menetapkan tarikh baharu 27 September depan untuk keputusan kes itu dan mengeluarkan waran tangkap terhadap Yingluck kerana tidak mempercayai alasan beliau gagal hadir kerana menghidap sakit telinga.

Sumber yang rapat dengannya memberitahu Yingluck sudah meninggalkan Thailand tetapi tidak menjelaskan di mana dia berada, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS dan AFP.

Ada pihak mendakwa bekas perdana menteri wanita pertama itu kini berada di Singapura.

Yingluck, 50, yang mana keluarganya menguasai politik Thailand selama lebih 15 tahun, gagal muncul di mahkamah untuk keputusan penghakiman dalam kes kecuaian membabitkan skim subsidi beras untuk petani.

Yingluck yang digulingkan pada 2014, berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika didapati bersalah.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan, bagaimanapun memberitahu media, adalah mustahil Yingluck melarikan diri.

Peguam Yingluck, Norrawit Lalaeng, berkata bekas pemimpin itu mengalami masalah ketidakseimbangan cecair telinga menyebabkan tidak dapat hadir ke mahkamah.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada anak guamnya masih berada dalam negara, manakala jurucakap Yingluck enggan mengulas.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Projek Terusan Segenting Kra RM120 bilion ancam kestabilan ASEAN?

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL: Bakal cetus konflik jejas kestabilan ASEAN. Itu persepsi awal apabila cadangan Projek Pembinaan Terusan Segenting Kra sepanjang 135 kilometer (km) bernilai AS$28 bilion (RM120 bilion) dihidupkan semula.

Nikkei Asian Review pada 7 Ogos lalu melaporkan beberapa individu berpengaruh Thailand termasuk ahli politik, pesara tentera berpangkat tinggi, pakar akademik dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan China sedang memujuk Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chanocha untuk meneruskan projek berkenaan.

Rancangan dicadang sekumpulan jeneral dan ahli perniagaan Thailand itu adalah salah satu mega projek infrastruktur paling bercita-cita tinggi dan transformasi besar di Asia – pembinaan terusan perkapalan sepanjang 135 kilometer (km)untuk menghubungkan lautan Pasifik serta India.

Menurut pakar, jika Prayuth bersetuju meneruskan kajian laluan itu, maka pembinaan terusan berukuran 450 meter lebar dengan kedalaman 26 meter itu mampu dilalui oleh kapal kontena minyak terbesar dunia dan kapal kontena lain, dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek terbabit akan membelah bahagian selatan Thailand iaitu kira-kira 800km di selatan Bangkok dan kira-kira 200km di sempadan Thailand dengan Malaysia.

https://selangorkini.my/2017/08/cadangan-terusan-segenting-kra-muncul-lagi-ancaman-selat-melaka/

Apabila siap, ia bakal menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman pada anggaran latitud sama dengan Pulau Phuket.

Terusan itu adalah laluan pintas dari Selat Melaka yang menghubungkan China, Jepun dan negara Asia Timur selain perdagangan minyak negara Asia Barat serta negara pasaran utama Eropah, Afrika dan India.

Jarak perjalanan bagi kapal yang melalui Laut Pasifik dan Laut Hindi mampu dipendekkan sekurang-kurangnya 1,200 km atau tiga hari pelayaran jika melalui terusan berkenaan.

Di manakah lokasi Segenting Kra?

Segenting Kra adalah bahagian genting dan sempit di selatan Thailand dan di utara Semenanjung Tanah Melayu. Bahagian barat Segenting Kra menjadi milik Myanmar.

Bahagian timur menjadi milik negara Thailand. Segenting Kra menghadap Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pantainya menerima kesan yang teruk akibat dari tsunami Acheh, pada 26 Disember 2006.

Muara Sungai Kra menjadi daratan paling sempit dengan lebar 44 kilometer. Tingginya 75 meter dari aras laut. Bandar utama ialah Kra Buri dalam wilayah Ranong, Thailand.

Segenting Kra12Segenting Kra adalah sebahagian daripada rantaian gunung yang menganjur dari Tibet. Selatannya digelar rantaian kepulauan Phuket. Bahagian utara ialah Banjaran Tenasserim sepanjang 400 km dan dikenali sebagai “Banjaran Tiga Pagoda”.

Cadangan pembinaan bermula lebih 340 tahun lalu

Sejak tahun 1677  iaitu ketika era pemerintahan Raja Narai, beberapa pihak mencadangkan satu terusan dibina di Segenting Kra yang terletak di selatan Thailand tetapi langkah untuk menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan melalui terusan itu masih belum menjadi kenyataan hingga kini.

Rancangan itu menemui jalan buntu kerana kerajaan Siam tidak memiliki dana untuk menampung kos pembinaannya serta tiada kepakaran teknologi untuk meneruskan projek berkenaan, namun tidak pernah dibatalkan.

Apabila British bertapak di Singapura pada 1819, pulau itu ditransformasikan daripada sebuah kampung nelayan kepada pelabuhan utama di rantau Asia. Oleh itu, British tidak pernah bersetuju dengan projek terusan itu kerana khuatir pangkalan maritim mereka di Singapura terjejas.

Siam yang menjadi negara boneka Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, dianggap musuh British dan pihak tentera Berikat. Apabila Jepun menyerah kalah pada 1945, kerajaan Siam terpaksa menandatangani perjanjian dengan pihak British untuk menamatkan status perang di antara dua negara.

Artikel 7 Perjanjian ini mencegah Siam daripada menggali terusan menembusi wilayahnya untuk menghubungkan Laut Andaman dengan Telukan Siam bagi melindungi kepentingan British di Singapura. Perjanjian ini dibatalkan pada 1954.

Selat Melaka antara laluan terpenting laut dunia

Menurut analisis angka STRAITREP Jabatan Laut Malaysia oleh Nippon Maritime Centre (NMC) yang disediakan secara eksklusif untuk Seatrade Maritime News menyatakan lalu lintas di lorong perkapalan tersibuk di dunia – Selat Melaka dan Singapura (SOMS) naik 3.4 peratus ke tahap tertinggi dengan 83,740 transit, pada 2016 .

Jumlah purata pemindahan harian yang dilaporkan kepada Port Klang VTS di Malaysia pada 2016 adalah 229, naik tujuh dari 2015, dan dibandingkan dengan 201, pada tahun 2011.

Jumlah Aliran trafik lautMemimpin pertumbuhan jumlah transit dalam peratusan pada 2016 adalah VLCC dengan 5,973 transit di Selat, peningkatan sebanyak 649 atau 12.19 peratus lebih 5,324 transit oleh kapal tangki lebih daripada 150,000 dwt pada tahun sebelumnya. Ini jauh melebihi purata pertumbuhan tahunan 4.8 peratus dalam transit VLCC yang dilihat sejak 2007.

Sebagai keseluruhan akaun VLCC adalah enam peratus daripada semua transit Selat.

VLCC yang dimeterai menuju ke Singapura dan Timur Laut Asia mengangkut lorong laut dalam yang hanya 1.3 km lebarnya di “Pos” di Selat Melaka Satu Fathom di Selat Melaka dan hanya selebar 800 meter di satu saluran di Selat Philip di Selat Singapura, jika pelayaran Timur ke luar Singapura.

RUJUK: http://www.seatrade-maritime.com/news/asia/malacca-and-s-pore-strait-traffic-hits-new-high-in-2016-vlccs-fastest-growing-segment.html

Kekuatan ekonomi Singapura ‘kiamat’

Antara negara yang paling menerima kesan pelaksanaan projek Segenting Kra adalah negara berasaskan sumber terbesarnya kepada aktiviti pelabuhan dan perkapalan. Dalam hal ini Singapura dilihat antara negara yang paling terkesan.

Setakat 2013, Singapura diiktiraf sebagai pelabuhan tersibuk di dunia. Menurut sumber Institut Maritim Malaysia (MIMA), lebih kurang 75 peratus kapal dagang yang menelusuri Selat Melaka tidak berlabuh di pelabuhan Malaysia. Kebanyakannya akan berhenti di Singapura atau meneruskan pelayaran ke destinasi terakhir.
peta-singapuraEkoran kekuatan dan kemakmuran ekonomi Singapura banyak bergantung kepada industri perkapalan dan diandaikan terusan Segenting Kra ini bakal memberi implikasi buruk kepada Singapura, pada masa hadapan.

Apa masalahnya laluan di Selat Melaka kelak?

Pada tahun 2025, dianggarkan 122,500 kapal dijangka melalui Selat Melaka. Institut Pengangkutan Antarabangsa Jepun (JITI) menganggarkan bahawa terdapat 140,000 kapal pada 2020.

Menurut pengiraan yang dibuat oleh HM Ibrahim dan Mansoureh Institut Maritim Malaysia (MIMA), Selat Melaka dapat menampung 122,640 kapal setiap tahun [ Kadar tamat pada (TFR = 0.27 = 7vessel / jam cc = 7 x 24 x 365 x 2 = 122,640)] (9).

Menjelang 2024, laluan Selat Melaka akan lebih padat. Ia tidak akan dapat memastikan laluan yang tepat untuk kapal laut dan tidak menjamin laluan selamat mereka.

Kapal itu tidak mempunyai pilihan lain selain memilih laluan alternatif yang lebih lama melalui Selat Sunda dan Selat Lombok.

Bagaimanapun, dianggarkan kos navigasi di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik pasti akan meningkat.

Maka, dengan jangkaan Selat Melaka bakal menjadi laluan laut sesak akan datang, maka ia meningkatkan risiko kemalangan kapal dan tumpahan minyak. Oleh itu, alternatif laluan laut baharu perlu diwujudkan.

RUJUKAN: http://kracanal-maritimesilkroad.com/en/story/the-malacca-straits/

Malah, isu lanun di Selat Melaka serta kejadian tumpahan minyak menjadi ancaman kelestarian hidupan laut disebabkan kesesakan di Selat Melaka dan pada masa sama menjadi tumpuan industri perikanan dan nelayan, di Malaysia dan Indonesia.

Jadikan Segenting Kra projek kerjasama ASEAN

Dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$ 2.6 trilion, ASEAN adalah ekonomi keenam terbesar di dunia dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2050 dengan sesetengah pihak menganggarkan bahawa ASEAN mencapai kedudukan itu, menjelang 2030.

ASEAN juga meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini. Atas semangat ini, maka adalah wajar projek terusan Segenting Kra ini menjadi projek ASEAN dengan dana pelaburan dibiayai  negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand serta negara ASEAN lain yang berminat.

ASEANDengan sumber dana kewangan daripada ASEAN maka kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama secara menang-menang semua negara ASEAN tanpa membabitkan campur tangan kuasa besar dunia yang dibimbangi mempunyai agenda perluasan kuasa dan pengaruh tersendiri.

Melalui terusan ini negara penyumbang dana boleh memperoleh keuntungan berdasarkan nilai sumbangan dana melalui cukai dan tol dikenakan terhadap kapal yang melalui terusan Segenting Kra serta pembangunan wilayah setempat.

Adalah sangat penting semangat ASEAN diterap dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa melalui pelbagai projek memakmurkan ASEAN secara bersama.

Kesimpulan

Tiada gunanya jika isu Segenting Kra ini hanya merenggangkan keutuhan dan keakraban negara ASEAN. Adalah penting kemakmuran ekonomi dan pembangunan ASEAN dapat dinikmati semua demi generasi masa hadapan.

Kita perlu meninggalkan legasi kemakmuran ekonomi dan kehidupan lebih baik untuk generasi ASEAN masa hadapan bukan menambah konflik serta pertikaian yang hanya memusnahkan kasih sayang juga persaudaraan sesama manusia demi kesejahteraan lebih 630 juta rakyat ASEAN.

 
* Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi SelangorKini.

Categories
GLOBAL NASIONAL

Cadangan Terusan Segenting Kra muncul lagi, ancaman Selat Melaka?

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 15 OGOS: Cadangan mahu merealisasikan Projek pembinaan Terusan Segenting Kra kembali muncul apabila sekumpulan pesara tentera dan ahli perniagaan Thailand mahu ia dilaksanakan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pemerhati meramalkan bahawa pelabuhan Singapura akan terjejas teruk sekiranya Terusan Kra dibina, selain pelabuhan Malaysia di Pulau Pinang, Klang dan Tanjung Pelepas.

Cadangan pembinaan terusan itu muncul seawal 1677, Raja Narai yang menguasai Siam mempunyai visi untuk membina terusan menembusi Segenting Kra bagi memendekkan jarak perjalanan perkapalan tanpa perlu mengelilingi Semenanjung Melayu.

Rancangan ini menemui jalan buntu kerana kerajaan Siam ketika itu tidak memiliki dana untuk menampung kos pembinaannya serta tiada kepakaran teknologi untuk meneruskan projek ini namun tidak pernah dibatalkan.

Ro-1Menurut laporan Nikkei Asian Review, beberapa individu berpengaruh Thailand termasuk ahli politik, pesara tentera berpangkat tinggi, pakar akademik dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan China sedang memujuk Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chanocha untuk meneruskan projek berkenaan.

Pautan: https://asia.nikkei.com/Politics-Economy/Economy/Influential-Thais-in-push-for-Kra-Canal-project

Kumpulan yang mahu merealisasikan cadangan projek pembinaan Terusan sepanjang 135 kilometer (km) itu menjangkakan projek berkenaan bernilai AS$28 bilion (RM120 bilion).

Prayuth sebelum ini menegaskan pembinaan terusan itu tidak terdapat dalam agenda pemerintahannya.

Kumpulan tersebut percaya pembinaan terusan itu akan dibiayai melalui inisiatif Belt and Road yang dirintis China dan projek infrastruktur Laluan Sutera Ma­ritim Abad ke-21.

Kumpulan pesara tentera itu juga menubuhkan persatuan dikenali ‘Persatuan Terusan Thai untuk Kajian dan Pembangunan’ yang bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Peking dan sebuah syarikat China untuk mengkaji laluan yang dicadangkan.

Segenting Kra12Menurut pakar, jika Prayuth bersetuju meneruskan kajian laluan itu, pembinaan terusan berukuran 450 meter lebar dengan kedalaman 26 meter itu mampu dilalui oleh kapal kontena minyak terbesar dunia dan kapal kontena lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek tersebut akan membelah bahagian selatan Thailand iaitu kira-kira 800 di selatan Bangkok dan kira-kira 200km di sempadan Thailand dengan Malaysia.

Ia akan menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman pada anggaran latitud sama dengan pulau Phuket.

Terusan itu merupakan laluan pintas dari Selat Melaka yang menghubungkan China, Japan dan negara-negara Asia Timur lain selain perdagangan minyak negara Asia Barat serta negara pasaran utama Eropah, Afrika dan India.

Jarak perjalanan bagi kapal yang melalui Laut Pasifik dan Laut Hindi mampu dipendekkan sekurang-kurangnya 1,200 km atau tiga hari pelayaran jika melalui terusan berkenaan.

Segenting Kra123Sebelum ini, beberapa usaha dilakukan untuk menghidupkan semula projek Terusan Kra ini pada 1970-an dan 1990-an bagaimananpun Bangkok gentar pembinaan terusan ini akan secara fizikal mengasingkan lima wilayah selatan yang mempunyai majoriti penduduk Muslim.

Keadaan ini akan memberikan implikasi buruk kepada situasi politik di antara pemisah wilayah Selatan dan Kerajaan Pusat di Bangkok.

Pelaksanaan projek Terusan Segenting Kra ini juga bakal memberikan ancaman ekonomi kepada Singapura kerana banyak bergantung kepada industri perkapalan.

=EZY=