Pertikai Kerakyatan Kaum Cina, India : Aziz Bari Saran Polis Siasat Mahathir

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KUALA LUMPUR 23 JAN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari menyarankan polis menjalankan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu memberi kerakyatan kepada warga asing di Sabah bagi tujuan pilihan raya.

Malah, tindakan Dr Mahathir mengaitkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra memberikan kerakyatan kepada orang Cina, India dan bangsa lain ketika sebelum merdeka adalah tidak relevan serta mengarut.

Tegasnya, isu itu juga pasti menimbulkan rasa kurang senang kepada rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India.

“Ia macam mempertikaikan orang Cina dan India ini mendapat hak kerakyatan, macam ia tidak mengikut undang-undang.

“Seharusnya ada pihak yang membuat laporan kepada polis dan polis menjalankan siasatan ke atas Dr Mahathir,” katanya dalam Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi di Dewan Perhimpunan Cina di sini malam tadi.

Dr Aziz berkata, apa dilakukan Tunku Abdul Rahman adalah secara telus dan terbuka berdasarkan syor dan rundingan serta tidak menipu.

Menurutnya, Suruhanjaya Diraja (RCI) yang menjalankan siasatan ketika ini perlu menyiasat penipuan dilakukan melibatkan Dr Mahathir.

“Sampai sekarang sesiapapun boleh memohon menjadi warganegara mengikut peraturan. Yang Dr Mahathir buat pada 1994 ialah dengan secara sembunyi-sembunyi – Projek M dengan ribuan diberikan kepada orang Filipina dan yang lain,” katanya.

Berhubung pendidikan percuma sepertimana dijanjikan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya diberikan mandat mentadbir negara, Dr Aziz menjawab, pelbagai program dijalankan Kerajaan Negeri Selangor menjadi bukti bankrap tidak berlaku.

 

Categories
NASIONAL

Umno Perlu Perjelas Dasar Bukan Hasut Rakyat, Kata Anwar

PETALING JAYA 9 OGOS : Umno-BN kini memulakan kempen pelampau agama melalui akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa haram dan berdosa menyokong DAP, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Anwar, Umno-BN sepatutnya memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara serta memperjelas dasar masing-masing dan bukannya memainkan sentimen agama dalam menghasut rakyat

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyebut jangan menggunakan agama demi kepentingan politik namun media Umno-BN terus menghebahkan hukuman untuk menyinggung kedudukan PAS.

“Kita memandang berat kempen ini yang dimulakan Umno menggunakan medianya Utusan termasuk menghukum haram dan berdosa untuk menyokong DAP kerana DAP tidak sokong negara Islam dan hudud padahal MCA juga tidak menyokong perkara sama.

“Bahkan Umno sendiri mengikut surat Dr Mahathir (Mohamad) kepada kerajaan Kelantan menolak kemungkinan melaksanakan hudud di Malaysia manakala pada 29 September 2011, Najib memaklumkan hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia selagi beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR.

Utusan semalam melaporkan, haram dan berdosa bagi umat Islam menyokong DAP yang menentang hukum hudud dan negara Islam berdasarkan kenyataan, Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa?amah.

Jelas Anwar lagi, Pakatan Rakyat tetap kekal dengan pendirian untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Islam kekal sebagai agama rasmi.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, laporan Utusan berkenaan jelas berbentuk hasutan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimpulkan konflik agama di negara ini.

Menurut beliau, satu laporan polis terhadap Utusan dibuat oleh pimpinan DAP di Perak dan Pulau Pinang berhubung perkara berkenaan.

“Isi kandungan (laporan Utusan), DAP menentang perlembagaan khasnya mengenai kedudukan agama Islam. Itu tidak benar. Pendirian kita adalah terima dan hormat peruntukkan Perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi.

“Pendirian kita tidak berubah Malaysia sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi. Sebenarnya kedudukan yang dibuat DAP tidak berubah dengan kedudukan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

“Mereka sangat jelas menyatakan bahawa Malaysia mengikut Perlembagaan sebagai sebuah negara sekular tetapi sangat jelas Islam sebagai agama rasmi.

“Ini merupakan langkah terdesak segelintir pemimpin BN yang mungkin akan hilang kuasa. Adakah mereka ingin buat konflik agama di Malaysia? Perdana Menteri perlu minta Utusan hentikan (perkara ini),” ujar beliau.