Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ketua Komuniti India diingat guna dana tahunan secara berhemah

SHAH ALAM, 10 MAC: Ketua Komuniti India (KKI) yang baharu dilantik diingatkan supaya menggunakan peruntukan tahunan secara berhemah untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata dana RM10,000 perlu diurus sebaik mungkin bagi memastikan tiada kelompok terpinggir khususnya mendepani pasca pandemik Covid-19.

“Lantikan mereka datang dengan amanah dan tanggungjawab, jadi jangan anggap ia sebagai hadiah kerana harus sedar segala pelantikan akan diperhati oleh ramai pihak terutama melibatkan aspek kewangan.

“Saya mohon muka-muka baharu ini guna peruntukan diberi Kerajaan Negeri dengan berhati-hati selain mengekalkan prinsip akauntabiliti yang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 50 KKI sesi 2021-2022 di Dewan Jubli Perak, SUK di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata ketua komuniti perlu menjadi perantara dalam menyalurkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan selain berperanan membawa isu masyarakat setempat.

“Mereka harus ambil kesempatan ini untuk menjelaskan kepada masyarakat jenis bantuan kesihatan, pendidikan dan kebajikan yang diperkenal Kerajaan Negeri mahupun kerajaan pusat.

“Mungkin dalam kalangan kami (wakil rakyat) sendiri kurang faham sistem bantuan berbeza yang diwujudkan, tetapi jika ketua komuniti ini lebih memahami, mereka boleh bantu,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

50 Ketua Komuniti India disaran galas tugas selesai isu masyarakat

SHAH ALAM, 9 MAC: Seramai 50 Ketua Komuniti India (KKI) digesa menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab demi pembangunan masyarakat berkenaan di negeri ini.

EXCO kerajaan prihatin berkata sehubungan itu mereka diharap dapat menjalin kerjasama erat dengan pihak berkaitan termasuk penghulu bagi menyelesaikan pelbagai isu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Saya memohon mereka berkhidmat dengan rasa tanggungjawab seterusnya membantu mengurangkan masalah keciciran dalam kalangan komuniti India,” kata V Ganabatirau selepas menyerahkan watikah pelantikan KKI di Dewan Jubli Perak, SUK di sini hari ini.

Kerajaan Negeri meluluskan pelantikan 50 KKI baharu yang ditempatkan di 56 DUN untuk tenpoh dua tahun berkuat kuasa 1 Januari lalu sehingga 31 Disember tahun hadapan.

Beliau berkata pihaknya menghargai komitmen ditunjukkan ketua komuniti dilantik sebelum ini khususnya dalam menjayakan setiap program Kerajaan Negeri.

“Mereka bertindak sebagai perantara untuk negeri dan rakyat dengan membantu menyalurkan segala bantuan kepada komuniti berkenaan,” katanya.

Awal Januari lalu, sesi suai kenal KKI baharu diadakan secaya maya bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang tidak membenarkan acara bersemuka.

Sesi tersebut merangkumi penerangan pengurusan kewangan, skop tugas dan penganjuran program di kawasan masing-masing.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kota Kemuning tawar khidmat saringan Covid-19 serendah RM70

SHAH ALAM, 10 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menawarkan saringan Covid-19 pada kadar RM70 kepada masyarakat sekitar.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata usaha tersebut bagi mengekang penularan wabak di samping mengurangkan beban penduduk.

Jelasnya, program dengan kerjasama empat klinik swasta bermula hari ini sehingga 28 Februari dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Kita tahu harga untuk sekali saringan adalah tinggi, justeru mereka yang berminat boleh terus ke klinik atau hubungi untuk sebarang pertanyaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat negeri turut mengambil pendekatan sama sebagai salah satu usaha mengawal penularan wabak.

Senarai klinik terlibat ialah:

1.Klinik Metro
No 31, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning,
40460 Shah Alam, Selangor
03-5131 3459

2.Klinik dan Surgeri Berjaya Park
No 39-G, Jalan Sungai Rasau,
F 32/F Berjaya Park, Seksyen 32,
40460 Shah Alam, Selangor.
03-5888 9938

3.Klinik Pro Medic
40, Jalan Anggerik Vanilla M 31/M, Kota Kemuning,
40460 Shah Alam, Selangor
03-5131 1101

4. Poliklinik Shaik
36-1, No, 8, Jln Anggerik Vanilla BE 31/BE, Kota Kemuning,
40460 Shah Alam, Selangor
03-5122 9030

 

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk DUN Kota Kemuning terima sumbangan makanan depani PKP

SHAH ALAM, 4 FEB: Hampir 1,000 bakul makanan diagih kepada penduduk kurang berkemampuan (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning sejak bulan lalu.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan beras, minyak masak, biskut dan sardin bernilai antara RM80 hingga RM90 dilaksana susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

V Ganabatirau memaklumkan sebanyak 480 bakul makanan diserahkan pada minggu pertama PKP dan 500 lagi diedarkan pada minggu berikutnya.

“Kita harap sumbangan ini membantu meringankan beban penduduk B40 ketika mendepani tempoh perintah kawalan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, agihan dibuat melalui khidmat sukarelawan, ketua kampung selain meminta penduduk mengambil sendiri bantuan tersebut.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Jawatankuasa khas diwujud pastikan kebajikan pekerja dijamin – EXCO

SHAH ALAM, 4 FEB: Jawatankuasa khas bagi membantu individu berdepan masalah pekerjaan bakal diwujudkan dalam usaha menjaga kebajikan golongan pekerja.

EXCO pemberdayaan pekerja berkata organisasi itu bertindak sebagai platform atau medium untuk semua golongan pekerja negeri ini mendapatkan maklumat tepat serta nasihat.

“Kita rancang untuk libatkan beberapa agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja supaya dapat sama-sama membantu pekerja termasuk masalah tempat kerja, diberhentikan atau berkaitan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Masalah yang diadukan akan diteliti. Kita beri pandangan malah turut sediakan bantuan guaman sekiranya masalah pekerja melibatkan aspek perundangan,” kata V Ganabatirau kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, menurutnya perkara itu bakal dibincangkan terlebih dahulu bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri sebelum diputuskan.

“Kita merasakan memang perlu ada satu tempat khas untuk pekerja mengadu masalah mereka serta mendapatkan nasihat. Usaha ini dilihat boleh mengelakkan golongan pekerja ditindas,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor lantik 50 ketua komuniti India, jaya program negeri

SHAH ALAM, 21 JAN: Seramai 50 ketua komuniti India dari 44 Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik bagi sesi fasa satu 2021/2022 semalam.

EXCO kebajikan masyarakat berkata 12 calon lagi untuk baki DUN pula akan dilantik pada fasa dua akan datang.

“Ketua komuniti ini berperanan menjaga sesebuah kawasan DUN penempatan India dan bertanggungjawab atas kemajuan serta keselamatannya.

“Mereka juga perlu menyampaikan apa juga maklumat terkini, bantuan, segala dasar kepada penduduk dan terlibat dalam program Kerajaan Negeri,” kata V Ganabatirau dalam kenyataan.

Beliau berkata ketua komuniti itu juga perlu aktif hadir ke mesyuarat berkaitan di samping menggalakkan pembentukan semangat perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain.

“Tahniah saya ucapkan atas pelantikan ini dan semoga anda dapat menjalankan amanah sebaiknya,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Sambut perayaan Ponggal sederhana dengan keluarga

SHAH ALAM, 13 JAN: Rakyat Selangor beragama Hindu dinasihatkan meraikan perayaan Ponggal esok secara sederhana bersama ahli keluarga sahaja.

EXCO bersama hal ehwal selain Islam berkata tindakan itu mengambil kira pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini bagi memerangi Covid-19.

“Sambutan Ponggal tahun ini agak berbeza kerana negara kita berada dalam situasi pandemik.

“Malah, kes harian juga tinggi sehingga kerajaan terpaksa melaksana PKP di beberapa negeri bagi mengekang penularan wabak,” kata V Ganabatirau dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Ponggal dan mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama hormati serta hargai kepelbagaian yang wujud dalam negara.

“Kita bertuah kerana hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di samping mempunyai budaya, tradisi serta adat resam masing-masing yang menjadi sumber kekuatan sebagai sebuah negara majmuk.

“Oleh itu, saya menyeru kita bersama berganding bahu, bersatu dengan semangat cekal patuhi SOP selain berkongsi kemeriahan perayaan Ponggal,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Cegah penularan Covid-19, Selangor batal sambutan Thaipusam

SHAH ALAM, 8 JAN: Tiada acara sambutan tahunan perayaan Thaipusam di negeri Selangor pada 28 Jan ini bagi membendung penularan pandemik Covid-19, kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Selain Islam (HESI) negeri V Ganabatirau.

Ganabatirau berkata aktiviti serta sambutan tahunan perayaan itu dan Ponggal akan digantikan dengan program membantu masyarakat India di negeri berkenaan dengan menggunakan dana yang telah diperuntukkan bagi perayaan itu, tahun ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja negeri ketika dihubungi Bernama turut menasihati penganut Hindu untuk tidak menyertai sebarang perarakan sempena Thaipusam nanti.

Ganabatirau turut menyarankan penganut agama itu untuk melakukan upacara keagamaan khususnya sembahyang pada hari Thaipusam di rumah.

Katanya, orang awam khususnya penganut Hindu harus mengelakkan diri daripada mengunjungi atau berkumpul di kawasan yang sesak bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM1 juta diperuntuk biaya yuran pengangkutan 3,500 pelajar sekolah Tamil

SHAH ALAM, 4 JAN: Sejumlah RM1 juta diperuntukkan tahun ini bagi membiayai yuran pengangkutan 3,500 pelajar India ke sekolah.

EXCO kebajikan masyarakat berkata pelajar dari kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) yang belajar di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) layak menerima bantuan terbabit.

“Keluarga haruslah berpendapatan bawah RM2,000 sebulan. Kalangan pekerja ladang lebih diutamakan.

“Pemilihan dibuat oleh pihak sekolah serta PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) supaya golangan benar-benar memerlukan dapat dibantu,” kata V Ganabatirau kepada SelangorKini.

Menurutnya, Kerajaan Selangor meletakkan nilai peruntukan tinggi bagi aspek pendidikan sebagai usaha menjamin kebajikan golongan B40.

“Sebelum ini kita lebih fokus pada bantuan seperti perayaan. Namun kita ubah ke arah membantu B40 untuk jangka panjang,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih RM600,000 bantu pelajar India B40 sambung pengajian

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM609,960 bagi membantu pelajar India daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata seramai 139 pelajar menerima manfaat melalui tiga fasa Program Cek Bantuan Yuran Pengajian (BYP).

“Program BYP khusus untuk membantu anak pekerja ladang tetapi melihat kepada keperluan rakyat Selangor yang kian terjejas susulan Covid-19, Kerajaan Negeri menambah baik program dengan menyalurkan bantuan ini kepada pelajar India yang layak daripada golongan B40.

“Kerajaan Negeri berharap dengan pemberian insentif ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menampung kos yuran pengajian yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan tersebut diberikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama atau diploma di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta dan politeknik tempatan.

Categories
EXCO SELANGOR

Kembalikan bantuan khairat kematian, kebajikan rakyat diutamakan

SHAH ALAM, 1 NOV: Bantuan khairat kematian yang diberikan semula adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat.

EXCO kebajikan masyarakat berkata pemberian menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) itu jelas mengutamakan orang ramai yang mahu ia dikembalikan malah mampu meringankan beban ketika penularan Covid-19.

“Saya mengalu-alukan berita baik ini apabila Dato Menteri Besar mengumumkan bantuan khairat kematian diwujudkan semula. Pengekalan program baucar hari lahir yang sebelum ini menggantikan bantuan tersebut juga dihargai,” kata V Ganabatirau kepada SelangorKini.

Program bantuan khairat kematian menyasarkan warga emas yang layak dan berdaftar tanpa mengira jantina, kaum dan agama.

Jumaat lalu, ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program bantuan terbabit menerusi SMUE yang diberhentikan pada Mei 2019 akan disambung semula mulai tahun hadapan.

Justeru, sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) untuk menerima bantuan RM500 seorang.

Categories
EXCO SELANGOR

Penduduk hargai bantuan barangan perlindungan kesihatan

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Penerima Program Pemberian Barangan Perlindungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat menghargai sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Noor Rila Md Noor, 63, berkata sumbangan diberi dapat mengurangkan beban ditanggung.

“Saya terima apa sahaja bantuan kerana memang memerlukan. Terima kasih kerana prihatin dengan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Seorang lagi penerima, Zaharah Ahmad, 59, berkata barangan itu merupakan keperluannya setiap hari sejak penularan Covid-19 termasuk di negeri ini.

Zaharah Ahmad

“Makcik ada penyakit jadi kerap pakai cecair pembasmi kuman nak elak risiko jangkitan. Bila pergi klinik wajib pakai pelitup jadi pemberian hari ini memang berguna dan dapat kurangkan kos membeli,” katanya.

Terdahulu, EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau melawat kedua-dua penerima serta menyerahkan bantuan tersebut selain beras, milo, bijirin serat serta biskut.

Program membabitkan kos hampir RM348,000 itu memberi manfaat kepada 5,700 golongan berpendapatan rendah (B40) di 57 mukim.