Categories
SELANGOR

Air kolam dipastikan patuhi piawaian KKM

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 JUN: Kerajaan Negeri sentiasa memastikan air kolam yang dipam ke Sungai Selangor mematuhi piawaian air mentah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dirawat oleh loji pembersihan air (LPA) sebelum disalurkan kepada pengguna.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata proses pemantauan kualiti air dijalankan melalui tiga peringkat yang dikendalikan badan bertanggungjawab seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Beliau berkata, ia merangkumi pemantauan di kolam alternatif iaitu pemantauan air mentah di sungai dan muka sauk oleh LUAS, manakala operator loji dan JKNS serta pemantauan air terawat selepas proses rawatan di LPA oleh operator loji serta JKNS.

empangan kini“Pensampelan kualiti air kolam ini dijalankan JKNS dan LUAS serta dianalisa Jabatan Kimia Malaysia (JKM), SIRIM juga makmal yang diakreditasi iaitu ALS Technichem (M) Sdn Bhd.

“Berdasarkan Garis Panduan Kriteria Kualiti Air Mentah yang ditetapkan KKM, terdapat 15 parameter logam berat yang perlu dipatuhi antaranya merkuri, arsenik, plumbum, cadmium dan lain-lain.

“Kolam alternatif sudah dipantau sejak tahun 2011 sehingga hari ini dan secara keseluruhannya hasil analisa pensampelan yang dijalankan menunjukkan semua parameter logam berat mematuhi garis panduan itu,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Yunus berkata, hasil analisa pensampelan air mentah bagi muka sauk dan air terawat sepanjang tempoh pengepaman air kolam yang terbabit ke dalam Sungai Selangor antara 26 Februari hingga 6 April lalu turut mendapati tiada pelanggaran terhadap parameter logam berat.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan Universiti Malaya (UM) pada tahun 2009 adalah di luar kawasan kolam yang digunakanuntuk pengepaman.

Katanya, pensampelan pada 2, 20, 22, 28 dan 29 Mei serta 5, 11 dan 12 Jun lalu masih belum diterima daripada pihak JKM serta SIRIM.

Yunus-Hairi“Pensampelan ini akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan, bahkan Kerajaan Selangor melalui LUAS juga akan mengadakan seminar pemakluman status terkini kolam sumber air alternatif, pada 18 Jun ini.

“Seminar ini bertujuan untuk memberi makluman kepada masyarakat dan pihak terbabit berkenaan status kualiti serta kuantiti air kolam sumber alternatif Selangor,” katanya.

-NFN-

Yunus: Selangor kecam dakwaan NST, laporan LUAS berbeza

http://tv.selangorku.com

Categories
SELANGOR

PKM DUN Sijangkang bantu ibu bapa buka akaun Tabung Haji

SHAH ALAM, 14 MEI: Ibu bapa disarankan menggalakkan anak untuk menabung pada usia muda sejak di bangku sekolah lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Pejabat DUN Sijangkang sedia membantu ibu bapa yang memerlukan bantuan bagi menguruskan pembukaan akaun Tabung Haji kepada pelajar.

Dr Yunus berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sijangkang mengambil inisiatif untuk membantu menguruskan pembukaan akaun baru kepada ibu dan pelajar yang berusia enam hingga 12 tahun membabitkan enam buah sekolah kebangsaan di dalam kawasan itu.

yunusBeliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Buku Akaun Tabung Haji dan Penyampaian Beg Sekolah di Sekolah Kebangsaan Kampung Medan, Sijangkang.

“Inisiatif ini adalah untuk memotivasikan ibu bapa dan pelajar itu sendiri supaya dapat melihat usaha untuk menabung sedari usia muda.

“Ini akan dapat memastikan kewangan yang stabil bagi pelajar di masa hadapan, selain dapat mendisiplinkan pelajar di dalam urusan perbelanjaan harian,” katanya.

Selain itu, Dr Ahmad berkata, beliau berhasrat untuk memberi sumbangan saguhati kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan UPSR yang akan terus disalurkan ke dalam akaun Tabung Haji mereka.

Inisiatif itu juga akan diperluaskan untuk manfaat semua pelajar di dalam DUN Sijangkang khususnya kepada pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan pertengahan tahun, akhir tahun serta peperiksaan utama seperti PMR dan SPM.

Categories
SELANGOR

Universiti boleh analisis keselamatan air lombong, elak pertikaian

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan Negeri mengalu-alukan semua pihak termasuk universiti tempatan yang berminat untuk membuat analisis berhubung tahap keselamatan air lombong yang dibekalkan kepada pengguna Lembah Klang.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Yunus Hairi, berkata pendekatan itu diambil kerana banyak berlaku pertikaian pelbagai pihak, baru-baru ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah membuat analisis berhubung perkara itu setiap tahun bermula 2011 hingga 2013 dan ternyata menepati piawaian air mentah oleh Kementerian kesihatan Malaysia.

IMG_0561a“Analisis itu dibuat oleh Jabatan Kesihatan negeri setiap tahun. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga membuat kajian sampel kolam daripada penganalisis SIRIM.

“Sebab itu, kita buka kepada universiti tempatan termasuk profesor yang berminat atau ingin tahu boleh lakukan kajian.

“Kita mengalu-alukan kerana kita rasa bagi pihak Kerajaan Negeri kita telus. Kita buka kepada sesiapa yang berminat tetapi harus mendapatkan kebenaran dari LUAS dulu kerana kawasan itu di bawah pewartaan mereka,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pakar penyelidik air menggesa Kerajaan Negeri membuktikan sebarang kelulusan daripada Kementerian Kesihatan berhubung tahap keselamatan air lombong yang dibekalkan kepada pengguna.

Sejak 2012, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid memberi jaminan bahawa sumber alternatif bekalan air daripada air lombong yang dirawat adalah selamat dan menepati piawaian air mentah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

air pahangJaminan terhadap cadangan sumber air alternatif itu juga dinyatakan Abdul Khalid dalam sidang Dewan Negeri berhubung cadangan Kerajaan Negeri menjadikan air lombong sebagai sumber alternatif bagi mengatasi masalah kekurangan air.

Sebelum ini, LUAS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengadakan pensampelan kualiti air terhadap 30 buah kolam bekas lombong pada tahun 2005.

Hasil kajian itu, sekurang-kurangnya 17 buah lombong didapati sesuai dijadikan sumber air alternatif.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kementerian Pertahanan masih membisu, belum beri jawapan isu pembenihan awan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan Negeri masih menunggu persetujuan daripada Kementerian Pertahanan untuk membenarkan penggunaan kaedah Royal Rain Maker Technology daripada Thailand yang diakui terbaik di dunia untuk perlaksanaan pembenihan awan.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Yunus Hairi, berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada kementerian dan sehingga kini belum menerima maklum balas.

Katanya, kebenaran perlaksanaan kaedah itu penting kerana kaedah Ejectable Flare Rack itu dikatakan membabitkan aspek keselamatan negara.

IMG_0577a“Selain hujan semula jadi diramal berlaku sehingga akhir Mei ini, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan pembenihan awan menggunakan kaedah itu. Kita sudah bawa juruterbang dari Thailand dan sudah membuat percubaan pada 3 serta 4 Mei lalu.

“Kita mengambil keputusan untuk melakukan kaedah ini pada musim hujan bagi menggalakkan lebih banyak hujan turun untuk mengatasi musim kemarau yang dijangka berlaku Jun atau Julai ini,” katanya pada sidang media, di Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Yunus berkata, kaedah itu juga dilakukan bagi mengatasi masalah taburan hujan yang tidak turun di kawasan empangan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan sehingga hari ini empangan Sungai Selangor kini meningkat kepada 40.86 peratus berbanding 38.90 peratus pada pertengahan April lalu.

“Tetapi jumlah yang kita lepaskan minimum 1.2 JLH dan adakala lebihan air Sungai Selangor mencapai lebihan 1,000 JLH,” katanya.

syabasSelain itu, Yunus turut menegaskan keputusan untuk menghentikan catuan air bermula 1 Mei lalu yang dimuktamadkan Kerajaan Negeri diputuskan selepas mengambil kira kajian dan perancangan yang dibuat sebelum itu.

Katanya, antara perancangan itu termasuk menggunakan air kolam yang dipamkan ke Sungai Selangor untuk meningkatkan paras air sungai.

“Langkah ini dapat mengurangkan pelepasan air daripada empangan seterusnya menyebabkan keadaan akan lebih terkawal dan tempoh untuk empangan mencapai tahap kritikan dapat dilanjutkan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tapak pelupusan sanitari selesai masalah penduduk Semenyih

Oleh : AFEEQA AFEERA

HULU LANGAT, 30 APRIL: Kerajaan Negeri memberi jaminan pembinaan tapak pelupusan sanitari yang akan dibina tidak lama lagi di Kampung Pasir Baru, Semenyih menghala ke Sungai Tekala, dekat sini, tidak menggugat keselesaan penduduk di kawasan itu.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata tapak seluas 50 ekar khusus untuk sampah pukal itu dapat menyelesaikan masalah bau busuk dan pencemaran alam sekitar yang ditanggung penduduk ekoran lori sampah didakwa menggunakan jalan di kampung berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri kini giat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setempat termasuk mengadakan perbincangan hampir setiap minggu berhubung isu terbabit.

Yunus-Hairi“Buat masa ini, kita putuskan untuk menggunakan Sungai Kembung dan Tanjung 12 sebagai tapak pembuangan sampah sebelum dibangunkan tapak pelupusan sanitari oleh pihak Worldwide Holding Berhad.

“Tapak itu juga khusus untuk kompaktor sahaja, manakala lori sampah (open tipper) tidak dibenarkan masuk ke situ,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, di sini.

Dilaporkan, lokasi tapak pelupusan sampah berkenaan terletak sejauh lapan kilometer dari Pusat Perolehan Semula Sumber Sisa Pepejal Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kampung Pasir Baru yang juga dikenali sebagai Refused Derived Fuel (RDF).

RDF itu wujud sejak 2004 dan tidak mampu beroperasi untuk menampung dan mengeluarkan sampah lebihan sejumlah 50,000 tan, sejak Mei tahun lalu.

Namun, sudah diberi amaran oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya menamatkan operasi atas beberapa faktor termasuk mengakibatkan pencemaran.

Dr Yunus sampahBagaimanapun, ia menyebabkan kesulitan kepada MPKj kerana terpaksa menguruskan 500 tan sampah sehari berikutan penduduk di kawasan MPKj berjumlah 780,000.

Pada 7 April lalu, RDF tidak dapat menerima sampah daripada MPKj dan operasi berkenaan tidak dapat menampungnya lagi ekoran masalah teknikal.

Sebagai langkah kecemasan, lokasi pembuangan ditukarkan ke tapak pelupusan di Sungai Kembong lebih kurang tiga kilometer daripada RDF.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Laluan Jalan Sungai Lalang, Hulu Langat dibuka semula Mei ini

Oleh: AFEEQA AFEERA

HULU LANGAT, 29 APRIL: Laluan di Kilometer 17, Jalan Sungai Lalang berhampiran Empangan Semenyih dekat sini yang mengalami kejadian tanah runtuh pada 29 November 2012 bakal dibuka semula kepada orang ramai selewat-lewatnya hujung Mei ini.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata proses baik pulih cerun dan jalan yang runtuh itu memakan masa kira-kira 10 bulan dengan kos lebih RM7.052 juta yang diperuntukkan kerajaan Selangor.

Beliau berkata, kerja membaikpulih dilaksanakan dengan membina semula benteng yang runtuh termasuk menggunakan benteng batu (rockfill embankment) kerana bukan sahaja menjimatkan kos tetapi masa pembinaannya juga lebih singkat.

photo 2“Syarikat Pembinaan Era Dinamik Sdn Bhd ditawarkan kontrak untuk membaik pulih tanah runtuh ini dengan tempoh kontrak adalah selama tujuh bulan dan bakal siap sepenuhnya pada 30 April ini (esok).

“Antara kerja yang dilakukan adalah membina semula jalan, cerun, sistem perparitan dan penanaman rumput. Walaupun projek ini mengalami sedikit kelewatan, tetapi kita yakin hasilnya adalah terbaik,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Jalan Sungai Lalang, di sini, hari ini.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang yang menghubungkan Semenyih dengan Batu 18, Hulu Langat serta Kuala Klawang di Negeri Sembilan pada tahun 2012 mengakibatkan jalan yang berada di Empangan Semenyih terputus dan tidak dapat dilalui semua kenderaan.

Berikutan itu, jalan sedia ada sepanjang lebih kurang 200 meter runtuh sehingga kedalaman 100 meter dan menyebabkan lima orang termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun terselamat selepas tiga buah kenderaan terperosok ke tanah mendap sedalam 100 meter.

photo 1Yunus berkata, faktor cuaca tidak menentu seperti hujan lebat adalah antara masalah yang terpaksa dihadapi kontraktor dalam usaha menyiapkan projek berkenaan sehingga mengalami kelewatan hampir tiga bulan.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat berpuas hati terhadap kerja baikpulih yang dilakukan dan berharap laluan itu dapat dimanfaatkan penduduk setempat apabila dibuka semula.

“Struktur tanah sebelum ini tidak kukuh kerana hanya ada satu sahaja paip culvert untuk laluan air dari bukit ke kawasan empangan hingga menyebabkan permukaan tanah atau jalan raya mendap.

“Jadi, apabila kita pasang paip culvert yang lebih banyak dan bersaiz besar, maka masalah ini dapat diatasi dan tidak akan berulang lagi,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia dedah kandungan kimia Kolam Hang Tuah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan Negeri sedia mendedahkan kepada orang ramai status kandungan kimia yang terdapat dalam Kolam Hang Tuah yang juga bekas kolam lombong.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata setakat ini segala ujian yang dijalankan terhadap sampel diambil menunjukkan air berkenaan selamat digunakan.

Katanya, sampel yang diambil juga dianalisa secara menyeluruh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Dr Yunus“Kerajaan Negeri sama sekali tidak keberatan untuk berbuat demikian (mendedahkan hasil ujian sampel) kepada orang ramai.

“Tiada apa untuk diselindungkan dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media khas kapasiti air empangan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas terdapat permintaan untuk Kerajaan Negeri mendedahkan hasil analisa kandungan kimia Kolam Hang Tuah.

Dengan perkembangan hasil ujian yang memberansangkan, Yunus berkata, pengepaman air kolam ke dalam Sungai Selangor akan diteruskan bagi membantu meningkatkan aliran air sungai untuk keperluan loji pembersihan air (LPA).

“Ujian menunjukkan sampel adalah negatif bagi unsur Leptospira (Kencing Tikus) dan mematuhi parameter kurang daripada 5000 MPN (Most Probable Number) bagi unsur bakteria.

“Ia juga mematuhi parameter kandungan kimia yang ditetapkan JKNS,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Dua pam mula operasi 12 jam sehari, aliran sungai jadi optimum

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 APRIL: Dua buah pam dengan kapasiti 570 juta liter sesaat kini beroperasi di Sungai Selangor bagi mengoptimumkan baki aliran air untuk disimpan di Kolam Hang Tuah.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata lima unit lagi akan dipasang dan dijadualkan untuk mula beroperasi, pada 29 April ini.

Katanya, jumlah keseluruhan kapasiti air yang akan dipam adalah 172 juta liter sehari (JLH) bersamaan dengan 11 peratus daripada baki aliran di Baraj Bestari Jaya dalam bulan April 2014.

Yunus-Hairi“Kadar hujan yang diterima di hilir kawasan tadahan membantu pengurangan kadar pelepasan empangan. 53,100 juta liter baki aliran yang direkodkan di Baraj Bestari Jaya sepanjang April ini.

“Secara puratanya, 1,966 JLH baki aliran di Sungai Selangor setiap hari,” katanya dalam sidang media khas kapasiti air empangan, di sini, hari ini.

Ketika aliran sungai rendah, Yunus Hairi berkata, 100 JLH daripada Kolam Hang Tuah akan dipam ke Sungai Selangor untuk memenuhi loji pembersihan air (LPA).

“Jumlah keupayaan takungan semua kolam alternatif termasuk Kolam Hang Tuah di Lembangan Sungai Selangor adalah 61.28 juta meter padu.

“Jumlah ini mampu untuk digunakan bagi meningkatkan aliran sungai jika tiada hujan selama lima bulan dengan kadar pengepaman 537.16 JLH,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kapasiti empangan terus catat peningkatan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 APRIL: Enam daripada tujuh empangan di Selangor terus mencatat peningkatan positif dengan Empangan Klang Gates mencatat peningkatan sehingga empat peratus dalam tempoh seminggu.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus bekalan ke kawasan Lembah Klang kini turut mencecah kapasiti 40.08 peratus.

Katanya, walaupun peningkatan dicatatkan kecil tetapi hujan di hilir menyumbang kepada pengurangan kadar pelepasan air daripada empangan.

yunus“Sejumlah 53,100 juta liter baki aliran yang direkodkan di Baraj Bestari Jaya sepanjang bulan April sehingga ke hari ini.

“Secara puratanya 1,966 juta liter sehari (JLH) baki aliran di Sungai Selangor setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas berkenaan status semasa kapasiti empangan yang turut disertai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat.

Pada 22 April lalu, Empangan Klang Gates mencatat paras takungan 13.74 juta meter padu bersamaan 54.24 peratus, manakala hari ini paras takungan meningkat kepada 14.82 juta meter padu (58.49 peratus).

empangan  air lembah kelangSementara itu, Empangan Sungai Selangor pula meningkat kepada 92.19 juta meter padu (40.08 peratus) berbanding hanya 89.46 juta meter padu (38.90 peratus) pada minggu lalu.

Turut mencatat peningkatan tinggi adalah Empangan Tasik Subang dengan paras takungan kini mencecah 3.65 juta meter padu (86.77 peratus) berbanding 3.53 juta meter padu (83.99) peratus iaitu peningkatan hampir tiga peratus.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor laksana sukan luar sekolah, elak guru jadi mangsa Kerajaan Pusat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri mempunyai pendekatan tersendiri untuk berdepan dengan sikap Kerajaan Pusat yang kurang memberi penekanan terhadap pembangunan sukan di Selangor.

Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata Kerajaan Negeri memilih untuk tidak bersikap konfrontasi dalam situasi berkenaan bagi memastikan tidak ada pihak yang terbabit terjejas terutama guru.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang program pembangunan sukan dilakukan secara langsung dengan pihak sekolah.

Yunus Hairi“Kita mengambil sikap ini bagi menjaga semua pihak. Pada masa sama, program pembangunan sukan terus giat dijalankan.

“Kita juga tidak mahu apabila Kerajaan Negeri bersama sekolah terbabit secara langsung, guru pula dijadikan mangsa oleh Kerajaan Pusat.

“Mungkin mereka dikenakan tindakan disiplin, surat tunjuk sebab atau ditukarkan hanya kerana bekerjasama dengan Kerajaan Negeri,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Perkara itu dibangkit Yunus apabila wujudnya halangan yang  tidak membolehkan Kerajaan Negeri terbabit secara langusung bersama sekolah dalam pembangunan sukan.

“Contohnya, Sekolah Sukan Seksyen 11 sebelum Pakatan Rakyat ambil alih Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Exco Sukan ketika itu boleh masuk. Tetapi, kini secara tidak rasminya kita tidak dibenarkan masuk.

“Namun, Kerajaan Negeri melalui MSN masih lagi berhubung dan memberi bantuan keperluan pembangunan sukan di sekolah terbabit,” katanya.

kejohanan bola sepak 01Beliau berkata, pihaknya mengariskan beberapa komitmen sebagai jalan keluar dalam usaha memastikan program pembangunan sukan di negeri itu terus terlaksana.

“Saya cuba mencari jalan yang terbaik untuk anjurkan kejohanan sukan. Tahun lepas, saya berjaya anjurkan kejohanan bola sepak bawah 16 tahun, yang mana ia tidak dipertandingkan di peringkat sekolah.

“Sebaliknya, masih membabitkan pelajar apabila mereka menyertai kejohanan terbabit ketika cuti sekolah. Dengan cara itu, kita masih mempunyai ruang mencungkil bakat pelajar yang berpotensi besar dalam sukan bola sepak,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor hasrat tubuh Akademi Bola Sepak

Oleh : Lizawati Madfa

KUALA LANGAT 16 NOV : Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan Akademi Bola Sepak Selangor bagi melahirkan atlet bola sepak yang berkemahiran tinggi dalam usaha memartabatkan sukan bola sepak negeri itu.

Dr yunus pic mza1Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi, berkata pelan jangka panjang itu masih dalam perancangan dan bergantung kepada bajet Kerajaan Negeri yang akan diumumkan pada minggu hadapan.

Menurutnya, rancangan mewujudkan akademi itu juga bukan sekadar bertujuan memberi peluang kerjaya bola sepak kepada golongan remaja dan belia.

Malah ia juga bakal membuka peluang dalam bidang-bidang berkaitan seperti kejurulatihan, keusahawanan pakaian sukan dan sebagainya.

“Ini boleh dikatakan sebagai satu langkah mewujudkan industri sukan itu sendiri, iaitu sesuatu yang besar dengan banyak peluang untuk direbut di dalamnya.

bola selangor“Jadi, jika tiada halangan dan segalanya berjalan lancar, insyaAllah Akademi Bola Sepak Selangor ini dapat direalisasikan,” kata beliau.

Ahmad Yunus berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan rancangan Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor dalam satu sesi dialog bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Belia Selangor.

Majlis yang diadakan di Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS) di Morib pagi tadi turut dihadiri Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dan penceramah jemputan, Prof. Dr. Azimi Hamzah (Universiti Putra Malaysia).

Selain isu bola sepak negeri, Ahmad Yunus turut dihujani soalan mengenai peranan dan fungsi pertubuhan dan NGO belia dalam merealisasikan rancangan-rancangan pembangunan negeri.

“Kita akan melibatkan NGO belia ini dalam rancangan pembangunan Selangor kerana kita sedar ramai pemimpin hebat pun lahir daripada pertubuhan dan NGO belia.

“Mungkin kita akan contohi modus Skimsel, pinjaman tanpa faedah diberi kepada individu yang membentuk kumpulan dan kita akan panggil NGO untuk perbincangan lebih lanjut,” kata Ahmad Yunus.

Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Selangorku Pantai Morib 2013 sempena Tahun Melawat Kuala Langat 2013 yang turut dihadiri Adun Morib, Hasnul Baharudin.

-EZY