Categories
SELANGOR

PBT Bakal Siarkan Mesyuarat Bulanan Secara Langsung

teng lawat MBSA 14 jun 01

SHAH ALAM, 14 JUN : Sebagai usaha mendemokrasikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri memutuskan supaya setiap PBT menyiarkan mesyuarat bulanan mereka secara langsung di laman web masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tindakan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mementingkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, langkah ini akan dilaksanakan oleh lapan buah PBT, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Juga terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Tindakan ini diambil memandangkan kita banyak menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan pihak PBT tidak melaksanakan tugas, mereka tidak tahu apa yang pihak Majlis buat.

“Jadi dengan terlaksananya projek ini, pihak Majlis akan menjadi lebih terbuka dan telus dan ia merupakan cara terbaik untuk orang ramai faham tentang pentadbiran PBT,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi pertemuan bersama MBSA, di di sini hari ini.

Beliau berkata, minit mesyuarat PBT juga akan dipaparkan di laman web, sejajar dengan semangat Kerajaan Negeri yang telah meluluskan enakmen kebebasan maklumat dua tahun lalu.

Tambahnya, pihak Majlis diberi masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lengkap bagi memastikan projek ini berjalan lancar apabila sampai waktunya.

“Selangor akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan projek ini apabila ia dilancarkan kelak. Kita harap prosesnya akan berjalan lancar.

Empat PBT lagi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), tidak dapat melaksanakan usaha itu pada waktu ini kerana kekurangan wang.

Projek ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) yang telah diperakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.