Categories
EKONOMI NASIONAL

Zeti: Penting untuk Malaysia memperkukuhkan daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Adalah penting untuk Malaysia terus memperkukuhkan daya tahannya daripada sebarang ketidaktentuan ekonomi global, juga sebarang perkembangan politik yang mungkin memberi kesan kepada pertumbuhannya.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata negara perlu membina kekuatan serta daya tahannya dan ini memerlukan pengukuhan penampan institusi dan juga keupayaan dalaman.

“Sewaktu di BNM… saya di sana selama 35 tahun… saya sering memberitahu kepada petugas untuk menerima perkembangan politik seperti apa yang ada. Kenapa kita perlu menerimanya seperti itu? (Kerana) kita tidak mempunyai kawalan terhadapnya.

“Sudah tentu juga, perkembangan luaran perlu diterima seperti apa yang ada kerana ia bukan dalam jangkauan kita untuk mempengaruhinya dan justeru, apa yang paling penting untuk dilakukan adalah memperkuatkan daya tahan kita.

“Sebagaimana kesihatan, jika ia lemah, kita akan terdedah kepada penyakit,” katanya pada temubual media baru-baru ini.

Zeti yang meninggalkan BNM pada April 2016 selepas menerajui bank pusat berkenaan selama 16 tahun berkata demikian ketika ditanya sama ada perkembangan senario politik tempatan akan memberi kesan kepada sentimen pelabur.

Dilaporkan bahawa, dana asing memberikan reaksi kepada keputusan yang belum pernah berlaku sebelum ini berhubung Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan menjual RM2.48 bilion ekuiti tempatan selepas pilihan raya pada 9 Mei.

Menurut MIDF dalam nota penyelidikan berkenaan aliran dana pada 21 Mei, ini adalah jualan mingguan terbesar di Malaysia sejak minggu yang berakhir 23 Ogos 2013, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM2.90 bilion sementara hari pertama dagangan selepas PRU14 menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM682.6 juta.

Ditanya sama ada negara mampu untuk bertahan sewaktu tempoh transisi ini dan melawan ketidaktentuan ekonomi global, Zeti tanpa ragu-ragu berkata bahawa, Malaysia mampu menguruskannya memandangkan negara sudah berulang kali memperlihatkan daya tahannya.

“Ya, kita dapat mengaturnya semula kerana sering mempunyai keupayaan untuk melantun semula.

“Kenapa ini berlaku? Ia kerana, kita mempunyai elemen daya tahan dalam ekonomi kita dan sistem kewangan kita,” jelasnya.

Zeti turut mempertahankan dasar tertentu seperti pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang berkuat kuasa pada 1 September, menjelaskan bahawa pelaksanaan rejim cukai baharu itu untuk mengurangkan beban dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat.

“Apabila kita merangka apa-apa dasar, kita perlu jelas berkaitan matlamat mengenai apa yang ingin dicapai.

“Jika matlamatnya hanya untuk menggerakkan pendapatan, sudah tentu Cukai Barang dan Perkhidmatan akan menggerakkan jumlah pendapatan yang lebih tinggi.

“Bagaimanapun, kadangkala, kita juga perlu mengambil pertimbangan dan matlamat lain. Matlamat yang penting ialah kesejahteraan ekonomi,” katanya.

Zeti juga menjelaskan, kadangkala negara perlu bertolak ansur dengan defisit yang tinggi sedikit jika wujud keperluan untuk memastikan ekonomi berkembang.

“Apa yang saya katakan ialah, selain memahami yang kita perlu bertolak ansur untuk tempoh yang pendek mengenai kemungkinan defisit yang lebih besar, kita juga perlu menunjukkan apa yang dilakukan untuk mengembalikan kemampanan fiskal. Itu perlu ditunjukkan,” katanya.

Mengenai peningkatan ketaksamaan pendapatan di Malaysia, Zeti yang juga sebahagian daripada barisan Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada lima anggota, berkata langkah utama untuk menangani keadaan itu adalah melalui pendidikan.

Beliau berkata, sistem pendidikan memerlukan pembaharuan secara berterusan untuk menyesuaikan dengan persekitaran yang amat dinamik disebabkan globalisasi.

“Kita ada pendigitalan dan Revolusi Perindustrian Keempat.

“Semua ini sedang berlaku dan sudah tentu, kita tidak boleh kekal dengan jenis pendidikan yang kita ada sebelum ini. Ia menghasilkan mereka yang hidup dalam persekitaran sebelum ini.

“Persekitaran baharu adalah berbeza (dan) jika kita tidak seiring dengannya, kita tidak akan menghasilkan tenaga kerja dan graduan yang diperlukan oleh industri, tenaga kerja dan kemahiran untuk bersaing di peringkat global,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI

Zeti dilantik pengerusi Sime Darby Property

KUALA LUMPUR 24 JUL: Sime Darby Property Bhd melantik bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai pengerusi barunya berkuat kuasa semalam.

Zeti yang kini memegang jawatan pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara 30 Jun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Amrin Awaluddin dalam satu kenyataan menyebut kehadiran Zeti memperkukuh komitmen PNB ke atas bekas gabenor itu serta perjalanan transformasinya.

“Kami berharap dapat bekerja di bawah kepimpinan Zeti dalam memajukan syarikat pada masa depan dan merealisasikan nilai kepada pihak berkepentingan,” katanya.

Syarikat itu turut melantik Datin Norazah Mohamed Razali sebagai pengerusi baru jawatankuasa pencalonan dan pengiraan, menggantikan Datuk Rohana Mahmood yang meletak jawatan 30 Jun lalu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zeti tolak dakwaan Najib mengenai transaksi RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menolak laporan yang mendakwa beliau mengetahui aliran masuk RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013.

“Saya ingin menyatakan bahawa dakwaan ini tidak benar dan saya tidak tahu mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada wawancara terbaru Najib dengan portal berita MalaysiaKini bertarikh 2 Julai 2018.

Zeti yang baru dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, beliau dipanggil ke pejabat Perdana Menteri pada 3 Julai 2015, di mana Najib meminta beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam akaunnya.

“Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana saya tidak tahu mengenai transaksi yang telah berlaku dalam akaun beliau.

“Saya kemudiannya menerima panggilan telefon daripada seorang menteri Kabinet yang lain yang membuat permintaan yang sama, agar saya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya memberi jawapan yang sama bahawa saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu kerana saya tidak tahu apa yang telah berlaku dalam akaunnya,” katanya.

Mengenai perkara berkaitan transaksi oleh pemegang akaun dalam sistem perbankan, Zeti berkata, BNM bergantung kepada maklumat yang diberikan institusi kewangan yang melapor.

“Komuniti perbankan menyedari sepenuhnya peraturan dan garis panduan yang mengawal selia laporan transaksi yang mencurigakan dan untuk usaha wajar yang diperlukan dalam operasi mana-mana akaun sedemikian.

“Melainkan jika institusi perbankan yang relevan melaporkan kepada BNM mengenai penyelewengan dalam akaun atau jika BNM mendapat tip yang memberi sebab untuk mempercayai bahawa kesalahan telah berlaku, bank pusat tidak dapat memulakan siasatan ke atas akaun itu,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zeti Aziz dilantik Pengerusi PNB, mula tugas 1 Julai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JUN: Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik menjadi Pengerusi dalam Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkuat kuasa 1 Julai ini.

Berdasarkan kenyataan rasmi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), pelantikan Dr Zeti bagi menggantikan penyandangnya sebelum ini, Tan Sri Abdul Wahid Omar yang akan bersara berkuat kuasa pada 30 Jun.

Sebelum ini, Dr Zeti merupakan salah seorang Ahli Majlis Penasihat Kerajaan yang diamanahkan untuk memberi nasihat kepada Kerajaan berkenaan ekonomi dan kewangan.

Bagaimanapun, Lembaga Pengarah YPB dan PNB mengalu-alukan pelantikan Dr Zeti serta yakin bahawa pengalaman beliau yang luas itu mampu memberikan kepimpinan kukuh kepada Kumpulan PNB.

Malah, PNB juga yakin Dr Zeti mampu mencapai mandat asasnya untuk memperkasakan kekayaan korporat demi manfaat rakyat Malaysia.

Pada masa sama, Lembaga Pengarah PNB mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Abdul Wahid atas sumbangan yang tidak ternilai dan khidmat penuh dedikasi sepanjang berkhidmat di Kumpulan PNB sejak pelantikannya pada Ogos 2016.

Memetik kenyataan itu, Abdul Wahid sudah banyak mengukir pelan hala tuju untuk PNB demi mencapai tiga mandat yang komprehensif, pulangan mampan dan meningkatkan kekayaan ekonomi Bumiputera.

Manakala, Datuk Dr Awang Adek Hussin juga akan bersara sebagai Pengarah PNB dan Pengerusi PNB Research mulai 30 Jun ini.

Dalam kenyataannya PNB berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik menjadi pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) mulai 28 Jun.

Sesuai dengan pelantikan itu, katanya, Lembaga Pemegang Amanah YPB disusun semula dengan memasukkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Azmin Ali, Zeti dan bekas bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Zeti: Kuasa beli meningkat selepas GST sifar

NASIONAL 18 JUN: Anggota Majlis Penasihat Kerajaan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berharap pengguna akan terus menikmati harga barangan yang lebih rendah, susulan keputusan kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, sehubungan itu para peruncit perlu berkongsi kebaikan itu kepada pengguna.

Zeti turut memaklumkan cukai berkadar sifar itu telah meningkatkan perbelanjaan dalam kalangan rakyat.

“Ia sesuatu yang baik. Ramai pengguna mengakui ekonomi semakin rancak sekarang dan ramai orang mula membelanjakan wang.

“Tetapi kami berharap peruncit juga akan berkongsi manfaatnya kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat harian CEP di Menara Ilham, di sini, hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan GST berkadar sifar berkuatkuasa 1 Jun selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei lepas.

GST yang diperkenalkan kerajaan terdahulu pada 2015 dengan kadar enam peratus akan dihapuskan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Sept ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Zeti: Keperluan negara mampu dipenuhi tanpa GST

KUALA LUMPUR 15 MEI: Malaysia mampu memenuhi keperluan perolehannya walaupun selepas memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan meneliti keutamaan terhadap projek-projeknya, meningkatkan kecekapan sektor awam, mengelakkan pembaziran dan meneroka sumber pendapatan baru, kata Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu juga menyatakan keyakinan terhadap ekonomi negara yang boleh dipandu ke arah yang betul dan tempoh masa 100 hari adalah mencukupi untuk menyediakan sesuatu yang jelas dan melakukan pengubahsuaian serta perubahan diperlukan.

“Saya berasa inilah juga yang diperlukan pasaran. Mereka mahu menyaksikan komitmen berkenaan dan lebih jelas terhadap apakah yang akan dilakukan (oleh kerajaan),” katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi taklimat berasingan dengan agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody’s Investors Service, Standard & Poor’s Global Ratings dan Fitch Ratings, di sini, semalam.

Gabenor wanita pertama yang menerajui bank pusat berkenaan selama 16 tahun itu adalah anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Sabtu.

Dipengerusikan oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, turut sama di dalam majlis itu adalah bekas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Pakar Ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram dan Ahli Perniagaan,Tan Sri Robert Kuok.

Mengulas sama ada prestasi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan ringgit pada semalam adalah disebabkan oleh keyakinan semula terhadap ekonomi, Zeti menegaskan: “Dalam keadaan tidak menentu akan ada turun naiknya.”

Ketika penggiat pasaran melihat komitmen dan kemampuan institusi seperti BNM, Kementerian Kewangan dan agensi lain dalam melaksanakan pembaharuan yang sepatutnya, beliau berkata: “Saya percaya wujudnya potensi yang boleh membawa kepada keyakinan itu dan kita menuju ke arah masa depan lebih baik serta cerah.”

Mengulas contoh kejayaan Malaysia mengatasi situasi serupa sebelum ini, Zeti berkata, kunci kemampuan itu adalah kepada usaha meneliti keutamaan terhadap projek-projek itu.

“Kita pernah melakukan perkara serupa ketika era pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan 1990-an.

“Berikutan banyaknya projek-projek mega yang dilaksanakan, imbangan pembayaran defisit akaun semasa kita melebihi 10% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkatkan ketidaktentuan negara.

“Pada waktu itu, kita menasihatkan beliau supaya meneliti semula keutamaan projek-projek mega dan menangguhkan pelaksanaannya pada masa depan.

“Dalam masa dua tahun, imbangan pembayaran defisit akaun semasa pulih kepada 4.6% daripada KDNK berbanding melebihi 10% seperti sebelumnya. Kita sudah melakukannya sebelum ini dan akan mampu mengulanginya,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Gabenor Bank Negara : Muhammad Ibrahim ganti Zeti mulai 1 Mei

Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia yang baharu untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 1 Mei ini.