Categories
PBT SELANGOR

MBSA nafi beri vaksin secara terus kepada orang ramai

SHAH ALAM, 4 JUN:  Tiada urusan pemberian vaksin kepada orang awam di Dewan Tanjung dan Dewan Teratai di Seksyen 19 di sini, kata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

MBSA membuat penafian selepas tular mesej pagi ini mendakwa dua dewan itu dibuka setiap Rabu dan Khamis sebagai pusat pemberian vaksin secara terus kepada orang awam.

Bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA berkata maklumat yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp itu tidak benar sama sekali.

“MBSA menerima permohonan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menggunakan dewan tersebut sebagai lokasi pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan di negeri ini,” katanya.

Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai mendapatkan pengesahan dan menyemak fakta sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia terima vaksin AstraZeneca dari Thailand, percepat imunisasi kelompok

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-358 hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin Covid-19 ‘Vaccine AstraZeneca Solution for Injection’ keluaran AstraZeneca dari pengilang kedua iaitu Siam Bioscience Co. Ltd, Thailand.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pengilang kedua itu merupakan pengeluar yang menjadi sumber bekalan vaksin AstraZeneca untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya pada 2 Mac lepas, PBKD telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi pengilang Medimmune Pharma B.V., Belanda yang merupakan pengeluar bagi bekalan vaksin Covid-19 AstraZeneca ke negara Eropah.

“Sebagai makluman, kerajaan Malaysia membuat perolehan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca melalui dua kaedah iaitu secara terus dengan pengeluar dan juga melalui fasiliti COVAX yang mula diterima pada April.

“Bekalan vaksin AstraZeneca yang bakal diterima dari pengilang Siam Bioscience Co., Ltd ini dijangka dapat mempertingkatkan kadar vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan lebih pantas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kelulusan pendaftaran secara bersyarat memerlukan syarikat Pemegang Pendaftaran Produk iaitu AstraZeneca Sdn Bhd, mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin dari semasa ke semasa.

Katanya ia bagi memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini serta perbandingan manfaat-risiko vaksin kekal positif.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sembah tahniah ulang tahun kelahiran ke-50 Tengku Permaisuri Norashikin

SHAH ALAM, 4 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyambut ulang tahun kelahirannya ke-50 hari ini.

Ucapan tahniah dan selamat lahir dizahirkan menerusi laman rasmi Facebook Selangor Royal Office.

“Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat sempena ulang tahun hari kelahiran yang Ke-50 DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

“Semoga Allah subhanahu wata’ala lanjutkan usia tuanku dalam keafiatan dan sentiasa berada dalam lindungan Allah serta hidup dengan penuh kebahagiaan, dianugerahkan segala taufik dan hidayah, kewibawaan dan kebesaran, kehormatan dan kemuliaan, darjat dan daulat, fid-dunia wal-akhirat. Daulat Tuanku!,” lafaz doa.

Setakat jam 12.30 tengah hari, hantaran berkenaan mendapat kira-kira 1,900 tanda suka dan warganet terutamanya rakyat Selangor mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari lahir kepada Tengku Permaisuri Norashikin menerusi platform itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Zoo Negara boleh bertahan tiga bulan tanpa pengunjung

SHAH ALAM, 3 JUN: Operasi Zoo Negara hanya bertahan dalam tempoh dua hingga tiga bulan tanpa pengunjung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula 1 Jun.

Timbalan Presiden Zoo, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata pihaknya masih mampu menampung kos makanan haiwan serta gaji, namun terpaksa mengehadkan bilangan kakitangan bekerja lebih masa.

“Kerja lebih masa hanya dibenarkan kepada kakitangan yang perlu membuat pemantauan 24 jam terhadap anak panda Liang Liang yang dilahirkan Isnin lepas.

“Selain itu bekalan makanan haiwan masih mencukupi tetapi tidak boleh dicatu kerana boleh menjejaskan kesihatan haiwan,” lapor portal Kosmo! hari ini.

Pada 14 April tahun lepas Zoo Negara menerima sumbangan berjumlah RM1 juta daripada pelbagai pihak untuk menampung kos operasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

ERL gantung sementara khidmat ke lapangan terbang

SHAH ALAM, 3 JUN: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung semua perkhidmatan tren mulai Jumaat (esok) sehingga notis lanjut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Syarikat itu berkata keputusan diambil berikutan hampir tidak ada perjalanan udara serta bilangan pengguna perkhidmatan tren terhad sejak lebih setahun lepas.

“Purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69 peratus pada 2020 berbanding 2019. Dengan pelaksanaan PKP penuh, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89 peratus pada tahun ini.

“Bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kenyataan itu meminta mereka yang terpaksa melakukan perjalanan kerana perkara mustahak sepanjang tempoh PKP penuh mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan.

“Maklumat berhubung opsyen pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati menerusi www.KLIAekspres.com, Facebook serta Twitter KLIA Ekspres.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan lanjut sila hubungi pertanyaan pelanggan di talian 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang),” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Seramai 350 peserta tanding Liga Usahawan, pemenang terima pakej niaga

SHAH ALAM, 31 MEI: Seramai 350 peserta menyertai Liga Usahawan anjuran Kerajaan Negeri bermula Jun sehingga Disember, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata penganjuran julung kali itu mempertandingkan empat kategori iaitu PROTUNe (pelajar sekolah dan guru), GROW (graduan universiti), Say LEAD (orang kelainan upaya) dan Say Aspire (usahawan belia).

“Dalam tempoh enam bulan, kita bimbing dan mencungkil kebolehan peserta selain mewujudkan persaingan sihat sesama mereka sebelum memilih tiga terbaik setiap kategori untuk ke peringkat akhir.

“Peserta akan membentangkan perancangan perniagaan kepada juri. Pemenang menerima kursus bimbingan serta pakej inisiatif usahawan,” katanya pada Majlis Pelancaran Liga Usahawan Selangor secara dalam talian hari ini.

Rodziah berkata program itu mengumpulkan peserta pelbagai kategori dan umur untuk melahirkan usahawan bertaraf global dalam jangka masa panjang.

“Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM1 bilion untuk menjayakan pelbagai program pembangunan serta memperkasa usahawan sejak 10 tahun lepas, terutama ketika negara dilanda wabak Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Media mesti lapor fakta sahih, tidak terikut media sosial

SHAH ALAM, 31 MEI: Mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim merupakan individu yang menekankan kesahihan fakta dalam setiap pemberitaan.

Sikap sejarawan itu dikongsi anak sulungnya Eddin Khoo supaya media tidak terikut dengan laporan berita tanpa fakta sahih menerusi media sosial.

“Ayah saya banyak menyumbang pandangan atau penulisan di akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan Watan (tamat edaran) serta banyak majalah sukan.

“Media berperanan penting mengimbangi dunia sosial yang menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab mengutarakan berita sesuka hati,” katanya sebagai panel Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata sepanjang hayat mendiang, bapanya berulang kali menekankan isu perpaduan serta kebudayaan rakyat berbilang kaum.

“Malah ayah saya sering mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah serta tidak pernah jemu memastikan seluruh rakyat memahami sejarah Malaysia,” katanya.

Program kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Panel lain Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Ahli Majlis Diraja Johor Dr Kassim Thukiman, ahli ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan wakil Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Bukukan tulisan Khoo Kay Kim untuk rujukan masa depan

SHAH ALAM, 31 MEI: Dato’ Menteri Besar mencadangkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) membukukan penulisan mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim untuk rujukan masa depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebanyakan generasi muda tidak mengetahui mendiang banyak berjasa kepada negara terutama mengembalikan perpaduan kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.

“Mendiang antara tokoh penting pembentukan Rukun Negara yang menjadi kunci utama keharmonian kaum dan etnik yang dikecapi sekarang.

“Usaha memartabatkan sejarah sebagai negara majmuk dan kepelbagaian budaya tidak pernah terhenti sehingga akhir hayat,” katanya berucap merasmikan Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian hari ini.

Program kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) menampilkan anak sulung mendiang yang juga Pengarah PUSAKA Eddin Khoo antara lima panel jemputan.

Panel lain Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Ahli Majlis Diraja Johor Dr Kassim Thukiman, ahli ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan wakil Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir

Amirudin berkata Kerajaan Negeri menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim sebagai mengenang jasa mendiang.

Penamaan semula jalan itu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sejarawan dan ahli akademik itu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru ketika usia 82 tahun pada 28 Mei tahun lepas.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sabak Bernam rekod 30 kes sahaja tetapi 3,900 individu dalam PKPD

SABAK BERNAM, 31 MEI: Sabak Bernam mencatatkan jangkitan baharu Covid-19 terendah di Selangor semalam iaitu 30 kes.

Namun seramai 3,900 penduduk Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima di daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 30 Mei.

Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail berkata PKPD melibatkan 876 rumah dihuni kakitangan hospital, pejabat tanah dan institusi pendidikan.

“Sehingga kelmarin, sebanyak 135 kes positif dikesan hasil saringan 2,538 individu selain satu kematian melibatkan warga emas berusia 74 tahun yang mengalami komplikasi darah tinggi dan kencing manis,” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melaporkan terdapat 30 kes baharu di daerah itu semalam berbanding 20 kes pada Sabtu.

Tiga daerah turut mencatatkan bawah 100 kes adalah Hulu Selangor (91), Kuala Selangor (77) dan Sepang (62). Petaling pula tertinggi (902 ) diikuti Gombak (416), Hulu Langat (409), Klang (315) dan Kuala Langat (175).

Secara keseluruhan, Selangor mencatatkan 2,477 kes baharu melibatkan 2,424 jangkitan dalam komuniti, penjara (52) dan kes import (satu).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Golongan intelek bawa suara rakyat, idea kepada pemerintah

SHAH ALAM, 31 MEI: Golongan intelektual berperanan menyampaikan suara rakyat kepada pemerintah ketika negara berdepan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemimpin politik perlu bersikap terbuka menerima idea dikemukakan golongan tersebut untuk menyerasikan dengan keperluan rakyat.

“Pelbagai isu mutakhir menyebabkan rakyat terkapai-kapai mencari penjelasan serta jawapan, ada yang menganggap pemerintah tidak menjaga kebajikan mereka.

“Justeru pemimpin politik perlu bermuhasabah serta merenungi kekhilafan dan kegagalan,” katanya berucap merasmikan Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian hari ini.

Amirudin berkata penganjuran diskusi intelek perlu kerap diadakan bagi memberi peluang generasi memahami serta menyelami idea tokoh negara.

“Benarlah kata pepatah ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati menginggalkan nama’. Selepas dua tahun mendiang meninggalkan kita, segala jasa dan baktinya tetap subur dalam ingatan,” katanya.

Program kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) menampilkan anak sulung mendiang yang juga Pengarah PUSAKA Eddin Khoo sebagai panel.

Panel lain Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Ahli Majlis Diraja Johor Dr Kassim Thukiman, ahli ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan wakil Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir

Sejarawan dan ahli akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada 28 Mei tahun lepas.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sebanyak 1,000 hospital dan klinik swasta jadi pusat vaksin, suntik 45,000 dos sehari

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Sebanyak 1,000 hospital dan klinik swasta di seluruh negara menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menjelang hujung bulan depan, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid- 19 Kebangsaan (PICK) berkata penglibatan sektor kesihatan swasta berupaya memberi 45,000 dos vaksin sehari tertakluk kepada bekalan.

“Kita menyasarkan 500 hospital dan klinik swasta melaksanakan suntikan vaksin bermula 15 Jun manakala baki 500 lagi sebelum 30 Jun.

“Ketika ini kira-kira 2,500 pengamal perubatan swasta sedang menjalani latihan sebelum melaksanakan PPV,” katanya selepas bermesyuarat bersama Dato Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berharap usaha tersebut mempercepatkan usaha mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan faham rakyat bimbang sebab lambat terima vaksin, langkah ini diharap memberi kelegaan kepada semua pihak,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga pusat vaksin mega di Selangor mula operasi 7 Jun

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Sebanyak tiga pusat pemberian vaksin (PPV) mega beroperasi di Selangor bermula  7 Jun untuk mempercepat imuniti kelompok, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid- 19 Kebangsaan (PICK) berkata lokasi tersebut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dan Pusat Konvensyen dan Pameran Mines (MIECC).

“Pembukaan PPV mega antara perbincangan saya bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, kita bersetuju untuk mempercepatkan pemberian di Lembah Klang terutama di Selangor.

“PPV mega membolehkan kita menguruskan janji temu penerima vaksin berganda berbanding kadar sekarang,” katanya selepas mesyuarat bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Khairy berkata dua PPV mega turut dibuka di Kuala Lumpur bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil