Categories
SELANGOR

SIRIM komited bangun usahawan Bumiputera

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 DIS: Program Peningkatan Prestasi Keupayaan dan Daya Saing Pengusaha Kecil Sederhana (PKPKS) dikendalikan SIRIM Berhad (SIRIM) mampu membangunkan dan mewujudkan usahawan Bumiputera berdaya maju.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan itu dilaksanakan melalui dua sub program iaitu Program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan (Groom Big) dan program peningkatan kualiti produk satu daerah satu industri (SDSI).

Katanya, sepanjang ia berlangsung, usahawan didedahkan dengan modul pembangunan produk, promosi dan pemasaran melalui terknologi terkini serta berinovasi iaitu panorama dan BizApp.

“Usahawan terbabit mengikuti program ini selama 16 bulan bermula 1 Ogos tahun lalu.

“Melalui SDSI, usahawan perusahaan mikro dan kecil didedahkan dengan modul perkembangan produk dan perkhidmatan termasuk aspek promosi serta pemasaran.

“Ia melalui teknologi terkini dan berinovasi di bawah empat kluster iaitu produk makanan dan minuman, perkhidmatan kesihatan dan kecantikan, homestay serta kraftangan,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sijil PKPKS bagi 2017/2018 di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, penganjuran bengkel secara berterusan akan dapat meningkatkan lagi semangat usahawan untuk terus berdaya mahu dan melakar kejayaan sebagai usahawan SDSI dan Groom Big sekali gus menjadi contoh kepada pengusaha lain.

“Saya berharap semua pihak dapat berganding bahu menggiatkan program bagi melonjakkan usahawan PKPKS ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam program itu, seramai 159 usahawan Pengusaha Kecil Sederhana (PKS) berjaya mengikuti program berkenaan dan bagi tempoh itu, hanya dua daerah terbabit iaitu Sepang, Selangor dan Limbang, Sarawak.

 

Categories
SELANGOR

SIRIM terap elemen Industri 4.0 kepada PKS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 DIS: SIRIM Berhad (SIRIM) kini membangunkan rangka kerja kesediaan penilaian syarikat dalam mengguna pakai elemen Industri 4.0 kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, PKS perlu mengarap peluang untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan program itu.

Katanya, antaranya program SIRIM-Fraunhofer yang memberi manfaat kepada usahawan melalui audit teknologi dan program intervensi teknologi sesuai dengan keperluan khusus syarikat.

“SIRIM adalah agensi yang dapat membantu usahawan ke arah saranan kerajaan, bermula daripada pembangunan usahawan, penjenamaan, reka bentuk pembungkusan dan mesin serta latihan dan perundingan penambahbaikan produk.

“Dengan kelebihan di dalam penyelidikan dan inovasi teknologi, piawaian industri dan kualiti, SIRIM menawarkan penyelesaian khusus untuk memenuhi keperluan semua sektor industri, menjadikan SIRIM rakan inovasi terbaik untuk PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sijil Program Peningkatan Prestasi/Keupayaan dan Daya Saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKPKS) bagi 2017/2018, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke 11, SIRIM sedar untuk turut terus memperkukuhkan ekonomi menerusi PKS.

“Oleh itu, usaha mewujudkan PKS yang berdaya tahan dan mampan akan terus dilaksana.

“Matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 41 peratus pada 2020.

“Sumbangan PKS kepada eksport juga akan ditingkatkan melalui inisiatif pengantarabangsaan dan promosi eksport,” katanya.

Categories
SELANGOR

Peniaga ‘Food Truck’ perlu patuhi garis panduan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Peniaga ‘Food Truck’ diingatkan supaya mematuhi setiap garis panduan ditetapkan sewaktu menjalankan operasi perniagaan masing-masing.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, hal itu bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat pemantauan dan penyelarasan permit secara komprehensif dan teratur.

Katanya, ia secara tidak langsung membantu peniaga lebih memahami kaedah pengurusan ‘Food Truck’ bagi memastikan perniagaan berjalan lancar.

“Pada asasnya, perniagaan ‘food truck’ hanyalah penjenamaan semula dengan mengambil kira susun atur supaya mudah dipantau PBT.

“Selain itu, dengan mematuhi garis panduan ini, ia boleh menaiktaraf imej perniagaan ‘food truck’ itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pengguna Bebas Plastik dan ‘Food Truck’ 2018, peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dataran Kemerdekaan, Persiaran Bandaraya Seksyen 14, di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad; Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar; Timbalan Pengarah Seksyen PBT Selangor, Ahmad Zaki Yusof dan Ketua Pasaran dan Pendidikan World Wide Fund for Nature (WWF), Thiagarajan Nadeson.

Loy Sian turut menyifatkan perniagaan ‘food truck’ pada masa kini semakin berkembang luas apabila ramai usahawan khususnya golongan muda mula berjinak dalam perusahaan itu.

Katanya, peniaga terbabit perlu membentuk komuniti mereka sendiri memandangkan perniagaan itu boleh memberi pulangan yang lumayan.

“Kebiasaannya, produk dijual peniaga ini adalah berasaskan makanan, walaupun kadangkala ada juga yang menjual produk lain, selain makanan.

“Jenis makanan yang dijual pula ada had ditentukan kerana keadaan fizikal diubah suai mempunyai ruang terhad,” katanya.

Categories
SUKANKINI

ARRC: Gelaran juara sah milik Helmi

SHAH ALAM, 1 DIS: Mohd Helmi Azman mengesahkan gelaran juara keseluruhan Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) setelah muncul naib juara Perlumbaan 1, pada pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.

Masih berbaki satu perlumbaan akhir esok, penamat di tempat kedua di Thailand sudah cukup untuk menyaksikan Helmi bergelar juara dengan mengumpul 192 mata manakala pencabar tunggal yang mampu melengahkan kemenangan Helmi, Md Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha YY Pang Racing) sekadar tamat di kedudukan ke-14 untuk menjadikan 124 mata keseluruhan.

Kemenangan Helmi bagaimanapun dilihat sukar pada peringkat awal apabila terpaksa bermula dari petak ke-19 setelah mengalami masalah enjin pada sesi kelayakan, semalam namun berjaya memaksimumkan keupayaan jentera untuk berada di kelompok hadapan dari peringkat awal perlumbaan.

Helmi berjaya menamatkan tujuh pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16’19.362s di belakang pelumba wildcard, Wawan Wello (Yamaha Yamalube SND Factory) yang mencatat masa keseluruhan 16’18.788s.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba berpengalaman negara, Md Affendi Rosli (Team One For All) dengan masa keseluruhan 16’19.544s.

Musim ini sangat sempurna kerana berjaya memenangi gelaran Underbone 150cc dan saya berterima kasih kepada seluruh pasukan yang bekerja keras dan menyediakan jentera terbaik musim ini sehingga impian kami semua menjadi kenyataan,” kata Helmi yang turut membantu SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan berpasukan dengan mengumpul 192 mata.

Pasukan itu kali terakhir memenangi gelaran pasukan terbaik Asia pada 2009.

Katanya, perlumbaan hari ini sedikit mencabar setelah terpaksa memulakannya dari kelompok belakang.

“Saya memang bertekad dari awal untuk menamatkan singan di atas podium dan ia berjaya.

“Walaupun sudah memenangi gelaran, saya berharap dapat memenangi perlumbaan terakhir musim ini di atas podium esok,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan pelumba muda negara berjaya memastikan gelaran Underbone 150 kekal di Malaysia selepas dimenangi Md Akid Aziz musim lalu.

KEPUTUSAN PERLUMBAAN 1

UNDERBONE 150CC
1 Wawan Wello(INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16:18.788s
2 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 16:19.362s
3 Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All 16:19.544s
4 Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 16:19.562s
5 Gupita Kresna (INA) Yamaha Yamalube SND Factory 16:19.563s

Kedudukan Keseluruhan
1 Md Helmi Azman (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 184 mata
2 Md Izzat Zaidi (MAS) RCB Yamaha YY Pang Racing 124 mata
3 Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR Racing Team 109 mata
4 Md Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 95 mata
5 Gupita Kresna Wardhana (INA) Yamaha Yamalube SND Factory Yamaha 85 mata

Kedudukan Keseluruhan Berpasukan
1 SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 192 mata
2 RCB Yamaha YY Pang Racing 141 mata
3 Yamaha Yamalube SND Factory 136 mata
4 UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 128 mata
5 ONEXOX TKKR Racing Team 112 mata

Categories
GLOBAL

George Bush meninggal dunia

GLOBAL: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George H.W. Bush, meninggal dunia pada usia 94 tahun, semalam, seperti mana dimaklumkan keluarganya.

“Jeb, Neil, Marvin, Doro dan saya sedih untuk mengumumkan bahawa selepas 94 tahun yang luar biasa, bapa telah meninggal,” kata anaknya, bekas presiden, George W. Bush, dalam satu kenyataan dikeluarkan di Twitter oleh jurubicara keluarga.

Pemergian Bush hanya beberapa bulan selepas kematian isterinya, Barbara Bush, April lalu, iaitu bekas wanita pertama AS dan “wanita paling dicintai di dunia” yang dikahwininya selama 73 tahun.

SUMBER: AFP

Categories
SELANGOR

Tagline ‘Made in Sepang’ bawa produk usahawan ke mata dunia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 1 DIS: Tagline ‘Made in Sepang’ bakal membawa produk daerah itu ke peringkat lebih tinggi sekali gus memperkasakan usahawan di situ.

Pegawai Daerahnya, Mohd Yazid Sairi berkata, Sepang sememangnya terkenal dengan pelbagai produk dilahirkan usahawan berjaya termasuk buah naga dan nenas premium.

Katanya, selain itu produk pertanian termasuk ubi kayu, terung dan betik turut mendapat permintaan luas sehingga ke luar negara.

“Justeru penggunaan tagline ‘Made in Sepang’ ini diyakini mampu melebarkan lagi sayap usahawan di Sepang kerana kita mempunyai ‘branding’ tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Jelajah Usahawan Selangor (JUSEL) peringkat daerah Sepang di Tapak Penjaja Putra Perdana, Puchong, di sini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Mohd Yazid berkata, jelajah berkenaan membuka mata masyarakat setempat berhubung peluang yang diberi Kerajaan Negeri untuk membantu masyarakat menjadi usahawan berjaya.

Katanya, pelbagai agensi Kerajaan Negeri seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan pihak perbankan bersedia membantu orang ramai yang berminat menjadi usahawan.

“Saya juga menggesa supaya persepsi memiliki ijazah sebagai kejayaan utama dalam kehidupan seseorang perlu diubah.

“Kita tidak mahu lagi pemilik ijazah hanya mencari kerja sahaja, sebaliknya mereka perlu mewujudkan peluang pekerjaaan buat orang lain melalui bidang usahawan.

“Oleh itu, gunakanlah peluang sebaiknya apabila program seperti JUSEL ini diadakan, datang dan ambil segala maklumat dari agensi kerajaan yang ingin salurkan kepada anda,” katanya.

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Tourism Malaysia rancang tarik pelancong Rusia dan Asia Tengah

LANGKAWI, 1 Dis: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menyasarkan lebih ramai pelancong dari bahagian timur Rusia serta negara Asia Tengah melawat Malaysia, pada tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, lebih kurang 52,000 pelancong Rusia melawat Malaysia tahun lalu dan jumlah itu disasarkan mencapai 100,000 menjelang akhir tahun depan.

“Jumlah kedatangan pelancong dari negara Asia Tengah seperti Uzbekistan dan Kazahkstan amat menggalakkan dan kita mahu menembusi pasaran itu lebih lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan renang antarabangsa ‘Oceanman’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia Tourism Promotion Board (Tourism Malaysia) mempunyai pejabat di Moscow dan Seoul yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk menjalankan usaha promosi di Rusia dan Asia Tengah.

“Kita merancang mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa pelancongan di Thailand dan Indonesia yang sejak sekian lama menerima ramai pelancong dari Rusia bagi membawa pelancong itu melawat negara ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata, perancangan Qatar Airways untuk memulakan penerbangan ke Langkawi pada April tahun depan, akan mampu meningkatkan jumlah pelancong ke pulau peranginan ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa menyertakan Langkawi dalam laluan mereka selain memberi kemudahan bagi penganjuran lebih banyak acara antarabangsa untuk menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.

Katanya, seperti kejohanan ‘Oceanman’ ini adalah antara acara antarabangsa yang sejajar dengan perancangan kementerian untuk meningkatkan jumlah pelancong ke pulau ini.

“Sejumlah 280 peserta daripada 19 negara mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan memberi kesan berganda apabila mereka membawa bersama anggota keluarga dan penyokong untuk melancong di Pulau Langkawi,” katanya

SUMBER: BERNAMA

Categories
SASTERA SELANGOR

Pemenang Hadiah Sastera Selangor 2018 bawa pulang RM30,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 DIS : Seemua pemenang Hadiah Sastera Selangor 2018 anjuran SelangorKini membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia adalah kali ketiga penganjuran seumpama itu diadakan namun kelainan kali ini ianya turut membabitkan peserta luar daripada Selangor.

“Terima kasih kepada akhbar Selangorkini yang menyambut baik idea saya untuk menganjurkan pertandingan ini sejak 2015.

“Ini membuktikan Selangor bukan sahaja menekankan kemajuan ekonomi semata-mata, namun ia turut terkandung unsur kuat bagi memperkukuhkan aspek kebudayaan dan kesenian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hadiah Sastera Selangor 2018 di Galeri Shah Alam di sini, semalam.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu penulisan cerpen, sajak dan juga esei.

Setiap pemenang kategori utama membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 sementara hadiah penghargaan RM1,000 setiap seoarang.

Amirudin berkata, beliau turut dimaklumkan lebih ramai penulis menghantar karya mereka untuk dimuatkan melalui akhbar SelangorKini pada tahun ini.

“Jumlah karya dihantar pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu dan ia membuktikan Hadiah Sastera Selangor walaupun masih muda umurnya tetapi sudah dikenali secara meluas.

“Ia tidak kiralah di kalangan penulis yang mapan mahupun baharu menceburkan diri dalam dunia penulisan. Sudah tentu ini adalah petanda baik terhadap masa depan sastera kita,” katanya.

Pada acara sama, Amirudin turut menghangatkan suasana dengan menyampaikan bacaan sajak.

Tambah meriah apabila Papa Rock Malaysia, Datuk Ramli Sarip turut menyampaikan lagu-lagu popularnya.

Categories
SASTERA SELANGOR

MB: Seniman digalakkan ‘rakam’ sejarah 9 Mei

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 DIS : Kejayaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu, sepatutnya dirakamkan melalui karya seni bagi membolehkan detik bersejarah itu dikenang anak bangsa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penghasilan karya melalui cerpen, sajak, lukisan dan juga esei membolehkannya menjadi rujukan pada masa depan.

“Saya percaya bukan sahaja rakyat Malaysia menantikan tulisan yang baik mengenai peristiwa itu tetapi juga masyarakat dunia seluruhnya, justeru saya menggesa kepada seniman untuk menyahut cabaran ini.

“Sudah tentu apa saya maksudkan bukanlah tulisan bersifat propaganda untuk menyokong kerajaan sedia ada sebaliknya apa diperlukan adalah analisa yang memberikan konteks dan perspektif terhadap perubahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Hari Sastera Selangor 2018 di Galeri Shah Alam di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari dan Ketua Pegawai Eksekutif Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Eddie Khodzali.

Sementara itu Abdul Rashid berkata, anugerah Hadiah Sastera Selangor 2018 mampu memartabatkan aktiviti kesusasteraan dan kebudayaan sekali gus melahirkan golongan masyarakat pemikir.

Katanya, anugerah itu juga menjadi pendorong kepada penggiat sastera meningkatkan mutu karya masing-masing.

“Saya harap dengan adanya karya mereka, sama ada dalam bentuk cerpen, buku, novel dan lain-lain dihasilkan akan menambah pengetahuan rakyat Selangor khasnya di segi kebudayaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Guna peluang ‘Work From Home’ jana pendapatan sampingan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal terpilih menyertai program ‘Work From Home (WFH)’ perlu menggunakan peluang keemasan itu untuk menjana lebih pendapatan sampingan keluarga.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, pelaksanaan program ‘empowerment’ golongan wanita yang dijangka bermula pada tahun hadapan itu, mampu melatih mereka berdikari untuk mencari sumber kewangan sendiri.

“Apabila mereka menjalankan sesuatu pekerjaan dari rumah, ia bergantung sepenuhnya kepada usaha seseorang itu, kalau rajin maka mereka akan memperoleh lebih daripada itu.

“Yang penting, kerja keras untuk mendapatkan pulangan hasil yang baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kecergasan ‘Jom Sihat’ yang bertemakan Wanita Ceria, Rumahtangga Bahagia’, di Dewan Melawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Masdiana yang juga isteri Dato’ Menteri Besar berkata, program terbabit turut menyediakan platform pemasaran khususnya kepada penerima KISS untuk mengembangkan lagi bidang pekerjaan mereka.

Katanya, kemungkinan terdapat syarikat menawarkan peluang pekerjaan hasil daripada kemahiran dan nilai tambah dimiliki oleh golongan wanita terbabit.

“Jika dilihat, kerja jahitan manik misalnya, walaupun pendapatan agak sedikit pada peringkat permulaan, tetapi tidak mustahil lama-kelamaan mereka boleh membuka butik sendiri.

“Kita tidak tahu rezeki pada masa akan datang, sebab itu saya berharap supaya usaha dan kerja keras mereka ini sentiasa berterusan serta jangan sesekali cepat berputus asa,” katanya.

Terdahulu, menerusi belanjawan Selangor 2019, program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan diteruskan ekoran sambutan luar biasa di kalangan rakyat di negara ini khasnya Selangor yang memberi manfaat kepada 40,000 ibu.

Justeru, bagi mengorak langkah ke arah Pemberian ke Pemberdayaan (From Gift To Empowerment), penerima KISS terpilih menyertai program WFH.

Pembabitan proaktif 56 Pusat Wanita Berdaya di seluruh Selangor turut sama dizahirkan dalam mengenal pasti penerima KISS berpotensi untuk menjadi peserta program berkenaan.

Categories
SELANGOR

Jom Sihat PEKAWANIS, ajar teknik senaman kreatif

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Kira-kira 100 wanita menyertai program kecergasan bertemakan ‘Wanita Ceria, Rumahtangga Bahagia’ anjuran Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), di Dewan Melawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, pagi ini.

Program julung kali diadakan persatuan itu menggabungkan beberapa teknik senaman seperti Aerobik, Aerodance dan Bhangra Aerobic selama hampir tiga jam bagi memberi kepuasan kepada peserta.

Yang Dipertuanya, Masdiana Muhamad berkata, aktiviti berbentuk kecergasan adalah bertujuan menyahut cabaran amalan hidup sihat dengan menggunakan teknik senaman betul dan kreatif.

Katanya, wanita perlu mengutamakan aspek penjagaan kesihatan sebaiknya kerana mereka adalah tonggak utama dalam sesebuah institusi rumahtangga.

“Hal ini kerana, jika wanita tidak memiliki kesihatan yang baik, maka ia boleh menjurus kepada pengabaian anak-anak.

“Kalau dilihat banyak program kesihatan di luar sana diadakan secara percuma atau berbayar tetapi kita mahu memfokuskan kepada wanita supaya dapat melakukan senaman dengan betul dan bukan sekadar bersenam sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Program berkenaan mengetengahkan beberapa jurulatih pakar turut berkongsi dan memberi tunjuk ajar berkaitan teknik senaman yang betul dan kreatif.

Masdiana berkata, beliau optimis untuk mengadakan program sama pada masa akan datang memandangkan penerimaan daripada peserta amat menggalakkan.

Katanya, PEKAWANIS juga dalam perancangan menjadikan aktiviti terbabit sebagai acara berkala setiap bulan, pada Sabtu minggu pertama.

“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada ahli PEKAWANIS dan kalau mereka rasa ia bagus, maka kita akan meneruskannya.

“Tambahan pula, sudah menjadi hasrat kita untuk menerima sebarang cadangan bagi pelaksanaan program lain misalnya program ‘talk’ atau mungkin berkaitan cara pemakanan yang betul,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPM: Kontrak Naib Canselor UKM tamat tiada kaitan kontroversi wacana

PUTRAJAYA, 1 Dis: Tempoh tamat kontrak Prof Tan Sri Dr Noor Azlan sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tiada kaitan dengan kontroversi program wacana membabitkan aktivis sosial, Hishammuddin Rais seperti dilaporkan media.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pelantikan Noor Azlan seperti ditetapkan dalam kontrak ialah sehingga 31 Dis 2018.

“Bahkan langkah mengenal pasti calon pengganti telah dibuat sejak beberapa bulan lalu.

“Oleh itu, KPM memohon kerjasama pihak media agar mengelak daripada menyiarkan laporan yang tidak tepat bagi mengelak sebarang kekeliruan,” katanya.

KPM berkata, Menterinya, Dr Maszlee Malik turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Noor Azlan atas sumbangannya yang telah menerajui UKM sejak 2014.

Baru-baru ini, media melaporkan perkhidmatan Noor Azlan sebagai Naib Canselor UKM akan berakhir pada hujung tahun ini selepas kontroversi tindakan beliau menghalang wacana membabitkan aktivis sosial terbabit.

Sebelum ini, Maszlee dilaporkan menegur tindakan Noor Azlan supaya tidak menutup ruang intelektual di universiti.

SUMBER: BERNAMA