Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia terlibat kaji selidik solidariti WHO rawat Covid-19

SHAH ALAM, 6 APR: Malaysia menyertai kaji selidik solidariti dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha antarabangsa menguji beberapa ubat berpotensi bagi merawat Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyegerakan proses pelaksanaannya yang bermula tidak lama lagi dan memberi jaminan ia akan mematuhi semua piawaian keselamatan ditetapkan Bahagaian Regulatori Negara (NPRA).

“Kaji selidik diselaraskan WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha julung kali dilakukan bagi mengumpul data yang boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyelidikan ini akan diketuai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang Dr Chow Ting Soo dengan pasukan 16 pakar perubatan dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital masing-masing.

Sembilan hospital akan terlibat iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth.

Categories
AGENDA NASIONAL

WHO puas hati persediaan Malaysia berdepan Covid-19

PUTRAJAYA, 26 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpuas hati dengan kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi penularan Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat antara WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

“Apa yang Malaysia lakukan ialah kaedah pertama iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kaedah kedua Malaysia mengawal penularan Covid-19 pula ialah dengan melakukan pengesanan kes secara aktif iaitu mencari (pesakit yang positif), uji, asing dan rawat.

Selain itu, Malaysia turut mengenal pasti kumpulan sasaran Covid-19 iaitu mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, pendatang tanpa izin dan masyarakat Rohingya, katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk melakukan pembersihan kawasan awam yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap ketika sidang media harian berkenaan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia pada 26 Mac 2020. Foto BERNAMA

Ditanya mengenai jumlah doktor di Malaysia pada masa ini, beliau berkata setakat ini bilangan doktor mencukupi dan KKM menyasarkan untuk mendapatkan khidmat 3,000 pesara jururawat dan petugas kesihatan.

“Namun KKM tidak tunggu hingga 3,000 pesara datang mendaftar baru ambil mereka bekerja. Mana yang ada kemahiran contohnya di unit rawatan rapi dan wad, KKM sudah ambil…kini 1,000 lebih pesara petugas kesihatan sudah ditempatkan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Ditanya mengenai telesidang pegawai KKM dengan doktor dari China yang berlangsung tengah hari tadi, Dr Noor Hisham berkata Malaysia ingin mengetahui kaedah baharu yang digunakan China dalam merawat Covid-19.

“Contohnya penggunaan ubat Avigan. Perlu dikaji dulu kesan sampingannya. Walau tidak didaftar di Malaysia ia boleh ikut kelulusan ketua pengarah kesihatan,” katanya.

Selain itu, katanya, antara kaedah baharu yang dikongsi China ialah menggunakan darah pesakit yang telah sembuh iaitu menggunakan plasma untuk pekatkan antibodi.

“Tapi KKM tidak tahu sama ada pendekatan ini mujarab atau tidak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Covid-19: Lebih 300,000 kes global, rencat pertumbuhan ekonomi

GENEVA, 24 MAC: Lebih 300,000 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dan pandemik semakin pantas merebak, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Isnin.

Agensi berita Xinhua melaporkan hanya dalam masa 67 hari bermula kes pertama dikesan, ia kini mencecah 100,000 untuk kes pertama, manakala 100,000 kes kedua serta ketiga masing-masing dilaporkan dalam tempoh 11 dan empat hari.

Beliau berkata demikian dalam taklimat harian berhubung perkembangan situasi Covid-19.

Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pandemik Covid-19 mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020, kesan buruknya sama seperti krisis kewangan yang melanda pada 2008, lapor agensi berita Sputnik.

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva pada Isnin berkata unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk 2020 adalah negatif dan memberi kesan buruk kemelesetan sama seperti krisis kewangan atau lebih buruk tetapi dijangka pulih pada 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan penyelidik Covid-19 diketuai Malaysia diiktiraf WHO

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Memandangkan banyak maklumat yang salah mengenai pandemik Covid-19 yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini, penyelidik di seluruh dunia berusaha untuk menyalurkan fakta yang tepat mengenai wabak baharu ini.

Masih ramai yang belum mengetahui terdapat pasukan penyelidikan yang diketuai Malaysia, diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk hasil kerja mereka mengenai CoronaTracker iaitu platform sehenti untuk data dan berita berkaitan Covid-19.

Tracker adalah projek berasaskan komuniti bermula dengan pembabitan 400 sukarelawan di seluruh dunia terdiri daripada saintis data, pengamal perubatan profesional, pereka user interface/user experience (UI/UX), full stack developers (pembangun web) serta orang awam dan sehingga kini mempunyai lebih 1,800 sukarelawan.

Laman webnya, https://www.coronatracker.com, bertindak sebagai portal untuk orang ramai mengetahui perkembangan berita terkini mengenai Covid-19 serta mengumpul data untuk analisis lanjut.

Pasukan yang diketuai Fairoza Amira Hamzah, 29, menghasilkan kertas penyelidikan bertajuk “CoronaTracker: Analisis Data dan Ramalan Wabak Covid-19 di seluruh dunia”, bertujuan untuk membuat ramalan mengenai kes Covid-19, kematian dan pemulihan melalui model ramalan dan menguraikan pola mengenai sentimen orang awam berkaitan penyebaran maklumat kesihatan.

Selain Fairoza, pasukan itu turut dianggotai penyelidik berbakat iaitu Lau Cher Han, Hafeez Nazri, Dominic Vincent Ligot, Lee Guanhua, Tan Cheng Liang, Mohammad Khursani Mohd Shaib, Ummi Hasanah Zaidon, Adina Abdullah, Chung Ming Hong, Ong Chin Hwee, Chew Pei Ying dan Roland Emmanuel Salunga.

Anak kelahiran Tangkak itu menyatakan sejak hari pertama, pasukan tersebut melakukan semuanya secara dalam talian menggunakan pelbagai platform seperti:

-Trello untuk menjejaki setiap tugas
-Slack untuk berkomunikasi antara satu sama lain
-Telegram untuk berkomunikasi dengan orang awam
-GitHub untuk berkongsi kod
-Google Drive untuk berkongsi dan menyimpan data
-Zoom untuk mesyuarat dalam talian
-Amazon Web Services dan Netlify untuk menyimpan data

“Maklumat kami boleh dipercayai kerana sumber disahkan sebelum dimasukkan ke dalam laman web dan dikongsi dengan orang ramai.

“Dalam fasa pertama, kami bermula dengan mengumpulkan berita dari Malaysia, CNN, BBC dan Tencent, diikuti mendapatkan data dari Johns Hopkins University, WHO dan berita pelbagai bahasa dari Jepun, China, Malaysia, Vietnam, Itali dan lain-lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang Sains Maklumat dan Kejuruteraan Kawalan dari Universiti Teknologi Nagaoka, Jepun, berkata kerja keras selama dua bulan bermula 25 Jan lepas berbaloi apabila kertas penyelidikan mereka diterbitkan dalam buletin online WHO di https://www.who.int/bulletin/online_first/20-255695.pdf pada 19 Mac 2020.

Fairoza berkata pasukan itu akan meneruskan fasa kedua penyelidikan iaitu mereka merancang untuk mengkaji cara membendung penularan pandemik itu dengan mengkaji pelaksanaan pemulihan setiap negara dan faktor yang mempengaruhi penularan wabak tersebut.

Memandangkan Covid-19 terus merebak ke seluruh dunia, pasukan itu meramalkan penyelidikan mereka akan memasuki fasa ketiga dan keempat.

Mengimbau kembali, Fairoza berkata ia bermula dengan hantaran Lau di Facebook pada Januari yang memulakan usaha pasukan itu untuk menyediakan data yang boleh dipercayai untuk disalurkan kepada orang ramai.

“Saya lihat hantaran Lau dalam Facebook untuk kumpulan pereka UI/UX dan saya memutuskan untuk menyertai beliau.

“Pada mulanya saya begitu teruja untuk mengetahui apakah yang beliau cuba bangunkan dan apakah situasi semasa dalam data komuniti sains Malaysia. Kemudian dia minta saya mengetuai pasukan penyelidikan di sini, dan bermula dari situlah saya terlibat secara aktif,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan peribadi beliau mengenai pandemik ini, Fairoza berharap orang ramai dapat memainkan peranan mereka untuk memerangi COVID-19 bersama-sama, supaya wabak ini dapat berakhir secepat mungkin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Golongan muda ‘tidak kebal’ jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 21 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi mesej kepada belia bahawa golongan itu ‘tidak kebal’ daripada dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata meskipun golongan lebih berusia mudah dijangkiti, namun data dari kebanyakan negara menunjukkan sebaliknya, lapor Reuters.

“Data dari kebanyakan negara menunjukkan individu berusia bawah 50 tahun paling banyak dijangkiti dan dimasukkan ke hospital.

“Saya mempunyai mesej untuk golongan muda: ‘Anda tidak kebal’, virus ini boleh meletakkan anda di hospital selama beberapa minggu, malah membunuh anda.

“Walaupun anda tidak sakit, pilihan yang anda buat boleh menjadi perbezaan antara hidup dan mati untuk orang lain,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya.

Lebih 11,000 nyawa terkorban susulan wabak Covid-19 di seluruh dunia setakat ini.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Lebih 17,000 kes di Eropah dalam 24 jam

GENEVA, 21 MAC: Sebanyak 17,506 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Eropah dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan 104,591, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.

Seramai 4,899 pesakit meninggal dunia setakat Khamis, peningkatan 816 kematian berbanding hari sebelumnya, lapor agensi berita Xinhua.

Negara Eropah paling terjejas ialah Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis, semuanya mencatatkan kes melebihi 10,000 – lebih 80,000 jangkitan, termasuk 4,566 kematian.

Di luar China, wabak itu mengorbankan lebih 6,500 orang, jumlah kes kumulatif melebihi 150,000.

Menurut WHO, lebih 230,000 kes dilaporkan di seluruh dunia, termasuk lebih 9,000 kematian.

Enam negara dan wilayah melaporkan kes pertama manakala 96 negara dan wilayah menyaksikan jangkitan antara komuniti.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata wabak Covid-19 setiap hari mencatatkan peningkatan dan semakin tragis.

“Setiap kehilangan nyawa satu tragedi,” kata Tedros sambil menyeru semua pihak terus menggiatkan usaha dan melakukan yang terdaya untuk menamatkan rantaian jangkitan demi menyelamatkan nyawa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka naik

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meningkat semula minggu depan, berikutan bank-bank pusat dunia meningkatkan mudah tunai dalam pasaran yang terjejas oleh Covid-19 untuk menerapkan keyakinan pasaran.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pada minggu lepas, pelbagai langkah melibatkan peruntukan yang besar telah diumumkan oleh beberapa bank pusat, termasuk mudah tunai bernilai lebih US$1 trilion diumumkan oleh Rizab Persekutuan AS untuk membendung kejatuhan pasaran disebabkan COVID-19.

“Selain itu, pakej rangsangan daripada Bank Pusat Eropah (ECB) dan pengurangan dalam Nisbah Keperluan Rizab (RRR) dari China turut menawarkan gabungan dasar yang kukuh untuk menangani keadaan tidak menentu dalam pasaran kewangan.

“Oleh itu, harga niaga hadapan MSM dijangka meningkat semula minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran diniagakan dalam jajaran kecil, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh Covid-19 dan kemerosotan harga minyak mentah.

Harga komoditi itu turut dijejaskan oleh minyak sawit dan stok MSM yang rendah pada Februari 2020 seperti dilaporkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Semasa ditutup pada Khamis, niaga hadapan MSM di bursa tempatan susut di bawah RM2,300 satu tan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Misteri Covid-19, dunia bagai terhenti

SEJAK pertama kali dikesan di Wuhan, China pada akhir Disember lalu, koronavirus baharu atau Covid-19 kini merebak ke lebih 100 negara dalam tempoh tiga bulan.

Dengan jangkitan mencapai lebih 118,000 orang dan kematian mencecah angka 4,000 setakat 10 Mac lalu, wabak itu dianggap antara malapetaka kesihatan terbesar di dunia. Apatah lagi, orang kenamaan turut dijangkiti termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi dan Menteri Kesihatan United Kingdoms, Nadine Dorries.

Sekalipun China mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 80,868 kes membabitkan 3,111 kematian, kadar kes itu mula menurun sejak awal Mac. Hanya 40 kes dicatatkan pada 8 Mac lalu, berkurangan 44 kes berbanding sehari sebelumnya.

Ironinya, sebahagian jangkitan di Negara Tembok Besar – lokasi asal wabak – ‘diimport’ dari negara lain membabitkan 67 kes setakat 10 Mac lalu. Di Shanghai pada 6 Mac lalu, 11 orang yang masuk ke China melalui penerbangan komersial dari Iran, disahkan positif Covid-19. Sehari sebelumnya, empat kes baharu dicatat, semuanya dari Itali.

Sebaliknya, kes di negara-negara lain naik mendadak. Sehingga jam 10 pagi pada 11 Mac lalu, 10,149 kes dicatatkan di Itali, Korea Selatan (7,513 kes), Iran (8,042 kes), Perancis (1,784 kes), Sepanyol (1,695 kes) dan Jerman (1,565 kes). Brunei, Mongolia, Guernsey, Cyprus dan Panama pula lima negara terbaru mencatat kes Covid-19.

Jarang jangkiti kanak-kanak

Penyelidik masih bertungkus-lumus mencari penawar Covid-19. Pelbagai kesimpulan dicapai termasuk virus itu jarang menjangkiti kanak-kanak berbanding golongan dewasa.

Mengikut laporan Misi Bersama China-Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu, cuma 2.4 peratus kes di China melibatkan kanak-kanak, itupun kes ringan. Setakat 6 Mac, tiada kematian kanak-kanak berlaku.

“Biasanya koronavirus menjejaskan kanak-kanak dan orang dewasa tetapi kali ini, atas sebab tidak diketahui, lebih banyak memudaratkan orang dewasa,” kata pakar pediatrik penyakit berjangkit Klinik Kanak-Kanak Cleveland, Dr Frank Esper.

Selain itu, 2.8 peratus lelaki yang dijangkiti mati berbanding wanita 1.7 peratus berdasarkan kajian Pusat Kawalan Penyakit China membabitkan 44,000 pesakit. Dr Bharat Pankhania dari Universiti Exeter percaya faktor gaya hidup antara punca kadar kematian lelaki lebih tinggi.

“Merokok merapuhkan paru-paru. Sudah tentu sukar melawan (penyakit),” kata Dr Nathalie MacDermott dari King’s College London pula, merujuk 52 peratus lelaki di China merokok berbanding wanita tiga peratus.

Cuaca sejuk risiko tinggi?

Pakar perubatan juga mengkaji sama ada wujud faktor cuaca dan suhu yang mendorong virus merebak. Penyelidik Universiti Sun Yat-Sen di ibu kota wilayah Guangdong selatan China merumuskan suhu purata 8.72 darjah Celsius paling ideal untuk Covid-19 tersebar pantas.

Mengikut South China Morning Post, kajian yang terbit bulan lalu menyebut “virus itu sangat sensitif terhadap suhu tinggi”. Justeru, kajian itu menyarankan negara beriklim sejuk menggandakan kewaspadaan.

Kajian kumpulan penyelidik Guangzhou mendapati penularan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan sama ada kawasan sejuk, kering mahupun kawasan tropika. Ia berdasarkan penyelidikan terhadap kes Covid-19 antara 20 Januari hingga 4 Februari termasuk 400 bandar dan wilayah di China.

“Suhu ada impak terhadap kehidupan manusia (dan) mungkin memainkan peranan penting dalam kesihatan awam dari segi perkembangan dan kawalan epidemik,” kata kajian itu.

Aktiviti terhenti?

Penyebaran wabak mengakibat banyak kegiatan manusia pada skala besar, dari sukan, politik mahupun sosial, terpaksa ditangguh.

Di Itali, negara kedua terburuk mengalami wabak Covid-19, kerajaannya pada 10 Mac lalu menangguhkan semua kejohanan sukan termasuk Serie A. Malah, perlawanan terbesar dua gergasi bola sepak Juventus dan Inter Milan diadakan di stadium tanpa penonton.

Ketakutan terhadap wabak itu juga menimbul panik. Di Iran, 36 orang mati mankala 270 lagi dirawat akibat keracunan alkohol gara-gara berita palsu, kononnya alcohol tiruan mampu merawat Covid-19.

Kerajaan Arab Saudi pula menggantung sementara kemasukan jemaah ke Mekah dan Madinah, mengakibat beribu-ribu orang terkandas. Visa pelancongan negara yang diancam Covid-19 juga digantung.

Penduduk Korea Selatan pula ada rutin baharu memanaskan wang kertas sehingga 150 darjah Celsius selama dua hingga tiga saat sebelum digunakan. Bank Pusat Korea Selatan juga membuat pengasingan wang kertas selama dua minggu berikutan “virus mati selepas sembilan hari”. Sebahagian wang juga dibakar.

Di sebalik keributan itu, pencemaran alam di China turun drastik bagi dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini berikutan penurunan kadar nitrogen dioksida akibat lumpuhnya kebanyakan industri pembuatan kereta dan kilang lain.

Malaysia pula walaupun penyebaran virus terkawal sektor pelancongannya mengalami kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan tempahan hotel dan pelbagai pakej pelancongan. Pelbagai program juga terpaksa dibatalkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

WHO: Eropah pusat sebar Covid-19, fasa pandemik

GENEVA 14 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Eropah kini menjadi pusat penyebaran Covid-19 global yang memasuki fasa pandemik dan memberi amaran mustahil untuk mengetahui tempoh wabak menjadi kritikal.

Benua itu kini lebih banyak melaporkan kes dan kematian berbanding gabungan kes di seluruh dunia, selain China, kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, lapor AFP.

“Eropah kini menjadi pusat penyebaran pandemik,” katanya bercakap pada sidang media yang diadakan secara maya bagi mengelak sebarang kemungkinan penyebaran virus dalam kalangan wartawan.

“Lebih banyak kes kini dilaporkan setiap hari daripada yang dilaporkan di China,” katanya merujuk kepada angka global.

Virus itu, yang pertama kali muncul di China pada Disember, kini membunuh lebih 5,000, dengan kes di seluruh dunia mendahului 134,000.

Tedros berkata sementara langkah mengurangkan program sosial, negara juga perlu mengambil pendekatan komprehensif.

“Anda tidak boleh melawan virus jika anda tidak tahu di mana ia berada,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia turun 73.22 mata kesan Wall Street jatuh

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini seiring dengan indeks penanda aras Asia, berikutan penjualan di Wall Street dalam tempoh semalaman selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik.

Susulan pengumuman WHO itu, Purata Perindustrian Dow Jones turun 9.99 peratus, S&P 500 susut 9.51 peratus dan Nasdaq turun 9.43 peratus semasa mengakhiri dagangan masing-masing.

Prestasi itu merupakan penurunan harian paling teruk dialami indeks Dow Jones dan S&P 500 bagi tempoh sejak 1987.

Pada 9.04 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 73.22 mata atau 5.15 peratus kepada 1,346.21 sekali gus menjadi paras terendah sejak 2010, daripada 1,419.43 ketika ditutup semalam.

Indeks tempatan itu dibuka 55.67 mata lebih rendah pada 1,4363.76.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 638 berbanding 31 manakala 79 kaunter tidak berubah, 1,274 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 352.93 juta saham bernilai RM134.52 juta.

Tekanan jualan di Bursa Malaysia pagi ini dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam tempoh semalaman di Wall Street.

Sentimen pasaran juga lemah seperti ditunjukkan FBM Small Cap (-6.08 peratus), FBM ACE (-6.27 peratus) dan Teknologi (-6.94 peratus).

“Saham-saham Malaysia akur kepada tekanan jualan susulan pengisytiharan WHO bahawa COVID-19 adalah satu pandemik.

“Susulan langkah WHO itu, kelembapan global mungkin meningkat melebihi paras 50 peratus (daripada 25 peratus yang dicatatkan sejak awal tahun ini) dan menimbulkan kebimbangan bahawa kesan penularan virus itu mungkin dialami di seluruh dunia,” menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

WHO isytihar Covid-19 pandemik

GENEVA, 12 MAC: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik susulan penularan wabak tersebut semakin membimbangkan.

Pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar merentasi sempadan hingga ke seluruh dunia.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata virus tersebut menjangkiti lebih 118,000 orang di 114 negara dengan meragut 4,291 nyawa sehingga sekarang dan angka terbabit dijangka akan meningkat, lapor Agensi.

“Kami tidak pernah melihat pandemik dicetuskan oleh koronavirus sebelum ini selain bimbang tindakan tidak mencukupi untuk memerangi penularan Covid-19,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus negara yang gagal mengambil tindakan mencukupi namun menggesa semua pihak mengambil tindakan agresif mengekang wabak tersebut.

Jumlah kes Covid-19 di luar China meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, manakala bilangan negara terkesan bertambah tiga kali ganda.

Iran dan Itali muncul negara paling terkesan di Asia Barat serta Eropah dengan masing-masing mencatatkan 354 dan 827 kematian setakat ini.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Australia catat kematian pertama

MELBOURNE, 1 MAC: Australia mengesahkan negara itu mencatat kes kematian pertama akibat COVID-19, kata ketua pegawai kesihatan Andrew Robertson lapor agensi berita Anadolu.

Lelaki berusia 78 tahun itu dijangkiti virus tersebut ketika berada dalam kapal persiaran Diamond Princess di Jepun dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sir Charles Gairdner, Perth. Isterinya juga disahkan dijangkiti penyakit itu tetapi keadaannya dilaporkan stabil.

Australia membawa pulang 164 rakyatnya yang merupakan penumpang kapal persiaran itu, sembilan didapati positif dan telah dikuarantin.

Sehingga kini terdapat 26 kes disahkan di Australia.

Angka korban di seluruh dunia mencecah 2,837 orang dengan kadar kematian tertinggi dicatatkan di China dan sebanyak 79,250 kes disahkan.

-BERNAMA