Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Selangor lancar jersi Home dan Away musim 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 26 JAN: Majlis pelancaran jersi Home dan Away pasukan Selangor 2019 berlangsung meriah bertempat di Sunway Resort Hotel & Spa, dengan kehadiran lebih 500 penyokong fanatik ‘The Red Giants’.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan berangkat ke majlis bagi menyempurnakan pelancaran jersi sambil diiringi Pengerusi Ganador Marketing Sdn Bhd, Dato’ John Hui Khim Tung.

Jersi Home Selangor kekal dengan warna tradisi merah sambil disulam warna kuning dan hijau serta menampilkan Joma selaku penaja utama musim ini.

Warna putih pula dipilih bagi jersi Away dengan corak merah kuning di bahagian lengan kanan dan dada.

Disember lalu, Selangor sudah melancarkan jersi ketiga bewarna hijau dan mendapat sambutan menggalakkan setakat ini.

Jersi edisi pemain dijual pada harga RM99 manakala RM49 bagi edisi penyokong.

Bagi pemegang Red Giants Team Card pula akan mendapat potongan harga 10 peratus bagi semua barangan rasmi pasukan yang akan dijual outlet rasmi Selangor, di Stadium Shah Alam.

Dalam majlis sama, turut diperkenalkan barisan pemain Selangor, skuad Piala Presiden serta barisan kejurulatihan bagi musim 2019.

Selangor yang dibimbing jurulatih, B Sathianathan bakal memulakan musim 2019, pada 3 Februari ini menentang Felda United di Stadium Shah Alam.

 

Categories
SUKANKINI

Red Giants mula jelajah dengan langkah kanan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 JAN: Red Giants mempamerkan rentak meyakinkan apabila memulakan siri jelajah perlawanan pra musim ke Thailand dengan membenam MOF Customes United 3-0 di Stadium IPE Chonburi, Bangkok, malam tadi.

Babak pertama perlawanan, Selangor mendapat peluang pada minit ke-5 untuk meletakkan gol awal apabila hantaran jauh Endrick menemui Rufino Segovia namun situasi satu lawan satu bersama penjaga gol lawan tidak dapat disudahkan.

Penyerang, Rufino menghadirkan gol pertama buat Gergasi Merah selepas larian di sebelah kanan Syahmi Safari membuat hantaran terus ke dalam kotak penalti dan kuisan Endrick kepada Rufino disempurnakan dengan baik.

Jaringan itu meletakkan Selangor di depan dengan kedudukan 1-0.

Bersambung separuh masa kedua, Jurulatih Selangor, B Sathianathan membuat pertukaran dengan memasukkan K Sarkunan bagi menggantikan Abdul Halim Saari.

Pada minit ke-50, Rufino sekali lagi menambah kedukaan lawan melalui sepakan percuma selepas beliau dikasari di luar kotak penalti, sekali gus menjadikan kedudukan selesa 2-0.

Bijak menggunakan kealpaan lawan, Selangor terus menambah jaringan ketiga apabila Endrick menyudahkan hantaran daripada Wan Zack Haikal, pada minit ke-61.

Kemenangan itu juga sudah pasti menyuntik semangat anak buah Sathianathan yang akan meneruskan siri jelajah itu sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia 2019 dengan perlawanan kedua bertemu Chonburi FC, hari ini jam 4 petang waktu Thailand.

 

Categories
SUKANKINI

Alfonso pemain import kelima Red Giant

SHAH ALAM, 28 JAN: Pemain dari Sepanyol, Alfonso de la Cruz menjadi import kelima The Red Giants bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengandali pasukan Selangor, P Maniam berkata, pemain berusia 31 tahun itu akan tiba esok bagi mengisi posisi tengah bertahan dalam pasukan.

“Kami sudah mempunyai ramai pemain yang lebih kepada menyerang tetapi kita agak lemah di posisi tengah bertahan.

“Sebab itu kami menandatangani pemain itu untuk melakukan ‘dirty job’ di bahagian tengah,” katanya lapor Sinar Harian Online.

Alfonso sebelum ini bermain dengan liga bawahan Sepanyol, CD Ebro pada 2017.

Categories
SUKANKINI

Dua import Indonesia bakal mantapkan The Red Giants

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JAN: Jurulatih Selangor, P Maniam yakin kehadian dua pemain import baharu bakal melengkapkan The Red Giants bagi menghadapi kempen liga musim 2018.

Katanya, pihak pengurusan kini sedang melengkapkan dokumen terakhir dua pemain Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Armaiyn bagi memenuhi kuota pemain import.

“Mereka sudah menandatangani kontrak dengan kita. Sekarang ini pihak pengurusan sedang menyelesaikan beberapa perkara.

“Sebaik sahaja mereka tiba, bermakna senarai pemain untuk musim 2018 sudah lengkap,” katanya dipetik mStar Online.

Beliau berkata, Selangor akan kekal dengan empat pemain import, termasuk Willian Pacheco dari Barzil dan Rufino Segovia dari Sepanyol yang kini membuat persediaan bersama pasukan.

Maniam turut melahirkan keyakinan pasukannya mampu bersaing menerusi gandingan empat pemain import bersama pemain tempatan.

Pada masa sama, Selangor dijangka mengadakan perlawanan persahabatan menentang MIFA Jumaat ini bagi menilai perkembangan pasukan, di samping memperbaiki kelemahan sebelum tirai Liga Malaysia 2018 dibuka, pada Februari ini.

Categories
SUKANKINI

Faham isu sebelum buka gelanggang bertarung

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JULAI: Pemain bola sepak Selangor dinasihat menumpukan perhatian terhadap persembahan pasukan dan tidak menjadikan diri sebagai alat politik pihak tertentu terutama berkenaan bonus.

Mantan pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, isu ditimbulkan pemain lebih mengeruhkan keadaan antara Kerajaan Negeri dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) termasuk beberapa perkara yang tidak diselesaikan seperti penajaan dan penggunaan stadium.

“Jika Kerajaan Negeri bertanggungjawab membayar bonus, kenapa pemain tidak menuntutnya melalui mahkamah? Suka saya menasihatkan pemain supaya memahami isu dahulu sebelum membuka gelanggang bertarung,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas komen Kapten Selangor, Razman Roslan berkenaan bayaran bonus daripada Kerajaan Negeri di sebalik paparan komen di laman Instagram Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari berkenaan pembaikan Stadium Shah Alam.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pemain juga tidak wajar menuntut bonus daripada Kerajaan Negeri memandangkan FAS kini bukan di bawah seliaan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Tumpulah aksi pasukan di atas padang, takkan kita berpuas hati setakat berada lebih tinggi daripada PKNS FC? Itu sahajakah tahap Merah Kuning? Perjalanan berbaki tidak banyak lagi untuk mencapai sasaran terbaik.

“Janganlah kerana buta kontrak, tugas sebagai pemain bermaruah hanya jadi budak suruhan. Bermainlah demi lencana di dada, bukan populariti di mata majikan,” kata mantan pemain Selangor itu.

Categories
SUKANKINI

FAS, lain kali jangan gopoh

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Gabungan Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (GABUNGAN) melahirkan rasa terkejut susulan rayuan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal supaya Kerajaan Negeri menghulurkan sumbangan RM5 juta kepada pasukan The Red Giants.

Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata, Subahan seharusnya mengingati tindakan Exco FAS yang bertindak memulaukan mesyuarat satu ketika dahulu hingga mengakibatkan penarikan diri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku presiden persatuan berkenaan.

“Kami ingin mengimbau dan bertanya kepada Datuk Seri Subahan apakah beliau lupa tindakan sebilangan besar Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) memulaukan dan meninggalkan mesyuarat tahun lalu?

“Jelas tindakan gopoh FAS yang ketika itu menurut sumber dimulai Datuk Seri Subahan bersuara sebelum mengambil langkah keluar diikuti sebahagian besar Exco membawa kesan langsung kepada pasukan.

“Sumber difahamkan mesyuarat itu untuk perbincangan bajet 2017 dan penambahbaikan persatuan lain,” katanya.

Katanya, tindakan gopoh itu turut mengakibatkan Selangor kehilangan peluang beraksi di Stadium Shah Alam sehingga hari ini.

Red GiantsPada masa sama, Mohd Faizal berkata, GABUNGAN tetap menyokong rayuan FAS tetapi memahami jika Kerajaan Negeri menolak permintaan itu.

“Mustahil kita mahu memberi bunga kepada orang yang memberi tahi kepada kita.

“Semoga Presiden FAS yang mendakwa boleh melakukan sepuluh kerja ini dapat menyelesaikan satu masalah kecil demi pasukan yang kita sayangi,” katanya.

Subahan dalam satu sidang media semalam dilaporkan meminta Kerajaan Negeri menyuntik sekurang-kurangya RM3 juta kepada FAS demi kelangsungan pengurusan dan memastikan pasukan terus berdaya saing dalam kempen Liga Super serta Piala Malaysia.

Categories
SUKANKINI

Nasib Andik ditentukan dua minggu lagi

SHAH ALAM, 29 APRIL: Lanjutan kontrak pemain import Selangor, Andik Vermansyah akan diputuskan dalam tempoh dua minggu lagi, kata P Maniam.

Pengendali The Red Giants itu berkata, walaupun Andik masih terikat selama setahun dengan pasukan itu, namun keputusan menyambung kontraknya akan diputuskan pihak pengurusan.

“Andik perlu terus bermain bersama Selangor untuk tempoh setahun lagi tetapi ia bergantung kepada keputusan yang akan dimaklumkan kelak.

“Setakat ini saya lihat beliau pulih dengan baik walaupun belum mencapai tahap stamina sepatutnya. Saya yakin dia akan berjaya meningkatkan stamina,” katanya lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, pemain kelahiran Indonesia itu mengalami kecederaan serius ketika mewakili negaranya dalam Piala AFF 2016 dan tidak dapat bersama The Red Giants dalam saingan Liga Malaysia sejak ia membuka tirainya, pada Februari lalu.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Red Giants ikat Helang Merah 1-1

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 2 MAC: Jaringan penghujung permainan Juliano Minero berjaya menyelamatkan maruah Selangor dengan mengikat Kedah, 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Pertembungan ulangan final Piala Malaysia 2016 itu menyaksikan Kedah lebih menguasai permainan dalam keadaan padang basah.

Selangor hampir membuka tirai menerusi jaringan Victor Astafei, pada minit ke-10 selepas menerima hantaran Mohd Raimi Md Nor tetapi dibatalkan kerana ‘offside’.

Selang dua minit kemudian, Mohd Fitri Omar nyaris membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma, namun sekadar melewati palang gol.

Peluang terbaik Selangor muncul pada minit ke-31 tetapi sepakan percuma luar kotak penalti Juliano Minero berjaya ditumbuk keluar penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Liridon Krasniqi juga berpeluang meletakkan Kedah di hadapan, pada minit ke-34 tetapi berjaya dihalang pertahanan Selangor untuk keputusan 0-0 kekal menuju waktu rehat.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi gagal memecah kebuntuan.

Masuk minit ke-80, pemain gantian, Sandro Da Silva akhirnya memecah kebuntuan apabila berjaya menyepak masuk sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Khalid.

Ketika kemenangan seolah-olah bakal memihak kepada Kedah, Selangor memperoleh sepakan penalti selepas pertahanan Akram Mahinan mengasari Muhammad Syahmi Safari.

Sepakan Astafei berjaya ditampan Mohd Ifwat tetapi Minero bertindak lebih pantas apablia menolak bola muntah untuk memastikan Kedah berputih mata.

Dengan keputusan itu, Selangor kini berada di tangga ketiga dengan 12 mata, sementara Kedah kekal kedua di belakang pendahulu Pahang dengan 15 mata.

-AA-

Categories
SUKANKINI

Red Giants siap sedia strategi hadapi Kelantan

SHAH ALAM 18 FEB: Jurulatih Selangor, P Maniam memuji tahap komitmen dan kesungguhan pemainnya apabila bangkit mencari kemenangan untuk skuad Red Giants menumbangkan Felda United 3-1 pada perlawanan kelima Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Katanya walaupun pasukan Selangor kelihatan keletihan selepas mengharungi dua perlawanan penting dan getir namun ia tidak mematahkan semangat juang anak buahnya berhadapan pasukan kuat Felda United.

Jadi sudah tentu kami perlu merancang strategi tertentu untuk perlawanan ini. Saya cukup gembira dengan persembahan pemain. Kami cuba untuk bermain sedikit bertahan dan melakukan serangan balas. Ia menjadi,” kata Maniam dipetik laman sesawang FASSelangor.

Selepas tersingkir daripada saingan Piala FA, Maniam memfokuskan pasukan itu untuk saingan Liga Super dan baginya Selangor perlu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan jika mahu terus menjadi pesaing di kelompok teratas.

“Masih ada baki 17 perlawanan perlu diharungi. Kami akan persiapkan pasukan untuk satu perlawanan ke satu perlawanan lain.

“Jadi selepas ini kami akan terus mulakan persiapan untuk menghadapi Kelantan di tempat lawan pada 25 Februari ini.

“Kami perlu siapkan strategi untuk menghadapi Kelantan dan kami hanya akan fokus untuk perlawanan ini,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Berundurlah demi kebaikan The Red Giants

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 JAN: The Red Giants selayaknya diuruskan individu yang arif berkenaan bola sepak selain mempunyai syarikat perunding khas bagi menyelesaikan isu pencarian dana kewangan pasukan tanpa bergantung kepada Kerajaan Negeri.

Pemerhati bola sepak, Azlan Johar berkata, langkah itu dilihat terbaik memandangkan Selangor adalah pasukan elit yang matang dan berjaya dalam arena bola sepak tempatan.

Katanya, Exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga perlu berundur secara terhormat tanpa mementingkan kedudukan serta kepentingan peribadi jika gagal membawa perubahan kepada persatuan.

“Kalau anda (Exco FAS) mahu terus memegang jawatan, pastikan anda mampu melakukan sesuatu kepada persatuan seperti mencari dana kerana sudah tiba masanya untuk bergerak sendiri.

“Kita sekarang liga profesional, sepatutunya sudah ada syarikat khas selaku perunding untuk mencari dana buat pasukan dan jika berjaya, mereka selayaknya diberi komisyen.

“Pengurusan kewangan perlu diukur dengan teliti tanpa kepincangan termasuk memperincikan kontrak pemain tempatan, manakala pemain import diberi pemahaman sepenuhnya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Azlan berkata, masalah yang berpanjangan terutama isu gaji dan kontrak akan mengganggu emosi pemain selain menyukarkan jurulatih membuat persiapan rapi.

azlan-joharBeliau berkata, mustahil bagi Selangor mempunyai masalah kewangan kerana mereka adalah antara pasukan yang banyak memasuki perlawanan akhir selain juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

“Selangor tidak kurang 60 kali layak ke perlawanan akhir. Kalau secara purata, duit ‘gate’ yang diperoleh ketika perlawanan akhir adalah RM500,000 yang mungkin sedikit pada masa dahulu, namun kewangan FAS mungkin memiliki sekurang-kurangnya RM30 juta.

“Itu tidak termasuk wang penjualan dan penebusan kontrak pemain,” katanya.

Bekas penyerang Selangor era 90-an itu berkata, krisis yang melanda The Red Giants sangat menyedihkan memandangkan pasukan elit terbabit berjaya melahirkan ramai pemain terbaik.

Beliau turut merakamkan simpati kepada Ketua Jurulatih, P Maniam kerana diberi tempoh singkat menyiapkan pasukan menjelang pembukaan musim Liga Super 2017, pada 21 Januari ini.

“Bola sepak Malaysia sentiasa terbuka ke arah profesionalisme tetapi terbantut kerana banyak individu yang memegang jawatan dalam persatuan takut dipinggirkan sedangkan tidak berkeupayaan menerajuinya,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Perkembangan FAS, netizen sokong kenyataan RMS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 DIS: Kenyataan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan perkembangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Red Giants mendapat perhatian juga sokongan netizen khususnya penyokong negeri itu.

Sememangnya kemelut melanda FAS sejak kebelakangan ini menjadi bualan ramai dan meresahkan majoriti peminat bola sepak Selangor yang mengharapkan ia tidak berpanjangan serta menjejaskan persiapan pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2017.

Netizen menyambut baik keprihatinan Tengku Amir Shah menerusi kenyataan baginda dalam Facebooknya, Raja Muda Selangor – RMS dengan komen membina serta berharap FAS mengalami proses perubahan positif demi kebaikan bola sepak Selangor.

“Sudah (tiba) masa pengurusan lama diganti baru terutama barisan exco yang ada sekarang ahli politik, mereka tidak undur, Tengku kena ambil alih FAS seperti yang dilakukan Johor TMJ (Tengku Mahkota Johor). Kami sayang Selangor. DAULAT TUANKU,” luah Syed Albab Alyahya.

Raufismail Rauf juga berkongsi pandangan dengan saranan FAS melalui rombakan semula supaya ditadbir urus kepimpinan baru, “Perlu nafas baru dan segar untukmu Selangor”.

Red Giants“Alhamdulillah dan terima kasih atas keperihatinan Tuanku berkenaan masa depan bola sepak Selangor. Sudah lama kami sebagai penyokong Selangor tunggu detik ini,” nukil Faizal Mahfaz pula.

Ia sebahagian luahan dan komen netizen juga penyokong Red Giants yang rata-rata tidak berpuas hati dengan barisan kepimpinan FAS sedia ada yang didakwa gagal mengembalikan kegemilangan Selangor serta berdepan cabaran pasukan lain dalam Liga Super.

Dalam kenyataannya, Tengku Amir Shah melahirkan kebimbangan dengan perkembangan dan laporan terkini berkenaan FAS serta secara peribadi berkongsi keresahan penyokong dalam media sosial.

Raja Muda Selangor sendiri menunjukkan minat terhadap sukan termasuk bola sepak melalui penganjuran Selangor Champions League (SCL) 2016 dilaksanakan di bawah Selangor Youth Community (SAY) diterajui baginda.

-AA-

Categories
SUKANKINI

GABUNGAN sokong The Red Giants seumur hidup

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 DIS: Gabungan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (GABUNGAN) menegaskan mereka tidak akan menyokong pasukan lain termasuk PKNS FC walaupun Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) sedang menghadapi krisis dalaman.

Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata, mereka berikrar akan terus teguh menyokong Red Giants sehingga masalah selesai dan berharap Selangor dapat menyiapkan pasukan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.

“Tidak, tidak. Kami lahir di Selangor, anak jati Selangor, tumpah darah Selangor. Hanya Selangor di hati. Bukan PKNS atau negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan menyokong PKNS FC jika kemelut FAS tidak diselesaikan dalam masa terdekat.

PKNS FC sebelum ini memilih untuk bergabung dengan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBSMS) bagi memastikan mereka boleh beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

-AA-