Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, kata Wisma Putra.

Menurut kenyataan kementerian itu, serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) adalah berlebihan dan tidak seimbang, selain daripada tidak mengendahkan langsung semua undang-undang antarabangsa.

“Malaysia teguh dengan pendiriannya membantah sekeras-sekerasnya kepongan berterusan ke atas Gaza yang merupakan hukuman kolektif dan mengakibatkan penderitaan dan kesusahan yang memeritkan kepada penduduk Gaza dan organisasi bantuan kemanusiaan di Semenanjung dan kawasan-kawasan lain di Wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan serius bagi mengakhiri pendudukan haram Israel dan menubuhkan negara Palestin yang merdeka,” katanya.

Ia juga menggesa kesemua pihak menahan diri dan menghormati perjanjian gencatan senjata untuk mengelakkan lebih ramai lagi orang awam terkorban.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Gempa di Filipina tidak jejaskan rakyat Malaysia

PUTRAJAYA, 30 SEPT: Wisma Putra mengesahkan tiada laporan berhubung rakyat Malaysia yang terjejas ekoran gempa bumi di Jose Abad Santos, selatan Filipina, semalam.

Laporan media menyebut gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter melanda wilayah Davao Occidental di selatan Filipina, pada Ahad pagi.

Menurut Philippine Institute of Volcanology and Seismology (PHIVOLCS), tiada kerosakan besar dilaporkan tetapi gempa bumi itu dijangka mengakibatkan beberapa gempa susulan.

“Kementerian Luar memantau perkembangan berikutan gempa bumi itu,” menurut kenyataan kementerian berkenaan hari ini.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular supaya menghubungi Konsul Jeneral Malaysia di Davao City.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Gempa Maluku: Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terkesan

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Tiada warga Malaysia dilaporkan terkesan ekora gempa bumi yang melanda Kota Ambon, Maluku, Indonesia pagi semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata kementerian itu melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sentiasa memantau perkembangan selanjutnya susulan gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter yang berpusat 42 kilometer timur laut Kota Ambon itu.

Menurut laporan, lebih 20 orang terkorban dan lebih seratus mangsa cedera. Gempa bumi itu turut merosakkan pelbagai infrastruktur awam seperti jambatan, sekolah, bangunan pejabat kerajaan dan kawasan perumahan dengan 2,000 penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan.

Wisma Putra turut mengucapkan simpati dan takziah kepada pemerintah dan rakyat Indonesia terutamanya kepada keluarga mangsa yang terkorban dan penduduk yang terkesan ekoran bencana alam itu.

Wisma Putra berkata warga Malaysia yang berada di kawasan terjejas dan memerlukan bantuan konsular dinasihatkan supaya berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta seperti berikut:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA, JAKARTA

Jalan H.R. Rasuna Said
Kav. X/6 No 1-3, Kuningan
Jakarta Selatan, 12950
Republik Indonesia

Tel : +622 522 4947 dan +62 813 8081 3036

E-mel : [email protected]

WISMA PUTRA : 03-8887 4530 / 03-8887 4570 (selepas waktu bekerja)

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra: Tangguhkan lawatan ke Jammu dan Kashmir

PUTRAJAYA, 6 OGOS: Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan tidak penting ke kawasan yang terjejas di Jammu dan Kashmir.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, nasihat itu dikeluarkan ekoran keadaan semasa.

Katanya, Malaysia sedang memantau keadaan di Jammu dan Kashmir kerana negara ini mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan India dan Pakistan.

“Malaysia menggalakkan kedua-dua negara berjiran itu untuk berinterasksi semula dalam dialog dan rundingan bagi mengurangkan ketegangan yang berlaku dan mencari penyelesaian terbaik,” kata kenyataan itu.

Dilaporkan bahawa pihak berkuasa India pada Jumaat memberitahu pelancong supaya meninggalkan Kashmir kerana ‘ancaman keganasan’, manakala laporan media menyatakan 25,000 tentera dihantar ke wilayah Himalaya yang bergolak itu.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dan perkhidmatan, boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di 50-M, Satya Marg, Chanakyapuri, 110021 New Delhi atau hubungi +911124159300 dan +919319150306 (selepas waktu bekerja).

“Alamat e-mel Suruhanjaya Tinggi ialah [email protected],” kata kenyataan itu lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saifuddin ketuai delegasi Malaysia ke persidangan AMM/PMC di Bangkok

BANGKOK, 30 JULAI: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-52/Pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM / PMC ke-52) dari 28 Julai hingga 3 Ogos di Bangkok.

Wisma Putra berkata, menteri luar Asean akan membincangkan isu berkaitan komuniti, pelaksanaan Rangka Tindakan Keselamatan Politik ASEAN 2025, hala tuju masa depan ASEAN serta persediaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan ke-35 yang akan diadakan pada November .

“Menteri luar juga akan membincangkan dan bertukar pandangan mengenai perkara berkaitan isu serantau dan antarabangsa sama seperti perkembangan di Laut China Selatan, keadaan di Rakhine, keadaan di Semenanjung Korea, memerangi keganasan dan ekstremisme, keselamatan maritim serta isu keselamatan bukan tradisional yang lain,” katanya.

Thailand, pengerusi Asean semasa, menjadi tuan rumah AMM / PMC ke-52 dan Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen Centara Grand dan Pusat Konvensyen Bangkok di Central World, di sini.

Saifuddin akan diiringi isterinya, Datin Norlin Shamsul Bahri, pegawai kanan Kementerian Luar, Misi Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Indonesia. AMM ke-52 akan didahului oleh beberapa mesyuarat persediaan di peringkat Pegawai Kanan.

Di samping itu, Saifuddin dan menteri luar ASEAN lain juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Pasca-Menteri (PMC) dengan Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah (EU), India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.

Malaysia adalah penyelaras negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-Australia untuk tempoh 2018-2021.

Saifuddin dan Menteri Luar Negeri dan Wanita Australia Senator Marise Payne akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-Australia pada 1 Ogos.

Menteri Luar Asean juga akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Suruhanjaya Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear (SEANWFZ) Asia Tenggara, Mesyuarat ke-20 Menteri Luar ASEAN Campur tiga, Sidang Kemuncak ke-9 Menteri Luar Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN Ke-26 (ARF).

Menteri luar ASEAN juga dijadual mengadakan hubungan dengan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Wakil Hak Asasi Manusia.

Wisma Putra berkata, Saifuddin juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari ASEAN dan rakan dialog di luar sidang AMM/PMC untuk membincangkan dan mengukuhkan kerjasama mengenai isu strategik kepentingtan bersama.

Pada akhir AMM/PMC ke-52, menteri luar dijangka mengadopsi beberapa dokumen hasil, termasuk ‘Communique Bersama AAM ke-52 yang akan mengetengahkan perbincangan serta keputusan penting yang dibuat semasa mesyuarat.

Menterii Luar ASEAN dijadualkan menyaksikan majlis menandatangani ‘Instrument of Accession to Treaty of Amity and Cooperation (TAC) ‘di Asia Tenggara oleh Peru.

TAC berfungsi sebagai kod perilaku utama untuk hubungan antara negara di Asia Tenggara, dengan tujuan utama mempromosikan keamanan dan keamanan di rantau ini.

Thailand berkata Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan merasmikan esok AMM / PMC ke-52 esok.

Sebelum majlis perasmian, Menteri-menteri Luar ASEAN akan membuat membuat kunjungan hormat ke atas Prayuth.

Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai akan mempengerusikan AMM dan mempengerusikan bersama PMC dengan Rakan Dialog dan pertemuan lain.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan selamat

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Kesemua 48 rakyat Malaysia di Sudan dilaporkan selamat susulan perkembangan politik dan keselamatan terkini di negara itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Malaysia di Khartoum telah berhubung rapat dengan semua warga Malaysia yang berdaftar termasuk 26 pelajar di Sudan dan memantau dengan teliti situasi.

“Semua rakyat Malaysia yang masih berada di Sudan, terutama yang berada di negara itu bagi urusan tidak perlu digalakkan untuk mempertimbangkan bagi meninggalkan negara tersebut secara komersial secepat yang mungkin.

“Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat Sudan dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan mereka sehingga keadaan lebih stabil,” kata Wisma Putra.

Pihak Kedutaan di Sudan juga mengalu-alukan persetujuan yang dicapai baru-baru ini antara Majlis Tentera Peralihan (TMC) dan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF) untuk menyambung semula rundingan mengenai pembentukan majlis kedaulatan bersama yang akan menerajui peralihan politik di negara itu.

“Malaysia menggesa semua pihak di Sudan supaya bertenang sepenuhnya, mengelak daripada keganasan berterusan terhadap orang awam dan menghormati hak asasi manusia.

“Kami mengecam keras keganasan dan serangan terhadap penunjuk perasaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan kami bersama-sama pihak lain menggesa supaya siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden itu sementara pelakunya harus bertanggungjawab,” kata Wisma Putra.

Media melaporkan bahawa kerajaan Sudan semalam mengaku ia telah memberi arahan bagi menumpaskan penunjuk perasaan dari pihak pembangkang yang menyebabkan puluhan orang terbunuh dan cedera.

Pada awal Jun, pasukan keselamatan secara keras telah menyuraikan protes di luar bangunan Kementerian Pertahanan. TMC sebelum ini menafikan bahawa ia mempunyai peranan dalam operasi itu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wisma Putra akan bertemu rakyat Malaysia yang ditahan di Indonesia

 

KUANTAN, 12 Jun : Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan wakil kementeriannya akan bertemu enam rakyat Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah jenis syabu menggunakan kapal layar mewah.

Beliau berkata perkara itu akan diaturkan secepat mungkin dan merupakan prosedur operasi standard (SOP) selain akan turut membantu dalam aspek nasihat guaman, jika mereka memerlukannya.

“Kedutaan Malaysia di Indonesia juga berhubung dengan pihak berkuasa negara terlibat bagi memastikan SOP yang diguna pakai dipatuhi dan berjalan lancar.

“Itu memang SOP sedia ada, yang wakil Wisma Putra akan bertemu mana-mana rakyat kita yang ditahan pihak berkuasa, dituduh di mahkamah atau yang ditipu sindiket di luar negara dengan secepat mungkin,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabatnya dan Pakatan Harapan Indera Mahkota di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media hari ini, berhubung kenyataan Direktor Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia Krisno Siregar berhubung penemuan dadah seberat 37 kilogram dalam kapal layar yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara pada 4 Jun lalu.

Kapal itu dikatakan belayar dari Johor ke Jakarta pada hari sama, dan lima suspek yang ditahan dikatakan berasal dari Johor manakala seorang lagi dari Perak. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Wisma Putra nafi berita palsu berkaitan pengecualian visa AS

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 2 MEI: Kementerian Luar Negeri menafikan Malaysia tersenarai dalam Program Pengecualian Visa (VWP) Amerika Syarikat (AS) seperti dilaporkan oleh media antarabangsa.

Wisma Putra memberitahu bahawa artikel bertajuk ‘US Adds Jamaica, 9 Other Countries to Its Visa Waiver Program’ melalui pautan berita news-ap.com mengandungi maklumat salah.

“Setakat ini, tiada perubahan status dalam Program Pengecualian Visa (VMP) bagi rakyat Malaysia. Mereka yang ingin melawat AS masih perlu memohon visa secara normal.

“Kementerian menyeru supaya penyebaran berita terbabit menerusi WhatsApp dan semua saluran komunikasi dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, laman berita antarabangsa, AP News melaporkan Amerika Syarikat mengumumkan 10 lagi negara dalam VMP.

Laman terbabit turut menyenaraikan Malaysia sebagai antara negara yang terlibat dalam program itu.

Categories
GLOBAL

Gempa Filipina: Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat

PUTRAJAYA, 23 APR: Kementerian Luar hari ini mengesahkan setakat ini, tiada laporan tentang rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda Pulau Luzon, Filipina, semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini turut menasihati rakyat Malaysia di Filipina, sama ada sedang melawat atau tinggal di kawasan yang terjejas, supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular juga dinasihati supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila,” jelas kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Kedutaan Malaysia di Manila sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini situasi.

Menurut laporan media, sekurang-kurang sembilan orang terbunuh dalam gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda wilayah Zambales di Pulau Luzon.

Beberapa kawasan turut terjejas termasuk Metro Manila, Bulacan, Batangas, Bataan, Pampanga, Baquio City, Cabanatuan City, Palayan City, Gapan City, Santo Domingo and Talavera, Nueva Ecija Baler dan Aurora.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Insiden Colombo: Tiada rakyat Malaysia terkorban

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam beberapa kejadian letupan di Colombo, Sri Lanka hari ini.

Pengesahan itu susulan laporan letupan di beberapa lokasi termasuk gereja di ibu negara Sri Lanka berkenaan iaitu di Kochikade Church, Katuwapitiya Church, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan sebuah gereja di Batticaloa.

Setakat ini dilaporkan lebih 150 mangsa terkorban.

Dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata, setakat 1.30 tengah hari waktu Malaysia, tiada rakyat negara ini dilaporkan tersenarai sebagai antara yang maut.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah tersebut akan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Luar turut menasihati rakyat Malaysia yang berada di kawasan berdekatan agar berhati-hati serta mengikuti perkembangah terkini menerusi laporan berita tempatan dan juga pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo sedang memantau rapi situasi.

Mereka yang memerlukan maklumat lanjut atau sebarang bantuan boleh ke suruhanjaya itu di 45, Rosmead Place Colombo 07, Sri Lanka atau melalui talian 00-(94) 11 755 7711 (pejabat)/00-(94) 76 677 4445 /00-(94) 76 398 8777 serta e-mel [email protected]. -BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Amerika Syarikat digesa keluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’

KUALA LUMPUR, 14 APR: Malaysia membantah sekeras-kerasnya keputusan kerajaan Amerika Syarikat meletakkan Malaysia dalam Indikator ‘K’ seperti diumumkan dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 9 April lalu.

Justeru, Kementerian Luar (Wisma Putra) menggesa negara itu supaya segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai itu dan akan memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung nasihat perjalanan baharu itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memberitahu indikator itu menunjukkan kebimbangan kerajaan Amerika Syarikat terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan-kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

Kementerian itu berkata, nasihat perjalanan baharu itu dilihat kurang objektif dan tidak mencerminkan hakikat sebenar di lapangan khusus situasi keselamatan di wilayah timur Sabah yang kekal selamat dan terkawal bagi pelancong.

“Ini bersandarkan kepada fakta bahawa angka ketibaan pelancong di Sabah meningkat kepada 5.5 peratus, iaitu memcecah 3.87 juta tahun lalu. Malah, angka insiden penculikan telah menurun secara ketara kepada hampir sifar,” katanya.

Menurutnya, kawasan timur Sabah terus menarik penyelam bertaraf dunia dan kejayaan itu adalah hasil langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan Malaysia seperti meningkatkan rondaan, kerjasama keselamatan erat dengan negara-negara jiran dan pengaturgerakan strategik aset-aset keselamatan.

“Berdasarkan fakta-fakta ini, Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya lebih objektif dalam penilaiannya. Kami menggesa Amerika Syarikat segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’ itu,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Menteri Luar Malaysia, Belanda bakal bincang MH17 esok

PUTRAJAYA, 27 MAC: Menteri Luar Malaysia dan Belanda yang akan bertemu, di sini esok, bakal membincangkan insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh, pada 17 Julai 2014.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Menteri Luar Belanda, Stef Blok, akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Malaysia dan beliau dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, selain MH17, kedua-dua menteri dijangka membincangkan pelbagai isu berkenaan kepentingan bersama termasuk minyak sawit, Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU), ASEAN dan Brexit.

“Lawatan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi ikatan persahabatan dan mencerminkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Belanda,” kata Wisma Putra.

Pesawat MAS itu yang dalam penerbangan dari Armsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh, di ruang udara timur Ukraine dan mengorbankan kesemua 298 penumpang serta anak kapal.

Pada masa sama, Wisma Putra memaklumkan, Malaysia dan Belanda juga menyasarkan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang baharu.

Pada 2018, jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala antara Malaysia dan Belanda masing-masing pada RM32.57bilion (US$7.82 bilion) dan RM8.4bilion (US$2.06 bilion). -BERNAMA