Categories
ADN SELANGOR

DUN Kota Kemuning terima 500 bakul makanan sumbangan PKPS

SHAH ALAM, 14 SEPT : Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menerima 500 bakul makanan sumbangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 9 September lalu.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata barangan itu meliputi beras, gula, bawang, ubi kentang, cili kering, minyak masak dan mi segera untuk diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan.

“Terima kasih kepada pihak PKPS terhadap sumbangan yang diberikan ini dan pusat khidmat masyarakat akan memastikan bantuan diberikan kepada golongan benar-benar memerlukan.

“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Ganabatirau turut meminta ketua kampung, ahli majlis dan ketua komuniti sekitar kawasannya untuk mengesan individu atau keluarga yang layak untuk menerima bantuan tersebut.

“Bakul makanan ini juga akan diagihkan kepada ketua kampung, ahli majlis dan ketua komuniti untuk disampaikan kepada mereka yang layak supaya tiada yang terputus bekalan asas,” katanya.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Caj krematorium negeri berpatutan banding swasta

SHAH ALAM, 4 SEPT: Caj perkhidmatan krematorium bagi mayat pesakit Covid-19 yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dianggap berpatutan berbanding syarikat swasta.

EXCO kerajaan prihatin berkata waris hanya perlu membayar antara RM150 hingga RM180 manakala kos utiliti, lesen dan pegawai pengurusan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

“Secara jujur, bukan masalah mampu atau tidak (tetapi) saya nampak kos pembakaran mayat di syarikat swasta lebih kurang RM600. Mereka tidak buat keuntungan kerana itu kos paling minimum.

“Kalau tanya sesetengah syarikat swasta, bolehkah mereka buat RM150? Memang tak boleh sebab mereka tak mampu dan perlu jalankan pentadbiran. Jadi, kos yang dikenakan sekarang bukan sebenar tetapi subsidi PBT,” kata V Ganabatirau.

Beliau bercakap pada program bual bicara bertajuk Usaha Selangor Atasi Kesesakan Krematorium melalui Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Pengurus Operasi Kanan Fairy Park Group mencadangkan kerajaan menambah tempoh kerja pegawai pengurusan dengan memberi bayaran lebih masa bagi mengurangkan lambakan mayat di hospital.

“Sekarang mayat terlalu banyak dan ia menyebabkan urusan pembakaran tertangguh dua hingga tiga jam di hospital. Jika boleh atasi situasi ini, banyak mayat boleh diproses pada hari sama,” kata Koh Kian Siang.

Sebanyak lima PBT memiliki krematorium iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Sepang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lanjut operasi krematorium percepat urusan mayat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 4 SEPT: Tempoh pengurusan mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di krematorium negeri ini berjaya disingkatkan antara dua hingga tiga hari berbanding seminggu sebelum ini.

EXCO kerajaan prihatin menjelaskan penambahbaikan itu berikutan lanjutan waktu operasi kompleks pembakaran sehingga jam 6.30 petang berbanding 4.30 petang beberapa bulan lalu.

V Ganabatirau berkata pembinaan krematorium baharu di Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) turut memberi kesan terhadap perubahan tersebut selain kerjasama syarikat swasta.

“Keadaan banyak berubah dari Julai dan sehingga sekarang kerana masa menunggu sudah kurang kepada dua hingga tiga hari. Paling penting angka (pembakaran tertangguh) yang ramai dapat diperbaiki.

V Ganabatirau bercakap kepada media berkaitan peruntukan rumah ibadat selain Islam fasa 2/2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 3 September 2021. Foto REMY ARIFIN/ SELANGORKINI

“Saya percaya Kerajaan Selangor melakukan usaha yang sangat baik dengan menerima mayat sehingga 6.30 petang termasuk menyediakan prasarana untuk mengendalikan masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Usaha Selangor Atasi Kesesakan Krematorium yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Ganabatirau berkata Selangor turut bercadang membina krematorium di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang bagi menampung peningkatan mayat mangsa wabak.

“Kita juga fikir tempat di Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor tetapi masih diperhalusi kerana tempat ini masih menjalankan pembakaran tradisional,” katanya.

Setakat ini, sebanyak lima pihak berkuasa tempatan negeri memiliki kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan MPSepang.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 15,000 komuniti India negeri dapat bakul makanan sejak pandemik

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih 15,000 keluarga masyarakat India di negeri ini yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 dibantu sejak tahun lalu.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata bantuan melalui program bakul makanan bagi memastikan penduduk tidak terputus bekalan.

Beliau menjelaskan sumbangan diagih menggunakan dana rumah ibadat selain Islam berikutan projek pembinaan tidak berjalan tahun ini.

“Kita tiada peruntukan khas. Jadi gunakan peruntukan kuil untuk sediakan bakul makanan dan beri kepada keluarga memerlukan terutama B40 (golongan berpendapatan rendah),” katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini semalam.

Selain itu, Ganabatirau berkata Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) turut menyediakan bank makanan di kuil bagi masyarakat memerlukan.

“Bank makanan bukan untuk penganut Hindu sahaja malah agama lain termasuk warga asing. Tujuan kita membantu penduduk susah tanpa mengira agama, bangsa atau kaum,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Mohon kebenaran sebelum bina kuil, elak timbul isu

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pihak yang mahu mendirikan kuil diminta memohon kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan sebarang isu pada masa akan datang.

Jawatankuasa khas agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) berkata kuil didirikan secara haram boleh dikenakan tindakan tegas termasuk perobohan sekali gus bakal menimbulkan masalah lebih besar.

“Permohonan merancang ini satu kewajipan malah memberi jaminan untuk jangka panjang. Jadi mesti ikut peraturan ditetapkan PBT.

“Kuil yang sah juga boleh diwartakan. Setakat ini Kerajaan Selangor sudah mewartakan hampir 300 kuil,” kata V Ganabatirau.

Beliau ditemui pada sidang media peruntukan rumah ibadat selain Islam di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

EXCO kebajikan masyarakat, pekerja dan kerajaan prihatin itu turut menasihatkan pihak yang mahu mendirikan kuil bersaiz kecil supaya bergabung antara satu sama lain.

“Ini lebih baik kerana tidak perlu mengeluarkan belanja tinggi malah pengurusan juga lebih mudah,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Ratusan ketua kampung, penghulu minat dapatkan data internet percuma

SHAH ALAM, 1 SEPT: Hampir 500 ketua kampung tradisi, setiausaha dan penghulu di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) memohon data internet percuma setakat ini.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata inisiatif Data Internet Selangor menerima sambutan menggalakkan sejak permohonan dibuka pada 15 Julai.

“Kerajaan Negeri memperuntuk 1,000 kuota untuk 371 ketua kampung dan setiausaha serta 56 penghulu DUN manakala selebihnya terbuka kepada mana-mana individu memerlukan.

“Alhamdulillah, pemohon teruja dan tidak sabar untuk menikmati manfaat tersebut dan berharap program ini berjalan lancar,” kata Borhan Aman Shah ketika dihubungi.

Sementara itu, EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau memaklumkan seramai 30 Ketua Komuniti India (KKI) menghantar 270 nama sejak permohonan dibuka dalam tempoh sama.

“Sebanyak 500 kuota disediakan kepada 53 KKI dan setiap mereka perlu mengenal pasti lapan individu yang layak menerima data internet percuma ini.

“Kita berharap kuota disediakan dapat dipenuhi dan hebahan permohonan dibuat melalui kumpulan WhatsApp supaya mereka tidak terlepas peluang ini,” katanya.

Permohonan inisiatif sehingga 15 September boleh dibuat dengan menghubungi pejabat EXCO.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 70,000 rakyat Selangor akan menerima kad SIM dilengkapi internet percuma selama 12 bulan.

Beliau menjelaskan inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Semak penerima KISS, elak individu tidak layak terima manfaat

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri menyemak semula senarai penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bagi memastikan individu layak mendapat manfaat, kata EXCO kebajikan masyarakat.

V Ganabatirau berkata semakan semula senarai penerima bagi memastikan 25,000 kuota hanya diisi oleh individu yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Jumlah penerima KISS setakat 5 Ogos lalu adalah seramai 20,371 iaitu 19,368 penerima KISS manakala 1,363 penerima KISS Ibu Tunggal (KISS-IT),” katanya ketika ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ganabatirau berkata berhubung pengemaskinian maklumat ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) seperti nombor telefon hanya boleh dibuat di peringkat pejabat Pusat Khidmat DUN sahaja.

“Pengemaskinian maklumat selain nombor telefon perlu dibuat di peringkatYayasan Warisan Anak Selangor (Yawas)  bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan, penukaran maklumat tanpa pantauan, kecuaian kemasukan data dan lain-lain.

“Kemasukan dan pengemaskinian maklumat bagi ahli yang telah meninggal dunia perlu dibuat di peringkat Yawas bagi memastikan maklumat adalah benar dan tiada sebarang tuntutan dibuat secara berasingan oleh waris tanpa melalui pejabat DUN,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Bantuan RM1,000 kepada waris urus jenazah mangsa Covid-19

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan sekali bayar RM1,000 kepada waris mangsa Covid-19 bukan Islam bagi pengurusan jenazah.

EXCO Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) V Ganabatirau berkata usaha itu bertujuan meringankan beban waris menanggung kos perbelanjaan pengebumian tinggi.

“Kita sedia maklum pengurusan jenazah bagi masyarakat bukan Islam menelan kos perbelanjaan yang tinggi kerana majoriti dilaksana oleh syarikat swasta.

“Bayaran ini ditawarkan kepada waris yang mana ahli keluarga mereka meninggal dunia mulai kelmarin sehingga 30 November sahaja. Namun, ia tertakluk kepada perubahan dan sehingga peruntukan RM500,000 yang diberi Kerajaan Negeri habis diguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bantuan pengurusan jenazah Covid-19 bagi individu bukan beragama Islam di Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini semalam.

Menurut Ganabatirau antara syarat permohonan ialah pengundi Selangor, mangsa yang meninggal dunia anak kelahiran negeri ini atau bermastautin lebih 10 tahun dan disahkan kematian disebabkan Covid-19.

Selain itu, beliau berkata permohonan terhad bagi satu kematian sahaja dan waris hanya boleh memohon dalam tempoh 30 hari selepas tarikh meninggal dunia.

Permohonan boleh dilakukan dengan hadir ke pejabat Ganabatirau bersama dokumen lengkap seperti berikut:

1) Sijil kematian/ permit kubur/ bukti kematian
2) Salinan kad pengenalan si mati
3) Salinan kad pengenalan waris
4) Pengesahan pemastautin si mati (disahkan)
5) Salinan penyata akaun bank waris terdekat yang memohon (bagi bayaran secara dalam talian)

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk kediaman mewah di Kota Kemuning antara penerima bakul makanan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning mengagihkan 6,400 bakul makanan kepada masyarakat terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak Jun lalu.

V Ganabatirau berkata agihan bakul makanan kepada masyarakat sekitar Kota Kemuning tidak hanya memfokuskan golongan berpendapatan rendah tetapi turut melibatkan mereka yang tinggal di kediaman mewah.

“Walaupun banyak penduduk di DUN Kota Kemuning tinggal di rumah mewah tetapi ada sebahagian daripada mereka berdepan dengan kesusahan kerana syarikat ditutup.

“Selain bakul makanan, kita juga memberi sumbangan peralatan kesihatan, baucar Pasaraya Speedmart bernilai RM80 dan wang tunai untuk pengurusan jenazah Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Ganabatirau yang juga EXCO kebajikan masyarakat berkata pihaknya juga terus memperkasakan program “Sponsor A Family” iaitu keluarga berkemampuan membantu keluarga terkesan.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN kerajaan dan pembangkang menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) berjumlah RM30,000

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor upayakan pekerja, bantu golongan terkesan akibat Covid-19

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri akan memperkasa portfolio pemberdayaan pekerja bagi membantu golongan yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19.

EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata antara langkah yang perlu diambil adalah menambah peruntukan untuk membantu golongan terkesan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Portfolio pemberdayaan pekerja yang ditubuh pada Oktober tahun lalu perlu disemak semula melibatkan perancangan serta peruntukan, sebab saya bimbang lebih ramai rakyat Selangor tiada kerja atau terjejas pendapatan.

“Jika tidak diperkasakan dikhuatiri memberi impak kepada kesihatan emosi dan ekonomi individu yang kehilangan pekerjaan akibat tertekan sehingga sanggup membunuh diri,” kata V Ganabatirau kepada SelangorKini.

Beliau berkata dalam membantu meningkatkan ekonomi rakyat, syarikat perlu merancakkan pengambilan pekerja warga tempatan berbanding warga asing.

“Jika mengambil warga tempatan kebergantungan warga asing dapat dikurangkan. Kita tidak mahu ekonomi warga asing lebih baik daripada rakyat sendiri,” katanya.

Pada 7 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan lima bidang tugas baharu bagi mencapai sasaran Selangor Maju iaitu pembudayaan inovasi dan Selangor pintar, pengurusan bencana, pemberdayaan pekerja, perpaduan dan industri halal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

413 permohonan alatan mula niaga dilulus, legakan golongan hilang kerja

SHAH ALAM, 13 OGOS: Sebanyak 413 permohonan bantuan peralatan untuk memulakan perniagaan diluluskan Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini, kata EXCO pembangunan sosio ekonomi.

V Ganabatirau berkata dana melalui program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan bertujuan membantu golongan terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 memulihkan semula ekonomi mereka.

“Permohonan yang diluluskan akan menerima peralatan dalam masa terdekat. Bantuan ini merupakan tambahan kepada 269 permohonan yang kita luluskan pada tahun lepas.

“Ini tidak termasuk bantuan wang tunai sekali bayar sejumlah RM400 kepada 1,100 peniaga terjejas yang diberikan sejak pandemik melanda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat melegakan golongan yang kehilangan pekerjaan selain membantu memulakan cabang baharu pendapatan dalam bidang perniagaan.

“Kerajaan Negeri komited memastikan rakyatnya keluar daripada kepompong kemiskinan selain menggalakkan program keusahawanan untuk meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor sejak 2008 memberi peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Sejumlah RM2 juta diperuntuk pada setiap tahun dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi golongan sasar.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jangan ubah suai, bina struktur tambahan kuil tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 3 APRIL: Persatuan kuil negeri ini diingatkan tidak mengubah suai atau membina struktur tambahan di rumah ibadat tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau berkata penempatan semula (pembinaan baharu) mahupun pengubahsuaian kuil perlu mengikut spesifikasi dan undang-undang PBT.

“Saya masih dengar apabila pembangunan kuil diluluskan, mereka (persatuan kuil) buat lain daripada yang ditetapkan sedangkan kita sudah meluluskan banyak tanah secara teratur.

“Begitu juga kuil sedia ada, jangan asyik menambah struktur dan hormat undang-undang PBT,” katanya selepas menyerahkan cek bantuan kepada wakil persatuan kuil di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Ganabatirau turut menasihatkan semua pihak supaya mengekalkan fungsi asal rumah ibadat dan tidak menjadikannya sebagai medan politik.

“Biar kuil ini berada di luar batasan politik dan menjalankan segala program keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing dengan cara sederhana,” katanya.

Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM630,000 kepada 63 kuil seluruh negeri tahun ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk komuniti India di kawasan masing-masing.