Categories
AGENDA GLOBAL

Amerika Syarikat sah tarik diri daripada WHO

NEW YORK, 8 JULAI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mengesahkan Amerika Syarikat (AS) sudah memaklumkan negara itu menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor agensi berita Xinhua.

Perkara itu dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Isnin.

“Sebagai jawapan kepada pertanyaan, saya mengatakan pada 6 Julai 2020, AS sudah memaklumkan kepada setiausaha agung, negara itu menarik diri daripada WHO berkuat kuasa pada 6 Julai 2021,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric.

“AS adalah anggota WHO sejak 21 Jun 1948. Penyertaan AS itu diterima Majlis Kesihatan Sedunia dengan syarat-syarat tertentu ditetapkan AS, yang akhirnya menarik diri. Syarat itu termasuk memberi notis setahun dan memenuhi sepenuhnya bayaran kewangan yang wajib,” kata jurucakap itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19 global: Lebih 527,000 maut, kes positif 11,145,640

PARIS 5 JULAI: Sekurang-kurangnya 527,241 penduduk dunia menjadi mangsa korban Covid-19 sejak pandemik itu mula dikesan di China pada Disember lalu.

Amerika Syarikat (AS) terus mendominasi kedudukan senarai negara terjejas teruk apabila merekodkan 129,584 kematian daripada 2,818,588 kes dengan sekurang-kurangnya 790,404 kes pulih.

Menerusi data dikumpul dari pihak berkuasa negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 11,145,640 kes positif dilaporkan di 196 negara dan wilayah, lapor AFP.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 5,727,400 disahkan pulih.

Brazil yang berada di belakang AS mencatatkan 63,174 kematian daripada 1,539,081 kes; United Kingdom (UK) (44,198 kematian daripada 284,900 kes); Itali (34,854 kematian daripada 241,419 kes); dan Perancis (29,893 kematian 203,367 kes).

Belgium kekal sebagai negara tertinggi merekodkan kadar kematian berbanding jumlah penduduk iaitu 84 kematian per 100,000 penduduk negara itu, diikuti UK (65), Sepanyol (61), Itali (58) dan Sweden (54).

China tidak termasuk Hong Kong dan Macau mengesahkan 83,545 kes jangkitan termasuk 4,634 kematian dan 78,509 pulih.

Negara-negara Eropah pula merekodkan 199,050 kematian daripada 2,710,595 kes; AS dan Kanada (138,304 kematian daripada 2,923,905 kes); Amerika Latin dan Caribbean (124,355 kematian daripada 2,806,243 kes); Asia (37,000 kematian daripada 1,432,118 kes); Asia Barat (17,472 kematian daripada 811,831 kes); Afrika (10,927 kematian daripada 451,075 kes) dan Oceania (133 kematian daripada 9,882 kes).

Mengambil kira kebanyakan negara hanya menjalankan ujian saringan ke atas kes bergejala dan serius, angka berkenaan hanya mencerminkan sebahagian kes yang berlaku di seluruh dunia.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Hampir 98 peratus pesakit pulih, tiada kes kematian baharu

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman terkini mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 27 Jun hingga pukul 7 malam 3 Julai.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka 8,000 sementara di peringkat global, kes wabak ini melepasi angka 11 juta dengan lebih 500,000 kematian. Sekitar 6 juta orang pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

Mula dikesan di negara ini pada 25 Jan 2020, Malaysia kini kian hampir untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 setelah menguatkuasakan beberapa tindakan pantas dan tegas termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Fasa pertama PKP bermula pada 18 Mac kemudiannya dilanjutkan sebanyak tiga fasa lagi sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dijangka berakhir 31 Ogos depan.

Kesemua PKP ini disertai dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan di samping amalan nasihat kesihatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Unjuran kerajaan untuk mencapai sifar kes baharu Covid-19 sekitar pertengahan Julai semakin dalam genggaman apabila hanya satu (1) kes dilaporkan pada Rabu 1 Julai dan itu pun kes import, melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Turki. Tiada kes penularan tempatan pada hari berkenaan.

Pencapaian kes terendah ini ini adalah yang pertama kalinya sepanjang gelombang kedua pandemik Covid-19 melanda negara ini yang mula dikesan pada 27 Feb 2020.

Rekod kes baharu satu angka kekal sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat 3 Julai dengan lima (5) kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,648 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah kurang daripada 100 kes, iaitu 81 kes.

Daripada lima (5) kes tersebut, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan melibatkan warganegara Malaysia. Dua lagi kes adalah penularan di dalam negara (di Sabah), melibatkan warganegara Malaysia.

Untuk rekod, kes satu (1) angka kedua terendah dilaporkan pada Selasa 30 Jun iaitu dua (2) kes dan tiga (3) kes pada Isnin 29 Jun dan tiga (3) kes pada Khamis 2 Julai. Kes dua (2) angka dicatat pada Sabtu 27 Jun dan Ahad 28 Jun, masing-masing 10 kes dan 18 kes.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat, 3 Julai, seramai sembilan (9) orang pesakit Covid-19 di Malaysia telah pulih dan discaj, menjadikan jumlah kumulatif discaj, 8,446 kes iaitu 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes pulih sepanjang rangkuman mingguan, purata dua angka iaitu 14 ( Sabtu 27 Jun), 10 (Ahad 28 Jun), 16 (Isnin 29 Jun), 20 (Selasa 30 Jun), 21 (Rabu 1 Julai) dan 62 (Khamis 3 Julai).

Seramai dua (2) pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes baharu kematian berkaitan Covid-19 di Malaysia setakat 3 Julai, iaitu hari ke-19 berturut-turut angka kematian kekal 121 orang iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Amaran Kes Baharu Boleh Meningkat Semula

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan penurunan kes harian menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri dan tanggungjawab sosial.

Beliau berharap setiap lapisan dan kumpulan masyarakat dapat mengamalkan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter di antara satu sama lain, kebersihan kendiri yang tinggi, mengelakkan kawasan yang sempit dan sesak serta mengelak bertutur dengan jarak yang dekat.

Amalan tersebut adalah normal baharu yang perlu dibiasakan secara meluas dan berterusan bagi memastikan kejayaan memerangi wabak Covid-19.

KKM pada Khamis turut merujuk kepada lonjakan kes baharu Covid-19 di beberapa buah negara dalam Facebook rasmi kementerian.

KKM menyebut di Amerika Syarikat pada 1 Julai mencatatkan 46,185 kes dalam tempoh 24 jam. Brazil pula mencatatkan sebanyak 37,997 kes baharu dan India merekodkan 18,641 kes sehari. Secara keseluruhannya, Kes baharu dunia pada 1 Julai adalah tertinggi pernah direkodkan setakat ini iaitu kira-kira 196,000. Amerika Syarikat dan Brazil juga merekodkan jumlah kes dan kematian tertinggi di dunia.

Peningkatan yang besar itu adalah pada hari yang sama Malaysia mencatatkan kes terendah pernah direkodkan iaitu satu kes baharu dan sifar kes tempatan.

“Mengambil kira perkembangan semasa di seluruh dunia dan amaran yang telah diberikan WHO, KKM menyeru orang ramai agar tidak alpa dengan penurunan kes di negara kita. Kes boleh kembali meningkat jika kita leka. Jadi, terus patuhi SOP dan amalkan langkah-langkah pencegahan setiap masa di mana jua kita berada.”

WHO, Status Global

Tarikh 30 Jun menandakan genap enam bulan sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerima laporan pertama kluster kes pneumonia dari China, yang tidak diketahui puncanya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan alu-aluan pada taklimat media mengenai Covid-19 pada 29 Jun berkata, ulang tahun ke-enam bulan berlakunya pandemik Covid-19 turut menyaksikan jumlah kes melonjak kepada 10 juta dengan 500,000 kematian.

“Enam bulan lalu tidak ada siapa yang menduga bagaimana dunia kita, kehidupan kita, akan menjadi porak-peranda akibat virus baharu ini. Pandemik ini menyaksikan pelbagai perilaku kebaikan dan keburukan manusia sejagat. Di serata dunia, kita melihat begitu banyak pihak yang mengorbankan masa dan tenaga.

“Persoalan kritikal yang akan dihadapi semua negara dalam bulan-bulan mendatang ialah bagaimana untuk hidup dengan virus ini. Itulah normal baharu. Ada negara yang berjaya melaksanakan langkah untuk mengekang penularan wabak ini dan menyelamatkan nyawa, “ kata Dr Tedros.

Menurut beliau, ada negara yang mula mengalami gelombang baharu kes Covid-19 apabila mereka membuka ekonomi dan menarik balik kawalan pergerakan.

“Kita semua mahu pandemik ini berakhir tetapi realitinya, ianya belum lagi berlaku. Meskipun ada negara yang mencapai kemajuan, di peringkat global, wabak ini terus merebak. Kita perlu bersatu dalam hal ini dan ianya adalah untuk jangka masa yang panjang.”

Statistik Global Covid-19

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 11,010,562 dan 524,559 kematian. Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh seramai 6,168,947 orang.

Amerika Syarikat terus mengekalkan tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak Covid-19 dengan 2,837,189 kes dan 131,485 kematian. Kes positif Covid-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan.

Di Washington, pakar penyakit berjangkit Dr Anthony Fauci dlaporkan memberitahu Senat Amerika Syarikat pada awal minggu ini ” beliau tidak akan terkejut sekiranya kes baharu Covid-19 di negara itu meningkat sehingga 100,000 sehari. ”

Jumlah kes Covid-19 turut meningkat di Brazil yang menduduki tangga kedua dengan 1,501,353 kes dan 61,990 kematian, diikuti Rusia dengan 667,883 kes dengan 9,859 kematian dan India 628,205 kes dengan 18,241 kematian.

Di samping empat negara di atas, 16 buah negara merekodkan lebih 100,000 kes Covid-19, iaitu Sepanyol 297,183 kes (28,368 kematian), Peru 292,004 kes (10,045 kematian), Chile 284,541 kes (5,920 kematian), United Kingdom 283,757 kes (43,995 kematian), Itali 240,961 kes (34,818 kematian), Mexico 238,511 kes (29,189 kematian), Iran 232,863 kes (11,106 kematian), Pakistan 221,896 kes (4,551 kematian), Turki 202,284 kes (5,167 kematian), Arab Saudi 197,608 kes (1,752 kematian), Jerman 196,717 kes (9,064 kematian), Afrika Selatan 168,061 kes (2,844 kematian), Perancis 166,378 kes (29,875 kematian), Bangladesh 156,391 kes (1,968 kematian), Colombia 106,110 kes (3,641 kematian) dan Kanada 104,772 kes (8,642 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-22 dengan 83,542 kes dan 4,634 kematian (tidak berubah dari minggu-minggu sebelumnya).

Negara lain yang mencatat jumlah kes Covid-19 yang besar termasuk Qatar 97,897 kes (118 kematian), Mesir 71,299 kes (3,120 kematian) dan Sweden 70,639 kes (5,411 kematian).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia masih menduduki tempat teratas dengan 60,695 kes dengan 3,036 kematian sementara Singapura merekodkan sebanyak 44,479 kes dengan 26 kematian (tidak berubah daripada minggu sebelumnya).

Sementara itu, Filipina mencatat 40,336 kes (1,280 kematian), Thailand 3,180 kes (58 kematian), Vietnam 355 kes ( 0 kematian), Myanmar 304 kes (6 kematian), Brunei 141 kes (2 kematian), Kampuchea 141 kes (0 kematian) dan Laos 19 kes (0 kematian).

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Dunia belum lalui tahap terburuk Covid-19

GENEVA, 30 JUN: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran tempoh paling buruk Covid-19 belum dilalui lagi walaupun sudah enam bulan dunia dilanda wabak itu.

Ketua WHO berkata enam bulan lalu tiada siapa dapat membayangkan dunia dan kehidupan terumbang-ambing akibat virus baharu itu, lapor AFP.

“Kita mahukan ia berakhir dan menjalani kehidupan seperti biasa, namun hakikatnya ia masih belum dapat ditamatkan, biarpun sesetengah negara dilihat bertambah baik, secara global pandemik ini masih lagi berleluasa.

“Kita semua bersama sepanjang tempoh ini dan perlu lebih banyak ketahanan, kesabaran, sifat kemanusiaan dan murah hati pada bulan mendatang,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang video secara maya.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri sidang akhbar selepas persidangan antarabangsa mengenai penyelidikan vaksin Covid-19 di Geneva pada 12 Februari 2020. Foto AFP

Beliau berkata pandemik itu secara tidak langsung menunjukkan sikap kemanusiaan sebenar, kebaikan dan solidariti tetapi ada juga maklumat yang salah serta virus politik.

“Saya terpaksa mengatakan keadaan yang paling teruk masih dilalui dan dalam keadaan sekarang kita hanya takutkan sesuatu yang paling teruk saja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan WHO akan menghantar pasukan ke China bagi mencari punca Covid-19 yang kini sudah meragut lebih 500,000 nyawa dan menjangkiti lebih 10 juta orang di seluruh dunia.

“WHO sudah mendesak China sejak Mei lalu untuk menjemput mereka menyertai pasukan pakarnya bagi menyiasat punca utama Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

Jangkitan Covid-19 global diramal cecah 10 juta – WHO

GENEVA, 25 JUN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan jangkitan Covid-19 di peringkat global berkemungkinan mencecah 10 juta.

Ketuanya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pada bulan pertama penularan, kurang daripada 10,000 kes dilaporkan kepada WHO.

“Sepanjang bulan lalu, hampir empat juta kes dilaporkan. Kami menjangkakan ia akan mencapai 10 juta kes menjelang minggu depan.

“Ini adalah peringatan bahawa walaupun usaha untuk mencari vaksin dan terapeutik diteruskan, kita berdepan mandat penting untuk melakukan apa yang terdaya, menggunakan segala peralatan bagi mengurangkan jangkitan serta menyelamatkan nyawa,” katanya dalam sidang media maya, lapor AFP.

Sehingga kini, Covid-19 sudah meragut sekurang-kurangnya 477,500 nyawa dan menjangkiti hampir 9.3 juta penduduk dunia sejak muncul di China Disember tahun lalu, lapor perangkaan sumber rasmi yang dikumpul.

Categories
AGENDA GLOBAL

Bosan berkurung, WHO beri amaran fasa baharu, berbahaya Covid-19

GENEVA, 20 JUN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai fasa baharu dan berbahaya Covid-19 apabila orang ramai mula bosan dengan perintah berkurung dan kawalan pergerakan.

Kebimbangan penularan virus yang membunuh lebih 454,000 dan menjangkiti 8.4 juta penduduk dunia timbul selepas beberapa bahagian di Asia dan Eropah mula meredakan langkah kawalan, lapor AFP.

“Perintah berkurung bagi mengekang penularan penyakit itu melumpuhkan ekonomi, tetapi WHO terus mengingatkan pandemik masih menimbulkan ancaman besar kepada penduduk dunia.

“Dunia berada dalam fasa baharu dan berbahaya. Ramai yang bosan berada di rumah, tetapi virus itu terus menular dengan cepat,” kata Ketua WHO pada sidang media maya pada Jumaat.

Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa negara dan rakyat untuk tetap berwaspada kerana jumlah kes dilaporkan kepada badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mencapai puncak baharu.

“Pandemik semakin meningkat apabila lebih daripada 150,000 kes baharu Covid-19 dilaporkan kepada WHO semalam, yang paling banyak dalam satu hari setakat ini,” katanya.

Tedros berkata usaha menghasilkan vaksin belum berjaya walaupun terdapat beberapa percubaan, sementara saintis menemui lebih banyak penemuan mengenai virus, gejala dan sejauh mana penyebarannya.

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.3450/3550 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan baharu membabitkan vaksin Covid-19 walaupun sentimen positif terus mempengaruhi pasaran kewangan serantau, kata peniaga.

Pada 9.02 pagi, unit tempatan itu disebut harga pada 4.3450/3550 berbanding 4.3440/3510 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berikrar untuk terus menerajui usaha global menangani pandemik Covid-19 selepas Presiden AS Donald Trump mengugut untuk memotong sumbangan dana dan keluar daripada agensi dunia itu sekiranya enggan meminda prosedurnya dalam masa 30 hari.

Selain itu, pembeli India telah menyambung semula pembelian minyak sawit Malaysia selepas terbabit dalam pertikaian diplomatik dengan pembelian dipacu oleh penyusutan inventori domestik dan harga diskaun, kata sumber dagangan.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0685/0764 daripada 3.0648/0706 pada Selasa dan susut berbanding yen Jepun kepada 4.0625/0361 daripada 4.0387/0456.

Ringgit juga turun berbanding euro pada 4.7530/7652 daripada 4.7179/7283 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3291/3431 daripada 5.3166/3269 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO ucap tahniah kepada Wuhan, tiada pesakit Covid-19

GENEVA, 2 MEI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat menyambut baik berita mengatakan tiada lagi pesakit Covid-19 dirawat di Wuhan, China, dan memuji “usaha gigih tanpa mengenal erti penat” rakyatnya dalam berjuang melawan wabak itu, lapor agensi berita Xinhua.

Selepas bertarung selama lebih tiga bulan, akhirnya Wuhan, bandar raya yang paling teruk diancam wabak, berjaya menyelesaikan kes pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital.

“Ia berita gembira yang amat dialu-alukan, tiada lagi kes serius, tiada lagi pesakit di Wuhan,” kata ketua teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO Dr Maria van Kerkhove pada sidang media maya di sini.

“Tahniah atas pencapaian ini,” katanya.

Beliau turut menghargai “usaha yang tidak mengenal erti penat” rakyat di Wuhan – “bukan hanya pekerja kesihatan tetapi individu yang tinggal di rumah, yang mematuhi langkah-langkah kesihatan awam.”

Beliau antara pakar yang menyertai kerjasama China-WHO dan melawat negara itu pada Februari berkata, “China telah berusaha gigih untuk membendung wabak Covid-19.”

“Saya ada di sana selama dua minggu, bekerja secara langsung dengan pegawai kementerian dan pegawai dari pelbagai sektor, saya lihat sendiri bagaimana gigihnya mereka untuk menurunkan jumlah kes,” katanya.

Pasa masa sama beliau menasihatkan penduduk Wuhan untuk “terus berwaspada.”

“Dunia telah belajar dari China dan juga perlu belajar dari Wuhan bagaimana mereka mampu melakukan sedemikian, bagaimana mereka berupaya membawa masyarakat kepada kehidupan biasa atau normal baharu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

WHO jangka perang hadapi Covid-19 hingga tahun depan – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM 20 APRIL: Malaysia berkemungkinan perlu ‘berperang’ menentang penularan wabak Covid-19 sehingga tahun depan, seperti jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berikutan itu perancangan strategi yang boleh diguna dan diamalkan sehingga tahun depan perlu dirancang dan difikirkan berikutan belum ada vaksin untuk jangkitan Covid-19.

Katanya selain menjalankan ujian terhadap antibodi seperti dicadangkan pakar untuk komuniti, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memantau kewujudan kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dalam komuniti yang menentukan kewujudan virus itu.

“Tetapi sekarang kita lihat kes ILI dan SARI semakin berkurangan. Kalau berkurangan, itu satu indikasi baik untuk kita melaksanakan atau merancang tindakan bagi masa depan.

“Apa yang kita dapat lihat daripada kes yang sedang dikaji ialah bagaimana kita dapat mengambil tindakan sewajarnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu mengulas sasaran lanjut dalam PKP fasa ketiga pula, Dr Noor Hisham berkata kementerian berazam menurunkan kadar kebolehjangkitan kepada sekitar 500 hingga 1,000 kes.

“Jika sasaran itu mampu dicapai, beliau berkata, perkhidmatan rawatan di hospital dapat ditumpukan kepada kluster lain yang berupaya mencetuskan peningkatan kadar kebolehjangkitan.

“Sekiranya tiada kes positif dalam komuniti, kita boleh mengurangkan penularan Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Tarik balik kawalan pergerakan ‘terlalu awal’ boleh bawa padah

GENEVA, 11 APRIL: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Jumaat memberi amaran, menarik balik kawalan pergerakan “terlalu awal” boleh mencetuskan penularan semula Covid-19 yang jauh lebih buruk, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata ada beberapa negara sudah merancang untuk menarik balik arahan duduk di rumah.

“Langkah itu boleh menimbulkan keadaan lebih berbahaya jika tidak dikendalikan dengan cara yang betul,” katanya.

WHO kini sedang bekerjasama dengan negara terjejas Covid-19, berhubung strategi bagaimana untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara berperingkat dan selamat.

Beberapa negara Eropah antaranya sudah mempertimbangkan untuk melonggarkan arahan itu berikutan jumlah jangkitan Covid-19 menunjukkan trend penurunan.

Antaranya, Austria dan Switzerland, masing-masing bercadang melonggarkan sekatan bermula pertengahan dan hujung April.

Ketua WHO itu menegaskan, sebarang keputusan untuk menarik balik kawalan pergerakan seharusnya dengan syarat penularan sudah dapat dikawal; perkhidmatan perubatan dan kesihatan awal yang secukupnya; risiko penularan di kemudahan khas seperti lokasi penjagaan jangka panjang diminimumkan.

Sementara itu langkah pencegahan perlu diambil di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan orang ramai; risiko kes import dapat dikawal; dan komuniti sudah sedar dan faham mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan penjarakan sosial dalam tempoh peralihan ini.

Di seluruh dunia, hampir 1.5 juta kes positif Covid-19 dilaporkan kepada WHO, dengan lebih 92,000 kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Henti politik isu, dunia perlu bersatu perangi Covid-19

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru seluruh dunia untuk bersatu memerangi Covid-19 dan tidak mempolitikkan pandemik tersebut, kata ketua pengarahnya.

Seruan oleh Tedros Adhanom Ghebreyesus dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendakwa WHO mengambil tindakan salah dan terlalu lambat serta berat sebelah kepada China, lapor AFP.

“AS dan China harus bekerjasama dan melawan musuh berbahaya ini. Semua parti politik sepatutnya fokus untuk menyelamatkan rakyat mereka. Tolong jangan politikkan virus ini.

“Jika anda tidak mahu semakin banyak beg mayat, maka hindarkan diri daripada mempolitikkannya. Ia seperti bermain dengan api,” katanya pada taklimat media secara maya di Geneva semalam.

Virus yang mula dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019 menjangkiti lebih 1.4 juta orang dan meragut lebih 80,000 nyawa di seluruh dunia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM sedia jalankan kajian vaksin jika ditawar WHO

PUTRAJAYA, 8 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menjalankan kajian vaksin dan selain vaksin untuk COVID-19 jika diberi tawaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM dikenal pasti sebagai satu negara yang mempunyai penyelidikan berkualiti.

“Kalau ada tawaran daripada WHO, kita bersedia untuk bekerjasama menjalankan kajian bersama iaitu kajian vaksin ataupun kajian selain daripada vaksin,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus yang dilaporkan berkata Afrika tidak akan menjadi lokasi tapak ujian vaksin COVID-19.

Malaysia sebelum ini dipilih WHO untuk menyertai ‘Kaji Selidik Solidariti’ dalam usaha antarabangsa menguji beberapa ubat merawat jangkitan COVID-19.

Dilaporkan, kaji selidik diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia itu adalah usaha yang julung kali dilakukan bagi mengumpul data dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir/Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

Ditanya kebimbangan sesetengah warganet mengenai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan tamat 14 April ini, Dr Noor Hisham berkata: “Kami memantau dengan teliti setiap hari dari segi peningkatan kes positif dan penyebaran (virus) di kawasan-kawasan di setiap negeri dan daerah”.

“Sepertimana yang kita tahu, tiada pertumbuhan eksponen dalam kes-kes kita. Walaupun kita belum lagi menang, kita juga belum kalah dalam peperangan ini.

“Tetapi, apa yang lebih penting bagi kita ialah memantau dengan rapat dan mungkin kita perlu ada beberapa cadangan. Apa yang penting adalah KKM berdasarkan fakta dan sains, jadi ini bukan tentang pendapat saya tetapi fakta dan sains yang sedang kita lihat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM sedang membuat pemodelan dari segi unjuran dan telah melihat laporan awal yang memerlukan satu atau dua hari untuk menganalisis keseluruhan data.

“Dengan data yang ada, KKM akan menyerahkan cadangan ke Kabinet dan perdana menteri, oleh itu, beberapa pilihan sudah ada dan keputusannya terpulang kepada Kabinet dan perdana menteri,” katanya.

-BERNAMA