Categories
NASIONAL

MoF tuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta daripada NFCorp

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Kementerian Kewangan (MoF) sedang menuntut pembayaran penuh pinjaman RM250 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat, yang telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) pada 2008.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata tuntutan mahkamah akan dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap syarikat itu yang masih berhutang RM253.6 juta kepada kerajaan.

Beliau berkata Notis Pengisytiharan Berlaku Keingkaran yang selaras dengan Klausa 14 Perjanjian Pinjaman di antara Kerajaan Persekutuan dan NFCorp telah dikeluarkan pada September 2014 dan perkara ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan lanjut.

“Jabatan Peguam Negara sedang meneliti perkara itu dan akan mengumumkan perkembangan terkini jika ada,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

MoF menekankan bahawa NFCorp telah menerima kemudahan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan pada 9 Januari 2008 dengan kadar faedah sebanyak dua peratus serta tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh selama tiga tahun.

Pinjaman itu dijamin oleh debentur yang ditandatangani bersama-sama dalam perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

“Berdasarkan penyata lengkap pinjaman Kerajaan Persekutuan sehingga 30 April 2019 dari Jabatan Akauntan Negara, jumlah baki pinjaman (terhutang) oleh NFCorp kepada kerajaan adalah sebanyak RM253.62 juta, termasuk faedah dan caj faedah lewat sehingga 30 April 2019.

“Dari jumlah tersebut, RM110.84 juta adalah jumlah terhutang untuk pembayaran balik kepada Kerajaan Persekutuan dari 30 April 2019, terdiri daripada tunggakan pokok pinjaman RM81.99 juta, faedah pinjaman sebanyak RM22.97 juta dan caj faedah lewat berjumlah RM5.89 juta,” kata Lim. -BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

APEC perlu fokus ekonomi digital – Leiking

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memberi tumpuan ke atas bidang ekonomi digital dengan meningkatkan usaha untuk memudahkan e-dagang yang merentas sempadan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata, bagi menyokong transformasi digital, APEC perlu pantas dalam merebut peluang untuk menerajui usaha ekonomi digital yang substantif jika mahu menjadi penentu peraturan atau menghadapi risiko ditinggalkan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan mesyuarat Menteri-menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) ke-25 yang diadakan pada 17 hingga 18 Mei di Valparaiso, Chile.

Leiking yang akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan Malaysia ke tiga buah negara Amerika Selatan pada minggu ini juga berkata MRT pada prinsipnya bersetuju bahawa APEC mempunyai peranan penting untuk dimainkan bagi menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang dimulakan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menteri-menteri APEC juga menyeru kepada WTO untuk memodenkan peraturannya bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran perdagangan semasa global bagi membolehkan pertubuhan itu mencari jalan untuk menyelesaikan isu-isu operasi yang berpanjangan.

“Pembaharuan adalah sangat penting untuk kekal relevan dalam zaman serba canggih ini, WTO harus mampu menyediakan platform yang berkesan bagi melindungi kepentingan perdagangan negara-negara membangun seperti Malaysia,” kata Leiking.

Beliau juga menekankan bahawa APEC perlu membentuk visi baharu selepas tamatnya matlamat Bogor pada 2020 nanti.

“Sudah sampai masa untuk kita menginsankan APEC dan Malaysia berharap dapat memikul tugas khusus ini ketika menjadi tuan rumah bagi APEC 2020, dengan tumpuan untuk memajukan pembangunan ekonomi di rantau ini, seiring dengan kesejahteraan sosio-ekonomi penduduknya,” kata Leiking.

Leiking sedang dalam misi perdagangan ke negara-negara Amerika Selatan yang meliputi Santiago, Chile pada hari ini sebelum bertolak ke Buenos Aires, Argentina esok dan kemudian ke Brasilia serta Sao Paulo, Brazil mulai 22-24 Mei. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

32,951 rumah mampu milik siap dibina sejak tiga bulan pertama 2019

CHUKAI, 20 Mei: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyiapkan 32,951 unit kediaman Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata daripada jumlah itu, bilangan tertinggi adalah di Kuala Lumpur sebanyak 7,390 unit diikuti Perak 5,688 unit; Putrajaya (4,999); Kedah (4,815); Selangor (3,777); Johor (1,964) dan Pahang (1,884).

“Pakatan Harapan (PH) sasarkan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun iaitu 100,000 setahun. Tetapi dalam tempoh setahun sahaja kami telah melepasi sasaran dan telah sediakan 360,000 unit kediaman yang telah dimulakan pembinaan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal Sistem Binaan Berindustri (IBS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPKT Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu Dr Alias Razak.

Pusat latihan IBS di Kijal, Kemaman itu adalah yang pertama di negara ini yang dijalankan secara usahasama antara syarikat gergasi pembinaan IBS Dunia, Sany Construction Industry (SCI) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Sebanyak 150 pelatih peringkat pertama akan dipilih mengikuti latihan selama tiga bulan bermula awal Julai depan dengan 15 orang daripadanya ditaja oleh SCI.

Menurut Zuraida, kewujudan pusat terbabit akan melahirkan lebih ramai tenaga teknikal dan pakar dalam industri IBS dalam kalangan anak tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada tenaga buruh asing dalam sektor pembinaan sekurang-kurangnya 40 peratus.

“Dengan teknologi IBS, kita tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai kerana kerja 1,000 orang dapat dilakukan oleh hanya 90 pekerja sahaja. Ini juga akan membantu mempercepatkan pembinaan satu juta RMM yang kita sasarkan dengan kos yang lebih murah melalui teknologi moden serta efisien,” katanya. -BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Anggota PGA tahan lelaki cuba beri sogokan

PASIR MAS, 20 Mei: Seorang lelaki ditahan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 9 (PGA9) selepas cuba menyogok RM1,600 kepada anggota bertugas bagi membebaskan dirinya bersama tiga lagi rakan dipercayai terbabit dalam penyeludupan kenderaan.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Ramly Pancho ketika ditemui berkata, tiga lagi individu berkenaan adalah seorang lelaki dan dua perempuan yang kesemuanya berusia 30-an.

Pada awalnya kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Chempaka, Tanah Merah pada 6.15 pagi, 17 Mei lepas.

“Sebenarnya pihak kami mendapat maklumat mengenai penyeludupan kenderaan sebelum bertindak menyerbu rumah berkenaan.

“Ketika serbuan kami menemui beberapa buah kenderaan termasuk Toyota Lexus, Perodua MyV, Perodua Viva dan sebuah motosikal. Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua kenderaan itu adalah diklon,” katanya.

Ramly berkata susulan serbuan itu seorang daripada individu berasal dari negara jiran bertindak menawarkan sogokan agar kesemua mereka dilepaskan.

Walaupun sudah tiga kali amaran disuarakan oleh anggota berpangkat Koperal yang bertugas, lelaki itu tetap berkeras mahu memberi 16 keping wang RM100 berjumlah RM1,600 kesemuanya sebagai dorongan supaya dilepaskan.

“Selepas amaran diberikan namun tidak diendahkan, anggota PGA9 telah membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan kerana cuba membuat sogokan.

“Kita menyerahkan lelaki terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan manakala tiga lagi turut ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kumpulan empat individu berkenaan terlibat dalam sindiket mengklon kenderaan dari Singapura sebelum dijual semula di sini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

APMM Pulau Pinang tahan bot langgar syarat lesen

GEORGE TOWN, 20 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 kerana menangkap ikan di kawasan Zon A di kedudukan kira-kira dua batu nautika (kira-kira 3.7 km) dari barat Pulau Rimau, dekat sini awal pagi ini.

Pengarah APMMM Pulau Pinang Kapten Hamizan Harun berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi, pemilik bot nelayan berkenaan sanggup menunda dalam gelap demi mengaut keuntungan berganda di kawasan larangan sebelum ditahan APMM.

“Hasil pemeriksaan, tiga lelaki masing-masing seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan berusia 26 hingga 34 tahun berada dalam bot itu dan mereka telah melanggar syarat sah lesen,” katanya di sini hari ini.

Katanya bot itu bersama satu gulung pukat tunda, dua besi tunda serta hasil tangkapan kira-kira 200 kilogram ikan campur dirampas.

Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika (14.8 km) dari daratan terdekat. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis rampas daun ketum di Jeli

 

JELI, 20 Mei: Polis merampas daun ketum seberat 430 kilogram bernilai RM13,000 di Kampung Salor, Batu Melintang dalam satu sekatan jalan raya Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, rampasan terbabit dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada pukul 1.30 tengah hari selepas menahan kereta yang dinaiki oleh dua suspek berumur 21 dan 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan, anggota kami menemui 43 bungkus plastik hitam yang mengandungi 2,133 balutan plastik lut sinar yang dipercayai (daun) ketum.

Anggota kami juga turut menemui satu bungkusan plastik cerah yang berikat dengan gelang getah berisi cecair keperangan disyaki air ketum dan menemui satu botol plastik putih berisi cecair disyaki dadah jenis ubat batuk,” katanya pada sidang media di IPD Jeli di sini, hari ini.

Ahmad berkata soal siasat terhadap kedua-dua suspek, mengakui bekalan ketum itu diperoleh dari Kedah untuk dipasarkan di Daerah Machang.

“Suspek hanya mengambil upah RM400 satu perjalanan untuk membawa masuk bekalan itu ke negeri ini. Salah seorang daripada suspek terbabit turut mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu terlibat dengan aktiviti jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 22 Mei depan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

JSP1 diperkenalkan, bakal diperluaskan seluruh negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 20 MEI: Pengeluaran makanan ternakan khasnya ayam, Jagungnaut Selangor Premier 1 (JSP1) yang julung kali diperkenalkan bakal diperluaskan ke seluruh negara.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, beliau mensasarkan projek tanaman itu diperluaskan daripada 54 hektar ketika ini kepada lebih 400 hektar dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Sebelum ini dah ada yang cuba usahakan beberapa pihak tidak berjaya tetapi kali ini merupakan kejayaan paling besar dan akan diperluaskan lagi, kalau boleh kita nak capai lebih 400 hektar.

“Saya sudah pun bincang dengan Perak, Negeri Sembilan dan pemilik ladang berdekatan untuk dijadikan ladang mini kontrak bagi mengusahakan tanaman yang memberi hasil lumayan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Hala Tuju dan Rancangan Strategik Makanan Ternakan Selangor di Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Izham berkata, Kerajaan Negeri juga merancang membangunkan pusat pengeringan dan kilang pengeluaran PSP1 di Selangor dengan Kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Katanya, projek penanaman PSP1 ini mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha tanaman ini kerana kosnya jauh lebih rendah berbanding makanan ternakan yang diimport.

Izham berkata, harga pasaran makanan ternakan import berharga di antara RM900 hingga RM1,000 satu tan berbanding kos pengeluaran hanya kira-kira RM500 sahaja.

Katanya, dianggarkan lebih tiga bilion dolar Amerika Syarikat dibelanjakan setiap tahun bagi menampung import bekalan makanan ternakan ayam seluruh negara.

“Ini merugikan negara apabila wang kita banyak keluar negara tetapi dengan projek ini kita boleh kawal sedikit wang kita daripada banyak keluar.

“Selain dapat mengawal harga ayam dan telur yang dijangka kesannya boleh dilihat dalam masa setahun hingga tiga tahun, JSP1 yang dikeluarkan juga lebih baik untuk ternakan kerana lebih segar berbanding makanan import yang biasanya sudah agak lama,” katanya.

Categories
NASIONAL

Wajib selesai sisa buangan walaupun berpindah – Fuziah

KUANTAN, 20 Mei: Kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas (Malaysia) Sdn Bhd (Lynas) wajib menyelesaikan masalah sisa buangannya di Gebeng di sini, walaupun memindahkan operasinya ke negara lain.

Pengerusi Pakatan Harapan Pahang, Fuziah Salleh berkata, Lynas juga perlu bertanggungjawab kepada nasib pekerja mereka dan mematuhi hak yang dijamin di bawah Undang-Undang Buruh jika mereka menamatkan operasi di sini.

“Lynas wajib menyelesaikan masalah sisa buangan di Gebeng walaupun sekiranya mereka berpindah. Itu adalah tanggungjawab mereka. Keluar dari Malaysia tidak bermakna (mereka) tidak perlu menyelesaikan masalah sisa buangan yang banyak di sini.

“Mereka boleh keluar (dari Malaysia) tetapi mesti bertanggungjawab ke atas pekerja dan sisa buangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita hari ini, yang melaporkan Lynas Corp telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Blue Line Corp yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat untuk membina kilang baharu di negara itu.

Tindakan itu didakwa dibuat berdasarkan perkembangan di Malaysia yang mengarahkan Lynas untuk mengeluarkan sisa buangannya sebelum lesen operasinya yang dijadual tamat pada 2 Sept ini dapat diperbaharui. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PPM rampas 2,636 karton rokok seludup bernilai RM388,986

 

KLANG, 20 Mei: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 2,636 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM388,986.33 termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di Batu Belah dan Batu Nilam, Klang dekat sini petang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata dalam operasi pada kira-kira pukul 3 petang itu, anggota dari Unit Risikan Marin Pelabuhan Klang telah mengekori sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek lelaki berusia 46 tahun yang disyaki membawa rokok seludup di sekitar pekan Kapar.

“Pasukan ini telah mengekori kenderaan itu sehingga ia berhenti di hadapan sebuah rumah di Batu Belah dan kemudian bertindak menahan suspek semasa hendak memasuki rumah itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, pihak kami telah menjumpai sebanyak 486 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan bagaimanapun tidak menjumpai sebarang rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihaknya kemudian bertindak menyoal siasat suspek dan hasilnya telah membawa kepada serbuan kedua pada kira-kira pukul 4 petang di hari yang sama di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang dan menemui sebanyak 2,150 karton rokok seludup pelbagai jenama.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rokok dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM413,986.33 termasuk cukai serta kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, kenderaan dan rokok yang dirampas kemudian telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Empat ditahan ketika leka bungkus dadah

ALOR SETAR, 20 Mei: Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis heroin serta syabu seberat 31.35 gram bernilai lebih RM1,200 dalam serbuan di sebuah rumah di Pendang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kesemua suspek berumur 34 hingga 46 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi ketika disyaki sedang leka melakukan kerja-kerja pembungkusan dadah di rumah tersebut.

“Semasa serbuan, empat lelaki sedang duduk di atas lantai sebuah bilik dan pemeriksaan polis menemui sembilan peket heroin dengan anggaran berat 26.75 gram, lapan peket syabu seberat 4.60 gram, sebilah gunting besi, alat penimbang digital dan 10 peket plastik lutsinar kosong di atas lantai bilik tersebut.

“Kita percaya suspek ingin mencari ‘duit raya’ dengan menjual dadah secara kecil-kecilan kepada penagih sekitar daerah ini…mereka juga disyaki sedang menghisap dadah ketika serbuan dengan penemuan botol kaca yang telah diubah suai menjadi alat untuk menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, semua suspek yang bekerja sendiri dan menganggur itu juga didapati positif dadah ketika ditahan dan semakan mendapati keempat-empat mereka memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Episod baru ternakan negara, mampu stabilkan harga ayam

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 20 MEI: Selangor mengorak langkah bagi memimpin perusahaan ternakan negara apabila berjaya mengeluarkan makanan ternakan khasnya ayam berasaskan jagung bijiran yang dinamakan Jagungnaut Selangor Premier 1 (JSP1).

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, kejayaan tanaman JSP1 dalam skala besar-besaran itu memberi impak besar kepada perusahaan penternakan ayam negara apaabila tidak lagi terlalu bergantung kepada makanan ternakan import sekali gus memberi kestabilan harga ayam di pasaran.

“Di Sabak Bernam sahaja kita ada kira-kira enam juta ekor ayam yang diternak tidak termasuk tempat lain di Selangor dan negeri-negeri lain di mana ini menyebabkan kita mengimport banyak jagung bijiran bagi memenuhi keperluan makanan ayam-ayam ini.

“Bagaimanapun dengan kejayaan projek penanaman jagung bijiran ini saya yakin kita mampu mencapai sasaran untuk menampung kira-kira satu pertiga daripada bekalan jagung bijiran ini kepada penternak seluruh negara sekali gus mengurangkan risiko jika berlaku harga pasaran makanan ternakan import tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Hala Tuju dan Rancangan Strategik Makanan Ternakan Selangor di Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Izham berkata, pada masa ini harga ayam di pasaran banyak dipengaruhi harga makanan ternakan yang diimport berikutan kos bahan terbabit menelan kira-kira 85 peratus daripada kos keseluruhan penternakan ayam.

Katanya, pada masa ini, projek yang dijalankan Green World Genetic Sdn Bhd (GWG) dengan kerjasama PKPS itu diusahakan di atas tanah seluas 54 hektar.

“Ini adalah kali pertama projek penanaman jagung bijiran dibuat secara besar-besaran dan bersistematik dan secara puratanya kita memperolehi lima tan bagi setiap hektar.

“Selepas berbincang dengan GWG saya berkeyakinan hasilnya mampu dinaikkan ke 10 tan setiap hektar menjadikan penanaman ini sangat ekonomik,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Jambatan angkat dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun

KUALA TERENGGANU, 20 Mei: Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun hingga 17 Jun ini sebagai percubaan kepada prestasi sistem operasinya.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya berkata, selepas itu, jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara itu akan ditutup semula bagi melihat dan menambah baik kelancaran operasinya dan dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir Jun.

“Kami akan buka sebagai testing untuk orang ramai lalu sempena Hari Raya ini, dan kami akan tengok balik dan dijangka dibuka sepenuhnya akhir Jun.

“Sekarang ini jambatan itu sudah siap 99 peratus. Yang lagi satu peratus itu adalah kerja-kerja finishing seperti pemasangan papan tanda jalan,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Jambatan yang mula dibina pada Ogos 2014 itu boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal. -BERNAMA